9 Sep 2015

PAS Dah Cukup Kuat... Tak Perlu Sertai Pakatan 2.0

Tidak mustahil PAS bergerak sendiri, kata presiden

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak menolak kemungkinan parti Islam itu akan bergerak sendiri berdasarkan senario dalaman parti itu, lapor Sinar Harian hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya kemungkinan PAS akan bersendirian lagi selepas ini susulan kedudukan parti itu dalam gabungan parti pembangkang baharu yang bakal terbentuk masih tidak pasti.

"Dalam politik tiada yang mustahil," beliau dipetik berkata pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-13 di Kuala Terengganu semalam.

Menurut Hadi, parti itu pernah bergerak sendiri sebelum ini tanpa bergantung dengan mana-mana parti komponen.

Katanya, pengalaman tersebut secara tidak langsung mematangkan PAS.

"PAS pernah berdikari. PAS juga pernah bersama dengan parti komunis sebelum merdeka. Kita pernah dengan sosialis. PAS pernah bersama kerajaan campuran pada 1970 dengan Umno-Perikatan dan menyertai koalisi pemerintah Barisan Nasional (BN) pada 1974.

"PAS juga pernah bersendiri. Pernah pada 1982 semua ahli Parlimen PAS dalam kerajaan Kelantan tiada. Hanya tinggal Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. Tapi kini sudah 20 tahun lebih kita perintah Kelantan. DAP baru satu penggal saja menjajah," katanya.

Sementara itu, mengulas pendirian PAS berhubung kemasukan ahli parti tersebut menyertai Parti Pekerja Malaysia yang akan diambil alih dan ditukar menjadi Parti Amanah Negara (Amanah), beliau berkata, perkara sama pernah berlaku sebelum ini dan ia bukanlah fenomena baharu dalam parti Islam itu.

"PAS masih teruskan dengan apa yang kita perjuangkan pada hari ini dan kita ada kekuatan kita sendiri.

"Mengenai DAP dan PKR yang terima Parti Pekerja, PAS akan lihat dulu bagaimana penerimaan mereka," katanya sambil menambah pihaknya akan menunggu laporan penuh daripada badan perhubungan PAS negeri mengenai kemasukan ahli PAS ke dalam Parti Pekerja.

Hadi bagaimanapun dilaporkan berkata, sehingga kini pihaknya masih kurang jelas mengenai dakwaan yang Amanah akan menggantikan PAS dalam Pakatan Rakyat (PR).

"Sehingga hari ini tidak jelas sama ada mereka terima parti baharu atau tidak. PAS tak terima parti baharu dan PAS mempunyai sikap yang tegas. Kita jelas, kita ada syarat kerjasama dengan pihak lain," katanya.

Sementara itu, Hadi turut menjelaskan, sumber penyatuan orang Melayu ialah agama Islam dan bukannya semangat kebangsaan.

"Apabila berpecah, semua lemah. Cina dan India pun lemah. Yang pentingnya, bagi menyatukan Melayu adalah Islam, bukan semangat kemerdekaan. Orang Melayu juga perlu ambil kira kaum lain. Jangan abaikan kaum lain kerana kaum lain juga adalah mangsa penjajahan.

"Kita perlu sedar Perang Dunia Pertama dan Kedua, barangkali lebih 60% hamba jajahan menjadi mangsa perang dunia. Penjajah selamat. Yang matinya kita. Tak kira kaum apa.

"Oleh sebab itu, memang tidak dinafikan, majoriti rakyat adalah Melayu Islam. Pada masa yang sama, kaum lain sahabat kita, perlu kita hargai. Itu pendekatan yang perlu diambil," beliau dipetik berkata Sinar Harian. -TMI

Hadi: Pas cukup kuat, tak perlu parti lain

KUALA TERENGGANU - Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, Pas ada kekuatan sendiri dan tidak akan bergabung dengan parti baharu yang sedang dalam proses didaftarkan, Parti Amanah Negara (PAN) atau kini dikenali dengan Parti Pekerja Malaysia (PPM).

Beliau berkata, pengalaman lalu banyak mengajar Pas supaya lebih berhati-hati untuk bekerjasama dengan parti politik lain.

"Sehingga ini Pas dengan tegas tidak menerima parti baharu itu dan konsisten dengan pendirian selama ini," katanya kepada pemberita semasa ditemui ketika menghadiri sidang Dewan Undangan Negeri (Dun), di sini, hari ini.

Mengenai status Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad yang diminta meletakkan jawatan sebagai wakil rakyat Pas setelah menyertai PPM, Abdul Hadi berkata beliau akan dengar dahulu laporan daripada Badan Perhubungan Pas negeri dan Pas Pusat sebelum mengambil sebarang tindakan.

Ketika ditanya kemungkinan ahli Pas akan menyertai perhimpunan yang dicadang diadakan pada 16 September ini, Presiden Pas itu berkata, beliau akan melihat dahulu apa pengisian program berkenaan.

"Hari Kebangsaan kita sama-sama sambut, sebab itu baru-baru ini kita tidak menyertai perhimpunan Bersih kerana ia bertembung dengan Hari Kebangsaan, kita menghormati Hari Kebangsaan," katanya.
- Bernama


ULASAN GB

Walaupun PKR dan parti Amanah telah membuat kenyataan bahawa Pakatan 2.0 akan mempelawa PAS untuk bersama, namun dari kenyataan Presiden PAS di atas, ternyata PAS lebih suka untuk bersendirian.

Kita pun gembira jika PAS benar-benar ingin bersendirian dan gembira apabila Presiden PAS menyatakan PAS kini sudah cukup kuat untuk bergerak sendiri tanpa perlu sokongan parti-parti lain.

Dan parti-parti di dalam Pakatan 2.0 tidak perlu lagi memikirkan soal penyertaan PAS. Kerana kabilah Pakatan 2.0 perlu berjalan terus untuk menumbangkan BN, dengan atau tanpa PAS.

Kita berharap semua pihak "menghormati" keputusan presiden PAS itu dan kita berharap juga Presiden PAS tidak membuat "uturn" lagi terhadap kenyataannya itu.







IKLAN BERBAYAR




Hanya PAS Perjuangkan Islam, Khurafat Yang Wajar Dihapuskan

Baiah Taklik Talak Tiga: Ahli Akademik Kritik PAS

Tindakan Pas mengenakan syarat baiah yang berserta lafaz taklik talak tiga kepada ahlinya yang dipilih menjadi calon pilihan raya, dikritik kerana mencampuradukkan politik dengan hukum agama.

Malah apa yang dilakukan itu sehingga meruntuhkan institusi rumah tangga seperti apa yang berlaku kepada wakil rakyat parti itu yang kini telah ‘melompat’ ke Parti Pekerja Malaysia.

Dekan Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Madya Dr Ahmad Marthada Mohamed berkata, apabila politik cuba dikaitkan dengan agama, ditambah pula menerusi pelaksanaan yang tidak jelas seperti sumpah baiah dan taklik, ia jelas mengundang masalah besar kepada masyarakat.

“Pas tidak sepatutnya menggunakan baiah seperti ini sewenang-wenangnya kerana kesannya sangat besar, bukan sahaja melibatkan parti bahkan membabitkan rumah tangga dan hubungan kekeluargaan ahli politik yang melafazkan sumpah (taklik) itu,” katanya.

Ahmad Marthada menyatakan sumpah baiah yang berserta lafaz taklik dibuat oleh pemimpin Pas itu ialah sesuatu yang tidak wajar kerana ia berkaitan jatuh talak kepada isteri.

“Ini sebenarnya bertentangan dengan ajaran Islam sendiri di mana baiah yang dilakukan selalunya melibatkan ketaatan kepada perkara -perkara yang dibenarkan dalam agama, bukan melibatkan perceraian dalam keluarga.


“Perkara ini seolah-olah isteri yang tidak berdosa akan menjadi mangsa keadaan. Tambah merumitkan keadaan kerana sebilangan pemimpin Pas telah melakukan bai’ah sedemikian dan mereka kini menjadi ahli kepada sebuah parti lain,” katanya.

Beliau turut mempersoalkan status baiah yang dilafazkan kerana ia persoalan agama, bukan lagi politik.

“Adakah sah baiah itu sebenarnya? Ia kini ialah persoalan agama, bukan lagi persoalan politik,” katanya. -SH


ULASAN GB

Sudah banyak pihak yang menentang Baiah Talak 3 yang dikenakan oleh PAS kepada ahlinya yang dipilih menjadi calon pilihan raya.

GB tertarik dengan satu pandangan bahawa jika PAS ingin meneruskan untuk memaksa baiah talak tersebut dilaksanakan, maka ia perlu dimasukkan di dalam Perlembagaan PAS bahawa bukan saja kepada wakil rakyatnya, malah juga kepada semua mereka yang ingin menyertai PAS.

Ada berani?

Kedua, GB tertarik juga kenyataan Dr. Rozaime Ramle di atas yang menyatakan bahawa:

"Islam milik bersama bukan hanya milik Pas sahaja. Saya nak pecahkan KHURAFAT, bukan hanya Pas yang faham Islam. Orang lain pun ada yang faham Islam. Apabila tidak bersama bukan bermakna dia menentang. Ada benda yang kita boleh duduk sekali. Berkawanlah dengan orang-orang yang membuat kerja dakwah".

"JANGAN MENDABIK DADA hanya kita seorang yang buat kerja dakwah. Setiap orang berjuang di bidang masing-masing.."


Sebelumnya beliau menyatakan bahawa "Bai'ah (Sumpah) boleh dirungkai dengan membayar kafarah" dan terdapat beberapa ulama seperti Ibnu Taimiyyah dan Said Hawa menyatakan demikian.

Mengenai penubuhan Parti Amanah Negara, satu status dari Ust. Saiful Islam atau nama sebenarnya Haszrizal Abdul Jamil amat menarik perhatian:


Alhamdulillah, penubuhan Parti Amanah Negara nampaknya telah berjaya menjadi jambatan kepada pertubuhan-pertubuhan Islam yang besar di negara ini seperti ABIM, JIM, IRC dan lain-lain untuk meneruskan kerja-kerja Islam di dalam kerangka yang amanah, progresif dan peduli.

Ini bertepatan dengan hadith Nabi saw.

"Sesungguhnya ummatku tidak akan bersatu dalam kesesatan" - riwayat Ibn Majah.

Sesungguhnya memang benar kata-kata Ust Saiful Islam, Islam itu menghimpun bukan mengusir. Jika ada jemaah yang mengusir, maka fahamlah kita bahawa ia bukan jemaah Islam yang sebenar.







IKLAN BERBAYAR