14 Jul 2015

Polis Tangkap Ali Tinju, Papagomo Diburu

Insiden Low Yat: Ali Tinju ditahan

Polis menahan Presiden Persatuan Veteran Tentera Melayu (PVTM), Mohd Ali Baharom di bawah Akta Hasutan berkaitan dengan insiden Low Yat.

Lebih dikenali sebagai 'Ali Tinju', dia ditahan kerana didakwa membuat ucapan bersentimen perkauman di luar plaza itu pada malam Ahad, demikian menurut China Press.

Mohd Ali menjadi terkenal pada tahun 2012 apabila beliau menganjurkan "senaman punggung" di luar rumah bekas pengerusi Majlis Peguam, Datuk S Ambiga.

Ia sebagai respons kepada peranan Ambiga dalam penganjuran perhimpunan BERSIH untuk menuntut pilihan raya yang bebas dan adil. -mk


Polis akan tahan ahli politik, Papagomo hari ini



Polis akan menahan seorang ahli politik dan blogger upahan Umno, Papagomo selepas gagal menyerahkan diri berikutan cuba mencetuskan ketegangan kaum di Plaza Low Yat pada Ahad lalu, lapor The Star Online.

Ahli politik berkenaan didakwa menyampaikan ucapan berbaur hasutan di luar Plaza Low Yat seperti disiarkan di laman sosial manakala Papagomo didakwa menyebarkan gambar kononnya "mangsa" kekecohan sehingga memburukkan lagi keadaan.

"Kita sudah arahkan mereka serah diri tetapi mereka tidak berbuat demikian.

"Hari ini, kita akan cari dan tahan mereka," kata Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar seperti dilaporkan portal milik MCA itu.

Video ucapan perkauman ahli politik itu kemudiannya menjadi viral malah disiarkan di laman media sosial Facebook.

Khalid berkata, individu lain berucap di hadapan bangunan Plaza Low Yat mengajak orang ramai merusuh, juga ‎perlu bersedia menghadapi nasib sama.

"Kita bagi mereka peluang serah diri tetapi ‎mereka mensia-siakannnya.

"Sekarang ingat kata saya, kita akan datang tangkap mereka," katanya.

Khalid berkata, polis akan mengenal pasti individu lain yang bertanggungjawab menyebarkan berita palsu di media sosial dan medium lain.

"Walaupun saya dah beri amaran, masih ada pengguna media sosial yang menyiarkan gambar daripada insiden lain dan mendakwa ia berlaku di Low Yat.

"Jangan api-apikan situasi yang sudah diselesaikan," katanya.

Khalid semalam dilaporkan berkata, antara individu yang menyebarkan berita berniat jahat ‎adalah Papagomo, dan memberi amaran kepada beliau: "Lebih baik Papagomo serah diri daripada ditahan polis."

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Tajuddin Md Isa juga mengesahkan polis sedang mencari pemimpin bahagian parti yang memiliki gambar rakaman video itu.

Menurut pengurusan Plaza Low Yat, suspek ditangkap pada Sabtu, 5.40 petang, selepas didakwa cuba mencuri telefon bimbit daripada sebuah kiosk di pusat beli belah tersebut.

Dikatakan selepas perkara itu terjadi, sekumpulan pemuda muncul dan memusnahkan kedai lain kerana mendakwa kakitangan kedai itu membantu menangkap suspek.

Ahad lalu, beberapa orang awam termasuk 3 wartawan cedera diserang dalam rusuhan itu selepas polis menyuraikan himpunan protes di pusat beli belah itu.

Saksi berkata, sekumpulan lelaki meluru masuk ke kedai makanan berdekatan plaza itu sekitar tengah malam dan mencederakan peronda dengan helmet motosikal.

Setakat ini, 19 orang ditahan kerana terlibat dalam kejadian itu.
- TMI







Enggan Letak Jawatan, PAS Selangor "Khianat" Dengan MSU...

Tiada sebab keluar daripada kerajaan Selangor, kata PAS Selangor

PAS Selangor tetap bersama kerajaan negeri Selangor kerana keputusan Majlis Syura Ulama baru-baru ini hanyalah memutuskan kerjasama politik dengan DAP.

Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Iskandar Abdul Samad berkata tiada sebab anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) daripada PAS dalam exco kerajaan negeri Selangor meletak jawatan susulan keputusan Majlis Syura Ulama itu. "Sekiranya PAS keluar daripada Pakatan Rakyat maka ketika itu PAS mungkin perlu menarik diri daripada sebarang kerajaan pakatan tersebut," katanya dalam kenyataan hari ini.

Iskandar yang juga naib presiden PAS turut menegaskan kerajaan Selangor hari ini masih kerajaan Pakatan Rakyat berikutan tidak pernah ada pengumuman daripada Menteri Besar Mohamed Azmin Ali yang kerajaan negeri Pakatan Rakyat tidak lagi wujud.

Selain itu, beliau berkata tiada juga sebarang pengumuman bersama daripada pimpinan tertinggi ketiga-tiga parti dalam Pakatan Rakyat iaitu PAS, PKR dan DAP pakatan itu sudah tidak lagi wujud.

Pada Sabtu lepas, Majlis Syura Ulama PAS membuat keputusan hubungan tahaluf siyasi atau kerjasama politik parti itu dengan DAP terbatal berikutan tindakan provokasi berterusan dan keputusan DAP mengecam serta melanggar semangat kerjasama Pakatan Rakyat. – Bernama


PAS hipokrit jika kekal dalam kerajaan Selangor, Pulau Pinang, kata Mahfuz

Datuk Mahfuz Omar menyifatkan PAS akan dilihat hipokrit jika masih kekal dalam kerajaan negeri Selangor dan Pulau Pinang pada ketika parti itu sudah memutuskan hubungan dengan DAP, sekutu mereka sebelum ini dalam Pakatan Rakyat (PR).

Bekas ketua penerangan PAS itu mengulas mengenai keputusan Majlis Syura Ulama (MSU) PAS yang memuktamadkan untuk memutuskan kerjasamanya dengan DAP pada satu mesyuarat kelmarin.

"Apabila PAS sudah mengambil keputusan memutuskan hubungan dengan DAP, maka PAS seharusnya tidak bekerjasama dengan DAP dalam kerajaan Pulau Pinang dan Selangor.

"Jika tidak, rakyat akan melihat PAS sebagai hipokrit kerana masih terus dilihat mempunyai hubungan dalam pemerintahan Selangor dan Pulau Pinang,"
kata Mahfuz yang dipetik dalam akhbar Sinar Harian hari ini.

Kontroversi isu putus hubungan PAS dan DAP tercetus sejak muktamar tahunan parti itu menerima tanpa bahas usul Dewan Ulama tersebut awal bulan lalu.

Susulan keputusan itu, kerajaan DAP Pulau Pinang menyatakan beliau menerima tanpa soal sekiranya ahli PAS dalam kerajaannya mahu meletak jawatan, tetapi mereka enggan atas alasan pelantikan dibuat parti.

Malah, Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng juga sudah memberi kata dua kepada ahli PAS yang enggan berganjak daripada kerajaan negeri.

Sementara itu di Selangor, PAS masih lagi berada dalam pentadbirannya walaupun sudah menamatkan kerjasamanya dengan DAP di negeri tersebut.

Mahfuz berkata, langkah seterusnya kini bergantung kepada Jawatankuasa Kerja PAS Pusat yang perlu mengambilkira keputusan yang dibuat Majlis Syura itu untuk menentukan hala tuju di Selangor dan Pulau Pinang.

"Jawatankuasa Kerja PAS Pusat perlu menentukan dengan bijaksana apa yang perlu dilakukan dengan ahli PAS dalam kerajaan negeri Selangor dan Pulau Pinang," katanya.

Mahfuz juga mengulangi pendirian PAS perlu berundur daripada kerajaan negeri.

"Saya hanya memberikan pandangan ahli PAS perlu berundur daripada kerajaan.

"Terpulang kepada mereka," katanya.

Dewan Ulama PAS pada muktamar tahunan ke-61 mengusulkan parti Islam itu memutuskan hubungan dengan DAP selepas Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang mendapat kecaman hebat daripada parti sekular itu.
- Bernama


ULASAN GB

Kenyataan dan tindakan PAS Selangor yang enggan meletak jawatannya di dalam kerajaan negeri Selangor AMAT JELAS membelakangkan keputusan Majlis Syura Ulama.

Ini kerana Majlis Syura Ulama telah memutuskan hubungan tahaluf siyasi dengan DAP.

Bererti secara automatik tiada lagi kerajaan Pakatan Rakyat di negeri berkenaan. Justeru itu adalah tidak bermaruah dan tidak wajar bagi PAS Selangor untuk terus duduk di dalam kerajaan negeri Selangor apabila MSU telahg membuat keputusan sedemikian.

Sekalipun MSU mengekalkan tahaluf siyasi bersama PKR (walaupun sebelum ini PAS menghentam PKR dan DSAI di dalam isu Langkah Kajang) namun ia tidak sekali-kali menjadikan sebab kepada pewujudan Pakatan Rakyat lagi kerana keputusan MSU menganggap DAP sudah dianggap tiada lagi.

Dan sayugia diingatkan bahawa semasa PRU13 yang lalu, rakyat mengundi PAS berdasarkan kepada fakta bahawa PAS adalah rakan komponen PR.

Jangan lupa, sewaktu isu Langkah Kajang dulu, dua ADUN PAS telah digantung kerana kononnya mereka gagal mematuhi keputusan MSU.

Sekarang kenapa Mustafa Ali tiba-tiba membela pula tindakan PAS Selangor yang khianat kepada keputusan MSU dan tidak melepaskan jawatan?

Hukum kebenaran dan keadilan akan terus berjalan. PAS Selangor akan tetap terima bahana dan hukumnya. Ternyata sangat tindakan PAS Selangor itu adalah TIDAK BERMARUAH dan tuduhan MUNAFIK HARAKI kini ke mbali kepada mereka.

Satu perkara lagi, sebelum terlupa GB ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada 2 YB PAS yang digantung kerana telah menyelamatkan kerajaan PR dulu. Kini hukum kebenaran dan keadilan yang berjalan membuktikan tindakan kedua YB yang digantung itu, Shaari Sungip dan Hasnul baharuddin adalah TEPAT dan BENAR apabila PAS Selangor sendiri terpaksa berhempas pulas mempertahan kerajaan PR dari tumbang. Apatah lagi dengan kemunculan Gerakan Harapan Baru, kedua-dua YB itu kini mempunyai ramai "kawan" yang bersamanya kini, dan insyaAllah rakyat akan berbondong-bondong menyertai GHB selepas ini.

Dasar Gerakan Harapan Baru Adalah Islam, Tetapi Terbuka Untuk Semua...

Gerakan Harapan Baru dilancar, terbuka untuk semua

Gerakan Harapan Baru (GHB) secara rasmi dilancarkan hari ini, dibarisi pemimpin progresif dari PAS yang sebelum ini tersingkir semasa pemilihan parti pada muktamar bulan lalu.

Pengerusinya Mohamad Sabu berkata, GHB dilihat sebagai wadah atau entiti menggerakkan semula kerjasama parti politik.

"Harapan Baru akan mengasaskan satu penubuhan parti politik baharu yang berteraskan Islam bagi mencapai matlamat tersebut.

"Harapan Baru akan mendukungi Islam yang syumul dengan pendekatan inklusif, progresif dan peduli rakyat," kata Mohamad yang juga dikenali sebagai Mat Sabu, pada sidang media di Kuala Lumpur hari ini.

Antara pemimpin yang turut hadir pada majlis pelancaran tersebut ialah anak bekas presiden PAS, Muhammad Faiz Fadzil, bekas menteri besar Selangor Tan Sri Muhammad Muhd Taib, bekas calon presiden PAS Ahmad Awang, bekas ahli Jawatankuasa PAS Pusat Dr Dzulkefly Ahmad dan bekas naib presiden PAS Salahuddin Ayub.

Penubuhan GHB pertama kali diumumkan Mat Sabu dalam satu ceramah di Pulau Pinang.

Beliau yang juga bekas timbalan presiden PAS itu berkata, GHB tidak menolak matlamat penubuhannya sebagai sebuah parti politik yang terbuka kepada semua kaum.

Katanya, pada masa kini, permohonan pendaftaran bagi GHB sudah diserahkan kepada Pendaftar Pertubuhan (RoS) dan mereka masih menunggu ia diluluskan.

Lebih daripada itu, Mat Sabu berkata, penubuhan gerakan itu dilihat satu bentuk kerjasama politik parti pembangkang yang akan dikenali sebagai Pakatan Rakyat 2.0.

Bagaimanapun, Mat Sabu berkata masih belum ada keputusan muktamad mengenai nama parti baharu tersebut.

"Kita masih belum ada nama parti. Ia akan dibincangkan dan semua terbuka memberi cadangan kepada kita. Buat masa ini, kita menunggu RoS.

"Kalau ikut kita, kelmarin lagi mahu diluluskan. Kita mahu secepat mungkin, kerana sokongan akar umbi begitu kuat," katanya sambil menambah ahli jawatankuasa bagi GHB juga bersifat sementara ketika ini.

Ditanya pendirian parti baharu itu mengenai hudud, memandangkan ia menjadi faktor kepada perpecahan Pakatan Rakyat (PR), Mat Sabu berkata hudud tetap akan menjadi sebahagian daripada agenda parti tersebut.

Namun ia perlu melalui proses demokrasi berparlimen dan perundingan, katanya.

"Hudud sebahagian daripada syariat Islam... kami tidak boleh pisahkan semua itu kerana ia terkandung dalam ajaran Islam," katanya.

Beliau juga menolak penubuhan GHB akan menyaksikan ahli jawatankuasanya meletakkan jawatan di dalam PAS.

"Kita masih lagi ahli PAS. Kalau dah ada parti baharu, baru letak (jawatan). Ini parti belum ada lagi, rumah tak siap, kalau hujan nanti, bagaimana?" soalnya.

Beliau berkata penubuhan parti baharu tersebut bermaksud ia akan menjalin kerjasama dengan semua parti politik yang sealiran seperti DAP dan PKR.

Ditanya adakah ia bermakna GHB juga akan bekerjasama dengan PAS, beliau berkata ia terpulang kepada parti tersebut.

Mengulas mengenai kedudukan Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa), Mat Sabu berkata ia akan kekal sebagai sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Sementara itu, ahli jawatankuasa sementara GHB Dr Dzulkefly Ahmad berkata parti baharu itu terbuka kepada semua termasuk bukan Islam, dengan dua jenis keahlian - ahli penuh dan ahli bersekutu.

"Keahlian penuh terbuka kepada semua Islam dan bukan Islam yang selari dengan cita-cita dan matlamat gerakan.

"Manakala keahlian bersekutu pula ialah kategori yang juga terbuka kepada Islam dan bukan Islam, namun mereka tidak ambil keahlian secara penuh, kerana tidak mahu memberi komitmen penuh dalam parti baharu.

"Sebab itu kita bawa pendekatan berbeza. Sangat inklusif yang merentas perkauman, bangsa dan agama," katanya. -TMI


Kumpulan progresif Pas lancar Gerakan Harapan Baru

KUALA LUMPUR: Kumpulan progresif dalam Pas yang kalah teruk dalam pemilihan baru-baru ini melancarkan Gerakan Harapan Baru (GHB) sebagai wadah dan entiti bagi menggerakkan semula kerja sama politik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan rakyat.

Pengerusi GHB, Mohamad Sabu menyatakan GHB akan mendukung Islam yang syumul dengan pendekatan inklusif, progresif dan peduli rakyat.

Bahkan, GHB juga komited untuk membawa Islam yang sebenar-benarnya iaitu “rahmat untuk semua” dalam memberi pembelaan dan keadilan buat seluruh rakyat Malaysia.

“GHB masih lagi dalam peringkat ‘pro-term’. Sedang diusahakan di peringkat Pendaftar Pertubuhan (ROS) dan di peringkat GHB kita masih lagu berbincang,” katanya dalam sidang media di Vistana Hotel pada Isnin. Mohamad turut menegaskan, barisan kepemimpinan GHB masih lagi ahli Pas.

“Kita masih lagi ahli Pas, selagi parti baru belum ditubuhkan, kita tetap menjadi ahli Pas. Takkan kita nak keluar rumah, sedangkan rumah masih belum siap, nanti kena hujan,” katanya.

Pada masa sama, Mohamad Sabu atau Mat Sabu menafikan bahawa penubuhan GHB adalah disebabkan kecewa dengan kekalahan pemimpin golongan progresif di dalam Pas.

“Kita tidak kecewa dengan kekalahan hari tu, sudah biasa hadapi kekalahan, tetapi kita kecewa dengan UMNO dan BN,” katanya.

Selain, GHB juga akan terus meletakkan pelaksanaan hukum hudud sebagai satu asas perjuangan.

“Hudud adalah sebahagian dalam syariat Islam. Kita perjuangkan ia dalam Parlimen dan perbincangan . Sebab kami tidak boleh pisahkan ia, itu terkandung dalam ajaran Islam,” tegasnya.

Turut hadir dalam sidang media itu juga adalah bekas Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub, dan Ahmad Awang, Dr Mujahid Yusuf Rawa, Dr Hatta Ramli, Hanipa Maidin, Dr.Dzulkefli Ahmad, Tan Sri Muhamad Muhamad Taib.

Kata Mad Sabu lagi, GHB juga bersedia untuk bekerjasama dengan semua parti politik, dan juga mana-mana NGO agar UMNO/BN dapat ditumbangkan.

“Kami sedar dengan suasana politik Malaysia. Kalau nak memerintah, mesti ada kerja sama dengan semua,” ujarnya.
=FMT






ULASAN GB

Tiba juga saat yang dnanti-nantikan oleh ramai ahli-ahli PAS khususnya dan rakyat Malaysia amnya.

Sebuah parti yang berbilang kaum mendukung Islam yang syumul dengan pendekatan inklusif, progresif dan peduli rakyat.

Seperti yang GB utarakan sebelum ini, petikan:

Segala rencana dan perancangan jahat, kotor dan hina untuk menyingkirkan golongan professional dari PAS kini disambut oleh G18 dengan penubuhan sebuah parti baharu, sekali gus membentuk sebuah gabungan baru Pakatan 2.0.

Iulah professional namanya. Mereka bukan kumpulan kecewa seperti didakwa oleh pihak yang menyingkirkan mereka.

Sebarang rencana dan rancangan jahat itu dilakukan oleh pimpinan tertinggi ulama dalam PAS dimana mereka sanggup melakukan fitnah, melemparkan tuduhan dan melabel kumpulan professional dengan pelbagai gelaran buruk seperti Jebon, Anwarinas, Munafik Haraki, barua, tolol, syaitan, anti ulama, kuda DAP dan seumpamanya.

Allah membimbing golongan professional untuk tidak berkelakuan seperti mereka. Malah ditunjukkan jalan apa yang perlu mereka lakukan demi untuk memenangkan Islam kerana Islam itu tidak terhad hanya kepada hudud sepertimana yang diperjuangkan oleh kumpulan yang kononnya memanggil diri mereka "ulama".

Biarlah si Luncai terjun dengan labu-labunya, kita berjalan terus dengan matlamat kita.... semuga Allah menerima amal kita dan melimpahkan keredhaan dan keberkatannya buat kumpulan professional yang telah ikhlas berjuang di jalanNya selama ini...