30 Jun 2015

InsyaAllah Parti Baharu Bakal Cipta Gelombang Besar...

Parti baharu bukan kumpulan terbuang Oleh A Shukur Harun

Selepas dikalahkan dengan cara paling hina di muktamar PAS baru-baru ini, golongan progresif dan sederhana dalam parti itu merancang menubuhkan sebuah parti baharu lepas Hari Raya Aidilfitri sebagai memenuhi harapan baharu rakyat Malaysia.

Penubuhan parti ini juga untuk meneruskan legasi perjuangan Allahyaram Datuk Fadzil Mohd Noor dan Allahyarham Datuk Seri Nik Abd Aiz Nik Mat yang sangat terbuka dan demokratik.

Kumpulan ini mulanya bernama Kumpulan 18 (G18) kini dinamakan “Kumpulan Harapan Baharu” kerana jumlahnya bertambah.

Ia memang berhak mendakwa sebagai pewaris perjuangan kedua-dua tokoh yang amat disayangi majoriti rakyat Malaysia itu.

Ini kerana, golongan progresif ini sangat serasi dengan metodologi perjuangan dua tokoh tersebut iaitu menjadikan PAS parti yang inklusif, tidak jumud dan ekstrem, menyebabkan PAS diterima pelbagai kaum dan agama, meskipun ia tetap memperjuangkan Islam.

Atas inisiatif mereka dan disokong oleh pelbagai badan bukan kerajaan (NGO) serta masyarakat sivil, mereka merancang menubuhkan parti baharu, di mana buat sementara ini dipanggil G18 – mengambil sempena 18 tokoh yang dikalahkan itu. Nama rasmi parti baharu itu akan diumumkan sempena pelancarannya beberapa minggu lagi.

Kini perancang parti baharu ini sedang giat mengadakan perbincangan demi perancangan ke arah penubuhannya yang dilihat sangat dinanti-nantikan oleh majoriti rakyat.

Namun pada awal-awal lagi sesetengah pemimpin PAS yang ada sekarang begitu segera memperkecilkan penubuhan parti baharu itu. Ada yang mengatakan, kononnya parti serpihan PAS itu tidak akan panjang umur dengan mengambil contoh parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) dan Hizbul Muslimin Malaysia (Hamim) dulu.

Ada juga pemimpin PAS memperkecilkan tokoh progresif itu sebagai daun yang gugur selepas pohonnya digegarkan ribut. Golongan profesional ini dianggap daun gugur yang langsung tidak ada nilai, sedangkan pohonnya, kononnya, tetap teguh.

Ada yang juga yang berkata tindakan menubuhkan parti baharu itu hanya akan menguntungkan musuh, Lebih jauh, ada pula ustaz muda tokoh segera PAS yang dengan segera hendak mengajar kumpulan sederhana ini supaya melihat sejarah gemilang PAS selama ini.

Saya kira pandangan negatif pimpinan PAS terhadap parti baharu ini perlu dijawab untuk memberitahu tahap tidak matangnya mereka dalam politik.

Pertama, parti baharu ini tidak akan menjadi Hamim dan Berjasa, kerana situasinya berbeza, keadaan mencetuskan parti baharu ini berbeza, sambutan rakyat juga berbeza dan persepsi umumnya berbeza di zaman penubuhan Berjasa dan Hamim dengan keadaan yang ada sekarang.

Daripada kajian awal yang diperoleh – terutamanya di bandar dan semi bandar – rakyat pelbagai golongan sedang menantikan penubuhan parti baharu ini.

Hamim dan Berjasa adalah proUmno, sementara parti baharu ini menentang Umno/BN.

Hamim dan Berjasa hanya mendominasi kawasan Melayu, khususnya di Kelantan dan Terengganu, sedikit di pantai barat Semenanjung, sementara parti baharu bersifat nasional, seluruh Malaysia.

Parti baharu ini diyakini akan disertai pelbagai golongan rakyat yang sedar – terutama masyarakat sivil dan generasi baharu – yang dilihat sedang menantikan penubuhan parti baharu ini, Ini gelombang besar yang akan mengejutkan pemimpin PAS sendiri nanti.

Dengan kehadiran media baharu, perkembangan politik baharu ini mudah tersebar luas. Dari itu, menyamakan parti baharu dengan Hamim dan Berjasa tidak munsabah, malah ketinggalan zaman.

Kelemahan pemimpin PAS sekarang ialah mereka tidak memahami perkembangan politik terkini, kerana tenggelam dengan emosi dan prejudis, hanya berbangga dengan lutut dan siku bukan fakta dan ilmu.

Kedua, golongan progresif ini bukan daun yang gugur dan terbuang akibat ribut. Golongan ini masih gemilang dan terbilang. Mereka tetap berharga di kaca mata masyarakat yang sedar, bukan golongan yang jumud dan ekstrem.

Malah, tidak mustahil pula ribut besar yang melanda PAS boleh menumbangkan batang tubuh PAS itu sendiri kerana masyarakat melihat PAS kini sedang melakukan “reverse gear” yang amat menghairankan. Akhirnya ia kembali menjadi parti politik Pantai Timur.

Ketiga, Penubuhan parti baharu ini tidak menguntungkan musuh, malah menggerunkan mereka. Ini kerana ia sebuah harapan baharu dan kekuatan baharu yang didukung oleh majoriti rakyat.

Berbanding dengan krisis yang dialami PAS memang jelas menguntungkan musuh dipandang dari sudut apa pun kerana ia memecahkan Pakatan Rakyat.

Keempat, adapun ustaz muda yang menjadi tokoh segera PAS yang segera hendak mengajar kumpulan sederhana ini supaya melihat sejarah gemilang PAS selama ini perlulah mereka mencerminkan diri sendiri lebih dulu.

Pada ketika mereka masih belajar di Timur Tengah, tokoh veteran G18 ini sudah pun berjuang dalam PAS dengan keringat dan air mata mereka. Merekalah yang mengukir sejarah kegemilangan PAS selama ini menerusi kepimpinan Fadzil dan Nik Aziz.

Tokoh inilah yang berjuang di dalam PAS hasil inspirasi pendedahan perjuangan Ikhwanul-Muslimin, Jamaat e-Islami Pakistan, Jamaah An-Nur, Turki, pembacaan buku dan pertemuan dengan tokoh gerakan Islam rantau ini dan antarabangsa.

Oleh itu jangan ada sesiapa dengan penuh angkuh cuba menafikan keunggulan tokoh PAS ini.

Di sini mari kita renung dengan pemikiran jernih penubuhan parti baharu ini sebagai harapan baharu masa depan rakyat Malaysia di mana ia akan menyertai gabungan parti pembangkang yang ada sekarang.

Saya tetarik dengan pemikiran terbuka, pemimpin parti baharu ini, Dr Dzulkefly Ahmad berkata, kekalahan mereka secara blok dalam pemilihan itu menjadi “rahmat yang tersembunyi” apabila ia membuka ruang membina sesuatu lebih kukuh untuk Malaysia selepas ini.

Beliau yang menjadi setiausaha jawatankuasa bertindak G18 itu berkata penyingkiran mereka menyebabkan satu wadah baharu yang lebih kukuh dan inklusif dibina untuk semua rakyat Malaysia.

Parti baharu ini akan menggabungkan semua masyarakat sivil di negara ini terutama badan NGO Islam bagi membentuk satu wadah baharu politik Malaysia berteraskan Islam yang lebih progresif berbanding parti lama mereka.

Beliau yakin wadah ini akan lebih diterima masyarakat Malaysia kerana sifatnya yang inklusif dalam sebuah negara berbilang agama dan bangsa ini.

Selain akan bergabung dengan PKR dan DAP, wadah baharu itu akan menghimpun semua NGO Islam di Malaysia yang mempunyai cita-cita sama.

ULASAN GB

Syabas dan terima kasih Pak Syukur lantaran ulasan yang baik di atas.

Pemimpin PAS kini masih diuliti mimpi. Mereka memandang bahawa hanya "ulama seperti mereka" berhak memimpin parti, mereka melupakan peranan dan jasa para profesional yang selama ini telah mengangkat darjat dan mertabat PAS di aras yang ada kini. Golongan profesional inilah sebenarnya ulama (golongan berilmu) yang dimaksudkan oleh AlQuran dan Hadis Nabi iaitu sebagai "warisatul-anbiya", dan yang dikatakan sebagai golongan yang gementar hatinya bila disebut nama Allah, bukan ulamak celupan yang sebenarnya hanyalah berstatus "guru mengajar bab ugama" yang tergila-gilakan dunia sehingga sanggup merebut jawatan dengan cara paling kotor dan hina. Paling tinggi pun ulama othodox dalam PAS hanyalah ulamak feqah yang kasar budinya sehingga boleh mengkafirkan orang lain, memaki hamun dan membinatangkan mereka yang tak mereka senangi. (Hal ini akan GB huraikan di dalam tulisan lain... SIAPA SEBENAR ULAMA?)

Ramai ulama othodox, khususnya ulama dalam PAS begitu syok sendiri dengan kemenangan mereka tempohari. TITM misalnya terus dengan agenda mengampu Tuan Presiden siap dengan hujah menyatakan kata-kata Haji Hadi tak boleh dibantah, Haji Hadi tak tertakluk kepada Majlis Syura dan sebagainya. Mentaliti ampu ini adalah mentaliti UMNO sebenarnya sebab seorang Islam sentiasa mengikut apa yang pernah ditunjukkan oleh khalifah-khalifah Abu Bakar dan Umar, "ikut aku selama mana aku ikut Islam dan tegur aku jika aku menyeleweng."

Idris Ahmad, Naib Presiden pula merasa dirinya super-hebat kerana dapat menjadi Naib presiden dengan undi tertinggi. Terlupa dia bahawa kerusi parlimen Bukit Gantang yang dimenanginya itu sebenarnya "warisan" DS Nizar. Rakyat Bkt Gantang mengundi PAS pada PRU13 kerana mereka terkenangkan jasa DS Nizar di perak, kalau kerana Idris Ahmad, dah lama dilingkupkan. Kita tengok nanti pilihanraya akan datang apa akan jadi kepada nasib Naib Presiden PAS yang sudah takbur dan bongkak itu.

Begitulah juga nasib ahli-ahli parlimen dan ADUN-ADUN PAS yang ada kini. Mereka terlupa yang mereka itu menang kerana adanya sokongan kaum bukan melayu, dan selepas ini jangan haraplah mereka akan mengundi PAS lagi.

Kehadiran parti baharu benar-benar meresahkan ulama othodox dalam PAS. Sekarang baru mereka tahu hasil perbuatan kotor dan keji mereka menyingkirkan golongan profesyenal.

Dari laporan yang GB terima, insyaAllah ahli-ahli PAS seluruh negara akan memberikan sambutan yang besar terhadap kemunculan parti Islam alternatif ini. Kita tidak boleh membetulkan PAS dari dalam lagi. Ia dikontrol oleh kumpulan ulama jumud yang ingin membawa PAS 50 tahun ke belakang, ingin membawa PAS kembali ke surau dan gua walaupun Allah telah membawa dan menghantar PAS ke Parlimen dan DUN. Buktinya Presiden PAS sendiri tidak mengendahkan dan tidak mensyukuri kedudukannya sebagai ahli parlimen, mengkhianati amanah dengan ponteng setiap kali parlimen bersidang.

Kemunculan parti baru bakal menghantar sebilangan besar ulama-ulama PAS ke hospital dan IJN. Terkena penyakit lemah jantung. Itulah hukum kebenaran dan keadilan.

Dan insyaAllah, hanya dengan parti baharu dengan rakan-rakan di dalam PAKATAN 2.0 inilah nanti yang akan merealisasikan impian rakyat dengan tertubuhnya kerajaan baru di Putrajaya!

Biar Anjing & Serigala Menyalak, Parti Baharu Tetap Ditubuhkan...

PAS hadapi gelombang penghijrahan keluar selepas Aidilfitri

Krisis dalaman PAS sengaja dibayangkan tidak serius oleh golongan ulama yang mentadbir parti itu sejak Muktamar ke 61, yang memusnahkan sama sekali kepimpinan puak profesional.

Bagaimanapun, riak-riak cemas dalam kalangan ulama PAS boleh dibaca lewat amaran yang mereka berikan terhadap pemimpin dan penyokong puak profesional. Daripada hierarki tertinggi, Presiden Hadi Awang, Timbalan Presiden Tuan Ibrahim Tuan Man sehinggalah yang lebih bawah, Ketua Penerangan Nasrudin Tantawi dan lain-lain; semuanya memberi ingatan mana-mana pemimpin yang berjuang meninggalkan PAS akan karam.

Mereka memberi contoh parti serpihan seperti Hamim dan Berjasa yang ditubuhkan oleh pemimpin PAS terdahulu akhirnya kalah dalam pilihan raya, mengecil dan tidak berkesinabungan selepas beberapa tahun. Parti Melayu Semangat 46 juga dijadikan ikhtibar. Parti serpihan Umno itu akhirnya dibubarkan dan pengikutnya kembali semula kepada Umno selepas 1996.

Bagaimanapun, puak pro ulama terlupa menjadikan PKR sebagai perbandingan. Parti yang ditubuhkan oleh isteri Anwar Ibrahim ini daripada hanya menang beberapa kerusi parlimen dalam pilihan raya umum (PRU) 1999 bertukar menjadi parti pembangkang paling banyak mendapat kerusi dalam PRU 2008.

Puak profesional berpegang kepada hujah mood rakyat dan kejayaan PKR membulatkan tekad mereka membentuk parti baharu. Bagi profesional tiada guna mereka berada dalam PAS yang tidak menjanjikan peluang dan ruang untuk bergerak. Sedangkan mood rakyat menolak BN tetapi ulama PAS pula ingin bersekongkol dengan Umno. Oleh itu, mereka akan memanfaatkan mood rakyat dan seboleh-bolehnya ingin mengulangi sejarah kegemilangan PKR.


Ura-ura penubuhan parti baharu ini telah menarik minat pemimpin PAS di semua peringkat. Mereka didakwa bosan dengan kepimpinan Hadi yang tidak boleh ditegur dan terlalu mengikut telunjuk think tank parti yang tidak diketahui asas pemikiran atau rujukan.

Penolakan boleh dilihat ketika mesyuarat pertama Badan Perhubungan PAS Johor yang hanya dihadiri 11 ahli daripada 26 Kawasan di Johor.


Keluar parti

Mesyuarat pertama itu sepatutnya dihadiri 52 ahli iaitu Yang DiPertua dan setiausaha kawasan di samping Pesuruhjaya PAS Johor Datuk Dr Mahfudz Mohamad. Tidak lama selepas itu, pemimpin PAS Johor bermesyuarat di Bakri, Muar dihadiri oleh hampir kesemua pemimpin puak profesional. Dalam mesyuarat itu mereka mencapai persetujuan untuk menubuhkan sebuah parti baharu.

Di Kedah, dikhabarkan ketidak puasan hati ahli PAS akan menyaksikan gelombang keluar parti beramai-ramai. Lebih buruk lagi, di peringkat pusat beberapa dermawan yang selama ini memberi sumbangan kepada PAS juga didakwa telah menarik diri.

Dengan kemerosotan sebegitu teruk sokongan pemimpin peringkat kawasan dan cawangan kepada pucuk pimpinan, dijangkakan arus penghijrahan ahli PAS ke dalam parti baharu kelak sangat kencang. Mungkin lebih hebat berbanding penghijrahan ahli Umno ke dalam Parti Keadilan Nasional pada 1999.


Ahli yang tidak berhijrah pula belum tentu akan memberi undi kepada PAS dalam pilihan raya. Jadi asas untuk pemimpin PAS gentar memang wujud. Mereka terbayang kekalahan bertanding di kawasan-kawasan yang kurang 80 peratus pengundi Melayu.

Malah di Kelantan, misalnya Kota Bharu pun belum tentu PAS akan menang. Situasinya mungkin berulang seperti PRU 1978 apabila PAS ditentang tiga penjuru oleh Umno dan parti serpihan Berjasa.

Lebih segar

Apa pun parti baharu dilihat lebih segar kerana tidak mempunyai struktur didominasi ulama yang memiliki kuasa veto. Tidak ada Majlis Syura Ulama atau Dewan Ulama yang merupakan kuasa pemutus dasar-dasar parti.

Semua keputusan dibuat secara demokrasi dalam mensyuarat AJK Pusat. Parti baharu ini mirip kepada Parti Keadilan dan Pembangunan (AK) pimpinan Recep Tayyib Erdogan di Turki, yang memisahkan diri daripada parti Refah yang mirip PAS pada 2001 lalu.

Hanya setahun selepas AK ditubuhkan mereka memenangi PRU Turki pada 2002 walaupun ditentang oleh parti-parti sekular yang berpuluh tahun wujud dan pihak tentera yang menjaga perlembagaan sekular Turki.


Gelombang Erdogan akan sekali lagi melanda Malaysia selepas PKR yang menerima nasihat dari Turki telah mencapai tahap maksimum pada PRU 2013.

Dijangkakan parti baharu yang akan dilancar selepas Hari Raya Aidilfitri ini akan segera dipimpin oleh kalangan ahli parlimen dan ADUN PAS yang berhijrah keluar pada gelombang pertama. -pkrl.blogspot.com

ULASAN GB

Apabila ada cadangan mewujudkan parti Islam alternatif, ada "salakan-salakan" menyatakan kononnya "berdasarkan sejarah", parti serpihan tidak kekal lama, parti baharu tidak ke mana.

Namun kemudian apabila kita buktikan bahawa PAS juga berasal dari sebuah parti serpihan UMNO, Pemimpin PAS Terlupa Bahawa PAS Juga Berasal Dari Parti Serpihan!, terus mereka senyap sepi tidak lagi berani untuk menyatakan parti serpihan tak mampu bertahan lama.

Begitu juga sejarah telah membuktikan PKR yang wujud sebagai parti baharu dan parti serpihan selepas gelombang reformasi 1998. Kini menjadi sebuah parti yang hebat.

Kemudian kelmarin, Presiden PAS di dalam ceramahnya di Pongsu Seribu menyatakan "Biar anjing menyalak, serigala menyalak... qabilah berjalan terus sampai ke destinasi, matlamat yang dituju.".

Dengan menutup kisah hudud yang gagal dibentangkan melalui Private Bill setelah ditipu UMNO, Haji Hadi masih mahu menyatakan "qabilah berjalan terus".... dan paling aneh semasa private bill disenaraikan di dalam agenda Dewan Rakyat kali kedua, Presiden PAS masih berada di Jepun!

Dan tidak melupakan juga pada sebelum isu Private Bill itu, Haji Hadi telah ponteng sebagai ahli parlimen sewaktu tiga undang-undang penting dibahas dan diluluskan secara undian belah-bahagi iaitu, Akta Pencegahan Keganasan (POTA), Pindaan Akta Hasutan dan Undang-undang GST.

Itulah sikap Ahli Parlimen Marang terhadap tanggungjawabnya sebagai seorang ahli parlimen!

Kemudian di dalam isu "menyalak" itu, ada juga pihak yang cuba membuat pembelaan kepada beliau, iaitu Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man yang menyatakan bahawa Haji Hadi tidak tujukan sesiapa. Hj. Abdul Hadi cuma memetik sebuah syair Arab sebagai kiasan.

Sedangkan telah jelas ia ditujukan kepada mereka yang tidak menyokong hudud.

"Ini slogan yang kita bawa, salaklah dia nak salak pun. Saya terpaksa sebut perkataan salak ini sebab dia melawan hukum Tuhan.


Tidak mengapa, kita juga menggunakan syair yang sama, "biarlah anjing-anjing dan serigala menyalak, parti baharu akan tetap ditubuhkan"....

GB pun tak sebut sesiapa, tak Nak kata apa sekarang?