30 Mei 2015

Kukuhkan Pakatan Rakyat: 3 Anak Bekas Pimpinan Tertinggi PAS Berkongsi Pentas

Dari kiri, Faiz Fadzil (anak Almarhum Fadzil Noor), Mujahid Yusof (anak almarhum Yusuf Rawa) & Nik Omar Nik Aziz (anak almarhum TG Nik Aziz)

Ayah ambil berat Pakatan lebih daripada anak sendiri, kata anak Nik Aziz

Anak kepada bekas mursyidul am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata ayahnya lebih mengambil berat hubungan dalam Pakatan Rakyat (PR) berbanding kepentingan anak sendiri.

Menurut Nik Omar Nik Abdul Aziz, menjelang muktamar PAS, perwakilan tidak seharusnya memikirkan sama ada memilih golongan ulama atau profesional diangkat sebagai pimpinan, sebaliknya mereka yang dapat memberi sumbangan kepada parti.

“Ulama ada takrifan tersendiri. Maknanya bagi dia (Nik Aziz), pimpinan PAS semua ulama cuma mengikut tahap masing-masing.

“Ulama ini orang yang takut, maknanya dengan ilmunya, dia takut pada Allah. Pengajiannya dalam bidang sains atau sejarah, yang dia belajar menyebabkan dia kembali kepada Allah. Dia termasuk dalam ulama,” katanya dalam sebuah forum “PAS dan Masa Depan Politik Islam di Malaysia” malam tadi, yang turut dihadiri Ahli Parlimen Parit Buntar Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa dan Faiz Fadzil, anak kepada bekas presiden PAS, Datuk Fadzil Noor.

Ditanya ciri-ciri yang dimiliki bapanya sehingga dapat menarik sokongan pelbagai kaum di Kelantan, Nik Omar berkata terdapat tiga ciri utama yang dipegang bapanya.

Katanya, tiga ciri tersebut ialah warak, zuhud dan istiqamah yang ditonjolkan semasa mentadbir negeri Kelantan dan juga ketika bersama keluarga.

“Dia ada sifat atas sikit makamnya, iaitu zuhud. Zuhud biasa orang terjemah tak nak pada dunia. Saya perhati Tok Guru seolah-olah tak ada segelumit pun dia minat pada dunia tetapi dia duduk atas dunia.

“Dunia duduk di tangannya bukan pada hatinya. Dia urus dunia, bukan dunia yang urus kehidupannya.

“Apabila dia menang (menteri besar), antara benda yang dia buat untuk diri dia, dia potong gajinya 45% untuk khazanah negeri dan parti. Dia cakap pada saya, sampai akhir pun 'ayah tidak tahu gaji ayah berapa'. Dia nak guna duit, dia beritahu pegawai dia,”
katanya mengenang kenangan bersama allahyarham.

Sementara Faiz berkata, ulama atau profesional bukanlah menjadi kriteria utama pemilihan dalam muktamar kali ini, sebaliknya pimpinan beraliran pragmatik perlu diangkat mempelopori PAS untuk tempoh dua tahun akan datang.

Faiz yang juga merupakan peguam syarie berkata, ciri pemimpin berkenaan penting dalam memastikan PAS terus relevan dan bergerak maju ke depan.

“Untuk kita bergerak sebagai sebuah parti politik untuk perintah negara ini, kita perlu pilih pemimpin beraliran pragmatik, yang tajdid yang boleh berfikir ke depan bukan sekadar buka kitab dan baca apa yang ada dalam kitab.

“Kalau tuan-tuan sayang pada PAS, sayang pada agama Islam, wajib memilih pemimpin yang tajdid sama ada mereka yang berkelayakan agama atau profesional.

“Kalau pragmatik menang, kita akan tarbiah golongan ekstrim, reform model tarbiah, usrah dan bawa mereka kenal budaya Malaysia.

Kita bukan tinggal di Mongolia, Arab Saudi, nak jadi ekstrem, kita bukan duduk di Syria. Kita tinggal di Malaysia. Kita anti keganasan,” katanya.

Faiz berkata PAS perlu terus bersama PR dan menunjukkan kepada DAP bahawa Islam sebuah agama yang universal dan boleh dikongsi untuk bersama-sama membentuk kerajaan.

Katanya, mereka yang berpandangan jumud dan sempit sahaja akan menganggap kerjasama di antara PAS dan DAP akan menggadai maruah Islam.

“Perlulah kita berdakwah kepada orang bukan Islam tetapi sekarang seolah-olah kita nak benci orang Cina, bila kita nak berdakwah dengan mereka?

“Kalau dilihat Buku Jingga, ia mengiktiraf Islam sebagai agama rasmi. Kalau DAP tolak Islam, dia akan buang.

“Polisi bersama dalam PR memperjuangkan keadilan, membanteras penyelewengan, rasuah dan kita nak bentuk kerajaan yang mengamalkan urus tadbir yang baik. Ini (diajar) dalam Islam,” katanya.

Katanya, bagi memastikan parti Islam itu terus relevan maka keahlian perlu dibuka kepada bukan Islam dan bukan sekadar Dewan Himpunan Penyokong PAS.

“Sebab itu dalam PAS saya memikirkan visi pada masa depan, PAS perlu menjadi (parti) pelbagai kaum dan agama.

"Pemikiran ini bukan baharu. Saya akan meneruskan perjuangan itu. Saya kata bukan sekadar Dewan Himpunan, saya mahu bukan Islam jadi ahli PAS.

“Saya akan lawan siapa-siapa saja yang hijack PAS untuk kepentingan sempit. Saya akan lawan.

“Jangan bimbang dengan suara-suara ekstrem, Isis, Taliban, sebab suara ini akan berlalu. Yang akan memimpin PAS, insya Allah, suara yang melihat masa depan negara dan melihat satu sumbangan untuk meletakkan rahmat sekalian alam sebagai dasar utama yang diperjuangkan parti,”
katanya. -TMI

[VIDEO] Lelaki Cuba Bunuh Diri Terjun Dari Menara Masjid Kampung Baru


Terjun daripada menara masjid untuk bunuh diri

Percubaan seorang lelaki yang dikatakan untuk cuba membunuh diri dengan terjun daripada menara Masjid Kampung Baru tidak kesampaian.

. Dalam kejadian sekitar jam 6.50 petang Jumaat, dia hanya mengalami patah kaki kanan selepas jatuh di atas bumbung bangunan di kawasan berdekatan.

Menurut laporan Harian Metro Online, lelaki terbabit di percayai mempunyai masalah mental, sebelum itu cuba dipujuk orang ramai yang berada berhampiran.

Bagaimanapun percubaan itu gagal.

Sejurus selepas diselamat, dia dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan lanjut.

Bernama pula melaporkan mangsa yang hanya dikenali sebagai Abshah, 23, seorang warga tempatan patah kedua-dua belah kaki dan tangan serta mengalami kesan lebam pada belakang kepalanya. -FMT


Nasib tak mati

Kuala Lumpur: Seorang lelaki yang dipercayai cuba membunuh diri dengan terjun daripada Masjid Kampung Baru, di sini, bernasib baik apabila dia hanya patah kaki kanan.

Dalam kejadian kira-kira 6.50 petang itu, mangsa berusia 23 tahun dilihat memanjat menara masjid Kampung Baru.

Lelaki terbabit di percayai mempunyai masalah mental itu kemudian bertindak terjun dari menara terbabit sebelum jatuh ke atas bumbung di kawasan berdekatan.

Difahamkan orang ramai yang berada di kawasan terbabit cuba memujuk tetapi tidak diendahkan.

Mangsa kemudian di hantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan lanjut.
-HM





[VIDEO] Masa Depan & Harapan PAS & PR Bergantung Kpd Ustaz Ahmad Awang


Ahmad Awang ada kredibiliti satukan ahli Pas

Calon Presiden Pas, Ahmad Awang disifatkan mempunyai kredibiliti untuk menyatupadukan kembali perpecahan dalaman Pas dan PR namun kemampuannya untuk melaksanakan perkara tersebut tidak dapat dijangka lagi.

Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Mohammad Fuad Othman berkata, pengalaman Ahmad kira-kira 17 tahun dalam Persatuan Ulama Malaysia menjadi antara bekalan buat bekas Naib Presiden Pas itu.

“Ahmad Awang ini mempunyai kredibiliti atau ada nama dalam ulama. Dia dulu merupakan pemimpin Persatuan Ulama Malaysia selama 17 tahun. Jadi, dari situ mungkin dia ada kapasiti atau pengaruh untuk menyatukan ketiga-tiga golongan dalam Pas (ulama, profesional dan aktivis) sebab dia dikatakan keluar daripada kelompok yang pro ulama walaupun dia ulama.

“Jadi, mungkin atas dasar itu, dia melihat sebagai orang luar yang boleh menyatupadukan ketiga-tiga golongan itu. Jika melihat kepada pengalamannya dalam Pas sebagai Naib Presiden dan Persatuan Ulama Malaysia ini, mungkin dia ada peranan yang boleh dimainkan di situ,” katanya kepada Sinar Online.

Namun katanya, sejauh mana Ahmad mampu menyatukan kelompok dalam Pas itu akan menjadi satu cabaran yang besar.

“Tetapi sejauh mana dia boleh menyatukan ketiga-tiga kelompok dalam Pas ini, adalah satu cabaran yang besar buat dia. Sebab apabila berlaku pemilihan parti, akan berlaku keretakan, pergeseran dan perpecahan.

“Jadi, sejauh mana dia ada kekuatan dan pengaruh untuk menyatukan kembali Pas selepas bulan depan ini adalah cabaran untuk beliau,” katanya.

Sementara itu penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian berpandangan kenyataan Ahmad yang akan memperkukuhkan parti serta menyatupadukan ahli yang pelbagai latar belakang sekiranya menang jawatan Presiden itu sekadar untuk memenangi hati perwakilan yang tidak sekapal dengan Abdul Hadi.

“Mungkin tujuan beliau menyatakan sedemikian rupa untuk memenangi (hati) kumpulan yang tidak bersetuju dengan Tuan Guru Hadi. Tapi sejauh manakah beliau mempunyai sokongan dalam parti yang membolehkan beliau menang? Itu yang menjadi persoalan.

“Kerana saya rasa, beliau hadir sebagai calon yang mahu menunjukkan rasa tidak puas hati dalam kalangan yang tidak bersetuju dengan Hadi,” katanya.

Sebelum ini, Ahmad dilaporkan berkata penyatuan itu perlu kerana ia merupakan satu tanggungjawab seorang presiden parti.

Pemilihan Pas akan berlangsung minggu depan di Muktamar Pas ke-61 yang bertempat di Kuala Selangor. -SH


Ahmad Awang tidak kisah dituduh proksi DAP

Calon presiden PAS, Ahmad Awang tidak tergugat dengan dakwaan pihak tertentu yang melabelkannya proksi DAP sambil menyifatkan dakwaan berkenaan sebagai strategi pembunuhan karakter yang menghalangnya merebut jawatan nombor satu parti.

Bekas naib presiden PAS itu berkata tiada sebab untuk melabelnya sebagai proksi DAP kerana hubungan yang baik bersama parti dalam Pakatan Rakyat (PR) dapat mengukuhkan kerjasama pakatan pembangkang.

“Saya tidak tergugat dengan dakwaan menjadi proksi DAP.

“Mungkin pengalaman bersama pimpinan DAP dan PKR membentuk kerajaan pakatan di Perak sebelum ini menyebabkan saya dituduh sebagai proksi DAP.

“Ini usaha pihak tertentu membunuh karakter politik tetapi semua orang tahu peranan saya dalam memperkukuhkan parti,” katanya kepada akhbar kawalan kerajaan, Berita Harian.

Ahmad, 79, yang cuba merebut jawatan presiden PAS daripada Datuk Seri Abdul Hadi Awang mendakwa beliau mempunyai peluang cerah berdasarkan sokongan akar umbi yang diterimanya.

Katanya, cabaran kepada Hadi dibuat selepas mendapat sokongan banyak pihak dan ia semakin bertambah selepas borang pencalonan dikemukakan.

“Saya dapat banyak mesej dan panggilan yang menyokong pencalonan dan paling penting, saya sering dijemput turun ke kawasan atas permintaan mereka.

“Ia menunjukkan sokongan akar umbi kepada saya amat menggalakkan walaupun ada pihak cuba menghalang saya hadir ke program berkenaan,” katanya kepada akhbar itu.

Ahmad tampil mencabar Hadi selepas jawatan tertinggi PAS itu tidak pernah ditandingkan sejak 12 tahun lalu.
-TMI