15 Feb 2015

[BERGAMBAR] Cubaan Bakar Kereta Hatta Kerja Orang Tak Bertamaddun

Kenyataan Akhbar



Awalnya saya kurang berminat untuk terlibat dalam isu yang melibatkan Saudara Dr Hatta Ramli. Bagi saya, ia adalah lebih kepada salah faham.

Tetapi di saat kita masih bersedih dengan kehilangan Tok Guru kesayangan kita, kita dikejutkan dengan insiden pembakaran kereta Saudara Dr Hatta Ramli yang berlaku sehari selepas pemergian Tok Guru. Saya berasakan perlu mencatatkan sesuatu.

Saudara Dr Hatta adalah seorang pejuang yang tahan uji yang telah berkorban untuk parti sehingga akhirnya beliau dianugerahkan kepada kami di Kuala Krai sebagai Ahli Parlimen selama dua penggal berturut-turut 2008 & 2013.

Pengundi Kuala Krai memberi undi kepada beliau kerana beliau mewakili Pas walaupun warga Kuala Krai tidak mengenali beliau.

Semenjak beliau di Kuala Krai, tidak pernah pun beliau menyatakan dalam majlis terbuka atau majlis tertutup untuk berkempen supaya Pas Kuala Krai dapat mendokong perjuangan beliau untuk menjatuhkan Tuan Guru Presiden.

Jika dikira perwakilan, Kuala Krai antara yang paling ramai berbanding kawasan-kawasan lain dari Kelantan, sepatutnya Kuala Krai dulu beliau pengaruhi.

Saya juga tidak tahu apa cerita sebenar berkaitan "group Whatsapp Hawaii Five O" yang disebut-sebut sehingga berlaku tindakan yang kurang enak di Pejabat Agung Pas minggu lepas oleh sebahagian anggota jemaah Islam terbesar di Malaysia ini.

Saya tidak menganggap diri saya sebagai ulamak tetapi yang pasti saya adalah pencinta ulamak yang juga berlatarbelakangkan agama sejak dari kecil. Terasa cukup malu dengan insiden tersebut yang dipimpin oleh golongan yang mungkin sama latarbelakang mereka dengan saya.

Acap kali sewaktu berucap khususnya dalam program-program tarbiah saya menekankan bahawa tarbiah bukan hanya menghabiskan teks usrah, tamrin, mukhayyam dan lain-lain lagi, tetapi yang lebih penting pelaksanaan kepada manhaj tarbawi tersebut dalam diri kita sebagai abna'ul harakah khususnya yang melibatkan akhlak apatah lagi sesama kita.

Janganlah kita menjadi pemusnah kepada parti kita dengan sebab akhlak yang kita tunjukkan.

Memetik pujangga Arab :

إنما الأمم الأخلاق ما بقيت وإذا ذهبت أخلاقهم ذهبوا


"Sesuatu ummah itu akan kekal selama mereka berakhlak, apabila tiada lagi akhlak disaat itu mereka akan hancur".

Parti kita ada Jawatankuasa Disiplin yang boleh diajukan sebarang aduan salah laku ahli termasuk juga pimpinan untuk disiasat dan diambil tindakan apabila terbukti bersalah. Adakah ada mana-mana ahli atau Pas Kawasan yang telah mengemukan aduan mereka kepada Jawatankuasa Disiplin Parti? Gunalah saluran sedia ada dengan bukti-bukti yang cukup untuk sama-sama kita bersihkan jemaah kita daripada unsur yang boleh merosakkan.

Disaat kami di Kuala Krai berkalut memulihkan keadaan mangsa yang terlibat banjir supaya dapat dipulihkan sesegera mungkin.

Alangkah manisnya jika sahabat-sahabat semua turut serta bertungkus lumus membantu mengurangkan bebanan yang kami terima ini.

Saudara Dr Hatta sendiri, walaupun gelombang pertama beliau berada di Makkah menunaikan umrah tetapi semenjak gelombang kedua berlaku pada 24 Disember 2014 sehinggalah ke saat ini, beliau antara tonggak yang sangat bekerja keras menyalurkan bantuan termasuk menyediakan tempat tinggal sementara kepada sebahagian besar mangsa yang rumah mereka rosak yang berjumlah lebih 1,600 buah rumah.

Disaat yang sepatutnya semua ahli pas bersama beliau bahu-membahu meringankan bebanan yang berat ini, tiba-tiba beliau dibalas dengan ujian yang seberat itu.

Bagi insiden cubaan membakar kereta beliau pula saya tidak pasti apa motif sebenar? Adakah untuk menakut-nakutkan Saudara Dr Hatta? Atau ada yang mengambil kesempatan menangguk di air keruh?

Saya penuh yakin Saudara Dr Hatta Ramli tidak akan berganjak walaupun diugut sehebat mana sekalipun.

Apa pun motifnya bagi saya tindakan tersebut adalah tindakan yang tidak bertamadun yang boleh merosakkan iklim politik negara kita.

Saya selaku YDP Pas Kuala Krai mendesak pihak berkuasa menyiasat dan mengambil tindakan segera terhadap insiden yang berlaku itu.

Buat Saudara Dr Hatta Ramli, saya yakin beliau tidak mudah mengalah dengan insiden ini, dan saya berharap beliau akan teruskan perjuangan beliau dengan lebih cekal lagi.

Sesungguhnya Allah akan sentiasa bersama orang yang benar dan sabar.

Sekian.

Abdul Latiff Abdul Rahman,
YDP Pas Kuala Krai,
Pondok Sungai Durian.


Kereta Hatta Ramli cuba dibakar pagi tadi

Kereta Pengarah Jabatan Pilihanraya PAS Pusat, Dr Mohd Hatta Ramli dibakar di luar rumahnya dekat Hulu Klang, Kuala Lumpur awal pagi tadi.

Dalam kejadian jam 3.50 pagi itu, sebuah kereta lalu dan individu tidak dikenali cuba membakar kereta itu, namun ia disedari pengawal bertugas yang membunyikan hon motosikalnya.

Anak Dr Hatta yang bernama Khalil dikatakan berjaya memadamkan api itu.

Pihak bomba dan polis tiba di tempat kejadian tidak lama kemudian, bagaimanapun, Dr Hatta tidak dapat dihubungi bagi mengesahkan kejadian itu.

Sahabat rapat Dr Hatta, Dr Dzulkefly Ahmad ketika dihubungi The Malaysian Insider mengesahkan kejadian itu.

"Dr Hatta memaklumkan kepada kami kejadian ini pagi tadi," katanya kepada The Malaysian Insider.

Beliau bagaimanapun yakin kejadian tersebut angkara orang luar dan berniat jahat bagi menimbulkan konflik dalaman PAS ekoran tuduhan yang dibuat ke atas Dr Hatta dalam satu demonstrasi di ibu pejabat parti PAS Ahad lepas.

"Saya yakin bukan ahli PAS terlibat, dan ia dibuat oleh pihak yang cuba mengambil kesempatan dari apa yang berlaku," kata Dzulkefly yang juga AJK PAS Pusat itu.

Ahad lepas, sekumpulan ahli PAS yang dipimpin Ketua Pemuda PAS Kuantan Noorzazilafadli Ibrahim dan disertai Ketua Dewan Ulama PAS Pahang Mokhtar Senik mengadakan demonstrasi di perkarangan pejabat itu.

Mereka mendakwa Dr Hatta mendalangi satu konspirasi menjatuhkan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali menafikan kewujudan konspirasi itu, namun berjanji akan membuat siasatan mengenainya.

Sementara itu, Bernama melaporkan Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Mohd Sani Harul berkata pihaknya menerima panggilan berkenaan kejadian itu pukul 5.12 pagi tadi dan tiba ke lokasi 5 minit kemudian.

"Kejadian berlaku di Persiaran 1, Desa Aras Ampang, Selangor dan melibatkan kereta jenis Toyota Fortuner milik anggota Parlimen parti PAS itu. Kebakaran tersebut berjaya dikawal dan kemusnahan akibat kebakaran kenderaan itu dijangka lima peratus," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan enam anggota bomba dikerahkan ke lokasi kejadian, katanya.

Ketua Polis Daerah Ampang ACP Khairuldin Saad dilaporkan berkata, siasatan awal mendapati kejadian itu dipercayai melibatkan 2 individu yang datang ke lokasi kejadian dengan sebuah kereta, sebelum melarikan diri.

"Polis turut menemui sebatang kayu diselaputi kain dan kesan minyak petrol di tempat kejadian, dipercayai kelengkapan yang digunakan untuk melakukan jenayah itu," katanya dalam kenyataan hari ini.

Semasa kejadian, mangsa bersama lapan lagi anggota keluarganya berada di rumah, kata Khairuldin sambil menambah kes disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat menggunakan api.
_TMI


Mejar Zaidi: Kenapa Aku Pilih PAS...


Bekas mejar Zaidi akan sertai PAS kerana berminat tegakkan Islam

Bekas mejar Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Zaidi Ahmad, yang mula menimbulkan isu mengenai dakwat kekal semasa Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), akan menyertai PAS sebaik memperolehi kad pengenalan baru sebagai rakyat biasa.

Bercakap kepada The Malaysian Insider pada majlis pelancaran buku terbaru kartunis Zunar di Petaling Jaya hari ini, beliau mengakui berminat dengan PAS kerana parti itu menegakkan Islam.

"Saya akan menjadi ahli PAS. Saya sedang menunggu MyKad saya sebagai rakyat biasa," katanya yang ditamatkan perkhidmatan serta-merta pada 12 Januari lalu selepas didapati bersalah atas dua dakwaan yang dikenakan terhadapnya oleh Mahkamah Tentera.

"Saya lebih (cenderung) kepada Islam, sebab itu saya pilih Parti Islam Se-Malaysia (PAS). Saya mahu menyumbang dengan cara ini," katanya merujuk kepada nama penuh parti pembangkang yang merupakan sebahagian Pakatan Rakyat (PR) itu.

Zaidi dipecat dari TUDM kerana melanggar dua perintah tetap iaitu tidak bercakap dengan media sebelum mendapat kebenaran Menteri Pertahanan dan kerana berkongsi maklumat sulit tentang perintah tetap dengan media tanpa kebenaran Majlis Angkatan Tentera mengikut Seksyen 50 Akta Angkatan Tentera 1972.

Beliau didapati bersalah melanggar protokol dengan membuat pengumuman terbuka mengenai dakwat kekal yang digunakan semasa PRU13 tetapi boleh dibasuh dengan mudah, menimbulkan persoalan mengenai integriti PRU.

Selepas dibebaskan, Zaidi menyuarakan hasratnya memberi ceramah dan meningkatkan kesedaran politik di kalangan orang ramai.

Hari ini beliau menyatakan harapan memainkan peranan menyatukan PR yang ketika ini dilihat seperti berada di ambang perpecahan kerana beberapa isu dan konflik dalaman sesama tiga ahlinya – PAS, PKR dan DAP.

"Saya ni 'middle ground' (pertengahan)... Saya bukan ustaz, insyaAllah saya cuba main peranan untuk satukan PR untuk menghadapi PRU14.

"Cabaran itu memang besar, terutamanya dengan ketiadaan (Datuk Seri) Anwar (Ibrahim), kita terpaksa menghadapinya, harap-harap pemimpin baru akan muncul," katanya.

Katanya, rakyat memerhatikan tindakan Putrajaya dan dasarnya, dan ini akan menentukan bagaimana mereka akan mengundi dalam PRU berikutnya.

"Apa saja yang mereka lakukan diawasi rakyat. Rakyat tahu siapa benar, siapa salah.

"Apa saja yang kerajaan mahu lakukan, biarkan mereka lakukan. Di pihak kami, kami akan terus berjuang. Kita mohon pertolongan Allah. InsyaAllah, pada PRU14, akan ada perubahan."

Zaidi juga mengulas mengenai pemergian Mursyidul Am PAS Datuk Seri Nik Abdul Aziz Nik Mat, menyifatkannya satu kehilangan besar.

Beliau yang sepatutnya melancarkan buku Zunar bertajuk "ROS in Kangkongland" yang menampilkan kartun isteri perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor itu berkata, kartunis satira itu tidak sepatutnya dihukum kerana hasil karyanya.

Sejumlah 200 naskhah buku itu dirampas polis ketika ia sedang dalam perjalanan di bawa ke lokasi majlis pelancaran.

"Zunar seorang yang unik, kerana beliau berjuang melalui kartun. Secara tidak langsung beliau membantu perjuangan kami menegakkan keadilan," katanya. -TMI