21 Nov 2014

Kartunis Zunar Mahu Saman Syarikat Money Online (MOL)


Kartunis politik, Zunar bercadang memfailkan saman terhadap syarikat pembayaran dalam talian, MoneyOnline (MOL) kerana mendedahkan butiran pembeli buku kartunnya yang dijual melalui laman web beliau, www.zunar.my.

MOL atau nama penuhnya, Money Online merupakan salah satu syarikat teknologi popular di Malaysia, yang menawarkan platform pembayaran internet.

Menurut Zunar, syarikat berkenaan telah memberi butiran pembeli kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman apabila disuruh berbuat demikian melalui surat, dan perkara tersebut dilakukan tanpa pengetahuannya.

Beliau diberitahu perkara itu melalui email yang diterima pengendali laman webnya pada Isnin lalu yang menyatakan MOL telah menyerahkan segala resit bayaran melalui talian kepada polis sehinggakan mereka dapat menyelongkar setiap butiran tersebut.

“Tak boleh buat macam ini, ini tindakan untuk menakut-nakutkan pembeli buku kartun saya,” ujarnya di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi hari ini ketika hadir memberi keterangan kepada polis.

Tambah Zunar ia merupakan pengkhianatan syarikat tersebut terhadapnya, sedangkan beliau menjalankan aktiviti perniagaan yang sah.

Malah katanya, buku yang diharamkan sebelum ini juga telah ditarik balik pengharamannya oleh Mahkamah Rayuan.

“Ini pengkhianatan terhadap saya, saya akan mempertimbangkan perkara ini sekiranya ia menganggu perniagaan yang saya jalankan ini, apa-apa pun saya tidak akan berhenti melukis, perjuangan saya baru bermula,” jelasnya.

Pada 9 Oktober lalu, Mahkamah Rayuan menolak pengharaman buku kartun 1Funny Malaysia dan Perak Darul Kartun karya kartunis politik Zunar. Panel tiga hakim yang membuat keputusan itu berpendapat, buku kartun itu tidak mengandungi sebarang ancaman yang boleh menggugat keharmonian. -KD




[GAMBAR & VIDEO] Banjir Terengganu Bertambah Buruk, Seorang Lagi Maut


Banjir di Terengganu bertambah buruk malam ini apabila 4,813 orang dipindahkan berbanding 3,863 orang petang semalam.

Pemangku Setiausaha Majlis Keselamatan Negara (MKN) Terengganu Roslina Ngah dalam kenyataanya berkata sehingga 9 malam tadi, dua lagi pusat pemindahan banjir dibuka masing-masing di daerah Setiu dan Besut menjadikan jumlah keseluruhan pusat pemindahan yang dibuka kini ialah 38 buah.

"Di daerah Setiu, pusat pemindahan yang baru dibuka ialah Balai Raya Kampung Jelapang yang menempatkan 16 mangsa dari lima keluarga.

"Di Besut pula, pusat pemindahan yang baru dibuka ialah Surau Kampung Pengkalan Kubur yang melibatkan 43 mangsa dari 14 keluarga," katanya.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat banjir di negeri ini dengan menghubungi bilik gerakan bencana negeri di talian 09-6316021 atau melayari laman web etindakan.terengganu.gov.my.

Sementara itu di Kelantan, jumlah mangsa banjir di tiga pusat pemindahan di Kota Bharu dan Pasir Puteh meningkat kepada 130 orang malam ini berbanding 49 orang petang tadi.

Menurut portal rasmi kerajaan negeri, seramai 77 orang ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Mulong dan 28 orang ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Tiong di daerah ini, manakala 25 orang ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Wakaf Raja, Pasir Puteh.

Sementara itu, paras air Sungai Golok di Rantau Panjang, Pasir Mas mencatatkan bacaan 9.11 meter yang melepasi paras bahaya 9 meter.

Sungai-sungai lain masih belum mencecah paras amaran dan tiada jalan utamaditutup berikutan banjir.

Ketua Polis Kelantan Datuk Mazlan Lazim, ketika melawat pusat pemindahan banjir di Sekolah Kebangsaan Tiong di sini, menasihatkan mereka yang terlibat dengan banjir supaya tidak meninggalkan barang berharga di dalam rumah bagi mengelak kejadian pecah rumah.

Beliau menasihatkan penduduk supaya mematuhi arahan yang dikeluarkan pihak berkuasa dan berpindah segera bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.

Turut sama dalam lawatan itu ialah Ketua Polis Daerah Kota Baharu ACP Rohaimi Md Isa dan Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Negeri Supt Azli Mohd Noor. - Bernama


Lemas dalam kereta


Permaisuri: Banjir di Terengganu meragut nyawa kedua apabila seorang lelaki maut selepas kereta Perodua Myvi dipandunya terbabas sebelum terperangkap dalam parit yang dipenuhi air dalam kejadian di Kilometer 82.4 Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu (Kampung Bintang), di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian jam 5.50 pagi itu, mangsa, Shamsul Mohd, 28, dari Kampung Putrajaya, Bandar Permaisuri, di sini meninggal dunia di tempat kejadian akibat lemas.

Ketua Polis Daerah Setiu Deputi Superintendan Ab Rahman Raja Mohamed berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila kenderaan dipandu mangsa dari arah Kuala Terengganu menghala ke Kota Bharu dikatakan hilang kawalan sebelum terbabas lalu merempuh tiang elektrik di bahu jalan.

Beliau berkata, kemalangan itu menyebabkan kereta mangsa terhumban ke dalam parit yang dipenuhi air.

"Mangsa terperangkap di dalam keretanya dan dipercayai lemas sebelum berjaya dikeluarkan dengan bantuan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Setiu.

"Mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Setiu untuk bedah siasat," katanya.

Menurutnya ini adalah mangsa kedua di Terengganu selepas seorang pelajar tingkatan satu ditemui lemas dalam telaga di belakang rumah datuknya di Kampung Jelapang, di sini, petang semalam.
-HM



UMT, UniSZA Isytihar cuti


KUALA TERENGGANU: Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) mengisytiharkan cuti bencana hari ini berikutan pusat pengajian tinggi itu dilanda banjir.

UMT mengumumkan hari ini sebagai cuti sehingga satu tarikh yang akan dimaklumkan kemudian manakala UniSZA mengumumkan semalam dan hari ini sebagai cuti darurat.

Perkara itu dimaklumkan oleh Naib Canselor UMT, Prof Emeritus Datuk Dr Ibrahim Komoo dan Naib Canselor UniSZA, Prof Datuk Dr Yahya Ibrahim.

Kawasan kedua-dua universiti berkenaan dinaiki air sehingga kira-kira 0.4 meter.

Prof Dr Ibrahim yang mengumumkan cuti berkenaan kira-kira jam 8.30 pagi ini berkata, hujan lebat berterusan menyebabkan banjir di kawasan rendah seperti di pintu masuk UMT dan beberapa bahagian sepanjang jalan.

“Kita tidak dapat memasuki kampus dan saya mencadangkan kita ‘cuti peristiwa’ pada pagi ini hingga diberitahu kelak.

“Dalam pada itu, saya turut menasihatkan warga UMT supaya duduk di rumah (jika masih selamat), menguruskan keselamatan keluarga dan harta benda dengan sebaik mungkin,” katanya.

UMT mempunyai seramai 8,383 pelajar dan 1,500 kakitangan.
-BH







Banjir Landa Terengganu, Ada Video Pengajaran Untuk Kita


Video ini harus memberi pengajaran kepada kita dan juga kepada pihak yang berwajib agar sama-sama menjaga keselamatan diri.

Ada kalanya nyawa menjadi taruhan apabila kita memandu atau membonceng didalam air yang dalam. Apa pun bukan mudah kepada mereka yang perlu untuk meneruskannya.

Diharapkan pada musim banjir ini semua orang perlu berhati-hati. -kulihatlangitbiru



Korban banjir pertama di Terengganu


KUALA TERENGGANU – Seorang pelajar Tingkatan Satu menjadi korban pertama banjir di Terengganu selepas terjatuh ke dalam telaga di Kampung Jelapang di Setiu kira-kira pukul 4 petang semalam.

Mangsa, Norsyakirah Izati Nazliza, 13, ditemui lemas di dalam sebuah telaga di belakang rumah datuknya dan tidak menyedari terdapat telaga lama kerana kawasan itu digenangi air banjir sehingga paras lutut.

Dalam pada itu, jumlah mangsa banjir di negeri ini terus meningkat kepada 2,543 berbanding 141 orang petang kelmarin.

Sebanyak 16 pusat pemindahan telah dibuka di Kuala Terengganu, Marang, Besut dan Setiu.

Majlis Keselamatan Negara melalui laman webnya memaklumkan, daerah Kuala Terengganu mencatatkan jumlah mang­sa tertinggi dengan 1,704 mangsa daripada 435 keluarga.

Ia melibatkan sebanyak 11 pusat pemindahan iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Kompleks Gong Badak, SK Gong Tok Nasek, SK Bukit Petiti, SK Chendering, SK Tok Jiring, SK Tok Jembal, SK Tanjung Gelam, SK Bukit Nenas, SK Teluk Ketapang, SK Atas Tol dan Dewan Sivik Gong Badak.
-kosmo



2 universiti teruk dilanda banjir di Terengganu


Dua buah universiti di Terengganu terjejas teruk akibat banjir yang mula melanda negeri Terengganu ekoran hujan lebat sejak semalam.

Kampus Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza) dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) yang terletak di Gong Badak, Kuala Terengganu dipenuhi air.

Sehingga jam 12 tengahari tadi, seramai 2,623 sudah dipindahkan akibat banjir dengan daerah Kuala Terengganu paling ramai dipindahkan.

Sehingga kini, pusat perpindahan yang terletak di SK Kompleks Gong Badak paling ramai menerima mangsa banjir iaitu 1,135 diikuti Sekolah Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Payong (601) dan Sekolah Tok Jiring (149).

Ekoran banjir juga, beberapa pencawang elektrik dipercayai terjejas yang mengakibatkan orang ramai terpaksa bergelap terutama di kawasan dilanda banjir teruk.

Sementara itu, orang ramai mula membuat gurauan dengan apa yang berlaku di Terengganu.

"Masa Datuk Seri Idris Jusoh jadi MB, kawasan paling teruk kena banjir adalah Besut, semasa Ahmad Said jadi MB, kawasan teruk adalah Kemaman iaitu tahun lepas.

"Sekarang apabila orang Kuala Terengganu jadi MB iaitu Datuk Razif, kawasan Kuala Terengganu pula diteruk kena banjir," kata seorang pemerhati politik dari Terengganu.

Tahun lepas adalah antara banjir paling teruk melanda Terengganu apabila seluruh kawasan Kemaman seolah-olah terputus hubungan sama sekali.

Tambah teruk lagi apabila ia berlaku ketika pemimpin Umno berada di Kuala Lumpur menyertai Perhimpunan Agung Umno 2013.

Ia menyebabkan hanya pemimpin PAS kelihatan membantu mangsa banjir khasnya melalui Unit Amal.
-TMI