23 Sep 2014

[VIDEO] Exco Selangor Angkat Sumpah Jumaat Ini, Tiada Jawatan TMB - Azmin

Menteri besar Selangor yang baru, Azmin Ali menjangkakan bahawa barisan ahli Exco baru Selangor akan mengangkat sumpah seawal Jumaat ini.

ADUN Bukit Antarabangsa itu berkata beliau akan mengadakan pertemuan terlebih dahulu dengan wakil Pakatan Rakyat petang ini bagi membincangkan hal itu.

Katanya, butiran dari pertemuan tersebut dijangka akan dapat diselesaikan pada hari Khamis.

"Kita akan mengadakan perbincangan pada petang ini untuk melihat komposisi exco Pakatan Rakyat dan tuanku menitahkan supaya perkara ini dapat diselesaikan segera dan insya-Allah pada hari Jumaat akan ada istiadat angkat sumpah Exco yang baru dari Selangor," kata.

Beliau bercakap kepada pemberita dalam sidang media pertamanya selepas mengangkat sumpah sebagai menteri besar di Istana Alam Shah, Klang hari ini.

Azmin juga berkata, nasib empat Exco PAS yang kekal dalam kerajaan Pakatan Rakyat sebelum pelantikannya semalam akan ditentukan dalam perbincangan petang ini.

MP Gombak itu juga berkata, beliau akan menyemak semula keputusan mesyuarat Exco terakhir semalam yang menutup pejabat penasihat ekonomi Selangor semalam dan memecat Datuk Seri Anwar Ibrahim dari jawatan itu.

Sementara itu Azmin menafikan khabar angin mengatakan jawatan baharu timbalan menteri besar Selangor akan diwujudkan seperti dilaporkan media semalam.

Beliau berkata, isu mengenai jawatan tersebut tidak timbul walaupun khabar angin sebelum ini tersebar Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Champaka Iskandar Samad akan dilantik menjawat jawatan itu.

"Tidak timbul jawatan timbalan menteri besar," kata Azmin.

Semalam portal The Star melaporkan Iskandar yang juga pesuruhjaya PAS Selangor akan dilantik menjadi timbalan menteri besar Selangor.




ULASAN GB

Kuasa perlantikan exco adalah hak prerogatif Menteri Besar Selangor sekalipun dari aspek mesyuwarah, setiap parti boleh mencadangkan calonnya.

Samada barisan exco lama itu kekal atau akan dilantik muka baru, jawapannya di tangan YAB MBnya. Gaji anggota exco kerajaan negeri telah dinaikkan di zaman TSKI daripada RM6,109.29 kepada RM20,250.

Tidak kira siapa pun yang bakal dilantik sebagai exco, kita berharap mereka akan menjalankan amanah dan bekerja bersungguh-sungguh untuk rakyat negeri Selangor.







IKLAN BERBAYAR

Jangan Biarkan Pasangan Anda Menderita,
Atasi Masalah Prostat & Kelemahan Zakar Dengan MEN CAPSULE.
KLIK SINI
LIKE kami di SINI





[GAMBAR & VIDEO] Azmin Angkat Sumpah Sebagai MB Selangor Ke 15



Azmin Kini MB Selangor Ke-15

KLANG: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Antarabangsa, Mohamed Azmin Ali pada Selasa mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Selangor ke-15 di Istana Alam Shah, di sini.

Azmin yang juga Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengangkat sumpah jawatan dan menandatangani aku janji di hadapan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pada pukul 10.40 pagi.

Memakai baju Melayu hitam lengkap bersongket emas, Azmin tiba di Istana Alam Shah pada pukul 8.30 pagi bersama isteri, Shamsidar Taharin.

Pada majlis berkenaan, Ahli Parlimen Gombak yang kelihatan tenang itu menerima watikah pelantikan daripada Sultan Sharafuddin.

Azmin, 50 mendapat perkenan Sultan Selangor untuk menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang meletak jawatan selepas berhadapan masalah dalaman PKR hingga dipecat.

Pelantikan Azmin sekali gus menamatkan kemelut politik bagi perebutan kuasa dalam Pakatan Rakyat untuk mengisi kerusi tersebut.

Istana perjelas sebab Azmin dipilih MB baru S'gor


Istana Selangor menjelaskan bahawa kelewatan pelantikan menteri besar Selangor adalah disebabkan pergolakan dalaman PKR dan ketidaksefahaman parti dalam Pakatan Rakyat dalam pencalonan menteri besar.

Dalam satu kenyataan hari ini, Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Munir Bani berkata, keengganan DAP dan PKR mematuhi arahan Istana pada 27 Ogos untuk mencalonkan lebih dua nama, menyulitkan lagi tindakan Sultan sehingga terpaksa meneliti calon lain dalam parti itu yang tidak dicalonkan.

Menurutnya, Azmin dipilih kerana Sultan mempertimbangkan konsensus Pakatan Rakyat mengenai kerusi menteri besar di Selangor dan percaya beliau pilihan terbaik untuk mendapat sokongan semua parti.

"Baginda mengambil maklum bahawa kerajaan negeri Selangor dibentuk melalui kesepakatan tiga komponen parti PAS, PKR dan DAP.

"Baginda juga mengambil maklum kesefahaman di antara tiga parti tersebut bahawa menteri besar Selangor perlu dilantik di kalangan ADUN PKR untuk mendapatkan kepercayaan majoriti dan sokongan dari parti-parti Pakatan Rakyat di Dewan Negeri Selangor," katanya.

Kenyataan tersebut juga menyatakan Azmin, yang dilahirkan di Singapura telah bermastautin dan dibesarkan di Hulu Kelang, Gombak sejak tahun 1968.

Azmin mendapat surat lantikan dari Istana semalam untuk menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, menyelesaikan tanda tanya siapa bakal menerajui negeri terkaya di Malaysia ini.

PKR dan DAP semalam turut sebulat suara menyokong Azmin memberikan sokongan majoriti kepada beliau.

Kedua parti itu sebelum ini hanya menghantar satu nama iaitu presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sehingga ditegur oleh Istana yang mahukan lebih dari dua nama dari setiap parti.

PAS pula telah menyatakan akan mengikut pilihan dari Sultan Selangor.

Bagaimanapun Munir tidak memberikan sebab mengapa Wan Azizah ditolak.

Beliau dalam kenyataan sama turut menyanggah kenyataan yang mendakwa Sultan Sharafuddin Idris Syah telah mencampuri pentadbiran kerajaan negeri termasuk pelantikan menteri besar Selangor.

"Untuk makluman umum, ingin dijelaskan sekali lagi bahawa Sultan Selangor tidak pernah mencampuri urusan pentadbiran kerajaan negeri selain dari menasihati Datuk Menteri Besar Selangor.

"Di dalam urusan pelantikan menteri besar, Sultan Selangor hanya bertindak menurut budi bicara baginda sebagaimana yang diperuntukkan di dalam Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959," kata beliau.
-mk













IKLAN BERBAYAR

Jangan Biarkan Pasangan Anda Menderita,
Atasi Masalah Prostat & Kelemahan Zakar Dengan MEN CAPSULE.
KLIK SINI
LIKE kami di SINI





Mengapa Azmin Terpilih Sebagai MB Selangor Akhirnya Terjawab...

Azmin, ‘seteru politik’ Khalid, kini MB Selangor

Mohamed Azmin Ali, yang mengisi jawatan menteri besar Selangor ke-15 hari ini adalah ahli politik yang paling lantang mengkritik pentadbiran Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang dianggapnya lemah dan tidak cekap.

Kritikan Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Antarabangsa itu sehingga sampai ke tahap beliau mendesak supaya Khalid dipecat daripada jawatannya.

Azmin, 50, juga merupakan antara pemimpin Pakatan Rakyat (PR) yang membantah keras pelantikan semula Khalid sebagai menteri besar selepas gabungan longgar parti PAS, DAP dan PKR itu berjaya mengekalkan kuasa di Selangor pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 tahun lepas.

Kedua-dua pemimpin itu dilihat tidak sehaluan dalam banyak perkara terutama yang membabitkan pentadbiran negeri serta parti dan perseteruan antara mereka mencetuskan pergolakan dalam kepimpinan PKR serta penyokong masing-masing.

Krisis antara Azmin dan Khalid memuncak apabila Azmin digugurkan daripada senarai ahli lembaga Pengarah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) pada 4 Disember tahun lepas, yang menurut beliau merupakan perancangan kem Khalid untuk mengurangkan pengaruhnya.

Permusuhan itu berlanjutan apabila Khalid memutuskan untuk menentang Azmin dalam pemilihan timbalan presiden PKR tetapi persaingan itu berakhir apabila Khalid dipecat daripada parti pada 9 Ogos lepas.

Pagi ini, Azmin secara rasminya menggantikan Khalid, menteri besar Selangor sejak 2008.

Kini tiba masanya Azmin untuk membuktikan kritikannya selama ini ke atas Khalid adalah berasas dan perlu mempamerkan kepimpinan yang lebih baik.

Dilahirkan pada 25 Ogos 1964, anak kelahiran Singapura itu mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Jalan Gurney (2) Kuala Lumpur, Sekolah Tinggi Setapak, Kuala Lumpur dan Institut Teknikal di Jalan Cheras, Kuala Lumpur.

Pada 1982, Azmin melanjutkan pengajian dalam Ijazah Sarjana Muda Sains (Matematik dan Ekonomi) di Kolej Sains dan Kejuruteraan, Amerika Syarikat.

Beliau kemudian meneruskan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana dalam Matematik dan Ekonomi di University of Minnesota dan Sarjana Pendidikan (Matematik dan Ekonomi di Kolej Pendidikan dan Perkhidmatan Profesion Manusia, Amerika Syarikat.


Penglibatan awal Azmin dalam politik bermula sekitar 1987 apabila perdana menteri ketika itu Tun Dr Mahathir Mohamad membuka peluang kepada beliau untuk membantu timbalan perdana menteri ketika itu Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga menteri pelajaran.

Beliau yang sebelum itu bertugas sebagai pegawai khas di Kementerian Pelajaran dilantik sebagai setiausaha peribadi kepada Anwar pada 1 Oktober 1987 sehingga 1998.

Kesetiaan Azmin kepada Anwar tidak berbelah-bahagi apabila beliau memilih untuk terus bersama ketuanya itu apabila Dr Mahathir memecat Anwar daripada jawatan timbalan perdana menteri pada 2 September 1998 berikutan tuduhan liwat dan rasuah.

Insiden pemecatan Anwar juga merupakan permulaan kepada kekeruhan hubungan Azmin dengan Dr Mahathir yang dianggap sebagai bapanya sendiri, malah Azmin merupakan antara yang paling lantang mengkritik bekas perdana menteri itu.


Azmin merupakan antara pengasas Parti Keadilan (ketika itu) yang ditubuhkan pada 1999 bertujuan mencari keadilan untuk Anwar.

Pada 2010 beliau menjadi timbalan presiden PKR bagi penggal 2010/2013 dan mengekalkan jawatan itu untuk penggal 2014/2017.

Pada PRU ke-10 pada 1999, Azmin yang mewakili Parti Keadilan memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Kelang, menewaskan calon Barisan Nasional (BN)-Umno Datuk Fuad Hassan dengan majoriti 1,146 undi.

Pada PRU12, 2008, beliau memenangi kerusi Parlimen Gombak apabila menewaskan calon BN-Umno Said Anuar Said Ahmad dengan majoriti 6,867 undi dan memenangi kerusi DUN Bukit Antarabangsa apabila menewaskan calon BN-Umno Haslinda Mohd Zerain dengan majoriti 1,381 undi.

Azmin seterusnya mengekalkan kerusi Parlimen Gombak dan DUN Bukit Antarabangsa untuk penggal kedua berturut-turut pada PRU13.

Sepanjang penglibatannya dalam politik, beliau tidak pernah lepas daripada kontroversi, antaranya beliau pernah ditahan selama 7 hari berhubung siasatan mengenai harta pendapatan di antara 1992-1995.

Azmin juga menghadapi beberapa pertuduhan di mahkamah, antaranya pada 2001 apabila beliau dan Ketua Pemuda Keadilan ketika itu Ezam Mohamed Noor didakwa di Mahkamah Majistret kerana mengambil bahagian dalam perhimpunan haram ketika pilihan raya kecil DUN Lunas, Kedah dan pada 2012 beliau dan Anwar didakwa di Mahkamah Sesyen atas tuduhan menyertai protes jalanan yang menimbulkan kekecohan di ibu negara. – Bernama

ULASAN GB

Dengan perlantikan Azmin Ali, selesailah sudah episod apa yang dkenali sebagai "krisis perlantikan MB Selangor" dan berakhirlah kepimpinan TS Khalid Ibrahim sebagai MB Selangor.

Latarbelakang pendidikan Azmin bertaraf "profesyenal" (Sarjana Pendidikan (Matematik dan Ekonomi) melayakkannya untuk memegang jawatan tertinggi di negeri terkaya di Malaysia itu.

Sementara pengalaman luasnya di bidang politik terutama di dalam penubuhan PKR sendiri dan kielantangan dan kosistensinya di dalam menentang kebejatan UMNO BN akan memperkukuhkan kerajaan P{akatan Rakyat di Selangor.

GB pernah menyatakan sebelum ini, bekas MB TS khalid Ibrahim pula berjaya sebagai seorang ahli korporat tetapi bukan seorang ahli politik. UMNO membaca ini dan memperalatkannya. Perjanjian air yang tergesa-gesa di tandatangani sewaktu "hayat" TSKI masih memegang jawatan MB di saat-saat akhir mengesahkannya.

Apa yang GB ramalkan sebelum ini nampaknya menjadi kenyataan. Setahun yang lalu, GB ada mengulas mengenai pengumuman kenaikan gaji oleh TS Kahlid, Petikan:

Bukan GB menentang kenaikan gaji itu, tetapi kenaikan itu biarlah berpada-pada. Separuh dari kenaikan tersebut sepatutnya disalurkan kepada rakyat di dalam bentuk peruntukan YB.

Seperkara lagi, Selangor tidak perlulah mendabik dada kerana menjadi negeri terkaya dan rezab terbanyak dengan meningkatkan gaji begitu tinggi, kerana langkah tersebut amat menyusahkan Pakatan Rakyat di tempat lain untuk mempertahankannya. Di saat kita menentang pembaziran dan belanja besar kerajaan UMNO BN di peringkat pusat dan negeri, tiba-tiba Selangor pula tidak dapat menjadi contoh yang baik di dalam apa yang kita sebutkan "belanja berhemah".

Jawapan Tan Sri Khalid: "Jadi kalau ada yang tidak bersetuju, boleh dermakan kepada sesiapa," terhadap saranan YB Azmin Ali supaya ditangguhkan dahulu kenaikan gaji itu agak dikesalkan. Nadanya kedengaran angkuh dan sombong.

Beringatlah, berapa banyak pemimpin dan kerajaan yang akhirnya tumbang dan musnah kerana keangkuhan dan kesombongannya. Itu hukum kebenaran dan keadilan!

Itu kemelut di dalam PKR yang telah berjaya ditenangkan.


p/s Di dalam parti GB pula pula? Ada pemimpin yang angkuh dan sombong yang nampaknya hendak menerima nasib yang sama... (dia) melontarkan cabaran kepada mereka yang tidak bersetuju dengan pendekatan beliau agar meninggalkan parti... Dia ingat PAS parti hanya untuk kumpulannya sahaja...

Kita tunggu dan lihat hukum kebenaran dan keadilan akan mengambil tempatnya.










IKLAN BERBAYAR

Jangan Biarkan Pasangan Anda Menderita,
Atasi Masalah Prostat & Kelemahan Zakar Dengan MEN CAPSULE.
KLIK SINI
LIKE kami di SINI





PKR Restu Azmin Sebagai YAB Menteri Besar Selangor Yang Baru -VIDEO


Parti keadilan Rakyat sebulat suara merestui Timbalan Presidennya, Azmin Ali sebagai Menteri besar Selangor yang baru menggantikan tan Sri Khalid Ibrahim.

Azmin juga telah mengesahkan menerima surat daripada Setiausaha sulit Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah untuk ditabalkan sebagai Menteri Besar Selangor yang baru esok.

Menurut Azmin, beliau akan memulakan tugas berkuatkuasa 23 September 2014 dan akan menghadiri majlis angkat sumpah pada pagi esok di Istana Alam Shah, Klang.

Tambahnya lagi, PKR sebulat suara mencalonkan beliau sebagai calon MB.

“Kita juga telah mengadakan mesyuarat tergempar iaitu mesyuarat biro politik parti jam 5 petang dan pertemuan semua ADUN Pakatan Rakyat (PR) jam 6 petang dan mesyuarat pimpinan pusat jam 6.30 petang.

“Saya berterima kasih kepada Presiden parti, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan kepada semua rakan pimpinan kerana menerima saya.

Azmin kemudiannya memberitahu pemberita bahawa pelantikannya sebagai menteri besar Selangor mendapat restu sebulat suara parti.

Ini sekaligus melabuhkan tabir krisis pelantikan menteri besar Selangor.


Azmin telah mengadakan pertemuan dengan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail di ibu pejabat PKR.

Anwar dan Wan Azizah beredar meninggalkan ibu pejabat PKR pada kira-kira jam 7.30 malam ini tetapi Azmin masih berada di situ dan dijangka mengeluarkan kenyataan penuh pada jam 8 malam.

Ketiga-tiga mereka tersenyum ketika mereka keluar dari bilik mesyuarat.

Sementara itu, PAS mengucapkan tahniah kepada Azmin Ali ekoran pelantikannya sebagai menteri besar Selangor yang baru.

Menulis dalam twitter, Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali berkata semoga Pakatan Rakyat terus utuh.


KENYATAAN MEDIA
Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail
Presiden KEADILAN

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam reformasi

Saya menerima dengan hati yang terbuka keputusan yang telah dibuat oleh Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Selangor yang memperkenankan YB Tuan Mohamed Azmin Ali, Timbalan Presiden KEADILAN sebagai Menteri Besar Selangor yang baru.

Saya mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada 29 ahli Dewan Negeri Selangor dari KEADILAN, DAP dan PAS yang telah memberikan sokongan kepada saya sejak 14 Ogos 2014 dan membolehkan Pakatan Rakyat kekal sebagai kerajaan di Selangor. Saya menghargai kesepakatan 29 ahli Dewan Negeri Selangor ini yang meletakkan kepentingan menjaga mandat rakyat mengatasi kepentingan peribadi mereka.

Atas semangat itu, saya telah membuat keputusan untuk menarik diri dari pencalonan sebagai Menteri Besar Selangor. Saya telah mencadangkan kepada Majlis Pimpinan Pusat (MPP) agar YB Tuan Mohamed Azmin Ali, Ahli Dewan Negeri Kawasan Bukit Antarabangsa diangkat sebagai calon Menteri Besar Selangor. Majlis Pimpinan Pusat (MPP) yang bermesyuarat pada hari ini telah juga sebulat suara bersetuju dengan cadangan itu.

Saya mengambil keputusan ini demi kepentingan rakyat atas kesedaran bahawa krisis ini perlu diselesaikan secepat mungkin. Saya yakin bahawa KEADILAN telah kekal mempertahankan prinsip demokrasi raja berpelembagaan. Walaupun proses perlantikan ini pada hemat saya tidak menepati peruntukan Undang-undang Tubuh Negeri Selangor, saya percaya tumpuan perlu dikembalikan kepada usaha membela rakyat di Selangor.

Oleh itu, saya telah menyatakan pandangan saya kepada pimpinan parti mengenai beberapa program khusus yang perlu dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri untuk mengangkat martabat dan kebajikan rakyat Selangor.

DR WAN AZIZAH WAN ISMAIL
Presiden KEADILAN
22 September 2014
-



Kenyataan media oleh Setiausaha Agung DAP
merangkap Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng

Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP (CEC) dalam mesyuarat tergemparnya pada 22 September 2014 telah memutuskan untuk menyokong kenyataan yang dibuat oleh Presiden Parti Keadilan Rakyat Dato' Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail untuk menarik diri daripada jawatan Menteri Besar Selangor berikutan titah diraja oleh DYMM Sultan Selangor untuk melantik Timbalan Presiden PKR YB Mohamed Azmin Ali sebagai Menteri Besar Selangor yang baru.

CEC turut memutuskan untuk menyokong cadangan Dato' Seri Dr Wan Azizah kepada pimpinan PKR untuk mengesyorkan YB Mohamed Azmin sebagai Menteri Besar Selangor yang baru, selari dengan pendirian CEC yang jelas dan konsisten bahawa calon Menteri Besar Selangor mestilah daripada PKR.

Memandangkan Dato' Seri Dr Wan Azizah memiliki sokongan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri Selangor sebanyak 30 daripada 56 ADUN, keputusan beliau untuk menyokong YB Azmin Ali adalah juga konsisten dengan pendirian DAP yang tegas dan berprinsip bahawa Menteri Besar Selangor (YB Azmin Ali) seharusnya memiliki sokongan majoriti DUN Selangor.

Atas sebab-sebab ini, CEC memutuskan untuk mengarahkan kesemua 15 ADUN DAP untuk menyokong YB Azmin Ali sebagai Menteri Besar Selangor yang baru.

DAP berasa kesal dengan pengkhianatan 4 orang Ahli Exco Selangor dari PAS terhadap prinsip solidariti dan demokrasi serta kegagalan untuk setia bersama enam lagi Exco DAP dan PKR yang dipecat secara tidak adil oleh bekas Menteri Besar yang telah kehilangan sokongan majoriti DUN Selangor.

DAP berharap penyelesaian krisis politik Selangor dan pelantikan YB Azmin Ali sebagai Menteri Besar Selangor yang baru akan dapat menepati janji bagi membina Selangor yang lebih baik, yang mampu memberikan keadilan, kebebasan dan kemakmuran ekonomi kepada semua.

Lim Guan Eng
-













IKLAN BERBAYAR

Jangan Biarkan Pasangan Anda Menderita,
Atasi Masalah Prostat & Kelemahan Zakar Dengan MEN CAPSULE.
KLIK SINI
LIKE kami di SINI