10 Jan 2014

BERSIH 3.0: Hakim Dapati Pertuduhan Ke Atas Anwar, Azmin & Chegubard Tidak Berasas

Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini memerintahkan supaya Datuk Seri Anwar Ibrahim, Azmin Ali dan Badrul Hisham Shahrin dan tiga yang lain dilepas tanpa dibebaskan daripada tuduhan mengambil bahagian dalam perhimpunan BERSIH 3.0., demikian malaysiakini melaporkan.

Hakim Ahmad Bache membuat keputusan itu ketika membenarkan permohonan peguam mereka untuk menggunakan penghakiman Mahkamah Rayuan minggu lalu bahawa perintah majistret melarang perhimpunan tersebut adalah tidak sah.

Oleh itu, kata Ahmad, mahkamah mendapati pertuduhan itu kini tidak berasas.

Dengan itu, beliau mengarahkan mereka dilepas tanpa dibebaskan.

pada 6 Januari lalu, Mahkamah Rayuan telah sebulat suara mengetepikan arahan Majistret Kuala Lumpur Zaki Asyraf yang mengharamkan perhimpunan BERSIH 3.0 pada 2012, bawah Seksyen 98 Kanun Acara Jenayah (KAJ).

Panel tiga anggota, diketuai oleh Hakim Datuk Linton Albert, mempertimbangkan perintah arahan itu sebagai cacat, ekoran rayuan oleh Timbalan Presiden PKR Azmin Ali dan Ketua PKR Rembau Badrul Hisham Shaharin.

Hakim lain termasuk Datuk Seri Zakaria Sam dan Datuk Wong Dak Wah.

Azmin diwakili oleh Datuk CV Prabhakaran sementara bekas timbalan peguam cara negara Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden, yang bersara dan memasuki sektor swasta, serta peguam Sankara Nair mewakili Badrul.

Azmin dan Badrul memfailkan rayuan tahun lepas untuk mengetepikan pendakwaan terhadap mereka bawah Akta Perhimpunan Aman (PAA) 2012 atas alasan arahan Zaki mengharamkan perhimpunan itu ultra vires kepada PPA.

Alasan lain dikemukakan, arahan majistret yang berkuat kuasa pada 30 Jan 2012 itu melebihi bidang kuasanya.

[VIDEO] Bila Iman Serapuh Keropok: Pensyarah IPTA Bunuh Isteri, Kelar Leher Sendiri


Klang: Akibat krisis rumah tangga, seorang pensyarah Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) bertindak menikam kepala serta mengelar leher isterinya sebelum mengelar lehernya sendiri di sebuah hotel di sini, awal minggu ini.

Kejadian itu disedari seorang pekerja hotel kira-kira jam 5 pagi yang terdengar jeritan mangsa dikenali sebagai Norazlina Mohamed Saaid, 49, sebelum mendapati wanita itu sedang ditikam suaminya bertubi-tubi di depan pintu bilik hotel mereka.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan Asisten Komisioner Mohamad Shukor Sulong berkata, ketika pihaknya tiba di bilik tingkat bawah hotel itu, suspek ditemui di atas katil dengan berlumuran darah manakala isterinya sudah tidak bernyawa di atas lantai dalam keadaan separuh bogel.

"Polis kemudian menemui senjata dipercayai digunakan suspek iaitu sebatang tukul besi dan juga sebilah pisau lipat di dalam bilik berkenaan.



"Suspek cuba diselamatkan dengan dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) dekat sini, bagaimanapun dia disahkan meninggal ketika dalam perjalanan," katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. -HM


Wanita Ditemui Mati Di Hotel, Suspek Bunuh Dengan Kesan Kelar Di Leher


KLANG: Seorang wanita ditemui mati di sebuah hotel di sini manakala lelaki yang didakwa membunuh wanita itu mencederakan lehernya dan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital.

Kedua-duanya, mangsa dan suspek berusia 58 tahun itu berkongsi alamat yang sama berdasarkan kad pengenalan mereka, namun hubungan antara kedua-duanya masih belum dikenal pasti.

Ketua Polis Daerah Klang Utara ACP Mohd Shukor Sulong berkata, kejadian itu berlaku kira-kira pukul 5.10 pagi Isnin apabila pekerja hotel mendengar bunyi bising dari bilik mangsa di mana kedua-duanya mendaftar masuk pada malam sebelumnya.

"Apabila pekerja terbabit datang untuk membuat pemeriksaan, dia mendapati lelaki tersebut menyerang wanita berkenaan," katanya sambil menambah bahawa pekerja tersebut dengan segera menghubungi pihak polis berhubung kejadian yang berlaku.

"Sebaik sahaja polis tiba di lokasi, tidak sampai lebih dari lima minit, mangsa ditemui terbaring di atas katil manakala lelaki terbabit duduk di sebelah dengan keadaan berlumuran darah di bahagian leher. Lelaki itu meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital," katanya.

Beliau berkata, polis percaya bahawa wanita itu dipukul dengan objek tajam di kepala sebelum sebelum mengelar di lehernya.

"Motif pembunuhan masih dalam siasatan," katanya.

Polis menemui tukul besi, pisau dan sebuah kereta Toyota Vios milik suspek.

Kes itu disiasat sebagai bunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Berdasarkan versi awal, mangsa dipercayai merupakan isteri kepada suspek, sebagaimana yang dilaporkan oleh kebanyakan media.
-mstar



Macam-macam UMNO Ni... Hard Rock Cafe Versi Nasyid?


Tengku Adnan Akan Mati Kempunan Jika Hard Rock Tidak Dibuka Di Putrajaya

Selepas Presiden Perbadanan Putrajaya, Aseh Che Mat memohon maaf berhubung rancangan pembukaan pusat hiburan dan restoran Hard Rock Cafe di Putrajaya sehingga membangkitkan kemarahan ramai dan kemudian pengurusan Hard Rock pula mengumumkan tiada perancangan untuk membuka cawangan baru, semua pihak menyangka isu itu telah berakhir dan penduduk Putrajaya boleh meneruskan kehidupan malam mereka dengan aman dan tenteram.

Rupa-rupanya ia belum berakhir. Ini berikutan kenyataan Menteri Wilayah Persekutuan, Tengku Adnan Tengku Mansor yang menyatakan Hard Rock boleh membuka cawangannya di Putrajaya jika memenuhi syarat yang ditetapkan iaitu tidak menghidangkan arak serta sajian hiburan yang mengghairahkan.

Malah beliau yang juga Ahli Parlimen Putrajaya mencadangkan jika Hard Rock membuka cawangannya di Putrajaya, mereka boleh menyajikan hiburan dan persembahan nasyid bagi menggantikan muzik rock yang biasa dipersembahkan di mana-mana cawangannnya di seluruh dunia.

Dalam masa yang sama, Tengku Adnan juga menpertahankan Aseh Che Mat yang menurutnya berniat baik mahu menarik pelabur menanam modal di Putrajaya.

Apa yang tergambar daripada kenyataan Tengku Adnan ini ialah beliau nampaknya begitu teringin mahu melihat Hard Rock membuka cawangannya di Putrajaya sehingga sanggup mencadangkan sesuatu yang mustahil iaitu persembahan nasyid bagi menggantikan muzik rock tanpa batasan.

Di ketika Aseh turut menjelaskan tiada cadangan dan pengurusan Hard Rock pula menyatakan tiada perancangan ke arah itu, Tengku Adnan seperti membuka laluan semula mengenainya.

Cadangan persembahan nasyid bagi menggantikan muzik rock bukan saja ternampak lucu, tidak masuk akal dan menyerlahkan keghairahan tanpa sempadan Tengku Adnan terhadap Hard Rock, malah dalam masa yang sama menyingkap kewibawaan dan tahap pemikirannnya yang sebenar sebagai seorang pemimpin.

Dalam erti kata lain, bertambahlah seorang lagi "menteri cap ayam" dalam kabinet Najib sekarang ini.

Kalaulah benar mahu mengadakan persembahan nasyid, sebagai menteri dan Ahli Parlimen, beliau tidak perlu menunggu pembukaan Hard Rock untuk melakukannya. Soalnya sudah berapa banyak persembahan nasyid yang beliau telah anjurkan selama ini dan sudah adakah restoran atau tempat hiburan yang mengadakan persembahan nasyid di Putrajaya?

Janganlah cuba untuk menunjuk-nunjuk lagak Islamik dalam isu Hard Rock. Lagi pula tidak mungkin Hard Rock bersedia membuka cawangannya jika tanpa minuman keras, alunan muzik keras, tarian terkinja-kinja dan pergaulan bebas yang memang menjadi imejnya di seluruh dunia.

Hard Rock tanpa semua itu adalah umpama kedai mamak tanpa teh tarik dan kari atau restoran Arab tanpa hidangan nasi beriani dan shisa. Mustahil dan tidak masuk akal.

Jika benar Tengku Adnan begitu ingin melihat persembahan nasyid di Hard Rock untuk menunjukkan Islamiknya beliau sebagai pemipin, beliau sebenarnya boleh memulakan dengan memberi arahan mengenai perkara tersebut di premis Hard Rock sedia ada di KL atau di lain-lain pusat hiburan yang bersepah di Jalan P Ramlee dan Bukit Bintang.

Tidak pasti apakah yang begitu mengujakan mengenai Hard Rock ini di mata Tengku Adnan. Mungkinkah beliau merasakan kejayaan membuka cawangannya di Putrajaya merupakan pencapaian gemilangnya sebagai menteri dan Ahli Parlimen Putrajaya? Atau mungkinkan beliau merasakan dengan adanya Hard Rock akan menambahkan lagi tarikan Putrajaya di kalangan pelancong asing?

Bagaimanapun di mata rakyat, kenyataan Tengku Adnan itu lebih menggambakan keterujaan dan keghairahannya untuk terus membuka cawangan Hard Rock di Putrajaya dan seolah-olah akan mati kempunan atau mati dalam keadaan mata tak terpejam jika gagal berbuat demikian.

Di sisi lain pula, ia menggambarkan inilah level atau tahap kecedikan yang ada di kalangan menteri-menteri yang ada dalam kabinet Najib. Asal bercakap dan membuka mulut saja, akan terserlah kerendahan tahap pemikiran dan tiada wibawanya sebagai pemimpin (sebenarnya istilah yang tepat ialah bodoh, tapi tak sampai hati pulak).

Beliau kini menjadi bahan persendaan baru di kalangan rakyat, setelah beberapa menteri turut diperlakukan sedemikian dan dipertikaikan sebelum ini. -shahbudin.com


Syarat 'nasyid' sekadar mahu reda kemarahan rakyat


Mengenakan syarat dan garis panduan untuk membuka cawangan Hard Rock Cafe di Putrajaya membuktikan kerajaan Umno BN lebih mesra pelabur daripada kemaslahatan rakyat.

Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan Mohd Noor Mohamad berkata, kerajaan Umno BN akan berusaha sedaya untuk memenuhi keperluan pelabur termasuklah membuka Hard Rock Cafe di Putrajaya walaupun rakyat membantah.

"Kita sedia maklum Umno BN memang suka berjanji itu ini, kalau sebelum ini minyak tidak dinaikkan malangnya sebaliknya berlaku.

"Syarat di keluarkan kepada Hard Rock Cafe sebagai meredakan kemarahan rakyat, bermakna memang kerajaan benar-benar mahukan cawangan cafe itu di Putrajaya," katanya ketika dihubungi.

Bagi PAS, katanya pembukaan kelab-kelab dan cafe eksklusif seperti Hard Rock Cafe bukan sahaja tidak boleh dibuka di Putrajaya bahkan ditempat-tempat lain kerana ia boleh mengundang masalah sosial kepada anak muda negara ini.

Beliau percaya syarat yang dikeluarkan itu supaya tidak ada penentangan terbuka oleh rakyat tetapi akhirnya ada usaha untuk membuka cawangan di pusat petadbiran kerajaan itu.

"Sebab itu kerana pentingkan dasar mesra pelabur kerajaan tidak fikir apa yang mudarat kepada rakyat. Mereka akan terus fikir bagaimana mahu mendapatkan dana daripada pelabur, seberapa boleh mereka akan penuhi keperluan pelabur," katanya.

Justeru, beliau mendesak agar rakyat terus membantah penubuhan cawangan Hard Rock Cafe yang akan mencemarkan pusat pentadbiran kerajaan.

Isu pembukaan cawangan Hard Rock Cafe di Putrajaya telah mendapat bantahan rakyat, namun bagi meredakan kemarahan itu hari ini Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor memberi kenyataan bahawa permohonan cafe terkemuka itu perlu memenuhi syarat yang ditetapkan termasuk tiada penjualan minuman keras dan menampilkan persembahan hiburan yang berlandaskan Islam.

Syarat itu bagi memastikan imej Putrajaya sebagai pusat pentadbiran negara yang mengamalkan sistem pentadbiran Islam terus dipelihara.

Tengku Adnan mengulas kemungkinan pengusaha Hard Rock Cafe membuka cawangan itu di sini berikutan perkongsian Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj) Tan Sri Aseh Che Mat mengenai perjumpaan beliau dengan pelabur Hard Rock Cafe di negara ini, Tan Sri Syed Yusof Syed Nasir, dalam laman sosial Facebook.

Aseh bagaimanapun menjelaskan tiada permohonan rasmi dibuat mengenainya, malah Hard Rock International turut menafikan mahu membuka cawangannya di Putrajaya.
-HD