12 Jul 2013

[TERKINI] InsyaAllah, Rejim Zalim Mesir Bakal Tumbang


Insya Allah pemimpin zalim dan ganas Mesir yang dilaknat Allah akan tumbang dalam masa terdekat. Ini pandangan dari seorang pemerhati politik luar Mesir yang melihat penentangan rakyat semakin membuak-buak dan menggerunkan pemerintah zalim Mesir.

"Sampai bila mereka boleh bertahan dan menzalimi rakyat sedangkan majoriti rakyat melihat dengan mata kepala mereka sendiri pembunuhan dan kekejaman yang dilakukan oleh pemerintah zalim ini"

"Kita percaya lambat laun semua rakyat Mesir akan bersama-sama dengan majoriti rakyat menentang golongan zalim ini" ujar pemerhati politik yang tidak mahu namanya disiarkan di sini.

Puluhan juta para penyokong Dr Muhammad Morsi dari seluruh Mesir dijangka akan memenuhi bandar Kaherah hari ini ekoran pengumuman himpunan raksasa oleh pertubuhan Gabungan Kerjasama Kebangsaan yang dianggotai puluhan pertubuhan dan parti politik.

Himpunan tersebut dijadual bermula sejurus selesai solat Jumaat ini dan epat lokasi telahpun ditetapkan oleh pihak penganjur.

Ianya termasuk Medan Raba'ah Adawiyyah (Madinah Nasr) yang menjadi pusat himpunan sejak rampasan kuasa oleh tentera seminggu lalu yang turut menyaksikan pembunuhan puluhan penyokong Morsi dalam tragedi 'Subuh berdarah'.

Selain itu, tiga lagi tempat termasuk Bangunan Stesen Radio dan Televisyen Mesir (Masbero), Pusat Pengeluar Media (bandar 6 Oktober, Giza) dan Dataran Nahdah, Giza.

Himpunan hari ini juga diberi nama Jumaat "Az-Zihaf" atau "Jumaat Kemaraan".

Ekoran himpunan besar-besaran hari ini, Dataran Raba'ah sejak malam tadi sesak dengan lautan manusia yang berpusu-pusu hadir untuk himpunan tersebut.

Beberapa media antarabangsa menganggarkan sudah lebih 4 juta penyokong Morsi berada di Dataran Raba'ah sejak berlakunya tragedi Subuh berdarah Isnin lalu.

Difahamkan, menjelang Subuh pagi ini, Dataran Raba'ah tidak dapat lagi menampung jumlah kehadiran yang begitu ramai.

Jutaan penyokong Morsi khususnya dari luar wilayah Kaherah kini didakwa sedang mara menuju ke kawasan himpunan yang ditetapkan.

Petang semalam turut menyaksikan pihak penganjur mengadakan persiapan secukupnya di dataran Raba'ah.

Antaranya dengan menambah pembesar suara, menukar "back drop" pentas utama dengan tertera tema "Demokrasi Menolak Rampasan Kuasa" dan memasang banner dalam bahasa asing di sekitar dataran bagi menyampaikan mesej kepada dunia apa yang berlaku di Mesir.

p/s dan begitulah juga rejim UMNO BN di negara kita... hukum kebenaran dan keadilan akan tetap berjalan, yang penipu, yang zalim dan yang batil akan tetap musnah akhirnya....

Red Bean Army, Dongeng UMNO Untuk Halalkan Peruntukan RM350 juta


Isu Tentera Kacang Merah (Red Bean Army) sekali lagi dibangkitkan di Parlimen apabila Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memberitahu akan mengambil tindakan jenayah dan sivil ke atas Tentera Kacang Merah dan yang sejenis dengannya kerana menyebarkan pembohongan menerusi internet.

Bagaimanapun, Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata, beliau hairan mengapa sampai sekarang kerajaan belum mengambil sebarang tindakan ke atas Tentera Kacang Merah itu, sedangkan ia tentu tidak sukar bagi polis siber membongkar kegiatan pasukan itu jika ia benar-benar wujud, apatah lagi ada pihak yang memberi ‘maklumat’ bahawa Hotel Concorde, iaitu sebuah hotel yang kerap dikunjungi pemimpin atasan UMNO/BN, digunakan sebagai pusat operasi utama bagi tentera siber serba mistik itu.

Katanya, ini jelas membuktikan kegilaan melampau UMNO/BN untuk meneruskan dongeng berhubung agenda sulit sebahagian pemimpin atasan UMNO/BN untuk menghalalkan peruntukan RM350 juta bagi memerangi Tentera Kacang Merah yang mereka khayalkan untuk sepanjang lima tahun akan datang.

Menurutnya, tindakan dan kenyataan Ahmad Zahid itu tidak lain adalah percubaan untuk menyelamatkan dongeng Tentera Kacang Merah daripada menjadi bahan ketawa.

Katanya, atas alasan itu juga “Tentera Kacang Merah yang didakwa dibiayai DAP dan dianggotai 3,000 cybertrooper dengan peruntukan sebanyak antara RM100 juta hingga RM1 bilion sejak enam tahun lalu” perlu diselamat dan dihidupkan semula, kerana tanpa dongeng itu tiada alasan untuk memberi peruntukan sebanyak RM350 juta kepada cybertrooper UMNO/BN bagi meneruskan operasi untuk lima tahun akan datang.


“Maka fahamlah kita sebab-musabab UMNO/BN menunjukkan kegilaan melampau terhadap dongeng Tentera Kacang Merah.

“Minggu lalu setelah disedari tidak wujud tanda Tentera Kacang Merah di Hotel Concorde, sebuah hotel yang kerap dikunjungi pemimpin dan penggerak UMNO, malah tiada kacang merah sekali pun dalam ais kacang yang begitu mahal di hotel itu, dongeng Tentera Kacang Merah yang kononnya dibiayai DAP dan dianggotai 3,000 cybertrooper ini menjadi sasaran sindiran, ejekan dan jenaka,” katanya dalam kenyataan media di Parlimen, semalam.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah hairan apabila Menteri Dalam Negeri yang dianggap bijak dan berlatar belakang baik itu boleh percayai kewujudan “Tentera Kacang Merah” yang kononnya dibiayai DAP dan dianggotai 3,000 cybertrooper dan dengan sokongan polis supaya Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar akan memberi penjelasan mengenai perkara itu

“Kerana itu juga minggu lalu saya mengetuai sekumpulan Ahli Parlimen DAP membuat lawatan ke Hotel Concorde. Namun, yang kami lihat tempat itu dipenuhi pemimpin dan penggerak UMNO. Bukan saja tiada tanda-tanda kewujudan Tentera Kacang Merah, malah kacang merah sekali pun tidak ditemui dalam ais kacang yang begitu mahal di hotel berkenaan.

“Apakah Menteri Dalam Negeri mempunyai kepakaran yang lebih tinggi dalam bidang teknologi maklumat daripada Kementerian Komunikasi dan Multimedia, memandangkan Timbalan Menteri kementerian itu sendiri sudah mengaku di Parlimen Khamis lalu bahawa beliau tidak tahu apa Tentera Kacang Merah atau samada Tentera Kacang Merah wujud, walaupun cakap-cakap mengenai tentera khayalan ini banyak di dengar di ruang siber dan media yang dikawal UMNO/BN,” katanya.-Roketkini

Che Long, Calon PAS Kuala Besut Pernah Jadi Ketua Pemuda UMNO Cawangan

Azlan: Dulu tak cerdik, tapi dah baligh dah

Calon PAS untuk pilihan raya kecil Kuala Besut Azlan Yusof hari ini mengakui pernah bergiat sebagai ketua pemuda Umno cawangan di kampungnya tetapi menegaskan ia dilakukan masa "tidak cerdik"

"Zaman dulu orang kampung saya, orang PAS ada lapan orang sahaja," katanya ketika diminta mengesahkan perkara itu oleh pemberita dalam sidang media selepas penamaan calon hari ini.

Diasak oleh wartawan supaya beliau mengakuinya, Azlan (kanan) berkata:

"Betullah... Tapi sekarang ini orang muda kampung saya boleh dikatakan semua bersama saya. Malam tadi hampir semua orang kampung keluar pasang bendera.

"(Masuk Umno) dulu masa tak cerdik, tapi dah baligh dah. Tapi sekarang dah cerdik dah," katanya sambil diiringi ketawa kecil.

Menurutnya ahli perniagaan dan kontraktor itu, beliau menyertai PAS pada 1997.

Azlan juga berkata beliau bersedia berdepan dengan pelbagai tohmahan kepada beliau sepanjang kempen pilihan raya kecil ini dan menganggap tindakan itu "perkara biasa".

"Kita bersedia, janji kita tak buat benda yang dilarang oleh Allah. Orang kata apa, silakan.

'Harap (kurang tohmahan). Calon sana kita kenal keluarga dia, dia kenal keluarga kita.

"Datuk Idris (Jusoh), kita kenal juga, dia juga sayang dekat kita," katanya yang menolak kempen memburukkan peribadi sepanjang proses berkempen.

Pilihan raya kecil itu akan menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Azlan dan calon BN Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman.

Dalam pilihan raya umum lalu, allahyarham A Rahman Mokthar daripada BN menewaskan calon PAS Napsiah Ismail dengan majoriti 2,434 undi. Pilihan raya itu diadakan ekoran kematian A Rahman akibat kanser.

Husam tuntut liputan RTM

Sementara itu, pengarah jawatankuasa induk pilihan raya kecil Kuala Besut PAS Datuk Husam Musa menuntut Menteri Penerangan dan Komunikasi Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek memberi liputan kepada calon PAS di RTM.

"Kita harap mendapat liputan. Jangan footage sahaja, tetapi adalah sikit suara-suara, yang molek-molek," katanya dalam sidang media sama.

"(Tapi) Kita seganlah nak minta, itu eksklusif untuk parti pemerintah," sindir naib presiden PAS itu. -mk

Ulasan GB

Itulah kelebihan calon PAS, tahu kedua-dua parti, dan justeru itu dapat membezakan yang mana kaca yang mana permata...

[BERGAMBAR & VIDEO] Penamaan Calon PRK Kuala Besut: Satu Lawan Satu


Hanya PAS dan Barisan Nasional (BN) sahaja mengemukakan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Kuala Besut.

Pada penamaan yang berakhir sebentar tadi, PRK Kuala Besut menyaksikan pertembungan antara calon PAS, Azlan @ Endot Yusof dengan calon BN, Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman.

Pegawai pengurus PRK N01 Dun Kuala Besut itu, A. Rahim Jusoh, Azlan ketika mengumumkan demikian berkata, Azlan mengemukakan borang penamaan calon pada jam 9.03 pagi, diikuti Tengku Zaihan tujuh minit kemudian.

Beliau menjelaskan bahawa tiada calon yang ditolak sehingga waktu penamaan ditutup jam 10 pagi.

Penamaan calon bagi PKR Kuala Besut diadakan di Kompleks Rakan Muda Kuala Besut.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 24 Julai hari membuang undi PRK Kuala Besut sementara penamaan calon pada 12 Julai.

PRK Kuala Besut diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Dr A Rahman Mokhtar pada 26 Jun lalu kerana kanser paru-paru.

Pada PRU13 lalu, allahyarham memperolehi 8,809 undi sementara calon PAS, Napisah Ismail mendapat 6,375 undi. -HD


LAPORAN DARI MALAYSIAKINI


Hari ini bermula kehangatan di Kuala Besut dengan penamaan calon bagi menggantikan bekas ADUN Datuk A Rahman Mokhtar yang meninggal dunia akibat kanser paru-paru.

Cuaca mendung, hujan renyai-renyai serta tiupan angin Laut Cina Selatan bakal menambah lagi semangat calon dan penyokong yang tetap berkumpul sekalipun dalam bulan Ramadan.

Calon PAS Azlan Yusof adalah ahli perniagaan bersama kepimpinan parti itu berhimpun di persimpangan lampu isyarat berdekatan Pejabat Agama Daerah Besut.

Mereka bergerak kira-kira satu kilometer ke pusat penamaan calon - Kompleks Rakan Muda, Kampung Raja, Besut.

Manakala calon BN Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman diiringi kepimpinan parti berkumpul di Rumah Ahmad Saleh - kira-kira 700 meter daripada pusat penamaan calon.

Masa penamaan calon bermula 9 hingga 10 pagi.

Dalam pilihan raya umum lalu, allahyarham A Rahman menewaskan calon PAS Napsiah Ismail dengan majoriti 2,434 undi.

Kawasan itu terkenal sebagai kawasan kubu kuat BN.

Kemenangan kali ini penting bagi kedua-dua pihak memandangkan perbezaan kerusi cuma dua di peringkat negeri.

Ini bermakna, jika PAS menang, keputusan akan menjadi 16-16, sekali gus menyebabkan situasi DUN 'tergantung'.

LAPORAN LANGSUNG

10.25 pagi: Pegawai Pengurus pilihan raya A Rahim Jusoh berkata beliau berpuas dengan kertas borang pencalon dan tiada kertas calon ditolak.

Sehubungan itu, katanya, dua calon akan bertanding dalam pilihan raya umum DUN Kuala Besut iaitu Tengku Zaihan dan Azlan Yusof.

Sementara itu, Nik Aziz beredar Kompleks Rakan Muda dan diiringi laungan takbir dan solawat.

10.06 pagi: Penyokong BN tetap setia menunggu diluar kompleks rakan muda kini mengibar-kibar bendera BN sambil menyanyi lagu Umno.

Tepat jam 10 pagi, SPR mengumumkan penamaan calon secara rasminya tamat. Dengan itu, sahlah pertandingan dua penjuru anara Tengku Zaihan dan Azlan.

9.45 pagi: Perkarangan Kompleks Rakan Muda - Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa berkata kemenangan PAS di Kuala Besut akan "membantu Idris Jusoh" yang didakwanya "bertembung" dengan Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said.

"Ini kerana Mat Said dilihat tidak mempunyai agenda politik yang mantap. Tidak membawa banyak kemajuan.

"Beliau masih kekal jadi MB tetapi berbeza pendapat dengan Idris Jusoh. Dengan kemenangan ini, kedudukan Mat Said akan tergugat... Masih tak boleh tukar MB sebab dia (Mat Said) terlalu kuat.

"Kita dapat kerusi, dia (Idris) dapat keuntungan politik," katanya.

Sementara itu, di luar Kompleks Rakan Muda, penyokong PAS bertakbir, bertahmid, dan bertasbih dan melaungkan hidup Islam.

Penyokong PAS kini mencecah 3,000 orang. Cuaca tadi yang mendung, kini sudah mula panas terik.

9.38 pagi: Abdul Hadi Awang beredar daripada pusat penamaan calon kerana akan bertolak ke luar negara hari ini.

9.23 pagi: Kelihatan seperti pertembungan dua penjuru PAS-BN di Kuala Besut ekoran hanya dua pihak kelihatan di pusat penamaan.

Selepas bercakap kepada media, calon kedua-dua parti kini menunggu pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk memuktamadkan proses penamaan calon.

Masa pencalonan sehingga 10 pagi.

9.20 pagi: Suasana diam penyokong PAS pada awalnya berubah. Mereka mula bertakbir dan melaungkan slogan "hidup Islam" apabila Mursyidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat sampai ke pusat penamaan calon.

Beliau diiringi dua pengawal dan beberapa kepimpinan PAS, antaranya Setiausaha Majlis Syura Ulama Nik Zawawi Salleh.

Beliau kemudiannya bersalaman dengan kepimpinan Pakatan yang sedia menunggu di dalam khemah di luar pusat mengundi.

Sementara itu, di pihak BN, mereka melaungkan slogan "Gelombang Biru", melambangkan warga parti itu.

9.15 pagi: Pengarah Jawatankuasa Induk PRK Kuala Besut Datuk Husam Musa tiba di kompleks rakan muda.

9.05 pagi: Luar Kompleks Rakan Muda - Pesuruhjaya PAS Terengganu Mohd Abdul Wahid Endut ketika ditemui Malaysiakini bersyukur kerana perjalanan perarakan dan penamaan calon berjalan lancar dalam suasana tenang.

"Hari ini nampak OK, kita akan terus dengan kempen kita berjalan walaupun di bulan puasa. Kita dah susun program Pemuda, Muslimat dan lain-lain.

"Saya selalu kata, pilihan raya ini penting untuk menentukan (calon) Dewan Undangan Negeri... Insya-allah boleh mencapai kemenangan," katanya.

Turut sabar menanti di luar pusat penamaan calon Timbalan Presiden PKR Azmin Ali, Setiausah Agung PAS Datuk Mustafa Ali dan Ketua Penerangan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Turut berada di khemah luar isteri kepada Azlan Yusof, bersama-sama keluarganya.

9.00 pagi: Diketuai Muhyiddin, Tengku Zaihan dan 2,000 penyokong BN berarah ke pusat penamaan calon. Hujan telah berhenti. Mereka senyap tanpa sebarang slogan dan laungan kata.

8.55 pagi: Sebelum perarakan, Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said berucap menggesa para penyokong mengundi calon BN pada 24 Julai.

Beliau berjanji kerajaan negeri akan terus membangunkan Kuala Besut seperti yang diharapkan oleh rakyat.

8.50 pagi: Tiga penyokong BN termasuk ke dalam lorong ke arah penyokong PAS dan disorak oleh penyokong PAS.

Hujan renyai-renyai akhirnya berhenti, tetapi langit masih mendung.

8.44 pagi: Ahli Parlimen DAP Gelang Patah, Lim Kit Siang dan Vincent Wu tiba di pusat penamaan calon, dengan Lim melambai ke arah penyokong PAS, yang telah meningkat kepada lebih 2,000 orang.

Turut memasuki pusat penamaan calon adalah bekas exco Selangor Ronnie Liu.

8.40 pagi: TPM Muhyiddin Yassin bari tiba di tempat perhimpunan BN dengan kereta rasminya, 20 minit sebelum penamaan calon.

Beliau tiba bersama-sama dengan beberapa pemimpin Umno lain, termasuk Setiausaha Agung, Datuk Tengku Adnan Tengku Mansor, Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin, Ketua Menteri Melaka Datuk Idris Harun dan Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan.

Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Said, Menteri Pelajaran Kedua Datuk Idris Jusoh dan Pemangku Presiden Gerakan Chang Ko Youn juga hadir.

8.30 pagi: Kompleks Rakan Muda - calon BN Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman tiba di tempat berhimpun.

Hujan renyai-renyai dan terdapat hanya kira-kira 500 orang berkumpul di sini 30 minit sebelum penamaan calon.

Walaupun banyak kemah disediakan, tetapi ramai kelihatan berdiri di luar dengan memakai payung.

Mereka sedang menunggu kedatangan Timbalan Perdana Menteri merangkap Timbalan Presiden BN, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk memimpin berarak ke pusat penamaan calon kira-kira 700 meter dari situ.

8:25 pagi: Kompleks Rakan Muda - Calon PAS Azlan Yusof tiba di pusat penamaan calon.

Tiga minit kemudian, beliau diiringi Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Pesuruhjaya PAS Terengganu Mohd Abdul Wahid Endut, Naib Presiden Datuk Mahfuz Omar dan kepimpinan PAS yang lain, ke pusat penamaan calon.

Penyokong PAS dan BN dipisahkan pada jarak 100 meter.

8:10 pagi: Persimpangan Jln Raja-Jln Tembila - penyokong PAS memasuki Jalan Tembila, sambil melaungkan takbir ketika menuju ke Kompleks Rakan Muda, iaitu kira-kira 1 km dari sini.

Bilangan penyokong mencecah kira-kira 1,500.

8:05 pagi: Persimpangan Jln Raja-Jln Tembila - Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengetuai perarakan calon PAS, Azlan Yusof ke pusat penamaan calon ketika hujan renyai-renyai berterusan. Turut mengiringi Azlan ialah Mengiringi Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar dan kepimpinan PAS Terengganu.

8:00 pagi: Persimpangan Jln Raja-Jln Tembila - Hujan renyai-renyai itu tidak menghalang kira-kira 300 penyokong PAS menunggu ketibaan Abdul Hadi Awang dan Azlan yang kini berada di Masjid Kg Raja menunaikan solat hajat.

7:30 pagi: Kompleks Rakan Muda - Sekurang-kurangnya 200 anggota polis dilihat sama ada berkumpul atau mengawal tempat pemeriksaan di sekitar pusat penamaan calon, termasuk beberapa anggota unit anti-rusuhan (LSF).

Sebuah helikopter polis juga dilihat berligar di udara.

Malaysiakini juga ternampak beberapa trak Unit Simpanan Persekutuan (FRU) ketika dalam perjalanan ke pusat penamaan calon, tetapi tidak pasti di mana mereka ditugaskan.

7:30 pagi: Persimpangan Jalan Raja-Jln Tembila - Hujan renyai-renyai turun dan penyokong PAS mula berkumpul di persimpangan tersebut.
-mk



PRK Kuala Besut ulang sejarah 34 tahun lalu


KUALA BESUT - Penamaan calon untuk pilihan raya kecil Kuala Besut hari ini, yang menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional (BN) dan Pas, mengulangi sejarah 34 tahun lalu, apabila dua calon parti yang sama bertanding pada PRK yang juga diadakan dalam bulan Ramadan.

Pada 1979, pilihan raya kecil diadakan untuk Dun Kuala Besut juga dalam bulan Ramadan berikutan kematian wakil rakyatnya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesahkan menerima borang pencalonan wakil kedua-dua parti di pusat penamaan calon di Kompleks Rakan Muda Kuala Besut pagi ini.

Calon Pas Endot@Azlan Yusof, 48, menyerahkan borang pencalonannya kepada Pegawai Pengurus Pilihan Raya A.Rahim Jusoh pada jam 9.03 pagi manakala calon BN Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman, 37, menyerahkan borang pencalonan pada pukul 9.10 pagi.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Pengarah PRK Kuala Besut mengetuai kira-kira 3,000 penyokong mengiringi calon BN ke pusat penamaan calon manakala calon Pas pula diiringi bilangan penyokong yang seimbang diketuai Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Calon BN yang mengenakan baju kebangsaan Melayu serba biru memasuki pusat penamaan calon dengan diiringi Datuk Wan Zakaria Abd Rahman selaku pencadang, dan Roslan Ayob sebagai penyokong manakala calon Pas yang berbaju hijau hadir bersama Ayat Hadi Mamat sebagai pencadang dan Zulkarnain Abdullah sebagai penyokong.

Hujan gerimis sejak awal pagi dan kehadiran Ramadan tidak menghalang kedua-dua penyokong parti berarak ke pusat penamaan calon yang mula dibuka pukul 9 pagi dalam suasana harmoni yang dikawal pasukan keselamatan.

Calon BN Tengku Zaihan merupakan seorang jurutera Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di Putrajaya sebelum ini dan pernah berkhidmat selama lima tahun di JPS Daerah Besut.

Anak kelahiran Kampung Nail, Kuala Besut itu mula mencurahkan bakti kepada masyarakat setempat setelah menyertai JPS 15 tahun lalu dengan memegang jawatan jurutera daerah.

Tengku Zaihan berkata beliau bertekad untuk mengekalkan kerusi itu di tangan BN berdasarkan peluang yang dilihatnya melalui pertandingan satu lawan satu.

"Tiada masalah untuk mendekati rakyat seperti yang biasa saya lakukan sebelum ini," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas selesai proses pencalonan.
-SH






Laporan Panel: Polis & DBKL Punca Huru-hara Bersih 3.0


PPanel ditubuhkan kerajaan mengesahkan polis Malaysia menggunakan kuasa berlebihan terhadap penyokong berbaju kuning dalam perhimpunan aman Bersih 3.0 tahun lalu sehingga menyebabkan kekacauan di ibu negara Kuala Lumpur.

Sumber dari dalam panel diketuai bekas Ketua Polis Negara Tun Hanif Omar itu juga menyalahkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) atas alasan rapuh mereka dalam tidak membenarkan penganjur perhimpunan menggunakan Dataran Merdeka untuk acara itu dan Syarikat Prasarana Negara Berhad (SPNB), kerana menghentikan bas dan keretapi milik kerajaan daripada masuk ke bandar.

Kerajaan menubuhkan panel itu bertujuan menyiasat dakwaan keganansan polis terhadap peserta perhimpunan dan wartawan pada 28 April, 2012. Mereka menyerahkan laporan 500 muka surat terhadap penemuan mereka kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada Rabu.

Bercakap kepada The Malaysian Insider dengan syarat namanya dirahsiakan, sumber memberitahu panel mengkritik polis kerana sikap keras kepala dalam berurusan dengan peserta perhimpunan selepas mereka merempuh kawat dawai di Dataran Merdeka.

Laporan menyertakan kronologi sebelum, semasa dan selepas perhimpunan yang diadakan untuk menuntut pilihan raya bebas dan asil.

Penyiasatan sepanjang tahun lalu menyebabkan ahli panel membuat kesimpulan polis menggunakan kekerasan terhadap provokasi.

“Sebelum 3 petang, polis bertindak secara profesional,” kata sumber dan menambah maklumat ini diperolehi daripada 70 video yang dihantar pasukan polis kepada panel.

“Tetapi selepas 3 petang apabila beberapa peserta perhimpunan memecahkan kawat dawai di Dataran Merdeka, huru-hara tercetus," katanya.

Polis mengambil tindakan terhadap peserta perhimpunan, mengejar mereka di beberapa tempat di tengah bandar. Majoriti yang menjadi sasaran adalah mereka yang berbaju kuning Bersih.

"Polis mempunyai kekurangannya, tetapi sudah belajar daripada kesilapan melalui apa yang berlaku semasa Bersih 3.0,” kata satu lagi sumber.

Buktinya adalah ketika perhimpunan Black 505 yang dianjurkan oleh pembangkang untuk membantah penipuan pilihan raya, kata sumber berkenaan.

DBKL dipersalahkan kerana tidak menguruskan dengan baik sebelum perhimpunan apabila memberikan alasan tidak munasabah mengapa Dataran Merdeka tidak boleh digunakan, tambah sumber itu.

“DBKL boleh menguruskan dengan lebih baik untuk elak kekecohan.”

Panel membuat kesimpulan DBKL tidak memberikan alasan munasabah tentang mengapa Dataran Merdeka tidak boleh digunakan. Panel perlu menerima alasan itu kerana DBKL adalah pihak berkuasa yang bertanggungjawab terhadap tapak bersejarah itu," katanya.

Panel juga mengkritik syarikat milik kerajaan SPNB kerana pengurusan bas dan keretapi ke ibu kota.

“Pada hari itu keretapi dan bas berhenti masuk ke bandar dalam langkah untuk tidak menggalakkan penyokong Bersih 3.0 daripada masuk ke tengah bandar,” kata sumber itu.

Laporan 500 muka surat itu juga mendapati kesilapan pihak lain termasuk media, di mana panel berpendapat gagal untuk menjaga keselamatan wartawan mereka.

“Kebanyakan editor memberitahu wartawan mereka untuk menjaga diri, tetapi tidak ada garis panduan mengenai apa mereka perlu lakukan apabila situasi tidak terkawal seperti yang berlaku pada hari itu,” katanya.

Panel juga menyatakan kebimbangan terhadap kesedaran orang ramai mengenai undang-undang dan risiko demonstrasi.

Sumber juga mendedahkan walaupun penyiasatan memanggil 45 saksi, panel tidak hanya bergantung kepada testimoni mereka.

“Panel mengkaji laporan media, blog dan media sosial. Polis dipanggil untuk mengesahkan laporan,” kata sumber lain.

Panel itu walau bagaimanapun diboikot pembangkang dan penganjur Bersih 3.0 yang tidak gembira dengan terma rujukannya.

Pembangkang bertegas panel tidak mempunyai kuasa undang-undang dan kredibiliti untuk memanggil mana-mana saksi.

Fakta mengenai pengerusi panel, Hanif yang memberikan komen berat sebelah bagaimana perhimpunan Bersih 3.0 dirancang oleh komunis menambah kepada kehilangan kredibiliti panel berkenaan.

Bagaimanapun, ahli pembangkang terbabit dengan pendengaran Bersih 3.0 dianjurkan oleh Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam).

Kekurangan pembabitan orang ramai adalah salah satu sebab mengapa panel membuat keputusan untuk mencari bukti di atas talian.

“Penemuan tidak lengkap seperti diharapkan kerana ramai saksi enggan hadir,” kata sumber itu dan menambah sebelum menerbitkan laporan mereka, panel juga menyemak laporan dikeluarkan Suhakam mengenai perhimpunan sama.

Sementara sumber yang diwawancara berpendapat laporan mereka adil, mereka tidak pasti sama ada kerajaan akan mendengar cadangan diberikan oleh panel.

Turut dilaporkan Kabinet akan membuat keputusan sama ada laporan panel akan dikongsi bersama orang awam. -TMI

Aiiiikkk... Ada Acara Rogol Berganti-ganti Di Sukma 2013...

Tiga atlet Sukma didakwa rogol pegawai pengiring

Tiga atlet bola baling lelaki Sukan Malaysia (SUKMA) 2013 hari ini masing-masing mengaku tidak bersalah di tiga Mahkamah Sesyen di Petaling Jaya atas pertuduhan merogol seorang pegawai pengiring pasukan bola baling itu, Khamis lepas.

Megat Farzeril Faiz Megat Razali, 19, Mohammad Shaizzad Md Shafie, 19, dan Adib Adha Ismail, 18, masing-masing memohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan tiga hakim iaitu Yasmin Abdul Razak, Abu Bakar Manat dan Rozina Ayob.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa merogol wanita berusia 20 tahun itu di sebuah bilik di Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, antara jam 4 pagi hingga 4.10 pagi, 4 Julai lepas.

Megat Farzeril Faiz didakwa merogol wanita itu pukul 4 pagi, Mohammad Shaizzad pula pada jam 4.05 pagi dan Adib Adha pula 4.10 pagi.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan kesemua tertuduh masing-masing diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan iaitu Adib Adha dan Mohammad Shaizzad perlu melapor diri di balai polis berdekatan sebulan sekali.

Mereka juga diperintahkan supaya tidak menganggu mangsa dan saksi pendakwaan sehingga kes selesai. Mahkamah menetapkan 20 Ogos untuk sebutan kes itu.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Tan Gin Jian tidak menawarkan sebarang jaminan bagi kesemua tertuduh dengan alasan kes itu berprofil tinggi kerana dikhuatiri semua tertuduh akan mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan yang terdiri daripada rakan tertuduh sendiri.

Beliau juga memohon supaya ketiga-tiga kes itu dibicarakan bersama.

Mahkamah membenarkan permohonan itu dan memerintahkan kes itu dibicarakan di hadapan Hakim Abu Bakar.

Peguam Stephanie Wong, yang mewakili Adib Adha memohon jaminan RM5,000 berserta syarat tambahan dikenakan terhadap anak guamnya iaitu melaporkan diri di balai polis berdekatan selain akan memastikan dia tidak mengganggu mangsa dan siasatan polis.

Peguam Datuk Suraj Singh, yang mewakili Megat Farzeril dan Mohammad Shaizzad, memohon supaya kedua-dua anak guamnya dibenarkan diikat jamin selain memberi jaminan mereka tidak akan mengganggu mangsa.

Suraj berkata Megat Farzeril yang membantu ibunya berniaga hanya berpendapatan RM800 sebulan dan dia perlu menanggung empat beradik manakala Mohammad Shaizzad masih menuntut di sebuah kolej tempatan.

Peguam pemerhati Ranjit Singh yang bertindak bagi pihak mangsa, memohon kepada mahkamah agar mengeluarkan perintah larangan kepada pihak media supaya tidak mendedahkan sebarang nama dan identiti mangsa.

Suraj yang menyokong permohonan Ranjit, berkata: "Media juga harus diberi amaran supaya tidak membuat penilaian dalam kes ini sehingga mahkamah membuat keputusan".

Mahkamah membenarkan permohonan itu.

Sebelum prosiding bermula, ketiga-tiga tertuduh kelihatan menangis sambil memeluk ahli keluarga masing-masing yang hadir di mahkamah.

- Bernama