8 Nov 2012

Muslihat Nazri Larang Guna Ruang Akhbar Parlimen – Rafizi

Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli mendakwa larangan menggunakan ruang sidang akhbar di Parlimen oleh bukan anggota parlimen yang berkuatkuasa serta merta sengaja dibuat untuk menghadkan pergerakannya.

“Saya memang sudah menjangka tindakan seterusnya yang akan diambil oleh Datuk Seri Mohamad Nazri Abdul Aziz adalah dengan menggunakan kuasanya untuk menghalang saya dari membuat sidang media di Parlimen.

“Beliau seharusnya sedar bahawa Parlimen adalah institusi tertinggi milik rakyat di negara ini.

Ia wajar disemarakkan dengan isu rakyat baik di dalam atau luar dewan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Tegas beliau, “tindakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu dan pengurusan Parlimen menghadkan akses rakyat biasa untuk ke Parlimen dan bersuara melalui sidang media hanya akan merendahkan martabat dan kedudukan Parlimen.

“Pada fikiran saya, Nazri sekali lagi mengambil tindakan yang berunsurkan “conflict of interest” kerana sidang-sidang media yang akan datang mungkin akan berkisar mengenai beliau.

“Sebelum ini beliau tidak pernah mempunyai apa-apa halangan dengan sidang media yang dibuat di Parlimen,” jelas Rafizi.

Malah katanya, ketika isu NFC dibongkarkan dan bekas rakan kabinet beliau Dato’ Seri Shahrizat Jalil menjadi topik hangat sidang media, beliau langsung tidak membantah terhadap sidang-sidang media di Parlimen.

“Beliau juga dipetik berkali-kali melalui sidang media di Parlimen turut sama mendesak Shahrizat meletakkan jawatan.

“Hanya apabila beliau yang menjadi bahan sasaran sidang-sidang media kebelakangan ini ekoran persoalan mengenai hubungan beliau dengan Michael Chia, barulah timbul soal hak menggunakan Parlimen untuk sidang media.

“Sebab itu saya terus mengulangi saranan saya supaya Nazri mengambil sikap yang lebih terbuka dan tenang seperti Shahrizat dalam menghadapi persoalan mengenai integriti dan perhubungan beliau dengan ahli perniagaan yang disiasat.

“Keputusan terbaru Parlimen ini sedikit pun tidak merencatkan rancangan PKR untuk menumpukan perhatian kepada kes Nazri. Sidang media akan diteruskan dari semasa ke semasa dan pihak media akan dimaklumkan lebih awal,” ujar Rafizi.

Bernama melaporkan Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia hari ini mengisytiharkan ruang sidang akhbar di bangunan Parlimen, adalah khas dan eksklusif untuk anggota Parlimen sahaja berkuat kuasa serta-merta.

Beliau berkata orang luar yang masuk ke Parlimen dilarang menggunakan fasiliti itu untuk membuat apa sahaja kenyataan atau sidang akhbar walaupun ditemani oleh anggota Parlimen Bebas, Barisan Nasional mahupun pembangkang. -FMT

Pembangkang Bantah Peraturan Halang Bukan MP Adakan Sidang Media Di Parlimen

KUALA LUMPUR: Penguatkuasaan peraturan bagi melarang selain daripada ahli Parlimen mengadakan sidang media di lobi Parlimen mendapat sambutan dingin daripada wakil rakyat pembangkang.

Menurut mereka peraturan berkenaan seolah-olah menyekat hak mereka untuk mengetengahkan isu rakyat kepada pihak media.

Ahli Parlimen Batu, Tian Chua berkata, peraturan itu juga dilihat seperti menghalang kebebasan media.

"Apabila kita buat sidang media, sudah pasti ada isu tertentu yang media ingin dengar bukan daripada wakil rakyat sebaliknya orang yang berkenaan.

"(Peraturan) ini adalah satu sekatan yang menghalang kita buat pendedahan.Secara tak langsung ia juga menyekat kebebasan media di mana isu-isu yang sepatutnya boleh di bawa ke Parlimen dan didedahkan kepada media akhirnya tidak dapat disampaikan," katanya di bangunan Parlimen di sini, Khamis.

Beliau mengulas mengenai penguatkuasaan peraturan bagi menghalang selain daripada ahli Parlimen daripada menggunakan kemudahan ruang sidang media yang dikhususkan untuk mereka.

Penguatkuasaan peraturan tersebut berdasarkan Peraturan Mesyuarat 93 dan 94 yang bertujuan melindungi keistimewaan dan hak-hak ahli Parlimen. Berhubung kenyataan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia bahawa kehadiran kumpulan pelawat ke Parlimen untuk mengadakan sidang media di ruang khas yang mempunyai logo Parlimen sebagai sesuatu yang memalukan, Tian bagaimanapun tidak bersetuju dengannya.

"Logo Parlimen bukan isu, ini adalah sesi Parlimen terakhir, jadi mengapa tiba-tiba perkara ini dibangkitkan?" katanya.

Sementara itu Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh turut melahirkan pandangan yang sama membantah penguatkuasaan peraturan tersebut.

"Boleh (buat sidang media di luar Parlimen) tapi ketika ini Parlimen sedang bersidang, kami adalah wakil rakyat, kami mewakili suara rakyat... kami bawa isu rakyat," katanya
-mstar

Penyokong UMNO BN Turut Tentang AES


Akar umbi Umno menyertai Pakatan dalam melawan AES Tindakan keras kerajaan untuk meneruskan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) melahirkan penentangan daripada akar umbi Umno dengan satu blog dan akaun Facebook diwujudkan minggu ini untuk menentang kamera kelajuan tersebut, menandakan kamera kelajuan beralih menjadi lumpur jerlus politik bagi Barisan Nasional (BN).

Pakatan Rakyat (PR) sudah memberikan notis tentang niat mereka untuk mengeksploitasi kontroversi AES dengan pilihan raya yang perlu diadakan beberapa bulan lagi, akar umbi Umno kini beralih menyertai penentangan terhadap apa yang telah dilihat sebagai inisiatif MCA.

aes-malaysia.blogspot.com, sebuah blog yang diwujudkan oleh penyokong Umno tanpa nama minggu ini, menggunakan skrip pembangkang persekutuan dalam posting menyerang kamera AES.

Dalam tulisan terbaru, penulis blog tersebut memasukkan dua gambar – salah satunya jalan raya utama Gambang-Maran di Kuantan yang terdedah kepada kemalangan, dan satu lagi lebuh raya utama ke Putrajaya.

Jalan di Gambang-Maran tidak mempunyai kamera AES dipasang akan tetapi kamera kelajuan itu dipasang di lebuhraya Putrajaya.

“Adakah masuk akal jalan dua lorang sehala di Putrajaya kelajuannya 70KM/J, sedangkan jalan persekutuan yang dua hala dari Gambang ke Maran yang terdedah dengan pelbagai simpang, orang melintas, lembu melintas, diletakkan had laju 90KM/J? Tiada AES.

“Jalan selebar ini di Putrajaya hanya diletakkan had laju 70 KM/J dan diletakkan AES. Berapa orang telah mati di jalan ini?” Kecurigaan meluas bahawa pengenalan AES didorong oleh keuntungan dan bukan keselamatan jalan raya digunakan sebagai kempen PR dan kemarahan orang ramai semakin meningkat.

Beberapa ahli politik BN juga bimbang isu ini akan menjadi bahan kempen besar bagi pembangkang dalam pilihan raya akan datang dan menuntut kerajaan supaya menangguhkan AES.

Pada awal minggu ini, Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir menyertai penentangan terhadap AES.

“Kita perlu mengkaji (AES) .... adalah pelaksanaan yang hanya membawa keuntungan kepada sesetengah pihak? Seolah-olah ia hanya berorientasikan keuntungan. Itu yang sedang dipertikaikan,” katanya awal minggu ini.

Dua syarikat yang menerima kontrak untuk melaksanakan sistem penguatkuasaan tersebut – ATES Sdn Bhd dan Beta Tegap kedua-duanya – akan membelanjakan diantara RM300 juta dan RM400 juta untuk memasang kamera trafik di 831 “lokasi hitam” di seluruh negara.

Kedua-dua Ates dan Beta Tegap berhak menerima RM16 bagi setiap saman sah bagi lima juta pertama dikeluarkan. Mereka kemudiannya akan membahagikan baki hasil sekata dengan kerajaan sehingga masing-masing mendapat sebanyak RM270 juta.

Kedua-dua syarikat akan mendapat 7.5 peratus daripada baki keuntungan dan kerajaan akan menyimpan selebihnya.

PR mengatakan syarikat berkait MCA dan Umno yang mendapat projek ini akan tetapi telah dinafikan.

The Malaysian Insider difahamkan bahawa penyumberan luar kamera kelajuan dan saman kelajuan diilhamkan semasa pentadbiran Abdullah Badawi dan walaupun bantahan daripada beberapa menteri yang berhujah bahawa penguatkuasaan dan saman harus kekal dalam domain kerajaan, projek itu telah diteruskan oleh Kementerian Pengangkutan.

Projek ini dicadangkan semasa Tan Sri Chan Kong Choy – kini menghadapi perbicaraan di atas tuduhan menipu dalam isu skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) – adalah menteri, tetapi telah dimuktamadkan semasa Datuk Seri Ong Tee Keat pada menerajui kementerian tersebut.

Datuk Seri Kong Cho Ha, kini Menteri Pengangkutan, telah menjadi penyokong paling lantang AES.


Selain aes-blogspot.com, beberapa blog pro-BN lain yang mewakili kepentingan Umno telah mula menentang AES.

Sebuah laman Facebook yang dikenali sebagai Tangguh-AES juga telah diwujudkan bulan ini oleh kumpulan tanpa nama yang menggelarkan diri mereka kumpulan penyokong kerajaan.

Blog aes-malaysia.blogspot.com juga menyediakan pautan kepada berita dari Amerika Syarikat, Britain dan Australia tentang bagaimana kamera kelajuan telah menjadi bahan membuat wang bagi majlis tempatan.

Hujah-hujah dikemukakan oleh penyokong Umno menyerupai PR, menunjukkan kebimbangan bahawa kontroversi AES dapat menyatukan pengundi di belakang pembangkang persekutuan.

“Jika AES dibenarkan untuk diteruskan, akan menjadi sangat sukar bagi kita untuk menjawab tuduhan yang dilemparkan oleh pembangkang. Ini adalah salah satu isu yang berpotensi menyatukan semua kaum melawan BN,” kata seorang pemimpin Umno bahagian dari Perak kepada The Malaysian Insider.

Ketika Kong dan pemimpin lain kerajaan mempertahankan AES diatas nama keselamatan jalan raya, kedua-dua syarikat berkenaan berdiam diri tentang kamera kontroversi tersebut.

Berdasarkan model perniagaan ini, kedua-dua syarikat akan mengumpul RM80 juta bagi setiap lima juta pertama saman yang dikeluarkan oleh setiap syarikat. Ini membolehkan sebanyak RM160 juta dikumpulkan.

Di bawah peringkat kedua perjanjian itu, syarikat akan mendapat sejumlah RM540 juta, menjadikan jumlah diterima kedua-dua syarikat kepada RM700 juta.

Berdasarkan pembahagian keuntungan dengan kerajaan, angka RM540 juta mewakili 3.6 juta saman RM300 setiap satu.

Untuk mencecah RM700 juta keuntungan diatas modal, sejumlah 13.6 juta saman RM300 setiap satu bagi kesalahan memandu laju perlu dikeluarkan melalui kamera AES.

Kedua-dua syarikat akan mempunyai lima tahun untuk mendapatkan 13.6 juta saman titik pulang modal sebelum keseluruhan sistem dikembalikan kepada kerajaan.

Bagi memastikan syarikat mendapat keuntungan daripada perjanjian dengan kerajaan, mereka hampir pasti perlu mengeluarkan lebih daripada 13.6 juta saman setahun.

Semua saman tambahan itu akan menyebabkan kedua-dua syarikat masing-masing menerima potongan 7.5 peratus.

Mengandaikan kedua-dua syarikat telah mensasarkan jumlah keuntungan sebanyak RM100 juta selepas lima tahun, yang akan menjadi 7.5 peratus daripada RM1.4 bilion daripada saman berjumlah RM300 setiap satu.

Ini memerlukan 4.6 juta saman lagi, menjadikan jumlah 18.2 juta saman bagi kesalahan memandu laju dan lain-lain kesalahan serius untuk kedua-dua syarikat mendapatkan RM50 juta setiap satu dalam keuntungan selepas lima tahun.

Menurut anggaran persekutuan dalam Bajet 2013, kerajaan menjangkakan untuk melihat tambahan RM1.02 bilion pendapatan daripada penguatkuasaan AES, tetapi tidak dinyatakan berapa banyak yang akan dibayar kepada kedua-dua syarikat.

Terdapat juga kebimbangan semakin meningkat di kalangan ahli-ahli politik BN yang berkeras AES boleh menyebabkan BN menanggung akibat dalam pilihan raya – perlu dipanggil dalam tempoh enam bulan akan datang.

Minggu lepas, Ahli Parlimen Umno, Datuk Bung Mokhtar Radin menyeberangi jurang politik dan menyokong pakatan pembangkang PR dalam mendesak Putrajaya untuk menggantung menguatkuasakan AES, mengatakan ia boleh digunakan sebagai bahan kempen menentang BN.

Bung Mokhtar, ahli parlimen Umno yang berpengalaman, adalah ahli parti pemerintah paling kanan selepas Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin menggesa kerajaan persekutuan untuk menangguhkan penguatkuasaan sistem penguatkuasaan trafik baru itu.

Kedah, Penang, Kelantan dan Selangor – kesemuanya diperintah PR – telah memutuskan untuk menagguhkan kelulusan AES yang mengesan kelajuan dan mengeluarkan saman.

Beberapa pertubuhan bukan kerajaan yang berpengaruh termasuk badan payung mewakili penjawat awam, Cuepacs, juga telah menentang penguatkuasaan, mengatakan sistem tidak sesuai buat masa ini.

Mereka juga mahu kerajaan mengkaji lokasi di mana AES akan beroperasi.

[VIDEO] 433 Nama Pemilih Lenyap Tanpa Dipamer, Data Diubah Sana Sini

Keadilan membongkar satu lagi bentuk kejanggalan manipulasi daftar pemilih dengan tidak melalui Rang Daftar Pemilih Tambahan (RDPT) yang dipamerkan di setiap suku tahun.

Menurut Naib Presidennya, Fuziah Salleh, kejanggalan itu boleh disifatkan sebagai kegagalan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Malah, beliau tidak menolak kemungkinan ia dimanipulasi dengan sengaja oleh SPR.

“RDPT merupakan ‘audit trail’ di dalam daftar pemilih. Dan SPR wajib boleh ‘tally’ jumlah pemilih di dalam daftar pemilih setiap suku yang disahkan melalui cara ini.

“Sebaliknya didapati SPR gagal berbuat demikian.SPR sewenang-wenangnya masukkan nama dan keluarkan nama, pindahkan nama pemilih tanpa dipamer terlebih dahulu,” kata Ahli Parlimen Kuantan itu pada sidang media di lobi Parlimen pagi tadi yang turut disertai Ahli Parlimen Gombak, Mohamed Azmin Ali.

Sebagai contoh, jelas Fuziah, hasil audit daftar pemilih di antara daftar pemilik induk Suku ke-4 2011 dan daftar pemilih induk Suku Pertama 2012 seperti yang dibekalkan SPR kepada PAC bagi Parlimen Kuantan (P083) mendapati, sebanyak 155 nama pemilih dimasukkan ke dalam daftar pemilih tanpa melalui RDPT.

“Kita mendapati nama yang sudah dipamerkan sebagai pemotongan sebelum ini dimasukkan semula ke dalam daftar pemilih P083 sedangkan tiada bantahan dibuat ke atas nama tersebut.

“Terdapat 40,000 nama di seluruh negara.Sejumlah 15 undi pos (polis dan tentera) dimasukkan tanpa dipamerkan.

“Terdapat juga nama dipindahkan masuk tanpa dipamerkan terlebih dahulu. Mereka ini merupakan pemilih di kawasan lain sebelum ini,” katanya dipetik Media Selangorku.

Kata Fuziah, sebanyak 433 nama pemilih hilang dari daftar pemilih begitu sahaja tanpa dipamerkan.

“Semakan kami menunjukkan jumlah yang besar terus hilang (tiada dalam rekod). Kalau meninggal sekalipun tidak mungkin sampai 400 lebih nama.

“Selain itu sejumlah besar dipindahkan ke kawasan Parlimen lain tanpa dipamerkan (hampir 100 nama) dan jumlah pemilih yang dipamerkan keluar terdiri dari pemilih awam dan pos,” sambungnya.

Justeru, beliau mahu SPR jelaskan mengenai perkara berkenaan.

Tegasnya, keadaan ini membuktikan SPR tidak membersihkan daftar pemilih dan kemungkinan besar ia dilakukan dengan sengaja untuk membantu Umno BN. -KD

Pelajar Tidak Mengakui Berzina Dengan Guru

Pendang – Seorang pelajar lelaki tingkatan empat sebuah sekol ah di sini mendakwa dibuang sekolah kerana dituduh mengadakan hubungan seks dengan guru sandaran yang mengajar subjek bahasa Inggeris.

Gambar: Waris mangsa menunjukkan laporan polis yang dibuat.

Sinar Harian difahamkan pelajar tersebut dituduh melakukan hubungan seks dengan guru terbabit pada 1 Oktober 2012 kira-kira jam 12 tengah malam di rumah guru itu di kuarters guru sekolah berkenaan.

Pelajar mahu dikenali sebagai Wan mendakwa, dia dipaksa beberapa guru sekolah itu supaya membuat surat pengakuan mengadakan hubungan seks dengan guru berusia lingkungan 20-an itu.

Pelajar itu mengaku tidak pernah mengadakan apa-apa hubungan dengan wanita itu, malah guru itu tidak pernah mengajar di dalam kelasnya.

“Saya akui memang baik dengan guru tersebut sejak dia (guru sandaran) mula berkhidmat di sekolah ini kira-kira Februari lalu.

“Namun, saya terkejut bila dipaksa beberapa guru untuk buat surat pengakuan melakukan hubungan seks dengan guru terbabit sedangkan pada waktu kejadian, saya berada di asrama sekolah dan sedang tidur di dalam bilik,” katanya kepada Sinar Harian selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pendang, petang semalam.

Sementara itu, bapa saudara Wan berkata, pihak sekolah ada menghubungi bapa pelajar itu 2 Oktober lalu untuk memintanya datang ke sekolah berkenaan kerana ada masalah, namun enggan memberitahu kisah sebenar.

“Bapanya tidak ke sekolah selepas menerima panggilan pertama kerana sedang bekerja menyebabkan pihak sekolah menghubungi kali kedua hari yang sama kira-kira 12 tengah malam, melalui warden asrama supaya segera datang berikutan masalah disiplin anaknya.

“Apabila sampai ke asrama, warden terus menyuruh membawa semua barang dan pakaian balik ke rumah kerana Wan sudah tidak dibenarkan belajar di sekolah itu selepas terlibat dengan kes zina tanpa menerima sebarang penjelasan dan surat pada malam terbabit,” katanya.

Menurutnya, Wan digantung sekolah dari 2 hingga 15 Oktober lalu serta menerima surat diberhentikan daripada ibu pejabat menyebabkan waris berjumpa dengan pengetua sekolah terbabit mengenai dakwaan itu.

Katanya, apabila perjumpaan diadakan, pengetua sekolah memaklumkan pelajar hanya mempunyai dua pilihan iaitu kekal di sekolah jenis sama tetapi di tempat lain atau memilih ke sekolah harian biasa.

Menurutnya, dia tidak berpuas hati dengan pihak sekolah kerana tidak memberi bukti anak saudaranya terbabit kes itu walaupun diminta waris untuk berbuat demikian.

“Saya syak kes ini ada muslihat kerana pada 4 Oktober lalu, dua guru sekolah terbabit datang ke rumah anak saudara saya di Kampung Guar Kepayang dan meminta kebenaran waris membawa Wan keluar minum.

“Namun, kira-kira dua kilometer perjalanan dari rumah, guru tersebut meminta Wan menyalin pengakuan dalam satu borang bersama tanda tangan dan terus menghantarnya pulang,” katanya.

Menurutnya, anak saudaranya itu merupakan seorang pelajar pintar kerana memperoleh 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan mencapai 8A dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR).

“Saya bimbang pelajarannya terjejas kerana bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun hadapan, tetapi tidak bersekolah lebih sebulan disebabkan kes ini,” katanya.

Mashitah "Keluarkan Fatwa" Di Parlimen: DAP Boleh Digelar ‘Kafir Harbi’ Jika Terus Tolak Islam


Kuala Lumpur: Istilah ‘kafir harbi’ boleh terpakai jika DAP berterusan menentang Islam secara terbuka, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Mashitah Ibrahim di Parlimen hari ini.

“Sekiranya bukan Muslim menentang kepada Islam, mengeluarkan kenyataan seperti melabel bahawa syariah Islam itu ekstremisme, dengan terang menyebut tidak mahu Islam, tidak kiralah nak langkah mayat atau tidak, atau merasakan mempertahankan maruah Islam itu sebagai sesuatu yang membazir tenaga dan masa, maka jelas bahawa ia adalah menentang kepada Islam.”

Mashitah menjawab soalan ahli Parlimen PKR-Tanah Merah Amran Abdul Ghani yang ingin tahu sama ada DAP sememangnya dianggap sebagai ‘kafir harbi’.

Amran merujuk kenyataan pengasas Sekolah Agama Pondok Geting, Tumpat di Kelantan, Abdullah Sa’amah yang mengatakan adalah haram menyokong DAP kerana parti itu menolak Islam.

Mashitah bagaimanapun berkata dalam konteks Malaysia, istilah tersebut tidak membenarkan umat Islam berperang secara fizikal.

“Ia bukan satu istilah yang membolehkan sebarang hukuman bunuh diambil tetapi sebagai satu kajian sikap sama ada kita (Muslim) masih boleh terus berkawan dengan dia ataupun tidak…itu sahaja.

“Jadi tidak timbul soalan tuduhan yang boleh membawa kepada satu hukuman atau sebagainya,” katanya lagi.

Sebaliknya, beliau menegaskan mana-mana pihak yang menuduh seseorang sebagai ‘kafir harbi’ atau ‘kafir zimmi’ boleh didakwa di Mahkamah Sivil di bawah Peruntukan 298(A) Kanun Keseksaan kerana cuba menimbulkan rasa tidak senang hati yang boleh menjurus kepada perpecahan dan memudaratkan keharmonian negara.

“Jika disabitkan kesalahan boleh dipenjara bagi tempoh tidak kurang dari dua tahun dan tidak lebih lima tahun,” katanya.

Jamil: Tiada fatwa kafir harbi atau zimmi

KUALA LUMPUR - Sehingga hari ini tidak ada fatwa atau pandangan hukum berkaitan kedudukan orang bukan Islam di Malaysia sebagai kafir harbi atau kafir zimmi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, sebarang fatwa dan pandangan hukum hanya boleh dikeluarkan oleh badan berautoriti iaitu Jawatankuasa Fatwa Negeri-negeri atau Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI).

"Oleh itu sebarang pendapat atau pandangan hukum oleh mana-mana individu atau institusi selain dua entititi tersebut tidak boeh dianggap sebagai fatwa, sebaliknya sekadar pandangan hukum bersifat peribadi," katanya dalam jawapan bertulis kepada Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Abdul Hadi meminta menteri menyatakan apakah tindakan yang telah diambil terhadap mana-mana pihak terutamanya media yang telah menghukum sebahagian rakyat bukan Islam di negara ini sebagai kafir harbi.

Presiden Pas itu juga berpendapat hukuman seumpama itu boleh menggugat ketenteraman kaum di Malaysia.

Menurut Jamil Khir, kerajaan sentiasa memantau dan mengambil berat terhadap isu-isu agama yang berbangkit di kalangan masyarakat.

"Walaupun kerajaan meyakini akan prinsip kebebasan bersuara dan memberi pandangan, namun perkara-perkara berkait dengan isu-isu agama merupakan isu sensitif bagi umat Islam.

"Tidak wajar bagi seseorang menggunakan kebebasan bersuara sebagai alasan untuk mengeluarkan pandangan yang boleh mengelirukan masyarakat khususnya umat Islam di negara ini," katanya.
-SH

Ulasan GB

Demikian keliru dan celarunya menteri-menteri agama dalam UMNO. Yang seorang kekal menduuh DAP kafir harbi jika tolak Islam sementara yang seorang lagi kata tiada fatwa kafir harbi atau kafir dzimmi.

Bagaimana pula MCA? Takkah kafir harbi apabila mereka menentang hudud dan menghina negara Islam?

Putarbelit Kenyataan Izzah, Media Umno Tak Siuman – Pengerusi Shura

Pengerusi Sekretariat Himpunan Ulama Rantau Asia (Shura), Abdul Ghani Shamsudin mempersoal tahap kewarasan media Umno apabila sanggup memutar belit kenyataan Naib Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar sehingga ada yang mempertikai akidahnya.

Katanya, media Umno seolah-olah diperalat supaya memesongkan pemikiran rakyat kepada parti pemerintah semata-mata pilihan raya semakin hampir.

“Media Umno dah dekat-dekat pilihan raya ini, tahap kesiuman mereka semakin rendah. Oleh kerana itu, kita kena check (semak) dulu apa yang disiarkan mereka.

“Kalau mereka tak tahu pasal agama, jangan berani putar belitkan kenyataan terutama melibatkan soal agama,” katanya ketika dihubungi.

Tegas beliau, tiada apa yang perlu diisukan berhubung kenyataan Nurul Izzah sedangkan beliau hanya menyebut perkara asas dalam surah al Baqarah mengenai beragama.

“Apa yang diperkatakan Nurul Izzah itu betul, cuma mereka (media) putar belit. Tindakan mereka mengaitkannya dengan isu murtad sama sekali tidak betul kerana isunya sekarang kebebasan agama.

“Murtad isu lain…maksudnya ia tertakluk kepada yang sudah beragama Islam. Jadi kenapa media kaitkan isu ini pula,” jelas beliau.

Abdul Ghani berkata, tujuan sebenar media kawalan Umno bukan mahu membela agama, tetapi demi menjaga pemerintah yang di ambang kebangkitan rakyat.

“Tujuan media Umno itu jelas, mereka dipulun setiap hari untuk cari kesalahan parti pembangkang. Sebab itu mereka gunakan media BN untuk burukkan Pakatan Rakyat,” ujarnya.

Isu Nurul Izzah: PAS Sedia Hadap Sultan Jelas Kekeliruan

PAS tidak keberatan untuk menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafudin Idris Shah dalam masa terdekat bagi menjelaskan perkara sebenar kenyataan Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar mengenai hak kebebasan memilih agama.

Ahli Parlimen Kuala Selangor Dr Dzulkefly Ahmad berkata, maklumat sebenar mungkin tidak dijelaskan sepenuhnya kepada Sultan Sharafuddin oleh Majlis Agama Islam (MAIS) menyebabkan baginda memberikan respon sedemikian.

“Saya yakin Sultan tidak mendapat kenyataan Nurul yang sebenarnya.

Kalau tidak saya sendiri boleh menghadap Sultan untuk memberitahu.

“Saya cukup friendly (baik) dengan Sultan. Saya sendiri boleh membawa kenyataan sebenar kepada Sultan,” katanya di lobi Parlimen hari ini.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat itu berkata demikian ketika diminta menjawab mengenai kenyataan MAIS yang menyampaikan kekecewaan Sultan terhadap isu itu.

Pengerusi MAIS, Datuk Setia Mohamad Adzib Mohd Isa dilaporkan semalam berkata, baginda juga menolak sama sekali sebarang pandangan bahawa orang Melayu beragama Islam mempunyai kebebasan untuk memilih agama lain dan keluar agama Islam.

Dzulkefly berkata, beliau bersedia menjelaskan perkara yang sebenar kepada Sultan sehingga bagaimana ia boleh diputarbelitkan sehingga ditafsirkan sebagai menggalakkan murtad.

Informasi sebenar

“Saya ahli Parlimen negeri Selangor dan tentunya saya yakin atas menjaga martabat Sultan saya sendiri boleh mengangkat informasi yang sebenarnya,” katanya.

Beliau bagaimanapun, berkata tindakannya itu bukan bermakna secara peribadi mahu mempertahankan Nurul Izzah sebaliknya ia soal hukum agama yang sengaja dipolitikkan oleh pihak berkepentingan.

“Saya yakin seperti (Datuk) Hasan Ali dan semua yang buat kenyataan mereka tidak berlaku adil untuk benar-benar tak meneliti apa yang disebutkan Nurul.

“Tak bermakna sebagai orang PAS dan Pakatan saya pertahan Nurul tetapi saya mahu suarakan apa yang benar.

“Jangan sampai kerana kepentingan politik kepartian sanggup (memutarbelitkan hukum agama)…bayangkan orang yang komited pada agama, sembahyang lima kali sehari boleh dikatakan mengajak orang keluar agama dan dia boleh percaya,” katanya.