11 Ogo 2012

[BERGAMBAR] Monorel Terkandas Di Ibu Kota, 183 Terperangkap


Monorel terkandas di hadapan Wisma Monorail, Jln Tun Sambathan Brickfields, Kuala Lumpur. Dianggarkan lebih 100 orang terperangkap... Kerja-kerja penyelamatan sedang dijalankan oleh Bomba.Mari Doakan semoga semuanya selamat .

Monorel KL rosak, 183 penumpang cemas

KUALA LUMPUR - Kira-kira 183 penumpang berdepan detik mencemaskan apabila monorel yang dinaiki rosak dan tersangkut di atas landasan di Brickfields hari ini.

Jurucakap bilik gerakan Balai Bomba dan Penyelamat Hang Tuah berkata pihaknya menerima panggilan pada kira-kira 2.18 petang.

"Monorel itu tersangkut berhampiran Stesen Tun Sambanthan sejurus keluar dari stesen tersebut menuju ke Stesen seterusnya, iaitu Maharajalela," katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau berkata seramai 35 anggota bomba dan enam jentera dari Balai Bomba Hang Tuah, Taman Desa, Pantai, Sri Hartamas bergegas ke tempat kejadian selepas menerima panggilan.

"Kami menyelamatkan 63 mangsa menggunakan kren bomba dan selebihnya menggunakan kaedah 'train-to-train evacuation' untuk menolak tren terbabit ke stesen Tun Sambanthan," katanya sambil menambah operasi menyelamat tamat pada kira-kira 4 petang.

Sementara itu, Pengurus Hal Ehwal Media Syarikat Prasarana Negara Berhad Azhar Ghazali berkata kejadian berlaku pada 1.58 petang ekoran masalah 'traction Control' yang menyebabkan enjin berhenti secara automatik.

"Bagaimanapun, operasi berjalan seperti biasa pada 4.30 petang selepas operasi membaik pulih monorel selesai," katanya.

Beliau berkata seramai tiga penumpang dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur kerana seorang daripada mereka pengsan manakala dua lagi sesak nafas berikutan kejadian itu.

Sementara itu, seorang penumpang, Nur Izzah Nazihah Hasnul Bahrin, 14, dari Nilai, berkata sejurus sebelum insiden itu, tren yang bergerak seperti biasa tiba-tiba berhenti secara mengejut.

"Enjin tren berhenti secara tiba-tiba dan penghawa dingin juga tidak berfungsi," katanya.

Beberapa minit kemudian, beliau berkata semua penumpang mula cemas apabila terlihat dua orang pengsan akibat sesak nafas, selain keadaan yang panas di dalam tren itu.

"Satu jam kemudian, kami semua amat gembira apabila melihat anggota bomba tiba dan menyelamatkan semua penumpang," katanya.

Sementara itu, seorang pelancong dari England yang hanya ingin dikenali sebagai Matthew, 27, berkata keadaan di dalam tren amat sesak sebelum beliau menaikinya di Stesen Tun Sambanthan untuk ke Stesen Maharajalela.

"Ketika tren tiba-tiba berhenti masih ada penumpang yang ketawa kerana tidak menyedari apa yang sebenarnya berlaku," katanya. - Bernama









foto: ondscene.my/bernama



Gambar Berbicara: Anda Mampu Menilainya!








BUKANKAH IA CUKUP JELAS DAN CUKUP NYATA?

MAKA PILIHAN KINI DI TANGAN ANDA!



Laporan sebelum ini
klik untuk baca





[DEDAH] Mahathir Dalang Projek IC/Mykad Di Sabah Semasa Beliau PM

Parti-parti politik Sabah ‘seperti mati’ selepas era Dr Mahathir

KUALA LUMPUR, 10 Ogos — Parti-parti politik di Sabah seperti “sudah mati” selepas Tun Dr Mahathir Mohamad berkuasa menjadi perdana menteri dengan kehadiran ramai pendatang tanpa izin ke negeri itu, kata timbalan pengerusi Parti Perubahan Negeri (Star), Daniel John Jimbun.

Beliau mendakwa projek IC Dr Mahathir telah menyebabkan ramai warga asing menjadi pengundi dalam pilihan raya dan kepentingan penduduk asal tidak lagi diambil kira.

“Kenyataan Dr Mahathir pada hari Rabu yang lalu tentang warga asing yang sudah tinggal di Sabah harus mendapat kewarganegaraan sangat membahayakan, dan Star mencabar parti-parti komponen BN di Sabah supaya keluar agar dapat membela warga tempatan,” katanya lagi.

“BN Sabah tidak seharusnya mempertahankan kenyataan Dr Mahathir, kerana kenyataan ini mendahului Suruhanjaya Di Raja (RCI) mengenai isu ini,” kata Jimbun lagi.

Katanya, dalam tulisan blog terbaru, Dr Mahathir seolah-olah menghalalkan mereka untuk datang ke negeri Sabah dan seterusnya mengenepikan warga asal Sabah.

“Seharusnya kita mempunyai Perlembagaan yang baru untuk tahun 1963, tetapi sebaliknya Perlembagaan yang digunakan adalah Perlembagaan Malaya yang kemudiannya ditukar menjadi Perlembagaan Malaysia.

“Tulisan beliau dalam blog menunjukkan beliau terlibat dalam Projek IC yang memberi MyKad kepada warga asing tanpa izin di Sabah,” kata Jimbun lagi.

Jimbun memberi contoh seperti Majid Kani yang dilahirkan di Tamil Nadu, dan tidak pernah tinggal di Sabah lebih dari sepuluh tahun mengikut perjanjian semasa Sabah menyertai Malaysia, namun diberikan MyKad dan dibenarkan mengundi.

“Pendatang tanpa izin tidak seharusnya diberikan kewarganegaraan hanya kerana kebolehannya bercakap bahasa Malaysia, tetapi kewarganegaraan harus diberi jika dia hanya memasuki negara ini dengan sah dan bukan dari jalan belakang,” kata Jimbun lagi.

Jimbun bagaimanapun berkata, pendatang tanpa izin ini perlu diberi pengampunan dan dilayan dengan penuh kemanusiaan, seperti menghantar mereka pulang, atau hanya mengenakan denda sekurang-kurangnya RM300 seperti di tahun 1965 di Semenanjung Malaysia, dan nama mereka perlu dibuang dari senarai pemilih pilihan raya.

“Adalah lebih baik pengampunan ini dilakukan sebelum pilihan raya umum ke-13 sejak banyak nama mereka berada dalam senarai pemilih, bahkan mereka ini ada yang bekerja dalam sektor kerajaan, termasuk di Jabatan Tanah dan memegang jawatan di jabatan-jabatan negeri dan persekutuan,” kata Jimbun lagi. -TMI


Mahathir: RCI Sabah tak perlu

Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berpendapat, penubuhan Suruhanjaya Diraja (RCI) bagi menyiasat isu pendatang asing diberikan kerakyatan atau lebih dikenali sebagai ‘Projek IC' di Sabah, tidak perlu.

"Mereka berhak minta kerakyatan. Saya harap kita tak ada usaha untuk keluarkan mereka.

"RCI sebenarnya tidak perlu. Kerajaan akan bermasalah jika mengetahui sebarang keputusan suruhanjaya itu.

"Pembangkang akan mengatakan perkara ini dimanipulasi dan jika tidak kerajaan yang akan dipersalahkan," katanya.

Selain itu, bekas perdana menteri yang berkhidmat kira-kira 22 tahun itu berkata, beliau sebelum ini juga pernah didakwa menjadi dalang memberikan kerakyatan kepada pendatang asing.

"Saya dituduh kononnya untuk bawa orang ini. Kita tak payah bawa, mereka datang sendiri. Mereka bukan orang asing.

"Mereka dah tinggal di Sabah sekian lama. Mungkin mereka rasa Sabah lebih selamat sebab itu mereka tinggal di sana," katanya lagi.

Sementara itu, mengulas tema 'Janji Ditepati', Mahathir berkata, menjadi hak kerajaan sama ada ingin menggunakan tema itu atau tidak.

"Tema pembangkang itu tunjuk mereka sedang keliru tak tau nak buat apa. Tak apalah itu pembangkang.

"(Janji Ditepati) Itu kerajaan punya hak nak buat keputusan slogan yang dia guna. Kalau janji, mestilah kena tunaikan," kata Dr Mahathir.
-mk


Ulasan GB

Patutlah TDM kata RCI tidak perlu, rupanya beliau sudah tahu bahawa RCI akan membongkar skandal pemberian Mykad yang telah berlaku sejak beliau jadi PM lagi.

Bukti keresahan TDM ialah jawapannya ini:

"RCI sebenarnya tidak perlu. Kerajaan akan bermasalah jika mengetahui sebarang keputusan suruhanjaya itu."

Bangun rakyat Sabah, tolak BN pada PRU13 nanti!

Mengapa Polis Terang-terangan Beri Layanan Istimewa Kepada Shahrizat?

Gesa KPN jawab mengapa Shahrizat dapat layanan istimewa polis

KUALA LUMPUR 10 Ogos: Naib Presiden KEADILAN, N Surendran mempersoalkan layanan istimewa polis terhadap pimpinan Umno semasa hadir ke perbicaraan mahkamah.

Katanya, Umno menggunakan polis seperti pasukan keselamatan peribadi mereka apabila mengawal ketat Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Jalil yang hadir ke mahkamah pagi semalam.

“Umno gunakan polis umpama pengawal keselamatan peribadi. Mengapa pimpinan Umno boleh dapat layanan istimewa seperti yang diperolehi Shahrizat?” tulis Surendran dalam twitternya.

Berikutan itu, beliau mahu Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Ismail Omar menjawab berhubung perkara ini.

“KPN mesti jelaskan mengapa pimpinan Umno seperti Shahrizat boleh dapat eskot polis bila hadir ke mahkamah. Mengapa ada layanan istimewa?" soal Surendran lagi.

Terdahulu, sekumpulan polis berkawal di luar mahkamah menyambut ketibaan Shahrizat bersama konco-konconya, sebelum mengiringi beliau masuk ke mahkamah.

Turut serta, penyokong-penyokong beliau termasuk kalangan Wanita Umno diangkut menaiki van ‘Skuad Sayang’ untuk memenuhi ruang mahkamah. -KD



[VIDEO] Nelayan Bantah Projek Kolam Udang Milik Noh Omar

Tanjong Karang : Kira-kira 150 petani dan nelayan mengadakan perhimpunan aman di hadapan pintu masuk projek kolam udang yang didakwa dimiliki oleh Datuk Seri Noh Omar di mana kewujudan kolam berkenaan menjejaskan sumber pendapatan mereka.

Adun Sekinchan, Ng Suee Lim berucap dalam bantahan itu berkata, Noh selaku Menteri Pertanian Dan Industri Asas Tani tidak wajar terlibat dalam projek penternakan udang itu kerana ia akan mewujudkan percanggahan kepentingan.

Suee Lim mendakwa memiliki dokumen yang menunjukan Noh memiliki tanah kerajaan semasa pentadbiran BN sedangkan rakyat Tanjong Karang dan Sungai Burong sukar untuk mendapatkan tanah bagi membina rumah.

“Tetapi ada pemimpin dapat tanah bukan satu dua ekar tetapi dapat 30 ekar iaitu Noh Omar yang merupakan Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Selangor merangkap Ahli Parlimen Tanjong Karang, apa keistimewaan Noh Omar rakyat hendak tanya”? soal Suee Lim.

Menurut Suee Lim, beliau mendesak Noh tampil memberikan penjelasan kepada rakyat berhubung kaitannya dengan projek kolam itu pada kadar segera.

“Kalau Noh gagal menjawab persoalan yang kita bangkitkan kenapa beliau boleh mendapatkan 30 ekar tanah dan apakah keistimewaan beliau, maka beliau perlu meletakkan jawatannya,” tegas Suee Lim.

Dakwanya lagi, dalam dokumen yang perolehinya itu menunjukkan adanya akuan bersumpah yang menunjukkan adanya kerjasama antara Noh dengan syarikat Pristine Agrofood Sdn Bhd yang melaksanakan projek penternakan udang itu.

Sementara itu, Naib Yang Dipertua PAS Tanjong Karang, Misran Serman berkata kawasan itu tidak wajar diterokai kerana ia adalah tanah simpanan hutan kayu bakau yang dijadikan sebagai pemampan daripada berlakunya hakisan pantai.

“Sebelum ini apabila penduduk kampung membuat penerokaan hutan akan ditangkap oleh Jabatan Hutan.

“Dalam jarak 100 meter daripada pantai tidak boleh dilakukan aktiviti pertanian dan ini menyalahi akta alam sekitar,” katanya.

Misran mendakwa sejak kewujudan kolam udang ini disyaki hasil kerang dan laut berkurangan sehinggakan menjejaskan pendapatan nelayan.

“Saya anggarkan yang terjejas daripada kewujudan kolam udang ini lebih daripada 1,000 orang,sekarang ini mereka tidak dapat pergi ke laut untuk mencari hasil,” katanya.

Sebelum ini, petani Manan Osman,54, mendakwa sebelum wujudnya kolam udang ini pendapatan para petani di kawasan ini agak lumayan berbanding sekarang ekoran kehadiran monyet-monyet yang banyak memasuki kawasan pertanian ekoran penerokaan hutan yang menjadi habitat hidupan liar itu.

“Saya memang membantah sekeras-kerasnya projek ini.Sikap Noh Omar tidak memahami hati rakyat,petani terlalu risau memikirkan bagi mengatasi masalah yang dihadapi kami sekarang,” ujarnya.

Sehingga berita ini ditulis, usaha Selangor Kini menghubungi Setiausaha Politik kepada Noh iaitu Datuk Mohammed Shafie Asnami untuk mendapatkan respon berkenaan bantahan petani berkenaan belum berhasil kerana beliau diberitahu masih berada dalam mesyuarat.

Noh Omar Sembunyikan Penglibatan Di Dalam Usahasama Kolam Udang

SHAH ALAM, 10 OGOS: Adun Sekinchan, Ng Suee Lim mendakwa Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar menyembunyikan fakta dan gagal menjawab dakwaan yang beliau terlibat di dalam projek ternakan udang di Tanjong Karang.

Katanya, Noh gagal memberikan kenyataan balas mengenai dakwaan terdapat surat akuan sumpah syarikat Pristine Agrofood dan kaveat ke atasnya.

Dokumen tersebut kata Suee Lim, menunjukkan yang pengilbatan Noh di dalam kolam udang itu adalah lebih daripada pemilik tanah yang hanya menyewakan tanahnya semata-mata.

“Perkataan ‘usaha sama’ dalam dokumen itu membuktikan Noh Omar turut mengusahakan projek itu dan jika beliau menyatakan hanya menyewakan sahaja tanahnya, seharusnya perlu ada perkataan ‘tendency agreement’ iaitu perjanjian sewa.

“Beliau tidak boleh mengelak dan hanya menafikan tanpa memberikan fakta sebenar mengenai tanah miliknya dan projek udang itu,” katanya ketika dihubungi TVSelangor hari ini.

Ng berkata, terdapat satu kaveat agar Noh terus menyewakan tanahnya seperti dipersetujui kedua-dua pihak.

Di dalam laporan portal Malaysiakini semalam, Noh berkata beliau menyewakan tanah seluas 30 ekar miliknya kepada syarikat itu dan tidak terlibat mengusahakan projek udang tersebut.

Pengarah Pristine Agrofood, Chu Bak Teck juga turut menafikan penglibatan Noh Omar dan menyatakan beliau hanya menyewakan tanahnya sahaja.

Menurut Suee Lim, Noh Omar juga perlu menjelaskan kepada rakyat bagaimana beliau mendapat tanah 30 ekar itu daripada Kerajaan Negeri dengan mudah.

Pada Sidang Dewan Negeri Selangor pada Julai 12, Suee Lim mendedahkan yang Noh membeli tanah itu pada 13 Jun 1995.

Hasil carian di laman web Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) menunjukkan Noh memenangi kerusi Ahli Parlimen Tanjong Karang buat kali pertama pada April 1995.

“Apakah keistimewaan seorang menteri yang boleh memiliki tanah seluas itu dan hanya membayar premium sebanyak RM 9,760 sahaja sedangkan rakyat terpaksa bersusah payah hanya untuk memiliki tanah sendiri,” katanya.

Di dalam dakwaannya sebelum ini, Suee Lim mendakwa nilai sebenar tanah itu ketika Noh membelinya adalah RM 3 juta.

Ng turut berkata, beberapa pendedahan susulan akan dibuat dan pihaknya sudah memberikan maklumat kepada Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) untuk tindakan lanjut.
-selangorku





KPN Perlu Hormat Mahkamah Yang Isytiharkan BERSIH & Pakaian BERSIH Tidak Haram

Janji Bersih bukan politikkan Merdeka - Pak Samad

Kuala Lumpur: Datuk A.Samad Said menyangkal dakwaan pihak polis kononnya program 'Janji Bersih' di Dataran Merdeka 30 Ogos ini sebagai cuba mempolitikkan sambutan Merdeka.

Pengerusi Bersama Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) itu berkata, perkara itu tidak timbul kerana program itu dibuat bersama 26 kelompok NGO yang mahu janji Bersih lalu ditunaikan.

"Memang tidak wujud (mempolitikkan sambutan merdeka), oleh kerana Bersih sendiri itu pun bukan badan politik, apa lagi dengan gabungan badan-badan yang lain.

"Untuk IGP berfikir bahawa ini satu perlawanan oleh Bersih, itu tidak betul," katanya ketika ditemui pada majlis berbuka puasa anjuran Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan di Gombak petang tadi.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas gesaan Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar agar gabungan NGO itu tidak mempolitikkan sambutan ambang merdeka dengan berbaju kuning di Dataran Merdeka 30 Ogos ini.

Semalam 26 NGO termasuk Bersih menyatakan hasrat untuk 'menguningkan' Dataran Merdeka dalam program dinamakan "Janji Bersih" bagi menuntut janji kerajaan untuk memastikan wujudnya pilihan raya bersih dan adil pada malam ambang merdeka itu nanti.

"Kuning bukan warna yang haram. Kehadiran dengan baju kuning itu hanya simbolik.

"Perjuangan itu untuk menuntut janji bersih (yang belum ditunaikan)," katanya.


Ulasan GB

KPN perlu jelas bahawa tidak ada unsur politik di dalam program JANJI BERSIH kerana ia dibuat bersama 26 kelompok NGO. NGO bukan parti politik.

Dan lagi, KPN perlu menghormati keputusan mahkamah yang telah mengisytiharkan bahawa BERSIH bukan pertubuhan haram. Dan pemakaian baju BERSIH berwarnna kuning tidak salah di sisi undang-undang. Lihat berita-berita yang dilampirkan ini:

Bersih 2.0 Bukan Pertubuhan Haram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi pada Selasa membatalkan perintah Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein pada 1 Julai tahun lepas yang mengisytiharkan Bersih 2.0 sebagai pertubuhan haram.

Hakim Datuk Rohana Yusof berkata beliau membenarkan petisyen 14 anggota Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0, termasuk Datuk S. Ambiga, untuk membatalkan perintah menteri itu berdasarkan Bersih 2.0 terdiri daripada gabungan badan berdaftar.

Dalam penghakiman setebal 30 muka surat, Rohana memutuskan keputusan mengisytiharkan Bersih 2.0 sebuah pertubuhan haram dibuat tanpa mengambil kira fakta berkaitan atau mengambil kira fakta yang tidak relevan.

"Pada pendapat saya, keputusan itu dicemari kerana dibuat secara tidak rasional," katanya.


Rohana berkata alasan mengeluarkan pengisytiharan mengikut Sekysen 5 Akta Pertubuhan 1966, seperti yang dinyatakan dalam pengumuman oleh menteri (responden pertama Hishammuddin), tidak boleh berubah dalam tempoh beberapa hari.

"Adalah tidak munasabah bagi sesebuah pertubuhan yang didapati menyalahi undang-undang untuk alasan serius, seperti digunakan bagi maksud memudaratkan ketenteraman awam dan keselamatan negara pada 1 Julai, dan kemudian tidak lagi pada 5 Julai 2011," katanya.

Pada 8 Julai tahun lepas, Ambiga dan 13 anggota berkenaan memfailkan permohonan semakan kehakiman bagi membatalkan perintah Hishammuddin yang mengisytiharkan gerakan itu sebagai pertubuhan haram.

Mereka menamakan Menteri Dalam Negeri, Ketua Polis Negara (KPN) dan kerajaan sebagai responden.

Selain memohon perintah certiorari untuk membatalkan pengisytiharan perintah itu, mereka juga mahukan satu deklarasi bahawa perintah itu batal dan tidak sah serta tiada mempunyai kesan.

Rohana berkata walaupun boleh dikatakan Bersih 2.0 adalah sebuah pertubuhan yang digunakan bagi maksud memudaratkan keselamatan sebelum perintah itu dibuat, ia tidak boleh menjadi kes seminggu, kerana selepas itu alasan berkenaan tidak lagi sah atau digunakan.

Rohana berkata mahkamah juga turut menimbangkan notis kehakiman kenyataan awam menteri (Hishammuddin) yang membenarkan perhimpunan Bersih 3.0 pada 28 April lepas tertakluk kepada syarat-syarat yang ditetapkan pihak berkuasa.

Beliau menekankan bahawa keputusan untuk mengharamkan Bersih 2.0 adalah menceroboh hak yang dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan dan tidak harus dibuat secara sewenang-wenangnya.

Selain itu, beliau berkata tiada tindakan diambil di bawah Akta Pertubuhan terhadap pemohon walaupun mereka mengambil bahagian dalam perhimpunan itu selepas menteri membuat pengisytiharan.

"Secara ringkas, Bersih 2.0 tidak boleh menjadi sebuah pertubuhan yang digunakan bagi maksud menjejaskan keselamatan pada 1 Julai 2011, kemudian tidak lagi seminggu selepas itu. Malah sekiranya ia adalah sedemikian, jadi pengisytiharan itu harus diketepikan sewajarnya,"
kata Rohana.

Peguam Kanan Persekutuan Azizan Md Arshad berkata beliau perlu mengkaji penghakiman bertulis itu terlebih dahulu sebelum mendapatkan arahan lanjut daripada Pejabat Peguam Negara.

Sementara itu, seorang peguam pemohon, K. Shanmuga memberitahu pemberita dengan keputusan itu, Bersih 2.0 bukan lagi sebuah pertubuhan haram.
-mstar


Mahkamah bebas ahli PAS pakai baju Bersih

KUANTAN, 29 Sept: Mahkamah Sesyen di sini, semalam membebaskan tanpa melepaskan dua ahli PAS yang ditangkap di Rompin 2 Julai lalu kerana memakai baju kuning berlogo Bersih 2.0.

Mohd Fadzli Ramly, 33, seorang peguam ialah AJK Pemuda PAS Pahang sementara Abdul Manaf Md Hassan, 41, merupakan AJK PAS Dun Tioman.

Ketika dihubungi, Mohd Fadzli berkata beliau masih belum berpuas hati dengan keputusan berkenaan dan mahkamah masih belum memulangkan baju-T yang dirampas daripadanya sebelum ini.

"Ini tuduhan mengarut dibuat akibat rasa terdesak kerajaan Umno dan BN hendak menyusah dan menakut-nakutkan rakyat yang menuntut pilihan raya bersih dan adil.

"Kami akan ambil tindakan saman ke atas kerajaan," katanya yang juga Pengarah Pilihan Raya PAS kawasan Dewan Undangan Negeri Tioman.

Sebelum ini mereka dituduh di bawah Seksyen 47 Akta Pertubuhan kerana memakai baju sebuah pertubuhan haram.

Pendakwaan dilakukan ketua unit pendakwaan negeri Pahang, Kalmizah Salleh manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Hon Kai Ping dan Hisham Ramzam di hadapan Hakim Fathiyah Idris.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa memiliki pakaian yang tertera tulisan Bersih 2.0 yang menuntut pilihan raya bersih dan adil bagi kepentingan suatu pertubuhan yang menyalahi undang-undang, di markas PAS Kampung Mentara, Rompin, kira-kira jam 10.50 malam, 2 Julai lalu.

Bagi kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 47 Akta Pertubuhan 1966 (Akta 335) yang memperuntukkan hukuman penjara dua tahun atau denda RM5,000 atau kedua-duanya sekali kerana menyiar dan memiliki perkataan yang tertera bagi kepentingan pertubuhan haram.

Kedua-duanya dikenakan jaminan sebanyak RM3,000 bagi setiap tertuduh dengan seorang penjamin.

Sementara itu, turut meraikan pembebasan mereka ialah Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang juga Menteri Besar Kelantan, Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang, Ustaz Yusuf Embong dan ahli-ahli PAS.
-HD