4 Apr 2012

Penasihat PM Ketuai J/K Beri IC Kepada Rakyat Asing, Tubuh Suruhanjaya Siasatan Segera!

RCI IC perlu sebelum PRU13

KUALA LUMPUR: PAS mahu Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) bagi menyiasat pemberian kad pengenalan (IC) kepada warga asing ditubuhkan secepat mungkin sebelum Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU13) berlangsung.

Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar berkata RCI itu penting bukan sahaja di Sabah tapi seluruh negara bagi menyiasat isu pemberian kad pengenalan palsu kepada warga asing seterusnya didaftarkan menjadi pengundi pilihan raya.

Katanya, penubuhan itu perlu dilakukan segera memandangkan dakwaan wujudnya satu badan bertindak yang mengendalikan projek pemberian IC kepada rakyat asing.

Ahli Parlimen Pokok Sena mendakwa antara individu yang terlibat adalah Setiausaha Majlis Keselamatan Negara Datuk Tajuddin Wahab, Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Wan Ahmad Wan Omar dan diketuai Pegawai Penasihat kepada Perdana Menteri Datuk Othman Razak.


“Ini dakwaan serius kerana saya anggap seperti menjual negara kepada rakyat asing.

Politik terdesak

“Kerajaan Barisan Nasional (BN) tak mampu berhadapan dengan politik terdesak apabila menghadapi kebangkitan rakyat dengan membawa warga asing dan memastikan mereka mengundi Umno-BN,” katanya dalam sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Sekiranya RCI dibentuk, Mahfuz berkata beberapa individu lain juga perlu diheret dan dipanggil untuk memberi keterangan mengenai dakwaan mereka melakukan tugas kerja tersebut mengikut arahan yang diketuai Othman.

Mereka adalah Timbalan Ketua Kementerian Dalam Negeri Datuk Alwi Ibrahim, Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Datuk Jariah Mohd Said, Pegawai JPN Nik Norashikin Nik Mansor, Pegawai Bahagian Kewarganegaraan JPN Rashid Bashirun dan Shahrul Anwar Ahmad Zaidi.

Beliau bimbang jika benar dakwaan ini berlaku, hak rakyat akan dikuasai warga asing malah masa depan negara turut ditentukan warga asing.

“RCI sangat penting dan perlu dibentuk segera dan laporan dikemukakan sebelum PRU13…sebelum laporan dikemukakan kepada orang awam, PRU13 tak boleh diadakan sama sekali,” tegasnya. -FMT


Anggota 'task force' pengundi warga asing didedah

KUALA LUMPUR, 4 April: Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar mendedahkan wujudnya 'task force' yang bertanggungjawab memberi taraf kerakyatan kepada warga asing bagi membolehkan mereka mengundi dalam pilihan raya nanti.

Menurut Mahfuz 'task force' tersebut diketuai oleh Penasihat Khas Perdana Menteri Datuk Osman Razak, Setiausaha Majlis Keselamatan Negara Datuk Tajuddin Wahab, dan Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wan Ahmad Wan Omar.

Bukan itu sahaja, Mahfuz turut mendedahkan beberapa pegawai di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang dikatakan terlibat sama antaranya, Ketua Pengarah Pendaftaran Negara Datuk Jariah, Nik Norashikin Nik Mansur, Rashid Basiron, dan Shahrul Anwar Ahmad Zahidi,

Jelas Mahfuz, isu ini amat serius seolah-olah memperlihatkan kerajaan mahu menjual negara kepada rakyat asing.

"Kerajaan BN tidak boleh berhadapan dengan politik terdesak dengan mengatasi, membawa warga asing untuk mengundi BN.



(Wan Ahmad [atas] dan Tajuddin Wahab [bawah], dua tokoh penting di belakang task force, dakwa Mahfuz)

"Apabila lonjakan kebangkitan rakyat negara ini mahu menolak BN, tidak boleh diatasi dengan membawa warga asing untuk diberikan kerakyatan bagi memastikan mengundi Umno BN. Ini sangat berbahaya!" katanya.

Kebimbangan ini, katanya akan menafikan hak rakyat di mana hak itu diboloti oleh warga asing akhirnya masa depan negara akan di tentukan oleh mereka.

"Saya percaya keputusan rakyat selepas ini akan dimanipulasi oleh warga asing," katanya dalam sidang media hari ini di bangunan Parlimen.

Katanya, kerajaan boleh memanggil ketiga-tiga mereka serta pegawai JPN berkenaan bagi menjawab dakwaan itu melalui Suruhanjaya Diraja yang dibentuk.

"Sebab itu kita desak kerajaan bentuk Suruhanjaya Diraja bagi menjawab segala dakwaan yang timbul dan suruhanjaya itu boleh memanggil mereka yang terlibat.

"Kalau sekarang hendak panggil mereka, siapa yang berani? Perdana Menteri pun tidak," katanya.

Tambahnya, Suruhanjaya Diraja amat penting dibentuk dengan segera bagi mengenalpasti tentang semua dakwaan yang dibuat berhubung pemberian taraf kerakyatan bagi membolehkan warga asing mendaftar dalam daftar pemilih.

Mahfuz berkata, suruhanjaya ini harus di bentuk sebelum pilihan raya umum ke-13.

"Sebelum report dikemukakan kepada awam pilihan raya ke-13 tidak boleh diadakan sama sekali," katanya.
-HD


PAS dedah 'pasukan khas' ambil rakyat asing jadi pengundi


Naib Presiden PAS, Mahfuz Omar hari ini mendakwa beliau mempunyai bukti untuk menunjukkan bahawa kerajaan telah menubuhkan pasukan petugas yang bertanggungjawab memberi taraf kerakyatan kepada warga asing bagi membolehkan mereka mengundi dalam pilihan raya umum akan datang.

Mahfuz dipetik oleh organ rasmi PAS Harakahdaily menamakan seorang pembantu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, dan pegawai-pegawai kanan Majlis Keselamatan Negara, Jabatan Pendaftaran Negara dan Suruhanjaya Pilihan Raya.

Nama-nama mereka tidak disiarkan oleh Malaysiakini sementara menunggu pengesahan.

"Kerajaan BN tidak boleh berhadapan dengan politik terdesak dengan mengatasi, membawa warga asing untuk mengundi BN," katanya dalam sidang akhbar di lobi Parlimen hari ini.

Berikutan itu, beliau mendesak kerajaan membentuk Suruhanjaya Diraja bagi menjawab segala dakwaan yang timbul dan suruhanjaya itu, tambahnya, boleh memanggil mereka yang terlibat.

Ketika ditemui kemudian, Mahfuz enggan mendedahkan bagaimana beliau mendapat maklumat tersebut.

"Ini adalah maklumat yang diperolehi dari dalam," jawab Mahfuz.

Sementara itu, dalam satu kenyataan, Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS, Ridhuan Mohd Nor berkata dakwaan itu "amat serius" dan melibatkan integriti serta kedaulatan negara.

Tahun lepas, aktivis PAS telah mengesan bas yang membawa warga asing di sebuah resort di Sungai Merab, yang dikatakan sebahagian penipuan MyKad.

Polis, bagaimanapun, mendakwa bahawa warga asing berada di sana untuk kursus keusahawanan.

Laporan tambahan oleh S Pathmawathy di Parlimen.
-mk


Pendedahan Mahfuz serius, hukum pengkhianat negara

KUALA LUMPUR, 4 April: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) menegaskan PRU13 adalah hak rakyat Malaysia yang sah, bukan hak warga asing yang diberikan taraf kerakyatan dan seterusnya diberikan peluang untuk mengundi.

Justeru, DPPM memandang serius kenyataan Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar bahawa wujudnya task force yang bertanggungjawab memberi taraf kerakyatan kepada warga asing bagi membolehkan mereka mengundi dalam pilihan raya.

Mahfuz yang juga Naib Presiden PAS mendedahkan task force tersebut diketuai oleh Penasihat Khas Perdana Menteri Datuk Osman Razak, Setiausaha Majlis Keselamatan Negara Datuk Tajuddin Wahab, dan Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wan Ahmad Wan Omar.

Malah beberapa pegawai di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang dikatakan terlibat sama antaranya, Ketua Pengarah Pendaftaran Negara Datuk Jariah, Nik Norashikin Nik Mansur, Rashid Basiron, dan Shahrul Anwar Ahmad Zahidi.

Ketua Penerangan DPPM, Riduan Mohd Nor (gambar) berkata, pihaknya berpandangan, pendedahan Mahfuz itu merupakan sesuatu yang amat serius kerana ia melibatkan integriti serta kedaulatan negara.

“Sekiranya rakyat asing sudah diberikan taraf kerakyatan negara ini dan seterusnya dibenarkan untuk mengundi dalam PRU13, ini menandakan tahap keselamatan negara sudah berada dalam keadaan bahaya,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Ini, katanya memberi gambaran bahawa bila-bila masa sahaja negara boleh dijual kepada warga asing oleh mereka yang mengkhianati amanah rakyat sebagai pemimpin kanan kerajaan.

Menurutnya, pendedahan itu membenarkan lagi telahan banyak pihak bahawa BN sedang merancang untuk melakukan penipuan secara besar-besaran bagi menghadapi PRU13.

Justeru, ujarnya DPPM merasa amat kesal kerana BN tidak bersikap ‘gentleman’ dan tidak bersedia menghadapi kenyataan dengan menerima apa juga keputusan rakyat dalam pilihan raya.

Menurut Riduan lagi, BN terlalu terdesak mengekalkan kuasa meskipun ditolak oleh rakyat sehingga sanggup mengambil warga asing sebagai warga negara dan sebagai pengundi.

“Bahkan, BN tergamak memperkudakan agensi kerajaan bagi meraih kepentingan diri mereka dan tidak kisah sekiranya integriti agensi kerajaan seperti SPR dan JPM jatuh menjunam serta menjadi cemuhan rakyat tempatan mahupun masyarakat antarabangsa,” ujarnya.

Justeru, katanya, DPPM bersetuju supaya Suruhanjaya Diraja dibentuk bagi menyiasat kenyataan Mahfuz itu.

Beliau menegaskan, sekiranya benar dakwaan itu, kesemua nama yang disebut perlu diseret ke muka pengadilan meskipun ia akan menjerat sama pemimpin negara.

“Mereka ini adalah pengkhianat negara dan tidak mungkin ada kemaafan bagi mereka,” tegasnya lagi.

Sehubungan itu, beliau menambah DPPM turut mendesak Perdana Menteri menangguhkan pilihan raya sehingga Suruhanjaya Diraja selesai melakukan siasatan terhadap dakwaan itu.
-HD


Hassan Ali Belum Serah Video Murtad Kepada MAIS

Kami masih menunggu video murtad Hasan Ali, kata pengerusi MAIS

KUALA LUMPUR, 4 April — Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) masih menunggu video bukti kegiatan murtad yang dimiliki Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia Datuk Dr Hasan Mohamed Ali sebelum mengambil tindakan selanjutnya.

Bagaimanapun Pengerusi MAIS Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa berkata Hasan yang juga ahli jawatankuasa agensi itu telah menjelaskan tentang perkara itu pada mesyuarat yang diadakan semalam.

Jelas beliau, tindakan selanjut tidak boleh dilakukan sekiranya Hasan tidak menyerahkan video tersebut.

"Mais bersedia menerima video berkaitan kegiatan murtad untuk kita buat siasatan lanjut...kita akan terima apa-apa bukti lain termasuk video.

"Beliau (Hasan) telah memaklumkan perkara ini kepada kita, beliau sudah jelaskan apa yang beliau lakukan dan kita akan ambil tindakan selanjutnya jika menerima video itu," katanya kepada The Malaysian Insider.

Kelmarin Hasan membuat pendedahan tentang kegiatan murtad yang berlaku selain mempunyai tiga versi video berkenaan.

Pada sesi pendedahan itu, Hasan hanya mendedahkan dua daripada tiga video tersebut dengan durasi 16 dan 42 minit yang menayangkan pengakuan sepasang suami isteri yang telah kembali kepada Islam selepas murtad.

Kata Hasan, beliau tidak menolak untuk menyerahkan video bukti gejala murtad itu kepada JAIS sekiranya agensi agama itu memerlukannya.

Menurut Mohamad Adzib, pihaknya melalui Jawatankuasa Pengurusan Aduan dan Penguatkuasaan akan menerima serta memantau aduan berhubung usaha memurtadkan umat Islam dan ajaran sesat di Selangor termasuk mengambil tindakan penguatkuasaan sewajar.

Selain itu, jawatankuasa tetap itu juga akan memantau serta menangani isu murtad dan ajaran sesat di Selangor.

"Kita ada jawatankuasa yang akan meneliti setiap aduan atau laporan yang dikemukakan, serahkan sahaja video itu kepada Mais atau Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

"Setakat ini kita masih menunggu (video daripada Hasan)," kata Mohamad Adzib.

Jelas beliau, pihaknya sentiasa membuat pemerhatian dan mengumpul maklumat mengenai kegiatan murtad.

"Kita juga ada pelan tindakan yang akan diambil untuk menyelesaikan masalah. Kita akan kumpul maklumat dulu kemudian baru ambil tindakan sesuai," katanya.

Mohamad Adzib juga mengingatkan gerakan yang terlibat dalam kegiatan Kristianisasi agar menghormati peruntukan-peruntukan yang terdapat di dalam Perlembagaan Persekutuan.

"Kita ada undang-undang untuk mencegah, tindakan akan diambil jika terdapat bukti ia (kegiatan murtad) berlaku.

"Kita ada jawatankuasa yang akan pantau perkara ini," katanya. -TMI

Murtad: Hasan Ali dendam peribadi atau iri hati?

KUALA LUMPUR, 4 April: Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor menyelar kenyataan Presiden Jati, Datuk Dr Hasan Ali yang berterusan menunjukkan serangan yang bermotifkan dendam peribadi terhadap Pesuruhjaya PAS negeri, Dr Abdul Rani Osman.

“Dengan tanpa usul periksa maka Hasan Ali terus-terusan melempiaskan amarah beliau terhadap Dr Abdul Rani kerana termakan dengan ‘hasutan jahat dan fitnah’ media massa yang telah memutarbelitkan kenyataan sebenar Dr Abdul Rani berkenaan isu gejala murtad yang semakin meruncing di dalam negara ini,” kata ketuanya, Hasbullah Mohd Ridzwan.

Justeru, kata beliau, pihaknya merasakan Hasan semakin bercelaru di dalam tindakan beliau untuk menangani isu murtad apabila tidak menggunakan saluran yang sebenarnya di dalam menyelesaikan isu terbabit.

Sepatutnya, ujar beliau, Hasan perlu menyerahkan segala pembuktian yang ada dalam simpanannya kepada pihak yang berwajib untuk diambil tindakan yang sewajarnya.

“Tetapi Datuk Hasan Ali nampaknya lebih selesa ‘pusing satu Malaysia’ untuk mengecam individu-individu tertentu di dalam PAS yang telah menyebabkan beliau dipecat daripada PAS di atas pentas Umno daripada membicarakan isu murtad,” katanya kepada Harakahdaily.

Hasbullah menambah, pihaknya turut mengecam sikap ‘double standard’ Hassan yang hanya ‘berkokok’ setelah kehilangan kuasa Exco Kerajaan Selangor untuk membangkitkan soal isu murtad sedangkan masalah itu bukan baru wujud dan tidak hanya berlegar di negeri Selangor tetapi telah menjadi isu nasional.

“Sepatutnya Datuk Hasan Ali memberikan tekanan kepada pihak kerajaan persekutuan yang ditunjangi oleh Umno untuk mengambil cakna terhadap isu murtad ini dengan menggubal dan melaksanakan undang-undang hudud di peringkat nasional,” katanya.

Selain itu, tambahnya hasrat Kerajaan Negeri Kelantan untuk melaksanakan undang-undang hudud di negeri itu sejak tahun 90-an lagi perlu disokong untuk mempastikan gejala murtad dapat dibendung.

Sehubungan itu, tegasnya Pemuda PAS negeri mencabar Hasan supaya dapat memperjuangkan isu murtad dan pemurnian aqidah itu kepada pemimpin Umno dan Barisan Nasional.

Ini, katanya kerana isu itu berlaku dan terus ‘subur’ adalah disebabkan ‘kejayaan’ mereka memerintah negara ini selama 50 tahun lebih.

Menurutnya, Umno dan Barisan Nasional adalah sangat ‘mesra dan akrab’ dengan budaya maksiat, politik kotor dan gejala-gejala yang merosakkan akhlak masyarakat sehingga menyebabkan mereka terperangkap di dalam dunia jahiliyyah moden yang tidak mempedulikan lagi antara batas-batas iman dan kufur.

Oleh itu, katanya Pemuda PAS negeri Selangor mengharapkan semoga Hasan akan menyambut cabaran Pemuda dan mengagendakan isu murtad dan pemurnian aqidah itu secara konsisten sehingga Kerajaan Persekutuan dapat melaksanakan undang-undang hudud di peringkat pusat.

“Janganlah hanya kerana kehilangan jawatan dan pangkat menyebabkan emosi diri menguasai pertimbangan akal sehingga tidak dapat membezakan antara yang baik dan buruk, sahabat dan musuh yang sebenarnya,” ujarnya lagi.
-HD


Pelajar Maut Disambar Petir

Serdang – Seorang pelajar yang menyertai Pertandingan Bola Sepak Sekolah-Sekolah Daerah Petaling Perdana di Universiti Putra Malaysia (UPM), terbunuh dipanah petir manakala rakannya cedera, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira 2.45 petang, mangsa Muhamad Mustaqim Muhamad Kamarul dan Muhammad Yusop, masing-masing berusia 16 tahun, dikatakan baru selesai bermain bola di Padang A UPM.

Ketua Polis Daerah Serdang, Superintendan Abd Razak Elias berkata, ketika kejadian mangsa dikatakan sedang menunggu bas di bawah pokok untuk pulang ke sekolah masing-masing.

Menurutnya, insiden disedari beberapa pelajar yang turut berada berhampiran padang berkenaan sebelum memaklumkan kejadian kepada seorang guru.

“Ketika kejadian, salah seorang guru memberitahu keretanya bergegar sebelum didatangi pelajar yang memberitahu dua pelajar tingkatan empat dari Sekolah Menengah Seksyen 16 Shah Alam itu dipanah petir.

“Kedua-dua mangsa dikejarkan ke Hospital Serdang, namun salah seorang daripadanya, Muhamad Mustaqim dilaporkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan,” katanya.

Beliau berkata, jenazah mangsa dibawa ke rumahnya di Padang Jawa, Klang sebelum dikebumikan di kampung ibunya di Felda Jengka Pahang.

“Mangsa disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Serdang. Kes disiasat sebagai mati mengejut,” katanya lagi kepada Sinar Harian.

Rumah Dan Kereta Ketua Pemuda PAS JB Disimbah Cat Hitam

Johor bahru – Beberapa individu tidak dikenali bertindak liar dengan melempar bungkusan berisi cat berwarna hitam ke arah kediaman Ketua Pemuda Pas Johor Bahru, Mohd Ariff Mt Hassan di Jalan Padi 2, Bandar Baru Uda di sini, semalam.

Mohd Ariff berkata, dalam kejadian jam 1.15 pagi itu, kira-kira 20 motosikal ditunggang perlahan di hadapan rumahnya sebelum dicampak cat berwarna hitam.

“Kebetulan ketika itu saya belum tidur. Curiga dengan kehadiran motosikal berkenaan, saya mengintai daripada tingkap dan ternampak seorang lelaki bertopi keledar melontar satu bungkusan,” katanya.

Menurutnya, beliau sempat keluar dan menjerit ke arah lelaki berkenaan sementara beberapa lagi penunggang motosikal bertindak melemparkan bungkusan berisi cat ke arahnya sehingga mengenai kereta dan dinding rumah.

“Saya cuba mengejar, namun mereka memecut laju. Saya bersyukur tiada sebarang kejadian buruk berlaku,” katanya yang tinggal bersama isteri dan empat anak.

Mohd Ariff berkata, beliau yakin ia satu tindakan provokasi oleh pihak tertentu dalam usaha menggagalkan ceramah yang dihadiri Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu, malam semalam.

“Sebelum ini lapan kain rentang dipasang di sekitar bandar raya ini dicantas pihak tidak bertanggungjawab,” katanya yang membuat laporan polis berhubung kejadian itu di Balai Polis Tampoi pada hari sama.

Menurutnya, walaupun kejadian berkenaan berlaku kurang 24 daripada masa ceramah itu berlangsung, ia tetap diteruskan dan diadakan di kediamannya yang juga Pejabat cawangan Pas Bandar Baru Uda.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Perhubungan Pas negeri, Syed Othman Syed Abdullah menyifatkan kejadian berkenaan didalangi oleh individu tidak bertamadun kerana berasa tergugat kewibawaan Mat Sabu.

“Saya minta tindakan provokasi seperti ini dihentikan. Bagaimanapun kami tidak akan sesekali membatalkan ceramah yang turut dihadiri oleh Ketua Pemuda Pas Pusat, Nasrudin Hassan Tantawi,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Ruslan Hassan mengesahkan kejadian terbabit manakala kes disiasat di bawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan. -SH

[ANIAYA] Kapas Tertinggal Dalam Hidung

Johor Bahru: Seorang pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA) terkejut apabila mendapati segumpal kapas sepanjang tujuh sentimeter (cm) tertinggal dalam hidungnya, selepas seminggu menjalani pembedahan hidung bagi merawat masalah sinus di sebuah hospital swasta di sini.

Gambar: SITI KHADIJA menunjukkan laporan polis dan botol yang mengandungi kapas yang tertinggal dalam hidungnya ketika ditemui semalam.

Siti Khadija Aziz, 24, berkata, beliau menjalani rawatan pada 14 Mac lalu selepas mengalami selsema dan sakit tekak sebelum doktor hospital berkenaan mengesahkannya mengalami sinus dan perlu menjalani pembedahan segera.

“Susulan cadangan itu, saya menjalani pembedahan hidung keesokannya.

Sepanjang tempoh selepas pembedahan, saya mula merasakan kesakitan pada bahagian pernafasan hidung hingga ke tekak selain kerap berlendir dan berdarah.

“Selain itu, saya juga mengalami kesukaran bernafas apatah lagi selepas pembedahan, doktor berkenaan tidak membenarkan proses pernafasan melalui hidung dilakukan. Saya juga sukar bercakap selain kedua belah telinga selalu gatal.

“Jika bercakap, suara saya menjadi sengau sehingga ramai bertanya apa yang berlaku hingga saya malu untuk berkomunikasi dengan rakan dan ahli keluarga yang lain,” katanya ketika ditemui, semalam.

Katanya, susulan kejadian itu pada 20 Mac lalu, beliau kembali mendapatkan rawatan susulan di hospital berkenaan dan memberitahu segala masalah yang dihadapinya tetapi doktor terbabit mendakwa keadaan itu adalah normal dan hanya memerlukan rawatan biasa.

“Selepas pulang daripada hospital, saya masih rasa sakit seperti sebelum ini selain kesukaran bernafas dan kerap keluar darah dan lendir dari hidung.

“Keadaan itu berlarutan hingga pada 23 Mac, saya tidak tahan lagi dengan kesakitan itu lalu menghembus nafas agak kuat melalui hidung dan apa yang mengejutkan, segumpal kapas bercampur darah dan lendir keluar melalui hidung.

“Selepas bahan asing itu terkeluar, pernafasan saya kembali normal dan boleh bercakap tanpa mengeluarkan suara sengau seperti sebelumnya. Pada 25 Mac, saya bertemu dengan dengan doktor terbabit dan menunjukkan kapas berkenaan,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, doktor terbabit tidak menjelaskan penemuan gumpalan kapas itu, sebaliknya meneruskan rawatan seperti biasa dan cuba mengalih perhatian ketika persoalan mengenai kapas itu diajukan.

Sehubungan itu, katanya, beliau membuat laporan di Balai Polis Johor Bahru pada 28 Mac lalu selepas mengeluarkan perbelanjaan pembedahan dan rawatan kira-kira RM13,150. -BH

Tarikh BERS✔H 3.0 : 28 April 2012 (Sabtu) Jam 2 PM Di Dataran Merdeka -updated

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) hari ini mengumumkan bahawa akan mengadakan himpunan besar-besaran Bersih 3.0 pada 28 April ini. Demikian lapor malaysiakini dan harakahdaily

Ianya akan diadakan jam 2 petang bertempat di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.

Perkara itu diumumkan jawatan kuasa pemandu NGO itu pada satu sidang media di sini, pagi ini.

Perhimpunan dengan slogan "Duduk Bantah" itu akan dijalankan bersama 84 NGO lain.

Semalam blog ini telah memetik laporan themalaysianinsider yang memetik sumber dari jawatankuasa Bersih bahawa Bersih 3.0 tidak dapat dielakkan akibat daripada kegagalan Jawatankuasa Khas Parlimen berkaitan pilihan raya (PSC) menyelesaikan isu pokok dan menunaikan tuntutan Bersih sebelum ini.

PSC adalah sekadar hiasan pentadbiran Najib untuk menunjukkan keikhlasannya melaksanakan pembaharuan sistem pilihan raya.

“Kami telah menemui bukti penipuan sistem pilihan raya yang lebih banyak dan menimbulkan tanda tanya sama ada keseluruhan PSC itu hanyalah sekadar satu penipuan,”

Selain itu, tiga ahli PR dalam PSC sejak minggu lalu sering mengkritik panel kerana dikatakan gagal menyelesaikan isu utama bagi membersihkan pilihan raya, terutamanya dakwaan kurangnya komitmen Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk membersihkan sistem pilihan raya.

SPR, yang mana ahli PR telah berulangkali mendedahkan terdapatnya kehadiran 42,000 pengundi hantu di dalam daftar sistem mereka, namun mereka tidak bertindak untuk menyelesaikan masalah tersebut.

Sementara itu harakahdaily melaporkan penolakan usul berkenaan laporan minoriti dan juga meluluskan cadangan Jawatankuasa Pilihan Khas (PSC) Berhubung Dengan Penambahbaikan Proses Pilihan Raya tanpa perbahasan merupakan pemangkin kepada perlaksanaan himpunan Bersih 3.0.

Menurut Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub, Pakatan Rakyat mempunyai hujah serta bukti apabila Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia meminta mereka mengemukakan bukti amalan laporan minoriti yang dilakukan di mana-mana negara Komanwel.

"Bila Speaker meminta kita kemukakan bukti amalan mana-mana negara komanwel yang melaksanakan laporan minoriti dalam Parlimen mereka.

"Kita mempunyai hujah serta fakta berasaskan apa yang berlaku dalam Parlimen di New Zealand, Australia mahupun negara-negara kecil seperti Jamaica yang ada keutamaan tentang laporan minoriti dimasukkan atau dibahaskan bersama dengan laporan yang dikemukakan," jelasnya.

Tambahnya lagi, adalah tidak munasabah Pakatan Rakyat dilayan sedemikian, yang mana hujah-hujah mereka langsung tidak mahu didengari di Parlimen.

"Saya merasakan dengan penolakkan ini rakyat diluar sana dapat melihat bagaimana proses penyuburan demokrasi." ujar Salahuddin.

Pak Samad jangka 500,000 sertai Bersih 3.0

KUALA LUMPUR, 4 April: Pengerusi Bersama Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0), Datuk A.Samad Said atau Pak Samad menjangkakan seramai 500,000 rakyat akan menyertai himpunan Bersih 3.0 pada 28 April nanti.

Bercakap pada sidang media di Dewan Himpunan Cina Kuala Lumpur-Selangor hari ini saterawan negara itu berkata, ianya berdasarkan maklum balas banyak pihak yang bertanya kepadanya bila Bersih 3.0 akan diadakan.

"Saya sendiri berada dimana-mana dan orang tanya bila Bersih 3.0.

"Daripada interaksi, berjumpa dalam majlis atau dalam facebook, saya mengkhayalkan setidak tidanknya kita akan mengumpulkan seramai 500,000 (akan hadir)," katanya.

Menurut Sasterawan Negara itu juga, jumlah itu tidak mustahil kerana ianya akan berlangsung serentak di seluruh negara malah seluruh dunia.

"Jadi dengan apa yang diwawarkan kalau tidak melakukan ini dengan penuh ghairah, kita tidak akan dapat merubah pemerintahan yang menggunakan semua cara untuk kekal selama 54 tahun," tambahnya lagi.

Terdahulu beliau mengumumkan bahawa himpunan besar-besaran Bersih 3.0 akan diadakan pada hari Sabtu 28 April ini.

Ianya akan diadakan jam 2 petang bertempat di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.

Himpunan itu juga akan diadakan serentak seluruh negara dan lebih 32 negara lain di seluruh dunia.

"Jawatankuasa pilihan khas dan kerajaan tidak mengambilserius terhadap tuduhan penipuan.

"Justeru, Bersih 2.0 akan berkumpul duduk bantah secara aman di seluruh negara dan diseluruh dunia. Sabtu 28 April jam 2 hingga 4 petang...ini adalah Bersih 3.0," katanya. -HD


Sidang media Gabungan Menuntut Pilihan Raya Bersih dan Adil pagi ini






Khalwat 2 Kali Dalam 10 jam, Malam Dicekup Di Rumah Sewa, Pagi Di Motel

Jitra: Tidak serik - itulah gambaran sesuai bagi sepasang kekasih yang ditangkap khalwat dua kali dalam tempoh 10 jam oleh kakitangan Pejabat Agama Daerah Kubang Pasu di dua lokasi berbeza di sini, semalam.

Gambar: PASANGAN remaja ditahan dua kali dalam tempoh 10 jam di hotel murah dan rumah sewa sekitar Kubang Pasu, semalam.

Pasangan pelajar sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) berusia 19 dan 20 tahun itu kali pertama ditangkap berdua-duaan di sebuah rumah sewa di Taman Mahsuri di sini, jam 12.05 tengah malam kelmarin, dan dicekup kali kedua di sebuah motel murah di Taman Ehsan, dua kilometer dari lokasi pertama kira-kira jam 10 pagi semalam.

Sumber pejabat agama itu berkata, mereka ditahan ketika serbuan dilakukan di rumah sewa pelajar perempuan dan ketika pemeriksaan dilakukan pasangan itu berada berdua-duaan dalam sebuah bilik, manakala seorang rakannya tidur di bilik berasingan.

Pelajar perempuan itu berasal dari Kampung Sungai Korok di sini dan rakan serumahnya belajar di semester pertama sebuah IPTA di sini, manakala teman lelakinya yang berasal dari Kampung Teluk Malik, juga di sini belajar di sebuah IPTA lain.

Sumber berkata, sebaik menerima laporan, sepasukan anggota penguat kuasa pejabat agama membuat pemeriksaan dan mendapati pintu rumah itu berkunci dari dalam.

“Selepas mengetuk pintu dan memberi salam, pintu dibuka remaja perempuan yang berpakaian lengkap dan membenarkan pemeriksaan dijalankan dan hasilnya mendapati dua motosikal, termasuk motosikal lelaki itu diletakkan di ruang tamu rumah bagi mengelak dikesan pihak berkuasa,” katanya. -BH

ADUN Kuala Nerang, Syed Sobri Akhirnya Mengaku Sendiri Beliau Muflis

Alor Setar - Ahli Dewan Undangan Negeri Kedah kawasan Kuala Nerang Datuk Syed Sobri Syed Hashim malam tadi mengumumkan dirinya muflis setelah gagal membayar baki hutangnya dengan bank tempatan berjumlah RM8 juta.

Naib Ketua Umno Bahagian Padang Terap itu berkata, hutang tersebut adalah sebahagian daripada pinjaman RM50 juta yang diambil pada 1998 untuk membolehkan syarikatnya, Kulim Enterprise Sdn Bhd, disenaraikan di papan kedua Bursa Saham Malaysia pada masa itu.

Bagaimanapun, negara mengalami kegawatan ekonomi ketika itu dan syarikatnya gagal disenaraikan, menyebabkan beliau terpaksa menanggung hutang berkenaan, Syed Sobri pada majlis perjumpaan dengan kira-kira 300 anggota dan pemimpin akar umbi Umno bahagian itu di rumahnya malam tadi bagi menjelaskan kedudukan sebenar.

Beliau berkata pada Disember lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah mengisytiharkannya sebagai muflis.

Syed Sobri berkata pemimpin Umno telah dimaklumkan mengenai perkara itu, begitu juga dengan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak, yang ditemuinya semalam.

Beliau berkata Azizan tetap menyuruhnya hadir pada persidangan Dewan Negeri Kedah yang akan bermula 17 April ini.

Bagaimanapun, Syed Sobri tidak akan berbuat demikian kerana berdasarkan undang-undang negeri, beliau telah hilang kelayakan sebagai wakil rakyat berikutan statusnya sebagai muflis.

Perkara 47(1)(b) Undang-Undang Tubuh Kerajaan negeri Kedah menyatakan seorang anggota Dewan Negeri hilang kelayakan jika ia seorang muflis yang belum dilepaskan.
Pada Pilihan Raya Umum 2008, Syed Sobri yang bertanding buat pertama kali telah menewaskan calon PAS Zawawi Ahmad dengan majoriti 805 undi. - Bernama

Negara Paling Selamat? Pemuda Mati Ditembak Dalam Kereta Di Pasir Mas

Pasir Mas: Seorang pemuda mati manakala rakannya cedera di tangan apabila seorang penunggang motosikal melepaskan beberapa das tembakan ke arah kereta yang mereka naiki di Rantau Panjang dekat sini, hari ini.

Gambar: ANGGOTA polis memeriksa kenderaan yang terbabit dalam kejadian tembakan di Rantau Panjang, Kelantan, hari ini. Seorang pemuda maut manakala rakannya cedera di tangan apabila seorang penunggang motosikal melepaskan beberapa das tembakan ke arah kereta yang mereka naiki. - Foto Jauhariatul Akmal Johar

Ketika kejadian pada 11.15 pagi itu, Mohamad Nazuri Mohd Zain, 24, dari Kampung Kubang Panjang, Lemal, di sini menaiki kereta yang dipandu rakannya.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman, berkata siasatan awal mendapati mangsa yang duduk di bahagian penumpang hadapan, ditembak penunggang motosikal berkenaan semasa kereta itu melalui Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SRJKC) Rantau Panjang.

"Rakan mangsa kemudian memecut kereta ke pekan Rantau Panjang dan berhenti di hadapan gerai mee milik ibu mangsa.

"Hasil pemeriksaan mendapati dua tembakan mengenai mangsa, satu di bahagian rahang kiri dan satu di bahagian dada sebelah kiri," katanya dalam SMS kepada BERNAMA di sini, hari ini.

Jalaluddin berkata, rakan mangsa yang cedera ringan di tangan kiri turut ditahan untuk siasatan dan beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Sementara itu, kakak Mohamad Nazuri, Sahera, 29, berkata beliau tidak menyangka individu yang terbaring dan berlumuran darah di dalam kereta di depan kedai ibunya adalah adiknya.

"Saya melihat Proton Wira di depan kedai emak dan ingatkan kereta pelanggan yang ingin membeli beras, saya hampiri dan melihat seorang lelaki berlumuran darah di kerusi depan dalam keadaan terbaring.

"Selepas saya melihat mayat itu dengan teliti, baru saya dapat cam ia adalah adik saya...saya segera meminta ayah menghubungi polis," katanya ketika ditemui di tempat kejadian, di sini. - BERNAMA

Tiada Rusuhan, Tiada Pergaduhan, Anggota Polis Patah Kaki, Terbabas Sendiri

Anggota polis patah kaki, kenderaan terbabas

LEDANG – Seorang anggota polis nyaris maut apabila kereta peronda yang dipandunya terbabit dalam kemalangan di Kilometer 19.5 Jalan Segamat-Muar dekat sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.16 petang, kenderaan yang dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas di tepi jalan.

Ketua Polis Daerah Ledang, Superintendan Harun Idris berkata, mangsa, Koperal Sidi Ahmad Dollah, 51, mengalami kecederaan dan patah kaki kanan.

Menurutnya, mangsa merupakan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dungun, Terengganu memandu kenderaan tersebut bersendirian.

“Mangsa dalam perjalanan dari Terengganu ke Maktab Teknik Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bakri.

“Mungkin mangsa kepenatan menyebabkan dia gagal mengawal kenderaan yang dipandunya itu,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Beliau berkata, mangsa dihantar ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), Muar untuk rawatan lanjut dan keadaannya dilaporkan stabil.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) (a) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.