1 Feb 2011

Majlis Bandaraya Melaka Disaman RM2 juta

Seorang kakitangan sebuah agensi kerajaan memfailkan saman RM2 juta terhadap Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) atas kecederaan parah dialaminya tahun lalu akibat ditimpa dahan sebatang pokok tua.

Writ saman berkenaan difailkan peguam Sheikh Ikhzan Sheikh Salleh dan Muhammad Fadzil Hassan yang mewakili plaintif Md Nazeran Noor Mohamad, 32, di pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi, di sini, semalam.

Bercakap kepada media selepas memfailkan saman berkenaan, Sheikh Ikhzan berkata, saman itu difailkan berikutan kecuaian defendan (MBMB) dalam menjaga, menyelia dan memangkas dahan reput pada pokok tua berkenaan.

Menurutnya, banyak pokok berusia ratusan tahun dipelihara defendan di kawasan pelancongan Banda Hilir dan melarang pokok berkenaan daripada ditebang bagi mengekalkan tarikan pelancongan di sesetengah kawasan, terutama di sekitar Jalan Kota.

“Pada 14 Februari tahun lalu, kira-kira jam 10.15 pagi, sedang plaintif menunggang motosikal di Jalan Kota, Banda Hilir, satu dahan pokok daripada salah satu pokok tua yang dipelihara dan di bawah jagaan serta seliaan defendan jatuh dan menghempap plaintif,” katanya.

Writ saman yang difailkan itu turut menyatakan bahawa defendan cuai apabila gagal memastikan pokok yang dipelihara berada dalam keadaan baik dan tidak berbahaya untuk orang awam yang lalu-lalang atau melalui di bawahnya. -SH

Pelajar Malaysia Dirogol Oleh 7 Lelaki Russia Di Britain

Sebuah akhbar tabloid British, The Sun melaporkan bahawa seorang pelajar perempuan Malaysia berusia 18 tahun, telah dirogol secara beramai-ramai oleh 7 orang lelaki Rusia yang mengaku diri mereka pelajar di Bellerbys College in Greenwich, South London.

Pelajar malang dipercayai dirogol setelah diberi 'dadah' dan gambar sewaktu ia diperkosa turut dirakamkan.

Salah seorang perogol itu bernama Oleg Vladimirvich Ivanov, 23 dan dia ialah seorang pegawai perisik untuk Polis Moscow. Oleg sudahpun didakwa.

Peristiwa malang ini berlaku 2 minggu lalu semasa pelajar-pelajar pengajian bahasa Inggeris kolej tersebut mengadakan parti. iPhone yang digunakan untuk merakam kejadian itu sudah dirampas oleh pihak polis.

Ivanov dan 3 lagi lelaki Gregory Andreev Melnikov, 22, Norayr Davtyan, 25, dan Arnen Simonay, 26, sudahpun didakwa di the Woolwich Magistrates’ Court pada hari Selasa dan Rabu lepas. 4 orang lagi masih direman.

Pelajar tersebut dilaporkan di dalam keadaan trauma.

Ulasan GB

Setakat ini GB belum mendengar atau terbaca apa-apa ulasan dari Wisma Putra mengenai insiden di atas.

PRK Merlimau: Bekas Datuk Bandar Antara Yang Tersenarai Sebagai Calon UMNO

Tujuh nama diserahkan calon Merlimau

Zaini Md Nor (kiri) dan Mohamed Nasser Selamat. Mereka yang tersenarai sedang melalui proses penapisan sebelum dihantar kepada PM

MELAKA TENGAH: Tujuh nama yang bakal diserahkan kepada Datuk Seri Najib Razak untuk dipertimbangkan sebagai calon Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau pada 6 Mac ini adalah daripada kalangan pegawai kerajaan dan pemimpin politik tempatan.

Ketua Menteri merangkap Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam, berkata semua nama sedang melalui proses penapisan oleh jabatan dan agensi kerajaan berkaitan sebelum dihantar kepada Perdana Menteri untuk dipertimbangkan.

Namun menurut sumber, antara nama popular daripada kalangan pegawai kerajaan yang dimaksudkan Mohd Ali itu, termasuk Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal Dan Pembersihan Awam (PPSPPA), Datuk Zaini Md Nor.

Selain itu, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Tanah Adat Melaka (PERTAM), Mohamed Nasser Selamat; Pengurus Pembangunan Perniagaan dan Sosioekonomi Perbadanan Melaka Holdings Sdn Bhd, Roslan Ahmad dan Penghulu DUN Bemban, Jezlee Pit.

Tidak ketinggalan juga nama bekas Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof Tan Sri Dr Ibrahim Abu Shah.

Zaini, 50, yang berasal dari Kampung Batu Gajah, Merlimau adalah bekas Datuk Bandar Bandaraya Melaka Bersejarah yang pertama. Beliau sering mendapat pujian Mohd Ali kerana rajin dan proaktif, berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Ekonomi (Kepujian) Universiti Kebangsaan Malaysia.
Mohamed Nasser, 46, adalah bekas Naib Ketua Pemuda UMNO Bahagian Jasin dan anak jati DUN berkenaan. Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa (AJK) Umno Bahagian Jasin adalah pemegang Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan (BBA) dari Universiti Ohio, Amerika Syarikat.

Roslan adalah AJK Bahagian Umno manakala Jezlee adalah Penolong Setiausaha Pemuda Umno Bahagian Jasin.

Ibrahim, 63, berasal dari Kampung Pulai, Merlimau pula berkelulusan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dari Universiti Maryland, Amerika Syarikat. Nama beliau sebelum ini pernah dikaitkan untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum 2008.

Sementara itu, di kalangan ahli politik pula, antara nama yang disebut-sebut adalah Timbalan Ketua UMNO Bahagian Jasin, Datuk Mohd Said Yusof dan Ketua Wanita UMNO Bahagian Jasin, Zaleha Bujang.

Selain itu, Ketua Pemuda UMNO Bahagian Jasin, Zaidi Attan serta Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian, Abdul Nasir Bazid.

Mohd Said adalah bekas Ahli Parlimen Jasin, manakala Zaleha Pegawai Jabatan Hal Ehwal Khas DUN Bemban.

Zaidi yang juga seorang ahli perniagaan adalah Penolong Setiausaha Pemuda Umno negeri, manakala Abdul Nasir adalah kakitangan sebuah sekolah di Merlimau. -bh

Bapa Adakan Hubungan Seks Dengan Anaknya Dipenjara 3 Tahun

Lelaki lakukan seks dengan anak dijel tiga tahun

Singapura - Seorang bapa yang melakukan seks secara rela dengan anak perempuannya ketika anak itu berusia 20 tahun dijatuhi hukuman penjara tiga tahun semalam.

Bapa tersebut, 47 tahun, seorang tukang paip mengaku melakukan perbuatan sumbang mahram itu dalam bilik di flatnya pada April 2008.

Nama bapa dan anaknya itu tidak didedahkan bagi melindungi identiti anak perempuanya itu.

Anak perempuannya itu yang kini berusia 23 tahun didakwa di mahkamah pada Mac lalu tetapi dibebaskan.

Bapanya pula tidak hadir ke mahkamah dan waran tangkap dikeluarkan terhadapnya.

Mahkamah diberitahu bahawa lelaki itu sering membawa anaknya keluar minum arak dengan rakannya di sebuah kedai kopi sejak 2006. Oleh kerana mereka sering meluangkan masa bersama, mereka mula akrab sehingga melahirkan bibit-bibit hubungan seks.

Timbalan Pendakwa Raya, Encik Leong Wing Tuck, memberitahu kejadian sumbang mahram itu berlaku pada satu malam April 2008. Kedua-duanya pulang setelah minum arak. Isteri tertuduh tiada di rumah ketika itu.

Semasa si bapa berbaring atas katil, mereka bertengkar kerana anaknya enggan melayannya berbual kerana sibuk melungsuri e-mel di hujung katil.

Dia meminta maaf dan bapanya meminta dia memeluknya. Mereka saling membelai dan mengusap - dan melakukan seks.

Seminggu kemudian, mereka bertengkar berhubung anaknya ingin melanjutkan pelajaran.

Anaknya menghantar khidmat pesanan ringkas kepada rakannya agar menghubungi polis. Bapanya kemudian ditangkap.


Mubarak Disokong Oleh Israel

Baitulmaqdis: Israel mengarahkan diplomatnya di Amerika Syarikat, Eropah dan di negara lain untuk menggalakkan negara tuan rumah mereka menyokong rejim Presiden Mesir, Hosni Mubarak.

Akhbar Haaretz melaporkan semalam, rejim Zionis itu memberitahu diplomatnya bahawa adalah penting bagi Barat dan seluruh Timur Tengah untuk mengekalkan kestabilan rejim di Mesir.

“Kerana itu kita mesti mengekang kritikan awam terhadap Presiden Hosni Mubarak,” menurut kandungan mesej itu yang dihantar hujung minggu lalu.

Akhbar berkenaan melaporkan, ia dihantar kepada diplomat di Amerika Syarikat, Kanada, China, Russia dan beberapa negara Eropah.

Seorang jurucakap Kementerian Luar dan jurucakap pejabat Perdana Menteri Israel bagaimanapun enggan mengesah atau menafikan laporan itu ketika disoal oleh AFP.

Rejim Zionis itu sehingga ini tidak banyak mengulas mengenai pemberontakan rakyat Mesir.

Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu berkata Ahad lalu, dia mengarahkan menterinya supaya tidak bercakap secara terbuka mengenai perkembangan di negara itu.

Perdana menteri Israel itu berkata, beliau sudah menghubungi Presiden Barack dan setiausaha negara Amerika Syarikat, Hillary Clinton mengenai perkembangan di Mesir dan juga sudah memberitahu anggota Kabinet Israel agar jangan membuat sebarang kenyataan mengenai negara jirannya itu.

Mesir adalah negara Arab pertama untuk memeterai perjanjian damai dengan Israel pada 1979 yang disusuli dengan Jordan pada 1994.

Seorang bekas menteri pertahanan Israel, Benjamin Ben-Eliezer berkata, beliau bersedih dengan kemungkinan Hosni Mubarak disingkirkan kerana presiden Mesir itu adalah orang kanan kita yang paling penting di Asia Barat.

Seorang lagi bekas menteri pertahanan, Shaul Mofaz, berkata, Tel Aviv bimbang jika kumpulan pembangkang yang diharamkan, Ikhwanul Muslimin akan mengambil alih kuasa di Mesir.

“Berikutan perkembangan terbaru di Lubnan yang mengukuhkan kedudukan Hizbullah. perkembangan di Israel menjadi satu lagi cabaran besar,” kata Mofaz kepada radio Tentera.

Beberapa pegawai di Israel mengharapkan Mubarak kekal berkuasa dengan menyatakan pemimpin kuku besi itu tidak mempunyai pengganti yang jelas.
Pelantikan Omar Suleiman kelmarin sebagai naib presiden dialu-alukan oleh beberapa pihak di Israel berikutan bekas ketua risikan Mesir itu mempunyai hubungan baik dengan Tel AVivb.

Seorang pegawai Israel yang tidak mahu namanya didedahkan berkata: “Menurut penelitian kami Mubarak akan mampu bertahan

Kes Teoh: Keputusan Peguam Negara Cetus Kekeliruan

Shah Alam: Keluarga mendiang Teoh Beng Hock bingung dengan sikap Peguam Negara yang berkeras mahu mengadakan dua prosiding berasingan ke atas siasatan kematian pembantu khas exco negeri Selangor itu, kata peguam keluarga tersebut, semalam.

Encik Gobind Singh Deo, yang selama ini mewakili keluarga mendiang Teoh, mempersoalkan motif Peguam Negara Malaysia, Tan Sri Abdul Gani Patail, menggesa diadakan semakan kehakiman terhadap keputusan koroner berhubung kematian pembantu exco Selangor itu, walaupun satu suruhanjaya siasatan diraja (RCI) telah diumumkan dan dibentuk bagi menyiasat kes yang sama.

Mahkamah Tinggi semalam menetapkan 17 Februari ini bagi sebutan permohonan semakan kehakiman yang difailkan Tan Sri Abdul Gani itu.

Hakim Datuk Wira Mohtarudin Baki memutuskan demikian selepas mendengar permohonan kedua-dua pihak dan beliau hanya membenarkan pihak pendakwaan dan keluarga Teoh sahaja berhujah berkaitan permohonan itu.

Pihak Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM), Kerajaan Negeri Selangor dan Badan Peguam dibenarkan bertindak sebagai pemerhati sahaja.

'Apakah RCI dibenarkan mengambil pendirian berbeza dalam Mahkamah Tinggi?' kata Encik Gobind pada satu sidang akhbar semalam.

'Kita tidak boleh mempunyai dapatan berasingan dalam semakan RCI dan Mahkamah Tinggi,' kata beliau sambil menggesa peguam negara menarik balik permohonannya dan meneruskan prosiding RCI bagi mengelakkan kekeliruan.

Peguam kanan kerajaan Malaysia, Encik Dzulkifli Ahmad, awal dari ini berkata dalam mahkamah bahawa beliau telah menerima arahan daripada peguam negara itu agar meneruskan permohonan semakan itu di Mahkamah Tinggi, di sini.

Ini walaupun RCI telah diberikan skop lebih luas bagi menyiasat suasana kontroversial berkaitan kematian Encik Teoh yang dikatakan jatuh daripada bangunan kompleks yang menempatkan ibu pejabat SPRM dua tahun lalu.

Encik Dzulkifli memberitahu wartawan bahawa ia disebabkan peguam negara telah memfailkan semakan terhadap keputusan kehakiman terbuka di Mahkamah Tinggi sebelum RCI dibentuk dan skopnya diluaskan.

Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak, pada mulanya mengumumkan bahawa RCI akan hanya menyiasat prosedur SPRM atas dakwaan melanggar hak asasi tetapi kemudian mengalah kepada tekanan awam untuk turut menyiasat kematian mendiang Teoh. -- Agensi.

UMNO Terpaksa Dokong MCA Yang Lumpuh

Umno terpaksa galas MCA yang lumpuh

Keputusan pilihan raya kecil Tenang menunjukkan beban Umno sebagai tukang usung MCA semakin bertambah, kata Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar

"MCA semakin lumpuh, seolah-olah sudah patah kaki dan tangannya. Umno kini mendapat kerja baru sebagai tukang usung MCA.

"Tak ada batu, beban digalas," katanya.

Menurut Ahli Parlimen Pokok Sena itu, kalau dalam permainan bola, hanya Umno sahaja yang berhempas pulas bergerak ke serata padang.

"Umno terpaksa berlari sendirian sekeliling padang. Dialah penjaga gol, dialah pemain pertahanan, dialah pemain tengah dan dialah penyerang.

"MCA hanya jadi tukang bising suruh Umno buat itu ini dan tukang tengok di dalam padang sedangkan tukang tengok atau penonton sepatutnya berada di luar padang. Perkara tersebut dirungutkan oleh orang-orang Umno sendiri," katanya.

Malah bukan setakat itu sahaja, kata Mahfuz, MCA juga seolah-olah menjadi tukang sabotaj kempen Umno dengan perbuatan menghina Islam sehingga menimbulkan kemarahan anak kandung Umno, Perkasa.

Tidak cukup dengan itu, MCA juga seolah-olah mendorong pemimpin Umno menghina hukum Allah.

"Kerana terpengaruh dan begitu seronok dengan permainan MCA menghina hukum Allah, (Menteri Besar Johor, Datuk) Abdul Ghani Othman dengan begitu ghairah menghina hukum potong tangan sedangkan perkara itu merupakan ketetapan Allah dalam al-Quran.

"Ketika DAP sedang belajar berhenti mengecam hukum Islam walaupun tidak mahu dan tidak menyokongnya, Umno tetap meneruskan watak sebagai penghina hukum Islam.

"Kalaupun tak mahu buat atau tak sokong, Umno tak sepatutnya menjadi pak turut MCA menghina hukum Islam," katanya.

Pilihan raya kecil Tenang juga memperlihatkan kelemahan dan ketiadaan pengalaman jentera Umno Johor untuk "berperang" dengan pembangkang.

"Kalau tidak dibantu oleh jentera Umno dari luar, Umno Johor yang sudah biasa menang mudah dan mengejek-ejek penyertaan PAS dalam pilihan raya negeri itu tak ubah seperti anak ayam kehilangan ibu," katanya.

Walaupun dibantu oleh jentera Umno luar yang lebih pengalaman "berperang" dengan pembangkang, katanya, Umno tetap terpaksa berhempas pulas untuk menghadapi aura calon PAS, Normala Sudirman.

"Pelbagai fitnah yang mereka sasarkan terhadap Normala dan keluarganya membuktikan Umno merasa tergugat dengan keperibadian calon PAS itu," katanya.

Dengan apa yang dihadapi oleh Umno dalam pilihan raya kecil Tenang itu, Mahfuz menjangkakan zaman Umno menang mudah dan boleh bersenang lenang menghadapi pilihan raya di Johor akan semakin berakhir.

Pemandu Lori Buka Langkah Seribu Selepas Dilepaskan Mahkamah Dari Tuduhan Edar Kanabis

Alor Setar - Seorang pemandu lori sebuah syarikat kurier bergegas berlari seribu sebaik Mahkamah Tinggi di sini semalam melepas dan membebaskannya daripada tuduhan mengedar kanabis, setahun lalu.

Tertuduh, Sazali Salleh, 38, yang memakai baju T berwarna kuning dan seluar sukan kelabu menekup muka dengan kedua-dua belah tangan sebaik hakim, Datuk Mohd. Azman Husin membacakan keputusan tersebut.

Dia yang berasal dari Sungai Petani sebelum itu bersalaman dengan anggota polis yang mengiringinya dan bergegas keluar dari bilik mahkamah tanpa sempat berjumpa dengan ahli keluarganya yang berada di galeri awam.

Sazali kemudian dilihat berlari ke arah kawasan rumah kedai dan sawah yang terletak kira-kira 100 meter dari kompleks mahkamah sebelum hilang daripada pandangan.

Tindakan itu sekali gus mengejutkan ramai yang berada di pekarangan mahkamah untuk mengikuti keputusan kes tersebut.

Sepanjang prosiding berlangsung sejak 23 Januari lalu, seramai lima orang saksi pendakwaan telah dipanggil untuk memberi keterangan berhubung kes tersebut.

Mohd. Azman dalam keputusannya menyatakan bahawa pertuduhan pendakwaan tidak lengkap dan terdapat kesilapan teknikal disebabkan kecuaian polis selain keterangan mereka selaku saksi pendakwaan juga menimbulkan keraguan.

Beliau juga hairan dengan kegagalan 15 anggota polis berpakaian preman untuk memberkas rakan Sazali yang dikenali sebagai Din selain tidak memperoleh butir- butir peribadi lelaki itu.

"Disebabkan pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie, tertuduh dilepas dan dibebaskan tanpa dipanggil bela diri, namun tertakluk kepada rayuan (pihak pendakwaan)," katanya.

Mengikut kertas pertuduhan, Sazali bersama seorang lagi yang masih bebas dididakwa mengedar dadah kanabis seberat 903.5 gram pada pukul 11.30 pagi, 15 Februari 2009 di hadapan rumah Lot 92, Lorong 13, Taman Bakar Arang, Sungai Petani.

Bagi kesalahan itu, dia dituduh mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Sazali diberkas bersama kanabis oleh sepasukan 15 anggota polis yang menahan lori dinaikinya bersama seorang rakan tetapi lelaki itu dapat melarikan diri ketika kejadian.

Timbalan Pendakwa Raya, Norhayati Ibrahim berkata, beliau akan membuat rayuan kepada Mahkamah Rayuan dalam tempoh 14 hari.

Sazali diwakili oleh peguam, Rahmatulah Baharudeen.

Labis: Bank Ditutup, Projek-projek Mee Segera PRK Tenang Dulu Hancur Lebur

Bank Di Segamat Dan Labis Terpaksa Ditutup Akibat Banjir

Cawangan bank-bank komersil di Segamat dan Labis, Johor, terpaksa ditutup pada Isnin akibat banjir, kata Persatuan Bank-bank Malaysia (ABM) dalam satu kenyataan pada Isnin.

Persatuan itu bagi pihak 10 bank anggotanya, berkata keadaan itu dipantau rapi dan bank berharap dapat beroperasi seperti biasa secepat mungkin.

Ia berkata pengguna boleh memperoleh maklumat terkini menerusi nombor bebas tol ABM, ABMConnect 1-300-88-9980 dari Isnin hingga Jumaat (kecuali cuti umum), 9:00 pagi hingga 5:30 petang atau menghubungi nombor telefon bank masing-masing.

Memandangkan esok cuti umum untuk Wilayah Persekutuan, orang ramai dinasihatkan menghubungi nombor di atas pada Rabu, 2 Feb, 2011.

Affin Bank Bhd boleh dihubungi di 03-55223000, Alliance Bank Malaysia Bhd (03-55169988), AmBank (M) Bhd (1-300-80-8888), CIMB Bank Bhd (1-300-88-0900), EON Bank Bhd (03-26161133), Hong Leong Bank Bhd (03-76268899), Malayan Banking Bhd (1-300-88-6688), OCBC Bank (Malaysia) Bhd (1-300-88-5000), Public Bank Bhd (1-800-88-3318) dan RHB Bank Bhd (1-800-88-4663).

Banjir mencetuskan keadaan cemas di beberapa negeri di negara ini, menyebabkan tiga orang terkorban, kerosakan hartanah dan memaksa beribu-ribu orang dipindahkan.

Setakat ini dua kematian dilaporkan di Johor manakala seorang lagi di Melaka.

Selain itu, banjir dan tanah runtuh yang berlaku antara Bahau dan Tampin di Negeri Sembilan dan Kluang, Johor, memaksa Keretapi Tanah Melayu Bhd membatalkan perkhidmatan ke Selatan dan Timur. -- BERNAMA

Ulasan GB

Banjir melanda Labis & Segamat di hari mengundi semasa pilihanraya Tenang berlansung.

Kini, selepas kemenangan BN diumumkan ekonomi Labis & Segamat lumpuh apabila bank-bank komersial terpaksa ditutup kerana banjir besar.

Malah lebih daripada itu, waktu sebelum pilihanraya Tenang, beberapa projek mee segera mencurah di Tenang untuk menambat hati pengundi Tenang.

UMNO BN berbangga dengannya, konon hanya UMNO BN sahaja yang boleh membawa pembangunan, hanya UMNO BN sahaja yang boleh buat jalan, hanya UMNO BN sahaja yang boleh memberi itu dan ini kepada rakyat. Semua agensi kerajaan pusat dikerah untuk mengubah wajah Tenang untuk memukau pengundi Tenang. Berjuta dicurahkan untuk menghadapi pilihanraya Tenang. UMNO BN kaya raya, kata pengundi BN. Apa ada pada parti PAS? Apa ada Pakatan Rakyat?

Pembangunan yang sepatutnya menjadi kewajipan tetapi kini bertukar apabila UMNO BN menjadikan diri mereka seperti Santa Claus di hari natal memberi gula-gula pembangunan kepada rakyat. Sedangkan kekayaan itu milik Allah s.w.t.

Tak cukup dengan itu, Islam dipersendakan secara bergilir-gilir oleh UMNO dan MCA.

Kini sekonyong-konyonngnya Allah menurunkan hujan yang membanjiri seluruh Tenang. Tiada tampak projek mee segera yang dibanggakan lagi. Jalan-jalan yang baru diturap hancur lebur ditenggelami banjir dan ada yang merekah menjadi bongkah-bongkah batu yang perlu dibersih dan diperbaiki semula.

Tuhan telah dicabar dan lalu Tuhan memberikan jawpaannya. Tunjukkan kekayaan kamu yang kamu banggakan. Kamu taburkan pembangunan dengan niat untuk mendapat kemenangan di dalam pilihanraya. Ya, itu yang kamu dapat. Kamu diberikan kemenangan, kemudian Allah berhak untuk membersihkan semua projek-projek pembangunan yang kamu bina itu dengan banjir yang tak dapat kamu tolak kerana pembangunan itu kamu lakukan bukan untuk rakyat tetapi untuk pilihanraya. Pilihanraya sudah berakhir dan Allah juga berhak untuk mencabut semua projek itu semula dengan dikirimkan banjir yang tidak dapat ditolak lagi oleh sesiapa!

Sekarang siapa yang kaya raya dan siapa berkuasa? UMNO BN kah? Atau Allah Yang Maha Esa?

[Bergambar] Kes Ariel: Peminat & Aktivis Bertempur

Bandung: Peminat vokalis kumpulan Peter Pan, Nazril Ariel Irham bertempur dengan penyokong kumpulan Islam di luar mahkamah di sini semalam selepas selesainya hakim menjatuhkan hukuman ke atas selebriti itu di atas kesalahan membabitkan pengedaran bahan lucah.

Berdasarkan pemantauan wartawan tempatan, beberapa penyokong kumpulan aktivis agama itu dilihat memukul penyokong Ariel yang memakai jaket celoreng hitam dan jingga di Jalan LRE Martadinata.

Bagaimanapun pertempuran itu tidak berlangsung lama kerana anggota polis berjaya meleraikan dua kumpulan yang kurang puas hati dengan keputusan yang diumumkan hakim.

1,000 anggota polis ditempatkan bagi mengawal keadaan sesak di mahkamah.

Indonesia sebuah negara sekular dengan 234 juta penduduk, mempunyai penduduk Islam paling ramai di dunia. Walaupun bersifat sederhana, kumpulan aktivis semakin bersuara lantang.

Kumpulan itu berjaya mendesak undang-undang kontroversi seperti undang-undang antipornografi direalisasikan, menyerang mana-mana pihak yang dianggap mempersendakan agama, aktiviti pondan dan menyekat mazhab yang bertentangan dengan agama.

Sesetengah penunjuk perasaan membaling kenderaan polis yang membawa Ariel ke mahkamah dengan telur busuk dan tomato. Yang lain memegang sepanduk mengutuk penyanyi itu. – Agensi/AP/Reuters










Cabul Anak Murid, Hukuman Ke atas Nasruddin Kekal

Seorang guru agama kelu apabila Mahkamah Tinggi Alor Setar mengekalkan hukuman penjara 18 bulan dan denda RM3,000 kerana mencabul seorang kanak-kanak di sebuah rumah yang dijadikan pusat Qiraati lima tahun lepas.

Gambar: Nasruddin Niamat, 36, (tengah) keluar dari Mahkamah Tinggi Alor Setar setelah gagal dalam rayuannya untuk mengenepikan hukuman penjara 18 bulan dan denda RM3,000 atas kesalahan mencabul anak muridnya lima tahun lalu, di Alor Setar, 31 Jan. - UM/KAMAL BASIR

Hakim Datuk Mohd Azman Husin menolak rayuan Nasruddin Niamat, 36, bagi mengetepikan keputusan Mahkamah Majistret pada 13 Oktober 2009.

Mohd Azman berkata keputusan Majistret Najwa Che Mat menjatuhkan hukuman penjara 18 bulan dan denda RM3,000 adalah mematuhi prosedur mahkamah.

Guru agama itu dituduh mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat.

"Walaupun rayuan awak ditolak, ini bukan keputusan akhir kerana awak masih ada peluang. Awak boleh buat rayuan di Mahkamah Rayuan," kata Mohd Azman.

Menurut kertas pertuduhan, Nasruddin dituduh mencabul kehormatan seorang kanak-kanak berusia 11 tahun di sebuah bilik yang dijadikan kelas mengaji al-Quran di sebuah rumah di Lorong Teratai 1, Taman Berjaya, Jalan Pegawai pada 9.45 pagi, 8 Jun 2006.

Dalam rayuannya, tertuduh yang mempunyai seorang isteri dan empat anak, memberi alasan kanak-kanak itu masih di bawah umur dan tidak dapat memberi keterangan selain tidak memahami kepentingan mengangkat sumpah.

Timbalan Pendakwa Raya Norhayati Ibrahim mengendalikan kes itu manakala tertuduh diwakili peguam Rahmatullah Baharuddeen. --Bernama

[Bergambar] Sejuta Rakyat Mesir Akan Sertai Protes Di Mesir

Kaherah: Satu pakatan pembangkang menggesa sejuta penduduk Mesir meningkatkan tekanan terhadap Presiden Hosni Mubarak melepaskan kuasa selewat-lewatnya Jumaat depan dengan keluar beramai-ramai memprotes di tengah ibu kota Kaherah mulai semalam.

Gambar: Pemenang Hadiah Nobel Keamanan dan penyokong demokrasi, Mohamed ElBaradei, sedang berucap kepada para pembantah yang berhimpun di Dataran Tahrir, di Kahirah, lewat kelmarin. -- Foto AP

Seramai 30 hingga 40 wakil pergerakan terbabit juga mendesak supaya mogok umum dilancarkan di seluruh negara itu bagi memaksa Mubarak berundur selepas 30 tahun berkuasa.

Pakatan itu yang kebanyakannya pergerakan belia selain Ikhwanul Muslimin yang diharamkan, merancang untuk berarak dari Dataran Tahrir (Kemerdekaan) bagi memaksa Mubarak menyerah kuasa.

Jurucakap beberapa kumpulan terbabit berkata, wakil mereka berunding sejak petang semalam bagi membentuk strategi bersama menggulingkan Mubarak.

Mereka juga akan memutuskan sama ada pemenang anugerah Nobel, Mohamed ElBaradei akan dinamakan sebagai jurucakap penunjuk perasaan.

Ikhawanul Muslimin pula menyatakan bahawa ia tidak akan menerajui penentangan terhadap Mubarak.

“Kami tidak mahu mengancam revolusi ini,” kata Mohamed Mahdi Alef, bekas pemimpin kanannya.

Mengulas tindakan mogok, salah seorang penaja bantahan, Israa Abdel-Fattah, berkata: “Kami tidak mahu keadaan pulih semula sehingga Mubarak tidak lagi memerintah. Kami mahu penduduk tidak bekerja hingga beliau berundur.”

Israa adalah pengasas kumpulan 6 April, pergerakan belia yang mendesak pembaharuan demokratik dilakukan sejak 2008.

Bank, sekolah dan pasaran saham ditutup buat hari kedua manakala ramai terpaksa berbaris di luar kedai roti untuk menambah bekalan.

Kawat berduri menutup laluan ke Dataran Tahrir dari jalan utama, kawasan plaza yang diduduki penunjuk perasaan sejak Jumaat lalu, menjadikannya pusat kempen menjatuhkan Mubarak yang dipersalahkan atas kemiskinan berleluasa, inflasi, sikap tak peduli pihak berkuasa dan penindasan ke atas penduduk.

Beribu-ribu orang berhimpun di dataran itu sejak awal pagi, ramai yang tidur di kawasan padang atau dalam khemah. Ramai yang mula tiba sejak awal lagi.

Anggota polis dan pengutip sampah juga muncul semula di jalan raya Kaherah manakala stesen kereta api bawah tanah dibuka semula selepas askar dan sukarelawan bersenjatakan cotar dan parang menjaga keamanan semalaman.

Sementara itu, stesen televisyen Al-Jazeera pula menyatakan, enam wartawannya sudah dibebaskan selepas ditahan sehari selepas televisyen itu diarah memberhentikan operasinya. – Agensi








Hatta, Mahfuz Terperangkap 2 Hari Di Segamat Selepas PRK Tenang

Dua Ahli Parlimen (MP) PAS menceritakan pengalaman ngeri mereka awal pagi tadi sehingga terperangkap dalam satu 'pulau' banjir di Pagoh.

“Kami sekarang berada di Kampung Bukit Limau Manis, Pagoh 3, Segamat. Kami telah memaklumkan kepada pihak berkuasa. Bantuan masih tidak kesampaian. Paras air semakin naik dan hujan masih turun.

Bekalan elektrik terputus. Kami sekarang tengah menumpang in satu rumah orang kampung dan dilayani dengan baik,” tulis Ahli Parlimen Kuala Krai, Dr Hatta Ramli yang tersangkut di kampung tersebut bersama Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar.

Mengimbas kembali peristiwa ngeri semalam, Dr Hatta berkata beliau dan Mahfuz cuba meninggalkan Labis pada pukul 1.30 pagi, namun tidak berjaya kerana tersekat kerana kesesakan yang teruk di Segamat.

“Kami tidak boleh meneruskan perjalanan, oleh itu kami berpatah balik ke arah Labis dan mengambil jalan Felda Chempedak ke Pagoh.

Selepas mengharungi dua kawasan banjir, masalah kami bermula,” imbas Dr Hatta.

(GAMBAR: Dr Hatta bergambar dengan kanak-kanak di 'pulau' Pogoh tempat beliau terperangkap sehingga jam 8.30 malam 31 Januari. Selepas itu, belliau dibawa dengan bot penduduk kampung keluar dari situ dan dalam perjalanan menaiki Hilux. Kereta beliau terpaksa ditinggalkan di pulau 'Pogoh" ini)

Dalam perjalanan menghala ke Pagoh, Dr Hatta berkata mereka menemui lima kawasan banjir namun mereka berjaya merentasinya dengan kereta T Fortuner.

“Kawasan banjir terakhir sangat dalam airnya dan air mengalir dengan sungguh deras sekali. Air juga memasuki kereta, namun kita berjaya sampai ke kawasan tanah kering. Ia sudah 3 pagi pada masa itu,” kata Dr Hatta yang mengklasifikasikan peristiwa itu tersebut sebagai ‘sangat ngeri’.

Selepas itu, Dr Hatta dan Mahfuz membuat keputusan untuk meneruskan perjalanan, dan selepas satu minit daripada tempat kejadian ngeri tadi, mereka sekali lagi bertembung dengan kawasan banjir, di mana kali ini Mahfuz, yang juga Naib Presiden PAS menasihatkan Dr Hatta untuk tidak mengambil risiko untuk mengharungi kawasan banjir keenam ini.

“Saya setuju dengan Mahfuz dan menghentikan kereta di tepi jalan berdekatan dengan dua rumah kampung yang bersuluh,” kata Dr Hatta.

Sebelum berehat sejenak di kereta, Dr Hatta sempat meletakkan satu petanda di masa gigi air berada untuk melihat perubahan paras air.

“Saya tidur nyenyak sehingga masa untuk solat subuh dan mendapati petanda yang saya letak telah hilang dan paras air hanya beberapa kaki saja daripada kereta. Subhanallah. Kami terperangkap di dalam satu pulau!” kata Dr Hatta lagi.

(GAMBAR: Mahfuz bergambar dengan keluarga angkat tempat beliau menumpang ketika terperangkap)

Namun begitu, nasib malang Dr Hatta dan Mahfuz di’offset’kan dengan layanan mesra penduduk-penduduk kampung di Kampung Bukit Limau Manis di mana mereka dijemput untuk menumpang di salah semua rumah mereka.

“Kami dijemput oleh orang kampung, menunaikan solat dan diberitahu bahawa daripada pengalaman lepas mereka, ia akan mengambil masa beberapa hari untuk paras air turun. Ahh sudahh!

Nasib baik ada bekalan elektrik untuk mencajkan Blackberry,” kata Dr Hatta yang ketika itu berasa yakin bahawa mereka akan diselamatkan oleh bantuan JKM atau pasukan Ahli Parlimen kawasan tersebut sekejap lagi.

“Saya yakin bahawa JKM atau pasukan ahli parlimen kawasan ini akan datang dengan boat untuk memberikan ikan sardin. Aku pun akan buat muka welfare tadah tangan,” tambah Dr Hatta.

Bagaikan jatuh ditimpa tangga, sehingga jam 2 petang tadi, menurut Dr Hatta, masih tiada orang dan pihak berkuasa yang datang menghulurkan bantuan, dan keadaan bertambah perit apabila bekalan elektrik turut terputus di kampung tersebut.

“Kami masih menunggu,” itulah mesej terakhir yang dihantar Dr Hatta dan Mahfuz kepada Harakahdaily tengah hari semalam.


[Bergambar] Banjir Dasyat Landa 4 Negeri

Keadaan banjir di beberapa buah negeri semakin buruk apabila meragut tiga nyawa hari ini masing-masing dua di Johor dan seorang di Melaka.

Keadaan banjir yang dilaporkan di Johor semalam juga semakin merebak ke beberapa buah negeri lain termasuk di Pahang, Melaka dan Negeri Sembilan.

Beberapa buah pusat pemindahan mangsa banjir di kesemua negeri tersebut juga mula menerima mangsa-mangsa banjir dan jumlahnya semakin meningkat sehingga petang ini.

Di JOHOR, seramai 39,304 penduduk negeri ini terpaksa dipindahkan ke 241 pusat pemindahan sementara apabila kediaman mereka dilanda banjir hari ini.

Hujan lebat berterusan sehingga tahap amaran merah oleh Jabatan Meteorologi menyebabkan paras air di kebanyakan sungai di negeri ini telah mencecah paras bahaya termasuk Sungai Segamat, Sungai Muar, Sungai Bekok dan Sungai Mengkibol.

Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman berkata, bencana banjir kini berada pada tahap serius namun pihaknya telah menggerakkan setiap jentera kerajaan untuk membantu penduduk yang terlibat.

"Kita melibatkan setiap pihak termasuk tentera, polis, bomba serta Jabatan Pertahanan Awam Malaysia untuk membantu memindahkan penduduk yang terperangkap dalam banjir ke tempat lebih selamat.

"Kami turut mengenal pasti lokasi-lokasi banjir dan mengerahkan setiap aset termasuk trak, bot serta helikopter untuk membawa keluar mangsa banjir," katanya pada sidang akhbar di Pejabat Majlis Daerah Labis di sini.

Beliau berkata, setiap daerah di negeri Johor terjejas dalam banjir kali ini dengan Segamat yang paling teruk membabitkan seramai 9,539 mangsa diikuti Kluang (7,013), Johor Bahru (6,882), Ledang (1,616), Kulaijaya (1,426), Muar (1,283), Batu Pahat (736), Kota Tinggi (180), Pontian (126) dan Mersing (99).





Di NEGERI SEMBILAN pula, Seramai 4,198 penduduk di beberapa daerah sekitar negeri ini dipindahkan malam tadi hingga lewat petang ini berikutan hujan lebat tanpa henti sejak dua hari lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bantuan Bencana negeri, Datuk Mat Ali Hassan berkata, jumlah berkenaan meningkat sejak petang ini apabila beberapa kawasan masih lagi dilanda banjir berikutan paras Sungai Muar dekat daerah kecil Gemas naik mendadak.

''Sehingga pukul 12.45 tengah hari, jumlah mereka yang dipindahkan ialah seramai 4,198 orang dan ia dijangka meningkat berikutan keadaan laporan cuaca yang menunjukkan hujan akan terus berlaku di beberapa kawasan lewat petang ini dan sebelah malam," katanya ketika dihubungi hari ini.

Mat Ali yang juga Setiausaha Kerajaan negeri memberitahu, sebanyak 22 pusat pemindahan sementara telah dibuka dan bantuan segera kepada mangsa banjir telah disalurkan pelbagai agensi penyelamat.

Dalam pada itu, Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, keadaan banjir yang berlaku ini disebabkan hujan lebat tanpa henti.

''Kawasan paling teruk ialah di sekitar Tampin dan Gemas di mana, lebih 1,500 orang telah dipindahkan, katanya ketika ditemui pemberita di Nilai, hari ini.





Di PAHANG, seramai 690 orang dipindahkan ke 13 pusat pemindahan sementara berikutan hujan lebat dan banjir di empat daerah negeri ini hari ini.

Antara kawasan terjejas adalah Raub, Bentong, Maran dan Rompin.

Selain itu beberapa laluan utama turut ditutup kepada semua kenderaan berikutan jalan terbabit dinaiki air antara 0.5 hingga dua meter.

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Pahang, Supritendan Mohd. Fauzi Abdul Rahim berkata, daerah Raub mencatatkan jumlah kawasan tertinggi yang dilanda banjir melibatkan 13 kampung dengan mangsa banjir seramai 204 orang.

Beliau memberitahu, beberapa jalan di sekitar negeri ini turut ditutup kepada semua kenderaan berikutan paras air meningkat di laluan terbabit.

Katanya, bagi daerah Bentong, jalan yang ditutup kepada semua kenderaan ialah Jalan Karak-Kuala Pilah di kilometer 9, kilometer 12 dan kilometer 13.

Tambahnya, Jambatan Kampung Bubuk Batu di Rompin ditutup kepada semua kenderaan kecuali kilometer 5, Jalan Felda Selancar yang hanya boleh dilalui oleh kenderaan berat.

"Beberapa jalan di Bera pula ditutup kepada semua kenderaan iaitu Jalan alternatif Kampung Pasal-Kampung Pelangi 8 ke Muadzam Shah dan kilometer 22 Jalan Kemayan-Jalan Ladang Risda Berat.

"Jalan di Kilometer 24 Jalan Maran-Jerantut di Maran hanya dilalui oleh kenderaan berat sahaja," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuantan di sini hari ini.







Di MELAKA, seramai 2,014 orang daripada 510 keluarga di Jasin dan Alor Gajah dipindahkan ke pusat pemindahan sementara apabila kediaman mereka dinaiki air setinggi 0.2 hingga 0.4 meter berikutan hujan lebat sejak semalam hingga hari ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, kawasan yang teruk dilanda banjir ialah Asahan dan Simpang Bekoh di Jasin manakala Taman Seri Bayu, Rembia serta Seri Pengkalan di Alor Gajah.

Menurutnya, empat kawasan yang teruk dilanda banjir melibatkan 1,397 penduduk iaitu 306 penduduk dari Asahan, Sungai Bekoh (276), Taman Seri Bayu (538) dan Seri Pengkalan (277) manakala selebihnya dari Tehel, Batang Melaka, Lipat Kajang dan Melaka Pindah.

Beliau berkata, kesemua mangsa banjir kini ditempatkan di 26 pusat pemindahan sementara yang telah dibuka sejak malam tadi iaitu 19 di Jasin dan tujuh lagi di Alor Gajah.

Beliau menambah, tiga jalan utama terpaksa ditutup buat sementara waktu sejak awal pagi hingga tengah hari ini kerana dinaiki air antara 0.2 hingga 0.4 meter.

Katanya, jalan tersebut ialah dari jalan dari Pekan Lubuk China ke Simpang Ampat, Seri Pengkalan ke Alor Gajah dan Seri Pengkalan ke Rembia.

Mohd. Ali berkata, banjir berpunca berikutan limpahan air daripada tiga sungai iaitu satu di Alor Gajah dan dua di Jasin berikutan hujan berterusan sejak semalam hingga hari ini.







[Bergambar] Segamat Berubah Menjadi Pulau

Labis: Segamat lumpuh sejak malam kelmarin apabila terputus perhubungan darat dengan dunia luar, berikutan semua laluan keluar masuk ke daerah itu ditenggelami air sehingga 1.5 meter.

Jalan keluar masuk ke daerah ini membabitkan Jalan Batu 8 Jementah-Lubuk Batu, Jalan Gemas-Segamat dan Jalan Bandar Segamat-Labis ditutup sepenuhnya kepada semua jenis kenderaan.

Berikutan perkembangan itu, semua pengguna jalan raya dinasihat tidak menggunakan laluan berkenaan berikutan kedua-dua hala jalan ditenggelami air dan berbahaya untuk dilalui.

Jurucakap polis berkata, semua hubungan ke Segamat kini lumpuh berikutan jalan dinaiki air mencecah paras dada orang dewasa, malah di sesetengah kawasan termasuk laluan di Tenang Station dikategorikan bahaya kerana arus deras.

Pasukan penyelamat kini diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan berikutan Sungai Segamat terus merekodkan kenaikan parasnya berikutan hujan berterusan sejak seminggu lalu.

Dalam pada itu, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menghentikan sementara operasi pejabatnya di Segamat.

Pengurus Besar Perhubungan Awam KWSP, Nik Affendi Jaafar, berkata ahli dan majikan yang ingin mendapatkan perkhidmatan KWSP boleh menghubungi cawangan KWSP terdekat iaitu di Muar atau Melaka.

Ahli juga boleh menghubungi Pusat Panggilan KWSP di talian 03-89226000 atau menghantar pertanyaan di laman web www.enquiry.kwsp.gov.my atau mendapatkan maklumat KWSP di laman web myEPF www.kwsp.gov.my.

Sementara itu, banjir besar yang melumpuhkan pekan Labis dan beberapa kawasan sekitarnya sehingga menjejaskan pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang kelmarin, mulai surut.

Bagaimanapun, kebanyakan kedai dan premis perniagaan masih ditutup.

Tinjauan mendapati kedai makan dan serbaneka di pekan ini diserbu penduduk mendapatkan bekalan makanan sehingga stok makanan mulai berkurangan.

Tinjauan mendapati beberapa jalan sekitar Pekan Labis dipenuhi sampah sarap yang dihanyutkan banjir malam kelmarin, manakala beberapa jalan raya turut rosak.

Penduduk Kampung Paya Merah, Paya Merah Lama dan Lembah Bakti di Labis juga masih ditempatkan di pusat penempatan banjir berikutan rumah mereka ditenggelami air sehingga paras bumbung.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tenang, Mohd Azahar Ibrahim, yang memenangi pilihan raya kecil itu, kelmarin, turut meninjau mangsa banjir di Dewan Serbaguna Kampung Paya Merah.