27 Jan 2011

[Video] Argentina Perkenal Undang-undang Mesra Hijab

Argentina perkenal undang-undang baru mesra tudung

BUENOS AIRES - Argentina memperkenalkan undang-undang baru yang memberi lebih kebebasan kepada rakyatnya yang beragama Islam untuk mengekalkan amalan tanpa dikenakan sebarang tindakan, semalam.

Parlimen negara itu menggubal akta tersebut yang membenarkan wanita Islam memakai tudung di tempat awam.

Menurut akta tersebut, wanita Islam juga dibenarkan menggunakan gambar bertudung di dalam kad pengenalan mereka.

Presiden Argentina, Cristina Fernandez berkata, beliau berharap negara bukan Islam lain mendapat mesej yang cuba disampaikan iaitu perbezaan kepercayaan dapat diatasi dengan cara baik.

Sebanyak dua peratus daripada populasi negara Amerika Selatan itu adalah penduduk beragama Islam.



Blogger Anjur Debat Azahar vs Cikgu Mala

Blogger tawar diri anjur debat antara calon Tenang

LABIS: Sebuah kumpulan blogger bebas hari ini menawarkan diri untuk menganjurkan satu majlis perdebatan antara kedua-dua bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (Dun) Tenang, Mohd Azahar Ibrahim dari Barisan Nasional (BN) dan Normala Sudirman (PAS).

Kumpulan yang menggelarkan diri mereka sebagai ‘Kumpulan Blogger-blogger Independent’ (Kubid) itu menyarankan supaya diadakan perdebatan antara kedua-dua calon bagi membincang dan menjelaskan isu-isu yang berbangkit dan berkaitan dengan kawasan tersebut.

Wakil Kubid, Sariffuddin Abdullah berkata penganjuran sesi debat itu bagi membolehkan pengundi mengetahui dan menilai usaha serta hala tuju yang cuba dibawa setiap calon dengan lebih jelas serta berkesan terutama menjelaskan isu-isu yang didakwanya disembunyikan.

“Hasrat kami adalah mahu melihat amalan politik baru iaitu politik berpengetahuan, ‘knowledge political’ subur diamalkan dan dijadikan amalan murni di arena politik negara di mana dengan adanya diskusi atau debat terbuka ini yang lebih telus antara calon yang bertanding,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Katanya, berdasarkan pemantauan Kubid sepanjang lima hari berkempen, kedua-dua calon banyak menjurus kepada kempen-kempen yang bersifat populis dan ‘kosmetik’ yang bertujuan mengaburi mata pengundi kepada isu sebenar yang sedang berlegar di Tenang.

“Kami mempersoalkan tentang kewibawaan dan integriti calon-calon yang bertanding. Di manakah letak kewibawaan calon itu sekiranya kempen-kempen yang dijalankan lebih menjurus menyerang peribadi antara satu sama lain? Di manakah etika dan moralnya?” soal beliau.

Pada sidang media itu, Shariffuddin menyerahkan surat jemputan kepada Naib Presiden parti PAS Datuk Mahfuz Omar untuk mempelawa calonnya, Normala menyertai debat itu manakala surat jemputan kepada calon BN akan dihantar selewat-lewatnya petang ini.

Katanya, Kubid bercadang mengadakan debat tersebut esok pada 9 malam di satu tempat yang akan ditetapkan setelah persetujuan dicapai antara kedua-dua calon. - Bernama

Israel Akui Iran Tiada Nuklear

Tel Aviv - Penipuan rejim Zionis selagi lagi terserlah apabila ketua agensi perisikan tentera Israel akhirnya mengakui Iran tidak membangunkan senjata nuklear seperti didakwa Tel Aviv dan sekutunya di Barat.

Jeneral Aviv Kochavi (gambar) juga tidak setuju dengan penilaian Amerika Syarikat (AS) yang berbangga kononnya sekatan ekonomi ke atas Iran berjaya memberikan kesan buruk kepada republik Islam itu.

Kochavi yang baru dilantik memegang jawatan itu pada November lalu mengeluarkan kenyataan itu semasa memberi taklimat kepada parlimen Israel, kelmarin.

"Agak mustahil bagi Iran untuk menjalankan proses pengkayaan uranium sehingga 90 peratus yang diperlukan untuk menghasilkan bom atom," katanya.

Teheran berulang kali menafikan tuduhan Barat bahawa negara itu sedang menghasilkan bom atom dan siasatan Agensi Atom Antarabangsa membuktikan program nuklear Iran adalah bagi tujuan aman.

AS dan sekutunya kerap menyasarkan Iran yang didakwa membina bom atom tanpa membangkitkan isu sama ke atas Israel, satu-satunya negara Timur Tengah yang mempunyai bom nuklear.

PKR Pula Bergelora Sewaktu Kempen Pilihanraya Tenang Berjalan

Siasat siapa dalang sebenar

IPOH - Pimpinan PKR Pusat diminta supaya menyiasat dalang sebenar di sebalik isu pemimpin Cabang Pasir Salak yang memburukkan parti itu.

Naib Ketua PKR Cabang Pasir Salak, Abdul Razak Isa berkata, tindakan memburukkan parti memang wujud dan dilakukan kumpulan yang mahu menjatuhkan Mustaffa Kamil Ayub.

Beliau berkata, pihaknya sedia mendedahkan kumpulan itu jika diminta berbuat demikian bagi membantu siasatan.

“Saya menyokong penuh tindakan pimpinan pusat menangguhkan hukuman itu kerana siasatan perlu dilakukan.

“Kita tidak mahu berlaku sebarang ketidakadilan dalam keputusan yang akan dibuat,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Abdul Razak berkata, semua ahli PKR di Pasir Salak terkejut dengan berita yang disiarkan Sinar Harian semalam.

Menurut beliau, rata-rata ahli mengetahui dan mengenali Mustaffa Kamil Ayub lebih dekat malah tidak percaya pemimpin itu akan membuat kenyataan itu.

Sementara itu, salah seorang ahli cabang itu, Mahmood Yahya berkata, sejak dari peringkat pemilihan lagi cubaan untuk menjatuhkan Mustaffa Kamil sudahpun berlaku.

Beliau berkata, semua pimpinan cabang ketika itu kurang senang dengan perjalanan pemilihan yang dianggap sebagai pemilihan secara paksa.

“Ada dalang tertentu yang cuba menghalang Mustaffa Kamil menerajui Pasir Salak seterusnya bertanding jawatan Timbalan Presiden.

“Kita ada maklumat dan pendedahan akan dibuat selepas ini supaya semua pihak sedar siapa sebenarnya orang kuat di sebalik semua ini,” katanya.

Beliau berkata, terdapat tangan ghaib dalam kalangan pimpinan PKR pusat di sebalik semua masalah itu.

Menurutnya, penduduk Pasir Salak begitu simpati terhadap nasib Mustaffa Kamil yang bakal berhadapan hukuman yang bukan berpunca darinya. -SH


Jawatankuasa Disiplin PKR Diarah Tangguh Siasat Mustafa

SHAH ALAM: Jawatankuasa disiplin Parti Keadilan Rakyat (PKR) diminta menangguhkan siasatan terhadap bekas calon Timbalan Presiden, Mustafa Kamil Ayub yang menerima surat tunjuk sebab pada Isnin.

Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan penangguhan itu berikutan kes berkenaan tidak dimaklumkan secara terpeinci kepada Biro Politik dan pimpinan tertinggi parti.

"Ia tindakan jawatankuasa disiplin yang tidak dirujuk kepada pimpinan. Dalam kes Mustafa, kita minta ditangguhkan kerana Biro Politik dan pimpinan belum dimaklumkan secara terpeinci," katanya di sini, Selasa.

Justeru katanya, Biro Politik yang akan bermesyuarat esok akan mendapatkan penjelasan daripada jawatankuasa disiplin berhubung tuduhan salah laku berkenaan.

Beliau mengulas tindakan jawatankuasa disiplin mengeluarkan surat tunjuk sebab terhadap bekas Naib Presiden itu.

Difahamkan surat tunjuk sebab berikutan tuduhan yang mengatakan Mustafa mengeluarkan kenyataan mengecam kepimpinan parti.

Bagaimanapun Anwar berkata terdapat pertikaian berhubung tuduhan terhadap Mustafa yang sebelum ini pernah dilihat sebagai 'orang kesayangannya'.

"Apa yang dimaklumkan kepada saya, tuduhan itu tidak melibatkan beliau secara peribadi.

"Ia melibatkan tindakan cabang, dan kita kena tanya apakah alasan jawatankuasa disiplin dan langkah-langkah yang dapat kita betulkan," katanya.

Menurut Anwar, Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail juga telah menjelaskan mengenai perkara berkenaan kepada Mustafa.

"Presiden sempat berbicara dengan Mustafa untuk menjelaskan mengenai perkara ini supaya ia ditangguh sehingga kita mendapat maklumat daripada jawatankuasa disiplin yang membuat keputusan.

"Ada tindakan yang cabang buat tidak merujus khusus kepada kedudukan atau kenyataan Mustafa... itu yang dijelaskan kepada saya.

"Tapi yang lebih penting secara umum dah dimaklumkan tapi secara khusus tidak diberitahu, jadi kita nak tanya jawatankuasa disiplin," katanya.

Dalam pada itu, diminta mengulas mengenai kedudukan Ahli Parlimen Padang Serai, N. Gobalakrisnan yang enggan menjawab surat tunjuk sebab yang dikeluarkan terhadapnya, Anwar berkata: "Kalau dia tak nak jawab kita kena rujuk kepada jawatankuasa disiplin."

Gobalakrishnan yang tewas pada pemilihan PKR baru-baru ini bagi jawatan Naib Presiden menerima surat tunjuk sebab setebal 45 muka surat awal tahun ini ekoran tindakan menyerang kepimpinan parti. -mstar



Mustaffa didakwa halang proses pemilihan PKR Pasir Salak

PETALING JAYA: Pengarah Biro Latihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Mustaffa Kamil Ayub diberi notis tunjuk sebab daripada PKR disebabkan tindakannya menghalang proses pemilihan parti peringkat Pusat di Cabang Pasir Salak pada 25 September tahun lalu.

Notis rasmi daripada Pejabat Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail yang bertarikh 13 Januari lalu itu dikeluarkan berikutan terdapat satu aduan yang dipercayai dilaporkan daripada cabang itu sendiri bahawa Mustaffa melakukan tindakan sedemikian di Pejabat PKR Pasir Salak di Perak.

Berikutan tindakannya itu, Mustaffa yang juga bekas Pengerusi PKR Perak telah mengingkari keputusan parti dan melanggari disiplin parti mengikut Fasal 27.7 yang boleh membawa kepada pelucutan ahli, seperti yang dinyatakan dalam notis terbabit.

Notis itu dialamatkan ke kediaman Mustaffa di Seksyen7 Kota Damansara disini dan diberikan tempoh 10 hari daripada tarikh notis yang dikelaurkan bagi memberikan surat tunjuk sebab.

“Sekiranya saudara gagal menjawab surat ini dalam tempoh yang ditetapkan diatas, maka Jawatankuasa Disiplin akan membuat anggapan bahawa tuduhan tersebut tidak dinafikan dan meneruskan tindakan disiplin tanpa merujuk kepada saudara lagi,” kata Saifuddin dalam notis tersebut yang ditandatanginya.

Namun Mustaffa mempertahankan dirinya hanya menerima surat tersebut semalam pada pukul jam 12 tengahari, sehari lewat daripada tempoh masa yang beliau ada untuk kemukakan surat tunjuk sebab.

Saifuddin ketika dihubungi FMT mengesahkan pihaknya sehingga kini masih tidak menerima sebarang respon daripada Mustaffa.

Beliau bagimanapun berkata pihaknya sedia mendengar jawapan atau alasan daripada Mustaffa berikutan kelewatan tarikh penerimaan surat tersebut walaupun dalam surat tersebut tertera bahawa ia juga dihantar melalui emel, mengikut prosedur yang ditetapkan ibu pejabat.

“Jika didapati kelewatan penerimaan menjadi punca dan di luar bidang kawalan, tak menjadi masalah bagi Mustaffa berbincang dan ini boleh dipertimbangkan semula.

Dalam masa yang sama, kita akan semak semula rekod penghantaran notis tersebut yang dihantar melalui emel dan surat berdaftar,” katanya.

Beliau berkata, Mustaffa juga mempunyai peluang untuk mengemukakan alasan untuk maklumkan kepada pejabat parti melalui apa saja cara sama ada emel, surat, mahupun sistem khidmat pesanan ringkas.

“Namun sampai sekarang tidak ada komunikasi antara pejabat PKR dengan beliau (Mustaffa),” katanya.

Selepas berakhirnya pengumuman pimpinan baru parti semasa Kongres Nasional PKR November tahun lalu, Mustaffa merupakan pemimpin veteran PKR kedua yang diberikan notis tunjuk sebab selepas Ahli Parlimen Padang Serai N Gobalakrishnan.

Gobalakrishnan menerima notis yang sama berikutan tindakannya ‘menyerang’ pemimpin tertinggi PKR termasuk Ketua Umumnya Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Azmin Ali melalui tulisan di laman sosial Twitter selepas tewas dalam pemilihan merebut kerusi naib presiden.

Berebeza dengan Mustaffa, beliau bagaimanapun menghadapi risiko tindakan disiplin selepas gagal menjawab notis surat tunjuk sebab walaupun diberikan peluang sebanyak dua kali oleh parti itu.

PKR pada awalnya memberikan masa selama seminggu untuk beliau menjawab surat tunjuk sebab setebal 45 muka surat yang difaks ke pejabatnya pada 4 Januari lalu.

Berikutan memberi alasan bahawa beliau memerlukan lebih banyak masa untuk menjawabnya, parti kemudian melanjutkan tempoh tersebut dengan menghantar notis kedua bertarikh 10 Januari yang memaklumkan bahawa Gobalakrishnan perlu menjawab sebelum 17 Januari.

Sementara itu, Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika ditemui pemberita di program ‘Luncheon Talk’ di Shah Alam hari ini berkata isu ini akan dibangkitkan dan dibincangkan oleh pemimpin Biro Politik parti yang akan bermesyuarat esok. -FMT



Gadis 17 Thn Tidur Bersama Pasangannya Kerana Nak Lepaskan Rindu, Katanya

Seorang ibu tunggal warga emas terkejut apabila mengetahui anak lelakinya tidur bersama teman wanita dalam bilik rumah mereka di Kampung Dalam Lah, awal pagi semalam.

Warga emas berusia 55 tahun itu mengetahui mengenai perkara berkenaan semasa Skuad Amru bersama Penguat kuasa Jabatan Hal Ewal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK) menyerbu rumah mereka kira-kira jam 1 pagi.

Sebaik pintu rumah dibuka warga emas terbabit, Skuad Amru terus menuju kearah bilik tidur anak lelakinya berusia 25 tahun sebelum mencekup tidur berdua-duanya dengan teman wanitanya berusia 17 tahun.

Pegawai Agama Jajahan, Anuar Hashim berkata, sebelum kejadian, pihaknya menerima maklumat dari orang awam menyebabkan serbuan itu dilakukan dengan diketuai Iman Tua Masjid Mukim Pulau Setelu, Md Nawi Awang.

Beliau berkata, semasa serbuan keadaan dalam rumah itu gelap sebelum pintu dibuka warga emas terbabit selepas diketuk berulang kali kerana mengetahui ada pasangan berkhalwat.

“Apabila pintu dibuka, warga emas itu terkejut kerana dia tidak tahu menahu anak lelakinya membawa balik teman wanita dari Kampung Kuala Lah tidur bersama dalam bilik,” katanya.

Menurutnya, Skuad Amru sekali lagi mengetuk pintu bilik tidur sebelum dibuka seorang lelaki dipercayai anak ibu tunggal itu dalam keadaan berpakaian lengkap.

“Semasa siasatan dijalankan dalam bilik itu menemui seorang gadis berselindung dalam kain selimut atas katil tanpa berpakaian menyebabkan pasukan Skuad Amru mengarah gadis tersebut supaya segera memakai pakaian,” katanya.

Anuar berkata, semasa siasatan dijalankan gadis tersebut mengakui datang ke rumah teman lelakinya kerana ingin tidur bersama untuk melepas rindu sebelum kedua-dua mereka dibawa ke Ibu Pejabat Daerah (IPD) Gua Musang untuk laporan polis.

Beliau berkata, selepas itu, pasangan tersebut dibawa pula ke Pajabat Agama Jajahan untuk siasatan lanjut sementara menunggu ahli keluarga pasangan berkenaan datang jamin.

“Kita bebaskan mereka berdua dengan ikat jamin kira-kira jam 10 pagi sementara menunggu hari sebutan kes khalwat mereka di Mahkamah Rendah Syariah Gua Musang pada 1 Mac depan,” katanya -SH

Ulasan GB

Kes maksiat semakin gawat, sehingga ibu sendiri sudah tidak menyedari anaknya membawa pulang pasangan dan tidur bersama di rumahnya.

Apabila sistem pemerintahan tidak dikembalikan kepada sistem Islam, gejala ini tidak mungkin dapat dibendung malah akan terus bercambah.

Tindakan Soi Lek Bawa Padah Kepada BN

Undi Cina dijangka kekang sasaran majoriti besar BN

LABIS, 27 Jan — Harapan Barisan Nasional (BN) untuk mengekalkan kerusi DUN Tenang dengan majoriti besar — sekurang-sekurangnya 5,000 undi — agak mustahil ekoran kempen DAP yang mula mendapat sambutan luar biasa.

BN meletakkan sasaran untuk menggandakan majoriti berbanding tahun 2004.

The Malaysian Insider difahamkan Umno yang yakin untuk memenangi majoriti pengundi Melayu di kawasa itu mula menyalahkan Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek kerana didakwa gagal mengawal momentum yang dibawa DAP dalam mendapatkan sokongan pengundi Cina sejak hari penamaan calon Sabtu lalu.

“Saya rasa mereka telah memperkecilkan pengaruh Lim Kit Siang (Penasihat DAP) dan Lim Guan Eng (Setiausaha Agung DAP) terhadap pengundi Cina, mereka ingat orang tidak ramai dan tidak seperti ceramah PAS dan PKR yang dihadiri penduduk tempatan,” kata seorang pegawai Umno

Kit Siang dan anak lelakinya Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang menghabiskan masa satu hari di kawasan Tenang dengan mendapat sambutan yang amat menggalakkan dalam kempen ceramah yang mereka sertai.

Kedua-dua ceramah yang diadakan pada malam Isnin dan Selasa lalu dianggarkan disertai kira-kira 300 penduduk tempatan, bilangan yang agak besar bagi mana-mana ceramah yang diadakan di Tenang.

Kini DAP yakin calon PAS Normala Sudirman boleh memenangi sekurang-kurangnya 60 peratus undi Cina di Tenang. Pada pilihan raya umum 2008 PAS meraih sebanyak 58 peratus undi Cina.

“Sekarang kami mempunyai kira-kira 60 hingga 65 peratus dan kami sasarkan ia meningkat sehingga 70 peratus, ia masih sukar kerana dibeberapa kawasan kami tidak begitu kuat,” kata Pengerusi DAP Johor Dr Boo Cheng Hau.

DAP menganggarkan undi Cina di Tenang masih belum melebihi 30 peratus sebaik sahaja kempen bermula, ia bagaimanapun membuat Umno terdesak untuk mendapatkan lebih banyak sokongan pengundi Cina.

“Masalahnya kami tidak boleh berbincang dengan parti komponen bagi situasi di kawasan Cina.

“Tanpa sokongan kuat daripada pengundi Cina, ia agak mustahil untuk dapat 5,000 undi majoriti,” kata seorang lagi pegawai Umno.

MCA berada di bawah tekanan untuk mendapatkan semula sokongan pengundi Cina di kawasan Tenang yang merupakan kubu kuat BN.

Pada 2004 BN memenangi kerusi itu dengan majoriti 5,517 undi tetapi jumlah itu berkurang kepada 2,492 pada pilihan raya umum 2008 yang mana majoriti besar undi Cina memihak kepada pembangkang.

Sementara itu, tinjauan The Malaysian Insider mendapati pendirian MCA yang mahu membangkitkan isu dasar negara Islam dalam kempen pilihan raya kecil itu turut mendapat bantahan pengundi Cina.

Pengundi Cina beranggapan tidak wajar MCA memainkan isu negara Islam dan mereka mahu agar MCA menghentikan daripada memainkan isu tersebut.


Sebelum Dr Chua berkata mahu menyerang PAS dengan membangkitkan isu negara Islam dalam kempen pilihan raya kecil kawasan itu.

Dr Chua berkata akan terus menyerang PAS dengan memberi amaran kepada pengundi-pengundi bahawa sokongan mereka hanya akan memperkukuh kedudukan parti Islam itu dalam Pakatan Rakyat.

Beliau berkata berkata meskipun DAP menjadi rakan komponen dalam Pakatan Rakyat parti itu tidak mampu menghalang PAS daripada meneruskan dasar negara Islamnya.

Tindakan MCA itu bukan sahaja membangkitkan kemarahan orang Islam tetapi orang bukan Islam juga.

Kempen pilihan raya kecil DUN Tenang sudah masuk hari keenam. Hari pengundian Ahad ini.

“Bagi saya Islam tiada masalah, Islam adalah agama rasmi jadi kenapa mesti mau (mahu) mainkan isu ini?

“Pasal itu salam, saya tidak suka bila MCA mainkan isu ini, kita Malaysia ada macam-macam agama... kita tidak boleh paksa antara satu sama lain.


“Yang penting kita hormat agama yang ada, kenapa mesti nak buat macam ini,” kata pengundi Chai Yun Cong, 45.

Menurut Chai, sekiranya PAS memerintah negara sudah pasti parti Islam itu akan menjaga kebajikan dan perpaduan semua kaum di negara ini.

“Kita tiada masalah tapi kenapa dia (Dr Chua) buat macam ini, dia mahu takutkan kita (orang Cina).

“Dia cakap macam-macam (pasal PAS) tapi PAS tiada apa-apa pun, hanya kasi takut orang Cina sahaja.

“PAS bawa Islam, apa yang PAS buat untuk orang Islam. Orang bukan Islam PAS tidak kacau, jadi kenapa mesti takut?”
katanya.

Dia juga berkata PAS adalah sebuah parti yang bersih dan tidak mustahil akan memilih Normala Ahad ini.

“Saya lihat calon PAS bagus, lagipun PAS bersih... tidak amal rasuah. Tentu PAS boleh bantu kami di sini (Tenang).


“Tapi MCA sudah 53 tahun merdeka tapi tidak tolong bangsa sendiri, dia (MCA) hanya tahu cakap sahaja tapi tidak bantu,” kata Chai dengan nada kecewa.

Baru-baru ini Dr Chua berhadapan dengan kecaman PAS kerana mendakwa Normala enggan bersalaman dengan pengundi-pengundi lelaki.

Pada pilihan raya kecil DUN Tenang ini, Pakatan Rakyat meletakkan Normala, Ketua Muslimat PAS Labis sebagai calon manakala BN pula diwakili bekas Penolong Pentadbir Tanah Daerah Kecil Rengit, Mohd Azahar Ibrahim.

Pilihan raya kecil ke-14 ini diadakan bagi mengisi kekosongan berikutan kematian penyandang Datuk Sulaiman Taha, wakil rakyat Umno-BN, pada 17 Disember lepas.

Sementara itu, seorang lagi pengundi Khoo Khai Loon, 40, berkata MCA perlu menghormati Islam dan mesti menghentikan rancangan tersebut.

“Saya tak suka bila MCA kata mahu cakap pasal agama (Islam), tidak boleh macam ini... Kita duduk dalam pelbagai kaum, kena jaga juga.


“MCA kena hentikan, janganlah sebab nak dapatkan undi (orang Cina) sanggup gunakan agama, kita perlu menghormati setiap agama yang ada,” katanya.

Bagi Lim Chiew Ling, 35, pemilihan Normala sebagai seorang calon PAS-Pakatan Rakyat adalah pilihan tepat kerana bekas guru itu mempunyai kredibiliti dan pandai berpidato punya peluang cerah untuk menang pada pilihan raya kecil kali ini.

“Sikap dia (Normala) yang peramah memang disukai oleh pengundi Cina di sini. Dia ada personaliti yang menyenangkan hati.

“Kita tidak ada masalah siapa pun wakil rakyat yang akan dipilih yang penting dia boleh buat bawa pembangunan dan peluang pekerjaan kepada penduduk di Tenang,” katanya.

Lim juga tidak bersetuju dengan tindakan MCA yang tetap mahu memainkan isu agama dalam kempen pilihan raya kecil.

“Tidak boleh macam itu, MCA kena hentikan... Kita duduk Melayu ada, Cina ada, India pun ada. Kena saling hormat-menghormati.

“Bagaimana kalau ada orang yang mainkan pula agama kita? Mesti kita marah,”
katanya.

Kelmarin Guan Eng mendakwa tindakan MCA yang mahu membangkitkan isu negara Islam dalam kempen pilihan raya kecil DUN Tenang kerana mahu menghalang orang bukan Islam daripada mengenali Islam yang merupakan agama rasmi negara ini.

Beliau berkata tindakan Dr Chua yang mahu menyerang PAS dengan membangkitkan isu negara Islam semata-mata mahu menimbulkan rasa “ketakutan” kepada pengundi bukan Melayu di DUN Tenang terutamanya orang Cina. -TMI



UMNO Lebih Teruk Dari Lee Kuan Yew - TGNA

Nik Aziz: Melayu tolak Islam lebih teruk banding Kuan Yew

KOTA BARU, 27 Jan — Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dilapor menyifatkan orang Melayu di Malaysia yang menolak Islam dan mengambil pendekatan nasionalisme lebih teruk daripada menteri mentor Singapura, Lee Kuan Yew.

Beliau berkata ini kerana Lee hanya meminta umat Islam di republik itu tidak terlalu berpegang kuat kepada ajaran Islam berbanding segelintir orang Melayu di negara ini yang membuang sama sekali Islam dan mengambil pendekatan nasionalisme.

“Orang Melayu sini pun tolak Islam, tolak Islam ambil kebangsaan lebih teruk daripada Lee Kuan Yew.

“Beliau cakap jangan pegang (Islam) kuat sangat, orang ini kata buang semua ambil kebangsaan, lebih teruk daripada Lee Kuan Yew,” katanya di sini semalam.

Dipetik Utusan Malaysia hari ini, Nik Aziz mengulas gesaan Lee supaya umat Islam di republik berkenaan tidak terlalu berpegang pada ajaran Islam bagi membantu proses integrasi dan pembangunan negara tersebut.

Pandangan itu terkandung dalam buku terbaru tulisannya “Lee Kuan Yew: Hard Truths to Keep Singapore Going”.

Sejak awal minggu ini kenyataan Lee itu diselar oleh beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negara ini yang menyifatkannya sebagai satu pandangan primitif.

Setiausaha Agung Persatuan Ulama Malaysia (PUM), Dr Mohd. Roslan Mohd Noor berkata, kenyataan tersebut memperlihatkan bekas perdana menteri Singapura itu mempunyai sifat Islamofobia dan cuba mengajar orang Islam tentang agama mereka.

Ketua Dewan Pemuda Pas, Nasarudin Hassan pula menyifatkan pandangan Lee bahawa Islam menjadi penghalang kepada integrasi dan pembangunan di Singapura tidak ubah seperti musuh yang melihat Islam dengan api dendam serta permusuhan berpanjangan.

Dalam laporan itu, Nik Aziz juga dikatakan mencabar Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek supaya turut mempersoalkan pemakaian serban di kalangan masyarakat Sikh dan tidak hanya mempermain-mainkan larangan bersalam antara wanita Islam dengan lelaki bukan muhrim.

Menurutnya, Islam menetapkan lima perkara yang wajib dijaga antaranya larangan bersalam antara lelaki dan wanita bukan muhrim kerana ia boleh mengundang kepada perlakuan negatif lain termasuk zina akibat daripada pergaulan bebas.

“Kenapa dia mempermainkan jabat tangan (bersalam) orang Islam.

“Cuba dia sentuh soal serban orang Sikh, tengok orang Sikh jawab macam mana. Kalau tak berani, jangan cakap benda-benda macam ini,” katanya. -TMI

Ulasan GB

Allahu Akbar!

Lagi Kes Buang Bayi, Kali Ini Di Tempat Letak Kereta Hospital Seremban

Seremban: Seorang bayi perempuan berusia dua hari ditemui berhampiran tempat letak kereta Hospital Tuanku Jaafar, di sini malam Selasa.

Gambar: Kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Sembilan melawat bayi perempuan berusia dua hari yang ditinggalkan berhampiran tempat letak kereta Hospital Tuanku Ja`afar (HTJ) di Wad Rawatan Khas HTJ di sini, hari ini.

Bayi perempuan yang lengkap berpakaian dan dibalut dengan kain batik itu ditemui seorang anggota tentera pada pukul 8.15 malam.

Turut diletakkan bersama bayi yang masih mempunyai tali pusat itu ialah senaskah Surah Yasin, kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Sembilan, Asisten Komisioner Hamdan Majid.

Beliau berkata berdasarkan siasatan awal, polis percaya bayi itu berketurunan Melayu.

"Bayi seberat 2.3 kilogram itu kini ditempatkan di Wad Rawatan Khas Hospital Tuanku Jaafar," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. - BERNAMA

Peneroka FELDA Senayan Berjaya Peroleh Afidavit Harga Pengambilan Tanah

Peneroka Felda Sendayan peroleh afidavit harga pengambilan tanah

Afidavit tersebut mengandungi butiran latar belakang tanah milik peneroka Felda Sendayan dan nilainya sebelum diambil oleh kerajaan Negeri Sembilan secara paksa.

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan di sini menerima rayuan permohonan afidavit 16 peneroka Felda Sendayan, Negeri Sembilan untuk dikemukakan dalam perbicaraan penuh berkaitan kes tuntutan pampasan pengambilan tanah mereka di Mahkamah Tinggi Seremban.

Afidavit tersebut mengandungi butiran latar belakang tanah milik peneroka Felda Sendayan dan nilainya sebelum diambil oleh kerajaan Negeri Sembilan secara paksa dengan menggunakan Akta Pengambilan Tanah (APT) 1960 untuk tujuan pembangunan.

Panel Hakim Datuk Suriyadi Halim Omar, Datuk Nihrumala M K Pillay dan Datuk Ramly Ali dalam penghakimannya berkata mana-mana pemohon (peneroka) mempunyai hak untuk memasukkan keterangan dan bukti sendiri dalam kes mereka.

“Ini negara demokrasi. Tiada sesiapa yang boleh menghalang pemohon untuk memasukkan butiran keterangan dan bukti dalam permohonan kes mereka sendiri,” kata Suriyadi.

Sehubungan itu hakim memerintahkan responden, Pentadbiran Tanah Seremban yang diwakili Penasihat Undang-Undang Negeri Sembilan Datuk Ishak Suhaimi membayar kepada mahkamah kos pengurusan sebanyak RM20,000.

Rayuan terbabit dikemukakan setelah Mahkamah Tinggi Seremban pada 3 November tahun lalu menolak permohonan afidavit tersebut yang difailkan dalam kes menuntut bayaran pampasan seluas kira-kira 9 ekar tanah bagi setiap peneroka dengan kadar minimum RM3 kaki persegi.

“Kita mahu kemukakan bukti bahawa harga asal tanah mereka adalah RM3 bagi setiap kaki persegi dan bukannya lebih rendah daripada apa yang ditawarkan kerajaan negeri sekarang,” kata peguam yang mewakili peneroka, Faiz Fadzil ketika ditemui pemberita diluar mahkamah.

Katanya, peneroka kini peluang berpeluang besar memenangi kes di Mahkamah Tinggi Seremban memandangkan afidavit tersebut penting bagi mereka untuk kemukakan tuntutan bayaran yang lebih tinggi berbanding harga yang ditawarkan kerajaan negeri, iaitu antara RM1.70 sen sehingga RM1.90 bagi setiap kaki persegi.

“Afidavit ini nanti akan difailkan dalam pengurusan kes yang ditetapkan di Mahkamah Tinggi Seremban 7 Februari depan,” katanya.

Salah seorang peneroka, Daud Idris berkata, Perbadanan Kemajuan Negeri Negeri Sembilan (PKNNS) pada tahun 1996 mahu mengambil setiap sembilan ekar tanah – tujuh ekar tanaman getah dan dua ekar kelapa sawit - untuk projek industri aeroangkasa dengan jumlah nilai kira-kira RM1.2juta, namun dibantah.

Sepuluh tahun kemudian, Menteri Besar Incorporated (MBI) mengambil alih pengurusan tanah daripada PKNNS dan menukar cadangan mahu membangunkan tanah terbabit kepada projek perumahan dan perindustrian.

“MBI menawarkan kami pampasan dengan harga yang sama seperti yang ditawarkan PKNNS dulu, tapi dengan bentuk sebuah banglo bernilai kira-kira RM200,000, dua ekar tanah perindustrian bernilai RM200,000 setiap ekar), serta wang tunai RM400,000 tetapi kami tetap tolak kerana mendapati wujud unsur penipuan dalam pampasan itu,” katanya.

Disebabkan keengganan sekumpulan peneroka itu, Daud berkata kerajaan negeri akhirnya menggunakan APT 1960 memaksa mereka menjual tanah mereka dengan harga yang lebih rendah seperti yang pernah ditawarkan dulu dan dipaksa menerima deposit pampasan sebanyak 10 peratus.

“Disebabkan kemelut ini, ada antara kami yang kehilangan pekerjaan sejak 10 tahun lalu,” kata Daud.

Sementara itu, Faiz berkata walaupun kerajaan mempunyai hak menggunakan APT 1960 mengambil tanah peneroka, tetapi tiada peruntukan dalam akta terbabit yang memberi kuasa mandatori kepada kerajaan negeri menentukan harga pampasan tetap bagi setiap tanah yang diambil.

“Harga tanah mereka sebenarnya boleh mencecah sehingga RM5.76 kaki persegi mengikut pasaran swasta. Jadi tidak adil bagi peneroka ini jika mereka terima harga yang ditawarkan kerajaan negeri sekarang,” katanya. FMT

Peralat Pelajar Tahfiz Untuk Cari Dana

Port Dickson – Setelah sekian lama bebas mengeksploitasi kanak-kanak dan remaja miskin serta yatim piatu seramai 83 orang supaya melakukan jualan amal hingga lewat malam setiap hari, sebuah pusat tahfiz di sini diserbu pihak berkuasa kelmarin.

Serbuan ke atas pusat yang terletak di Ambang Kota, Lukut itu dibuat selepas orang ramai mengadu tidak tahan lagi melihat pelajar terbabit dipaksa menjual peralatan ibadah, buku, minyak angin dan kismis tanpa sebarang upah.

Ketika pengusaha pusat tahfiz itu lena tidur, kanak-kanak terbabit terpaksa tidur beralaskan lantai simen setelah kepenatan ‘bekerja’ atas alasan ia adalah sebahagian kurikulum keusahawanan pusat tahfiz tersebut.

Jurucakap Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) berkata, siasatan mendapati kanak-kanak tersebut dibawa dengan kenderaan ke beberapa lokasi sekitar Port Dickson, Seremban, Nilai dan lain-lain tempat untuk menjual barangan tanpa sebarang upah.-kosmo


Kedai peralat pelajar tahfiz jual barang diserbu

PORT DICKSON: Sebuah premis perniagaan dipercayai menggunakan kanak-kanak untuk menjual pelbagai barangan di sekitar negeri ini dan Melaka diserbu pihak berkuasa dalam operasi bersepadu membabitkan pelbagai jabatan di Lukut, pagi semalam.

Ketika serbuan, terdapat kira-kira 80 kanak-kanak berusia antara 10 hingga 15 tahun berada di premis lot kedai yang turut menempatkan pejabat operasi perniagaan.

Harian Metro difahamkan, kanak-kanak berkenaan pelajar sebuah pusat tahfiz di Kedah dan berada di situ untuk beberapa hari bagi menjalankan perniagaan.

Jurucakap Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) berkata, pihaknya ada menerima aduan daripada orang ramai mengenai kanak-kanak terbabit yang mengutip derma dan menjual barangan.

“Kanak-kanak terbabit mengutip derma dan menjual barangan sekitar bandar ini, Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Seremban dan Nilai di Lebuh Raya Utara-Selatan (Plus).

“Berikutan itu, pihak kami memeriksa premis terbabit dan tiga kakitangan di situ ditahan sebelum dibawa ke Balai Polis Lukut untuk membantu siasatan,” katanya.

Katanya, serbuan itu turut disertai polis, Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Sembilan.

MPPD dalam satu kenyataan menyatakan lima saman dikeluarkan terhadap pengurusan premis itu, iaitu kesalahan melakukan binaan tanpa kelulusan, berniaga tanpa lesen dan menggunakan premis perniagaan sebagai stor.

Sementara itu, Pengurus Pemasaran Pusat Rawatan Cinta Negeri Sembilan/Melaka, Badrin Mispami berkata, penjualan barangan oleh pelajar pusat tahfiz itu sebahagian daripada aktiviti kokurikulum bertujuan menjadikan mereka ahli perniagaan berjaya pada masa depan.

“Pusat itu hanya dijadikan transit apabila pelajar menjual barangan sekitar negeri ini antara dua hingga tiga hari,” katanya. -hm


Ulasan GB

Walau apa pun alasan, akaun pusat tahfiz berkenaan perlu disemak supaya diketahui kemana dan untuk apa dana itu dibelanjakan.

Kedua, adalah tidak wajar mana-mana pihak menggunakan alasan "aktiviti kokurikum" sebagai helah untuk mengutip keuntungan dengan memperalatkan anak yatim dan miskin berjaja di khalayak ramai apatah lagi hampir keseluruhannya adalah anak perempuan.

Ketiga, perkara paling gila yang dilakukan ialah memaksa pelajar-pelajar perempuan ini supaya melakukan jualan amal hingga lewat malam setiap hari.


Undi Cikgu Mala Untuk Eratkan Islam Dan Bukan Islam - TGNA

Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata pengundi di kawasan DUN Tenang perlu memilih calon PAS-Pakatan Rakyat Normala Sudirman bagi mengeratkan perpaduan antara orang Islam dan bukan Islam negara ini.

Menteri Besar Kelantan itu dalam ceramahnya malam tadi berkata kerajaan pimpinan PAS di negeri itu telah melakukan pelbagai kaedah untuk merapatkan jurang antara orang Islam dan orang bukan Islam.

“Bila ada pilihan raya kita perlu pilih (calon), tapi sekarang tidak tahu pilih, sekarang kita ada calon PAS.

“Undi calon Cikgu Mala (Normala), senang sahaja... tiada apa.

“Di Kelantan ada orang kata kalau undi PAS, kita akan potong kamu punya. Ini saya panas hati, kita satu bangsa... berasal dari seorang bapa iaitu (Nabi) Adam kemudian lahir pelbagai bangsa,” katanya di hadapan kira-kira 200 penduduk sekitar bandar Labis.

Walaupun kurang sihat, Nik Aziz meneruskan ceramahnya dengan mengatakan kerajaan negeri Kelantan tidak pernah membezakan antara orang Islam dan bukan Islam.

“Sebagai orang Islam semua tahu di Kelantan kita buat macam-macam untuk satukan rakyat, kita buat masjid di Rantau Panjang tapi bentuk seperti di China dengan tujuan untuk meredakan antara orang Melayu dan orang Cina.

“Tahun lalu kita buat Ekspo Cheng Ho, dia orang Cina tapi Muslim yang datang (ke Melaka) untuk redakan perasaan orang Melayu dengan orang Cina dan orang Cina dengan orang Melayu,” katanya.

Kedatangan Nik Aziz di Bilik Gerakan DAP di sini mendapat sambutan menggalakkan daripada penduduk setempat.

Sebaik sahaja tokoh veteran itu keluar dari kenderaan dinaiki, beliau disambut meriah.

Terlebih dahulu Normala yang turut memberikan ceramah berkata sudah tiba masa pengundi di DUN Tenang membuat perubahan besar selepas 53 tahun Barisan Nasional (BN) memerintah.

“Sudah tiba masa kita buat perubahan selepas 53 tahun merdeka, kita harus memiliki jiwa yang bersih daripada penjajahan.

“Buatlah satu perubahan dan keazaman demi masa depan, saya percaya pengundi bijak membuat pilihan, pilihlah seorang wakil rakyat yang boleh membawa suara di (sidang) DUN Johor.

“Saya merayu kepada pengundi untuk buat satu perubahan dan keazaman dalam memilih wakil rakyat,” katanya.

Pada pilihan raya kecil DUN Tenang ini, Pakatan Rakyat meletakkan Normala, Ketua Muslimat PAS Labis sebagai calon manakala BN pula diwakili bekas Penolong Pentadbir Tanah Daerah Kecil Rengit, Mohd Azahar Ibrahim.

Pilihan raya kecil ke-14 ini diadakan bagi mengisi kekosongan berikutan kematian penyandang Datuk Sulaiman Taha, wakil rakyat Umno-BN, pada 17 Disember lepas.

Allahyarham Sulaiman mempertahankan kerusi DUN Tenang pada pilihan raya umum ke-12 dengan menewaskan calon PAS, Mohd Saim Siran, dengan majoriti 2,492 undi.

Ia pilihan raya kecil pertama di Johor sejak Mac 2008 dan yang pertama sejak 1989 -TMI

Perbezaan Calon PAS Dan Calon BN

Azahar ada kes mahkamah, Cikgu Mala cemerlang

LABIS, 27 Jan: Para pengundi dalam pilihan raya kecil (PRK) Dun Tenang perlu membuat pilihan bijak untuk memilih wakil mereka yang cemerlang dan berintegriti ke Dun Johor pada 30 Januari ini.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, ini kerana calon BN, Mohd Azahar Ibrahim mempunyai kes di mahkamah akibat kecuaiannya melelong tanah seorang lelaki semasa menjawat Penolong Pendaftar Tanah Daerah Segamat.

Ini, katanya berbeza dengan calon PAS yang mewakili Pakatan Rakyat, Cikgu Mala yang diiktiraf guru cemerlang oleh Kementerian Pelajaran dan pernah menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang.

Cikgu Mala pernah menerima Anugerah Guru Aktif sempena Sambutan Hari Guru Daerah Segamat.

Cikgu Mala turut menerima Anugerah Khas sempena Perbahasan Ala Parlimen pada Perayaan Hari Guru.

Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena menyatakan demikian sebagai mengulas kenyataan seorang lagi Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub berhubung kenyataan Azahar bahawa kes melelong tanah berkenaan telah selesai.

Pada siang media semalam, Salahuddin mempersoalkan bagaimanakah calon Umno itu dengan mudah menyatakan isu tersebut telah selesai sedangkan disebabkan kecuaian, kelalaian dan penyalahgunaan kuasanya mengendalikan isu pelelongan hartanah Mansor Mohamad tersebut telah mengakibatkan Puan Norhana Mohd Ali iaitu pembeli yang membeli hartanah yang dilelong secara tidak sah menyaman (i) calon Umno (Azahar), (ii) Pentadbir Tanah Daerah Segamat, (iii) Pejabat Tanah Daerah Segamat dan (iv) Kerajaan Johor sebagai Defendan-Defendan bagi menuntut gantirugi berjumlah lebih kurang RM1.5 juta.

Soalnya lagi, bagaimanakah calon Umno dengan mudah menyatakan isu tersebut telah selesai sedangkan dalam tuntutan Puan Norhana Mohd Ali ke atas keempat-empat defendan tersebut, Azahar telah dijadikan sebagai defendan pertama dan kes tersebut telah pun didaftarkan di Mahkamah Tinggi Muar iaitu Guaman Sivil No: 23-14-2009.

Bagaimanakah calon Umno menyatakan kes tersebut telah selesai sedangkan Mahkamah Tinggi Muar telah pun menetapkan tarikh pendengaran kes tuntutan Puan Norhana binti Mohd Ali ke atas calon Umno dan tiga yang lain pada 7 Februari nanti.

Hakikatnya, kata Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian, fakta-fakta di atas menunjukkan bahawa bukan sahaja kes kecuaian, kelalaian dan penyalahgunaan kuasa calon Umno BN sebagai Penolong Pentadbir Tanah Daerah Segamat belum selesai, sebaliknya kes penyalahgunaan kuasa itu masih berterusan di mahkamah.

Bagi Mahfuz, saman itu membuktikan bahawa mahkamah sebelum ini memutuskan perbuatan Azahar bersalah melelong tanah berkenaan dan tindakannya itu adalah tidak sah.

Sehubungan itu, beliau menyeru para pengundi supaya mencontohi apa yang dilakukan oleh para pengundi pada PRK Permatang Pasir pada 25 Ogos 2009 lalu yang menolak calon BN kerana terlibat dengan pecah amanah dan menyokong calon PAS, Ustaz Saleh Man.

Mengulas kenyataan Azahar yang disifatkan sebagai suatu pembohongan kerana menyatakan kes melelong tanah telah selesai, AJK PAS Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad berkata, berbohong atau tidak, rakyat dan pengundi akan menentukan sendiri oleh keputusan mahkamah itu.

Katanya, tanah itu telah dikembalikan kepada Mansor dan sememangnya dia berhutang dengan bank kerana jika tidak berbuat demikian, tiada isu atas gadaian.

“Persoalannya ialah Penolong Pentadbir Tanah Daerah Segamat ini telah menganiaya beliau dengan kerja yang cuai dan tidak kompeten,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor.

Beliau menambah, kini bagi menyelamatkan diri, Azhar terpaksa menipu sehingga memburukkan reputasi rakyat yang tenang, Mansor dan PAS.

Baginya, tidak pelik sekiranya calon BN itu akan terus berbohong berhubung isu melelong tanah berkenaan.

Justeru, katanya bagaimana calon BN itu yang dikatakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhtiddin Yassin untuk menyelesaikan masalah tanah rakyat di Dun Tenang jika dipilih sebagai wakil rakyat sedangkan Azahar pernah bertindak cuai dalam kes tanah semasa menjadi Penolong Pentadbir Tanah Daerah Segamat sehingga dibawa ke mahkamah. -harakahdaily

Ulasan GB

Dua-dua bekas kakitangan awam. Tetapi satu latarbelakangnya bertompok hitam siap dengan kes mahkamah (pun belum selesai) sementara yang satu lagi bercahaya kilauan dengan anugerah kecemerlangan.

Penduduk Tenang, bukalah mata!

4 Adik Beradik Didera Dan Dipaksa Bermalam Di Hutan

Setiu: Gara-gara kakak sulung gagal memberikan wang gaji hasil kerja sambilan di kedai makan kepada bapanya, empat beradik iaitu tiga perempuan berusia lapan, 10 dan 14 tahun serta seorang lelaki berusia tujuh tahun terpaksa bermalam dalam hutan ketika hujan lebat berhampiran Kampung Guntung dekat sini, selepas dihalau bapa mereka yang panas baran, awal pagi semalam.

Selain itu, kakak sulung berusia 14 tahun yang sudah tidak bersekolah mendakwa turut diterajang lelaki berusia 59 tahun itu sebelum tiga lagi adiknya dihalau keluar dari rumah mereka di Kampung Saujana di sini, kira-kira jam 1 pagi.

Lebih memeranjatkan, penderitaan empat beradik yang terpaksa berlapar sepanjang malam dalam kesejukan itu membongkar kejadian lebih tragis kerana mereka sebenarnya sering didera lelaki terbabit apabila disepak, diterajang, ditumbuk, dihentak dengan hulu parang serta dicucuh puntung rokok.

Kesan kecederaan semua mangsa terbongkar selepas mereka dibawa ke Hospital Setiu (HS) di sini, untuk rawatan lanjut.

Sejarah hitam empat beradik itu berakhir apabila diselamatkan orang ramai yang menemui mereka di sebuah wakaf di Kampung Guntung, selepas dihalau lelaki berkenaan yang ‘naik hantu’ gara-gara kakak sulung gagal memberikan wang diminta.

Lelaki terbabit juga dikatakan berang dengan tindakan seorang daripada anaknya menghantar SMS kepada ibu mereka yang melarikan diri dari rumah sejak September tahun lalu.

Harian Metro difahamkan, walaupun ibu kanak-kanak berkenaan meninggalkan mereka, dia masih berhubung melalui telefon dan sejak ketiadaannya, kehidupan empat beradik itu tidak terurus.

Semua kanak-kanak berkenaan ditemui seorang penduduk kampung yang kebetulan melalui kawasan hutan itu untuk menghantar anaknya ke sekolah yang kemudian memaklumkannya kepada penduduk kampung.

DI SINI...bangsal yang dijadikan tempat tidur empat beradik selepas dihalau bapa mereka.

Mereka kemudian menghubungi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Setiu yang kemudian memaklumkan jabatan itu tidak mempunyai kuasa sebelum mereka menghubungi Balai Polis Permaisuri.

Berikutan itu, sepasukan anggota polis bergegas ke lokasi kejadian dan menyelamatkan kanak-kanak berkenaan yang kelihatan amat letih dan lesu sebelum menghantar mereka ke HS untuk pemeriksaan kesihatan dan kini dirujuk ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu.

Ketika dirawat, detik hitam empat beradik terbabit terungkai apabila mereka didapati mempunyai kesan lebam dan luka lama dipercayai akibat didera.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner K Manoharan ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Setiu dan berkata, semua kanak-kanak itu kini ditempatkan di HSNZ selepas dirujuk dari HS.

“Laporan polis itu dibuat orang ramai yang terserempak dengan kumpulan kanak-kanak terbabit dalam keadaan tidak bermaya dan letih sebelum menghubungi polis meminta bantuan.

“Sepasukan anggota polis bergegas ke lokasi dimaklumkan dan membawa semua mangsa ke hospital untuk rawatan sebelum didapati mengalami kecederaan disyaki akibat didera,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, semalam.

Susulan aduan itu, beliau berkata, kira-kira jam 7.15 malam semalam, polis menahan bapa kanak-kanak terbabit dan perintah reman terhadapnya akan dipohon bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31, Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya. -hm


4 Tengku dakwa didera

EMPAT beradik yang mendakwa menjadi mangsa dera, dari kiri Tengku Siti Nor Asy'adah, Tengku Khatijah, Tengku Siti Noras'syakirren dan Tengku Mohd. Al-Moqarobin di IPD Setiu semalam.

SETIU - Empat beradik terpaksa lari dari rumah selepas mendakwa sering didera bapa kandung sendiri dalam kejadian di Kampung Beris Tok Ku di sini semalam.

Difahamkan Tengku Khatijah Tengku Mamat, 14, Tengku Siti Noras'syakirren, 10, Tengku Mohd. Al-Moqarobin, 7, dan Tengku Siti Nor Asy'adah, 8, meninggalkan rumah mereka kira-kira pukul 1 pagi sebelum berjalan kaki sejauh lapan kilometer menuju ke Kampung Guntong Luar dekat sini.

Bagaimanapun, empat adik beradik malang itu ditemui dalam keadaan keletihan dan basah kuyup di sebuah wakaf di tepi jalan oleh seorang pesara tentera berusia 44 tahun kira-kira pukul 7 pagi.

Menurut Tengku Khatijah, mereka terpaksa melarikan diri dari rumah kerana tidak tahan dengan sikap panas baran bapa mereka yang berusia 58 tahun itu.

"Kami tak sanggup lagi hidup bersama bapa kerana perangai bapa tidak seperti orang lain. Lebih baik kami lari dari rumah daripada terus terseksa," katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah di sini semalam. -kosmo


Calon UMNO BN Berdusta. Kes Mahkamahnya Belum Selesai!

Bohong: PAS desak calon BN tarik diri

LABIS, 26 Jan: PAS mendesak calon BN dalam pilihan raya kecil (PRK) Dun Tenang, Mohd Azahar Ibrahim supaya menarik diri kerana berbohong mengenai isu melelong tanah seorang lelaki sewaktu menjadi Penolong Pendaftar Tanah Daerah Segamat.

Pengarah PRK Dun Tenang, Salahuddin Ayub menegaskan bahawa isu tersebut masih belum selesai walaupun Azahar menafikannya.

“Di sini kami sekali lagi ingin menegaskan kepada pihak media bahawa kenyataan calon Umno yang isu tersebut telah selesai menunjukkan sekali lagi calon Umno tidak bercakap benar kepada para pengundi dan partinya sendiri,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian pada sidang media di Pusat Media PAS PRK Tenang, di sini, sebentar tadi.

Pemimpin PAS yang turut hadir pada sidang media itu ialah Naib Presiden, Datuk Mahfuz Omar, Setiausaha Agung, Datuk Mustafa Ali, Bendahari, Dr Mohd Hatta Ramli, AJK PAS Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad dan Anuar Tahir, Pesuruhjaya PAS Johor, Datuk Dr Mahfodz Mohamad di samping Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua dan Pengerusi DAP Johor, Dr Boo Cheng Hau.

Beliau yang juga Naib Presiden PAS menambah, isu tersebut bukannya serangan peribadi terhadap Azahar sebaliknya rakyat perlu menilai untuk memilih wakil rakyat yang berintegriti.

Katanya, integriti perlu menjadi perkara serius yang mesti dipertanggungjawabkan kepada mana-mana individu untuk menjadi calon dalam pilihan raya.

Berikut kenyataan penuh beliau.


Sepertimana yang pihak media ketahui semalam kami telah membangkitkan tentang isu integriti dan kompetensi calon Umno untuk menjadi wakil rakyat bagi DUN Tenang dalam keadaan beliau tidak telus dan mempunyai rekod buruk menyalahguna kuasa beliau sebagai mantan Penolong Pendaftar Tanah Daerah Segamat untuk melelong tanah Encik Mansor Bin Mohamad dengan secara tidak sah pada 1/12/2003 dengan harga RM 70,000.



(Gambar: Dokumen saman Mansor terhadap Pentadbir Tanah Daerah Segamat. Azhar adalah ADO yang bertanggungjawab terhadap kes kecuaian (negligent) ini. Mansor telah menang dalam kes ini)

Kami ingin menambah bahawa hartanah Encik Mansor Bin Mohamad yang dilelong secara tidak sah oleh calon Umno di atas kapasitinya sebagai Penolong Pendaftar Tanah Daerah Segamat adalah berukuran lebih kurang 8 ekar maka kami percaya rakyat dapat menilai kemunasabahan hartanah seluas 8 ekar tersebut hanya dijual pada harga RM70,000 sahaja.

Dalam reaksinya kepada kenyataan akhbar kami semalam, calon Umno antara lain menyatakan isu yang kami bangkitkan tersebut sudah selesai (lihat Malaysiakini 25 Januari 2011)

Di sini kami sekali lagi ingin menegaskan kepada pihak media bahawa kenyataan calon Umno yang isu tersebut telah selesai menunjukkan sekali lagi calon Umno tidak bercakap benar kepada para pengundi dan partinya sendiri.

Bagi menyangkal kenyataan calon Umno bahawa isu yang kami bangkitkan semalam telah selesai kami terangkan maklumat-maklumat berikut dengan para pengundi di DUN Tenang seperti berikut.

Bagaimanakah calon Umno dengan mudah menyatakan isu tersebut telah selesai sedangkan disebabkan kecuaian, kelalaian dan penyalahgunaan kuasa beliau mengendalikan isu pelelongan hartanah Encik Mansor bin Mohamad tersebut telah mengakibatkan Puan Norhana binti Mohd Ali iaitu pembeli yang membeli hartanah yang dilelong secara tidak sah menyaman (i) calon Umno, (ii) Pentadbir Tanah Daerah Segamat, (iii) Pejabat Tanah Daerah Segamat dan (iv) Kerajaan Johor sebagai Defendan-Defendan bagi menuntut gantirugi berjumlah lebih kurang 1.5 juta.

Bagaimanakah calon Umno dengan mudah menyatakan isu tersebut telah selesai sedangkan dalam tuntutan Puan Norhana binti Mohd Ali ke atas keempat-empat Defendan tersebut, calon Umno telah dijadikan sebagai Defendan Pertama dan kes tersebut telah pun didaftarkan di Mahkamah Tinggi Muar iaitu Guaman Sivil No: 23-14-2009.

Bagaimanakah calon Umno menyatakan kes tersebut telah selesai sedangkan Mahkamah Tinggi Muar telah pun menetapkan tarikh pendengaran kes tuntutan Puan Norhana binti Mohd Ali ke atas calon Umno dan 3 yang lain pada 7hb Februari 2011 ( 7/2/2011 ).

Bagaimanakah calon Umno dengan mudah menyatakan isu tersebut telah selesai sedangkan calon Umno sendiri diwakili oleh Penasihat Undang-Undang Negeri Johor dalam kes tuntutan Puan Norhana binti Mohd Ali ke atas calon Umno tersebut.

Fakta-fakta di atas menujukkan sekali lagi bahawa calon Umno tidak bersikap telus bukan sahaja kepada rakyat di DUN Tenang sebaliknya kepada partai Umno dan BN itu sendiri.


(Gambar: Dokumen saman yang difailkan Norhana binti Mohd Ali terhadap Azhar secara langsung)

Hakikatnya fakta-fakta di atas menunjukkan bahawa bukan sahaja kes kecuaian, kelalaian dan penyalahgunaan kuasa calon Umno sebagai Penolong Pentadbir Tanah Daerah Segamat belum selesai, sebaliknya kes penyalahgunaan kuasa ini masih berterusan di Mahkamah.

Mengapakah calon Umno dalam keadaan berhadapan dengan fakta-fakta yang kami nyatakan di atas masih enggan bersikap telus dan terus terang kepada para pengundi di DUN Tenang dengan mengakui bahawa isu kecuaian dan kelalaian beliau dalam melelong hartanah rakyat yang lemah masih belum selesai di Mahkamah dan belum selesai?

Berdepan dengan fakta-fakta yang kami sajikan di atas kami percaya satu-satunya jalan keluar bagi calon Umno untuk membersihkan namanya, jika beliau masih ada saki baki integriti dan harga diri, adalah dengan menarik diri sebagai calon Umno dalam pilihan raya kecil Dun Tenang. Bagaimanakah calon yang terpalit dengan isu penyalahgunaan kuasa sebagai penjawat awam dan kini berdepan dengan isu tuntutan RM1.5 juta dari Puan Norhana binti Mohd Ali masih mempunyai kredibiliti untuk mewakili rakyat di DUN Tenang?

Bagaimanakah calon Umno masih kekal dalam penafian untuk terus menjadi calon Umno dan mewakili rakyat di DUN Tenang sedangkan kerana angkara dan tindakan beliau, beliau telah mendedahkan Kerajaan Negeri Johor kepada satu risiko yang tinggi iaitu terdapat kemungkinan besar Kerajaan Negeri Johor akan diperintahkan oleh Mahkamah untuk membayar gantirugi berjumlah RM1.5 juta. Jika itu yang berlaku bukankah wang rakyat Negeri Johor terpaksa digunakan sekali lagi untuk membayar gantirugi gantirugi RM1.5 juta tersebut?

YB Salahuddin Ayub,
Pengarah PRK N05 Tenang
merangkap Naib Presiden PAS.



PAS terus gali masa silam calon BN

Serangan PAS terhadap calon BN dalam pilihanraya kecil DUN Tenang berterusan dengan "mendedahkan" lebih banyak "kesalahan" masa lalunya ketika menjadi penolong pegawai daerah (ADO).

Semalam PAS mendakwa Mohd Azahar Ibrahim berlaku cuai sehingga mengakibatkan sebidang tanah dilelong, dan hari ini, parti itu mendedahkan pula dokumen mahkamah untuk menunjukkan calon Umno itu juga disaman oleh pembeli tanah tersebut.

PAS mendakwa tanah milik seorang ahli perniagaan, Mansor Mohamad dilelong pada 2003. Mansor membawa kes itu ke Mahkamah Tinggi Muar yang mengembalikan tanah itu kepadanya, bersama kos pada 2008.

Dan hari ini, naib presiden PAS, Salahuddin Ayub berkata, Norhana Mohd Ali yang membeli tanah seluas 3.24 hektar itu pada harga RM70,000 juga telah menyaman Mohd Azahar.

Dengan menamakan Mohd Azahar sebagai defendan pertama dalam saman sivil yang difailkan pada 2009, Norhana - yang telah membersihkan tanah tersebut sejak 2003 dan mengusahakan tanaman kelapa sawit - menuntut RM1.5 juta bagi kerosakan dan kerugian total.

Menurut Salahuddin, Norhana juga menamakan pegawai tanah daerah Segamat, pejabat tanah daerah Segamat dan kerajaan Johor sebagai defenden.

Bagaimanapun, semalam, Mohd Azahar menyangkal tuduhan itu sebagai atu 'manipulasi' dan 'provokasi', serta menegaskan bahawa kes itu telah diselesaikan di mahkamah.

Dalam satu sidang akhbar di pusat operasi PAS di bandar Labis Tengah, Salahuddin - yang juga ahli parlimen Kubang Kerian - mengecam Mohd Azhar kerana mengatakan isu itu telah selesai.

Katanya, bagaimana Mohd Azhar boleh mengatakan ia telah selesai sedangkan mahkamah menetapkan kes tersebut didengar pada 7 Februari 2011.

Ini, katanya, jelas menunjukkan bahawa calon BN itu tidak telus - bukan sahaja kepada penduduk Tenang, tetapi juga kepada Umno dan BN. -mk


Calon PRK Labis Meredah Banjir

Hujan yang turun sejak semalam menyebabkan dua daerah iaitu Kluang dan Segamat, menyebabkan mangsa terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan banjir, semalam.

Setiausaha Majlis Keselamatan Negeri Johor, Mohamad Yusri Hashim, berkata sehingga lewat petang semalam, 27 keluarga dipindahkan ke pusat pemindahan Balai Raya Kampung Lembah Bakti, Labis, selepas kawasan perumahan mereka dinaiki air sehingga paras lutut dan pinggang.

“Daripada 27 keluarga, dua keluarga adalah dari Kampung Lembah Bakti, Kampung Paya Merah Lama (15), Kampung Kangkar Chaah (enam) dan Kampung Orang Asli Selai (empat),” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Mohamad Yusri berkata seramai 124 mangsa di kawasan Air Panas, Labis, turut dipindahkan ke Sekolah Agama Air Panas apabila rumah mereka dinaiki air.

Banjir di Kampung Orang Asli Selai menyebabkan kawasan itu sehingga kini terputus hubungan manakala bah di Kampung Lembah Bakti, Kampung Paya Merah dan Kampung Kangkar Chaah dilaporkan semakin surut, katanya.

Di Kluang, sebanyak 19 rumah melibatkan Kampung Muhibbah dan Kampung Chamek dekat Paloh, dinaiki air.

Bagaimanapun, tiada pusat pemindahan di daerah itu dibuka setakat ini.

“Tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan. Orang ramai dinasihatkan supaya berhati-hati bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini,” katanya. — Bernama






Suruhanja Diraja Siasatan Teoh Beng Hock Perlu Siasat Sebab Kematian Teoh Juga

Kes Beng Hock: Hakim Mahkamah Persekutuan ketuai suruhanjaya siasatan

Suruhanjaya yang ditubuhkan berhubung kematian setiausaha politik Teoh Beng Hock pertengahan 2009 — yang diperluaskan peranan dan terma operasi — akan dipengerusikan oleh Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri James Foong Cheng Yuen (gambar).

Suruhanjaya itu akan menyiasat sama ada atau tidak terdapat apa-apa “ketidakwajaran dalam perjalanan pemeriksaan” Teoh dalam proses siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dengan Perintah-Perintah Tetap dan amalannya dan untuk mengesyorkan apa-apa tindakan yang sesuai.

Selain itu, jika perlu suruhanjaya tersebut juga akan menyiasat kematian Teoh dan hal keadaan yang menyelubungi dan membawa kepada kematiannya.

Perkara tersebut merupakan aspek tambahan berbanding terma yang disyorkan sebelum ini.

Difahamkan ini kali pertama seorang hakim yang sedang berkhidmat dilantik mengetuai sebuah suruhanjaya siasatan.

Suruhanjaya itu dikehendaki menyelesaikan siasatannya dalam tempoh tiga bulan dari tarikh tauliah pelantikan dikeluarkan dan laporannya akan diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong.

Perkara ini diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

“Saya ingin maklumkan bahawa Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin telah pun berkenan dengan cadangan kerajaan untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan bagi menyiasat kematian Teoh Beng Hock di bawah Akta Suruhanjaya Siasatan 1950,” kata beliau.

Selain Foong, turut akan menganggotai ialah bekas hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Abdul Kadir Sulaiman, bekas hakim Mahkamah Rayuan Datuk Selventhiranathan Thiagarajah, Pakar Perunding Patologi Forensik, Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Pulau Pinang, Datuk Dr. Bhupinder Singh, dan Pakar Perunding Psikiatri Forensik yang juga Dekan Fakulti Perubatan Kolej Universiti Sains Perubatan Cyberjaya, Profesor Dr. Mohamed Hatta Shaharom.

Selain itu, turut menganggotai ialah Datuk Saripuddin Kasim iaitu Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri, yang bertindak sebagai setiausaha suruhanjaya ini.

“Tiga pegawai kerajaan juga dilantik sebagai pegawai pengendali suruhanjaya ini,” kata Najib dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Mereka ialah Amarjeet Singh Serjit Singh iaitu Timbalan Ketua Bahagian Guaman I serta Awang Armadajaya Awang Mahmud dan Kwan Li Sa.

Awang Armadajaya dan Kwan merupakan timbalan pendakwa raya.

Najib mengumumkan penubuhan suruhanjaya siasatan sehari selepas inkues kematian Teoh berakhir dengan keputusan terbuka.

Ketika itu Najib memberitahu suruhanjaya tersebut akan meneliti prosedur siasatan SPRM.

Bagaimanapun pelbagai pihak termasuk Majlis Peguam dan Suhakam menggesa agar Putrajaya membentuk suruhanjaya diraja yang boleh menyiasat punca kematian Teoh tanpa hanya mengehadkan kepada skop meneliti prosedur siasatan SPRM.

Najib berkata kerajaan akan meneruskan keputusan dibuat 17 Julai 2009 untuk mewujudkan suruhanjaya diraja, dengan terma-terma khusus, bagi mengkaji kaedah soal siasat yang diguna pakai SPRM dan menentukan sama ada berlaku pencabulan hak asasi semasa proses soal siasat terhadap mendiang Teoh.

Suruhanjaya itu diwujudkan di bawah Seksyen 2 Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 akan menyiasat perjalanan dan pengurusan SPRM serta di mana sesuai, menyiasat kelakuan mana-mana pegawai SPRM.

Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail telah memfailkan permohonan kepada Mahkamah Tinggi pada 6 Januari lalu bagi semakan terhadap keputusan terbuka dalam inkues kematian Teoh.

Koroner Azmil Muntapha Abas memutuskan kematian setiausaha politik Exco Selangor itu pada 2009 bukan disebabkan bunuh diri ataupun homisid.

Pesuruhjaya Suhakam Muhammad Sha’ani Abdullah juga menyokong gesaan agar suruhanjaya diraja diberikan kuasa meluas.

Ulasan GB

Penubuhan Suruhanjaya Diraja Siasatan kematian Teoh Beng Hock tidak mempunyai apa-apa jika skopnya dipersempitkan dengan tidak menyiasat sebab-sebab kematian Teoh.

Justeru itu, terma tambahan "jika perlu suruhanjaya tersebut juga akan menyiasat kematian Teoh dan hal keadaan yang menyelubungi dan membawa kepada kematiannya" dialu-alukan, tetapi sepatutnya perkataan jika perlu itu ditiadakan samasekali.

Jika sebab-sebab kematian Teoh tidak disiasat, Suruhanjaya tersebut tidak diperlukan. Buang wang rakyat dan buang masa sepertimana inkues!