31 Okt 2010

Perubahan Status Pengundi Tentera, SPR Diminta Beri Penjelasan

PAS Dakwa SPR Tidak ikut Peraturan Ubah Status Pengundi Isteri Tentera

KEPALA BATAS: PAS Pulau Pinang mendakwa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah mengubah status pengundi awam isteri tentera di negeri ini kepada pengundi tidak hadir (pengundi Pos) untuk Pilihan Raya Umum ke-13 tanpa mengikut peraturan dalam pindaan 2002 dalam Seksyen 2(b).

Setiausaha Perhubungan Pas Negeri Mohd Fadzil Kemi berkata di bawah Seksyen 2(b) isteri tentera diberi pilihan sama ada mahu mendaftar sebagai pengundi pos atau pengundi awam bagi sesuatu kawasan.

"Dalam situasi ini seramai 630 isteri tentera telah didaftarkan sebagai pengundi pos bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Ayer Tawar, sebahagian daripada mereka merupakan pengundi baru dan sebahagian lagi yang telah berdaftar.

"Kami mahu SPR memberi penjelasan terperinci berhubung pertambahan bilangan pengundi yang berlaku secara mendadak ini, jumlah ini diperolehi untuk tempoh semakan bermula dari 27 Okt lepas hingga 2 Nov depan," katanya pada sidang media di sini Ahad.

Mohd Fadzil yang juga Timbalan Penolong pengarah Jabatan Pilihan Raya Pas Negeri juga mendakwa SPR tidak memaklumkan kepada isteri-isteri tentera terbabit mengenai pertukaran status pengundian mereka.

Ditanya sama ada PAS akan membuat laporan polis Mohd Fadzil berkata: "Kita akan dapatkan nasihat dan pandangan dari peguam". -BERNAMA

Undi Pos Batu Sapi Bermula Esok

1615 Pengundi Pos PRK Batu Sapi Akan Mula Mengundi Isnin

SANDAKAN: Seramai 1,615 pengundi pos bagi pilihan raya kecil Parlimen Batu Sapi akan mula mengundi esok hingga Rabu ini, menurut Pengurus Pilihan raya Batu Sapi Mohd Hamsan Awang Supaan.

Beliau berkata pengundi pos itu membabitkan anggota Polis DiRaja Malaysia, Pasukan Gerakan Am (PGA), Tentera Laut DiRaja Malaysia (TLDM) dan petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Katanya anggota polis akan mengundi di Ibu Pejabat Polis Sandakan, anggota PGA di ibu pejabat PGA di Karamunting Selasa ini dan TLDM di Taman Samudera Jalan Labuk pada Rabu ini.

Petugas SPR pula boleh mengundi pada bila-bila masa mulai esok hingga Rabu ini, katanya kepada pemberita selepas pengeluran kertas undi pos dan penyemakan oleh wakil parti yang bertanding di Dewan Masyarakat Sandakan di sini hari ini.

Menurut beliau sejak penamaan calon Selasa lepas, tiada insiden yang tidak diingini berlaku dan pihaknya telah bersiap sedia sepenuhnya untuk menunggu hari mengundi.

Mohd Hamsan berkata semua kertas undi pos akan dimasukkan di peti undi utama di Dewan Masyarakat Sandakan dan hanya akan dikira selepas pukul 5 petang, Khamis ini.

Sementara itu, kertas undi bagi pemilih biasa berjumlah 24,047 keping juga tiba di Dewan Masyarakat Sandakan petang tadi untuk proses penyemakan oleh wakil parti yang bertanding.

Pilihan Raya Kecil Batu Sapi menyaksikan pertandingan tiga penjuru membabitkan calon Barisan Nasional (BN) Datin Linda Tsen Thau Lin, Datuk Yong Teck Lee (Parti Maju Sabah) dan Ansari Abdullah (Parti Keadilan Rakyat).BERNAMA

Undi Pos Bagi PRK Galas Sudah Bermula Hari Ini

Galas: Pengundi Pos Mula Mengundi Ahad

Gambar: Pengawal Keselamatan, Noordin Mat,57, mebuang undinya di Pejabat Tanah dan Jajahan Gua Musang di sini, hari ini.

GUA MUSANG - Seramai 127 pengundi pos membabitkan anggota polis dan 50 petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), yang bertugas semasa pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas, akan mengundi mulai Ahad.

Timbalan Setiausaha SPR Datuk Noordin Che Ngah berkata anggota polis akan mengundi di Ibu Pejabat Polis Daerah Gua Musang, Isnin ini manakala petugas SPR akan berbuat demikian hari ini, di Bilik Gerakan Pejabat Tanah dan Jajahan Gua Musang di sini.

Kedua-dua proses pengundian akan bermula pukul 9 pagi hingga 5 petang.

Bercakap kepada pemberita selepas mengeluarkan kertas undi pos kepada dua pihak terbabit di Bilik Gerakan Pejabat Tanah dan Jajahan Gua Musang hari ini, Noordin berkata semua kertas undi itu akan dikira bersama-sama kertas undi lain selepas pukul 5 petang hari pengundian 4 Nov ini.

"Semua kertas undi (pos) akan ditempatkan di Bilik Kebal di Bilik Gerakan Pejabat Tanah dan Jajahan Gua Musang dan dikawal polis," katanya.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian penyandangnya, Chek Hashim Sulaima daripada PAS, yang meninggal dunia pada 27 Sept lalu.

Calon BN, Abdul Aziz Yusoff, 49, akan berhadapan calon PAS Dr Zulkefli Mohamed, 44, pada pertandingan satu lawan satu 4 Nov ini.

Mengenai 50 pengundi pos kalangan petugas SPR yang mungkin menjadi persoalan, beliau berkata mereka adalah pengundi berdaftar di DUN Galas yang telah memohon untuk mengundi sebagai pengundi pos kerana bertugas pada hari mengundi Khamis depan.

Dalam perkembangan berkaitan, Noordin berkata proses berkempen yang memasuki hari kelima hari ini setakat ini berjalan lancar kecuali tindakan Parti Kedilan Rakyat (PKR) dan DAP yang menaikkan bendera masing-masing, dan telahpun diturunkan pasukan pemantau SPR.

Berhubung dakwaan PAS wujud pengundi hantu pada pilihan raya kecil ini, beliau berkata dakwaan itu tidak benar.

Noordin berkata SPR memerlukan masa antara tiga hingga lima bulan bagi mengesahkan status pengundi sesuatu kawasan dan setelah itu nama mereka akan dipamerkan untuk bantahan. -- BERNAMA

[Bergambar] Detik-detik Ansari Jatuh Ke Laut Sulu

Batu Sapi: Detik-Detik Ansari Terjatuh Ke Dalam Laut Sulu!!

Inilah detik-detik yang mencemaskan seketika kem Pakatan Rakyat apabila titi yang menghubungkan jalan utama dengan rumah salah seorang penduduk di Batu Sapi tiba-tiba runtuh sekelip mata!

Menteri Besar Selangor, Khalid Ibrahim yang berada di hadapan Ansari bernasib baik tidak terjatuh sama kerana beliau telah sampai di rumah penduduk tersebut.

Saksikan setik-detik mencemaskan ini hingga memaksa Ansari dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Sandakan, semalam.



Titi tiba-tiba mula roboh. Ansari (berkopiah, berbaju Melayu ungu) dan empat yang lain menggelongsor ke dalam laut.


Penyokong Pakatan Rakyat mula memegant tangan Ansari bagi menariknya ke atas sambil dibantu rakannya yang terjatuh di bawah


Beberapa penduduk yang kelihatan terserempak dengan kejadian itu segera memberi bantuan dari titi utama untuk membawa Ansari ke rumah penduduk


Ansari akhirnya diselamatkan menggunakan tangga yang segera dibawa oleh petugas parti yang berada berhampiran dengan tempat titi roboh. Menteri Besar Selangor, Khalid Ibrahim (berbaju Melayu biru), memerhatikan dari rumah penduduk


Ansari akhirnya berjaya dibawa ke atas dan ditenangkan penduduk dan penyokong Pakatan Rakyat. Tidak lama selepas itu, dia bersama empat yang lain dibawa ke Hospital Sandakan untuk menerima rawatan pesakit luar. Beginilah nasib rakyat Sabah menggadai nyawa demi mencari sesuap nasi. Rakyat Sabah tidak mendapat pembelaan sewajarnya dari rejim Barisan Najis selama Sabah menyertai Persekutuan Malaysia, 47 tahun lalu!! -jalanpulang



Sakit bahu tidak halang Ansari berkempen

CALON Parti Keadilan Rakyat (PKR), Ansari Abdullah, 56, dipilih untuk merampas kerusi Parlimen Batu Sapi pada 4 November ini. Ansari bersemangat meneruskan perjuangan walaupun terpaksa menggunakan anduh akibat terjatuh ke laut buat kali kedua, petang kelmarin.

Apakah janji yang anda tawarkan kepada pengundi?

Saya berjanji akan menyampaikan keluhan rakyat di sini ke Dewan Rakyat tanpa mengira agama, bangsa dan kedudukan. Saya juga akan membela rakyat daripada berterusan jadi mangsa penindasan pelbagai pihak dan pemimpin tidak bertanggungjawab selain akan berusaha menuntut pembangunan di kawasan ini mengikut keperluan dan kemampuan semua.

Bagaimana dengan aspek sosioekonomi?

Saya merancang pelbagai program meningkatkan ekonomi rakyat selain memastikan pelajar luar bandar menikmati kemudahan terbaik bagi meningkatkan tahap pendidikan mereka. Saya cuba mengurangkan kemiskinan dan gejala sosial serta berkhidmat penuh dedikasi tanpa pilih kasih.

Anda dikatakan terkena sumpahan pihak tertentu apabila dua kali terjatuh ke dalam laut, Rabu dan Jumaat lalu?

Siapa kata saya kena sumpah? Kalau orang BN atau SAPP kata saya kena sumpah, siapa yang sumpah? Jangan bohong rakyat, semua berlaku bukan kehendak kita, Allah SWT yang tentukan. Bukan kehendak saya jatuh ke dalam laut dua kali. Jangan sebut saya jatuh, yang jatuh ialah jeti dan pelantar pejalan kaki itu.

Bagaimana dengan kecederaan anda?

Alhamdulillah, sebaik saja ditarik naik ke pelantar, jentera pilihan raya parti terus membawa saya ke hospital di bandar. Saya buat x-ray, Alhamdulillah doktor mengesahkan tiada retak tulang. Cuma bahu sakit sebab masa pelantar jatuh, saya berpaut pada pelantar itu. Kemudian saya dapat rawatan tabib, tiga kali dia cuba masukkan semula urat bahu kanan yang terseliuh.

Dengan rasa sakit itu, adakah anda akan meneruskan kempen?

Ya, sudah tentu. Berjuang tetap berjuang. Jangan fikir bahu saya sakit, saya mesti menyerah kalah di Parlimen Batu Sapi. -BH


Ulasan GB

Semalam GB sudah ulas kes Ansari jatuh je laut ini. Petikan:


Ramai yang mentertawakan calon PR yag jatuh ke laut. Dan banyak pula andaian-andaian nakal ekoran dari peristiwa itu. Ada yang menyatakan suwehnya nasib Ansari.

Apakah rahsia di sebalik kejadian tersebut lansung tidak diteroka dan dibaca.

Ansari bakal kalah kali ini. GB juga turut menerimanya. Tetapi jangan tersekat di situ cuma.

Namun daripada peristiwa dua kali jatuh ke laut, ia adalah petunjuk besar dari Ilahi bahawa orang yang bernama Ansari ini perlu "dibenamkan" di dalam laut Sabah - bermaksud Ansari perlu bergelumang dengan rakyat Sabah. Benar-benar bergelumang sehingga dua kali berada di lautan rakyat.

Kemudian Ansari bangkit dari lautan rakyat itu - dengan penuh sedar dan keinsafan bahawa rakyat Sabah memang perlukan pembelaannya. Hanya Ansari yang mampu membawa perubahan. Dan hanya Ansari dipilih Tuhan untuk dijatuhkan ke dalam laut Sabah itu.

Kedua, orang yang bersama dengan Ansari ketika itu ialah MB Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim. Apakah petunjuk dari peristiwa itu? Nasib Ansari akan mengikuti apa yang telah dilalui Khalid. Khalid kalah di Ijok di dalam pilihanraya kecil. Dihina, dicaci, ditohmah dan pelbagai lagi. Tetapi kemudiannya beliau menang besar di Ijok dan menang juga di Parlimen. Diangkat menjadi Menteri Besar Selangor. Ya, Ansari akan menerima nasib yang serupa dengannya.

Pemerhatian GB: Ansari bakal Ketua Menteri Sabah satu hari nanti.


Orang yang menganggap "suwey"nya nasib Ansari itulah sebenarnya orang yang akan ditimpa suwey nanti.

17 Ditahan Di Hotel PD Kerana Pesta Dadah

Pesta dadah’: 17 ditahan di sebuah bilik hotel di PD

PORT DICKSON, 31 Okt — Polis menahan sembilan wanita dan lapan lelaki yang sedang leka berpesta di sebuah bilik hotel di sini awal pagi ini selepas ujian mendapati semua mereka positif menggunakan dadah.

Ketua Polis Daerah Port Dickson Supt Baljeet Singh berkata semua mereka yang berumur dari belasan tahun hingga sekitar 30-an itu ditahan pada kira-kira pukul 3.15 pagi selepas polis menerima aduan daripada penghuni hotel yang lain mengenai bunyi bising di bilik itu.

“Siasatan awal polis mendapati kumpulan lelaki dan wanita itu masuk ke hotel berkenaan semalam dan kebanyakan mereka berasal dari luar Negeri Sembilan,” katanya ketika dihubungi di sini.

Beliau berkata semua yang ditahan itu kini direman selama dua hari bagi membantu siasatan yang dijalankan mengikut Seksyen 15 (1) (a) kerana kesalahan mengambil dadah. — Bernama





Wang Ihsan : Tiada Sebab Untuk Tunduk kepada UMNO - Guan Eng

Wang ihsan: Kerajaan negeri tak akan tunduk tekanan Umno, kata Lim

TASEK GELUGOR, 31 Okt — Kerajaan Pulau Pinang akan terus memberi sumbangan wang penghargaan kepada warga emas dan waris warga emas yang meninggal dunia selagi Pakatan Rakyat memerintah negeri itu.

“Selaku kerajaan negeri yang bertanggungjawab di Pulau Pinang, kami tetap berpendirian tidak akan tunduk kepada mana-mana tekanan dan usaha mana-mana pihak yang mahu menggagalkan usaha membantu dan membela nasib warga emas dan mereka yang tidak mendapat pembelaan sewajarnya,” kata Ketua Menteri Lim Guan Eng hari ini.

Lim (gambar) berkata, inisiatif kerajaan negeri bagi menghargai warga emas berusia 60 tahun dan juga waris kepada warga emas yang meninggal dunia adalah bagi mengiktiraf golongan warga emas di Pulau Pinang.

Beliau juga berkata, oleh kerana kepimpinan kerajaan terdahulu gagal untuk menobatkan warga emas sebagai sesuatu yang amat berharga bagi mereka dan apabila usaha diambil kerajaan Pakatan Rakyat (PR) Pulau Pinang mendapat sokongan rakyat, tindakan menggagalakan program ini dilakukan oleh sesetengah pihak yang cemburu dan iri hati.

“Telah beberapa kali kita menjelaskan bahawa kerajaan negeri memperoleh lebihan RM88 juta bagi kali pertama pada 2008 dan lebihan sebanyak RM77 juta pula pada 2009 hasil perbelanjaan berhemah dan jimat cermat.

“Kerajaan negeri juga telah mendapat pengiktirafan dalam usaha menentang rasuah kerana pengurusan kewangan yang baik daripada Ketua Audit Negara buat kali kedua tahun ini,” kata beliau pada majlis sumbangan RM1,000 seorang kepada 153 waris warga emas yang meninggal dunia, di Sungei Dua di sini pagi ini.

Sehubungan itu kata beliau, warga emas khususnya masyarakat Islam diharap tidak terpedaya dengan fitnah dilemparkan oleh sesetengah pihak tidak bertanggungjawab bagi melihat sokongan terhadap PR luntur dan terhakis.

Sebelum ini program penghargaan warga emas dengan sumbangan RM100 seorang oleh kerajaan negeri telah dipertikaikan oleh Umno Pulau Pinang apabila mereka mendakwa dana yang digunakan untuk menyalurkan wang tersebut datangnya dari punca yang tidak halal.

Rentetan daripada itu beberapa siri program memulangkan kembali wang pemberian kerajaan negeri turut diadakan di Penaga, Seberang Perai Utara, Bayan Baru dan Balik Pulau.

Pada 12 Oktober lalu pula, sejumlah besar warga emas dari Seberang Perai Utara telah menyatakan sokongan mereka terhadap kerajaan negeri apabila berhimpun di Dewan Haji Ahmad Badawi dan menyelar mereka yang telah diperdayakan oleh Umno Pulau Pinang agar memulangkan kembali wang penghargaan yang telah diterima.

Namun, tindakan yang telah diambil Umno Pulau Pinang bagi mengelirukan warga emas tidak mendapat sokongan apabila sebahagian besar warga emas masih lagi turun beramai-ramai untuk menerima wang sumbangan tersebut.

Pada 23 Oktober lalu, seramai 123 waris warga emas yang telah meninggal dunia turut menerima sumbangan kerajaan negeri dalam satu majlis diadakan di Yayasan Aman, Penanti.

Sejumlah RM123,000 telah disumbangkan sebagai menghargai jasa waris-waris yang menjaga dan menghargai ibu bapa mereka semasa hayat mereka masih ada.

Sementara itu sebanyak RM153,000 pula telah diberikan pada pagi ini kepada 153 penerima yang berada di Seberang Perai Utara.

Lim juga menyelar pemimpin pembangkang di Pulau Pinang yang membuat tuduhan tidak berasas ke atas kerajaan negeri semata-mata untuk mendapat sokongan menjelang pilihan raya umum yang akan datang.

“Cuma yang mereka sering war-warkan ialah sekeping salinan surat ucapan terima kasih yang ditujukan kepada Kelab Lumba Kuda Pulau Pinang sebagai sumbangan dana untuk program Rakan Anti Kemiskinan (RAK) yang mana program RAK ini tidak ada kena-mengena langsung dengan program sumbangan dan penghargaan kepada warga emas.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Penyelaras DUN Penaga, Rosidi Hussan yang juga merupakan Timbalan Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Exco Kerajaan Negeri dan Pegawai Daerah Seberang Perai Utara, Hassan Mat Daud dan Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Farizan Darus. -TMI

Isu RM250 : Hanya Saguhati Untuk Pulang Mengundi

PAS Pertahan Habuan RM250

GUA MUSANG: PAS mempertahankan tindakan menawar habuan sehingga RM250 kepada 1,557 pengundi luar yang berdaftar di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas dan menyifatkan perbuatan itu sebagai amalan biasa bagi mana-mana parti politik termasuk Barisan Nasional (BN).

Penasihat Jentera Pilihan Raya PAS bagi DUN Galas, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah berkata, tawaran habuan berkenaan bukan sesuatu yang pelik malah tidak kisah jika pengundi mahu mendapatkan habuan berkenaan daripada PAS dan juga BN.

"Perkara ini bukan baru kerana ia sudah menjadi amalan PAS sepanjang pilihan raya kecil dan pilihan raya umum dan ia juga tidak menjadi satu perkara pelik.

"Dan tidak ada sebarang sekatan kepada pengundi yang datang untuk mendapatkan daripada pihak kami, malah tidak menjadi syarat kami untuk sekat mereka untuk pergi kepada Umno dan MCA, kalau mereka pandai boleh dapat daripada tiga pihak iaitu PAS, Umno dan MCA," katanya di sini, Ahad.

Bagaimanapun Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berkata habuan itu merupakan perbuatan sogokan dan menyalahi undang-undang di bawah Seksyen 10 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 kerana pemberian wang berkenaan boleh disifatkan sebagai pemberian sogokan bagi tujuan membeli undi.

Namun tegasnya pemberian wang berkenaan sekadar saguhati bagi memudahkan perjalanan pengundi untuk pulang ke Galas bagi menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pengundi berdaftar.

Ditanya sama ada PAS mengharapkan sokongan pengundi luar bagi memastikan kemenangan, Wan Abdul Rahim berkata: "Sudah menjadi tradisi PAS memang memberi tumpuan kepada pengundi luar kerana kebiasaannya pengundi luar adalah orang muda.

"Mereka ini faham dan mendapat banyak maklumat mengenai isu-isu semasa... jadi ciri-ciri ini lebih banyak memihak kepada PAS berbanding BN."

Ulasan GB

Laju jer Timbalan Pengerusi SPR menuduh ia sebagai sogokan politik bila PAS umumkan untuk membayar RM250 sebagai tambang untuk warga Kelantan pulang menunaikan tanggungjawab mengundi.

Sepatutnya SPR gembira dan berterima kasih kerana ini akan meramaikan mereka yang pulang mengundi.

Dan PAS pula tidak memaksa yang menerima wang itu supaya memangkah PAS.

Sikap Timbalan Pengerusi SPR, Wan Ahmad Wan Omar dan SPR seluruhnya amat meragukan di dalam PRK Galas ini kerana ia seolah-olah cuba mengurangkan jumlah pengundi yang keluar mengundi.

Hari mengundi ditetapkan di hari bekerja, kemudian kini resah bila Kelantan umumkan cuti pada hari mengundi dan lebih resah bila PAS umumkan akan berikan wang saguhati RM250 bagi warga luar yang balik mengundi.

Kita mahu tahu juga apa pasal SPR resah gelisah? Kalau tak ada apa-apa takkan tempua bersarang rendah.

Kita berharap ada sesuatu yang terbongkar nanti.



Adik Perempuan Teoh Beng Hock Ditahan, Undi Masyarakat Cina Akan Pergi Ke PAS

Adik Teoh Beng Hock ditahan di Galas

Pihak polis menahan adik perempuan Teoh Beng Hock atas dakwaan terlibat dalam kempen pilihan raya kecil di Galas.

Supt Maszely Minhad daripada ibu pejabat polis daerah (IPD) Gua Musang dan beberapa pegawainya menahan Lee Lan dan tiga lagi anggota kumpulan 'Malaysians for Beng Hock' di Kampung Baru Gua Musang.

Kumpulan itu, yang tiba di Galas semalam bagi "mencari keadilan" atas kematian Teoh - pembantu kepada seorang pemimpin DAP - dipercayai mengedarkan risalah berhubung kes mangsa kematian dalam tahanan polis tengah hari tadi.


Malam semalam dilaporkan abang ipar Teoh Beng Hock mendakwa dirinya diserang ketika cuba mendekati Timbalan Menteri Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat, di satu majlis di Gua Musang, Kelantan.

Soh Cher Hai, mendakwa dia ditolak dengan kasar dipercayai oleh ahli MCA sehingga terjatuh, apabila timbalan menteri itu enggan menemuinya untuk menyatakan sesuatu.

Cher Hai membuat laporan di IPD Gua Musang.

Tindakan-tindakan melampau tersebut dilihat akan memberikan impak negatif kepada BN di mana simpati masyarakat Cina terhadap mereka ekoran kekejaman polis itu akan menambahkan undi calon PAS di Galas.

Galas: 4 Pelajar Dibebaskan, SUHAKAM Selar Penahanan Mereka

Suhakam: Hak siswa dicabul di Galas

Kesemua empat pelajar yang ditahan polis dalam kehangatan pilihan raya kecil Galas semalam dibebaskan lewat malam tadi setelah diambil keterangan oleh polis.

Mereka disambut dengan laungan takbir dan "student power" daripada kira-kira seramai 150 orang rakan mereka yang menunggu di luar balai berkenaan.

Kesemua empat orang pelajar berkenaan dibebaskan dengan jaminan polis selepas disiasat selama enam jam.

Para pelajar berkenaan disiasat berhubung risalah yang diedarkan kepada orang ramai dalam aktiviti mereka, kata pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) Md Sha'ani Abdullah.

Md Sha'ani berkata, beliau hadir ke balai berkenaan pada jam enam petang semalam untuk membantu pelajar berkenaan.

"Mereka bukan budak sekolah terlanjut umur, kita kena ubah sikap dan pandangan yang ketinggalan zaman.

"(Saranan ini) termasuk (kepada) penguasa yang pastikan keamanan," kata Md Sha'ani.

Katanya, hak para pelajar tersebut telah dicabul apabila mereka ditahan sejak tengah hari lagi.

"Saya dengar sebab mereka ditahan (dan) saya pun gelak.

"Saya tengok risalah itu tidak menyokong mana-mana pihak, tapi bila letakkan dua haiwan politik (calon yang bertanding (dalam risalah), anda main politik,"
katanya.

Kesemua pelajar terbabit perlu melaporkan diri semula ke balai berkenaan pada 14 November depan. -mk

Seorang Pelajar IPT Dicekup Bersama Pemandu Lori Di Hotel

Nafsu Terbantut

PETALING JAYA – Demi nafsu, seorang pemandu lori sanggup menempuh perjalanan yang jauh dari Gerik Perak, semata-mata mahu memadu asrama bersama kekasih tercinta yang juga seorang pelajar di sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) di Shah Alam.

Walau bagaimanapun, hasrat itu terbantut apabila bilik hotel mereka diserbu sepasukan pegawai Penguat kuasa Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dalam operasi bersepadu bersama Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di PJS 8, semalam.

Terdahulu penguat kuasa terpaksa menunggu hampir 20 minit sebelum pasangan terbabit membuka pintu.

Hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua pasangan terbabit tidak mempunyai ikatan yang sah dan dikenakan tindakan kerana disyaki berkhalwat.

Ketika disoal siasat gadis berkenaan memberi alasan mahu berehat selepas sehari suntuk berjalan sebelum dihantar pulang oleh kekasihnya.

Ketua Unit Tindakan Khas Jais Mohd Haffizi Mohd Roslan berkata, kedua-dua pasangan ditahan untuk siasatan lanjut.

Menurutnya pasangan itu akan menjalani tempoh jaminan dan ibu bapa mereka akan dipanggil untuk melengkapkan siasatan.

“Mereka akan dikenakan tindakan di bawah seksyen 29 (1) Enakmen jenayah syariah Selangor 9/95 kerana berdua-duaan tanpa ikatan sah.

Dalam serbuan lain di lokasi yang sama tiga lelaki dan enam wanita Islam berusia awal 20-an ditahan ketika bersukaria di sebuah kelab malam.

“Ketiga-tiga lelaki dikenakan kerana didapati minum minuman keras manakala wanita dikenakan tindakan kerana berpakaian tidak senonoh dan menjolok mata.

Katanya, kedua-dua wanita terbabit ditahan untuk diambil butiran diri dan akan dipanggil semula untuk sesi kaunseling yang dikendalikan oleh pihak Jais.

Tindakan diambil di bawah Seksyen 18 dan Sekysen 10 yang jika sabit kesalahan boleh didenda RM 3000, penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Amalan Khurafat & Syirik Yang Masih Ada Di Kalangan Orang Melayu

Orang Melayu kebanyakannya begitu mengambil berat dalam perkara-perkara yang berhubung dengan adat istiadat, sehingga ada pepatah Melayu yang menyatakan " Biar Mati Anak Jangan Mati Adat ". Pepatah ini menunjukkan betapa kuat dan kukuhnya pegangan orang-orang Melayu tentang adat istiadat mereka.

Persoalannya golongan manakah yang mengada dan memperkenalkan adat istiadat dan perkara khurafat tersebut dan sejak bilakah mulanya adat istiadat dan perkara khurafat itu telah bertapak dalam masyarakat Melayu ?

Persoalan yang lebih besar dan penting ialah adakah adat-istiadat yang diamalkan oleh orang-orang Melayu itu bertepatan dan selari dengan Hukum Syarak atau bertentangan sama sekali dengan Hukum Syarak?

Amalan Khurafat ialah perbuatan atau perkara-perkara yang menyalahi hukum syarak yang masih terdapat dalam aktiviti masyarakat Melayu moden sehingga ke hari ini. Kepercayaan yang telah kuat bertapak dan berakar umbi dalam masyarakat Melayu itu seolah-olah telah menjadi satu pegangan atau tradisi yang mesti dilakukan dalm majlis-majlis atau perayaan tertentu.

Sebenarnya banyak perkara Khurafat yang dilakukan oleh masyarakat Melayu antara contohnya ialah apabila ada majlis perkahwinan dengan upacara persandingan yang seolah-olah satu kewajipan, sedangkan persandingan itu merupakan adat Hindu yang mengagung-agungkan Dewa Rama dan Dewi Sita.

Begitu juga apabila ada sesuatu kematian, dan selepas kematian mesti diadakan kenduri masuk kubur, 3 hari (makan serabai ), kenduri pecah perut pada hari ke 7, kenduri 40 hari iaitu ruh berpisah dengan waris dan kenduri 100 hari iaitu turun batu nisan dan bagi ruh itu memasuki dalam jemaahnya sebagai ahli kubur.

Kebiasaannya orang yang menghidup dan memainkan peranan utama dalam hal ehwal adat istiadat Masyarakat Melayu dan perkara-perkara Khurafat yang menyeleweng dan bertentangan dengan Syariat Islam ini adalah terdiri daripada Bomoh, Pawang, Bidan, Dukun, Guru latihan pertahanan diri, Mak Andam dan seumpamanya.

Peranan mereka dalam menghidupkan adat istiadat dan perkara Khurafat ini bergantung kepada bidang masing-masing. Antara Contoh-contoh adat istiadat dan perkara Khurafat yang sering dilakukan oleh orang-orang
Melayu sampai sekarang antaranya ialah seperti :-

a. Mendirikan Rumah Baru.

Antara Syarat dan adat Istiadat yang mesti di buat untuk mendirikan rumah baru ialah seperti mengantungkan buah kelapa muda di tiang seri rumah, menanam tahi besi / emas / perak / tembaga pada setiap tiang seri rumah dan menepung tawar sebagai upacara memulih rumah tersebut.

Acara-acara tersebut akan dilakukan oleh Bomoh, kononnya untuk mengelakkan daripada di ganggu oleh jin dan syaitan dan untuk mendapatkan kesejahteraan dan keselamatan kepada semua penghuni rumah tersebut. Sebenarnya upacara tersebut tidak lebih daripada upacara menjamu jin dan tidak ada kena mengena dengan keselamatan dan kesejahteraan penghuni rumah itu.

b. Upacara Menurunkan Perahu / Kapal yang baru ke laut.

Upacara ini di lakukan oleh Bomoh dengan harapan perahu / kapal tersebut selamat daripada gangguan hantu laut dan sebagainya semasa belayar di lautan luas. Upacara dilakukan dengan perahu itu di pulihkan dengan jampi serapah dan mentera dengan menggunakan tepung tawar dan sebagainya.

c. Kenduri Tolak Bala.

Kenduri ini dilakukan setahun sekali di tengah padang di sesebuah kampung, dengan setiap penduduk membawa sepinggan makanan. Imam di jemput untuk membaca doa dan Bomoh pula di jemput untuk membaca jampi serapah supaya kampung tersebut selamat dari bala bencana pada tahun tersebut.

Kenduri tolak bala sebenarnya boleh di buat pada bila-bila masa sahaja dan di mana-mana jua dengan syarat :-

i. Tidak bercampur antara lelaki dan perempuan yang ajnabi dalam majlis tersebut

ii. Melaksanakan kaedah-kaedah yang tidak menjadi tegahan syarak dalam majlis itu.


d. Upacara Persandingan.

Persandingan sebenarnya adalah salah satu bentuk pemujaan dalam agama Hindu di mana mempelai yang bersanding itu sebenarnya meniru adat Hindu yang memuja Dewa Rama dan Dewi Sita.

Persandingan secara ini memperlihatkan di sebelah perempuan Mak Andam sebagai pengiring utamanya dan di sebelah pihak lelaki pula Bomoh sebagai pengiringnya. Kedua-dua mempelai ini di arak dan di sanjung serta di puja sepertimana orang-orang Hindu memuja Dewa Rama dan Dewi Sita, dengan sebab itulah pengantin baru di gelar sebagai Raja Sehari.

e. Mengandung / Kelahiran bayi

Sebelum ibu melahirkan anak, Bidan di jemput untuk mengadakan upacara lenggang perut. Semasa kelahiran bayi persiapan di buat dengan menyediakan kain kuning tujuh lapis, tilam dan bantal bewarna kuning serta pulut kuning dan putih. Duri di letakkan di bawah rumah supaya jangan di ganggu oleh hantu penanggal. Sementara pantang larang selepas bersalin pula adalah selama 45 hari.

f. Adat meninggal dunia dan selepas kematian.

Semasa seseorang meninggal dunia Bomoh akan meletakkan gunting di atas mayat semasa baru meninggal dunia. Semasa hendak menghantar mayat ke kubur diadakan pula kenduri masuk kubur, selepas 7 hari kematian, diadakan kenduri pecah perut, selepas 14 hari di adakan kenduri makan serabai ( sejenis kuih). Kenduri 40 hari sebagai tanda ruh berpisah dari waris. Kenduri 100 hari sebagai kenduri turun batu nisan dan ruh si mati telah masuk ke dalam kumpulannya di alam kubur.

Sebenarnya memperbanyakkan sedekah bacaan ayat-ayat Al-Quran dengan apa cara sekalipun, asalkan tidak menyalahi syarak dan tidak terdapat di dalamnya sesuatu yang menyalahi syarak dengan diniatkan pahala sedekah itu untuk disampaikan kepada ibu bapa yang telah mati daripada waris-warisnya yang masih hidup terutamanya anak-anak adalah digalakkan dalam Islam.

g. Upacara membuka gelanggang latihan pertahanan diri.

Upacara ini biasanya di lakukan oleh guru latihan pertahanan diri yang juga merupakan seorang Bomoh yang dilakukan supaya pelatih-pelatih latihan pertahanan diri di gelanggang tersebut tidak mendapat sebarang kecederaan semasa berlatih. Antara alat dan upacara yang di lakukan ialah seperti menyembelih seekor kambing atau ayam hitam dimana darah ayam dan kambing tersebut di semah di sekeliling gelanggang.

Sesetengahnya menyapu darah tersebut di tapak kaki pelatih latian pertahanan diri. Selepas itu Bomoh tersebut akan menyeru nama-nama panglima tertentu seperti Panglima Hitam dan sebagainya. Akhir sekali Bomoh tersebut akan mengasapkan kemian di sekeliling gelanggang dengan tujuan untuk menghalau hantu-hantu jahat daripada menghampiri gelanggang latihan pertahanan dirinya.

h. Membuang Air Kecil/Besar

Salah satu adat lagi yang sering di peringatkan oleh orang-orang tua kepada anak-anak muda mereka jika hendak membuang air semasa di dalam hutan atau di tempat-tempat yang sunyi atau di padang-padang atau ketika hendak melalui sesuatu kawasan atau pokok besar hendaklah meminta izin terlebih dahulu daripada Jin atau penunggu yang kononnya menunggu tempat tersebut dengan menyebut "Minta tabik tok nenek, anak cucu tak tahu bahasa, nak tumpang kencing" atau "Minta ampun tok nenek anak cucu nak tumpang lalu". Kononnya jika tidak meminta izin kemungkinan orang tersebut akan di sampuk oleh penunggu tempat tersebut.

Kesemua adat-adat di atas sebenarnya adalah campuran daripada pengaruh agama Hindu, agama Buddha dan adat istiadat orang-orang Asli yang memuja roh. Adat-adat tersebut masih kuat diamalkan dalam budaya orang Melayu, yang menyangkakan sebahagian daripada adat Melayu yang tidak bertentangan dengan agama Islam, tetapi sebenarnya adat istiadat dan budaya tersebut terang-terang bertentangan dengan Islam. Contoh Peralatan dalam pemujaan jin Yang biasa dilakukan oleh Bomoh, Pawang dan seumpamanya.

Peralatan yang sering digunakan oleh Bomoh dalam pemujaan jin yang kononnya dikatakan sebagai salah satu upacara dalam adat istiadat Melayu yang tidak boleh ditinggalkan antaranya adalah seperti berikut :-

a. Puja Kubur.

Puja kubur adalah sebahagian daripada amalan sesetengah orang Melayu yang masih tebal dengan adat istiadat dan tradisi Melayu kuno dengan agama Hindu puja Dewa. Mereka percaya bahawa penghuni kubur itu boleh menghasilkan hajat mereka apabila di minta terutamanya apabila mereka berada di dalam kesusahan.

Kebiasaanya beberapa jenis makanan atau " jamu " seperti ayam panggang, bertih, pulut kuning, pisang emas dan lain-lain lagi di bawa dan diletakkan di atas kubur itu sebagai jamuan untuk penghuni kubur tersebut, sebelum meminta sesuatu hajat, yang hakikatnya adalah untuk " jamu " Jin . Yang jelas di sini sebenarnya mereka telah tertipu dengan permainan Jin yang mahu menyesatkan mereka.

b. Keris, Kemian dan Limau.

Keris sering dikaitkan dengan latihan pertahanan diri, kekuatan, kemegahan dan kemashuran. Kebiasaannya banyak daripada keluarga orang Melayu yang mempunyai atau menyimpan keris sebagai sebahagian daripada barang pusaka yang perlu di pelihara dan di jaga dengan baik. Keris tersebut perlu dimandikan dengan limau dan di asapkan dengan kemian serta di balut dengan kain kuning atau hitam dan di simpan di tempat yang selamat. Pemujaan keris ini selalunya di buat pada malam jumaat dengan bacaan mentera dan jampi-jampi tertentu.

Pemujaan itu dilakukan dengan tujuan untuk memelihara kekuatan keris tersebut, supaya penjaga (saka) keris itu tidak menggangu keluarga mereka dan sebagainya. Sebenarnya keris tersebut tidak mempunyai apa-apa kuasa kerana ianya adalah merupakan besi semata-mata tetapi yang berperanan terhadap keris tersebut, sebenarnya adalah terdiri daripada Jin yang menjadi khadam kepada keris tersebut.

c. Ancak.

Ancak di buat daripada buluh yang hampir sama dengan sangkak. Ada juga terdapat ancak yang di buat daripada daun pisang yang di isi dengan pulut kuning, bertih, ketupat dan sebagainya.

Ancak juga di gunakan sebagai "jamu" untuk Jin keturunan atau Jin penjaga kampung supaya tidak menggangu anak cucu atau penduduk kampung tersebut pada tahun itu. Kepercayaan menjamu dengan menggunakan ancak ini masih ada sehingga ke hari ini terutamanya bagi mereka yang masih ada lagi atau berpegang dengan saka atau Tok-
Nenek atau Jembalang-jembalang keturunan.

d. Sanggu

Sanggu atau sampan biasanya diperbuat daripada upih pinang atau seludang kelapa. Upih atau seludang yang digunakan mestilah yang jatuh dari pokok dalam keadaan tercacak pada pangkal pokok. Di ambil upih atau seludang itu mestilah pada waktu senja.

Waktu membuat sanggu pula mestilah pada waktu tengah malam, mengadap ke arah matahari naik dan hendaklah di asap dengan kemian dan di baca mentera atau jampi-jampi tertentu. Tujuan pemujaan Jin yang menggunakan sanggu ini kebiasaannya adalah untuk memuja Jin keturunan atau saka.

Perkakas dan alat "jamu" yang di isi di dalam sanggu ini ialah, antaranya pulut kuning, ayam panggang, bertih, beras kunyit dan sireh pinang. Di tengah-tengah sanggu itu dipacakkan layar, lilin di letakkan di hujung dan di belakang sanggu. Kemudian sanggu tersebut di layarkan sebagai jamuan bagi Jin-Jin keturunannya.

e. Sangkak

Sangkak pula di perbuat daripada buluh dengan mengikut syarat-syarat tertentu. Di atasnya diletakkan seekor ayam panggang yang telah di proses dengan syarat-syarat tertentu ataupun pulut kuning dan bertih sebagai "jamu" bagi Jin yang dihajatinya, samada Jin keturunannya atau Jin penjaga kampung supaya jangan menggangu keluarga atau kampung tersebut pada tahun itu.

Kemian diletakkan bersebelahan dengan sangkak tersebut sebagai bauan wangi yang sangat di sukai oleh Jin yang juga menjadi syarat utama untuk memanggil Jin tersebut.

Terdapat dua cara menguna dan meletakkan sangkak ini. Jika sangkak tersebut di buat untuk keselamatan keluarga maka ianya dibuat dan diletakkan di dalam rumah dengan di ikuti oleh majlis tahlil dan sebagainya. Jika sangkak tersebut di buat untuk menjaga kampung pula maka ianya di letakkan di tepi hutan atau di pinggir kampung dengan bacaan mentera dan jampi serapah tertentu dan kadang-kadang di sembelih pula seekor kambing atau kerbau.

f. Pemujaan Tanduk Kerbau.

Tanduk kerbau sering dijadikan bahan pemujaan oleh sesetengah kumpulan orang yang mempercayai akan kuasa yang ada padanya. Adakalanya digunakan dalam majlis-majlis tertentu seperti pertabalan pangkat atau meraikan sesuatu majlis.

Kepercayaan ini sebenarnya ada hubungan dengan kepercayaan puja Dewa bagi satu puak di Tanah Jawa, yang mempercayai adanya kuasa pada tanduk kerbau itu apabila di puja dan di sembah. (sebenarnya adalah kuasa Jin )

Pemujaan tanduk kerbau sering di aitkan dengan sesuatu keturunan. Namun apa yang jelas tanduk kerbau ini digunakan sebagai alat pemujaan untuk menyeru Jin dan sebagai makanan atau " jamu" kepada Jin tersebut. Tujuannya supaya Jin itu tidak menggangu kampung tersebut atau anak cucu orang yang berkenaan.

Biasanya tanduk tersebut diletakkan di atas suatu tempat tertentu, di atasnya di nyalakan lilin. Kain warna kuning atau merah di mahkotakan di bahagian kepala, sementara di sekelilingnya dihidangkan dengan kuih muih, pulut kuning, bubur merah dan lain-lain lagi. Pawang atau Bomoh akan memulakan upacara dengan membaca mentera atau jampi serapah tertentu untuk memanggil Jin berkenaan. Kadang kala apabila Jin itu datang, ia akan memasuki tubuh Pawang atau bomoh tersebut, dan bomoh itu akan bercakap sesuatu atau memberi nasihat atau amaran kepada mereka.

Ringkasnya pemujaan-pemujaan seperti yang dilakukan di atas adalah terang-terang bertentangan dengan agama Islam yang mulia dan semata-mata perkara Khurafat yang mesti kita jauhi demi keselamatan dan kebahagian hidup kita di dunia dan akhirat.

Keselamatan, kesihatan dan rezeki manusia sebenarnya telah di tentukan oleh Allah s.w.t dan bukannya bersebab dari upacara pemujaan tersebut. Hanya orang-orang yang sesat sahaja yang masih percaya kepada kuasa-kuasa pemujaan dan perkara-perkara Khurafat tersebut lah yang memberi sebab kepada keselamatan, kesihatan dan keselamatan mereka.

KERIS LAGENDA ALAM MELAYU

Keris tidak dapat dipisahkan daripada orang Melayu. Keris merupakan lambang dalam alam latihan pertahanan diri bagi hulubalang-hulubalang dalam masyarakat Melayu sejak dari dahulu hingga kini.

Kehebatan dan kemegahan seni latihan pertahanan diri juga tidak akan teserlah tanpa penggunaan keris. Demikian juga sebahagian daripada permainan seni latihan pertahanan diri tidak akan sempurna jika tidak ada permainan keris.

Keris juga merupakan senjata utama kepada ahli-ahli latihan pertahanan diri Melayu. Tanpa keris seperti ada kecacatan pada seni latihan pertahanan diri tersebut. Sungguhpun keris tidak di bawa berjalan merata-rata pada zaman sekarang, namun ia masih lagi berfungsi sebagai mercu kemegahan seni latihan pertahanan diri tersebut, terutamanya pada saat upacara tamat latihan.

Keris juga memainkan peranan penting kepada sesetengah Bomoh, Pawang dan Dukun. Di dalam arena perubatan tradisional Melayu, keris digunakan sebagai alat perantaraan antara Jin dengan Bomoh bagi mengadakan upacara tertentu. Kadang-kala keris itu di asap dengan kemian terlebih dahulu untuk menyeru Jin yang dihajati. Setelah beberapa ketika datanglah Jin yang di seru itu melalui Bomoh tersebut. Ada sesetengah Bomoh yang menggeletar tubuh badan mereka apabila dimasuki Jin, namun ada juga yang sampai berguling-guling dan tidak ketinggalan juga yang berkeadaan biasa apabila dimasuki oleh Jin tersebut. Setelah selesai upacara itu dan Jin tersebut telah keluar dari tubuh bomoh, maka keris tersebut akan di kucup, di asap dan disarungkan kembali ke dalam sarungnya.

Biasanya orang-orang yang terlibat dalam bidang latihan pertahanan diri dan perbomohan gemar menggunakan keris, kerana mereka mempunyai kepercayaan yang kuat kepada kuasa keris tersebut. Sesetengahnya mendakwa memperolehinya dalam mimpi, apabila bangun dari tidur, didapatinya keris tersebut telah berada di sisinya.

Sesetengahnya pula mendapat keris tersebut setelah sekian lama bertapa di tempat-tempat tertentu. Tidak kurang juga yang memperolehinya dari warisan turun temurun dari datuk nenek mereka, yang kononnya mereka adalah
warisnya dengan disyaratkan kepada mereka yang menjaga keris itu, mestilah melakukan apa jua syarat yang diperlukan sebagai penjaga warisan keris tersebut.

Dengan memiliki keris tersebut, jadilah ia seorang Bomoh ataupun pendekar dengan bantuan Jin penjaga keris tersebut. Keris itu dihormati sebagai tetamu dan di jaga dengan rapi. Sesetengahnya mengambil kesempatan pada malam Jumaat untuk mengasapkan keris tersebut dengan kemian dan dimandikan dengan sintuk dan limau nipis bagi menjaga kuasa yang ada pada keris tersebut supaya tidak hilang. Selepas itu keris tersebut di bungkus dengan kain kuning atau hitam, di kucup dan di simpan di tempat yang khas dan selamat.

Ada di antara keris-keris itu yang berbunyi pada waktu malam atau siang mengikut keadaan dan keperluan. Contohnya bila ada tetamu hendak datang atau bila ada sesuatu bencana yang akan berlaku seperti banjir, musuh akan datang menyerang dan sebagainya. Keadaan berbunyinya berbeza-beza. Ada yang keluar masuk sarung tanpa henti sehingga diberhentikan, ada juga yang berlegar-legar atau bergegar di tempatnya dan macam-macam cara lagi.

Mengikut perkiraan lojik, adakah keris itu mempunyai nyawa untuk berbunyi atau bergerak-gerak ataupun keluar masuk ke dalam sarungnya sendiri? Tetapi apa yang sebenar berlaku ialah bergeraknya keris itu adalah disebabkan oleh Jin penjaga keris itu yang mahu memberitahu sesuatu kepada tuannya.

Orang yang sebeginilah yang selalunya di anggap Tok Keramat oleh sesetengah orang. Sebenarnya bagi orang yang memiliki keris tersebut, Jin penjaga keris itu bukan lagi sebagi khadam kepada keris itu, tetapi sebaliknya sebagai tuan kepada manusia, kerana manusia (tuan keris) itu terpaksa akur dan patuh kepada segala kehendak Jin tersebut.

Kerana itulah keris tersebut perlu di asap dan dilimaukan sebagai syarat perhubungan mereka. Jika tidak Jin itu akan menggangu tuannya atau jika tuan keris itu sudah meninggal dunia maka Jin itu akan menggangu anak-cucunya pula dengan berbagai-bagai kesusahan dan penyakit. Penyakit itulah yang dinamakan "saka" atau keturunan. Maka bagi anak cucu yang mahu membela, maka diamlah Jin tersebut dari menggangu, sementara yang tidak mahu menerima, saka Jin itu akan terus menerus menggangunya.

Kredit to Hj. Ahmad b. Hj. Che Din

Artikel Berkaitan

MB Perak Mengamal Perbuatan Syirik. Di mana Tuan-tuan Mufti?

Tragedi Kemalangan Di Genting: Pemandu Tiada Lesen, Bas Pula Buruk


Pemandu tiada lesen


KUALA LUMPUR: Pemandu bas yang terbabit dalam kemalangan di Genting Sempah, Kilometer 36, Lebuhraya Karak, semalam, sehingga menyebabkan tujuh kematian daripada 44 mangsa, disahkan tidak memiliki lesen memandu bas.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah ketika dihubungi berkata, pemeriksaan mendapati pemandu bas berkenaan, Muthumani Subramaniam, 40, menipu mengenai dakwaan kononnya lesen memandunya hilang.

“Ketika ditemui di lokasi kejadian, dia (pemandu) mendakwa lesen bas miliknya hilang kerana takut dan cuba menyelamatkan diri selepas terbabit dalam kemalangan itu.

“Polis melakukan semakan di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan akhirnya mendapati pemandu berkenaan tidak memiliki lesen memandu bas.

“Berikutan itu, dia akan direman selama empat hari bermula hari ini (semalam) bagi membantu siasatan,” katanya.

Difahamkan, pemandu yang direman itu patah kaki kanan dan kini menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Sementara itu, Ketua Polis Trafik Selangor, Superintendan Che Husin Omar berkata, pihaknya akan melakukan siasatan menyeluruh mengenai insiden berkenaan sebelum membuat kesimpulan mengenai punca sebenar kejadian.

“Berdasarkan siasatan awal, kita percaya bas terbabit dipandu laju selain mengalami masalah kerosakan brek.

“Ini berdasarkan kerosakan yang berlaku terhadap bas itu selain penemuan minyak di lokasi kejadian, dipercayai daripada sistem brek,” katanya.

Che Husin berkata, pihaknya juga akan meneliti kotak hitam bas itu bagi mengenal pasti kelajuan sebenar bas itu ketika kejadian.

“Malah, kita juga akan merakam percakapan mangsa, termasuk kedua-dua pemandu bas terbabit.

“Orang ramai, terutama media, diminta tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Jabatan Pengangkutan Jalan,” katanya.

Tinjauan wartawan Metro Ahad di HKL mendapati sembilan mangsa, termasuk kedua-dua pemandu, dikejarkan ke sini selepas terbabit dalam kemalangan.

Difahamkan, tiga mangsa dibenarkan keluar kira-kira jam 4 pagi semalam selepas diberikan rawatan.

Sementara itu, di SUBANG JAYA, siasatan punca nahas bas rombongan penduduk Kampung Baru, Mukim Siong, Baling, yang terbalik berhampiran terowong Genting Sempah, dekat Genting Highlands, kelmarin, akan diketahui dalam tempoh dua minggu.

Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Datuk Suret Singh berkata, banyak faktor perlu diambil kira seperti pemandu bas, tayar kenderaan, keadaan bas mahupun struktur jalan raya yang boleh menyumbang kepada kejadian berkenaan yang mengorbankan tujuh orang.

“Kemalangan boleh dielak jika mereka mengikut peraturan ditetapkan dan tidak mementingkan diri,” katanya sewaktu menghadiri majlis Pelancaran Kempen Bersepadu Keselamatan Jalan Raya Sempena Musim Perayaan Deepavali di galeri Mufors, di sini, semalam. -hm Grafik: BH


Kemalangan maut di Genting: Bas buruk

BALING - Keluarga tujuh mangsa yang maut dalam kemalangan bas pelancongan di KM38 Genting Sempah dekat Kuala Lumpur malam tadi mendakwa bas yang dinaiki mangsa adalah bas buruk dan bukannya bas yang dijanjikan syarikat terbabit sebelum ini.

Kebanyakan anggota keluarga yang ditemui di Kampung Baru, Mukim Siong di sini reda dengan kejadian itu tetapi kesal kerana pihak syarikat bas berkenaan tidak menunaikan janji seperti yang dibuat.

Mustaffa Ibrahim, 60, berkata, keluarganya menerima kejadian yang menimpa anaknya Mohd Fahmi, 17, itu sebagai takdir tetapi kesal apabila mendapat tahu bas yang sepatutnya membawa rombongan itu digantikan dengan bas buruk.

"Saya reda dengan ketentuan Ilahi, tetapi kesal kerana bas yang mereka naiki untuk rombongan itu bukan bas yang dijanjikan oleh pihak syarikat bas itu," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini hari ini.

Dalam kejadian 7.50 malam tadi, sebuah bas yang membawa 44 anggota Belia 4B dari Kampung Baru Siong terbabit dalam kemalangan ketika menuruni bukit selepas bertolak dari Genting Highlands.

Mereka yang maut adalah ketua rombongan, Mohd. Zaidi Mohd. Sufian, 28, yang merupakan seorang guru agama, meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Selayang, Selangor semalam.

Sementara enam lagi terdiri daripada Mohammad Amirul Mohamat Isa, 13, Mohamad Khairy Mohamad Marzali, 14, Mohamad Yussof Akhil, 16, Mohamed Firdaus Rosedi, 16, Mohd Fahmi Mustaffa, 17, dan Mohd Ridzuan Husin, 17, yang meninggal dunia di tempat kejadian.

Mustaffa berkata, semua mangsa yang maut mempunyai hubungan keluarga antara satu sama lain. - Bernama


[Bergambar] Letusan Merapi: Apakah Ini Balasan Tuhan Atas Segala Dosa Pemimpin Kami? - Yonco

Letusan Merapi: Mungkin pembalasan

YOGYAKARTA: “Ini mungkin pembalasan tuhan atas segala dosa yang dilakukan pemimpin dan yang menjadi korban adalah penduduk,” kata seorang lelaki yang hanya mahu dikenali sebagai Yonco.

Dia diminta mengulas mengenai kesan debu yang berlaku di Kota Jogja semalam selepas kali terakhir kesan itu melanda kota ‘kebal’ ancaman Gunung Merapi terbabit sejak 1961.

Kota Jogja dianggap sebagai kota aman dan bebas daripada sebarang ancaman Gunung Merapi kerana mempunyai Kraton (istana).

Masih berpegang teguh kepada pemerintahan beraja yang dianggap berdaulat, penduduk percaya selagi adanya Kraton di kota itu, ia dapat mengelak sebarang bencana akibat letusan gunung berapi terbabit.

Namun, semalam ‘kota keramat’ itu diliputi dengan hujan abu yang membuatkan penduduk terkejut dengan situasi itu.

Menurut Yonco, 34, semua ini berlaku kerana dosa dilakukan pemimpin atasan di Yogyakarta dan kesannya terpaksa ditanggung penduduk miskin seperti mereka.

“Mereka (pemimpin) mempunyai banyak wang dan boleh berpindah ke tempat selamat jika berlaku bencana.

“Namun, penduduk miskin seperti kami yang terpaksa menanggung kesannya,”
katanya.

Menurutnya, yang boleh dilakukan penduduk di Kota Jogja ini hanya berdoa dan berserah kepada tuhan.

Sementara itu, pelajar Malaysia di Universitas Gadjah Mada (UGM) terpaksa meneruskan kehidupan seperti biasa walaupun kesan abu melanda kota terbabit.

Walaupun dilanda abu akibat letusan itu, mereka tetap meneruskan pembelajaran seperti biasa.

Penuntut Malaysia tahun keempat Bidang Perubatan di UGM, Imran Azwan Azizan, 21, berkata fenomena seperti itu dianggap biasa oleh penduduk dan begitu juga penuntut Malaysia di sini.

“Walaupun ada rakan yang mahu pulang, namun mereka tidak dapat berbuat demikian kerana kuliah masih diteruskan,” katanya.

Setakat ini, 500 pelajar Malaysia di Yogyakarta dalam keadaan sihat dan mereka sentiasa dipantau dan dinasihatkan supaya berdiam di rumah selain memakai topeng menutup hidung dan mulut. -hm







Batu Sapi: Calon BN Tak Tahu Berbahasa Malaysia?

Calon Barisan Nasional (BN) Linda Tsen Thau Lin di Parlimen Batu Sapi, Sandakan, Sabah yang merupakan balu kepada mendiang Edmund Chong Ket Wah dikatakan tidak pandai atau fasih berbahasa Melayu.

Linda yang memegang jawatan Ketua Wanita Parti Bersatu Sabah (PBS) Bahagian Elopura hanya boleh bertutur bahasa Inggeris.

Malahan jika kita lihat berita di TV... jelas calon BN berkenaan hanya berbahasa Inggeris apabila ditanya wartawan... TV juga tidak menyiarkan ucapan Linda sebaliknya hanya memperlihatkan ucapan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman sahaja dan pemimpin-pemimpin BN lain.

Mungkin pihak media nak 'cover' fakta yang Datin Linda tidak boleh berbahasa Melayu ?...entah la

Rakan-rakan di Sabah mengiyakan

Saya ramai juga rakan-rakan di kawasan Sandakan, Sabah.... apabila diajukan kepada mereka... kesemua mereka membenarkan dakwaan berkenaan.

Jika benar Datin Linda tidak boleh berbahasa Melayu...adalah memalukan apabila ada warganegara Malaysia yang tidak boleh berbahasa kebangsaan. Bagaimana Datin Linda hendak menyuarakan suara rakyat Batu Sapi di Parlimen Malaysia jika dia tidak boleh berbahasa Melayu?....

Takkan la dia hanya diam sahaja dalam sesi perdebatan di Dewan Rakyat.....hmmm...tepuk dada, tanya selera...

Wallahualam... -marul77.blogspot

[Video] Kelantan 2 NS 1 - Tercapai Hasrat Pemain Hadiahkan Kemenangan Buat Sultan Muhammad Ke V

Kelantan julang Piala Malaysia, tebus kekalahan 2009

Gambar: JUARA PIALA MALAYSIA... Ketua pasukan Kelantan, Indra Putra Mahayuddin menjulang trofi selepas pasukan 'The Red Warriors' itu menewaskan pasukan Negeri Sembilan dalam perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Sabtu malam. - Foto S.S KANESAN /The Star

KUALA LUMPUR, 30 Okt — Kelantan, yang sedang menyaksikan pilihan raya kecil DUN Galas, mencipta sejarah — buat julung kali muncul juara Piala Malaysia dengan menewaskan Negeri Sembilan 2-1 di Stadium Nasional Bukit Jalil malam ini.

Pasukan Red Warriors yang tewas tahun lalu di tangan Negeri Sembilan — pasukan Hobin Jang Hobin — menebus kekalahan itu walaupun ketinggalan 0-1 di separuh masa pertama.

Kemenangan itu turut menebus kehampaan tewas 1-3 kepada Negeri Sembilan pada saingan akhir piala paling berprestij Liga Malaysia itu musim lepas, selain menamatkan kemarau selama 55 tahun sejak kali pertama Kelantan mara ke pusingan akhir pada 1955, ketika piala tersebut dikenali sebagai Piala HMS Malaya.

Kelantan kecundang dalam tiga perlawanan akhir sebelum ini.

Negeri Sembilan memperolehi gol pertama seawal minit ke-13 menerusi sepakan penalti yang disempurnakan oleh Shahurain Abu Samah.

Pengadil perlawanan Subkhiddin Mohd Salleh memberi sepakan itu kepada Negeri Sembilan setelah penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat menjatuhkan S. Kunalan dalam kotak penalti.

Negeri Sembilan terus mengasak pintu gol Kelantan menerusi beberapa serangan namun gagal menembusi kekentalan benteng lawan yang dibarisi Mohd Daudsu Jamaludin, Mohd Farisham Ismail dan Rizal Fahmi Abdul Rosidi.

Bersambung babak kedua, “The Red Warriors” yang ditemani sekurang-kurangya 60,000 penyokong terdesak untuk mencari gol dan melakukan beberapa asakan yang akhirnya membuahkan gol penyamaan pada minit ke-57.

Hantaran luar Norshahrul Idlan Talaha tidak disia-siakan Ketua Pasukan “The Red Warriors” Indra Putra Mahayuddin yang menanduk dan merobek gol Negeri Sembilan.

Kelantan semakin garang apabila Mohd Badri Mohd Radzi menambah jaringan pada minit ke-65 hasil hantaran cantik Mohd Norfarhan Muhamad.

Ketiadaan tonggak utama Mohd Aidil Zafuan Abdul Razak yang terpaksa dikeluarkan selepas mengalami kecederaan menyebabkan Negeri Sembilan semakin tertekan apabila ketinggalan 1-2.

Bagi mengukuhkan kubu pertahanan, jurulatih Kelantan B. Sathianathan mengambil tindakan bijak memasukan Akmal Rizal Ahmad Rakhli dan Khairan Eroza Razali.

Strategi itu berjaya apabila tamat masa permainan menyaksikan Kelantan muncul juara Piala Malaysia musim ini selepas berjaya mempertahankan kedudukan 2-1 menewaskan Negeri Sembilan. -TMI


Piala Malaysia: Kelantan 2 - 1 Negeri Sembilan

Oleh SURYATI MOHD NOR

KUALA LUMPUR: Kelantan menjuarai Piala Malaysia selepas mengalahkan Negeri Sembilan dengan keputusan 2 - 1 pada perlawanan akhir yang diadakan di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Sabtu malam.

Gol Kelantan dijaringkan oleh penyerang, Hairuddin Omar pada minit ke-57 dan pemain tengah, Mohd Badhri Radzi, 65'.

Manakala penyerang Negeri Sembilan, Shahrulain Abu Samah menjaringkan gol tunggal pasukannya seawal minit ke-13.

Perlawanan akhir tersebut diadili oleh Subkhiddin Mohd Salleh.

Pasukan:

NEGERI SEMBILAN: Sani Anuar Kamsani, Mohd Alif Samsudin, Muhd Shukor Adan,Aidil Zafuan Abdul Radzak, (Mohd Asyraf Mohd Al Japri), Tengku QayyumUbaidillah Tengku Ahmad, Qhairil Anwar Roslani, (Mohd Shaffik Abdul Rahman)Ching Hong Aik, Abdul Halim Zainal, S. Kunanlan, Idris Abd Karim, Shahurain AbuSamah.

KELANTAN: Khairul Fahmi Che Mat, Mohd Daudsu Jamaludin, (Akmal Rizal AhmadRakhli), Mohd Farisham Ismail, Rizal Fahmi Abdul Rosid, Zairol Fitree Ishak,Mohd Shakir Shaari, (Khairan Eroza Razali), Mohd Badhri Mohd Radzi, MohdNorfarhan Muhammad, Indra Putra Mahayuddin, Norshahrul Idlan Talaha, (S. Chanturu)Hairuddin Omar.

-mstar


BERITA KELMARIN


Hadiah untuk Sultan Kelantan
Oleh KHAIRI MOHAMAD
khairi.mohamad@kosmo.com.my

SATHIANATHAN (kiri) ketika mengendalikan sesi latihan skuad Kelantan di Kota Bharu semalam sebagi persiapan menghadapi final menentang Negeri Sembilan, Sabtu ini.


HADIAH untuk Sultan Muhammad Ke-V. Itulah yang diluahkan oleh ketua jurulatih Kelantan, B.Sathianthan yang mahu semua pemainnya beraksi cemerlang merampas Piala Malaysia daripada Negeri Sembilan untuk dihadiahkan kepada Sultan Kelantan, Sultan Muhammad Ke-V yang baru ditabalkan.

Menurutnya, peluang beraksi pada final kali ini perlu digunakan sebaik mungkin untuk memastikan mereka muncul juara dan membawa pulang piala paling berprestij ke Kota Bharu.

"Seluruh rakyat Kelantan gembira apabila menerima Sultan baru dan saya rasa kegembiraan tersebut mungkin lebih bermakna jika pasukan mereka mampu membawa pulang Piala Malaysia ke Kota Bharu.

"Saya dan semua pemain berjanji akan memberikan yang terbaik supaya impian tersebut akan menjadi kenyataan dan kejayaan itu kita akan hadiahkan kepada Tuanku Sultan yang memayungi seluruh rakyat Kelantan,"
katanya ketika dihubungi semalam.

Tambahnya, segala persiapan berjalan dengan lancar dan semua barisan pemain sudah pun bersedia untuk turun beraksi pada perlawanan akhir itu nanti.

Jelasnya, semua pemainnya kini bebas daripada masalah penggantungan dan kecederaan kecuali tiga pemain iaitu Azizi Mat Rose dan S. Subramaniam untuk posisi pertahananan yang hampir pasti tidak dapat diturunkan.

"Kita sedang memantau perkembangan Akmal (Rizal Rakhli) yang masih belum pulih dan cergas sepenuhnya daripada kecederaan. Saya harap beliau akan pulih dalam masa terdekat ini dan dapat diturunkan pada final kelak.

"Jika ketiga-tiga mereka tidak dapat diturunkan sekali pun, ia tidak merencatkan persiapan pasukan kerana saya masih ada pemain lain yang standard mereka tetap sama dan mampu beraksi baik," ujarnya.

Katanya, beliau mengharapkan para pemainnya fokus ketika aksi di padang, berdisiplin selain sentiasa yakin pada diri sendiri bagi memastikan mereka tidak mudah patah semangat.

"Untuk perlawanan Sabtu ini, saya harap pemain yang akan diturunkan memberikan tumpuan sepenuhnya sepanjang perlawanan, jangan gugup dan sentiasa ingat bahawa kita adalah pasukan yang hebat, jadi kena beraksi sebagai pasukan yang hebat.

"Jangan jadi macam tahun lepas, selepas kena satu jaringan kita hilang fokus dan tidak bermain dengan baik. Pengalaman lalu harus dijadikan pengajaran berguna buat kita untuk perlawanan Sabtu ini," jelasnya. -kosmo



Julang Piala Malaysia: Kelantan isytihar cuti

KUALA LUMPUR, 31 Okt: Kerajaan negeri Kelantan mengumumkan cuti peristiwa hari ini sempena kejayaan pasukan bola sepak The Red Warriors menjulang Piala Malaysia edisi ke 84 malam tadi.

Pengumuman dibuat Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yaakob di Stadium Nasional, Bukit Jalil di sini selepas menyaksikan sendiri detik gemilang Kelantan menewaskan Negeri Sembilan 2-1.

"Saya mewakili Menteri Besar Kelantan, mengumumkan esok cuti peristiwa supaya rakyat dapat tenang, gembira, bersyukur dan dapat balik ke Kelantan dengan selamat.

"Kita juga ucap terima kasih kepada semua yang memberi kejayaan kepada Kelantan khususnya kepada Presiden Kafa dan rakyat Kelantan," katanya.

Kemenangan itu turut menebus kehampaan tewas 1-3 kepada Negeri Sembilan pada saingan akhir piala paling berprestij Liga Malaysia itu musim lepas, selain menamatkan kemarau selama 55 tahun sejak kali pertama Kelantan mara ke pusingan akhir pada 1955, ketika piala tersebut dikenali sebagai Piala H.M.S Malaya.

Negeri Sembilan memperolehi gol pertama seawal minit ke-13 menerusi sepakan penalti yang disempurnakan oleh Shahurain Abu Samah.

Manakala Kelantan memperoleh gol penyamaan hanya pada separuh masa kedua apabila hantaran luar Norshahrul Idlan Talaha tidak disia-siakan Ketua Pasukan, Indra Putra Mahayuddin yang menanduk dan merobek gol Negeri Sembilan pada minit ke-57.

Mohd Badri Mohd Radzi menambah jaringan pada minit ke-65 hasil hantaran cantik Mohd Norfarhan Muhamad.

Kedudukan kekal 2-1 sehingga wisel penamat, mengembirakan sekurang-kurangnya 60,000 penyokong Kelantan yang hadir ke stadium.

Sementara itu, Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat juga turut berjanji akan memberi imbuhan wang tunai kepada pemain Kelantan ekoran berjaya ke saingan peringkat akhir akhir Piala Malaysia musim ini. -harakahdaily




Kelantan vs N Sembilan GOL Shahurain [FINAL Piala Malaysia 2010]


Kelantan 2-1 N Sembilan GOL Hairuddin [FINAL Piala Malaysia 2010]


Kelantan 2-1 N Sembilan GOL Badhri Radzi [FINAL Piala Malaysia 2010]