28 Okt 2010

Risalah Banyak Salah Ejaan, Kementerian Pelancongan Memalukan Negara Di Ekspo Shanghai

Risalah Promosi Malaysia Di Shanghai Banyak Kesilapan Memalukan

KUALA LUMPUR: Memalukan apabila risalah mempromosikan Malaysia yang diedarkan di Pavilion Malaysia sempena Ekspo Dunia Shanghai 2010 mempunyai banyak kesilapan ejaan dan penggunaan tata bahasa serta struktur ayat yang lemah.

Demikian dedah Anthony Loke (DAP-Rasah) pada sidang media di lobi Parlimen di sini pada Khamis.

Beliau berkata, setiap pelawat yang mengunjungi Pavilion Malaysia akan diberikan ‘goodie bag’ daripada Tourism Malaysia yang antaranya mengandungi beberapa risalah dalam bahasa Inggeris dan Mandarin.

“Apa yang memalukan apabila tahap penguasaan Inggeris yang ‘dipersembahkan’ dalam risalah berkenaan amat mendukacitakan.

“Lebih menyedihkan apabila mendapati sebanyak 11 kesilapan ejaan pada risalah asli yang mempromosikan Malaysia. Ayat pertama sahaja menggunakan perkataan-perkataan ‘bombastic’ tetapi struktur ayatnya begitu lemah,” katanya.

11 kesalahan ejaan yang dikenal pasti dalam risalah itu seperti nulticultural (multicultural), Taman Nerara (Taman Negara), incite (invite) dan decelopment (development).

Antara lain adalah Pacilion (Pavilion), locationgs (location), pictureque (picture), visitous (visitor), form (from) dan ctry (country).


“Saya difahamkan, perkataan 'locationgs' adalah Inggeris ala loghat Terengganu. Itu baru 11 kesilapan ejaan, belum lagi penggunaan tata bahasanya sangat lemah,” katanya.

Anthony berkata, beliau bukanlah pakar tetapi tertanya-tanya apa yang dapat diperjelaskan oleh ‘pakar’ kepada Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr Ng Yen Yen mengenai perkara tersebut.

“Saya juga tertanya-tanya bagaimana ‘pakar’ itu boleh cuai sehingga terlepas pandang mengenai kesilapan yang tidak sepatunya berlaku,” katanya lagi.

Anthony turut kesal dengan konsep Pavilion Malaysia yang menelan belanja RM35 juta tidak mencerminkan tema ekspo dunia berkenaan iaitu ‘Better City – Better Life'.

Menurutnya, hanya produk tempatan ditonjolkan dan itu bukan tujuan utama sebaliknya mempamerkan apa yang negara boleh sumbangkan kepada kehidupan lebih baik.

“Saya betul-betul kecewa dengan Pavilion Malaysia, ditambah pula dengan kesilapan yang berlaku amat memalukan.

“Risalah itu diberikan kepada semua pelawat dari seluruh dunia. Bayangkan apa yang mereka fikir mengenai Malaysia berkaitan dengan standard bahasa Inggeris,”
katanya.

Anthony memperjelaskan, risalah tersebut diperoleh dari Shanghai sewaktu kunjungannya bersama Ahli Parlimen DAP lain ke ekspo itu pada September lalu.

Katanya, beliau bukan ‘insan bertuah’ apabila seorang sahaja yang mendapat risalah sedemikian (dengan kesilapan ejaan, penggunaan tatabahasa dan struktur ayat lemah).

“Ini adalah edisi pada September. Saya tidak tahu berapa edisi yang mereka ada. Sudah tentu bukan sehelai dua diedarkan kerana ia pasti dicetak dalam jumlah besar,” katanya. -mstar

Kisah Berkenaan Remaja Sekolah

Dungun – Seorang pelajar yang masih menuntut di Tingkatan Empat di salah sebuah sekolah menengah dekat sini diperintah berkelakuan: baik selama setahun oleh mahkamah selepas didapati berkhalwat dengan teman lelakinya.

Tertuduh wanita yang difahamkan sudah kematian :bapa dihadapkan ke Mahkamah Rendah Syariah Dungun kerana didapati berkhalwat dengan teman lelaki di rumahnya dekat Kampung Sungai Buaya, April lalu.

Mengikut kertas pertuduhan yang dibacakan Pendakwaraya Syarie, Azmi Tengah, ketika serbuan dilakukan oleh sepasukan Anggota Pe-nguat Kuasa Syariah kira-kira jam 10.40 malam di sebuah di Jalan Lembah Kubur, Sungai Buaya, sebaik pintu diketuk, ia dibuka oleh seorang wanita Melayu yang berkemban dengan kain batik.

Hasil pemeriksaan di sebuah bilik bahagian belakang rumah tersebut mendapati seorang wanita Melayu memakai baju tanpa lengan berwarna putih dengan seluar pendek paras lutut.

Pemeriksaan lanjut pula menemui seorang lelaki Melayu yang menyorok di bawah katil dengan hanya memakai seluar ‘boxer’ berwarna kelabu tanpa baju.

Hasil soal siasat, kedua-dua pasangan terbabit didapati tidak mempunyai hubungan muhrim manakala, teman lelakinya dipercayai memasuki bilik tertuduh me-lalui tingkap.

Sehubungan itu, kedua-dua tertuduh yang masih berstatus pelajar itu kemu-diannya dihadapkan ke mahkamah atas kesalahan khalwat mengikut Seksyen 31(a) dan (b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Takzir Negeri Terengganu yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali.


Perbicaraan terhadap tertuduh lelaki selesai ketika perbicaraan sebelumnya iaitu pada 18 Julai lalu apabila mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM2,400 atau dua bulan penjara ke atasnya.

Selepas mendengar hujah pendakwa raya dan me-ngambil kira rayuan daripada tertuduh, Hakim Syarie, Shamsuddin Ngah akhirnya memerintahkan murid Tingkatan Empat itu dikenakan jaminan berkelakuan baik selama setahun dengan bon jaminan berjumlah RM1,500.

Wang jaminan kemudiannya dijelaskan oleh ibu tertuduh yang difahamkan bekerja sebagai tukang masak di sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) awam berdekatan. -SH


Remaja dirogol rakan sekolah

AMPANG – Seorang pelajar perempuan berusia 13 tahun dirogol di rumahnya di kawasan Keramat, sewaktu ketiadaan ibu bapanya, baru-baru ini.

Lebih memalukan, kejadian 15 Oktober lalu berlaku ketika umat Islam sedang bersia-siap untuk menunaikan Solat Jumaat.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abdul Jalil Hassan berkata, sewaktu kejadian, bapa saudara mangsa terlihat kelibat anak saudaranya itu di dalam bilik bersama seorang lelaki.

Difahamkan, suspek yang berusia 16 tahun itu merupakan rakan sekolah mangsa.

Beliau berkata, bapa saudaranya memaklumkan kejadian itu kepada bapa mangsa sebelum kedua-dua mereka mengepung bilik tersebut.

“Suspek ketika itu berjaya meloloskan diri dan meninggalkan mangsa di atas katil.

“Susulan itu, polis memberkas suspek di rumahnya di Hulu Kelang,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya, semalam.

Abdul Jalil berkata, siasatan mendapati, mangsa memberitahu telah melakukan hubungan seks dengan suspek beberapa kali di dalam rumahnya sewaktu ibu-bapanya keluar bekerja.


Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 375 Kanun Keseksaan kerana merogol.

Sehubungan itu, beliau menasihati ibu bapa sentiasa memberi tumpuan kepada anak-anak perempuan yang selalu ditinggalkan sewaktu mereka pergi bekerja bagi mengelakkan kejadian serupa berlaku. -SH


Pemimpin UMNO Titiwangsa: Kita Tak Perlu Undi Cina Dan Undi India

Chua: Ada pemimpin Umno "tak berapa cerdas"

Rakaman video di internet yang memaparkan seorang pemimpin bahagian Umno yang membuat ucapan bahawa partinya tidak memerlukan sokongan Cina dan India dijangka tidak akan menjejaskan sokongan masyarakat Cina pada pilihan raya kecil di Galas, kata presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek.

Katanya, pemimpin seumpama itu tidak mencerminkan pandangan pemimpin atasan Umno.

“Jika kita mahu jawapan yang jelas, tanya perdana menteri. Perdana Menteri dengan jelas mempromosikan polisi 1Malaysia untuk setiap kaum. Ini amat jelas, katanya kepada wartawan di pekan Gua Musang hari ini.

Chua berkata MCA tidak akan menyokong pemimpin akar umbi seumpama itu dan malah akan mencadangkan kepada pemimpin Umno agar mereka tidak dikemukakan sebagai calon pada pilihan raya umum akan datang.

Katanya, pemimpin Umno itu gagal bertindak atas semangat BN bagi menjaga kepentingan semua kaum.

“Ini (klip vedeo) memberitahu kita bahawa ada pemimpin akar umbi Umno yang tidak berapa cerdas dari segi politik. Mereka ini kurang bijak. Kita akan laporkan kepada perdana menteri.

“Mereka tidak sepatutnya keluar. Kita akan ikuti kes ini. Mereka tidak tidak mewakili BN dan sepatutnya bersara dan pulang,”
kata Chua.

Chua mengulas klip video yang memaparkan ucapan ketua Umno bahagian Titiwangsa, Datuk Johari Abdul Ghani di Pusat Dagangan Dunia Putra pada tarikh yang tidak disebut.

Menurut Johari, bagi membolehkan Umno menawan semula kerusi parlimen Titiwangsa, mereka memerlukan sokongan 70 peratus undi Melayu di sana.

“Tuan-tuan, jika kita dapat 70 peratus daripada 32,000 undi Melayu, maka kita tidak lagi perlu undi Cina dan India,” kata Johari sambil disambut tepukan gemuruh daripada hadirin di majlis itu.

Ketika berita ini ditulis, video yang dimuat-naik di Youtube itu telah menarik minat 50,000 orang menontonnya dengan 600 komen yang kebanyakan mereka membidas Johari.





Sungguh Dasyat Dan Kejam: Peluru Tembusi Tengkorak Aminulrasyid

Patologi: Peluru tembusi tengkorak Aminul

Aminulrasyid Amzah, remaja yang mati beberapa bulan sebelum sempat meraikan hari jadi ke-15nya pada 26 April 2010, tidak ditembak dari jarak dekat.

Menurut ahli patologi Dr Khairul Azman Ibrahim (gambar), dari Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang, tembakan yang dikesan itu berbentuk bulat dan bukan “berbentuk bintang dalam kes-kes yang ditembak kurang daripada jarak satu kaki”.

Katanya juga, tiada kesan terbakar - satu ciri ketara dalam luka yang ditembak dari jarak dekat.

"Saya juga dimaklumkan oleh pegawai penyiasat terdapat lubang peluru di cermin belakang kereta (dipandu Aminulrasyid)," katanya.

Khairul berkata remaja berkenaan mati “beberapa saat atau minit” selepas peluru mengenai bahagian kiri belakang tengkoraknya dan menembusi otak sebelum keluar dari tengkorak daripada bahagian kanan, berhampiran keningnya.

"Peluru tembus di bahagian depan tengkorak tetapi bukan di kulit menyebabkan bahagian sekitar lebam di bahagian kening mata kanan,” katanya.

Menurut beliau lagi peluru juga dijumpai di bawah kulit.

Beliau juga memaklumkan kepada Mahkamah Sesyen Shah Alam, luka lain seperti kesan calar adalah kemungkinan akibat pergeseran dengan objek tumpul yang mungkin disebabkan oleh perlanggaran atau hentakan dari dashboard kereta.

Katanya lagi, beliau menerima mayat remaja itu pada jam 5.55 pagi 26 April 2010 dan badannya sudahpun kaku, menunjukkan Aminulrasyid sudah mati lebih empat jam.

Aminulrasyid ditembak pada jam 1.30 pagi 26 April tahun lalu di Jalan Tarian 11/2, Shah Alam, kira-kira 50 meter dari persimpangan di rumahnya.

Koperal Jenain Subi, 48, dituduh menembak mati remaja tersebut selepas keretanya dikejar polis dan berdepan dengan hukuman 30 tahun penjara jika sabit kesalahan. -mk

Lagi Kes Polis Tembak Orang Awam : Banyak lagi Cara lain, Kenapa Perlu Tembak, Tanya Isteri Mangsa.

Wanita terkejut suami ditembak

PASIR GUDANG – Seorang wanita terkejut selepas melihat suaminya terbaring di depan pagar berlumuran darah sementara seorang anggota polis berdiri di: sampingnya, sebaik pulang dari tempat kerja, kira-kira jam 6 petang, kelmarin.

Seperti lagak dalam drama, suaminya yang ketika itu masih sedarkan diri menunjukkan dan berkata bahawa bahagian belakang pinggangnya cedera parah terkena tembakan.

Wanita terbabit yang enggan namanya disiarkan tidak menyangka hasrat suaminya yang ingin keluar menjala ikan berakhir dengan tragedi ditembak kerana dikatakan melarikan diri daripada pihak berkuasa.

Menurutnya, suaminya yang ketika itu menunggang motosikal bersama beberapa rakan, melarikan diri daripada ditahan kerana tidak memakai topi keledar dan hanya mempunyai lesen L serta cukai jalan tamat tempoh.

“Ketika saya pulang makan tengah hari di rumah, suami ada memberitahu dia ingin keluar menjala ikan bersama rakan dan saya pergi semula ke tempat kerja memandu kereta sendiri.

“Betapa terkejutnya saya sebaik pulang dari tempat kerja apabila melihat suami terbaring berlumuran darah di depan mata kerana ditembak seperti lagak dalam drama yang ditonton di televisyen,” katanya, semalam.

Dia yang masih bersedih dengan tragedi yang menimpa suaminya, bimbang dengan masa depan empat anaknya yang masih kecil kerana keadaan suaminya yang dirawat di hospital masih belum stabil serta belum sedarkan diri.

Wanita itu juga mempertikaikan kenapa suaminya ditembak, sedangkan banyak cara lain boleh digunakan untuk menangkap suaminya jika benar dia melarikan diri kerana ketakutan kerana melakukan kesalahan jalan raya.

Saya tidak berpuas hati kerana suami saya ditembak seperti penjenayah bahaya, sedangkan dia cuma melarikan diri kerana menunggang motosikal dengan tidak memakai topi keledar dan cukai jalan mati serta hanya ada lesen L.

“Saya bimbang jika apa-apa berlaku kepada suami kerana anak kami empat orang masih kecil dan perlukan kasih sayang ayah; saya tidak boleh bayangkan apa akan terjadi jika apa-apa berlaku kepada suami saya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd Roslan Zainuddin ketika dihubungi berkata, perkara itu akan disiasat secara terperinci.

Namun beliau enggan mengulas lanjut. -SH

MB Perak Mengamal Perbuatan Syirik. Di mana Tuan-tuan Mufti?

Dewan Pemuda PAS Negeri Perak kecewa dengan tindakan Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir yang didakwanya masih meneruskan amalan perbuatan khurafat dan syirik ketika merasmikan program Projek Infra Bina Upaya (IBU) di Kampung Guar dalam DUN Manong dua minggu lalu.

Dalam majlis perasmian itu, Dr Zamri didakwa telah meletak ancak ke tiang seri di tapak pembinaan rumah orang kurang upaya. DUN Manong terletak dalam kawasan parlimen Kuala Kangsar.

Ketua pemuda PAS negeri Zawawi Hassan mendakwa upacara tersebut adalah amalan yang diwarisi oleh orang dahulu yang bersifat "karut, syirik dan dan bercanggah dengan akidah Islam".

"Upacara meletakkan tiang seri - tiang tengah rumah - dengan menepung tawar diiringi bacaan doa tertentu adalah amalan karut seperti mahu menjadi rumah itu aman... Kita (orang Islam) hanya diminta untuk bergantung kepada Allah," katanya ketika dihubungi Malaysiakini pagi ini.

Zawawi memberitahu demikian ketika ditanya mengenai langkah dewan itu menghantar memorandum bantahan mereka kepada Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria pada 22 Oktober lalu berhubung perkara itu.

Katanya, dewan itu hari ini turut menghantar bantahan yang sama kepada kesemua mufti di seluruh Malaysia, termasuk Sabah dan Sarawak, meminta penjelasan mengikut hukum Islam berhubung perkara ini.

Zawawi berharap para mufti dapat mengeluarkan ketetapan atau fatwa yang jelas supaya umat Islam tidak terkeliru.

Menurutnya, gambar dan rakaman video ucapara tersebut boleh dilayari dalam lamanweb mereka dan Youtube.

Zawawi berkata, rombongan 15 orang anggota Pemuda PAS Perak menemui Harussani pada 22 Oktober lalu untuk menyampaikan memorandum bantahan tersebut.

Dalam pertemuan di pejabat tokoh agama itu, katanya, Pemuda PAS meminta Harussani menegur atau mengeluarkan fatwa terhadap tindakan Zambry itu.

Zawawi mendakwa mufti perak itu menyatakan rasa kecewanya terhadap tindakan Zambry itu dan berjanji akan menegurnya. -mk


Mohon Penjelasan Mufti

Kepada :
Al Fadzil Sohibul Samahah
Tan Sri Dr. Haji Harussani Haji Zakaria
Mufti Kerajaan Negeri Perak,
Pejabat Jabatan Mufti Negeri Perak Darul Ridzuan,
Tingkat 5, Kompleks Islam Darul Ridzuan,
Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab,
30000 Ipoh .
(No. Fax : 05-241 9694)

Kepada :
Al Fadzil Sohibul Samahah
Dr. Juanda Jaya
Mufti Kerajaan Negeri Perlis,
Pejabat Jabatan Mufti Negeri Perlis,
Tingkat 1,
Blok A,
Bangunan Dato' Mahmud Mat,
01000 Kangar.
(No. Fax : 04-976 3844)
(Alamat E-mel : muftips@tm.net.my )

Kepada :
Al Fadzil Sohibul Samahah
Dato’ Syeikh Muhamad Baderudin Haji Ahmad
Mufti Kerajaan Negeri Kedah,
Pejabat Jabatan Mufti Negeri Kedah Darul Aman,
Tingkat 6,
Bangunan Wisma PKNK,
Jalan Sultan Badlishah,
05000 Alor Star.
(No. Fax : 04-732 0807)
(Alamat E-mel : mufti@kedah.gov.my )

Kepada :
Al Fadzil Sohibul Samahah
Dato' Haji Hassan Haji Ahmad
Mufti Kerajaan Negeri Pulau Pinang ,
Pejabat Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang ,
Tingkat 45,
Menara KOMTAR,
10000 Pulau Pinang.
(No. Fax : 04-263 2985)
(Alamat E-mel : jamilnordin@penang.gov.my )

Kepada :
Al Fadzil Sohibul Samahah
Datuk Wira Haji Rashid Redza Haji Md. Saleh
Mufti Kerajaan Negeri Melaka,
Pejabat Jabatan Mufti Negeri Melaka,
Aras 2,
Imarah A,
Kompleks MAIM,
75150 Bukit Palah.
(No. Fax : 06-284 8144)
(Alamat E-mel : rashidredza@melaka.gov.my )

Kepada :
Al Fadzil Sohibul Samahah
Dato' Haji Mohd Yusof Haji Ahmad
Mufti Kerajaan Negeri Sembilan,
Pejabat Jabatan Mufti Negeri Sembilan,
Tingkat 3,
Bangunan SUK Lama,
Karung Berkunci 45,
Jalan Dato' Hamzah,
70990 Seremban.
(No. Fax : 06-764 0029)
(Alamat E-mel : muftins@ns.gov.my )

Kepada :
Al Fadzil Sohibul Samahah
Dato' Setia Haji Mohd. Tamyes Abd. Wahid
Mufti Kerajaan Negeri Selangor Darul Ehsan,
Pejabat Jabatan Mufti Negeri Selangor,
Tingkat 7 & 8,
Menara Utara,
Bangunan Sultan Idris Shah,
No. 2, Persiaran Masjid,
Bukit SUK,
Seksyen 5,
40000 Shah Alam.
(No. Fax : 03-5519 7584)
(Alamat E-mel : mufti_sel@selangor.gov.my )

Kepada :
Al Fadzil Sohibul Samahah
Dato' Haji Wan Zahidi Haji Wan Teh
Mufti Wilayah Persekutuan,
Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan,
Tingkat 10,
Menara Pusat Islam,
Jalan Perdana,
50519 Kuala Lumpur .
(No. Fax : 03-2272 3216)
(Alamat Emel : wanzahidi@muftiwp.gov.my )

Kepada :
Al Fadzil Sohibul Samahah
Dato' Haji Mohd. Tahrir Dato’ Shamsudin
Mufti Kerajaan Negeri Johor ,
Pejabat Jabatan Mufti Negeri Johor Darul Takzim,
Tingkat 3,
Blok A,
Pusat Islam Iskandar,
Jalan Masjid Abu bakar,
80990 Johor Bharu.
(No. Fax : 07-223 0925)
(Alamat E-mel : mufti@johor.gov.my )

Kepada :
Al Fadzil Sohibul Samahah
Dato’ Haji Abd. Rahman Haji Osman
Mufti Kerajaan Negeri Pahang,
Pejabat Jabatan Mufti Negeri Pahang,
Kompleks Islam Sultan Haji Ahmad Shah,
Jalan Istana Permai,
26600 Pekan.
(No. Fax : 09-422 4887)
(Alamat E-mel : mufti@pahang.gov.my )

Kepada :
Al Fadzil Sohibul Samahah
Dr. Haji Alias Abdullah
Mufti Kerajaan Negeri Terengganu,
Pejabat Jabatan Mufti Negeri Terengganu,
Tingkat 1,
Pusat Pentadbiran Islam Terengganu,
Kompleks Seri Iman,
Jalan Sultan Mohamad,
21100 Kuala Terengganu.
(No. Fax : 09-623 5411)
(Alamat E-mel : mufti@terengganu.gov.my )

Kepada :
Al Fadzil Sohibul Samahah
Dato' Haji Muhamad Shukri Muhamad
Mufti Kerajaan Negeri Kelantan,
Pejabat Jabatan Mufti Negeri Kelantan,
Tingkat Bawah,
Kompleks Balai Islam Lundang,
Jalan Sultan Yahya Petra,
15200 Kota Bharu.
(No. Fax : 09-747 8170)
(Alamat E-mel : jabmufti@kelantan.gov.my )

Kepada :
Al Fadzil Sohibul Samahah
Datuk Haji Ahmad Alawi Haji Adnan
Mufti Kerajaan Negeri Sabah ,
Pejabat Jabatan Mufti Negeri Sabah,
Tingkat 6,
Blok B,
Wisma MUIS,
Jalan Sembulan,
Beg Berkunci 2070,
88818 Kota Kinabalu.
(No. Fax : 088-26 3679)
(Alamat E-mel : mufti@sabah.gov.my )

Kepada :
Al Fadzil Sohibul Samahah
Haji Kipli Haji Yasin
Mufti Kerajaan Negeri Sarawak ,
Pejabat Jabatan Mufti Negeri Sarawak,
Tingkat 6,
Bangunan Mahkamah Syariah (Anjung Kanan),
Jalan Satok,
93400 Kuching.
(No. Fax : 082-25 1400)
(Alamat E-mel : mufti@sarawaknet.gov.my )

Y.Bhg. Al Fadzil Sohibul Samahah;

MEMOHON PENJELASAN MENGIKUT HUKUM ISLAM TERHADAP DATUK SERI DR ZAMBRY ABDUL KADIR, MENTERI BESAR NEGERI PERAK YANG MASIH MENERUSKAN AMALAN KHURAFAT DALAM UPACARA MELETAKKAN ANCAK KE TIANG SERI RUMAH YANG BERUNSUR SYIRIK

Perkara di atas adalah dirujuk.

Dewan Pemuda PAS Negeri Perak (DPPN Pk) ingin menarik perhatian Y.Bhg. Al Fadzil Sohibul Samahah terhadap perkara yang dilihat bertentangan dengan ajaran Islam sebenar yang menyebabkan rakyat atau umat Islam keliru terhadap perbuatan tersebut.

Saya mewakili DPPN Pk, umat Islam di negeri Perak khasnya dan umat Islam di Malaysia amnya melihat perbuatan Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, Menteri Besar Negeri Perak dalam program Projek Infra Bina Upaya (IBU) pada 17 Oktober 2010 di Kampung Guar, Manong adalah berunsur syirik. Pada majlis tersebut, telah diadakan upacara meletakkan ancak ke tiang seri rumah yang dahulunya merupakan amalan khurafat serta bertentangan dengan aqidah Islam.

Bersama-sama ini juga disertakan bahan untuk dinilai pihak Y.Bhg. Al Fadzil Sohibul Samahah iaitu gambar-gambar (www.pemudapasperak.com) dan melihat sendiri video majlis tersebut (http://www.youtube.com/watch?v=TT3vrpD3Les).

Justeru, DPPN Pk ingin menarik perhatian serius Y.Bhg. Al Fadzil Sohibul Samahah di dalam perkara tersebut untuk bertindak atas sifat ilmu dan kedudukan Y.Bhg. Al Fadzil Sohibul Samahah agar dapat memperjelaskan kepada rakyat dan umat Islam akan kekeliruan tersebut. Pihak kami meminta sama ada Y.Bhg. Al Fadzil Sohibul Samahah mengeluarkan satu ketetapan atau fatwa yang jelas supaya umat Islam negara ini tidak terus terkeliru.

Sekian dimaklumkan, terima kasih.

Saya yang benar,


Bagi pihak Dewan Pemuda PAS Negeri Perak
ZAWAWI HASSAN
Ketua,
Dewan Pemuda PAS Negeri Perak
.











Ulasan GB

Episod ini mendedahkan perbuatan haram akan terus terdedah dari seorang pemimpin yang dapat kuasa secara haram.

Bukankah Allah itu Maha Tahu dan Maha Kuasa sekalipun rampasan kuasa itu berlaku dengan bantuan dan restu oleh kerajaan pusat dan pihak istana sekalipun?

Bahawa semua dosa diampunkan kecuali dosa syirik. Firmanullah:

Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa orang yang mempersekutukanNya dengan sesuatu (apa jua) dan akan mengampunkan yang lain daripada kesalahan (syirik) itu bagi sesiapa yang dikehendakiNya (menurut peraturan hukum-hukumNya); dan sesiapa yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu (apa jua), maka sesungguhnya dia telah sesat dengan kesesatan yang amat jauh. An-Nisa [116]


Siapa Ubah Kedudukan Senarai Calon Naib Presiden Di Kertas Undi Dan Apa Muslihatnya?

Nurul Izzah Anwar yang bertanding jawatan naib presiden PKR mempertikaikan perubahan pada aturan nama calon-calon yang bertanding kerusi tersebut — diumumkan dua hari sebelum proses pengundian pusat bermula.

Ahli Parlimen Lembah Pantai ini berkata senarai baru yang dikeluarkan semalam, dua hari sebelum ahli-ahli parti itu keluar mengundi memilih kepimpinan pusat, secara berperingkat-peringkat, “agak sedikit membimbangkan”.

Sebanyak 69 cabang akan keluar mengundi hujung minggu ini, sebahagian daripada tiga peringkat pengundian yang dijadualkan.

“Saya telah dimaklumkan bahawa pada 27 Oktober (semalam) bahawa ibu pejabat parti telah mengumumkan senarai baru yang mengandungi perubahan aturan nama calon-calon naib presiden pada kertas undi (yang dikeluarkan).

“Saya cuma ingin menyatakan yang situasi ini agak sedikit membimbangkan, atas dua sebab,” kata Nurul Izzah dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Wakil beliau, Mohamed Siddik Mohamed Ibrahim menyerahkan surat minta penjelasan daripada Setiausaha Agung Saifuddin Nasution Ismail di ibu pejabat PKR di sini kira-kira 12.30 tengah hari tadi.

Nurul Izzah berkata senarai muktamad calon-calon yang bertanding jawatan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) telah dikeluarkan pada 24 Oktober lalu.

“Pengumuman senarai muktamad terbaru pada 27 Oktober, yang mengandungi perubahan aturan nama calon-calon dalam kertas undi, meletakkan tanda tanya pada senarai muktamad pertama tadi.

Pada senarai dikeluarkan 24 Oktober lalu, nama beliau diletakkan sebagai calon nombor dua atas nama “Anwar, Nurul Izzah” selepas Ansari Abdullah.

Bagaimanapun senarai dikeluarkan semalam menunjukkan namanya berada di tangga kesembilan atas nama “Nurul Izzah Anwar”.


Difahamkan jawatankuasa pemilihan pusat menentukan aturan nama calon mengikut susunan abjad. Berdasarkan maklumat borang penerimaan pencalonan, Nurul Izzah memohon agar nama pada kertas dicetak sebagai “Anwar, Nurul Izzah”.

Ia diterima dan disahkan berdasarkan notis bertarikh 24 Oktober tetapi didapati berubah berdasarkan senarai semalam.

“Persoalannya, adakah senarai pertama itu senarai muktamad? Kalau bukan, siapa yang bertanggungjawab menerbitkannya?

“Senarai ini sudah pasti telah diguna calon-calon dalam kempen mereka, dan kita harus bersikap adil kepada semua calon yang mengambil bahagian dalam pemilihan 2010 ini,”
kata beliau. -TMI

[Bergambar] Tragedi Gunung Merapi: Berlaku Dalam Sekelip Mata

Berlaku Sekelip Mata

Gambar: SOLO, 28 Okt -- Pengarah Jabatan Penuntut Malaysia di Indonesia, Datuk Dr Junaidy Abu Bakar memberi nasihat kepada para pelajar Malaysia dari Pesantren Sirojul Mukhlasin di asrama penginapan mereka di Unas, Solo, setelah dipindahkan ke situ bagi mengelakkan mereka daripada kesan hujan abu volkanik Gunung Merapi yang meletus Selasa petang. -Bernama

KUALA LUMPUR: “Segalanya berlaku sekelip mata...tak ubah seperti filem letusan gunung berapi yang biasa kita tonton,” kata Pengarah Jabatan Penuntut Malaysia (MSD) di Indonesia, Datuk Dr Junaidy Abu Bakar yang melalui sendiri detik cemas selepas Gunung Merapi tiba-tiba meletus ketika dia dalam perjalanan untuk memindahkan pelajar Malaysia di Secang, Magelang, petang kelmarin.

Katanya, kira-kira 10 minit sebelum letusan, berlaku hujan lebat diikuti letusan pertama mengeluarkan debu panas dan dianggarkan suhu debu lahar gunung berapi itu mencecah antara 400 hingga 600 darjah Celcius.

“Keadaan menjadi lebih teruk apabila hujan lebat itu disertai lumpur kesan letusan berkenaan menyebabkan penduduk sekitar mengalami kesukaran untuk bernafas selepas lumpur turut mengeluarkan bau sulfur yang kuat dan busuk,” katanya. Beliau yang keluar dari kenderaan untuk merasai sendiri pengalaman berada dalam suasana itu pada awalnya turut mengalami sesak nafas selepas ruang udara di lokasi berhampiran Gunung Merapi itu dipenuhi debu menyebabkan dia kembali ke dalam kenderaannya.

Harian Metro difahamkan jarak penglihatan juga menjadi terhad iaitu antara 10 hingga 15 meter.

Malah beliau yang berada berhampiran dengan lokasi yang dikenali ‘zero point’ atau kawasan Gunung Merapi berkenaan turut memaklumkan kesan dari hujan lumpur akibat letusan berpanjangan dilaporkan mencakupi sehingga 300 hingga 400 kilometer membabitkan beberapa lokasi di Jawa Barat. Junaidy berkata, semua 37 pelajar yang menuntut di sebuah pesantren itu berjaya dipindahkan bermula jam 12 tengah malam sebelum berakhir jam 3 pagi.

“Semua pelajar terbabit kini ditempatkan di sebuah motel di Solo yang jaraknya kira-kira 65 kilometer dari zero point yang dijadikan pusat transit sementara. “Urusan pemindahan lebih lancar apabila sepasukan 26 pelajar sukarelawan Malaysia yang mengambil kursus kedoktoran di sini turut membantu,” katanya. -hm


Pelajar Malaysia bantu mangsa letusan Merapi

SOLO (JAWA TENGAH): Pelajar kedoktoran Malaysia dari dua universiti di Indonesia hari ini bergabung dan menggerakkan pasukan sukarelawan bagi membantu mangsa letusan Gunung Merapi.

Ribuan penduduk di sekitar kaki gunung berapi berusia 400,000 tahun itu masih ditempatkan di beberapa pusat pemindahan bagi menyelamatkan mereka daripada aliran lava serta kesan debu volkanik akibat letusan itu.

Kumpulan pelajar pelbagai kaum dari Malaysia itu terdiri daripada 26 pelajar Universiti Negeri Surakarta (UNS) 11 Maret di sini dan 14 pelajar Universiti Gadjah Mada, Yogyakarta.

Pagi ini pasukan sukarelawan Malaysia itu yang bekerjasama dengan Persatuan Bulan Sabit Merah Indonesia mengunjungi beberapa pusat pemindahan mangsa di daerah Sleman, Yogyakarta.

Pelajar itu yang membawa bersama makanan dan ubat-ubatan, turut menawarkan khidmat pemeriksaan kesihatan kepada mangsa yang kebanyakannya terhidu debu volkanik apabila Gunung Merapi menyemburkan awan panas dan menurunkan hujan abu volkanik bersuhu 600 darjah selsius pada Selasa lalu.

Pengarah Jabatan Penuntut Malaysia di Indonesia, Datuk Dr Junaidy Abu Bakar, berkata pasukan sukarelawan pelajar Malaysia sebenarnya sudah digerakkan pada Selasa lagi namun ia banyak ditumpukan kepada usaha memindahkan sekumpulan pelajar Malaysia dari Magelang.

Pelajar kedoktoran Malaysia dari UNS 11 Maret yang diketuai Yang Dipertua Persatuan Kebangsaan Pelajar Malaysia di Indonesia cawangan Solo, Mohd Nazaluddin Mat Nazir, telah banyak membantu menguruskan pemindahan pelajar Malaysia dari Pesantren Sirojul Mukhlasin di Secang, Magelang ke Solo.

Kunjungan BERNAMA ke asrama Universiti Surakarta (UNAS) di sini mendapati para pelajar Malaysia dari pesantren berkenaan ditempatkan di bilik yang selesa, di bawah seliaan dan pengawasan sukarelawan pelajar Malaysia UNS 11 Maret.

Mereka turut memeriksa kesihatan pelajar terbabit selain bergotong royong memasak untuk mereka.

Seorang sukarelawan, Dr Muda Nabilah Rashid Redza, 25, dari Air Molek, Melaka, pada ketika itu kelihatan memeriksa kesihatan anak seorang pelajar pesantren itu, Nurul Najjah Zinnirah Humairah Mohd Azmi, 7 bulan, yang demam dan mengalami tanda-tanda alahan mata berair akibat terkena debu volkanik.

Pada hari kejadian letusan Merapi, bayi perempuan itu berada di sebuah rumah sewa bersama ibunya Nurul Asma Abu Bakar, 23, tidak jauh dari pesantren itu, yang terletak 15 kilometer dari Gunung Merapi.

Bapa Nurul Najjah, Mohd Azmi Wok, 24, pelajar pesantren itu, menceritakan bahawa beliau mengalami sesak nafas dan pedih mata terkena guguran abu Gunung Merapi itu semasa ia meletus pada petang Selasa.

Pada ketika itu beliau berada di pesantren dan selepas mengalami keadaan itu segera pulang ke rumah dengan motosikal untuk menyelamatkan anak dan isterinya.

Malam itu, Junaidy bersama pegawai Jabatan Penuntut Malaysia dan sukarelawan pelajar Malaysia dari UNS 11 Maret telah membantu usaha memindahkan sekumpulan 44 orang pelajar Malaysia dan anggota keluarga mereka serta dua pelajar dari Singapura dari pesantren itu ke Solo.

Bencana letusan Merapi itu sehingga kini mengorbankan 30 orang termasuk Jurukunci Merapi, Mbah Maridjan, 83, serta seorang wartawan portal berita.

Mangsa akan dikebumikan secara beramai-ramai hari ini di dua tempat berasingan. Mbah Maridjan dan empat yang lain dikebumikan Kampung Srunen, Glagahsari, Sleman, manakala yang lainnya di Kampung Sidoredjo, Sleman. - BERNAMA








Di sebalik Pelancaran "Little India"...

Kekecohan di 'Little India' - sembilan ditahan polis

Polis menahan sembilan lelaki di hadapan sebuah restoran, kira-kira 100 meter dari lokasi majlis perasmian 'Little India', sebuah kawasan kediaman masyarakat India di Brickfields di Kuala Lumpur, petang semalam.

Semua mereka yang berumur lingkungan 30-an dan 40-an itu dipercayai anggota Persatuan Kemajuan Pelajar Tamil Malaysia (PKPTM) yang sebelum ini memprotes kehadiran Perdana Menteri India, Dr Manmohan Singh bagi merasmikan majlis itu.

Kumpulan itu ditahan kira-kira jam 5 petang selepas enggan memberi kerjasama kepada polis ketika diminta menunjukkan kad pengenalan masing-masing.

Sebelum ditahan, berlaku sedikit kekecohan antara mereka dengan anggota polis, namun ia dapat disuraikan kira-kira 10 minit kemudian.

Semua mereka dibawa menaiki sebuah van polis ke Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields untuk siasatan, namun dibebaskan pada kira-kira jam 7 malam selepas keterangan mereka diambil.

PKPTM, sebuah badan bukan kerajaan (NGO), tidak bersetuju dengan cadangan perasmian 'Little India' dilakukan oleh Dr Manmohan Singh kerana mendakwa cukup sekadar dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak atau di kalangan pemimpin kaum India tempatan sendiri.

Ketua Polis Daerah Brickfields, ACP Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid ketika dihubungi mengesahkan penahanan terbabit.
- Bernama

Usaha UMNO Gugat Kerajaan Pulau Pinang Gagal, Pulau Pinang Terus Maju Di Bawah PR

Pulau Pinang catat hasil paling tinggi

Pentadbiran kerajaan negeri Pulau Pinang mencatatkan hasil pendapatan paling tinggi buat dua kali berturut-turut - ia berjaya memungut RM1.1 bilion dalam dana terkumpul bagi seluruh tahun 2009.

Dalam Laporan Ketua Audit Negara 2009, Pulau Pinang adalah negeri tunggal Pakatan Rakyat yang menerima penarafan 'baik' berhubung kedudukan kewangannya - mereka juga mengumpul 29.1 peratus dalam pendapatan sebenar, membawa jumlah keseluruhan kepada RM376.51 juta.

Pada 2008, kerajaan negeri Pulau Pinang memecahkan rekod apabila dana terkumpulnya mencecah RM1.025 bilion seperti yang dinyatakan dalam Laporan Ketua Audit Negara sebelum ini.

Di bawah pentadbiran kerajaan negeri BN, dana terkumpul Pulau Pinang adalah RM847.45 juta bagi 2007.

Dana terkumpul itu adalah kombinasi pendapatan akaun, pinjaman dan juga dana saham amanah.

Pungutan hasil juga naik dengan ketara daripada RM296 juta pada 2007 kepada RM371 juta pada 2008. Hasil bagi 2009 pula adalah pada RM376 juta.

Laporan Audit itu juga mendedahkan bahawa Dana Amanah Perumahan Bumiputera telah buat kali pertama ditubuhkan dengan RM12.65 juta disalurkan untuk tujuan berkenaan.

Tiga agensi negeri menerima penarafan 'sangat baik' berbanding hanya dua pada 2008. Agensi berkenaan adalah Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang, jabatan kewangan negeri dan pejabat daerah bahagian barat daya.
Selangor ketinggalan

Dua lagi negeri yang dikuasai oleh Pakatan - Kedah dan Kelantan, mencatatkan peningkatan dalam dana terkumpulnya pada 2009 berbanding tahun sebelum itu.

Kelantan mencatatkan pertumbuhan besar 252 peratus kepada RM97.23 juta berbanding RM27.58 juta pada tahun 2008.



Hasil di Selangor pula, pada masa yang sama jatuh 7.3 peratus kepada RM1.32 bilion berbanding RM1.42 bilion pada 2008.

Pada RM1.32 bilion, ia juga adalah jauh lebih rendah daripada dana terkumpul RM1.39 bilion yang diperolehi semasa pentadbiran BN pada 2007.

Pentadbiran negeri Kedah pula menunjukkan peningkatan 5.1 peratus dana terkumpulnya kepada RM265.52 juta bagi tahun 2009.
Perlis diklasifikasi kurang memuaskan

Laporan Ketua Audit Negara 2009 juga mendedahkan Perlis sebagai satu-satunya negeri yang diklasifikasikan sebagai kurang memuaskan dari segi sistem penyampaian, terutama selepas gagal memastikan semua agensi negeri diaudit sebelum tarikh tamat 30 April.

Berdasarkan laporan itu, hanya tiga agensi iaitu Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perlis (PPANP), Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) serta Majlis Perbandaran Kangar (MPK) menyerahkan penyata kewangan untuk diaudit sebelum tarikh tutup, manakala baki enam lagi dilaporkan gagal.

Sementara itu, Bernama melaporkan Laporan Ketua Audit Negara 2009 menyatakan lapan projek pembinaan di bawah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Perak disiapkan
melewati tempoh kontrak, sementara satu projek terbengkalai.

Perak juga ada masalah

Lapan projek itu kelewatan antara 144 hingga 629 hari.

Projek-projek itu ialah Rumah Rehat Kampar, Kompleks Kesihatan Haiwan Zoo Taiping, Pusat Rehat dan Rekreasi Changkat Jering, Bangunan Kompleks Pejabat Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK), Kompleks Pusat Penjaja Glutton Square Teluk Intan, Padang Seri Iskandar, Bangunan Kompleks Pejabat Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI), dan Bangunan Tiga Tingkat Rumah Rehat Kuala Kangsar.



"Semakan mendapati empat daripada lapan projek telah disiapkan setelah mendapat Perakuan Kelewatan dan Lanjutan Masa (PLKM) dan tempoh masa berdenda antara RM60,000 hingga RM214,220.

"Manakala tiga projek telah siap setelah diberikan PLKM dan satu lagi projek iaitu Bangunan Tiga Tingkat Rumah Rehat Kuala Kangsar masih belum disiapkan dan dalam tempoh masa berdenda.

"Kelulusan PLKM kedua tanpa sebab telah diberikan kepada kontraktor untuk pembinaan Bangunan Tiga Tingkat Rumah Rehat Kuala Kangsar," kata laporan itu.

Laporan itu berkata punca kelewatan menyiapkan projek disebabkan oleh kelewatan kerja-kerja ujian tanah, kelewatan pihak kontraktor menerima arahan perubahan kerja, perubahan skop kerja dan kerja-kerja tambahan.

Menurut laporan itu, kelewatan telah menyebabkan kos projek Kompleks Kesihatan Haiwan Zoo Taiping meningkat sejumlah RM168,152 atau 3.5 peratus daripada RM4.91 juta kepada RM5.08 juta.

"Kos projek Bangunan Kompleks Pejabat MPTI meningkat sejumlah RM2.21 juta atau 39.9 peratus daripada RM5.54 juta kepada RM7.75 juta.

Manakala kos projek Bangunan Kompleks Perniagaan dan Pejabat MPKK meningkat daripada RM3.98 juta kepada harga kontrak baru berjumlah RM5.33 juta atau 33.9 peratus kerana penamatan kontraktor pertama," menurut laporan itu.

Dalam pada itu, projek Pembinaan Dewan Serba Guna Padang Bandaran Kuala Kangsar bernilai RM6.7 juta yang dipertanggungjawabkan kepada Jabatan Kerja Raya Negeri Perak sebagai agensi pelaksana dan dibina oleh Serata Johor Sdn Bhd terbengkalai dan tidak disiapkan mengikut jadual asal kontrak.

Peruntukan membiayai pembinaan diterima daripada kerajaan Negeri Perak dan Persekutuan berjumlah RM10 juta dan berdasarkan kontrak, tempoh projek selama 52 minggu itu bermula Mac 2008 dan dijangka siap Jun tahun lepas.

"Berdasarkan laporan kemajuan kerja, pelaksanaan kerja telah mencapai 63 peratus siap. Surat penamatan dikeluarkan terhadap kontraktor pada 30 Jun 2009 kerana tiada kerja dilakukan semenjak 25 Mei 2009," kata laporan itu.

Menurut laporan itu juga prestasi pelaksanaan projek adalah lemah kerana kurang pemantauan oleh PBT dan Jabatan Kerja Raya terhadap perunding dan kontraktor.

Sehubungan itu, Ketua Audit Negara mencadangkan kerajaan negeri Perak dan PBT membuat pemantauan terhadap projek pembinaan secara berterusan supaya siap mengikut jadual bagi mengelakkan kelewatan dan peningkatan kos serta menyenaraihitamkan kontraktor berkenaan. -mk

Nak Kutuk PAS, Seluar Sendiri Terlondeh Tak Nampak!

Skrip lama isu agama, kerjasama PAS-DAP muncul lagi di Galas

Kain rentang mempersoalkan kerjasama DAP-PAS dan pendirian Pengerusi DAP Karpal Singh yang digantung di kawasan Gua Musang. PAS dakwa taktik itu digunakan oleh BN.

GUA MUSANG, 28 Okt — PAS menuduh Barisan Nasional (BN) sanggup melakukan apa sahaja bagi mencari kemenangan termasuk menggunakan isu agama sebagai alat dalam kempen pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas.

Sebagaimana pernah disaksikan ketika beberapa pilihan raya terdahulu termasuk di Hulu Selangor, kerjasama PAS dan DAP di bawah Pakatan Rakyat muncul lagi kali ini.

Ketika dihubungi The Malaysian Insider, Pengarah Pilihan Raya PAS Kelantan Abdul Fatah Harun berkata, BN akan menggunakan isu agama untuk menjatuhkan PAS dan mendapatkan sokongan daripada pengundi.

“BN bukan sahaja akan gunakan isu agama untuk jatuhkan PAS tetapi sanggup gunakan apa sahaja cara dan isu termasuk isu perkauman.

“Bukan ada peraturan dalam BN, bagi mereka semuanya halal.

“Ini menunjukan BN sudah ketandusan isu apabila sanggup menggunakan isu agama dalam kempen mereka. Kita sudah tahu budaya BN, mereka sanggup gunakan agama untuk jatuhkan lawan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai satu kain rentang yang dipamerkan di tepi jalan tertulis “’Karpal Singh Hina Perjuangan Islam’, Kenapa PAS masih menyokong DAP (Harbi)?”

Kain rentang itu juga mempamerkan laporan akhbar yang dibuat oleh Karpal Singh bertajuk “Mahu wujudkan negara Islam langkah mayat kami dulu — Karpal Singh”.

Dalam ceramah pertama kelmarin selepas kempen bermula, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan, parti itu dan DAP menjalankan kerjasama selama ini adalah untuk membawa perubahan kepada negara.

Dalam mencapai matlamat itu kata beliau, Parti Keadilan Rakyat (PKR) menjadi “jambatan” antara kedua-dua parti komponen Pakatan Rakyat itu.

“Walaupun DAP bukan parti Islam tapi PAS menjalin kerjasama dengan DAP kerana mahu melakukan perubahan terhadap pimpinan kerajaan sekarang,” kata beliau.

Kerjasama PAS dan DAP menjadi kritikan Umno termasuk ketika Perhimpunan Agung Umno minggu lalu.

Abdul Fatah juga berkata isu yang dibangkitkan ini adalah perkara lama dan rakyat sudah mengetahui perkara sebenar kerjasama antara PAS dan DAP.

“Itu cerita lama, buat apa nak bangkitkan perkara lama. Kalau nak bangkitkan juga susahlah.

“Terpulang kepada BN nak buat macam mana pun, ia tidak beri kesan kepada PAS. Rakyat sudah tahu perkara itu, mereka sudah cerdik. Saya percaya mereka tidak akan tertipu dengan taktik BN ini,” katanya.

Kerusi Galas kosong berikutan kematian penyandangnya dari PAS, Che Hashim Sulaima, 46, pada 27 September lepas akibat barah. Pengundian diadakan 4 November ini.

Pilihan raya kecil kerusi DUN Galas menyaksikan pertarungan satu lawan satu yang mana BN meletakkan Setiausaha Umno Gua Musang Abdul Aziz Yusoff manakala PAS pula menurunkan pemangku Yang Dipertua PAS Gua Musang Dr Zulkefli Mohamad.

Tambah Abdul Fatah, PAS dan BN sepatutnya berperang dengan menggunakan isu, bukan menggunakan agama sebagai alat untuk menjatuhkan lawan.

“Kalau sebelum ini BN kata PAS ketandusan isu tapi sekarang nampaknya lain pula ceritanya.

“Jadi mari kita lawan siapa yang mempunyai lebih banyak isu, tengok siapa yang menang,” katanya.

Ulasan GB

Cukup tak senonoh kempen UMNO sekarang ini. Persis sudah nazak, sanggup lakukan apa saja untuk dapatkan undi. Dijajakan isu kerjasama PAS-DAP yang kononnya DAP itu kafir harbi. Jika demkian MCA pula kafir apa?



Dan apa pula dengan Presiden UMNO sendiri?




[Video] Telefon Bimbit Sudah Ada Pada 1928?

Misteri imej wanita guna telefon bimbit pada 1928

IMEJ dalam filem The Circus tahun 1928 menunjukkan seorang wanita (dalam bulatan) seolah-olah sedang bercakap dengan menggunakan telefon bimbit.

LONDON - Imej seorang wanita misteri dalam filem The Circus lakonan pelawak terkenal, mendiang Charlie Chaplin pada tahun 1928 mencetuskan misteri apabila dia dilihat berbual dengan menggunakan sebuah telefon bimbit bersaiz kecil di telinganya, lapor sebuah akhbar semalam.

Mungkinkah dia seorang yang genius yang sedang menguji teknologi baru secara rahsia sehingga dia tidak menyangka gelagatnya yang sedang berbual seorang diri dengan tangannya seperti memegang satu alat seperti telefon bimbit telah dirakamkan oleh kamera filem berkenaan.

Dalam imej itu, tiada sesiapa pun yang berada berhampiran dengannya melainkan seorang lelaki berpakaian sut yang berjalan di depannya.

Lebih menghairankan, lenggok tubuhnya ketika bercakap seorang diri kelihatan sama dengan gaya orang yang berbual menggunakan telefon bimbit.

Penemuan itu dikesan oleh pemilik koleksi filem lama, George Clark.

Sejak penemuan itu, dia menunjukkan filem tersebut kepada lebih 100 orang namun tiada siapa yang dapat memberikannya penerangan yang meyakinkan berhubung gelagat wanita berkenaan.

Ada yang berpendapat wanita itu mendengar sebuah radio kecil.

Individu lain berpendapat wanita itu menunjukkan tanda-tanda menghidap penyakit schizophrenia.

"Satu-satunya teori saya ialah wanita tersebut merupakan seorang pengembara masa yang menggunakan telefon bimbit," kata Clark yang turut meletakkan klip video tersebut di laman perkongsian video, YouTube.

Dalam laman YouTube itu, terdapat adegan gerak perlahan yang menunjukkan wanita itu seperti sedang bercakap menggunakan telefon bimbit semasa dia berjalan dan berhenti pada satu ketika. - Agensi/kosmo



Ariel Mahu Bertaubat, Lihat Gambar Terhangatnya, PANAS!

FPI dakwa Ariel mahu bertaubat

Hilman kunjungi pusat tahanan artis Peterpan

BANDUNG: Ketua Dewan Syura Barisan Pembebasan Islam (FPI), Hilman Firdaus mengunjungi Pusat Tahanan Kebonwaru di sini untuk mendapat pengesahan berhubung niat Ariel Peterpan yang dikatakan mahu bertaubat.

“Semalam (Selasa) kami dikunjungi wakil yang mengaku dari Peterpan, menerusi pengurus kumpulan itu, Budi, yang meminta FPI membantu Ariel bertaubat dan kembali ke jalan benar,” kata Hilman kepada media di sini semalam.

Hilman datang bersendirian, tiba di pusat itu jam 9.35 pagi waktu tempatan.

Katanya, pihaknya akan meminta kebenaran kenyataan wakil kumpulan Peterpan bahawa Ariel ingin bertaubat.

“Saya tidak boleh percaya sehingga saya mengunjungi Ariel. Saya ingin mendapatkan pengesahan langsung daripadanya, supaya tidak bercelaru kerana ia masalah mahu bertaubat,” kata Hilman.

Katanya, jika Ariel memang benar mahu bertaubat, FPI Bandung akan mengawasi perbicaraan dan pembebasan Ariel selepas itu dan mengembalikan nama baik kumpulannya.

“Jika memang dia bersedia bertaubat, kita akan berikan motivasi dan sokongan supaya kumpulannya dapat diterima di Bandung,” katanya.

Hilman datang ke Kebonwaru membawa al-Quran, yang akan diserahkan terus kepada Ariel.

“Saya akan minta Ariel bertaubat dengan bersungguh-sungguh,” katanya.

Ketua pusat tahanan itu, Suharman mengakui, setiap orang yang mengunjungi Ariel dilayan dengan baik, supaya ia tidak mengganggu penghuni lain. – Agensi

Gambar PANAS Ariel dan Luna:

Gambar Terhangat Ariel-Luna! Klik SINI

Isu Kelab Malam & SPA: Jangan Sampai Kita Turut Menerima Bala

Indonesia bergelut dua bencana

282 mati kejadian tsunami dan gempa bumi; 28 maut gunung berapi

JAKARTA: Indonesia bertungkus-lumus menangani tiga bencana alam sekali gus semalam dengan usaha membantu mangsa terselamat dan mencari mayat mangsa tsunami di kepulauan Mentawai dan mereka yang tertimbus dalam debu muntahan lahar Gunung Merapi di Jawa Tengah.

Kelmarin, Gunung Merapi di Jawa Tengah meletus dan memuntahkan lahar dan debu beracun, menyebabkan sekurang-kurangnya 28 orang terbunuh.

Pesawat dan helikopter yang membawa pekerja penyelamat dan bekalan bantuan mendarat buat kali pertama semalam di kawasan terpencil di kepulauan Mentawai yang dilanda gelombang besar setinggi hingga tiga meter, menghanyutkan kampung, menyebabkan sekurang-kurangnya 282 orang terbunuh dan 411 lagi masih hilang.

Pasukan menyelamat yang menjalankan kerja mencari melihat kawasan luas yang ditenggelami air, manakala rumah roboh dilanda gelombang besar.

Dua hari selepas gempa bumi dengan kekuatan 7.7 mencetuskan gelombang tsunami, angka kematian semakin meningkat ketika penyelamat yang berdepan pelbagai kesukaran, akhirnya berjaya tiba di kepulauan Mentawai yang paling hampir dengan pusat gempa dan paling teruk terjejas.

Presiden Susilo Bambang Yudhoyono memendekkan lawatan beliau ke Vietnam dan kembali ke tanah air bagi menangani bencana besar yang melanda dalam tempoh 24 jam.

“Saya mahu memastikan usaha menghulurkan bantuan kecemasan dapat dijalankan dengan lancar. Saya mahu melihat sendiri keadaan mangsa,” kata Susilo kepada wartawan di Hanoi.

Semalam, pegawai pengurusan bencana, Ade Edward berkata angka kematian gempa bumi dan tsunami dianggarkan 282 orang manakala 412 orang masing hilang.

Beliau berkata penyelamat yang tiba semalam menerima maklumat terbaru angka kematian daripada ketua kampung.

Gempa bumi dan letusan gunung berapi berlaku di kawasan yang berada pada kedudukan dikenali Lingkaran Api Pasifik yang kerap terbabit dengan gempa bumi dan letusan gunung berapi menganjur dari Hemisfera Barat melalui Jepun dan Asia Tenggara.

Ombak besar dan cuaca buruk menjejaskan operasi bantuan menyebabkan penduduk terpaksa melindungi diri sendiri.

Ketua daerah, Edison Salelo Baja berkata, tanpa tenaga yang cukup untuk menggali kubur, banyak mayat kini terbiar dan bergelimpangan di pantai serta di tepi jalan raya.

Beliau berkata pesawat kargo pertama dengan muatan 16 tan khemah, ubat, makanan dan pakaian tiba tengah hari semalam. Empat helikopter juga mendarat di Sikakap, sebuah bandar di pulau Pagai yang dijadikan pusat operasi bantuan.

“Akhirnya cuaca buruk berakhir. Kini kami berpeluang mencari mangsa terselamat dari pesawat dan dapat membaut anggaran kerosakan akibat bencana alam ini,” katanya.

Sementara itu, pegawai bencana meneruskan usaha untuk tiba di berpuluh kampung di kepulauan Mentawai, sebuah destinasi pelancongan popular yang memerlukan 12 jam perjalanan menggunakan bot.

Bagaimanapun, ketua pusat krisis Kementerian Kesihatan Mujiharto berkata, beratus-ratus beg mayat sudah dihantar ke kawasan itu berikutan lebih banyak mayat dijangka ditemui. -BH


ETP: Lebih banyak kelab malam, spa akan dibina

Pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mahu menjadikan Malaysia sebuah hab pusat hiburan malam bagi memacu industri pelancongan mengikut Program Transformasi Ekonomi (ETP).

Ini akan dilaksanakan dengan penubuhan beberapa kelab malam terkemuka, menganjurkan konsert utama, melonggarkan garis panduan untuk penghibur antarabangsa dan “mempakejkan” semula acara antarabangsa seperti Formula 1 dan MotoGP.

Menurut perancangan ETP yang dikeluarkan semalam, ia adalah sebahagian daripada 12 projek permulaan (EPP) yang bertujuan memperkasakan sektor pelancongan agar ketibaan pelancong dapat dipertingkatkan.

Langkah itu dijangka mendapat bantahan golongan konservatif agama yang sebelum ini telah berulang-kali berdemonstrasi membantah kehadiran penghibur antarabangsa. Sasaran terbaru mereka adalah bintang sensasi Amerika - Adam Lambert yang seorang 'gay'.

Satu daripada 12 EPP itu adalah melonggarkan syarat ketat bagi penganjuran konsert dan majlis antarabangsa, yang sekarang ini dikatakan banyak menghindarkan penghibur antarabnagsa ke negara ini.

Mulai suku terakhir 2010, acara antarabangsa yang menampilkan penghibur antarabangsa yang memenuhi tiga kriteria minimum dikecualikan daripada tertakluk kepada syarat-syarat ketat Agensi Pusat Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (Puspal).

Kriteria berkenaan adalah:
*Penarafan kelas A berasaskan pada kedudukan 100 teratas carta Billboard sejak lima tahun yang lalu;
*Menarik 2,500 penonton bagi setiap acara; dan
*Telah membuat pertunjukan di tiga tempat antarabangsa.

Selain mematuhi syarat Puspal, mereka bakal tertakluk kepada “garis panduan yang lebih fleksibel”, pelepasan cukai, perlonggaran daripada imigresen untuk menjadikan Malaysia hub majlis acara antarabangsa.

Untuk meminda garis panduan Puspal, seperti yang dicadangkan, jawatankuasa Puspal akan bekerjasama dengan agensi-agensi lain yang terlibat (majlis tempatan, Jabatan Imigresen, dan Kementerian Kewangan). Kementerian Pelancongan akan memantau dan menjejak proses pelaksanaan.

Jumlah pelaburan yang diperlukan adalah RM467 juta dan akan dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan. Kerajaan menjangkakan ia akan memberi pendapatan negara kasar sebanyak RM427 juta dan mewujudkan sebanyak 8,000 peluang pekerjaan

Lebih mengejutkan lagi EPP juga mencadangkan penubuhan zon hiburan di Greater Kuala Lumpur/Lembah Klang, Genting Highlands, Pulau Pinang, Langkawi dan Kota Kinabalu bagi menggandakan pendapatan hiburan malam Malaysia kepada RM1.8 bilion menjelang 2020.

Langkah itu akan menyaksikan penubuhan enam kelab malam baru yang mampu menampung kehadiran 900 pengunjung pada hujung minggu menjelang awal 2012. Dua lagi akan beroperasi pada 2013 dan 2014.

"Menjelang 2014, akan terdapat sekurang-kurang 10 kelab malam di zon hiburan. Ini akan menghasilkan impak pendapatan kasar negara RM0.7 bilion dan mewujudknan 5,614 pekerjaan baru menjelang 2020," petik laporan itu.

Bagi mencapai hasrat itu, liberalisasi beberapa peraturan hiburan akan dilaksanakan, termasuk membenarkan pelanjutan had waktu beroperasi bagi pusat hiburan

Kawasan hiburan yang sedia ada dikatakan tidak memadai untuk mencapai pertumbuhan yang diharapkan memandangkan purata kadar penghunian hujung minggu bagi kelab malam di bandar adalah sebanyak 85 hingga 90 peratus.

Menerusi kerjasama dengan Greater KL/KV NKEA, dipersetujui bahawa lokasi berpotensi bagi kawasan hiburan baharu ialah kawasan di sekitar Central Market.

Kawasan ini akan direkabentuk untuk menarik pelancong dengan kemudahan 24 jam, keselamatan awam yang mencukupi, pengangkutan dan infrastruktur, tetapi ia akan kekal terpisah dari kawasan kediaman dan keagamaan. -mk

Pasar Malam & Pasar Minggu Seluruh Negara Bakal Dihapuskan

ETP: Tiada lagi pasar malam, Bazaar Makan ganti gerai

Pasar malam, pasar tani, pasar minggu dan pasar tamu akan menjadi nostalgia apabila ia bakal digantikan dengan Pasar Komuniti, mengikut bidang ekonomi utama negara (NKEA) melalui Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang dilancarkan Isnin lalu.

Tujuan rancangan kerajaan itu adalah menyelaraskan beberapa pasar berkenaan dan menyatukan mereka di lokasi-lokasi yang mempunyai persekitaran yang kondusif.

“Pada masa ini, pasar-pasar tersebut menghadapi cabaran prasarana.

“Mereka beroperasi di beberapa lokasi sementara (contohnya, padang permainan,tempat letak kereta, di tepi jalan raya) yang sering menyumbang kepada kesesakan dan keadaan kotor,” petik laporan ETP itu.

Projek ini dijangka menyaksikan peniaga terpaksa berbelanja lebih kerana pasar tradisional mereka sekarang ini adalah murah - mereka boleh menyewa satu lot untuk kurang RM10 sehari.

Bagi menyusun semula peniaga berkenaan, projek ini memerlukan dana swasta dan pelaburan RM15.5 bilion bagi membantu memperuntukan pinjaman pada kadar faedah yang lebih rendah, menyediakan pembiayaan atau rundingan bagi mendapatkan kadar bayaran lesen kenderaan dan lesen gerai jualan yang lebih rendah kepada peniagaan.

Inisiatif Pasar Komuniti yang dicadangkan itu dikatakan akan menghasilkan pendapatan tambahan sebanyak RM8.8 bilion pendapatan negara kasar setahun dan mewujudkan 141,000 pekerjaan menjelang 2020.

Projek yang sama juga akan menyaksikan penjaja yang menjual makanan di gerai-gerai jalanan ditempatkan di pusat makan sehenti yang dinamakan Bazaar Makan di mana pengunjung boleh mencuba dan menikmati masakan Malaysia dan antarabangsa yang terbaik

Pusat makan besar premium itu turut akan mempunyai kedai makanan ternama seperti restoran keluarga, restoran perkhidmatan segera, kafe, bar dan restoran mewah.

Pusat makanan ini juga akan menyediakan daya tarikan seperti taman pancaindera, permainan dan gelanggang acara dan taman permainan, dan kedai runcit kecil seperti kedai serbaneka dan surat khabar.

Setiap Bazaar Makan yang didirikan akan bersaiz lebih kurang 9,000 meter persegi, dengan kapasiti tempat duduk sekitar 3,500 orang.

Sejumlah 10 Bazaar Makan akan dibina dalam tempoh 10 tahun akan datang di bandar-bandar utama di Malaysia dan usahasama ini akan diuruskan secara persendirian dan oleh Wesria Food Sdn Bhd.

Projek ini melibatkan pelaburan dan pembiayaan sebanyak RM270 juta, di mana hampir 90 peratus daripadanya dicadangkan dari sektor swasta.

Kerajaan berharap Bazaar makan ini mampu akan menghasilkan pendapatan tambahan sebanyak RM230 juta pendatan dalam negara kasar setahun dan mewujudkan 4,200 pekerjaan baru menjelang 2020.


Ulasan GB

Apakah ini hasilnya daripada Najib yang dikatakan kera turun padang?

Apakah tindakan turun padang selama ini adalah menyediakan rancangan untuk "membunuh" peniaga-peniaga kecil tersebut dengan satu proogram yang hanya mampu disertai oleh golongan kelas menengah dan elit di dalam Pasar Komuniti yang dirancangkan di dalam Program Transformasi Ekonominya?

Sungguh pelik. Rupa-rupanya tindakan beliau yang turun padang hanya untuk menayangkan mukanya kepada rakyat, supaya dikenali bahawa aku PM berjiwa rakyat sedangkan tidak ada lansung di hatinya untuk membantu, malah kini akan menghapus semua perniagaan pasar-pasar malam dan seumpamanya.

Memang kita lihat beberapa tindakan Najib selepas menjawat jawatan PM begitu menampakkan bahawa beliau banyak mengenepikan kumpulan peniaga-peniaga kecil apabila sebuah kementerian iaitu Kementerian Keusahawanan yang selama ini menjadi payung kepada MARA telah dihapuskan.

Malah tindakan-tindakannya sebelum ini menghapuskan kuota 30% bumiputera kepada syarikat tersenarai dilihat sebagai satu tindakan ganjil di atas nama pengamalan dasar terbuka untuk mendapat undi masyarakat bukan-Melayu kepada BN yang hampir terhumban keluar dari Putrajaya semasa PRU 2008.