31 Jul 2010

DAP Bertindak Pantas Pecat Ahli Majlis MPK

Dakwaan rasuah: DAP pecat ahli majlis MPK

DAP hari ini memecat ahli Majis Perbandaran Klang (MPK) Tee Boon Hock ekoran dakwaan amalan rasuah memperoleh kontrak RM1 juta daripada pihak berkuasa tempatan itu dengan menggunakan surat sokongan Exco Kerajaan Negeri.

Tee sebelum ini diminta mengambil cuti oleh Pengerusi Jawatankuasa Disiplin Tan Kok Wai selepas kes itu dilaporkan oleh akhbar awal minggu ini.

Pada sidang media di sini petang ini, Tan berkata parti mendapati ada asas yang kukuh terhadap dakwaan ke atas Tee (gambar).

“Sementara nilai kontrak belum ditentukan, kami dimaklumkan oleh jawatankuasa negeri Selangor bahawa salah satu syarikat yang anda berikan surat sokongan dikaitkan dengan anggota keluarga anda dan dilakukan tanpa kelulusan YB Ronnie Liu,” kata parti dalam surat pemecatan kepada Tee.

Tan memberitahu pemberita bahawa jawatankuasa disiplin sebulat bersetuju bahawa wujud elemen konflik kepentingan di mana Tee menyalahgunakan pejabat Liu, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Penyelidikan dan Kajian Selangor bagi kepentingan diri.

Beliau menambah perbuatan Tee boleh dianggap sebagai satu kesalahan jenayah dan telah menjejaskan imej parti.

Jawatankuasa disiplin juga telah mengarahkan Liu supaya membuat aduan polis.

Tan berkata DAP akan meminta agar Tee disingkirkan sebagai ahli majlis MPK dengan segera.

Jawatankuasa disiplin juga akan mengadakan sesi pendengaran kedua untuk menentukan dakwaan bahawa Liu telah mengarahkan salah satu surat sokongan dikeluarkan.

Kelmarin, Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, Tee telah diarahkan bercuti sementara siasatan dilakukan ke atas dakwaan yang mengaitkan beliau dengan penyalahgunaan kepala surat dan cap rasmi Liu bagi mengeluarkan surat sokongan untuk kontrak MPK.

Tee bercuti bermula semalam sehingga satu tempoh yang akan diberitahu kelak.

“Tee sendiri telah maklum dengan perkara ini dan beliau bersetuju dengan rela hati untuk bercuti buat sementara waktu,” kata Khalid.

Kerajaan negeri telah mengarahkan Jabatan Audit Negeri menyiasat dakwaan seorang ahli majlis MPK telah menyalahgunakan kepala surat dan cap rasmi Liu bagi mengeluarkan surat sokongan untuk kroni dan anggota keluarganya untuk mendapatkan kontrak MPK.

Tee, ahli majlis penggal ketiga itu telah menafikan dakwaan itu sambil meminta MPK membentuk pasukan petugas khas untuk menentukan kebenaran.

Liu juga menafikan kepala surat beliau telah disalahgunakan.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini, DAP juga mengecam tindakan pengeluaran surat sokongan bagi tujuan perniagaan oleh wakil rakyat Pakatan Rakyat (PR) dan pegawai-pegawai mereka yang tidak dipilih.

“Kesemua pegawai PR termasuk agensi-agensi negeri harus mengetepikan surat sokongan perniagaan yang dikeluarkan bagi memastikan kesemua urusan komersial mengikut aturan dan juga bagi mengelakkan persepsi negatif rakyat tentang wujudnya salah guna kuasa atau pilih kasih,” kata DAP. -TMI

Jabatan Perdana Menteri Boroskan Wang Rakyat

Penjimatan kira-kira RM750 juta ekoran pemotongan subsidi untuk petrol, gas, diesel dan gula terlalu kecil berbanding RM12 bilion yang dibelanjakan oleh Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Perbelanjaan yang begitu besar dalam tempuh setahun sahaja oleh pentadbiran Najib Tun Razak untuk membiayai seramai 43,554 kakitangannya hanya membazirkan wang rakyat.

Penemuan ini sungguh menakjubkan dan sukar dipercayai! Gembar gembur bahawa subsidi yang besar membebankan ekonomi adalah karut belaka.

Menurut "The Nut Graph", kajian oleh Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) mendedahkan Malaysia mempunyai nisbah kakitangan awam dengan jumlah penduduk tertinggi di Asia Pasifik.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua berkata nisbah kakitangan awam ini sangat ketara kerana Malaysia mempunyai 4.68%, berbanding Indonesia 1.79%, Korea Selatan 1.85% dan Thailand 2.06%.

"Kesemua negara-negara tersebut mempunyai kurang dari separuh dari nisbah negara kita," kata beliau yang juga ketua ekonomis dan setiausaha publisiti DAP kebangsaan.

Minggu sudah, Ahli Parlimen Bukit Bendera Liew Chin Tong mendedahkan dalam blognya bahawa peruntukan untuk JPM berjumlah RM12 bilion dan bukan RM4 bilion sepertimana yang dianggap oleh orang ramai.

"Ini merupakan satu jumlah wang besar! Seperti majoriti rakyat Malaysia, saya hairan kenapa Jabatan itu tidak berusaha untuk berjimat cermat sepertimana kita semua disuruh berjimat cermat ekoran pemotongan subsidi dan bahaya Malaysia menghadapi kebangkrapan menjelang tahun 2019," katanya.

Berdasarkan blog Liew, saya merumuskan beberapa fakta yang menakjubkan:

Pada tahun 1981, ketika dibawah pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad, JPM mempunyai kakitangan seramai 4,414 orang

Pada 2001 (20 tahun kemudian), ketika dibawah pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad, JPM mempunyai kakitangan seramai 9,673 orang (peningkatan sebanyak 119.1%)

Pada 2003, ketika dibawah pentadbiran Tun Abdullah Ahmad Badawi, JPM mempunyai kakitangan seramai 21,045 orang (peningkatan sebanyak 117.6% dalam masa dua tahun)

Pada tahun 2009, ketika dibawah pentadbiran Tun Abdullah Ahmad Badawi, JPM mempunyai kakitangan seramai 25,332 orang (peningkatan sebanyak 20.4% dalam enam tahun)

Pada 2010, ketika dibawah pentadbiran Najib Tun Razak, JPM mempunyai kakitangan seramai 43,544 orang (peningkatan sebanyak 71.9% dalam tempuh setahun)

Bajet Rumah Puteh

Selepas membuat perkiraan ini, saya membandingkan bajet PM kita dengan Presiden Amerika Syarikat, PM Singapura dan Permaisuri Elizabeth, England. Saya terpegun dengan maklumat yang sedia ditemui dalam internet.

Permohonan bajet Rumah Puteh untuk 2011 berjumlah AS$394 juta (RM1.3 bilion) dan tidak termasuk program berbanding bajet untuk JPM berjumlah AS$1.25 bilion (RM4 bilion).

Pada 2010, staf Rumah Puteh adalah seramai 1,888 orang – sangat jauh kurang jumlahnya berbanding 43,554 orang dalam JPM. Dalam bahasa mudah, Rumah Puteh hanya 4.3% dari jumlah kakitangan JPM. Menakjubkan.

Saya tidak begitu pandai dalam mathematik dan statistik tapi angka-angka ini menunjukkan kosnya adalah tiga kali ganda untuk mentadbir JPM berbanding keseluruhan Pejabat Eksekutif Presiden Amerika Syarikat.

Sesuatu yang tidak kena di sini. Mari kita lihat Singapura. Sejumlah S$290.4 juta (RM681.2 juta) diperuntukan untuk Pejabat Perdana Menteri dalam tahun 2010 untuk mencapai misi ini.

Menurut Wikipedia, Singapura mampu berbelanja sejumlah ini memandangkan jumlah penduduknya ialah 5.1 juta atau 3.2 juta jika ditolak rakyat asing dan mempunyai pendapatan per kapita lebih AS$37,293 (RM118,964). Berbanding Malaysia yang mempunyai penduduk seramai 27 juta dan pendapatan per kapita AS$6,897 (RM22,000)dan Amerika Syarikat AS$46,381 (RM147,955).

Ini bermakna pendapatan per kapita Singapura 5.4 kali ganda lebih tinggi dari Malaysia walaupun Malaysia mempunyai penduduk lima kali ganda dari Singapura.

Secara perbandingan, kita boleh memahami jika bajet JPM melebihi dari Singapura berdasarkan saiz penduduk dan kawasan. Tetapi bagaimana dengan peruntukan bajet kita melebihi dari Pejabat Presiden Amerika Syarikat? -FMT

Kehilangan 81% FDI: Mustapa Cuba Membodohkan Rakyat

Malaysia di bawah pentadbiran Umno-Barisan Nasional diramalkan bakal terperangkap dalam kawah ekonomi yang paling dalam disebabkan pelaburan langsung luar negara (FDI) yang menjunam kepada paras terendah di kalangan negara Asia Tenggara.

Ini ditambah pula dengan sikap Menteri Perdagangan Antarabangsa Dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed yang dianggap bodoh kerana memberi alasan tolol berhubung kejatuhan teruk FDI.

Mustapa memberi kenyataaan tidak masuk akal apabila berkata kejatuhan FDI sebanyak 81 peratus adalah kerana kerajaan memilih pelaburan asing yang berkualiti sahaja.

Ahli Parlimen Indera Mahkota, Azan Ismail yang membidas sikap Mustapa berkata negara sebenarnya berada dalam kedudukan yang paling membimbangkan apabila Laporan Pelaburan Dunia 2010 oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu menyatakan Malaysia kehilangan 81 peratus FDI pada tahun lepas.

"Mustapa memperbodohkan dirinya sendiri apabila takut memberikan fakta sebenar negara yang akan mengakibatkan terkubur Umno-Barisan Nasional dalam pilihan raya umum ke-13 nanti.

"Kerajaan Umno-BN cuba menyelewengkan fakta tetapi malangnya 30 peratus rakyat Malaysia sudah mengetahui apa itu FDI. 30 tahun yang lalu, kita boleh bermegah dan dianggap harimau ekonomi di Asia Tenggara tetapi malangnya Malaysia kini tidak lagi menjadi pilihan pelabur asing," tegas Azan ketika dihubungi Suara Keadilan.

Menurut beliau, Malaysia pada satu masa dahulu menjadi destinasi dan syurga pelaburan asing tetapi semenjak tahun 1999 selepas tragedi pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Perdana Menteri, situasi ekonomi menjadi bertambah buruk apabila buat pertama kalinya negara mencatatkan belanjawan defisit.

"Ini merupakan kesilapan dasar dan polisi yang diamalkan kerajaan Umno-BN semasa itu yang menyebabkan ekonomi Malaysia menjadi parah. Selepas itu, satu demi satu negara menarik keluar pelaburan mereka kerana tidak lagi yakin dengan sistem yang diamalkan oleh parti memerintah semasa itu," jelas beliau lagi.

Apa yang memburukkan keadaan katanya, kenyataan bekas Ketua Polis Negara yang berkata 41 peratus anggota polis terlibat dengan rasuah serta Umno-BN menganugerahkan projek sehingga individu tidak layak sekali pun mampu menjadi kaya-raya dengan merampas hak rakyat.

"Apa yang kita alami sekarang adalah keadaan di mana ekonomi mengalami kejatuhan yang paling teruk yang dipanggil sebagai 'spiral downward'. Malaysia akan mengalami keadaan ekonomi yang paling tenat jika perkara ini berlaku," ujar beliau.

Dalam pada itu, Azan juga menyelar sikap Mustapa yang mengambil mudah isu kejatuhan teruk FDI dan menyifatkan kebodohan menteri itu sebagai kebodohan kelas satu.

"Pada masa beliau cuba menyelamatkan bosnya demi kepentingan politik dan kroninya, beliau sepatutnya tidak perlu berselindung pada hal Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pula ketika ini dikhabarkan akan pergi bercuti akibat tidak mampu berdepan dengan tekanan," Azan.

Sebelum itu, Mustapa dilihat cuba menutup kelemahan kerajaan Umno-BN dengan mempertahankan fenomena aliran masuk FDI yang tidak kondusif di Malaysia berbanding negara Asia Tenggara lain seperti Vietnam, Myanmar dan Filipina. -SK