29 Jul 2010

Kempen Antisaman Ekor Bermula Isnin

PAS lancar Kempen Antisaman Ekor Isnin ini

PAS akan melancarkan Kempen Antisaman Ekor Isnin ini bagi membela pemandu dan pemilik kenderaan yang disenarai hitam oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) kerana mendakwa tindakan pihak berkuasa itu bertentangan dengan perlembagaan negara.

Jawatankuasa kempen itu yang diketuai oleh Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar berharap dalam membantu mereka yang teraniaya kerana sistem saman ekor.

Ketika dihubungi The Malaysian Insider, Mahfuz berkata jawatankuasa itu ditubuhan untuk memastikan halangan pemilik yang disenarai hitam itu boleh diselesaikan mengikut undang-undang yang sah.

“Ini kerana kita melihat tindakan menghalang pemilik kenderaan memperbaharui cukai jalan kerana mempunyai saman ekor amat bertentangan, malah kita akan kemukakan bukti bersama nanti,” katanya.

Beliau berkata kesalahan-kesalahan mengatakan pemilik kenderaan bersalah tidak wajar kerana tiada bukti yang kukuh.

“Tidak semestinya pemilik kenderaan bersalah apabila kenderaannya disaman oleh polis atau JPJ, mungkin orang lain yang menaiki kenderaan tersebut.

“Jadi ia tidak ada bukti jelas dan JPJ juga sebenarnya tidak mempunyai hak untuk menghalang pemilik kenderaan memperbaharui cukai jalan mereka.

“Ingin saya tegaskan bahawa kita tidak sokong pemandu yang memandu tanpa etika, cuma kita mahu JPJ bertindak adil kepada pemilik kenderaan,” katanya.

Difahamkan sejak September 2009, lebih 2.5 juta notis saman dikeluarkan kepada pesalah trafik dan daripada jumlah itu, sebanyak 1.07 juta pesalah trafik telah disenaraihitamkan oleh Polis Diraja Malaysia.

“Kita akan merangka tindakan yang akan diambil ke atas kerajaan Barisan Nasional (BN).

“Saya tidak boleh beritahu sekarang, kena tunggu sidang media minggu depan,” kata Mahfuz. -TMI

Kerajaan Selangor Perlu Rampas SYABAS

Syabas mahu saman Selangor berhubung isu air

Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) sedang dalam proses untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap kerajaan negeri Selangor untuk menuntut pampasan kerana menangguhkan pelarasan tarif air.

Ketua Pegawai Operasinya Datuk Lee Miang Koi berkata, sehingga hujung tahun ini, pampasan yang perlu dibayar kepada Syabas dijangka mencecah RM1 bilion.

“Syabas akan tuntut pampasan, kami sedang menimbang untuk ambil tindakan undang-undang, ikut perjanjian konsesi kami memang berhak ambil tindakan undang-undang,” katanya ketika menjawab satu soalan yang dikemukan pada majlis Wacana Intelek Negara anjuran Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) di Memorial Tunku Abdul Rahman di sini malam tadi.

Beliau berkata Syabas sudah menghantar tuntutan mengenai pampasan itu bagaimanapun sehingga sekarang, masih tiada maklum balas dari pihak kerajaan negeri.

“Tarif air perlu diselaraskan supaya dapat perolehan untuk bayar hutang yang dipinjam bagi meningkatkan mutu perkhidmatan air. Dengan penangguhan pelarasan dan pembekuan program Capex oleh kerajaan negeri, taraf perkhidmatan air akan merosot,” katanya.

Lee berkata Syabas juga terpaksa membayar sebahagian bil untuk dibayar kepada operator loji air walaupun mengikut perjanjian, Syabas harus membayar sama rata.

Menurutnya akibat penstrukturan semula air yang tidak dimuktamadkan, Syabas turut mengalami beberapa masalah dalam operasinya, termasuk sukar mendapat dana dari bank kerana syarikat itu tidak tahu hala tujunya.

“Sejak kerajaan negeri Selangor ambil alih, Syabas menyuarakan beberapa isu dan masalah tetapi tiada maklum balas dari kerajaan negeri sebab mereka kaitkan isu itu dengan penstrukturan semula.

“Mereka nak lihat Syabas tak berjaya dan boleh ambil alih dengan harga yang murah, walaupun terdapat pelbagai kekangan, Syabas masih perlu beri perkhidmatan kepada pengguna,” katanya.

Lee berkata bekalan air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya dijangka akan menghadapi kekurangan menjelang 2012 hingga 2014 dan jika tidak diuruskan dengan baik, besar kemungkinan kekurangan itu akan berlaku lebih awal.

“Sekarang hanya ada rezab 240 juta liter sehari atau 5.9 peratus daripada keperluan harian, selain dari penggunaan purata, ada keperluan puncak seperti perayaan serta musim panas, dan jumlah 5.9 peratus tidak mencukupi untuk menampung ketika waktu puncak.

“Enam bulan lalu, penggunaan air meningkat empat peratus, jika dibandingkan dengan rezab yang ada, dalam masa setahun enam bulan rezab air akan habis dan akan mengalami kekurangan bekalan air,” katanya.

Sementara itu Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kerajaan menggalakkan pemilik kenderaan bernombor pendaftaran asing untuk membeli petrol RON97 yang tidak bersubsidi.

“Lepas ini, mereka datang beli RON97 lagi banyak lagi negara untung kerana (minyak ini) tiada subsidi,” katanya. — Bernama

Ulasan GB

Kerajaan Negeri Selangor perlu tegas. SYBAS perlu dirampas dan distrukturkan semula. Tidak boleh dibiarkan pegawai-pegawai SYABAS bertindak lebih sudu dari kuah.

Rakyat di belakang kerajaan negeri di dalam isu air. Pegawai SYABAS yang degil, keras kepala, ego dan berkepentingan perlu digugurkan dan diambil tindakan undang-undang agar mereka dapat disumbat ke dalam penjara.

Mana-mana anak syarikat yang enggan untuk bekerjasama dengan kerajaan negeri tidak sepatutnya dibiarkan menjadi trojan kepada UMNO BN untuk menghancur PR.

Dewan Undangan Negeri perlu membahaskan isu SYABAS dengan lebih berkesan agar rakyat Selangor seluruhnya memperolehi menafaatnya.

Hubungan Romantik Saiful-Farah Perlu Disiasat

Hubungan Romantik, Siasatan Perlu Bagi Elak Perbicaraan Cacat

Pengesahan hubungan romantik antara Timbalan Pendakwa raya, Farah Azlina Latif dengan Saiful Bukhari Azlan, kedua-duanya terlibat dalam perbicaraan kes terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim, perlu disiasat kerana ia memberi implikasi terhadap kes berkenaan.

Peguam, R Sivarasa berkata kegagalan Pejabat Peguam Negara berbuat demikian hanya akan menjadikan perbicaraan kes yang sedia kala dipandang ramai sebagai konspirasi politik, menjadi sebuah perbicaraan yang cacat.

Bercakap kepada TV Selangor, beliau berkata, kecacatan perjalanan perbicaraan kes mudah berlaku dan memberi kelebihan kepada Saiful yang dijangka mudah memanipulasi maklumat yang dimiliki pasukan pendakwa raya.

Hubungan Farah Azlina dengan Saiful Bukhari yang juga saksi utama kes berkenaan didedah sebuah portal berita, sebelum disahkan sendiri Peguam Negara, Tan Sri Gani Patail tidak lama kemudian.

Sebelum membuat pengesahan kepada media, Gani dilihat terlebih dulu menyediakan alasan bagi mengelak proses pendakwaan terjejas dengan menggugurkan Farah Azlina.

“Implikasinya adalah setakat mana hubungan ini telah membenarkan saksi ini yang juga pengadu memiliki akses kepada maklumat sulit daripada saksi lain, maklumat dalam kertas siasatan.

"Itu menjadi persoalan dan memberi implikasi serius. Ia mungkin mempengaruhi keterangan saksi dalam kes ini. Kalau benar, ini adalah perbicaraan yang cacat dan harus dibatal.

“Gani Patail sendiri mengesahkan Farah Azlina ada hubungan romantik dengan Saiful. Ada dakwaan mengatakan dia memutuskan pertunangannya. Ini menunjukkan hubungan dengan Saiful adalah serius,” katanya.

Sivarasa juga berpendapat alasan kononnya Farah Azlina cuma berperanan sebagai pencatat nota perbicaraan, adalah dangkal kerana sebagai sebuah pasukan, mereka tentunya berkongsi pelbagai maklumat.

“Itu tidak boleh diterima sebab adalah luar biasa mereka yang bekerja sebagai satu pasukan dan kita mudah mengatakan bahawa Farah Azlina tidak ada akses kepada dokumen sekali gus perbicaraan tidak terjejas,” katanya.

Sivarasa yang juga Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyifatkan pengguguran Farah Azlina, tidak mencukupi kerana proses perbicaraan kes berkenaan, sudahpun bermula.

Beliau menegaskan, siasatan menyeluruh mengenai sejauh mana urusan peribadi itu mempengaruhi dan memberi kelebihan kepada Saiful Bukhari, perlu dibuat.

“Apa yang penting sekarang adalah siasatan tapi saya nampak sekarang dalam kenyataan Gani Patail tiada tanda wujud siasatan ini. Nampaknya, pihak pembelaan kena bawa perkara ini ke mahkamah,” katanya. -TVS

ESQ Sesat Kerana Guna A-Quran Tanpa Hadith

Kursus ESQ guna Al Quran sebagai panduan – Dr Ary

Pengasas ESQ Leadership Sdn Bhd Dr Ary Ginanjar Agustian hari ini menegaskan kursus ESQ tidak bertentangan dengan ajaran Islam kerana ia menggunakan Al-Quran sebagai panduan dan rujukan.

Menurutnya, pertikaian menyatakan kursus ESQ bertentangan akidah Islam adalah tidak tepat dan hanya andaian untuk menyekat penyampaian motivasi melalui suara hati yang sentiasa mengikuti ajaran Islam.

"Saya ingin menyatakan kepada umum bahawa kursus ini adalah berlandaskan agama Islam kerana rujukan sepenuhnya adalah menggunakan Al-Quran.

"Saya beragama Islam, justeru itu perkara pertama yang saya lakukan adalah mementingkan akidah dan syariat Islam untuk membantu menyampaikan ajaran" katanya dalam satu sidang media di Ampang hari ini.

Beliau berkata, kursus ESQ ini juga tidak mencampurkan agama-agama lain dan kehidupan harian tetapi mengajar peserta untuk memahami ajaran Islam di dalam jiwa.

Harap bertemu Mufti Wilayah

Sementara itu Ketua Panel Syariah ESQ Datuk Mustafa Abdul Rahman yang turut hadir berkata, pihak ESQ masih menunggu untuk mengadakan pertemuan rasmi dengan Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Wan Zahidi bagi menjelaskan cara keseluruhan kursus tersebut dijalankan.

"Panel syariah ESQ berharap dapat bersemuka dengan Datuk Wan Zahidi untuk mendengar perjelasan mengenai 10 dakwaan yang menjadi pertikaian.

"ESQ berharap media tidak menyalah laporkan lagi mengenai dakwaan pihak ESQ akan menentang fatwa kerana ia akan menyebabkan pertemuan yang dirancang terbatas," jelasnya.

Mustafa berkata, perbincangan dengan Mufti Wilayah itu nanti akan dapat menjernihkan kembali tanggapan umum terhadap kursus ini.

"ESQ masih menunggu keputusan dari Mufti Wilayah dan berharap beliau akan segera memberi maklum balas terhadap permintaan kami," katanya.

Pengurus Besar ESQ Marhaini Yusoff menyatakan, kursus ESQ ini terus mendapat respon menggalakkan walaupun isi modulnya dipertikaikan.

"Peserta yang telah mengikut kursus ini akan memahami apa yang ingin disampaikan untuk dijadikan panduan.

"Saya berharap orang ramai tidak lagi menyalah tafsirkan kursus ESQ ini kerana kami telah memberi penjelasan bahawa kursus ini tidak melanggar sebarang syariat Islam," katanya.

Ulasan GB

Menilai jawapan yang diberikan oleh Pengasas ESQ Leadership Sdn Bhd Dr Ary Ginanjar Agustian, jelas kepada kita bahawa kursus ESQ menggunakan Al-Quran sebagai panduan dan rujukan TETAPI tidak disentuh samada mereka menggunakan hadith yang juga merupakan rujukan yang tidak boleh dikesampingkan di dalam apa jua bidang kehidupan dan kajian.

Ini ialah kerana hadith diperlukan dalam semua bidang ilmu. Tidak ada ilmu yang tidak memerlukan penjelasannya melalui hadith. Memandangkan al-Qur’an merupakan sumber kepada semua bidang ilmu, dan penerangan kepadanya pula adalah melalui hadith, maka hadith sudah tentu menjadi sumber kepada semua bidang ilmu termasuk ilmu minda, motivasi dan sebagainya.

عن المقدام بن معدي كَرِب # (، عن رسول الله _ " أنه قال: يوشك الرجل متكئا على أريكته يحدث بحديث من حديثي فيقول بيننا وبينكم كتاب الله عز وجل . فما وجدنا فيه من حلال استحللناه . وما وجدنا فيه من حرام استحرمناه، ألا وإن ما حرم رسول الله صلى الله عليه وسلم مثل ما حرم الله. رواه ابن ماجة وصححه الألباني، ج1، ص 6، رقم: 12، سنن ابن ماجة، تحقيق محمد فؤاد عبد الباقي، دار الفكر، بيروت. وأحمد وصححه شعيب الأرناؤوط، ج 4، ص 132، رقم: 17233، مؤسسة قرطبة، قاهرة.

Daripada al-Miqdam bin Ma’di Kariba r.a., bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sudah hampir masanya, ada lelaki yang berehat di atas kerusi empuknya yang bila dibacakan hadith-hadithku, dia akan berkata: “(Sumber rujukan) antara kita ialah Kitabullah (al-Qur’an). Apa sahaja yang kita dapati halal di dalamnya, maka kita akan menghalalkannya, dan apa sahaja yang kita dapati haram di dalamnya, maka kita akan mengharamkannya. (Tidak perlu lagi, kita kembali kepada hadith). Ingatlah, apa sahaja yang diharamkan oleh Rasulullah s.a.w. adalah sama seperti yang diharamkan oleh Allah SWT”. Hadith sohih, riwayat Ibnu Majah.

عن أبي هريرة # (، قال: قال رسول الله _ ": تركت فيكم شيئين، لن تضلوا بعدهما: كتاب الله وسنتي. أخرجه الحاكم في المستدرك وله شاهد وصححهما على شرط الشيخين. انظر علوم الحديث لأبي الليث الخير آبادي، ص 43، ورواه أيضا الإمام مالك بلاغا.

Ertinnya: Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: “Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara. Kamu tidak akan sesat jika berpegang dengan kedua-duanya, iaitu Kitabullah (al-Qur’an) dan sunnahku (al-Hadith).

Justeru itu GB berpendapat fatwa Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Wan Zahidi adalah tepat dan benar bahawa ESQ adalah sesat kerana ia tidak menjadikan hadith sebagai sumber rujukan selain dari Al-Quran.

Ia sama seperti geng yang dipelopori oleh Kasim Ahmad yang telah meninggalkan hadith dan hanya berpegang kepada Al-Quran.

Ia adalah kesesatan yang amat nyata. Dan kita berhak mempersoalkan pendirian mufti-mufti yang membenarkan ajaran ESQ tersebut tersebar di kalangan rakyat yang ternyata mufti-mufti berkenaan tidak teliti di dalam meluluskan kursus tersebut dari tersebar luas untuk menyesatkan umat.

Haramkan ESQ segera sebelum ramai tersesat lantarannya!