27 Jul 2010

Langkah Desperado UMNO BN Sebelum Karam

Langkah benar guru siswazah aktif berpolitik agenda BN hadapi PRU-13?

Penganalisis-penganalisis politik melihat keputusan terbaru kerajaan membenarkan guru — antaranya guru besar dan pengetua — terlibat aktif dalam politik hanya semata-mata untuk mendapatkan semula sokongan golongan tersebut dan juga masyarakat menjelang pilihanraya umum ke-13.

Ini kerana menurut beberapa penganalisis, guru mempunyai pengaruh besar, jadi penglibatan mereka dalam politik boleh digunakan untuk mempengaruhi masyarakat terutamanya ketika pilihan raya umum akan datang.

Pensyarah kanan Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia, Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata, tindakan kerajaan membenarkan guru aktif berpolitik mungkin kerana ingin mendapatkan semula sokongan yang terhakis saban tahun.

“Saya lihat keputusan itu ada kaitan dengan pilihan raya umum kerana apabila guru aktif berpolitik mereka boleh memainkan peranan untuk mempengaruhi masyarakat,” katanya.

“Boleh dikatakan kerajaan (mahu) menggunakan pengaruh guru untuk mendapatkan sokongan daripada masyarakat.

“Ini kerana bagi saya guru mempunyai pengaruh yang besar memandangkan mereka adalah pemimpin dalam sekolah, jadi apabila terlibat dalam politik ia boleh mempengaruhi masyarakat,” kata beliau ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Dengan adanya pengaruh guru ini, jelas beliau, secara tidak langsung generasi muda akan mengikut mendokong sama perjuangan guru.

“Sebelum ini pun guru merupakan pejuang asal cuma pada tahun 1990 golongan ini diketepikan selepas golongan korporat terlibat dalan Umno,” ujar beliau.

Pun begitu katanya, apabila kerajaan membenarkan semula guru terlibat dalam politik saya melihat ia satu perkara yang bagus memandangkan selama ini guru memang mendokong perjuangan kerajaan.

“Apabila guru terlibat dalam politik sama ada menyokong kerajaan ataupun pembangkang kerajaan, masyarakat akan melihat perkara ini dan ia boleh mempengaruhi mereka nanti,” katanya.

Bermula 1 Ogos ini, pegawai pendidikan perkhidmatan siswazah Gred DG41 hingga DG48 akan dibenarkan melibatkan diri dalam politik, demikian diumumkan oleh Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan (gambar) hari ini.

Menurut Mohd Sidek, langkah itu berlandaskan hakikat bahawa guru suatu masa dahulu memain peranan penting dalam memimpin masyarakat dalam senario politik negara.

“Masanya sudah tiba mereka dibenar aktif semula dalam politik,” kata beliau hari ini.

Pensyarah sains politik Universiti Kebangsaan Malaysia Prof Madya Dr Ahmad Nidzamuddin Sulaiman juga berkata, penglibatan guru dalam politik boleh memainkan peranan dalam mempengaruhi masyarakat.

“Pengaruh guru ini besar, jadi bila dibenarkan semula terlibat dalam politik ia boleh mempengarui masyarakat tempatan.

“Apabila kita benarkan guru bercakap di kampung mereka boleh mempengaruhi masyarakat, jadi bagi saya guru mempunyai pengaruh yang amat besar.

“Walaupun saya tidak tahu apa agenda sebenarnya kerajaan membenarkan guru aktif berpolitik semula tapi ia merupakan satu langkah yang bagus,” katanya.

Selain itu, Nidzamuddin berkata kerajaan juga perlu membenarkan kakitangan kerajaan lain untuk sama-sama aktif dalam politik memandangkan mereka juga sebahagian daripada anggota perkhidmatan awam.

“Jadi timbul persoalan, mengapa mesti guru sahaja? Adakah guru lebih layak?

“Perlu ada satu penjelasan akan perkara ini oleh pihak kerajaan,” katanya.

Beliau berkata guru yang ingin terlibat secara aktif perlu mengimbangi soal politik dan juga kerja.

“Secara dekat kita lihat guru ini mempunyai kecenderungan yang berbeza, ada yang sokong kerajaan dan ada pembangkang.

“Jadi adakah guru boleh membezakan soal politik dan kerja? Kita tidak mahu melihat hanya kerana berbeza politik guru berselisih pendapat, bergaduh dan sebagainya,” katanya.

Sementara itu pensyarah kanan Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia, Prof Madya Dr Sivamurugam Pandian berkata, keputusan itu dibuat mungkin disebabkan peredaran masa yang memerlukan penglibatan guru dalam politik.

“Penglibatan guru akan membolehkan peningkatan sosial, malah ia selari dengan peredaran suasana politik sekarang.

“Saya tidak melihat ia ada kaitan dengan pilihan raya umum kerana ia lebih kepada keperluan pemimpin dari kalangan guru.

“Ini barangkali guru boleh memainkan peranan sebagai pemimpin sebuah parti politik sama ada kerajaan ataupun pembangkang,” katanya.

Bagaimanapun beliau menyarankan agar guru yang terlibat dalam politik perlu tahu membezakan antara politik dan juga pekerjaan.

“Ini kerana apabila guru terlibat dalam politik ada positif dan negatif. Yang positifnya guru boleh memainkan peranan besar dalam parti politik.

“Sementara itu, yang negatifnya pula jika guru tidak dapat membezakan antara politik dan kerja ia akan memberikan kesan buruk kepada masyarakat.

“Jadi bila terlibat dalam politik, setiap guru perlu mengimbangi antara soal politik dan kerja. Jangan sesekali mencampurkannya kerana nanti yang akan menerima kesan adalah sekolah dan juga masyarakat,” katanya.

Justeru Sivamurugam mencadangkan agar ada satu badan pemantauan untuk memantau pergerakan guru yang terlibat dalam politik.

“Pengaruh guru ini amat besar dan ia boleh mempengaruhi anak-anak, pelajar, rakan sebaya dan juga sekolah.

“Jadi kalau tidak ada pemantauan bimbang guru akan menjadikan sekolah sebagai tempat berpolitik dan kita tidak mahu kejadian guru bergaduh sesama sendiri hanya kerana mempunyai idealogi politik berbeza,” katanya. -TMI


Gantung tak bertali permit SK dan Roket:
Bukti kerajaan UMNO-BN tak selamat


1. Tindakan drastik Kementerian Dalam Negeri (KDN) menahan permit Suara Keadilan dan Roket dapat difahami sebagai kebimbangan kritikal UMNO-BN menghadapi kebangkitan rakyat yang kian tegar mempersoalkan dasar-dasar kerajaan muktahir ini.

2. Jika UMNO-BN dalam keadaan kuat, stabil dan selamat, maka sudah tentu penahanan, penafian hak dan penggantungan permit dua lidah rasmi Keadilan dan DAP itu tidak dilakukan, sebaliknya ia akan diberi seperti biasa.

3. Ini kerana, tindakan tidak popular itu hanya memburukkan imej UMNO-BN yang menguasai kerajaan dan sekaligus mengesahkan sikap tidak demokratik mereka terhadap kebebasan bersuara dan bermaklumat di negara ini.

4. Mengapa UMNO-BN sanggup merosakkan imejnya, mencalar kepercayaan rakyat jika tidak kerana mereka benar-benar dalam keadaan terdesak untuk mempertahan kuasa yang kian tergugat akibat lambakan maklumat berani, telus dan bersifat reformasi.

5. KAMI yakin, kekangan terhadap media cetak sejak muktahir ini terpaksa dilakukan oleh kerajaan UMNO-BN sebagai langkah mengurangkan fakta tepat kepada rakyat, khususnya yang berkaitan isu-isu politik yang boleh menikam dan menghakis pengaruh UMNO-BN.

6. Sebagai persediaan nekad menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13, dan mempertahankan kuasa yang sedia ada, demi untuk merampas kembali Kedah, Pulau Pinang dan Selangor serta Kelantan yang terlepas ke tangan Pakatan Rakyat, maka sudah tentulah kerajaan UMNO-BN terpaksa bertindak 'membunuh' suara rakyat melalui dua lidah rasmi ini, kerana ia menjadi perhatian rakyat.

7. Mustahil jika Suara Keadilan dan Roket tidak berbisa, permitnya ditahan. Ini tidak bermakna kelulusan permit lidah rasmi PAS, Harakah menjadi petunjuk keadilan dan sikap profesional KDN. Sebaliknya amaran keras, larangan dijual di premis awam serta arahan dibesarkan perkataan "Hanya Untuk Ahli Sahaja" pada maskhead akhbar itu jelas kekangan melampau yang tidak wajar wujud dalam Akta Mesin Cetak dan Penerbitan.

8. KAMI terus mendesak agar KDN menghormati hak kebebasan bersuara, sistem demokrasi berparlimen dan menghormati kebijakan bermaklumat dengan mengembalikan semula kedua-dua permit Suara Keadilan dan Roket kepada parti-parti berkenaan, sebagai lidah rasmi dan menarik semula amaran keras yang tidak munasabah yang dikenakan ke atas Harakah.

9. Sebagai lidah rasmi parti, dan bukannya akhbar komersial adalah amat tidak wajar sama sekali KDN menafikan hak-hak warga negara ini dalam menegaskan suara mereka. Tindakan tidak memberikan permit bermakna kerajaan 'menggam' mulut rakyat, memaku minda dan mengganyang rakyat dengan dipaksa menerima maklumat sebelah pihak.

10. Berbanding penguasaan UMNO-BN terhadap media tradisi seperti RTM, TV3, NTV7, NTV9, Utusan Malaysia, Berita Harian, The Star, News Strais Times, beberapa akhbar berbahasa Cina dan India; kekangan KDN terhadap Suara Keadilan, Roket dan Harakah boleh digambarkan sebagai tindakan tegar dari emosi takut, bimbang dan risau kerajaan UMNO-BN hilangnya segenggam kuasa yang membuktikan kekayaan kepada pemimpin dan kroni, yang memayahkan rakyat dan yang memayungi kezaliman.

*Kenyataan oleh Tarmizi Mohd Jam selaku Setiausaha Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI).

Untuk Selamatkan Kekayaan Dan Kuasa Najib-Rosmah Wajib Lakukan 3 Perkara Ini

3 perkara wajib bagi Najib-Rosmah Oleh Hishamuddin Rais

Tiga perkara yang wajib dilakukan oleh kerajaan Najib-Rosmah untuk menyelamat harta kekayaan dan kuasa mereka daripada dirampas kembali oleh kuasa orang ramai.

Tiga perkara ini bukan terlalu susah untuk difikirkan. Malah ianya tidak memerlukan bantuan penasihat zionis APCO untuk memunculkan perancangan. Kita sendiri boleh memikirkan tiga pekara ini tanpa memerlukan ijazah PPE dari Oxford. Tahap jaguh kampung dan gedebe politik seperti Ibrahim Ali pun sedar hal ini.

Tiga pekara ini ialah:

1. Anwar Ibrahim mesti di ketepikan;
2. Parti PAS wajib dipisahkan dari Pakatan Rakyat; dan
3. Propaganda untuk menghuru-harakan Parti Keadilan Rakyat wajib diperbesarkan

Ketiga-tiga perkara ini wajib berjalan sarentak. Untuk kerajaan Najib-Rosmah, tiga perkara ini lebih penting daripada dasar ekonomi baru atau model ekonomi baru. Lebih penting dari dasar luar negara. Lebih penting dari Rancangan Malaysia ke-10. Kerana rancangan ini begitu penting sekali, maka kerajaan Najib-Rosmah akan menjanjikan apa saja untuk memastikan tiga pekara ini dapat direalisasikan.

Kerajaan Najib-Rosmah tahu, sedar dan merasakan bahawa susuk Anwar Ibrahim memainkan peranan yang amat penting dalam ikatan setiakawan Pakatan Rakyat. Dengan adanya susuk Anwar maka Pakatan Rakyat dapat berdiri teguh. Mengikut pandangan Najib Rosmah, jika Anwar 'diketepikan' maka Pakatan Rakyat akan londeh terbarai. Sama ada ini hakikat atau sebaliknya bukan penting. Yang penting inilah persepsi politik mereka. Politik bukan kebenaran – politik ialah persepsi.

Apa yang kita lihat hari ini - apa yang sedang berlaku di lanskap politik negara ialah gerak kerja jentera dan apparatcik politik Najib-Rosmah sedang menjalankan tugas untuk meminggirkan Anwar.

Dalam strategi politik, langkah pertama sebelum musuh diserang ialah melahirkan satu imej buruk musuh. Ini penting untuk mengolah persetujuan orang ramai. Ketika perang dunia kedua dahulu, tentera Jepun digambarkan bermata sepet, bergigi jongang membawa pedang samurai. Sesudah perang tamat, Jepun dilihat sebagai kawan dan rakan berniaga yang baik. Memunculkan imej hodoh ini amat penting. Jika imej telah buruk maka apa sahaja yang diperkatakan terhadap Anwar akan diyakini umum.

Strategi baru

Langkah pertama ialah mengaitkan Anwar dengan Saiful. Ini juga bukanlah satu langkah yang bijak bergeliga. Menggunakan kes liwat yang diadukan oleh Saiful, telah diteroka lebih awal lagi oleh Mahathir Mohamad pada 1998 dahulu melalui kes seumpamanya terhadap Azizan Abu Bakar.

Apabila Saiful diberitakan tidak membuang air besar selama dua hari kerana menyimpan bahan bukti di dalam duburnya, maka tahap jenaka dan genre lawak Melayu telah melonjak tinggi. Rating Lebai Malang dan Pak Pandir berkemungkinan jatuh. Apek Senario telah menjadi lawak basi. Lubang Saiful naik ke mercu kegemilangan.

Seperti kes Azizan, kes liwat Saiful juga telah tergelincir. Kelihatan propaganda berbentuk ini telah menjelak dan menjelikkan orang ramai. Ini mula disedari oleh Najib-Rosmah. Propaganda kes Saiful yang dirancang untuk memburukan Anwar telah menjadi lawak bodoh dan sedang melawan tuan.

Dengan cepat para apparatcik dan jentera Najib-Rosmah bergerak. Kali ini wajib dimunculkan satu lagi strategi baru – ejen asing. Harus disedari bahawa surah - ejen asing - ini juga telah mula muncul pada 1998. Ketika itu duta Amerika ke Malaysia ialah John R Malot.

Dalam kes pertama tahun 1998, memang telah disebarkan surah bahawa Anwar Ibrahim ini adalah ejen CIA. Apabila berita ini tersebar, kerajaan Amerika telah mengambil langkah yang tepat.

Menurut Pak Duta John R Malot - kerajaan Malaysia telah diberi amaran - jangan campur adukkan kerajaan Amerika dengan krisis dalaman politik Malaysia. Bila amaran ini sampai, maka surah Anwar ejen Amerika pun mati tak berasap.

Pasti perkara yang sama juga telah terjadi sekali lagi, kerana dengan tetiba sahaja media gerombolan hari ini, tidak lagi melaung-laungkan surah ejen asing ini. Pentabiran di Rumah Putih melihat apa yang berlaku sekarang ini sebagai krisis dalaman - tidak ada sangkut paut dengan jabatan risikan mereka. Justeru apabila dikaitkan Anwar dengan CIA, maka pasti pentabiran Obama ini, seperti tahun 1998, telah mengambil pendirian yang sama.

Langkah kedua yang sedang di jalankan oleh apparatcik dan jentera Najib-Rosmah ialah memastikan parti PAS akan meninggalkan Pakatan Rakyat. Ini adalah langkah yang amat strategik dan penting. Kerajaan Najib Rosmah membaca jika PAS dapat dipisahkan dari Pakatan, maka dengan segera Pakatan Rakyat akan luntur dan pecah.

'Merebut kuasa'

Kita harus menyedari bahawa walaupun PAS mengakui parti Islam - ini tidak memiliki apa-apa makna yang hakiki dalam politik. Kita semua boleh mengakui bermacam-macam. Dalam politik yang direbutkan bukan Allah, Yahwe atau Siddarttha. Politik ialah perjuangan untuk merebut kuasa.

Kuasa diperlukan untuk memastikan lubuk kekayaan dimiliki. Apabila lubuk kekayaan telah dimiliki maka di sinilah akan diuji sama ada parti itu bermazhab sosialis atau kapitalis.

Dalam dunia hanya ada dua sistem ekonomi - kapitalis atau sosialis. Dua sistem ini adalah sistem induk. Selainnya - yang mengakui sistem ini dan sistem itu - hanya pecah-pecahan dari dua sistem ekonomi ini. Seperti kuih bahulu – asasnya adalah tepung, gula dan telur. Warna, corak, rekabentuk hanya tokok tambah untuk mengolah keinginan orang ramai.

Dalam sistem ekonomi kapitalis ini, ada pemimpin PAS yang akan, yang telah dan yang sedang tewas dengan kuasa dan harta kekayaan. Contohnya, kes cerai bekas ADUN PAS dengan isteri keduanya. Sang isteri sedang menuntut berjuta-juta ringgit. Ini kerana sang isteri tahu bahawa sang suami - ketika berkuasa dahulu - pasti ada tanah di sana dan tanah di sini, Ada saham ini dan saham itu. Ini realpolitik. Ianya tidak pula bermakna kita merendahkan keyakinan mereka terhadap Yang Maha Esa.

United Malays National Organisation sedar hal ini. PAS bukan mengajukan sistem ekonomi alternatif kepada kapitalisma. PAS seperti PKR dan DAP, hanya berjanji untuk menguruskan kapitalisme dengan lebih baik. Asas sistemnya masih kapitalisme. Ini hakikat. Ini realpolitik. United Malays National Organisation tahu siapa yang bercita-cita hendak menjadi menteri besar dalam PAS. Gerombolan mengetahui siapa dan siapa yang boleh 'dimakan' di dalam PAS. Gerombolan juga tahu siapa yang bermimpi siang dan malam - pagi dan petang - untuk menjadi menteri kabinet dalam kerajaan Najib-Rosmah.

Ini juga hakikat realpolitik. Menafikan ini adalah menafikan bahawa manusia, haiwan dan tumbuhan hidup di alam ini kerana ada cahaya matahari. United Malays National Organisation akan terus mengasak untuk 'berunding' dengan PAS. Akan terdengar suara suara lantang menolak. Akan terdengar suara-suara pimpinan PAS menafikan itu dan ini. Dalam realpolitik semua berkemungkinan. Dalam realpolitik, yang dicita-citakan ialah kuasa. Dengan kuasa manusia berpeluang menobatkan dirinya dan mengumpul harta.

Waspada! Percubaan dan langkah-langkah yang diambil oleh Najib-Rosmah untuk berunding dengan PAS ini tidak ada sangkut paut dengan Najib sebagai anak Razak. Kerana Razak dahulu berunding dengan PAS maka Najib sang anak, juga akan berunding dengan PAS. Ini bukan bacaan politik. Ini sembang di warung Mek Jah. Dalam realpolitik yang hakiki ialah kuasa.

Keinginan berunding dengan PAS ini adalah perhitungan realpolitik. Ini kerana sesudah pilihanraya yang lalu United Malays National Organisation telah dilihat sedang menuju ke hari-hari akhir. Justeru untuk menyelamatkan harta kekayaan, perpaduan Pakatan Pakyat yang kompak, wajib dilemahkan.

Setiakawan Pakatan

Kota yang kukuh wajib dibocorkan. Setiakawan Pakatan Rakyat yang mekar wajib dikacau-bilaukan. PAS wajib dipisahkan dari Pakatan. Kalau tidak semua, sebahagiannya. Ini perhitungan politik untuk menyelamatkan harta dan kuasa.

Lalu kita sampai ke strategi ketiga - mengharu-birukan kerajaan Pakatan Rakyat. Kerajaan Pakatan Rakyat di Kedah dan Kelantan tidak perlu diganggu-gugat kerana slogan 'kita semua Melayu dan kita semua Islam.' Kerajaan Pakatan di Pulau Pinang boleh digugat tetapi 'slow sikit' kerana

DAP ini lebih senang dikawal kerana Kecinaan mereka. Ahli gerombolan yang meninggalkan parti tidak mungkin akan menjadi ahli DAP.Malah DAP ini juga boleh dibawa berunding jika hari baik dan bulan baik – jika masa dan ketikanya telah ranum. Justeru musuh utama ialah Parti

Keadilan Rakyat dan Anwar Ibrahim. Lalu semua akan dilakukan untuk menggangu-gugat kerajaan Pakatan di Selangor. Lembu, kambing, pasir, tayar kereta, surau, masjid, kuil, sekolah, kasut, punggung - malah apa sahaja yang bersangkutan dengan kerjaaan Selangor - akan digunakan untuk menunjukkan kepada warga Selangor bahawa kerajaan Pakatan ini tidak perlu disokong.

apparatcik dan jentera kerajaan federal sedang digunakan oleh Najib-Rosmah untuk melemahkan kerajaan Selangor. Kes demi kes telah dibuka oleh SPRM terhadap pimpinan kerajaan Selangor. Semua dilakukan untuk menekan agar ada ADUN PKR yang akan berpaling tadah.

Media gerombolan telah digunakan hingga ke tahap maksimum untuk mengolah persetujuan orang ramai. Seluruh Malaysia cuba diberi tahu bahawa krisis yang amat besar sedang melanda kepimpinan kerajaan Selangor. Kerajaan Selangor ini akan runtuh bila-bila masa sahaja dan Khir Toyo boleh kembali berpesta ke Disneyland tanpa soal jawab.

Di mana akhirnya semua ini? Dalam merancang realpolitik, Anwar Ibrahim pasti akan diketepikan. Ini strategi utama. Susuk ini tidak akan diberi peluang untuk bebas bergerak. Jika diikutkan hati nafsu Najib-Rosmah, susuk Anwar ini akan diketepikan sebelum piliharaya Sarawak.

Tetapi bagaimana nanti reaksi kawan-kawan Yahudi Anwar yang selalu diperkatakan itu? Dan bagaimana pula ejen-ejen CIA yang lain? Apakah mereka juga akan datang untuk membantu Anwar? Kini seperti kes Saiful, senjata dan propaganda akan memakan tuannya.

Dalam realpolitik ada yang lebih 'real''. Yang lebih 'real' ialah kuasa rakyat. Kerajaan Selangor mungkin goyang tetapi tidak akan runtuh kerana akarnya semakin kukuh. Kuasa rakyat ini jugalah yang akan menentukan apa yang akan terjadi kepada Anwar Ibrahim.

Justeru United Malays National Organisation hanya ada satu pilihan: mengajak PAS datang berunding. Najib dalam keadaan ini akan menjanjikan apa sahaja. Kalau PAS minta Najib melempang Muhyiddin - pasti Muhyiddin akan kena satu pelempang. Kalau PAS mahu Najib menampar Khairy Jamaluddin - pasti Khairy akan ditampar. Seperti Sultan Mahmud meminang Puteri Gunung Ledang, Najib akan melakukan apa sahaja kecuali PAS tidak akan dibenarkan bertanya berapa orang sebenarnya anak Rosmah Mansor.

Kredibiliti Saksi Utama Diragui, Kes Liwat 2 Perlu Disemak-semula

Hubungan Sulit Saiful-Pendakwaraya Cabul Ketelusan Kes Fitnah II

Sankara Nair, salah seorang peguam pasukan pembela Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kes Fitnah II telah menghantar surat kepada Peguam Negara hari ini mendesak penjelasan berhubung dakwaan penulis blog terkenal, Raja Petra Kamarudin mengenai jalinan sulit antara seorang timbalan pendakwaraya wanita dengan saksi utama pihak pendakwaan, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Ketika dihubungi Suara Keadilan, Sankara menyifatkan dakwaan Raja Petra sebagai serius dan mempunyai implikasi serius perundangan terhadap prosiding kes berkenaan.

"Walaupun Saiful adalah beliau pengadu tetapi beliau merupakan saksi utama kes berkenaan. Jika dia tahu mengenai butiran siasatan itu hasil hubungan beliau dengan pendakwaraya tersebut itu sudah tentunya akan memberi kesan yang amat besar kepada kes terbabit.

"Pihak kami telah menghantar surat kepada pejabat Peguam Negara pukul 4.30 petang tadi untuk mengetahui sama ada dakwaan itu benar," ujar beliau mengulas dakwaan yang disiarkan portal web MalaysiaToday minggu lalu.

Tambah Sankara, pihaknya kini sedang menunggu jawapan daripada pihak Peguam Negara berhubung dakwaan itu sebelum mengambil langkah selanjutnya.

Peguam Cara Negara II, Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden mengatakan sebarang keputusan sama ada pendakwaraya wanita itu akan kekal dalam pasukannya akan diketahui apabila kes disambung awal bulan depan.

Walau bagaimanapun, Mohd Yusof enggan menyatakan sama ada peguam wanita itu akan digugurkan atau sebaliknya.

Pasukan pendakwaan terdiri daripada lapan anggota iaitu Mohd Yusof, Datuk Nordin Hassan, Mohamed Hanafiah Zakaria, Wong Chiang Kiat, Noorin Badaruddin, Mira Mirna Musa, Naidatul Athirah Azmad dan Farah Azlina Latif.

Pada 19 Julai lalu perbicaraan kes Fitnah II ditangguhkan sehingga 2 Ogos selepas ketua pasukan pembelaan Anwar, Karpal Singh cuti sakit selama dua minggu. -SK

Ulasan GB

Apakah Peguam dan Negara dan Pendakwa Raya kini sedang mencari jalan bagi mempastikan konspirasi liwat 2 ini terus berjalan tanpa memperdulikan kredibiliti saksi utama mereka?