25 Jul 2010

Salah Seorang Atau Kedua-dua Adalah PENDUSTA

Nik Aziz tidak mahu Umno-BN gigit tangan PAS kali kedua

PAS tidak memerlukan peranan orang tengah jikapun parti Islam itu mahu mengadakan perbincangan dengan Umno mengenai soal penyatuan Melayu, kata Mursyidul Am Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat malam tadi.

Bagaimanapun Menteri Besar Kelantan ini terus dengan pendirian yang telah dicapai parti itu pada muktamar-muktamar tahunan mereka sejak 2008 bahawa PAS tidak akan menjalin kerjasama politik dengan Umno agar “tangan PAS tidak digigit kali kedua.”

PAS mahu kekal dengan kerjasama dalam Pakatan Rakyat yang turut dianggotai DAP dan PKR, kata beliau.

“Ada orang hendak menjadi orang tengah, mimpi... kalau saya (PAS) mahu, saya boleh jumpa Perdana Menteri, tak perlu (orang tengah),” kata beliau pada majlis ceramah isu-isu semasa anjuran PAS Kuala Terengganu di sini.

“(Ini macam) hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong,” tambah Nik Aziz dengan merujuk kepada tindakan beberapa pihak termasuk Umno yang menimbulkan semula syor kerjasama perpaduan dan penyatuan Umno dan PAS sejak kebelakangan ini.

Pakatan Rakyat yang menurunkan calon PAS memenangi kerusi Parlimen Kuala Terengganu daripada penguasaan BN pada pilihan raya kecil Januari 2009.

Malah Nik Aziz berkata, beliau tetap dengan pendiriannya menolak sebarang perbincangan atau kerjasama dengan Umno kerana menganggap parti itu telah menyimpang daripada perjuangan Islam.

Malah Nik Aziz mengulangi bahawa Umno terus menunjukkan minat mahu membincangkan kerjasama dengan PAS selepas menyedari kedudukannya menjadi lemah pada pilihan raya umum ke-12 dua tahun lalu.

“Bila dah kalah baru cari kawan... selepas 13 Mei, (Allahyarham) Tun Abdul Razak datang jumpa PAS, kami ingat ikhlas, sebab saya orang yang paling kuat menerima jemputan (daripada Tun Abdul Razak).

“Tetapi bila sudah gemuk (selesa kedudukan), gigit (tangan PAS)... dia orang (akhbar menulis) PAS keluar (BN), tetapi bukan keluar, tetapi ditendang, macam mana punya wartawan tulis macam itu,”
katanya.

Oleh itu dengan merujuk kepada Umno-BN, tambah Nik Aziz, “kami kenal siapa anda.”

“Orang kata kita bodoh, tak mengapa (kali pertama)... tetapi gigit lagi (tangan PAS), kamu memang bodohlah,” katanya Nik Aziz seolah-olah tidak mahu pengalaman lalu berulang dan mahu mengelakkan kerjasama dengan Umno-BN.

PAS menyertai BN pada 1974 dan kerjasama itu berakhir empat tahun kemudian.

Nik Aziz mengatakan demikian ketika timbul semula idea kerjasama politik antara kedua-dua parti berkenaan.

Antara lain pada 17 Julai lalu, Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria berkata beliau mahu terus menyatupadukan orang Islam dan Melayu di negara ini walaupun terdapat pihak tidak menyenangi usaha murni beliau itu.

Namun Harussani berkata, beliau tidak pernah berputus asa demi mengekalkan kebaikan dan perpaduan umat Islam di negara ini, khususnya antara Umno dan PAS.

Harussani berkata terdapat pemimpin kedua-dua parti Melayu berkenaan yang datang berjumpa beliau baru-baru ini bagi membincang dan meminta pandangan beliau berhubung cara untuk menyatupadukan kedua-dua parti tersebut.

Bagaimanapun beberapa jam sebelum ucapan Nik Aziz di sini malam tadi, Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Dr Hasan Ali mengakui ada menemui Harussani tetapi menafikan pertemuan mereka ada menyentuh soal kerjasama politik antara PAS dan Umno.

Dua hari sebelum kenyataan Harussani itu, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin memberitahu, beliau akan menentukan masa yang sesuai untuk pertemuan dengan Nik Aziz bagi membincangkan syor kerjasama Umno-PAS yang muncul sekali lagi awal bulan ini.

“Saya menghargai sikap Datuk Nik Abdul Aziz yang terbuka dalam hal ini,” kata Timbalan Presiden Umno ini selepas merasmikan persidangan perwakilan Umno Bahagian Jeli, Kelantan.

Muhyiddin berkata kerjasama itu perlu dibincangkan atas permintaan beberapa pihak yang mahukan orang Melayu bersatu kembali.

Nik Aziz juga berkata beliau sedia bertemu dan berbincang dengan Muhyiddin yang juga Timbalan Perdana Menteri mengenai “apa juga perkara” tetapi perjumpaan itu biarlah tanpa diatur mana-mana pihak ketiga sebagai orang tengah.- TMI

Ulasan GB

Itu suara Mursyidul Am PAS. Tetapi anihnya ada juga pemimpin PAS yang begitu teruja untuk melaksanakan apa yang dikatakan "perpaduan orang Melayu" sekalipun segan untuk menyebut ungkapan "perpaduan PAS dan Umno".

Lidah yang bercabang digunakan sebaiknya untuk "spin" perkataan supaya tidak nampak ketara tentang Kerajaan Perpaduan yang telah ditolak Muktamar.

Sama fe'el dengan Najib dan UMNO BN yang spin menggunakan hujjah pelarasan subsidi dan seumpamanya untuk menaikkan harga barangan. Yang jelas fenomenanya sama - untuk "menipu" orangramai.

Memang "dia" seorang yang mahir menipu atau memang sejak azali beliau seorang penipu. Dulu sewaktu PR menang di Selangor, dilakukan pertemuan dengan pemimpin-pemimpin UMNO walaupun tidak ada mandat untuk beliau melakukannya bagi membincangkan perpaduan UMNO PAS. Bila disergah ramai, maka diputarkannya menjadi ..."oh saya mengumpulkan ADUN-ADUN PAS supaya mereka tidak dicuri oleh musuh..."...

Sketsa itu berlaku lagi, kat Hassan Ali:

“Dengan cara ini sistem pengurusan dan pembangunan negeri terus dapat dipertingkatkan.

“Pertemuan saya dengan Mufti Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan pada kira-kira dua bulan yang lepas merupakan salah satu daripada ‘engagement’ sedemikian yang dilakukan atas sifat saya sebagai ahli Exco Kerajaan Negeri yang bertanggungjawab secara langsung antara lainnya portfolio Hal Ehwal Islam dan Adat-adat Melayu.

“Pertemuan tersebut diatur bagi membolehkan saya meninjau ilmu dan pengalaman beliau secara amali mengurus hal ehwal Islam dan adat-adat Melayu,” katanya.


Dan Mufti Perak pula juga memutarkan lidahnya:

Kata Harussani, kedua-dua mereka tidak membincangkan kerjasama politik Umno dan PAS tetapi mengenai perpaduan orang Melayu di negara ini.

“Kami memang tidak membincangkan langsung pasal kerjasama Umno dan PAS tetapi perpaduan orang Melayu di negara ini kerana kami melihat orang Melayu semakin berpecah... TMI


Walhal sebelumnya Harussani sendiri mengeluarkan kenyataan:

terdapat pemimpin kedua-dua parti Melayu berkenaan yang datang berjumpa beliau baru-baru ini bagi membincang dan meminta pandangan beliau berhubung cara untuk menyatupadukan kedua-dua parti tersebut.


Seorang mufti dan seorang Pesuruhjaya PAS Negeri rupa-rupanya PENDUSTA.

Dan pendusta-pendusta ini sedang memimpin umat Islam untuk dibawanya ke neraka!

Masih Ada Musuh Dalam Selimut

Umno Tetap Untung Disebalik Pelawaan terhadap PAS – Aziz Bari

Semuanya bermula dengan kenyataan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yasin yang menyatakan kesediaan Umno bekerjasama dengan PAS, sehingga membawa polemik politik ini berterusan dicanang di media-media massa.

Umno membuka ‘dasar buka pintu’, namun sehingga kini tiada nada positif diberi malah pemimpin tertingginya Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat awal-awal lagi sudah menutup pintu tersebut.

Menurut ahli akademik Prof Dr Abdul Aziz Bari, ‘pelawaan’ Umno itu hanya untuk memecahkan PAS daripada rakan seangkatan dalam Pakatan Rakyat (PR).

"Tidak syak lagi ini adalah helah politik Umno. Mereka tahu jika PAS termakan pujukan, PAS akan maut kerana kerusi yang dimenangi dengan sokongan bukan Melayu. Begitu juga negeri seperti di Kedah.

"PAS tewas di Terengganu dan Perlis sebab negeri itu negeri Melayu dan PAS tidak boleh bersaing dengan Umno. Ertinya Umno menggunakan PAS untuk memecahkan Pakatan Rakyat kerana PR bergantung kepada PAS. Ini mekanisma yang Umno lihat," katanya kepada Free Malaysia Today.

Menurut beliau, Umno sentiasa mendapat keuntungan daripada polemik politik ini, sedangkan PAS masih terkial-kial kerana mempunyai ‘musuh dalam selimut’.

Umno dilihat bijak dengan memainkan isu tersebut agar dapat memesongkan perhatian rakyat daripada isu ekonomi, rasuah yang sentiasa dibangkitkan Pakatan.

"Kerjasama ini sukar terjadi kerana tokoh utama iaitu Nik Aziz menentang keras. Dari perspektif Umno isu ini menguntungkan mereka kerana sekali lagi mereka dapat mengganggu permainan dengan isu yang tidak relevan ini.

"Isu ini dapat memesongkan perhatian rakyat dari isu lain seperti ekonomi,rasuah dan lain-lain yang penting buat Pakatan. Sebab itu yang untung – baik ia menjadi atau sebaliknya – ialah Umno.

Apa pun kesudahannya Umno sudah untung; PAS terkial-kial kerana di dalam kelambunya ada musuh dalam selimut," katanya yang juga pensyarah Undang-undang Universiti Islam Antarabangsa.

Setuju dengan Khalid

Malah beliau turut bersetuju dengan Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad agar pemimpin yang menemui Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria dipecat dalam parti.

"Saya fikir adalah bodoh kalau PAS ikut cakap Umno dan saya setuju dengan Khalid Samad yang mahukan pemimpin menemui Mufti Harussani ini dipecat.

"Pemimpin berkenaan jelas membelakangkan parti dan mementingkan diri sendiri. Kita lihat mereka yang dikaitkan dengan kerajaan perpaduan agak resah, mungkin mereka yang makan cili,"
katanya.

Harussani yang menawarkan diri sebagai pengantara baru-baru ini mendedahkan terdapat pemimpin PAS dan Umno menemuinya bagi membincang dan meminta pandangan beliau berhubung cara untuk menyatupadukan kedua-dua parti bermusuh itu.

Namun masih tiada penjelasan lanjut diberi Harussani menyebabkan timbul banyak spekulasi di dalam kem PAS sendiri.

‘Kerjasama dapat kurangkan perbezaan dua parti’

Sementara itu, menurut Presiden Transparency International (Malaysia), Tan Sri Ramon Navaratnam setuju sekiranya tujuan kerjasama itu adalah untuk memperbaiki perpaduan masyarakat di negara ini.

Sambil merujuk kepada PAS-Umno, menurutnya melalui kerjasama yang akan terjalin itu dapat mengurangkan jurang perbezaan antara dua parti terbabit.

"Semua kerjasama antara parti politik adalah sesuatu yang baik, tetapi ia mesti bertujuan untuk meningkatkan perpaduan sedia ada. Harap ia bukan helah politik.

"Jika semua berminat masyarakat tanpa kira agama dan bangsa turut bersetuju kerana ia mengingatkan tentang Malaysia. Ini sekaligus dapat mengurangkan jurang perbezaan antara dua parti yang bertelagah," katanya.

Namun beliau memberi peringatan agar kerjasama itu bukanlah berkisarkan Melayu dan Islam semata-mata kerana ia bakal memberi implikasi kepada parti lain serta konsep Barisan Nasional.

"Mereka tidak boleh bersatu…ini Umno perlu jaga, jika berkongsi pendapat tidak mengapa. Tetapi bukan bersatu.

"Jika penyatuan ini berlaku, parti komponen lain seperti MIC,MCA, serta parti di Sabah dan Sarawak turut melakukan perkara yang sama.

Maka konsep BN akan hilang….," katanya memberi nasihat. -FMT