22 Jul 2010

Keengganan KSN Menghukum Nik Ali Bukti Kakitangan Awam Pak Turut UMNO BN

KSN: Nik Ali kecam Guan Eng tidak akan dihukum

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan terus mempertahankan tindakan Pegawai Pembangunan Negeri (SDO) Nik Ali Mat Yunus yang menyerang Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dengan menegaskan, tiada tindakan akan diambil ke atas beliau.

Mohd Sidek berkata, Nik Ali tidak seharusnya dihukum kerana beliau tidak melakukan sebarang kesalahan.

“Adakah beliau melakukan apa-apa kesalahan? Apa kesalahan yang beliau lakukan? Apakah tindakan yang harus diambil ke atas beliau?” kata beliau pada sidang media selepas menghadiri Forum Garis Panduan Pemerolehan Kebangsaan di sini hari ini.

Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri semalam memutuskan agar perkhidmatan Nik Ali tidak diperlukan lagi di negeri itu.

Pada mesyuarat yang dipengerusikan Lim, Nik Ali juga diminta memohon maaf secara terbuka dan menarik balik kenyataannya yang menyifatkan Ketua Menteri sebagai dayus dan biadap.

Malah semalam, Ketua Setiausaha Negara mempertahankan Nik Ali dan menyifatkan kenyataan berupa tuduhan oleh Ketua Menteri terhadapnya sebagai melampau.

Mohd Sidek (gambar) berkata Lim sebagai Ketua Menteri tidak sepatutnya melemparkan kenyataan terbuka kepada seorang Pegawai Persekutuan yang berkhidmat di negeri berkenaan.

Beliau yang juga Setiausaha Jemaah Menteri, berkata Jemaah Menteri dalam mesyuaratnya semalam memberi perhatian yang serius atas kenyataan berupa tuduhan oleh Lim terhadap Nik Ali khususnya mengenai isu curi pasir di Balik Pulau, perobohan Pintu Gerbang Taman Botani Pulau Pinang dan dakwaan tiada tempat duduk disediakan untuk Ketua Menteri Pulau Pinang semasa majlis pelancaran projek Kereta Api Bukit Bendera.

“Tiga isu berbangkit tersebut yang mana Nik Ali Mat Yunus telah dipersalahkan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang bukanlah perkara-perkara di bawah bidang kuasa pegawai berkenaan sebagai Pegawai Pembangunan Negeri,” kata Mohd Sidek dalam satu kenyataan semalam.

Pada sidang media kelmarin, Nik Ali mengkritik Ketua Menteri dengan menyifatkannya sebagai biadab manakala tindakannya menyerang Pegawai Pembangunan Negeri itu telah merendahkan statusnya sebagai Ketua Menteri.

Mohd Sidek ditanya sama ada salah jika seorang kakitangan awam menghadiri program yang dianjurkan oleh Lim yang juga Setiausaha Agung DAP dan menekankan bahawa Nik Ali hanya menghadiri majlis seumpama itu selaku seorang pegawai kerajaan.

“Adakah salah jika saya mengadakan sidang media bersama Datuk Seri Najib Razak? Jika tugas beliau sebagai perdana menteri dan tugas saya sebagai ketua setiausaha negara, tidak salah saya mengadakan sidang media bersama beliau,” kata Mohd Sidek.

Mohd Sidek juga mempertahankan kenyataannya semalam bahawa tuduhan dibuat Lim adalah melampau dan tidak harus dibuat secara terbuka.

Beliau menambah, Nik Ali ada hak untuk memberi respons kepada tuduhan-tuduhan dibuat oleh Lim.

“Jika beliau tidak memberi respons tentang kritikan-kritikan itu maka orang ramai akan menganggap beliau sebagai bersalah,” katanya.-TMI


Pak Turut: Gambaran Hodoh Prestasi Kakitangan Awam?

Tidak sampai lima belas bulan Datuk Seri Najib Razak menjadi Perdana Menteri dengan azam untuk dikenali sebagai seorang reformis, sekurang-kurangnya satu perubahan sudah hampir pasti terjadi – mutu perkhidmatan awam semakin merosot.

Perihal ini amat membimbangkan.

Betapa tidaknya, dengan secara terbuka ahli-ahli politik yang dipimpin oleh Najib kini tidak segan silu menempelak kakitangan perkhidmatan awam kerana cuai dan tidak cekap.

Ambil sahaja contoh permit akhbar parti-parti kerabat Pakatan Rakyat di mana rakyat dapat melihat betapa tidak cekapnya kakitangan kanan Kementerian Dalam Negeri melaksanakan tugas mereka.

Dalam kes DAP misalnya, permohonan yang dikemukakan oleh parti itu untuk mendapat permit akhbar berbahasa Malaysia setahun lalu masih belum ada keputusan daripada Kementerian berkenaan.

Sementara Parti Keadilan Rakyat dan juga PAS juga mendapati mereka berurusan dengan kakitangan kementerian yang tidak cekap.

KEADILAN mengemukakan permohonan untuk memperbaharui permit penerbitan akhbar Suara Keadilannya pada Mac tahun ini. Permit itu luput pada 30 Jun lalu.

Namun pada 2 Julai, pihak kementerian tanpa rasa bersalah memberitahu KEADILAN, pembaharuan permit yang dimohon masih belum dipertimbangkan oleh Panel 13nya.

PAS mengalami nasib yang sama. Maka jika diukur dari kacamata prestasi apa yang dilaungkan Najib untuk memperbaiki mutu perkhidmatan kakitangan kerajaan sudah jelas tidak kesampaian.

Sementara itu, seorang menteri dengan bangganya bahawa kerajaan akan membina sebuah bangunan parlimen baru bernilai RM800 juta di Putrajaya. Ini kerana bangunan parlimen sedia ada sudah kurang sesuai kerana banyak kerja penyenggaraan yang perlu dibuat hingga menelan bajet beratus juta.

Keputusan ini dikritik hebat oleh pelbagai pihak kerana ia jelas satu pembaziran dan kerja penyenggaraan yang dikatakan sebenarnya membayangkan ketidakcekapan tahap tinggi di pihak Jabatan Kerja Raya.

Bagaimana apabila disergah kemarahan rakyat, kerajaan menarik balik kenyataan hendak bina bangunan parlimen baru.

Menteri Kerja Raya berkata ia hanya satu cadangan sahaja. Malah menteri yang ghairah mahu bangunan baru pun meminta maaf dan menjelaskan beliau mendapat maklumat kurang tepat daripada kakitangan awam.


Sebelum itu, apabila Majlis Tertinggi Umno memutuskan kerajaan BN mesti menghentikan cita-cita hendak menghalalkan judi sukan kerana pertimbangan agama dan politik, Presiden Umno merangkap perdana menteri pula memberi jawapan di parlimen jika kerajaan memutuskan hendak menghalalkan judi sukan, lesen akan diberi kepada Ascot Sports.

Gegak gempita reaksi rakyat. Sudahlah Umno secara unilateral membuat keputusan mengharamkan judi sukan dengan membelakangkan komponen BN lain, kini ada cita-cita untuk menghalalkannya kembali.

Apabila rasa tersudut dengan isu itu, kenyataan pun dikeluarkan bahawa jawapan perdana menteri itu adalah satu kesilapan kakitangan perkhidmatan awam menyediakan jawapan di parlimen.

Hodoh benar gambaran prestasi kakitangan awam. Ini belum lagi mengambilkira cara mereka mengurus hal ehwal rakyat yang lain seperti mengatasi masalah kekurangan bekalan gula.

Wajarkah apabila tidak dapat memastikan bekalan barang kawalan itu kepada rakyat cukup, tindakan yang diambil ialah menempah iklan di radio dan televisyen dan berkempen bahawa gula tidak baik untuk kesihatan?

Rakyat tahu itu kerja Kementerian Kesihatan dan bukan kementerian yang memantau perdagangan dalam negeri! Tugas hakiki mereka ialah memastikan bekalan gula mencukupi. Sekali lagi itu menunjukkan ketidakcekapan pegawai kerajaan.

Yang menjadi persoalannya ialah, apakah jenis latihan yang perlu diberikan kepada kakitangan kerajaan agar prestasi mereka meningkat dan mutu khidmat lebih cekap?

Namun demi berlaku adil, persoalan yang lebih penting lagi dinilai ialah, adakah contoh-contoh itu gambaran sebenar berhubung mutu perkhidmatan dan kecekapan kakitangan awam?

Pihak penjawat awam pasti tidak bersetuju. Ada banyak sebab mengapa keadaan jadi begitu. Yang paling utama sekali ialah latihan dan didikan yang mereka terima sebelum disahkan dalam jawatan ialah memahami dan menghayati piagam “kami yang menurut perintah”.

Apa yang mereka lakukan meskipun kelihatan hodoh, bodoh dan seakan berseloroh adalah kerana mereka hanya “menurut perintah”. Perihal ini yang membimbangkan.


Meskipun akur yang natijah tindakan mereka yang “bermati-matian” menurut perintah mungkin tidak baik terhadap imej dan prestasi mereka, perintah dangkal tetap dilaksanakan juga!

Di satu segi mereka diperintah supaya belajar dan mengamalkan budaya Teknologi Komunikasi Maklumat (ICT). Maka kita lihat hasilnya perkhidmatan lebih pantas dan memuaskan di Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Imigresen, Jabatan Pengangkutan Jalan.

Namun oleh kerana “menurut perintah” amalan ICT tidak boleh pula dilaksanakan dalam kerja pendaftaran automatik rakyat yang menggenapi umur 21 tahun sebagai pengundi!

Lantas, soal budaya “menurut perintah” inilah yang sering memberi gambaran serong terhadap mutu perkhidmatan kakitangan kerajaan. Jika perintah itu bodoh dan hodoh, maka hodoh dan bodohlah kakitangan kerajaan.

Soalan bodoh: siapakah yang sering mengeluarkan perintah hodoh dan bodoh ini? Rasanya kakitangan kanan Kementerian Dalam Negeri adalah cukup berpengalaman dan tahu bila hendak bermesyuarat dan membuat keputusan.

Namun dalam kes permit akhbar Pakatan Rakyat adakah kelemahan yang ketara akhir-akhir ini ditunjukkan oleh pegawai-pegawai berkenaan adalah kerana mereka menerima dan perlu melaksanakan perintah bodoh?

Begitu juga pegawai dan kakitangan kerajaan lain dalam isu bangunan parlimen baru dan lesen judi sukan; adakah mereka kelihatan bodoh dan hodoh kerana perintah yang diterima datang daripada pihak yang dangkal dan muflis fikiran?

Tidakkah boleh dikira sampai masanya piagam “menurut perintah” ini dikaji semula.

Atau, sememangnya ia sudah terlalu sebati dengan kakitangan kerajaan?

Atau, mungkinkah kakitangan awam terlalu takut untuk berubah kerana bimbang akan kehilangan keistimewaan dan juga sumber rezeki seumur hidup jika cuba berubah?

Atau, kakitangan kerajaan memang hanya Pak Turut?
-Faris Aiman (SK)


SUHAKAM Bertindak Untuk Rakyat Atau Kerajaan UMNO BN?

MP kemukakan gambar 'anak-anak' istana

Ahli parlimen Segambut Lim Lip Eng hari ini mengemukakan bukti bagi memperkukuhkan dakwaannya bahawa kanak-kanak memang tinggal di tapak pembinaan istana baru. Sebelum ini, Suruhanjaya Hak Asasai Manusia (Suhakam) yang menyiasat tapak berkenaan gagal menjumpai sebarang kanak-kanak di tapak berkenaan.

Sambil menunjukkan gambar ketika lawatannya di tapak berkenaan pada 21 dan 24 Jun, Lim berkata dia terlihat dua bayi dan seorang kanak-kanak dalam sekitar usia dua tahun yang tinggal bersama ibu bapa berbangsa Indonesia yang bekerja di tapak itu.

"Menurut beberapa pekerja, terdapat lebih kurang 10 bayi yang berusia beberapa bulan tinggal di situ juga,” katanya pada sidang media pagi ini.

"Sekarang perkara ini sudah diketahui umum, saya berharap Suhakam akan segera menghubungi saya bagi membantu siasatan,” kata Lim.

Gambar-gambar berkenaan sekaligus mengketepikan dakwaan Suhakam sebelum ini bahawa tiada kanak-kanak yang dijumpai pada lawatan mereka pada 15 Julai lalu. Lawatan berkenaan dijalankan bagi menyiasat bahawa pekerja di tapak baru istana itu tidak dibayar gaji mereka oleh sub-kontraktor.

Pesuruhjaya Muhammad Sha'ani Abdullah, selepas lawatan pada Selasa lalu berkata Suhakam tidak melihat sebarang kanak-kanak di tapak berkenaan. -mk

Ulasan GB

Penubuhan SUHAKAM dilihat sebagai perabis wang negara jika mereka tidak lagi professional dan mempunyai kredibiliti sebagai sebuah badan yang bebas jika benar seperti dilaporkan di atas.

Rakyat berhak untuk menuntut supaya SUHAKAM di"suhakamkan" segera untuk dipastikan ia menepati objektif penubuhannya.

MCA Akan Berkata: Selamat Tinggal UMNO

Pemuda MCA: Kami terpaksa turun kereta seandainya...

Kenyataan Naib Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi bahawa MCA dan Gerakan adalah penumpang Barisan Nasional amatlah menyedihkan. Ramai lagi pemimpin dalam UMNO yang mempunyai pemikiran ketinggalan zaman sehingga hari ini.

Ketua Pemuda MCA Bahagian Petaling Jaya Selatan, Sheah Kok Fah berkata, gagasan 1Malaysia oleh Perdana Menteri Najib Razak menuntut rakyat untuk mengikis konsep perkauman, menyumbang kepada negara tanpa mengira kaum, dan membawa Malaysia untuk meluncur di landasan ke arah negara maju.

Namun demikian, apa yang mengecewakan, ramai lagi pemimpin UMNO yang masih kekal dengan pemikiran kuno, mengagih mengikut kuota, malah melihat isu negara dari perspektif hegemoninya, iaitu UMNO adalah big brother, kata Sheah Kok Fah.

Beliau menambah, Malaysia adalah sebuah negara yang kaya dengan sumber semula jadi. Tetapi, langkah kemajuan negara terbantut kerana dibelenggu dengan pelbagai sistem yang ketinggalan zaman. Lebih-lebih lagi, sesetengah negara seperti Singapura, China dan sebagainya telah jauh meninggalkan kita dalam tempoh 10 tahun kebelakangan.

Sheah Kok Fah berkata, logik Ahmad Zahid dan ramai lagi pemimpin UMNO yang menuntut agar kuota perkauman diaplikasikan dalam pelbagai perkara di Malaysia, merupakan sesuatu yang menongkah arus zaman.

"Gagasan 1Malaysia oleh Najib menaruh harapan agar perubahan berlaku. Tetapi sistem yang lama ini masih kekal, malah pemikiran yang kuno masih berlegar dalam minda pemimpin UMNO. Secara jujur, ekonomi Malaysia bagaikan kereta lembu yang lapuk, amat susah untuk berjalan jauh."

Sheah Kok Fah menegaskan bahawa MCA bukan penumpang, dan tidak pernah MCA tertinggal (atau tidak hadir) dalam pembangunan Malaysia.

"Seandainya pemimpin UMNO terus mengeluarkan kenyataan yang tidak elok ini, maka MCA terpaksa turun dari kereta kelak. UMNO pula akan susah untuk bersendirian."

"Kami harus sedar, dalam senario pada hari ini, mana-mana parti politik akan gagal untuk menang di kawasan pilihan raya hanya dengan sokongan satu kaum. MCA semestinya memerlukan sokongan undi Melayu, dan parti politik lain seperti PKR, DAP, PAS juga memerlukan undi Melayu. Keadaan yang sama untuk UMNO yang juga memerlukan sokongan undi Cina di banyak kawasan pilihan raya."

"Mungkin saya perlu berkata, mana-mana parti politik yang ingin memerintah, memerlukan sokongan undi orang Malaysia, sama ada undi Cina, undi Melayu atau undi India."

"Kalau kami (MCA) terus menerima layanan UMNO yang mengada-ada, mengapa tidak kita turun kereta?" -MR

*Pandangan oleh Sheah Kok Fah selaku Ketua Pemuda MCA Bahagian Petaling Jaya Selatan, diterjemahkan dari teks asal dalam bahasa Cina.

Ulasan GB

GB dah kata berulang-kali: nyawa UMNO BN sudah dekat sampai di penghujung jalan...

Bukti Nyata Polis Pilih Kasih


Gambar menunjukkan Noh Omar bersama para penyokongnya semalam di Selangor menaiki motosikal tanpa memakai topi keledar.

Apakah undang-undang hanya dikuatkuasakan kepada rakyat jelata lain sedangkan pemimpin dan pengikut UMNO tidak perlu mematuhi undang-undang?

Sila jawab wahai KPN. Sila jawab wahai polis Selangor.

Jika anda tidak boleh menjawabnya, letak jawatan sesegera mungkin sebelum anda nanti menerima hukuman keadilan dari Yang Maha Adil.


PR Akan Tegakkan Kebenaran Dan Keadilan Apabila Memerintah Nanti

Suri rumah tarik balik saman terhadap Ketua Polis Negara

Seorang suri rumah dari Muar, Johor menarik balik saman kerana menghina mahkamah terhadap Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan selepas dia dibebaskan dari Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik Batu Gajah kerana didakwa terbabit dalam aktiviti pengedaran dadah.

Peguam Datuk N. Sivananthan yang bertindak bagi pihak pemohon, Lim Mui Cheng, 42, memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa anak guamnya telah dibebaskan pada 16 Julai.

Peguam Kanan Persekutuan Datuk Kamaludin Md Said, yang hadir bagi pihak Musa memaklumkan kepada mahkamah bahawa Lim dibebaskan bukan disebabkan oleh tindakan samannya terhadap Musa.

Beliau berkata Menteri Dalam Negeri telah pun menandatangani surat pembebasan Lim namun dia masih tertakluk kepada siasatan selanjutnya.

Hakim Datuk Ghazali Cha membenarkan permohonan untuk menarik balik saman itu.

Pada 2 Julai, Ghazali membenarkan Lim mengambil tindakan saman kerana menghina mahkamah terhadap Musa setelah polis menahannya semula walaupun dibebaskan oleh mahkamah pada Mei tahun ini.

Pada 25 Mei, Hakim Datuk Mohd Sofian Abd Razak membenarkan permohonan writ habeas corpus Lim atas alasan penahanannya tidak mengikut peraturan dan memerintahkan supaya dia dibawa ke mahkamah pada 27 Mei untuk dibebaskan.

Bagaimanapun, dia ditahan semula selepas melangkah keluar dari mahkamah.

Lim ditahan bersama-sama suaminya, anak lelaki, dan teman wanitanya kerana disyaki terbabit dalam pengedaran dadah dalam satu serbuan di sebuah rumah di Taman Mawar, Muar pada 27 April.

Suri rumah itu ditahan di balai polis Johor Jaya mengikut Akta Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Khas) manakala yang lain dibebaskan dalam masa dua hari selepas serbuan itu. — Bernama

Ulasan GB

Ia adalah hak kepada Lim Mui Cheng untuk menarik balik saman terhadap Musa Hassan kerana telah dibebaskan.

Namun Musa dan Gani Patail (Peguam Negara) tidak akan sama sekali dapat melepaskan diri dari pelbagai kesalahan yang dilakukannya dan Pakatan Rakyat akan mempastikan Musa Hassan akan dibawa ke muka pengadilan satu hari nanti tatkala sistem kehakiman dipulihkan apabila PR berkuasa.

Tekanan dan kezaliman polis terhadap PR selama ini akan menyumbatkan Musa ke penjara untuk menghabiskan pencennya. Begitu juga sekalian pemimpin UMNO BN dan para pegawai-pegawai yang berlagak angkuh dan zalim terhadap rakyat.

PR tidak membalas dendam tetapi PR akan meletakkan kebenaran dan keadilan ke tempatnya yang lebih abadi.

Jika PR gagal melaksanakannya, kita yakin Allah pasti melaksanakannya.

Suruh Mufti Perak Ajar Menteri UMNO Baca Al-Quran Dahulu!

Mufti Perak: PM mahu rundingan perpaduan Umno, PAS disegerakan

Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bersetuju untuk bekerjasama dengan PAS demi untuk mempertahankan perpaduan Melayu dan Islam negara ini, dan mahu usaha itu disegerakan tanpa sebarang prasyarat.

Harussani berkata keperluan itu dibangkitkan selepas Najib mengadakan pertemuan dengan Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Agama Islam semalam bagi membincangkan soal perpaduan orang Melayu.

“Perdana Menteri setuju tapi jangan letak syarat, beliau setuju supaya disegerakan soal perbincangan di antara Umno dan PAS.

“Beliau juga bersetuju supaya perbincangan itu perlu dibuat demi untuk mempertahankan perpaduan orang Melayu dan Islam di negara ini.

“Tapi Perdana Menteri minta supaya PAS jangan berdolak-dalik dalam perkara ini, kejap kata mahu, kejap kata tidak mahu,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insider hari ini.

Sebelum ini Najib mengatakan bahawa Umno sentiasa bersikap terbuka untuk mengadakan sebarang perundingan dengan PAS yang menjurus kepada perpaduan.

Bagaimanapun, beliau yang juga Presiden Umno berkata rundingan perpaduan itu mestilah dibuat tanpa prasyarat.

“Kita sentiasa terbuka (untuk berbincang dengan PAS mengenai perpaduan) tetapi jangan ada prasyarat dan terus menghina Umno dalam ucapan-ucapan mereka.

“Kalau nak berbincang janganlah kutuk antara satu sama lain,” katanya.

Bagaimanapun Harussani berkata beliau kecewa dengan sikap pemimpin PAS yang menuduhnya melakukan satu pembohongan hanya kerana enggan mendedahkan nama pemimpin kedua-dua parti Melayu itu yang menemuinya.

“Saya kecewa dengan sikap PAS yang tuduh saya bohong kerana mereka orang Islam.

“Kalau PAS nak kata saya bohong terpulang, hanya Tuhan yang tahu kebenarannya,” katanya.

Beliau berkata, tindakan enggan mendedahkan nama pemimpin tersebut adalah kerana mahu menjaga nama dan hubungan baik dengan pemimpin itu.

“Buat apa mesti nak dedahkan nama pemimpin yang jumpa saya nanti depa (mereka) berkelahi pula.

“Lagipun saya juga perlu menjaga rahsia orang, buat apa mesti nak dedahkan semua?

“Nanti kalau saya cerita boleh menimbulkan kemudaratan lain pula,” katanya.

Sabtu lalu, Harussani berkata beliau mahu terus menyatupadukan orang Islam dan Melayu di negara ini walaupun terdapat pihak yang tidak menyenangi usaha murni beliau itu.

“Masih ada harapan (ke arah perpaduan orang Melayu), jika kita bijak mengutamakan perkara yang lebih penting ke arah mencapai matlamat ini.

“Harapan itu ada kerana kedua-duanya (Umno dan PAS) memang hendak bersatu. Itulah cita-cita saya,” katanya selepas merasmikan Perhimpunan Melayu Perak anjuran Gagasan Melayu Perak.

Harussani berkata, terdapat pemimpin kedua-dua parti Melayu berkenaan yang datang berjumpa beliau baru-baru ini bagi membincang dan meminta pandangan beliau berhubung cara untuk menyatupadukan kedua-dua parti tersebut.

Bagaimanapun kenyataan itu ditolak pemimpin tertinggi PAS dengan menyifatkannya sebagai “satu fitnah dan pembohongan.”

Dua naib presiden PAS Datuk Mahfuz Omar dan Salahuddin Ayub menegaskan, pihaknya tidak pernah memutuskan untuk meminta Harussani agar menguruskan pertemuan Umno-PAS bagi membincangkan penyatuan orang Melayu dan Islam.

Awal pagi ini Mahfuz mencabar Harussani agar mendedahkan nama pemimpin parti itu yang didakwa menemui beliau berhubung isu idea perundingan menyatukan Umno-PAS.

“Sekali lagi kami hendak mengatakan yang kami tidak menghantar dan tidak pernah memutuskan perkara ini... tidak, tidak ada orang, tiada keputusan parti.

“Semua pemimpin PAS sedar perkara (pendirian parti) ini, kami yakin mereka tidak akan bekerja bersendirian. Sebab itu saya minta Tan Sri Harussani mendedahkan nama mereka jika benar ada wakil PAS jumpa beliau,” kata Mahfuz. -TMI

Ulasan GB

Hairan sungguh kita seorang mufti yang tidak menasihatkan pemimpin-pemimpin UMNO supaya kembali kepada pegangan Islam tetapi sebaliknya patuh dan akur kepada PM kononnya meminta beliau menyegerakan perundingan perpaduan UMNO-PAS.

Kita ingin khabarkan kepada Mufti yang tak mengaku bercakap bohong itu supaya ajar Najib dan sekalian menteri-menteri UMNO yang diampu dan dibodeknya itu untuk mengaji dan mengkaji Al-Quran. Betulkan bacaan dan tajwid mereka.

Di sana akan ditemui ayat untuk bersatu: "...berpegang teguhlah kamu kepada tali Allah, jangan kamu bercerai berai.."

GB telah menyatakan sebelum ini bahawa lebih 90% menteri UMNO tidak tahu malah ada yang tidak pernah membaca Al-Quran pun!

Tidak percaya cakap GB? Bariskan semua menteri-menteri Islam dari UMNO itu dan suruh masing-masing baca sepotong ayat dari Al-Quran. Baru tahu kebenaran dakwaan GB. Itu belum disuruh ulas dan tafsir bersandarkan nas hadith dan kitab muktabar!

Jangan jadi mufti yang melembukan diri kepada nafsu dunia. Tak payah temberang dan tak payah dabik dada dengan umat Islam wahai sang mufti kerana di depan Allah pakaian mufti anda akan terlucut. Yang mulia disisi Allah adalah yang bertaqwa, yang menegakkan kalimahNya dan yang menjaga agamaNya sekalipun dia tidak ada jawatan di atas dunia. Silap gaya jawatan mufti anda itulah yang mengheret anda sebagai orang yang pertama ke neraka. - pesanan ikhlas dari seorang hambaNya.