3 Jul 2010

Tangan Kiri Serang Anwar Tangan Kanan Peluk APCO

Serang Anwar Tapi Enggan Putus Hubungan Apco

Media arus perdana terus memainkan kunjungan Dato Seri Anwar Ibrahim ke Washington DC, dengan pemimpin BN berganding-bahu dengan media pro-Zionis untuk mengecam dan mencemar imej pemimpin Pakatan Rakyat itu.

Utusan Malaysia dan media pro-BN memetik laporan dan rencana asing untuk memaparkan Anwar tunduk kepada Washington DC selepas beliau dikritik hebat kerana kenyataan yang disifatkan anti-semitik oleh pertubuhan-pertubuhan pro-Israel.

Ketua Angkatan Muda Keadilan Shamsul Iskandar bagaimanapun berkata Anwar di Washington DC tempoh hari tidak sama-sekali memohon maaf kepada rejim Tel Aviv mahupun dan enggan menarik-balik kecamannya terhadap Rumah Putih dan mana-mana syarikat berkaitan Zionis.

Shamsul berkata demikian mengulas serangan media mutakhir ini yang mendakwa Anwar berlutut kepada komuniti Yahudi, yang berang dengan serangan Anwar terhadap persekongkolan Perdana Menteri Najib Abdul Razak dan firma rundingan berkaitan Zionis, APCO Worldwide.

Najib sebelum ini dikecam hebat kerana melantik firma kontroversi itu untuk membantu kerajaan Umno. Najib juga dikritik kerana bersekutu dengan Presiden Barack Obama dalam menekan republik Islam Iran.

Disebalik serangan terbaru terhadap Ketua Pembangkang ini, Shamsul berkata Najib, dan jemaah menteri Umno masih enggan memutuskan hubungan mereka dengan firma berkaitan Zionis, Apco Worldwide.

“Apa yang kita lihat Utusan ,seolah-olah Utusan memainkan berita bahawa Anwar ini pula agen Yahudi, dan kemudian kita dedahkan kerajaan barisan nasional dibawah Dato’ Najib melantik firma yang didokongi oleh orang-orang yang terlibat dalam tentera perisikan ini dan kita dedahkan dalam Parlimen dan kita dedahkan bukti bahawa barisan nasional sebenarnya kerajaan yang betul-betul menggunakan khidmat Israel dan zionism ini dengan bayaran RM77 juta, jadi ada bezanya antara BN yang menggunakan khidmat terus dengan Dato’ Seri Anwar yang menerangkan apa yang berlaku di Malaysia ini,” katanya.

Pemerhati politik menyifatkan Perdana Menteri Najib Abdul Razak kini berlumba-lumba untuk membina imej di luar negara, terutamanya untuk bergambar bersama Presiden Amerika Syarikat Barack Obama.

Najib juga membuat kejutan dengan mengambil pendirian untuk bersekutu dengan Washington DC dalam menekan republik Islam Iran.

Shamsul menjelaskan kewibawaan dan ketrampilan Anwar di persada antarabangsa tidak dapat disangkal mana-mana pihak, bahkan Ketua Pembangkang itu tidak perlu menikam belakang mana-mana negara Islam atau melantik mana-mana firma berkaitan Zionis untuk menjalin kerjasama dengan dunia luar.

“Itu adalah satu jemputan Woodrow, satu pertubuhan yang meminta ,beliau untuk memberi ucaptama mengenai Islam and democracy in southeast asia,itu adalah satu isu yang terus menerus diperjuangkan oleh Dato’ Seri Anwar,tokoh reformasi di rantau asia ini,mengungkapkan makna Islam dan demokrasi,dalam masa yang sama beliau mengambil kesempatan untuk bertemu dengan tokoh-tokoh penting di dalam negara Amerika,tidak timbul dia datang ke sana untuk memujuk,dan menagih simpati daripada mereka yang Yahudi dan jew dan sebagainya di Amerika,” katanya.

Shamsul berkata Anwar mengambil peluang dari jemputan Woodrow itu untuk menjelaskan bahawa penentangan masyarakat Islam Malaysia adalah terhadap ideologi Zionis, dan rejim Israel yang menjajah bumi Palestin.

Bantahan kepada pencerobohan perisik Israel ke Bukit Aman serta perlantikan firma perunding berkaitan Zionis adalah manifestasi kemarahan rakyat Malaysia yang menolak ideologi gasar itu.

“Saya yakin,penegasan yang dibuat oleh Dato’ Seri Anwar itu jelas Dato’ Seri Anwar menerangkan apa yang dimaksudkan dengan Zionism dalam konteks masyarakat Islam di rantau asia khususnya di Malaysia bahawa Zionism itu satu perkara yang bersifat ganas, satu fahaman yang membawa kepada penjajahan,dan penjarahan,satu fahaman yang membawa kepada agression,kepada keganasan dan ini yang diterangkan oleh Dato’ Seri Anwar,” katanya.

SPRM Bermain Helah, Elak Siasat Najib

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia disyaki cuba melengah-lengahkan siasatan keatas akuan bersumpah yang mengaitkan Presiden Umno Najib Abdul Razak kepada wanita warga Mongolia Altantuya Shaariibuu.

Sayap pemuda Parti Keadilan Rakyat berpandangan SPRM tidak perlu berselindung disebalik alasan mahkamah tidak akan menerima keterangan yang diambil di luar negara kerana umum sedia maklum suruhanjaya tidak berdaya untuk menyiasat skandal membabitkan Najib dan kaum kerabat beliau.

Ketua Angkatan Muda Keadilan berkata rakyat tidak berminat untuk mendengar alasan, kerana agensi penyiasatan jenayah seperti SPRM dibayar gaji oleh pembayar cukai untuk membongkar akuan bersumpah penyiasat persendirian P Balasubramaniam yang mendedahkan perselingkuhan antara Presiden Umno terbabit dan Altantuya, serta kronologi kejadian yang membawa kepada pembunuhan wanita Mongolia itu.

SPRM dilaporkan membatalkan hasrat untuk mengambil keterangan bekas anggota Cawangan Khas itu di London pada saat-saat akhir. SPRM berbuat demikian diatas nasihat Pejabat Peguam Negara.

Anggota Jawatankuasa Penasihat SPRM Tan Sri Megat Najmuddin Megat Khas juga dilaporkan mengalu-alukan pembatalan tersebut atas alasan ia membazirkan wang rakyat.

Shamsul Iskandar Md Akin melahirkan kekesalan diatas kenyataan tersebut dan berkata bukan tanggungjawab SPRM untuk bimbangkan kesusutan Perbendaharaan Negara atau apakah keterangan PI Bala akan diterima mahkamah atau tidak.

"SPRM telah membuat pembohongan yang nyata, menunjukkan mereka perkakas pemerintah. Kita mahu SPRM yang lebih tegas, menyiasat skandal ini secara mendalam. Pada saya mereka cuba berhelah dan melengah-lengahkan siasatan, dan sehingga kini saya tidak mendengar sebarang usaha serius dari SPRM," tegas Shamsul.

Altantuya Shariibuu dikatakan membantu urusan perolehan kapal selam Scorpene, dan menuntut wang komisyen yang dijanjikan kepadanya oleh rakan karib Presiden Umno terbabit, Abdul Razak Baginda.

Wanita cantik ala-model ini ditembak dan diletupkan dengan bom peledak kegunaan tentera oleh Cif Inspektor Azilah Hadri dan Lans Korporal Sirul Azhar Umar dari cawangan elit Unit Tindakan Khas PDRM.

PI Bala dalam akuannya mendedahkan beliau digesa dan cuba disogok supaya menarik-balik akuan yang mengaitkan Presiden Umno terbabit kepada wanita Mongolia itu oleh salah-seorang ahli keluarga Najib.

“Dalam kes PI Bala ini,terdapat bukti yang nyata,terdapat pengakuan,terdapat juga affidavit,terdapat pengakuan video Balasubramaniam sendiri yang memberitahu secara jelas yang memberi wang untuk menutup kes ini”

Abdul Razak Baginda dikatakan menemui pegawai yang bertanggungjawab kepada keselamatan Najib, DSP Musa Safri sebelum kejadian bunuh itu. Timbalan Komander UTK ACP Mastor Mohd Ariff di mahkamah sebelum ini mendedahkan anggota UTK dilatih hanya untuk mengikut arahan pegawai atasan mereka.

Megat Najmuddin berkata, Balasubramaniam sepatutnya pulang dan memberikan keterangan secara sukarela kepada pihak berkuasa. -TVS

KDN Tak Puas Hati Jawapan SK, Rakyat Tak Puashati Tindakan KDN

Pergantungan permit penerbitan Suara Keadilan perlu dibatalkan segera kerana ia akan menggambarkan keihklasan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mewujudkan pentadbiran terbuka dan sistem yang lebih toleran serta bertanggungjawab.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang menyifatkan tindakan yang dikenakan terhadap organ rasmi KEADILAN itu sebagai satu tindakan pilih kasih sedangkan akhbar seperti Suara Perkasa yang bersifat menghasut dan berbaur perkauman dibenarkan penerbitannya.

Beliau merujuk kepada penerbitan Suara Perkasa beberapa hari lepas dengan tajuk muka hadapannya meminta kerajaan mengambil tindakan Akta Keselamatan Negeri (ISA) terhadap Ketua Pemuda MCA, Datuk Dr Wee Ka Siong.

Beliau menyifatkan tindakan yang dikenakan terhadap Suara Keadilan merupakan satu kemenangan kepada kumpulan pelampau perkauman seperti Perkasa yang diterajui oleh pemimpinnya, Datuk Ibrahim Ali.

Katanya, penggantungan permit Suara Keadilan bercanggah dengan jaminan perdana menteri kononnya untuk mewujudkan pentadbiran telus dan terbuka, sedangkan penerbitan bersifat perkauman dan menghasut seperti Suara Perkasa dibiarkan edarannya secara meluas.

"Pergantungan permit organ KEADILAN, Suara Keadilan oleh Kementerian Dalam Negeri menggunakan Akta Penerbitan dan Mesin Cetak perlu dibuat secara munasabah kerana ia bertentangan dengan ikrar Perdana Menteri untuk mewujudkan satu sistem yang lebih terbuka, toleran, telus dan bertanggungjawab dalam pentadbirannya," ujar beliau dalam satu kenyataan semalam.

Tegasnya, memandangkan Felda telah mengambil tindakan undang-undang terhadap Suara Keadilan, adalah tidak wajar bagi pihak KDN meneruskan intimidasinya terhadap akhbar itu kerana perkara itu telah di bawa ke mahkamah.

"Satu daripada isu yang digunakan untuk menjustifikasi penggantungan Suara Keadilan ialah laporannya mengenai status kewangan Felda.

"Bagaimanapun, oleh kerana Felda telah memulakan saman RM200 juta dan tindakan undang-undang terhadap Suara Keadilan mengenai laporan itu, ia tidak sepatutnya menjadi asas untuk mana-mana tindakan oleh Kementerian Dalam Negeri," kata Kit Siang lagi. -SK


Gantung Suara Keadilan Langkah Pertama Tekan Media Malaysia

Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata isu permohonan memperbaharui permit penerbitan lidah rasmi parti, Suara Keadilan yang ditolak Kementerian Dalam Negeri semalam menunjukkan betapa pentingnya Malaysia menggubal atau meminda dasar yang dapat memahami dan mencerminkan keadaan global negara.

"Pagi tadi Suara Keadilan diharamkan, esok program saya di Johor dibatalkan. Nasib baik mereka tak sempat tahu pasal program Mitchell Kapoor hari ini, kalau tidak dibatalkan sekali lagi," kata beliau membidas tindakan kerajaan Umno-Barisan Nasional yang berusaha mengekang aktiviti KEADILAN.

Permohonan tersebut tidak dipertimbangkan KDN atas alasan jawapan kepada surat tunjuk sebab yang diberi kepada Suara Keadilan pada 28 Jun lalu tidak memuaskan.

Tindakan KDN ini dipercayai berhubung tajuk laporan 'Felda Bankrap' yang disiarkan dalam edisi 22-29 Jun akhbar tersebut.

Ekoran itu, semalam Felda telah menghantar surat tuntutan ganti rugi sebanyak RM200 juta serta permohonan maaf daripada Suara Keadilan Anwar berkata kini tiada berita penting dan utama dipaparkan di media arus perdana kerana kesemuanya dikawal oleh kerajaan.

Sebelum itu ketika berucap di forum Inovasi dan Keusahawanan di Bangunan SUK, di sini hari ini, Anwar berkata Malaysia mempunyai tabungan simpanan tertinggi tetapi pelaburan asing terendah di Asia.

Beliau membidas akhbar seperti Utusan Malaysia yang menyorokkan komen beliau tentang Rancangan Malaysia Ke-10 yang mendedahkan kepincangan Malaysia yang mempunyai tabungan simpanan tertinggi tetapi pelaburan asing terendah di Asia.

Sebaliknya media arus perdana sibuk memburukkan beliau sebagai agen Yahudi dan Amerika.

Komen beliau mengenai kelemahah RMK-10 tidak akan dipaparkan langsung di dalam mana-mana media arus perdana yang dikawal kerajaan Umno-BN kerana takutkan kebenaran daripada diketahui umum.

Beliau juga mengulas mengenai lawatannya ke Amerika Syarikat baru-baru ini untuk menyampaikan syarahan.

"Saya telah dipanggil ke AS untuk berucap di Pusat Woodrow Wilson berkenaan hak asasi manusia dan telah berjumpa dengan beberapa sahabat yang masa telah dikritik oleh media arus perdana seolah-olah saya cuba membaiki hubungan dengan Yahudi.

"Sahabat saya terdiri daripada pelbagai kaum dan saya sendiri tidak tahu samada mereka Yahudi atau tidak. Ada antara mereka yang mengenali saya tetapi saya tidak begitu mengenali mereka. Yang penting di sini ialah saya tidak melihat mereka dari aspek perkauman tetapi perjuangan mereka dan begitu juga sebaliknya, mereka bukannya berkawan dengan saya kerana saya Melayu," tegas beliau lagi. -SK


Ulasan GB

Begitu mudah KDN untuk menarik balik permit Suara Keadilan hanya kerana tak berpuashati jawapan dari SK didalam balasan surat tunjuk sebab.

Kita ingin nyatakan rakyat tak berpuas hati dengan tindakan diskriminasi dan pilih kasih KDN mengharamkan SK tetapi pada masa yang sama membisu dan membiarkan akhbar Suara Perkasa yang jelas mewujudkan ketegangan kaum.

Letak jawatan kamu-kamu semua di KDN sebelum kamu dicampak keluar oleh rakyat nanti!

MP Tawau Pertikai Penyerahan Blok L Dan M Kepada Brunei

Sabah MP pertikai serah Blok L & M kepada Brunei

Ahli Parlimen Tawau Chua Soon Bui menggesa disediakan satu ‘Kertas Putih’ mengenai penyerahan tiga juta ekar kawasan perairan maritim yang kaya dengan minyak dan gas kepada Brunei.

Beliau yang juga Naib Presiden Parti Progresif Sabah berkata rakyat Malaysia masih keliru dan ingin tahu kebenaran disebalik penyerahan dua blok berikutan pelbagai kenyataan yang dibuat oleh berbagai wakil kerajaan.

Kenyataan-kenyataan itu bagaimanapun gagal menjawab pelbagai keraguan yang timbul membabitkan kerugian sebanyak RM320 bilion hasil minyak dan gas kepada Malaysia.

"Kita bukan sahaja kehilangan sumber minyak dan gas yang berharga, malah juga kehilangan wilayah perairan untuk tujuan pengangkutan, hidupan marin dan sumber makanan," kata Chua.

"Kertas Putih itu bertujuan untuk faedah dan memelihara kepentingan semua rakyat Malaysia, terutamanya di Sabah dan Labuan.

"Saya timbulkan persoalan ini kepada Jabatan Perdana Menteri untuk menjelaskan segala kesangsian yang timbul agar hak dan kepentingan rakyat senantiasa dilindungi," katanya dalam satu ucapan penangguhan di Parlimen baru-baru ini.

Chua menegaskan rakyat selama ini mempersoalkan kesahihan penyerahan dua blok itu, terutamanya sama ada kawasan maritim Sabah (utara Labuan) disempadankan semula, atau langkah ini melanggar Artikel 2 Perlembagaan Persekutuan hingga boleh menyebabkan ianya terbatal dan tidak mengikut perlembagaan.

Kalau Malaysia boleh merujuk kes Pulau Sipadan ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) dan memenangi kes itu pada Disember 2002, kerajaan harus melakukan perkara yang sama dalam kes ini.

Saya yakin tiga juta ekar Blok L dan M dengan minyak dan gas bernilai RM320 bilion adalah sangat bernilai dan mendatangkan manfaat sama seperti Pulau Sipadan.

Jika benar wujudnya pertikaian dalam hal ini dengan Brunei, kenapa kes ini tidak dirujuk ke ICJ memandangkan Malaysia mempunyai kepakaran dalam undang-undang perairan antarabangsa? soal beliau.

Chua berkata, rakyat Sabah hairan kerajaan sanggup bersusah payah menuntut pulau Batu Putih dan membelanjakan berjuta-juta ringgit untuk menuntut perairannya, tetapi langsung tidak berani untuk menuntut blok-blok itu yang kaya dengan minyak dan gas

Jambatan Bengkok : Nazri Saja Sakitkan Hati Mahathir

Nazri: Jambatan bengkok ganti Tambak Johor tidak dibina

Pentadbiran Najib tiada rancangan untuk menghidupkan semula jambatan bengkok yang pernah diilhamkan oleh bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bagi menggantikan Tambak Johor, kata Datuk Seri Nazri Aziz.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata, kerajaan akan kekal dengan keputusan yang dicapai antara Datuk Seri Najib Razak dan Tun Abdullah Ahmad Badawi ketika pentadbiran perdana menteri terdahulu itu.

“Keputusan pentadbiran kerajaan semasa kekal dan berpegang pada keputusan yang dibuat oleh pentadbiran sebelum ini, di bawah (kepimpinan) Tun Abdullah Ahmad Badawi.

“Jambatan bengkok tidak akan dibina. Tidak ada perbincangan untuk menghidupkan projek ini,” kata beliau kepada The Malaysian Insider.

Tegas Nazri, kerajaan tidak boleh dengan sewenang-wenangnya memberi reaksi kepada laporan media, yang memetik individu-individu tertentu yang mendesak agar idea itu dihidupkan semula.

Sebaliknya kata beliau, persetujuan dan permintaan daripada pelbagai perlu dipertimbangkan sebelum projek ini boleh dihidupkan semula.

“Perlu ada kenyataan rasmi daripada kerajaan negeri Johor dan Singapura juga perlu bersetuju dengannya,” kata Nazri lagi.

Bagaimanapun kata beliau, kerajaan Singapura belum bersetuju dengan perkara berkaitan dengan jambatan bengkok.

“Oleh itu adalah sukar, di banyak peringkat, untuk meneruskan projek ini,” kata menteri undang-undang ini dan yang bertanggungjawab ke atas hal ehwal Parlimen.

“Ketika era beliau, Dr Mahathir mahu membina (jambatan bengkok) untuk mengurangkan kesesakan di Tambak Johor. Tetapi, malah ketika itu pun Singapura tidak bersetuju,” katanya.

Keputusan kerajaan ini dinyatakan oleh Nazri di sebalik pandangan Dr Mahathir baru-baru ini dan permintaan Sultan Johor minggu lalu agar menghidupkan semula projek berkenaan.

Dalam tulisan menerusi blognya Rabu lalu, Dr Mahathir mengulangi pendirian beliau agar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menghidupkan semula pelan membina “jambatan bengkok” yang pernah dicadangkannya untuk menggantikan Tambak Johor yang menghubungkan Johor dan Singapura.

Sehubungan itu, bekas perdana menteri menyoal sebab Najib enggan meneruskan idea berkenaan memandangkan perkara tersebut juga telah disentuh oleh Sultan Johor minggu lalu.

“Dilaporkan bahawa Sultan Ibrahim Iskandar, Sultan Johor telah bertitah bahawa baginda suka untuk melihat jambatan menggantikan tambak Johor.

“Demikian juga dititah oleh Al-Marhum Sultan Iskandar bahawa baginda hendak tambak Johor diganti dengan jambatan.

“Saya tidak pernah dengar rakyat Johor kecuali seorang yang bersetuju kekalkan tambak dan kesesakan lalu lintas di Johor Baru kerananya. Demikian juga saya tidak dengar bantahan oleh rakyat Malaysia terhadap projek jambatan mengganti tambak Johor ini,” kata Dr Mahathir.

Pada 26 Jun lalu, Sultan Ibrahim meminta kerajaan mempertimbangkan semula rancangan asal pembinaan jambatan menggantikan Tambak Johor.

Dalam ulasan segera pada hari yang sama Najib berkata, kerajaan akan mengkaji semula rancangan asal pembinaan jambatan bagi menggantikan Tambak Johor.

Bagaimanapun Perdana Menteri tidak mengulas lanjut berhubung perkara itu.

Dr Mahathir menegaskan terdapat juga surat daripada bekas perdana menteri Singapura Goh Chok Tong yang disiarkan oleh kerajaan Singapura dalam buku “Water Talks - If Only It Could” bahawa beliau tidak membantah pembinaan jambatan di perairan Malaysia jika itu dikehendaki oleh Malaysia.

Oleh itu kata Dr Mahathir, yang menolak pembinaan jambatan ini hanyalah Abdullah yang mendakwa rakyat Johor tidak mahu jambatan ini walaupun tiga hari sebelum kenyataan ini dibuat timbalan perdana menteri ketika itu iaitu perdana menteri sekarang telah mengesahkan bahawa Jambatan berkenaan tetap akan dibina.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Pulai Datuk Nur Jazlan Mohamed pula berkata Dr Mahathir memberi tumpuan perkara remeh-temeh dan sebab utama beliau membawa semula isu ini adalah kerana tidak berpuas hati dengan perjanjian terbaru antara Malaysia dan Singapura.

“Dr Mahathir hanya tidak gembira dengan perjanjian terbaru dengan Singapura. Apakah nilai sebenar jambatan bengkok ini? Mengambil kira kos asas, tidak munasabah untuk menghidupkan semula projek ini,” kata beliau ketika dihubungi.

Ketua Umno Bahagian Pulai itu berkata, meskipun jambatan alternatif hendak dibina ia tidak akan mengurangkan kesesakan di Tambak Johor.

“Kesesakan masih akan wujud pada waktu puncak di Tambak Johor, jambatan bengkok tidak akan mengubah keadaan itu,” katanya lagi.

Jelas beliau, kerajaan sudah mula melakukan pengubahsuaian di Tambak Johor dengan membenarkan lebih banyak kereta dan bot kecil dan feri berulang alik dari Johor ke Singapura.

“Sudah ada kerja-kerja mendalamkan perairan yang menghubungkan sebelah kiri dan kanan Tambak Johor, bagi membolehkan feri, bot menggunakan terusan ini,” kata Nur Jazlan.

Dalam pertemuan antara Najib dan rakan sejawatannya dari Singapura Lee Hsien Loong baru-baru ini isu jambatan bengkok atau jambatan ketiga tidak dibincangkan pada pertemuan mereka.

Najib mengemukakan idea jambatan ketiga yang menghubungkan Singapura dan Malaysia Jun tahun lalu, yang boleh mencergaskan pembangunan di sebelah timur Johor dan di kawasan-kawasan seperti Mersing dan Desaru.


Kerajaan Akan Kaji Semula Jambatan Ganti Tambak Johor - PM

KUANTAN, 26 Jun (Bernama) -- Datuk Seri Najib Tun Razak pada hari Sabtu berkata kerajaan akan mengkaji semula rancangan asal pembinaan jambatan bagi menggantikan Tambak Johor.

Bagaimanapun Perdana Menteri tidak mengulas lanjut berhubung perkara itu.

"Akan dikaji," kata Najib kepada pemberita selepas merasmikan Program Mengukuh Wadah Memperkasa Ummah anjuran Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) di sini.

Najib berkata demikian ketika diminta mengulas titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar yang mahu kerajaan mempertimbangkan semula rancangan asal pembinaan jambatan menggantikan Tambak Johor.

Ketika merasmikan bangunan JB Sentral dan melancarkan Kembara Mahkota Johor 2010 di Dewan Menunggu Penumpang, JB Sentral di Johor Baharu hari ini, Sultan Ibrahim bertitah Tambak Johor amat penting kepada rakyat malah institusi kesultanan Johor sejak pemerintahan terdahulu sentiasa memberi sokongan kepada usaha menaik taraf Tambak Johor. -TMI

-- BERNAMA



Dr M: Abdullah, bukan Najib tolak bina jambatan

Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini tampil sebagai pelindung kepada pentadbiran Datuk Seri Najib Razak yang menerima kritikan berhubung pembinaan jambatan baru menggantikan Tambak Johor.

Sokongan itu timbul ketika Najib berhadapan dengan label "perdana menteri flip-flop" berhubung kegagalannya meneruskan pembinaan jambatan berkenaan, serta tindakannya membatalkan pemberian lesen judi sukan kepada Ascot Sports Sdn Bhd.

Dr Mahathir sebaliknya menyalahkan penggantinya Tun Abdullah Ahmad Badawi kerana menolak cadangan pembinaan jambatan tersebut.

Dalam coretan di blognya hari ini, Dr Mahathir turut mengemukakan persoalan sama ada Najib terikat dengan janji yang dibuat oleh 'PM kelima' itu.

"Yang menolak pembinaan jambatan ini hanyalah perdana menteri kelima (Abdullah) yang mendakwa rakyat Johor tidak mahu jambatan ini.

"(Sedangkan) tiga hari sebelum kenyataan ini dibuat, timbalan perdana menteri ketika itu, iaitu perdana menteri ketika ini, telah mengesahkan bahawa jambatan berkenaan tetap akan dibina," katanya.

Mahathir juga berkata, persoalan ini ditimbulkannya memandangkan rakyat tertanya-tanya mengapakah “Najib yang penuh berkuasa tidak sanggup meneruskan pembinaan jambatan ini.”

"Apakah beliau terikat janji dengan perdana menteri kelima (Abdullah)? Apakah status janji ini?," soalnya.

Dr Mahathir juga mendakwa al-Marhum Sultan Johor Sultan Iskandar bersetuju supaya tambak berkenaan digantikan dan perkara itu disokong oleh seluruh rakyat Johor "kecuali seorang."

"Demikian juga saya tidak dengar bantahan oleh rakyat Malaysia terhadap projek jambatan mengganti tambak Johor ini," katanya lagi.

Tambahnya, bekas perdana menteri Singapura Goh Chok Tong juga menyetujui cadangan itu, melalui satu surat yang diterbitkan dalam sebuah buku berjudul "Water Talks - If Only It Could."

"Goh tidak membantah pembinaan jambatan di perairan Malaysia jika itu dikehendaki oleh kerajaan Malaysia," tulisnya lagi. -mk


Ulasan GB

Semua orang kenal Nazri. Menteri yang tak der kredibiliti sebagai menteri. Yang ada pada dirinya ialah sifat mengampu. Masa Mahathir jadi PM, diampunya Mahathir, semasa Pak Lah jadi PM, diampunya Pak Lah dan kini semasa Najib jadi PM, Najib pula diampunya.

Beliau menyerang Mahathir habis-habisan. Sekalipun Najib sendiri menyatakan kerajaan akan mengkaji semula rancangan asal pembinaan jambatan bagi menggantikan Tambak Johor, tapi Nazri mendahului kabinet dengan menyatakan Pentadbiran Najib tiada rancangan untuk menghidupkan semula jambatan bengkok.

Tujuan Nazri ialah untuk mempersenda dan menyakitkan hati Mahathir kerana Mahathir orang yang mengilhamkan jambatan itu.

Kita tahu Najib tidak dapat mengenepikan Nazri sekalipun Najib cuba memenuhi hasrat Mahathir kerana Najib terhutang budi kepada Nazri selaku menteri undang-undang dan Nazri telah membantu Najib menyerang Pakatan Rakyat di Parimen. Tergantungnya Gobind Singh Deo dari Parlimen kerana menghentam Najib adalah diatas usaha Nazri. Kini Anwar yang merupakan musuh no. 1 Najib juga dalam proses penggantungannya akibat dari tindakan Nazri.