21 Mei 2010

Usah takutkan pelajar untuk berpidato: Saifuddin

Kementerian Pengajian Tinggi meminta institusi pengajian tinggi awam supaya tidak terlalu cepat mengambil tindakan tatatertib terhadap pelajar yang meluahkan pandangan berbeza dengan arus perdana dan dasar kerajaan ketika berdebat di Sudut Pidato.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah, berkata tindakan sedemikian hanya akan menimbulkan rasa takut dan bimbang di kalangan pelajar untuk berpidato.

Beliau berkata, IPTA sebaliknya harus mewujudkan suasana yang lebih kondusif supaya pelajar tidak takut untuk menyuarakan apa saja pendapat mereka termasuk mengenai politik, bagi menyemarakkan budaya berfikir secara kritis di kalangan mereka.

"Saya nak ingatkan supaya sekiranya dalam Sudut Pidato itu pelajar menyuarakan sesuatu yang dianggap bertentangan atau berlainan jangan hukum. Kalau dia salah betulkan dengan cara yang bijaksana.

"Kalau kita mula menghukum siapa pun tak nak pergi ke Sudut Pidato, menghukum itu harus menjadi tindakan yang akhir," katanya kepada pemberita selepas Majlis Konvokesyen Ke-2 Kolej Antarabangsa Taj, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

Saifuddin sebelum ini menyuarakan kekecewaan apabila Sudut Pidato yang disediakan di IPTA tidak mendapat sambutan.

Antara sebab yang dikenal pasti ialah kebimbangan dikenakan hukuman sekiranya meluahkan pendapat berbeza dengan arus perdana.

Rayuan Anwar Ditolak Lagi, Hairankah Kita?

Mahkamah Rayuan hari ini menolak permohonan Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi menangguhkan perbicaraan kes liwat melibatkan beliau sebagai tertuduh sementara menungggu keputusan rayuan beliau terhadap keputusan Mahkamah Tinggi mengetepikan permohonannya bagi mendapatkan kenyataan saksi, yang juga penuduhnya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Panel hakim terdiri Datuk Sulong Matjeraie, Datuk Ramly Ali dan Datuk Zaharah Ibrahim memutuskan bahawa adalah tidak wajar bagi mereka meluluskan penangguhan itu sementara menunggu keputusan rayuan berkenaan.

Sulong berkata keputusan Mahkamah Tinggi itu dibuat ketika berlangsungnya suatu perbicaraan dan tidak mengetepikan hak pihak terbabit.

“Sekiranya permohonan perayu kepada Mahkamah Rayuan diterima, saksi SP1 (Mohd Saiful) masih boleh dipanggil semula untuk disoal pada mana-mana peringkat perbicaraan sebelum penghakiman dibuat dan prosiding sewajarnya bagi mencabar keterangan saksi itu masih boleh diadakan,” kata beliau.

Hakim Zaharah menggantikan Hakim Mohamed Apandi Ali, yang secara sukarela menarik diri daripada mendengar permohonan itu, selepas peguam Karpal Singh yang mewakili Anwar, membantah kehadiran beliau dengan alasan hakim itu mempunyai hubungan dengan Umno pada masa lampau.

Bercakap kepada pemberita kemudiannya, Karpal Singh berkata beliau akan mengemukakan permohonan kepada mahkamah supaya menetapkan pendengaran rayuan itu sebelum 31 Mei.

Mahkamah Tinggi menetapkan 31 Mei sebagai tarikh bagi menyambung semula perbicaraan kes itu.

Anwar mahu pihak pendakwaaan memberikan kepada beliau kenyataan saksi Mohd Saiful kerana mendakwa terdapat perkara yang tidak konsisten antara keterangan Mohd Saiful dan pertuduhan liwat yang dikenakan terhadapnya.

Pihak pembelaan berhujah bahawa Mohd Saiful berkata perbuatan liwat yang didakwa berlaku itu dibuat tanpa kerelaannya tetapi Anwar dituduh mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan berkaitan hubungan seks secara rela.

Anwar mengemukakan permohonan kepada Mahkamah Rayuan supaya menangguhkan perbicaraan kes itu selepas Mahkamah Tinggi menolak permohonannya untuk berbuat demikian pada 13 Mei.

Anwar, 63, dituduh meliwat bekas pembantunya itu di Unit 11-5-1 Kondominimum Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, antara 3.01 petang dan 4.30 petang 26 Jun 2008.

Jika disabitkan kesalahan, beliau boleh dikenakan hukumaan penjara sehingga 20 tahun dan disebat.

Dalam hujahnya hari ini, Karpal Singh berkata perbicaraan itu akan menjadi sia-sia sekiranya Anwar berjaya dalam rayuannya dan permohonan bagi menangguhkan perbicaraan ini tidak diluluskan.

Hujah beliau bahawa keputusan Mahkamah Tinggi menolak permohonan Anwar bagi mendapatkan kenyataan tersebut boleh dirayu telah dibantah oleh Peguam Cara Negara II Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden, yang mengetuai pihak pendakwaan dalam perbicaraan kes liwat itu.

Mohd Yusof berkata keputusan Mahkamah Tinggi itu dibuat ketika berlangsungnya satu perbicaraan dan tidak boleh dirayu kerana ia adalah perintah muktamad. — Bernama

Ulasan GB

Walaupun Hakim Md Apandi Ali menarik diri dan digantikan dengan Hakim Datuk Zaharah Ibrahim, namun seperti yang pernah GB nyatakan sebelum ini di SINI

Ada beberapa kes terpilih yang mana Pakatan Rakyat atau mana-mana individu yang melawan institusi kerajaan akan PASTI ditewaskan apabila ianya sampai ke penal Mahkamah Persekutuan. Diantaranya kes Perak, kes liwat DSAI, kes melibatkan SPRM, kes melibatkan SPR, kes melibatkan PDRM.

Buka semula penghakiman kes-kes berkenaan Mahkamah Persekutuan, jika anda rasa GB tidak berkata benar.

Dan ingat juga kes correct, correct, correct. Si hakim bedebah yang membaca kertas penghakiman yang disediakan oleh peguam yang terlibat di dalam kes yang dibicarakan masih lepas bebas dan tidak diambil sebarang tindakan.


Dalam kes ini, belum pun sampai Mahkamah Persekutuan, baru Mahkamah Rayuan, dah ditolak.

Jadi hairankah kita bila hakim-hakim menolak permohonan Anwar ini?

Masyarakat Cina Mula Memahami Perjuangan PAS

Air mata berlinangan mendengar ceramah Mat Sabu

"Kami orang PAS menghormati anutan agama lain. Kami tak boleh paksa orang mengikut adat kami. Kalau kamu (bukan Islam) nak minum arak, minumlah! Kamu nak makan babi, makanlah! Saya tak boleh halang..."

Demikianlah kata-kata pemimpin PAS Mohamad Sabu, yang mungkin tidak asing untuk komuniti Cina di Semenanjung Malaysia yang pernah mengikuti ceramahnya, tetapi sesuatu yang bukan sahaja baru, tetapi terharu buat penduduk Cina di Sibu, Sarawak.

Semasa Mohamad Sabu berucap di Sungai Merah, berkempen untuk DAP dalam PRK Sibu, seorang wanita Cina didapati berlinangan air matanya mendengar kata-kata ini. Wong Shu Qi, wartawan MerdekaReview menceritakan pemerhatian seorang jurugambar, ketika berkongsi pengalamannya dalam satu forum bertemakan PRK Sibu, semalam.

Forum yang dianjurkan bersama oleh MerdekaReview, Jawatankuasa Sosial-Ekonomi Dewan Perhimpunan Cina KL-Selangor semalam menarik kira-kira 100 orang hadirin. Selain Wong Shu Qi, barisan ahli panel termasuklah ahli parlimen Batu-PKR Tian Chua, ADUN Teratai-DAP Jenice Lee, dan Penyelaras Sibu Election Watch (SEW) Ong Boon Keong.

Perubahan suasana politik

Suasana politik yang berbeza antara Malaysia Timur dan Barat mungkin antara faktornya SUPP memainkan semula isu "Negara Islam" di kalangan komuniti Cina-bukan Islam, biarpun isu ini terbukti hilang mujarabnya setelah dicuba MCA di Semenanjung, semasa dan selepas PRU ke-12.

Untuk beberapa hari SUPP cuba mengasak isu ini kepada DAP, namun serangan ini berjaya dipatahkan apabila pemimpin PAS seperti bekas Menteri Besar Perak, Mohd Nizar Jamaluddin, Mohamad Sabu dan lain-lain tampil untuk meredakan keresahan dan keraguan komuniti Cina-bukan Islam.

Sesungguhnya, suasana politik Sibu diselubungi ketakutan, lantaran kawalan sosialnya yang begitu ketat, bukan sahaja perisik di merata tempat, tetapi jalinan hubungan yang rapat dalam komuniti tersebut sehingga hilang kerahsiaan peribadi. Penduduk didapati masih bersikap dingin terhadap politik, takut diambil gambar dan menyatakan pendirian secara terbuka, kata Wong Shu Qi.

Namun demikian, keadaan berubah sedikit demi sedikit sebagaimana yang diperhatikan dalam PRK Sibu ini. Jenice Lee berkata, biarpun ramai pengundi yang menunjukkan sokongan terbuka mereka kepada SUPP, tetapi mereka sebenarnya menyokong DAP-PR secara senyap-senyap ketika memangkah undi. Malah, Lim Kit Siang yang 10 tahun lalu perlu disorok di hotel sebelum dan selepas ceramah, kini lebih disenangi dan disambut mesra oleh penduduk tempatan.

"10 tahun yang lalu, suasana begitu janggal, di mana komuniti tempatan bimbang ancaman 'pengaruh luar', iaitu dari semenanjung, tapi kali ini mereka mengalu-galukan kedatangan kami, malah mengundang kami supaya lebih kerap melawat tempat mereka," kata Jenise Lee.

Strategi SUPP berkecamuk

Langkah SUPP nyata berkecamuk apabila berdepan dengan serangan DAP-PR. Dalam beberapa hari yang terakhir, SUPP dikatakan mengupah wartawan senior dari Kuching untuk menyediakan bahan kempen, malah mengupah syarikat pengiklanan untuk mereka iklan SUPP-BN, kata Wong Shu Qi.

Pemilikan media cetak mungkin antara faktornya SUPP merasakan dirinya tidak memerlukan media internet, lantas bersikap kurang mesra kepada wartawan media internet yang datang dari Semenanjung Malaysia. Jika dibandingkan dengan perang media yang dilancarkan oleh DAP, yang memanfaatkan sepenuhnya kemudahan sms, email dan sebagainya, SUPP jelas masih belum menyesuaikan diri dengan pengunaan media baru.

"Wartawan (khususnya media internet) mengadu kerana gagal menemui calon SUPP-BN. Kain rentang mereka masih ditulis dengan tangan. Mereka hanya menyediakan kenyataan media mereka dalam hard copy, meminta pendrive daripada wartawan pula apabila diminta soft copy-nya, seolah-olah tiada konsep 'email' untuk mereka," kata Wong Shu Qi.

Sebaliknya, DAP lebih tersusun dalam mengatur serangan kempennya. Menyedari bahawa calonnya, Richard Wong Ho Leng yang dianggap "kurang mesra", menurut hasil soal selidik sebelum bermula PRK Sibu, maka DAP menampilkannya imejnya yang mesra dalam bahan kempen pusingan pertama.

Malah, Wong Shu Qi mendapati bahan kempen DAP-PR sebenarnya menyentuh hati pengundi, apabila isu yang dibangkitkan mengusik apa yang terpendam dalam hati pengundi. Misalnya, masalah generasi muda berpindah ke luar negeri untuk mencari nafkah, berikutan pembangunan Sibu yang semakin menjunam, ditampilkan dengan poster orang tua menunggu kepulangan anak setahun sekali.

Selain daripada itu, Jenice Lee juga menceritakan bagaimana DAP-PR menangkis serangan SUPP-BN, yang menaikkan papan dengan mesej "undi kepada DAP adalah undi kepada PAS, yang akan berakhir dengan ketidakaslian mee kampua. Mee Kampua ialah makanan tempatan kesukaan penduduk Sibu, yang dimasak dengan daging dan minyak khinzir. Mesej tersirat dalam iklan ini adalah, negara Islam yang ditubuhkan PAS akan mengharamkan daging khinzir.

DAP-PR lantas membalas dengan iklan "rambut putih dalam Mee Kampua lebih dahsyat", menyasarkan serangan kepada Ketua Menteri Sarawak, Taib Mahmud yang sudah 29 tahun menguasai bumi kenyalang itu, yang semestinya mencungkil rasa tidak puas hati orang ramai, kata Jenise Lee.


Apa yang lebih menarik, ketika menangkis serangan slogan "gai bian" (Jom Ubah) daripada DAP, SUPP menggunakan slogan "gai ge" (reformasi), satu slogan yang sekian lama dilaungkan oleh pembangkang sekiranya diterjemah ke dalam bahasa Melayu.

"Revolusi warga emas"

Berbeza dengan pola pengundian PRU ke-12 dan PRK selepasnya, di mana pengundi muda lebih memihak kepada PR, PRK Sibu ini menyaksikan bagaimana warga tua turut menyumbang kepada kemenangan DAP-PR. Berdasarkan maklumat yang dikumpulkan oleh Ong Boon Keong, kebanyakan pemuda bekerja di luar negeri, yang dijangka mencakupi 10%-15% jumlah pengundi, atau 6,000 hingga 9,000 orang.

Malah, pengundi yang berada dalam lingkungan usia antara 21 hingga 29 tahun adalah 9%, dan 30 hingga 39 tahun ialah 25%. Ong Boon Keong menyifatkan kemenangan DAP-PR dalam PRK Sibu sebagai revolusi warga emas!

Ini krisis kepada SUPP-BN, apabila orang tua yang pada asalnya penyokong BN, kini juga berpaling untuk menyokong PR, kata Tian Chua. Jenice Lee pula berkata, masalah geran tanah dengan hak milik pajakan 66 tahun menjadi pukulan maut kepada SUPP-BN, biarpun Ketua Menteri mengumumkan pengurangan bayaran pada saat-saat akhir.

Keadaan ini berlaku kerana seandainya seseorang membeli rumah pada sekitar umur 30 tahun, beliau terpaksa merunsing dengan masalah tanah kerana kemungkinan besar tanah yang dibelinya akan digaris merah (untuk kegunaan pembangunan kerajaan), pada akhir tempoh luput gerannya. Seandainya ia berlaku, ia membawa makna pelaburan seseorang akan menjadi tidak terjamin.

"Mungkin sebab ini orang tua bangkit menuntut perubahan," seloroh Jenice Lee .

Beri wang hanya jika menang:
Pengundi rasa dirinya terhina, Tian Chua


Ketua Biro Strategi PKR, Tian Chua menuding jari kepada Najib Razak, yang mengubah "pendekatan tradisional" Barisan Nasional, dengan mengenakan syarat apabila menabur gula pilihan raya, sehingga pengundi rasa dirinya terhina, dan akhirnya menjurus kepada kekalahan BN dalam PRK Sibu.

Ketika mengulas keputusan beberapa PRK yang lalu, dari Bagan Pinang, Hulu Selangor sehinggalah Sibu, Tian Chua menganggap tema dan mesej kempen BN cukup jelas dan konsisten, iaitu penekanan kepada gagasan "1 Malaysia " dan "pembangunan".

Namun demikian, berbeza dengan pendekatan BN sebelum ini, iaitu menabur peruntukan dana tidak kira menang atau kalau, pendekatan Najib yang mengenakan syarat "beri (peruntukan) hanya jika menang", mencungkil rasa jijik di kalangan pengundi. "Ia menyentuh soal maruah, pengundi merasakan diri mereka terhina (insulted)," kata Tian Chua.

Perdana Menteri merangkap Pengerusi BN, Najib Razak menjanjikan peruntukan RM 3 juta kepada SRJK (C) Rasa ketika berkempen dalam PRK Hulu Selangor, kemudian membuat janji yang sama dengan penduduk Rejang Park semasa PRK Sibu, dengan menambah peruntukan kepada RM5 juta. Janji ini jelas tidak membawa "pulangan yang setimpal" kepada BN apabila pengundi Rasa memberi 82% sokongan kepada PKR-PR dalam PRK Hulu Selangor, dan pengundi Rejang Park pula menambah sokongannya kepada DAP-PR dalam PRK Sibu.

Berdepan secara langsung dengan khalayak yang berbilang kaum

Demikianlah analisa Tian Chua dalam satu forum yang membincangkan PRK Sibu, anjuran MerdekaReview bersama Jawatankuasa Sosial-Ekonomi Dewan Perhimpunan Cina KL-Selangor, semalam. Selain Tian Chua, barisan ahli panel termasuklah ADUN Teratai-DAP Jenice Lee, Penyelaras Sibu Election Watch (SEW) Ong Boon Keong dan wartawan MerdekaReview, Wong Shu Qi.

Kemenangan DAP di Sibu bagaimanapun dilihat sebagai kemenangan bersama parti komponen PR oleh Tian Chua, menjelaskan bagaimana PKR dan PAS membentuk satu pakatan yang berbilang kaum dengan DAP untuk menentang SUPP-BN. Tian Chua melihat "kepelbagaian" sebagai kekuatan PR, yang boleh diuji secara terbuka. Barisan pimpinannya yang terdiri daripada pelbagai kaum, perlu berdepan dengan khalayak yang juga daripada pelbagai kaum.

"Maka, Nizar (pemimpin PAS) perlu berdepan dengan pengundi kristian yang mempertikaikan PAS," jelas Tian Chua, sebaliknya BN walaupun memperlihatkan kepelbagaian lantaran tekanan yang dihadapinya sejak kemunculan PR, tetapi ia berbentuk "kepelbagaian secara berasingan". Tian Chua berkata, BN masih beroperasi dalam model di mana pemimpinnya hanya berdepan dengan kelompok yang khusus secara berasingan, tetapi bukan berdepan secara langsung khalayak yang majmuk.

Bagaimana golongan bawahan dimanfaatkan secara langsung?

Dalam keadaan sedemikian, Tian Chua yakin bahawa PR akan terus mendominasi wacana politik tempatan, sehingga PRU yang akan datang. Persoalannya, sejauh manakah PR berjaya mengolah persetujuan golongan bawahan bahawa politik baru yang didukung PR boleh memanfaatkan mereka secara langsung?

"Dalam sistem demokrasi, seandainya anda gagal meyakinkan pengundi bahawa idealisme politik anda memanfaatkannya, anda perlu menerima haknya untuk tidak mengundi anda," kata Tian Chua. Pemerhatiannya dalam beberapa PRK yang lepas menyimpulkan bahawa, sesungguhnya penduduk kampung merestui politik baru yang dianjurkan PR, namun mereka memberikan undi kepada BN apabila kepentingan disalurkan secara langsung kepada mereka dalam bentuk peruntukan dana, subsidi dan sebagainya.

Ahli parlimen Batu ini berkata, penduduk rumah panjang turut menyedari bahawa mereka akan dimanfaatkan dengan wujudnya sistem dua parti. Ini kerana dengan wujudnya persaingan antara dua parti, maka peruntukan yang ditaburkan oleh parti politik kepada mereka akan bertambah.

Meramalkan pilihan raya negeri yang akan datang

Kemenangan DAP-PR dalam PRK Sibu ini semestinya cukup memberangsangkan buat penyokong PR, malah menyuntik keyakinan mereka dalam pilihan raya negeri Sarawak, seandainya DUN Sarawak dibubarkan. Tetapi, Tian Chua masih meluahkan kekhuatirannya setelah melihat kepada apa yang berlaku ketika beliau berkempen di sana.

Tian Chua menganggap DAP, malah PKR masih memberi persepsi "parti elit", melihat kepada calonnya yang berkecimpung di arena politik sebagai peguam. PR amat memerlukan pemimpin dan kekuatan yang dibina di peringkat akar umbi. Tian Chua mengambil contoh aduan bahawa pemimpin PR diusir dari rumah panjang, kononnya kerana tekanan daripada pihak musuh politik. Beliau menganjurkan pandangan bahawa kemungkinan pemimpin pembangkang diusir kerana kekurangan dari segi ekonomi yang dihadapi Tuai Rumah.

"Mengikut adat kaum asli, tuai rumah perlu melayan tetamunya dengan jamuan. Namun, keadaan ekonomi yang terjejas kerana monopoli beberapa kerabat di Sarawak, menyebabkan Tuai Rumah kini serba kurang dari segi ekonomi. Kedatangan kami mungkin menyusahkan, malah mengaibkan mereka seandainya mereka tidak mampu menyembelih haiwan untuk dijamukan kepada kita," jelasnya.

Malah, Tian Chua berkongsi pengamatannya bahawa jentera pilihan raya kecil kali ini diambil alih oleh pusat, satu fenomena yang dikongsi bersama BN mahupun PR. Kekurangan dari segi kerahan tenaga diisi dengan orang dari Semenanjung. Namun demikian, Tian Chua mempertikaikan sejauh manakah model kempen ini diterapkan kepada peringkat akar umbi tempatan, agar mereka boleh menjana jentera ini sendiri apabila masuk gelanggang pilihan raya negeri, malah pilihan raya umum.

Pilihan raya bukan masa terbaik untuk promosi demokrasi

Golongan akar umbi, golongan yang tidak boleh dipandang remeh dalam politik, kerana ia merupakan sumber undi. Ong Boon Keong sebagai pemerhati pilihan raya, dan aktivis yang giat menggerakkan pendaftaran pengundi di Malaysia Timur, menyeru agar lebih ramai menyertai usaha mereka.

"Pada hakikatnya, tempoh pilihan raya bukanlah masa terbaik untuk mempromosi demokrasi, kerana penduduk tempatan akan menganggap bahawa kita mempunyai motif politik," katanya.

Ong Boon Keong juga menyindir pemimpin PR yang hanya mengadu "penyelewangan dan ketidakadilan" Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), seandainya kalah dalam pilihan raya. "Dalam PRK Kuala Terengganu, pemimpin PAS memuji SPR setelah menang," sambungnya, sebelum menambah, "Padahal, penyelewengan berlaku setiap kali dalam pilihan raya..." -MerdekaReview



Kerjasama PAS-DAP, Cina kini fahami Islam

Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata kerjasama parti itu dengan DAP telah banyak membantu masyarakat Cina di negara ini memahami Islam.

Katanya, masyarakat Cina juga kini bukan sahaja memahami Islam tetapi mereka juga tidak lagi beranggapan masyarakat Islam sebagai golongan ekstremis.

PAS, menurut beliau tidak akan bekerjasama dengan Umno kerana parti lawan itu lebih kuat daripadanya.

Mengenai kerjasama dengan Barisan Nasional, Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata pengalaman lalu juga mengajar PAS agar tidak mengulangi kesilapan bekerjasama dengan Umno sebelum disingkir.

"...kita ditendang begitu sahaja apabila kita tidak diperlukan. Pengalaman itu sudah cukup memberi pengajaran kepada kita, kita tidak akan bekerjasama dengan mana-mana parti yang lebih kuat daripada kita," kata Nik Aziz pada kuliah mingguannya, di Kota Bharu hari ini.

Nik Aziz berkata PAS mempertimbangkan faktor kekuatan setara itu berasaskan prinsip 'menang-menang' yang hanya boleh dicapai jika kedudukan kedua-dua parti sama kuat.

"Islam mengajar supaya kita bekerjasama dengan pihak lawan, jika kedudukan kita sama kuat barulah kerjasama itu mencapai matlamat, kalau tidak kita mudah ditindas," katanya. -malaysiakini

Kes Liwat 2 : Hakim Apandi Ali Lucutkan Diri

Hakim Mahkamah Rayuan, Md Apandi Ali (gambar) melucutkan dirinya sendiri daripada mendengar rayuan daripada Datuk Seri Anwar Ibrahim berikutan permohonan daripada peguam Karpal Singh.

Mahkamah rayuan sebelum ini dianggotai oleh tiga panel membabitkan hakim - Sulong Matjeraie, Ramly Ali dan Md Apandi.

Karpal membantah kehadiran Md Apandi sebagai seorang daripada anggota panel itu kerana beliau adalah bekas ahli Umno dan terbabit dalam beberapa kes petisyen pilihan raya.

Md Apandi juga adalah bekas bendahari dan juga penasihat undang-undang Umno Kelantan.

Menurut Karpal, permohonan berkenaan dibuat bagi mengelakkan persepsi bahawa keputusan akan berat sebelah terhadap ketua pembangkang itu.

Permohonan itu dikemukakan kepada Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Alauddin Md Sheriff di kamarnya.

Selepas berehat, hakim Sulong memberitahu mahkamah bahawa Md Apandi secara suka-rela mengundurkan diri dan tempatnya digantikan oleh hakim Zaharah Ibrahim.

Panel berkenaan adalah bagi mendengar permohonan Anwar supaya pihak pembelaan dibekalkan dengan kenyataan saksi utama Mohd Saiful Bukhari Azlan yang juga pengadu dalam kes liwat berkenaan.

Nazri Dilepaskan, Pornthip Bertambah Curiga Untuk Datang

Pornthip penipu': Nazri terlepas hina mahkamah

Mahkamah Koroner hari ini menolak permohonan keluarga mendiang Teoh Beng Hock yang memfailkan notis usul menghina mahkamah terhadap Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.

Menurut koroner, Azmil Muntapha Abas kenyataan yang dibuat oleh Nazri itu adalah “pandangan peribadinya”.

Keputusan itu berikutan komen Nazri yang dilaporkan oleh Malaysiakini pada bulan lalu, di mana beliau melabelkan pakar patologi Thailand, Dr Pornthip Rojanasunand yang dibawa oleh kerajaan negeri Selangor itu sebagai “penipu”.

Ia berhubung penjelasan Pornthip mengenai keenggannya untuk ke Kuala Lumpur menyambung memberi keterangan kerana bimbangkan keselamatannya.

Pada 11 April lalu, Pornthip memberitahu Malaysiakini bahawa beliau telah "dinasihatkan" oleh pegawai-pegawai tinggi Jabatan Kehakiman Thailand - tempat beliau bertugas sebagai ketua pengarah Institut Sains Forensik Pusat - supaya jangan ke Malaysia untuk menghadiri inkues tersebut.

Beliau berkata, kementerian kehakiman telah menerima maklumat daripada kementerian luar Thailand bahawa beliau mungkin menghadapi masalah jika ke Malaysia, termasuk kemungkinan dihalang memasuki negara ini.

Menurutnya, kementerian luar Thailand telah menarima "isyarat" dari kerajaan Malaysia melalui "saluran tidak rasmi" bahawa kehadiran beliau dalam inkues tersebut, adalah tidak disenangi.

Berikutan itu, peguam Karpal Singh memfailkan permohonan itu bagi pihak abang Teoh, Meng Kee – bagi memenjarakan Nazri kerana kenyataannya yang mendakwa pakar patologi dari Thailand, Dr Pornthip Rojanasunand sebagai "penipu".

Usul itu difailkan melalui firma guaman Karpal Singh & Co di pejabat pendaftar Mahkamah Majistret Shah Alam dan dibuat mengikut Perkara 26 Akta Mahkamah-mahkamah Rendah 1948.

Ulasan GB

Menurut koroner, Azmil Muntapha Abas kenyataan yang dibuat oleh Nazri itu adalah “pandangan peribadinya”.

Bilakah kata-kata Nazri boleh dianggap sebagai "penadangan peribadi" dan bila pula sebagai Menteri?

Tidak ada garis pemisah yang jelas.

Orang lain boleh sahaja dituduh menghina mahkamah dengan perkataan sedemikian tetapi menteri-menteri boleh berkata sesuka hati.

Keputusan koroner berkenaan akan menambah takutkan lagi Pornthip untuk datang ke Malaysia kerana ternyata pegawai-pegawai tinggi termasuk menteri dilindungi oleh para hakim. Tak begitu?


Politik Samy Vellu : Akhirnya Mugilan 'Disembelih'

Timbalan ketua pemuda MIC, V Mugilan semalam dipecat daripada parti itu.

Menurut ketua pemuda MIC, T Mohan, pemecatan Mugilan dibuat oleh presiden parti, Datuk Seri S Samy Vellu setelah berunding dengan timbalannya, Datuk G Palanivel.

Ketua jawatankuasa disiplin parti, Tan Sri KS Nijhar ketika dihubungi Malaysiakini memberitahu dia dimaklumkan berhubung pemecatan itu.

Bagaimanapun, katanya, pemecatan itu tidak dilakukan oleh jawatankuasa yang diketuainya.

Menurut perlembagaan MIC, keahlian anggota parti itu boleh ditamatkan oleh jawatankuasa disipilin dan juga melalui kuasa presiden setelah berunding dengan timbalannya.

Menurut Mohan, pemecatan Mugilan bukan sesuatu yang mengejutkan kerana beliau sering kali membuat kenyataan yang membidas pemimpin MIC, khususnya Samy Vellu.

Katanya, keputusan menyingkirkan Mugilan itu dibuat berdasarkan dua faktor.

"V Mugilan mendakwa bahawa Datuk Seri Samy Vellu tidak membuat apa-apa untuk masyarakat India. Kedua, tindakan Mugilan berkempen demi kepentingan dirinya yang bertentangan dengan hasrat parti sebelum pilihan raya kecil Hulu Selangor," kata Mohan ketika dihubungi.

Katanya, jawatan timbalan ketua pemuda akan dikosongkan sehingga pemilihan parti itu yang dijadualkan pada tahun 2012.

Desas-desus Mugilan akan disingkirkan bertiup kencang sejurus sebelum pilihan raya kecil parlimen Hulu Selangor pada 25 April lalu.

MIC pada mulanya mencalonkan Palanivel di kerusi berkenaan tetapi ia ditolak oleh ahli akar umbi Barisan Nasional, khususnya Umno yang mendakwa timbalan presiden kurang berupaya.

Sebaliknya nama, Mugilan dicadangkan tetapi timbalan ketua pemuda MIC itu ditolak oleh partinya dan sebagai kompromi ketua penerangan MIC, P Kamalanathan dicalonkan.

Sejak itu, Mugilan yang kecewa terus membidas presidennya dan mendesak pemimpin yang telah menguasai MIC hampir 31 tahun supaya berundur.

Terbaru, pagi semalam, dia mencabar Samy Vellu presiden MIC itu untuk berdebat secara terbuka dengannya pada Ahad ini untuk membuktikan sepanjang 11 penggal menerajui parti India itu, Samy Vellu gagal menaikkan taraf hidup masyarakat India.

Semalam, Mugilan pada satu sidang akhbar di Petaling Jaya, berkata bahawa beliau sanggup berhadapan dengan apa-apa tindakan parti setelah merujuk kepada peguamnya. -mk


Samy langgar perjanjian, tiada surat pemecatan - Mugilan

KUALA LUMPUR, 20 Mei: Presiden MIC Datuk Seri S. Samy Vellu telah memecat Timbalan Ketua Pemuda V. Mugilan, menurut sumber parti yang rapat.

Bagaimanapun, Mugilan yang semalam meminta Samy Vellu berundur dengan segera selepas presiden mengumumkan jadual persaraannya, berkata beliau masih lagi belum menerima sebarang surat daripada Samy Vellu.

Tetapi katanya beliau telah dihujani panggilan telefon dan khidmat pesanan ringkas (SMS) dan mengetahui mengenai pemecatannya daripada laporan berita.

Sekiranya disahkan, Samy Vellu telah melanggar perjanjian yang dibuat oleh mereka di Kuala Kubu Baru sebelum pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor pada 26 April apabila presiden parti itu berjanji tidak akan mengambil sebarang tindakan terhadapnya, kata Mugilan.

Mugilan berkata sekiranya beliau menerima notis rasmi, beliau akan merujuk perkara itu kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Samy Vellu berkata saya telah sabotaj BN (Barisan Nasional) dalam pilihan raya kecil itu. Ini adalah tuduhan yang sangat serius kerana ia melibatkan seluruh BN. Jadi adalah lebih baik saya merujuk kepada PM berhubung perkara ini," katanya kepada Bernama.

Apabila dihubungi, beliau berkata berada di Tanjung Malim.

Pada Selasa, Samy Vellu mengumumkan beliau akan melepaskan jawatannya dalam tempoh lapan atau sembilan bulan sebelum penggalnya sekarang tamat pada Mei 2012.

Presiden MIC itu tidak dapat dihubungi untuk ulasan segera tetapi sumber rapat parti berkata beliau telah menggunakan kuasa presidennya untuk memecat Mugilan berkuatkuasa serta-merta.

Mugilan berkata isu yang mengatakan beliau telah mensabotaj parti dan BN ketika pilihan raya kecil Hulu Selangor tidak disentuh dalam mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) minggu lepas.

"Sekiranya saya telah sabotaj, MIC mungkin telah hilang 3,000 pengundi. Malah, saya telah bekerja keras untuk memastikan undi India diberikan kepada BN," katanya.

Beliau juga menuduh Samy Vellu menganggap dirinya sebagai 'raja' kepada komuniti India.

"Beliau adalah diktator sekiranya memecat saya," kata Mugilan.

Mugilan berkata beliau dan Samy Vellu telah mengadakan perbincangan di pejabat MIC di Kuala Kubu Baru di mana presiden itu telah memintanya menyokong calon BN P. Kamalanathan dan jentera pilihan raya MIC.

Dan sebagai pertukarannya, Samy Vellu berjanji beliau tidak akan mengambil sebarang tindakan terhadapnya atas dakwaan sabotaj.

"Kami telah membuat perjanjian. Saya kata saya akan menyokong BN dan MIC. Jadi, apa yang berlaku sekarang? Beberapa minggu telah berlalu selepas pilihan raya kecil. Kenapa hanya sekarang beliau mengambil tindakan untuk memecat saya?," tanya Mugilan. -Bernama