7 Mei 2010

Pegawai Memerintah KD Inderapura Dipecat

Pegawai Memerintah KD Sri Inderapura yang terbakar pada Oktober 2008, ditamatkan perkhidmatan dalam Angkatan Tentera Malaysia selepas Mahkamah Tentera mendapati beliau bersalah atas dua pertuduhan berhubung kejadian itu.

Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Laksamana Tan Sri Abd Aziz Jaafar, berkata hukuman berhubung pertuduhan kehilangan kapal logistik terbesar TLDM akibat kebakaran itu disahkan bulan lalu.

"Kita boleh mengalami kebakaran di atas kapal tetapi kita tidak boleh kehilangan kapal akibat kebakaran. Ini adalah kes pertama yang menyebabkan kehilangan aset TLDM akibat kebakaran," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penganugerahan Beret Kehormat Pasukan Khas Laut (Paskal) Sayap Penerbangan Kehormat kepada Menteri Pertahanan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Lumut.

Abdul Aziz berkata walaupun pegawai berkenaan telah menyumbangkan perkhidmatan yang cemerlang dalam TLDM namun setiap perkara yang berlaku pada sebuah kapal adalah di bawah tanggungjawab pegawai memerintahnya.

Akibat kejadian kebakaran pada 8 Okt 2008, KD Sri Inderapura yang berkhidmat 14 tahun bersama-sama TLDM dengan memainkan peranan cemerlang sebagai kapal logistik terbesar TLDM serta pelbagai misi dan operasi yang melangkaui sempadan perairan negara telah dilucutkan tauliah pada 21 Jan lalu.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata TLDM perlu menjadi pasukan yang bukan sahaja menepati piawaian tertentu malah segala aset, keperluan dan kesiapsiagaan berada di tahap tertinggi.

"Peranan TLDM dalam membantu syarikat perkapalan dalam Ops Fajar telah mendapat pengiktirafan pasukan maritim dunia. TLDM kini diangkat sebagai satu penanda aras baru bagi menjaga aset negara di perairan antarabangsa. Ia turut diikuti oleh negara-negara lain," katanya.

Beret dan Sayap Penerbangan Kehormat diberikan kepada tokoh tertentu bagi mengenangkan jasa dan bakti sesuai dengan sumbangan mereka kepada pasukan tertentu dan TLDM di peringkat antarabangsa.

Sayap Penerbangan Kehormat merupakan lencana yang dianugerahkan sebagai tanda penghormatan dan pengiktirafan dalam menghargai jasa individu atau personaliti yang banyak menyumbang serta menabur bakti kepada pembangunan memajukan cawangan udara secara langsung atau tidak langsung. - Bernama



KUALA LUMPUR, Sun. - The KD Sri Inderapura came into service on Jan 31, 1995.

The 33-year-old vessel, which was formerly known as the USS Spartanburg County, was bought from the US for RM48 million.
It arrived in Malaysia in June 1995 after a two-month journey from Norfolk, Virginia.

The ship has a maximum displacement of 8,000 tonnes, and is 159.2 metres long and 21.2 metres wide.



Al-Kisah Pertahanan Negara 2009

Tahun ni, banyak pulak bunyik yang kita dengar pasal pertahanan negara ni. jom kita rewind balik apa yang jadik sepanjang 2009 ni.

3 September ~ Kapal Selam KD Tunku Abdul Rahman iaitu Kapal Selam pertama tiba di Pelabuhan Klang Selangor bagi memperkuatkan pertahanan negara.
8 Oktober ~ KD Seri Inderapura terbakar. Asap berkepul-kepul naik dari KD Seri Inderapura, kapal pendarat terbesar Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang terbakar semasa berlabuh di jeti Pangkalan TLDM di Lumut
8 Oktober ~ Kerajaan bercadang membeli kapal pendarat baru bagi menggantikan kapal pendarat terbesar Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM)
1 Disember ~ Pameran Maritim dan Udara Antarabangsa Langkawi (LIMA 2009) diadakan di Langkawi melibatkan 15 pesawat udara.

dan yang terbaru dan terpanas diperkatakan sepanjang 2,3 hari ini;

KUALA LUMPUR: Dua enjin jet pejuang buatan Amerika Syarikat F-5E bernilai AS$29 juta yang hilang dari pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), dikesan berada di Argentina.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, berkata pegawainya sedang menyemak dengan rakan setugas di Buenos Aires untuk memastikan enjin yang hilang itu masih berada di negara berkenaan.

“Enjin yang dicuri itu dibawa ke Aregntina. Kami perlu periksa sama ada enjin itu masih berada di negara berkenaan,” katanya kepada AFP hari ini.

Laporan berita minggu ini menyatakan enjin berkenaan dijual di pasaran gelap oleh pegawai tentera kepada syarikat berpangkalan di Afrika Selatan selepas diambil dari pangkalan TUDM tahun lalu.

Selain enjin, bahagian lain pesawat pejuang itu juga dilaporkan dicuri. – AFP
dan ini pulak berita dari Bernama;

BAGAN DATOH, 19 Dis (Bernama) — Enjin pesawat pemintas F-5E milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) disedari hilang pada 2007 telah dijual kepada sebuah syarikat antarabangsa dari sebuah negara yang berpangkalan di Amerika Selatan, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata syarikat antarabangsa itu dipercayai telah mengupah ejen tertentu untuk melarikan enjin pesawat bernilai RM50 juta itu ke luar negara.

“Kementerian akan mengambil tindakan dari segi perundangan peringkat antarabangsa untuk mendakwa syarikat yang terbabit mengupah untuk melarikan enjin itu ke luar negara.

“Mereka yang terbabit dalam kumpulan bawahan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) merupakan pengkhianat kepada negara dan wajar dikenakan undang-undang yang tegas,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Rakan Alam Sekitar di sini hari Sabtu.

Ahmad Zahid mengesahkan semua dokumen mengenai penjualan enjin itu telah diperoleh oleh polis.

“Syarikat antarabangsa itu berminat membeli enjin itu kerana harganya yang murah, kerana ia merupakan alat ganti yang dikategorikan sebagai rosak yang akan diperbaiki,” katanya.

Beberapa akhbar tempatan hari ini melaporkan polis menahan empat orang termasuk pegawai TUDM berhubung kehilangan enjin pesawat pemintas F-5E bernilai kira-kira RM50 juta itu. – BERNAMA

p/s : orang ramai skang dok bergosip kata ini antara alasan nak beli pesawat baru. bila beli pesawat baru, dapatlah komisen. kaya kaya. Sumber: Sini



Apa Pasal Polis Itu Pegang Gergaji Yang Jadi Bahan Bukti Tanpa Sarung Tangan?

Polis tahan 2 lagi remaja kes samun kafe siber

KUALA LUMPUR: Polis menahan dua lagi remaja yang terbabit dalam kejadian cubaan samun sebuah pusat internet 24 jam di Jalan Genting Klang di sini oleh lapan remaja awal pagi semalam, menjadikan semuanya tiga remaja ditahan berhubung kes itu.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Abu Samah Mat, berkata kedua-dua mereka yang berumur 17 tahun itu ditahan petang dan awal pagi ini selepas mereka menyerah diri kepada polis.

Beliau berkata, remaja pertama menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul pada kira-kira pukul 4.30 petang semalam selepas tamat waktu persekolahannya.

"Remaja kedua pula ditahan di rumah keluarganya di Keramat kira-kira pukul 1 pagi," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas mengadakan lawatan sempena Hari Polis di Hospital Kuala Lumpur (HKL) di sini hari ini.

Katanya, siasatan lanjut mendapati remaja pertama bertindak sebagai penyamun dan penunggang motosikal dalam kejadian semalam manakala suspek kedua adalah pemandu kereta yang berada di luar premis berkenaan, dan kedua-dua suspek tidak mempunyai lesen memandu.

Abu Samah berkata, polis percaya kumpulan ini terbabit dalam beberapa kes di sekitar Lembah Klang dengan modus operandi mereka adalah dengan menyamun pusat internet di awal pagi.

Dalam kejadian awal pagi semalam, tujuh lelaki bersenjatakan pedang, gergaji dan pisau menyerbu pusat internet itu dan mengugut pengunjungnya supaya menyerahkan wang manakala seorang lagi rakan mereka menunggu di dalam sebuah kereta di luar premis berkenaan.

Seorang daripada tujuh suspek itu ditembak di bahagian kaki selepas cuba menyerang anggota polis dengan melibaskan gergaji.

Abu Samah berkata, suspek yang sedang menerima rawatan di HKL itu berada dalam keadaan stabil dan polis sudah mendapatkan perintah reman untuk menahannya sehingga 11 Mei ini bagi membantu siasatan.

Sementara itu, dalam kes berasingan, seorang penyelia wanita sebuah stesen minyak di Wangsa Melawati, dekat sini menemui sepucuk pistol semi automatik yang dipercayai diletakkan di dalam tandas wanita stesen terbabit tiga hari lalu.

Ketua Polis Daerah Sentul ACP Zakaria Pagan berkata dalam kejadian itu pekerja wanita berkenaan menemui satu bungkusan plastik semasa membersihkan tandas Isnin lalu dan beliau menyerahkan bungkusan itu kepada penyelianya.

"Kira-kira 9 pagi ini penyelia itu membuka bungkusan plastik berkenaan dan terkejut mendapati ada sepucuk pistol di dalamnya. Polis yang tiba selepas dimaklumkan mengenainya mendapati ia pistol semi-automatik 9mm jenis Sigsauer yang dilaporkan hilang di Ampang oleh sebuah sebuah syarikat keselamatan pada 30 April lalu," katanya. - Bernama

Ulasan GB

Jadi, apa yang tak kena?

Perhatikan gambar yang GB lampirkan betul-betul.

Jika gergaji itu digunakan suspek untuk menakut-nakutkan atau menyerang polis sehingga dikatakan polis melepaskan tembakan ke arah mangsa demi untuk menyelamatkan diri, kenapa pula Ketua Polis Sentul itu, ACP Zakaria namanya, memegang gergaji itu tanpa beralaskan apa-apa, malah tidak lansung memakai sarung tangan?

Bukankah gergaji itu bahan bukti dan bukankah cap jari di gergaji itu penting untuk menyatakan bahawa mangsa melakukan serangan menggunakan gergaji itu jika sekiranya mangsa tidak membuat pengakuan melakukan aksi tersebut?

Di dalam banyak kes yang jenayah, sepatutnya bahan bukti tidak dicemari dengan kesan-kesan pegangan dan lain-lain daripada mereka yang tidak terlibat termasuklah pihak yang menyiasat.


Jadi timbul persoalan, kenapa ACP Zakaria melakukan aksi melibas-libas sambil memegang gergaji dengan mempertontonkannya di sidang medianya?

Jangan marah pula bila masyarakat yang menonton di kaca TV melihat hal tersebut dan mengeluh: haiya, macam sandiwara.


Mangsa Tembakan Polis Tampil Saman RM2 juta

Sejak tragedi Aminulrashid mendapat perhatian ramai, semakin ramai individu tampil membuat laporan polis berikutan gelagat polis yang didakwa sewenang-wenang melepas tembakan.

Kali ini, Siti Nasrinda Sumirin, 23, pula membuat pendedahan mendakwa ditembak polis di Klang Ogos tahun lalu dan menyebabkan kecederaan di pinggang manakala satu peluru mengenai tudungnya.

Sehubungan itu, beliau memfail saman R1 juta lagi kerana mendakwa reputasinya terjejas berikutan kejadian berkenaan.

Beliau menuntut anggota polis yang menembaknya dan tunangnya, menjalani kerja-kerja khidmat masyarakat selama dua tahun, sebagai pengajaran kepada anggota polis tidak mengulangi tabit itu.

Anggota polis yang didakwa berbuat demikian berpangkat korporal dan konstabel.

Saman itu difailkan di Mahkamah Tinggi Shah Alam oleh peguamnya, M Manoharan, yang juga ahli dewan undangan negeri Kota Alam Shah.

Dalam tuntutannya, Ketua Polis Daerah Klang, Ketua Polis Selangor dan Ketua Polis Negara, dua anggota polis itu dan kerajaan dinamakan sebagai defendan.

Selain tuntutan RM1 juta, tunang yang kini suaminya juga menuntut bayaran RM500,000.

Siti Nusrinda dan Mohd Fauzi sedang berbual-bual di dalam kereta yang diletakkan di Jalan Klang Utama sekitar jam 8.30pm pada Ogos 19.

Sebuah kereta polis tiba-tiba menjelma dan menyuluh lampu tinggi pada keretanya menyebabkan Siti Nusrinda dan Mohd Fauzi panik dan terus memandu keretanya.

Pihak polis tiba-tiba mengejarnya dan mula menembak tanpa sebarang amaran. Beberapa das tembakan dilepaskan, dengan sebutir peluru menembusi kerusi tempat duduk serta mencederakan pinggang Siti Nusrinda.

Mohd Fauzi yang memandu kereta itu lantas berhenti dimana mereka diberitahu oleh polis berkenaan bahawa mereka berdua disiasat kerana membawa kereta dengan laju, melakukan 'khalwat' dan menghalang polis menjalankan tugasnya.

Kenyataan Azhar Berbaur Perkauman, PR Lapor Polis

Sekretariat Pemuda Pakatan Rakyat Pulau Pinang hari ini membuat laporan polis terhadap Ketua Pembangkang negeri berkenaan, Datuk Azhar Ibrahim kerana didakwa menghasut secara perkauman.

Koordinator Program Sekretariat, Syed Mikael Rizal Aidid berkata laporan polis dibuat bagi membolehkan siasatan dijalankan ke atas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penaga itu.

"Walaupun Azhar dibawa ke jawatankuasa khas dan hak istimewa negeri, kita tetap mahu siasatan polis dibuat," katanya selepas membuat laporan di balai Lebuh Pantai di sini, hari ini.

Syed Mikael berkata, tindakan ke atas Azhar perlu berikutan ia melibatkan perkara serius yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat berbilang kaum di negara ini.

Turut menyertai rombongan membuat laporan itu ialah Ahli Jawatankusa Eksekutif Pemuda PAS dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari DAP, Teh Yee Cheu dan Koid Teng Guan.

Azhar didakwa membuat kenyataan berbaur perkauman pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang semalam, ketika Ketua Menteri, Lim Guan Eng membuat ucapan penggulungan.


Bangkitkan 13 Mei:
Dato’ Azhar Cetus Ketegangan Kaum!


7 MEI 2010

Sekretariat Pemuda Pakatan Rakyat Negeri Pulau Pinang (SPPRPP) pada hari ini akan membuat laporan polis untuk menyiasat kenyataan berbaur hasutan Ketua Pembangkang DUN Pulau Pinang, YB Dato’ Azhar Ibrahim dalam Sidang DUN semalam.

Beliau yang mendapat peluang mencelah untuk membahas Ucapan Penggulungan Ketua Menteri telah dengan penuh tidak bertanggungjawab, membangkitkan sentimen perkauman dengan memberi amaran kepada rakyat, 13 Mei akan berlaku jika rakyat menafikan peranan polis. Beliau juga seakan mengugut rakyat Pulau Pinang ini agar menerima tentera menjaga keselamatan mereka jika rakyat sudah tidak mahukan polis lagi, dan yang paling mengecewakan, beliau kata adalah lebih senang suasana Mageran diwujudkan kembali.

Sekretariat Pemuda Pakatan Rakyat Negeri Pulau Pinang (SPPRPP) pada hari ini juga mahu pihak berkuasa khususnya Polis Diraja Malaysia (PDRM) bertindak ke atas kenyataan YB Dato’ Azhar Ibrahim yang berbaur hasutan dan jelas sekali, ketua pembangkang itu telah melanggar peraturan 46 DUN yang melarang mana-mana anggota DUN menyebut perkataan yang berunsur hasutan dan memberontak serta bermusuhan antara kaum.

Walaupun beliau telah dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan di atas sikapnya itu, Sekretariat Pemuda Pakatan Rakyat Negeri Pulau Pinang (SPPRPP), tetap mahukan beliau disiasat dan dibawa ke muka pengadilan, kerana sidang DUN ini telah diikuti secara langsung oleh seluruh rakyat Pulau Pinang dan tindakan beliau ini dikhuatiri bakal menimbulkan ketegangan kaum.

Bagi Sekretariat Pemuda Pakatan Rakyat Negeri Pulau Pinang (SPPRPP), kami tetap menghargai akan peranan dan tanggungjawab yang dimainkan oleh pihak Polis dalam menjaga keselamatan rakyat, namun dalam masa yang sama, mahu Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan meletakkan jawatan beliau, atas siri-siri kegagalan beliau dalam mengurustadbir pasukan polis dan menangani jenayah di negara ini.

Kami Yang Membawa Amanah Rakyat;
Angkatan Muda Keadilan
(AMK) Pulau Pinang

Peguam Minta Siasat Dakwaan Polis Cuba Bunuh Saksi Utama Kes Aminulrsyid

Peguam mewakili Azamuddin Omar, rakan Aminulrasyid Amzah yang mati ditembak awal minggu lalu, menuntut siasatan khas berasingan diadakan berhubung dakwaan cubaan mahu membunuh dan serangan polis ke atas saksi utama itu.

“Satu siasatan berasingan mesti dimulakan berdasarkan pengakuan dia tentang apa yang berlaku pada hari kejadian,” kata peguam N. Surendran yang mewakili saksi berusia 15 tahun itu.

Setakat ini, Azamuddin telah disiasat tiga kali oleh pasukan siasatan selain menunjukkan sendiri lokasi dan detik-detik yang membawa kepada kematian Aminulrasyid.

Siasatan setakat ini tertumpu pada kematian Aminulrasyid ketika cuba melepaskan diri daripada dikejar polis dan sekumpulan penunggang motosikal awal pagi 26 April lalu.

Menurut Surendran, Azamuddin mendengar seorang anggota polis menjerit ke arahnya agar berhenti dan apabila dia terus cuba mahu melarikan diri, dia ada mendengar anggota berkenaan mengira satu hingga tiga.

Katanya, apabila menoleh ke belakang dia ada melihat anggota polis berkenaan mengacu senjata dan bersedia untuk melepaskan tembakan.

Hanya selepas apabila satu kereta polis tiba, anggota berkenaan menurunkan senjata, sekali gus Azamuddin terlepas daripada tembakan.

Saksi itu telah menceritakan detik-detik hari kejadian itu kepada Surendran dan seorang lagi peguam

Latheefah Koya walaupun ia tidak disebutkan dalam laporan polisnya.

Bagaimanapun menurut Surendran, beliau akan meneruskan tuntutan aspek itu turut disiasat.

Surendan berkata Azamuddin tiada sebab untuk berbohong.

Kebanyakan kandungan pengakuan Azamuddin selari dengan dengan apa yang diperkatakan oleh saksi-saksi lain.

“Ia juga membuktikan Azamuddin tidak bersalah,” kata Surendran. -TMI

Kit Siang Sokong Tindakan Husam

Penasihat DAP, Lim Kit Siang menyokong penuh cadangan Exco Kelantan, Datuk Husam Musa untuk memfailkan saman kepada Kerajaan Persekutuan, berikutan penyerahan sempadan laut mengandungi dua medan minyak Blok L dan M di Laut China Selatan kepada Brunei.

Ahli Parlimen Ipoh Timur itu berkata, tindakan Pengerusi Jawatankuasa Petroleum Kelantan itu tepat dan wajar sebagai usaha melindungi hak generasi masa depan rakyat Sarawak, Sabah dan Malaysia sendiri.

”Saya juga akan mencadangkan Husam mengetuai Jawatankuasa Khas Pakatan Rakyat bagi menyaman Kerajaan Persekutuan dalam mesyuarat ketua-ketua Pakatan Rakyat akan datang.

”Saya sendiri akan mencadangkan supaya Jawatankuasa Khas yang bakal diketuai Husam ini diwujudkan pada mesyuarat ketua-ketua Pakatan Rakyat akan datang,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Menurutnya, selain mewujudkan Suruhanjaya Siasatan Diraja, DAP juga jelasnya bersetuju dengan cadangan Husam supaya Perdana Menteri menyediakan kertas putih berkaitan isu tersebut.

”Datuk Seri Najib (Tun Razak) tegasnya perlu mendedahkan kepada awam segala bentuk surat dan dokumen antara Putrajaya, Brunei, Sabah, Sarawak dan syarikat minyak negara iaitu Petronas yang berkaitan dengan penyerahan kawasan bersempadan,” katanya. -SH


Misteri kehilangan dua blok padang minyak

http://kadirjasin.blogspot.com

ADAKAH benar dakwaan bekas Pardana Menteri, (Tun) Dr Mahathir Mohamad dan akhbar The Edge bahawa Kerajaan Malaysia di bawah pentadbiran (Tun) Abdullah Ahmad Badawi telah secara diam-diam menyerahkan dua blok padang minyak (oil fields) kepada negara Brunei?

Dr Mahathir menulis dalam blongnya semalam bahawa Blok L dan M telah secara diam-diam dan tanpa pengetahuan Petronas diserahkan kepada Brunei walaupun Petronas telah menandatangani perjanjian perkongsian pengeluaran dengan syarikat minyak Amerika, Murphy Oil.

Dr Mahathir yang juga Penasihat Petronas berkata dua blok itu dituntut oleh Malaysia berasaskan fakta sejarah dan dianggarkan mempunyai simpanan minyak mentah mutu tinggi sebanyak 1 bilion tong.

Laporan The Edge dan The Brunei Times mendakwa dua blok padang minyak itu tidak lagi dimiliki Malaysia.

Akhbar ekonomi The Edge pada 22 April memetik Murphy Oil sebagai berkata Petronas telah menamatkan kontrak perkongsian pengeluaran untuk Blok L dan M kerana padang minyak itu “bukan sebahagian daripada Malaysia lagi".

Murphy Oil berkata Petronas telah memaklumkan kepadanya pada 21 April bahawa “berikutan pelaksanaan pertukaran surat antara Malaysia dan Brunei pada 16 Mac, 2009, kawasan penerokaan luar pantai yang diberi nama Blok L dan M bukan lagi sebahagian daripada Malaysia.”

Kerajaan wajib menjawab sama ada dakwaan Dr Mahathir dan laporan media massa itu benar atau sebaliknya. Kalau benar, ini adalah perbuatan menyembunyikan maklumat yang boleh dianggap satu pengkhianatan.

Kalau benar, kenapakah padang minyak itu tiba-tiba bukan lagi milik kita dan adakah benar pemilik barunya adalah Brunei?

Adakah ini ada kena mengena dengan penyelesaian yang kononnya telah dicapai dengan Brunei mengenai tuntutan negara itun ke atas Limbang, Sarawak?

Pada 16, 2009 Bernama memetik Abdullah sebagai berkata di Bandar Seri Bengawan bahawa “Brunei telah secara rasmi menggugurkan tuntutannya yang lama ke atas Limbang.”

Abdullah berkata pengguguran tuntutan oleh Brunei itu adalah sebahagian daripada Pertukaran Surat-Surat yang dimeterai beliau dengan Sultan Hassanal Bolkiah di Istana Nurul Iman.

Tetapi dua hari kemudian, pada 18 Mac, Menteri Luar dan Perdadangan Kedua Brunei, Lim Jock Seng, dipetik oleh akhbar The Brunei Times sebagai berkata “isu tuntutan wilayah ke atas Limbang tidak dibincangkan dalam perjanjian-perjanjian yang ditandatangani pada hari Isnin yang menyelesaikan isu dua-hala yang tertangguh antara Brunei Darussalam dan Malaysia.”

Dr Mahathir dalam blognya berkata Kementerian Luar Negeri Malaysia tidak pernah menafikan kenyataan Brunei itu.

Jadi adakah kita kehilangan dua padang minyak kepada Brunei tetapi Brunei tidak menggugurkan tuntutan ke atas Limbang?

Kerajaan Mohd Najib Abdul Razak perlu memberi penjelasan tanpa sebarang percubaan “cover-up”.

Setelah kita kehilangan Pulau Batu Putih kepada Singapura pada zaman singkat pemerintahan Abdulllah, kita berhak untuk tahu apakah kepentingan dan kedaulatan kita di Sarawak juga telah disabotaj akibat kedangkalan pemerintah waktu itu.

Kita takut padang minyak yang kita kendong telah berciciran dan pembebasan Limbang daripada tuntutan Brunei yang kita kejar tak dapat.

Kita tidak mahu cerita si Luncai yang terjun ke sungai dengan labu-labunya terjadi kepada kita. Si Luncai tak apalah. Labu-labu itu miliknya. Tapi dua padang minyak dengan potensi hasilnya dianggarkan RM320 bilion itu milik kita. Ia bukan milik mana-mana Luncai.

Saya telah beberapa kali menyuarakan secara terbuka keraguan saya terhadap kemampuan penasihat-penasihat hal ehwal luar dan perundangan Abdullah, khasnya dalam hal Pulau Batu Putih. Keraguan itu terbukti apabila kita kalah perbicaraan menuntut pulau strategik itu pada 23 Mei, 2008.

Soalnya, kalau betul dua padang minyak itu diserahkan kepada Brunei oleh Abdullah, apa yang menteri-menteri dan penasihat-penasihat beliau ketika itu buat? Adakah mereka bersubahat (complicit) atau mereka tertidur?

Kita juga ingin tahu kepada siapa kontrak pengeluaran minyak di dua blok itu diberikan oleh pemilik barunya. Bukan apa, tetapi takut-takut si Luncai terjun ke sungai sambil itu mimum air. Manalah tahu, di depan kita si Luncai buat bodoh, tetapi di belakang dia sapu.


KEADILAN Sabah Kutuk Perjanjian Umno-BN Dengan Apco

Pengerusi Majlis Pimpinan KEADILAN Negeri Sabah, Ahmad Thamrin Jaini mengajak semua ketua cabang Sabah agar bersatupadu bersama pucuk kepimpinan pusat mengutuk dengan sekeras-kerasnya tindakan kerajaan Umno-BN pimpinan Datuk Seri Najib Razak yang membayar wang rakyat kepada firma pro-Zionis, Apco Worldwide untuk membantu Umno-BN dalam apa jua urusan hal ehwal perkhidmatan untuk negara.

"Sikap kerajaan Umno-BN yang sanggup dikuasai oleh Amerika Syarikat menyekat penjualan minyak ke negara Iran yang banyak membantu perjuangan rakyat Palestin suatu sikap yang dikutuk oleh seluruh umat Islam termasuk KEADILAN.

"Agama Islam melarang untuk bekerjasama dengan Yahudi dan para ulama Islam memutuskan bahawa bekerjasama dengan kezaliman regim Yahudi-Zionis adalah haram dan kalangan parti yang turut berbuat demikian semestinya ditolak oleh rakyat Malaysia," kata Ahmad Thamrin lagi.

Beliau juga menyentuh megenai isu tanah adat yang sedang diduduki oleh orang kampung diseluruh Sabah dan mendesak kerajaan negeri menghormatinya dan penduduk tidak sewenang-wenangnya dihalau tanpa mengkaji latarbelakang masyarakat Bumiputera Sabah yang sudah menduduki tanah adat tersebut sejak berpuluh tahun.

Ahmad Thamrin Jaini membuat gesaan tersebut pada sidang bulanannya di sini yang dihadiri oleh ketua cabang dari seluruh Sabah.

"Semua Ketua Cabang KEADILAN Sabah hendaklah turun padang untuk menyiasat permasalahan tanah adat didaerah masing-masing dan jika ada permasalahan hendaklah merujuk kepada peguam parti untuk tindakan selanjutnya," tegas Ahmad Thamrin.

Sebelum itu Ahmad Tamrin mengucapkan tahniah kepada Gonsibin Yasundang, Ketua Cabang KEADILAN Tenom kerana telah bejaya mendapatkan ahli baru disekitar daerah Tenom.

Beliau berharap usaha Gonsibin mendapatkan ahli baru akan dicontohi oleh semua cabang di Sabah. -SK

Umno-BN Tutup Rahsia Blok L Dan M

Musa Aman, Ketua Menteri Sabah telah mengeluarkan satu kenyataan penafian yang tidak meyakinkan bahawa Blok L dan M kawasan carigali terletak dalam perairan Sabah. Kita semua dapat baca penafian beliau ini dilihat sebagai suatu kenyataan yang ‘sambil lewa’ tanpa disokong oleh suatu bukti yang tepat dan kukuh. Musa Aman seolah-olah 'melepaskan batuk ditangga' secara bersahaja.

Beliau dilihat sebagai memberikan satu penafian bermuslihat tanpa menjelaskan kepada rakyat Sabah secara terperinci akan kedudukan geografi sebenar Blok L dan M. Beliau sekadar untuk mengaburi mata rakyat tanpa menjelaskan kebenaran yang sebenar-benarnya dengan bersandarkan peta persempadanan antara Limbang dan Sabah.

Datuk Harris Salleh, mantan Ketua Menteri Sabah yang saya temui secara tidak formal di Hotel Hyatt menyatakan bahawa perkara ini perlu disemak dengan teliti. Banyak sumber harus di kaji, antaranya peta British harus dirujuk kembali bagi menentukan lokasi persempadanan yang tepat. Akan tetapi menurut beliau lagi beliau tidak pasti sama ada Kerajaan Malaysia telah atau pernah mengubah peta persempadanan berkenaan.

Kita dapat melihat adanya kontra dalam kenyataan penafian Musa Aman dalam subjek Blok L dan M ini.

Jika di imbas kembali kenyataan terdahulu yang di keluarkan oleh mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mana beliau menyatakan negeri Sabah akan menghadapi kerugian sebanyak RM16 bilion ekoran perjanjian yang dimeterai oleh mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Jadi persoalannya, mengapa pula Sabah akan menanggung kerugian sekiranya Blok L dan M ini tidak berada dalam lingkungan perairan Sabah? Dan mengapa Tun Dr Mahathir mengeluarkan kenyataan sedemikian?

Ini jelas menunjukkan Blok L dan M pasti berada dalam lingkungan perairan Sabah.

Kita kurang berkeyakinan insan terpelajar seperti Tun Dr Mahathir tidak mempunyai fakta dan bukti yang kukuh sebelum memberikan apa-apa kenyataan berhubung perkara di atas? Malah kita percaya Tun Dr Mahathir juga tidak mahu dilihat sebagai 'pemimpin yang kurang pintar' memberikan kenyataan tanpa merujuk terlebih dahulu persempadanan tersebut.

Siapakah antara pemimpin Umno yang berbohong kini?

Apakah pemimpin Umno zaman dahulu yakni Tun Dr Mahathir ataupun pemimpin Umno Sabah Musa Aman? Yang pasti, salah seorang dari mereka pasti telah mengeluarkan kenyataan 'berbohong'.

Tidak pasti pula Musa Aman ‘buat kenyataan bohong' untuk lepaskan diri dari terus dihujani persoalan-persoalan dari rakyat Sabah? Atau Musa Aman takut nasib Umno Sabah akan sama dengan nasib Parti Berjaya yang tumbang bila Pulau Labuan diserahkan kepada Persekutuan untuk dijadikan wilayahnya?

Pemimpin yang mana satu yang berbohong ini, pastinya antara 'dua M' ini, Musa atau Mahathir? Tapi yang jelas dan pasti, kedua-dua mereka adalah 'khalifah Umno'! Jadi tidak seberapa hairanlah kerana memang budaya Umno suka merekacipta cerita serta pakar membohong.

Pakatan Rakyat seharusnya akan jadikan Blok L dan Blok M satu isu sensasi kepada rakyat Sabah supaya rakyat Sabah tahu mereka benar-benar tertipu lagi.

Jangan tunggu PRU-13 lagi, 'highlight' dari sekarang dari kampung kekampung agar rakyat tahu bahawa mereka kini dan sedang tertipu. -Datuk Halik Zaman

Polis Bersikap Double Standard, Biarkan Demo Haram Pembela Negara Dan Perkasa

Balai Polis yang terletak bersebelahan Ibu Pejabat Parti Keadilan Rakyat di Merchant Square, Petaling Jaya dianggap sebagai tunggul kayu yang tidak berfungsi apabila gagal bertindak terhadap kumpulan yang mengaku mewakili Majlis Gabungan NGO Pembela Negara dan Perkasa yang berhimpun dan menunjuk perasaan sambil membakar patung Ahli Majlis Pimpinan Pusat, Datuk Zaid Ibrahim.

Sehubungan itu Setiausaha Agung KEADILAN, Saifuddin Nasution Ismail kesal dengan pihak polis yang tidak profesional apabila gagal menghadirkan dan mengambil tindakan terhadap kumpulan tersebut.

"KEADILAN menghormati hak rakyat untuk bersuara dan berhimpun secara aman tetapi kumpulan tersebut bertindak biadap.

"Mereka telah mengeluarkan kata-kata kesat dan beraksi lucah yang boleh disifatkan sebagai provokatif dan ianya boleh mencetuskan kacau bilau ketenteraman awam," kata Saifuddin dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, KEADILAN telah memaklumkan kepada pihak polis untuk sekurang-kurangnya menempatkan anggota polis untuk mengawal dan memerhati keadaan.

Namun katanya pihak polis yang kebetulan mempunyai balai di sebelah ibu pejabat parti mengatakan mereka tidak mendapat arahan untuk berbuat demikian.

"Perkara seperti ini tidak mungkin berlaku jika perhimpunan ini dibuat di hadapan pejabat Umno-Barisan Nasional.

"Institusi polis sekali lagi menunjukkan sikap "double standard" dan hanya mengikut telunjuk kerajaan Umno-BN," kata Saifuddin lagi.