21 Feb 2010

Memang Kamu Pengkhianat Rakyat Kelantan

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed hari ini meluahkan rasa sedih apabila dianggap mengkhianati rakyat Kelantan kerana tidak memihak kepada kerajaan negeri yang diteraju PAS dalam menuntut royalti minyak.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri itu berkata beliau telah melakukan yang terdaya mengikut keupayaannya sebagai anggota kerajaan persekutuan sejak 1996 dalam memperjuangkan nasib rakyat Kelantan meskipun mereka ditadbir oleh parti PAS.

"Sebagai anak jati Kelantan, saya sanggup meluluskan peruntukan berpuluh juta ringgit bagi membiayai projek-projek pembangunan untuk kepentingan kerajaan negeri," katanya kepada pemberita selepas majlis perhimpunan bulanan warga jabatan-jabatan persekutuan di sini.

Beliau memberi contoh antara projek pembangunan yang pernah diluluskannya ialah pembangunan Medan Tuan Padang bernilai RM1 juta, Pasar Siti Khadijah (RM3.3juta) dan Medan Usahawan Perbadanan Stadium Kelantan bernilai RM5 juta.

"Saya amat sedih dan dukacita jika dalam begini saya masih dikatakan sebagai rakyat yang derhaka dan mengkhianati rakyat Kelantan kerana semata-mata tidak menyokong kerajaan negeri dalam tuntutan royalti minyak yang diperjuangkan kerajaan negeri ini," kata Anggota Parlimen Jeli itu.

Mengenai isu royalti itu, Mustapa berkata beliau telah membantu rakyat Kelantan mendapat wang ihsan yang bakal diagih pada Mac ini.

"Soal tuntutan kerajaan negeri untuk mendapatkan wang royalti itu tidak berbangkit lagi, yang pastinya rakyat akan mendapat faedah melalui wang ihsan, cuma kaedahnya berbeza," katanya.

Mustapa diminta mengulas mengenai ceramah-ceramah yang diadakan penyokong PAS yang antara lain menyifatkan beliau sebagai pengkhianat dan menderhaka kepada rakyat Kelantan berhubung isu royalti minyak tersebut.

Mustapa menegaskan kerajaan persekutuan juga tidak pernah menganak tirikan Kelantan dalam agihan peruntukan pembangunan sepanjang negeri itu ditadbir PAS sejak 20 tahun lepas.

Malah katanya peruntukan yang diberi kepada kerajaan negeri Kelantan adalah berkali ganda lebih banyak berbanding kutipan hasil yang diserah kepada kerajaan pusat.

Mengulas mengenai surat layang yang memburuk-burukkan veteran Umno dan Anggota Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah kerana menggunakan platform pembangkang untuk menyuarakan pandangan berhubung isu royalti minyak, Mustapa berkata perkara itu tidak sepatutnya berlaku.

"Saya tidak bersetuju kerana memang terdapat perbezaan pendapat antara pemimpin tetapi ia boleh dibincang dan diperdebatkan melalui fakta sebenar," katanya.

Terdahulu pada majlis itu Mustapa menyerahkan cek bernilai RM800,000 kepada Timbalan Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Negeri Kelantan (MAIK), Datuk Kamaruddin Mat Zin bagi tujuan membayar elaun imam dan kakitangan masjid di negeri itu. - BERNAMA



Ulasan GB

Memang anda pengkhianat kepada rakyat Kelantan. Nak kata apa lagi.

Jangan lupa pengakuan anda di DUN Kelantan satu ketika dulu bahawa sebagai ahli Majlis Tindakan Ekonomi Negara, anda mengaku telah menyekat pembangunan ke Kelantan.

Kini royalti Kelantan dirompak oleh UMNO/BN Kelantan di bawah JPP, sedangkan Perjanjian yang sah adalah diantara Petronas dengan Kerajaan Negeri Kelantan, bukan Petronas dengan UMNO/BN Kelantan, bukan Petronas dengan JPP jauh sekali Petronas dengan Mustapha Mohamad.

Kerajaan Kelantan dan Pakatan Rakyat perlu mengheret Mustapha Mohamad dan kerajaan Malaysia ke muka pengadilan, hatta sampai ke peringkat antarabangsa sekalipun.

Pemuda MIC Persoal Kelewatan Siasatan Ke Atas Nasir Safar

Pergerakan Pemuda MIC berkata pihaknya agak kecewa kerana masih belum ada perkembangan siasatan berhubung aduan terhadap bekas pegawai khas Perdana Mentri, Datuk Nasir Safar yang didakwa membuat kenyataan berbaur perkauman pada satu seminar di Melaka, awal bulan ini.

Penasihatnya, S. Vell Paarti berkata pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan dan pergerakan itu berpendapat pihak berkuasa mengambil masa yang agak lama dalam mengendalikan kes berkenaan.

“Saya menerima makluman pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan juga rasa kecewa, mereka merasakan bahawa pihak berkuasa mengambil masa yang agak lama,” kata beliau ketika ditemui.

Sehubungan itu Vell Paari berkata, Pergerakan Pemuda MIC bercadang untuk menemui Perdana Mentri Datuk Seri Najib Razak berhubung isu berkenaan.

“Jika mendapat peluang, kami dan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan akan menyampaikan perasaan masyarakat India dalam isu ini kepada Perdana Mentri secara terus.

“Kita ada Perdana Mentri yang berorientasikan rakyat tetapi pada masa yang sama ada juga pihak yang mengeluarkan kenyataan-kenyataan macam ini, jadi kami ingin mengemukakan perasaan masyarakat India kepada beliau,” katanya.

Dua hari lalu, Ketua Polis Melaka Datuk Mohd Rodwan Mohd Yusof berkata kertas siasatan berhubung kes Nasir itu telah diserahkan kepada pejabat pendakwa raya untuk tindakan susulan.

Polis telah merakamkan percakapan Nasir selama dua jam di Putrajaya baru-baru ini.

Siasatan kes mengikut Akta Hasutan 1948 dan polis telah mengambil keterangan 49 saksi termasuk peserta kursus dan enam wartawan tempatan.

Sebanyak 58 laporan polis telah dibuat di seluruh negara berhubung ucapan Nasir pada Seminar 1Malaysia di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka.

Nasir dikatakan mengeluarkan kenyataan bahawa “orang India datang ke Malaysia sebagai pengemis manakala orang Cina pula khususnya wanita untuk menjual badan mereka” ketika berucap pada Program Rapat 1Malaysia anjuran Jabatan Hal Ehwal Khas di Melaka, 2 Feb lalu.

Bagaimanapun Nasir menafikan perkara itu dan pada hari yang sama telah meletakkan jawatan sebagai pegawai khas kepada Perdana Mentri. -MI

Keahlian Terus BN Bukti Perjuangan Perkauman Komponen BN Ditolak

Seorang Naib Presiden Umno semalam mencadangkan keahlian Barisan Nasional (BN) dibuat secara langsung tanpa perlu menjadi ahli parti komponen BN seperti diamalkan sekarang.

Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Pindaan Perlembagaan BN, berkata perkara itu antara cadangan transformasi yang akan dikemukakan untuk perbincangan dan pertimbangan jawatankuasa pindaan perlembagaan BN pada akhir tahun ini.

“Cadangan itu selaras dengan harapan serta matlamat untuk mempermudahkan rakyat menyertai perjuangan BN.

“Saya sudah minta Ibu pejabat BN mengeluarkan surat kepada Presiden dan kepemimpinan parti komponen untuk melantik wakil masing-masing duduk bersama saya dalam jawatankuasa induk pindaan ini,” katanya kepada media selepas perasmian Majlis Konvensyen Wanita Umno oleh Perdana Menteri yang juga Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak di Pusat Dagangan Dunia Putra, di sini, semalam.

Beliau berkata, pada masa itu dapat dilihat bagaimana BN membuat transformasi yang sesuai dengan cita rasa serta kehendak ramai, sama ada cadangan keahlian secara langsung itu boleh dibincang dan dipertimbangkan.

“Sebagai contoh, menjadi ahli dalam parti kita (BN) tanpa dibelenggu dalam konteks kepartian (parti komponen) dan had umur yang ditetapkan untuk menjadi ahli secara langsung...bagaimana badan gabungan, badan bukan kerajaan (NGO), anak muda kita yang mungkin belum lagi sampai kepada tahap mahu membabitkan diri secara langsung dalam parti tertentu tetapi ingin bersama BN dalam perjuangan kita.

“Ini perubahan yang saya rasa perlu untuk kita berkhidmat kepada rakyat. Gagasan 1Malaysia menuntut kita turut berubah. Saya percaya dengan kemahuan politik untuk melakukannya, kesedaran mendalam mengapa kita perlu melakukannya, sasaran tertentu, niat ikhlas serta komitmen bersungguh-sungguh, apa yang sudah dilakukan (transformasi) dalam Umno, saya cukup yakin juga dapat dilakukan dalam konteks parti BN,” katanya.

Akhbar semalam melaporkan Konvensyen BN akan diadakan pada akhir tahun ini bagi meminda perlembagaan dan menggubal dasar yang bersikap lebih terbuka serta inklusif untuk mengiktiraf sumbangan parti politik, individu dan NGO yang menyokong parti itu.

Bagaimanapun, Hishammuddin berkata, sebarang pelaksanaan cadangan pindaan perlembagaan itu memerlukan persetujuan semua parti komponen BN.

Beliau berkata, keputusan awal melihat semula dan meminda perlembagaan BN adalah satu petanda baik menyahut seruan Umno untuk melakukan transformasi.

Katanya, transformasi dan juga pindaan perlembagaan Umno yang dilakukan pada perhimpunan agung lalu ternyata tidak sia-sia, termasuk sudah disahut oleh Pergerakan Wanita Umno sehingga mencetuskan kesedaran ahli bahawa perubahan perlu dilaksanakan.

“Apa yang kita bincangkan semalam (kelmarin dalam mesyuarat Dewan Tertinggi BN) ialah bahawa landskap dunia hari ini menuntut kita menyesuaikan perjuangan kita dan parti mengikut tuntutan semasa.

“Secara konsensusnya, kepemimpinan parti komponen dalam BN sudah bersetuju bahawa perlembagaan BN mesti menggambarkan apa keadaan di luar, bermakna parti perlu inklusif dan memberikan ruang kepada golongan yang ingin berjuang tetapi bukan berada dalam parti masing-masing.

“Perlembagaan yang perlu saya teliti dengan rakan yang lain menuntut kita melihat perkara ini dari kaca mata yang baru dan ia sudah dimulakan...kebetulan saya juga yang bentangkannya pada peringkat Umno, akan diperluas dalam konteks BN,” katanya.

Ulasan GB

Akhirnya, sekalipun malu untuk mengakui, BN akur bahawa perjuangan perkauman menjadi menjadi teras parti-parti komponen utama di dalam BN telah ditolak oleh rakyat.

BN terpaksa melalui transformasi dengan mewujudkan sistem keahlian terus tanpa melalui parti-parti yang berasaskan kaum seperti UMNO, MCA dan MIC.

Berbeza dengan parti komponen Pakatan Rakyat dimana semua parti-parti utama tidak mensyaratkan dan ditentukan oleh pengenalan etnik tertentu, samada PAS, PKR atau DAP.

BN sudah ketinggalan, BN sudah lapuk dan BN telah terlalu semalam.

Aduan-aduan Terhadap PAS, Apakah PAS Masih Primitif?

Exco Pemuda PAS Abdullah Karim menggesa jawatankuasa pusat membincangkan aduannya - berhubung dakwaan penglibatan ahli parti dalam 'konspirasi' menjatuhkan Pakatan Rakyat - yang ditolak baru-baru ini.

"Saya mohon agar perkara ini dibincangkan dan diteliti oleh ahli jawatankuasa (AJK) pusat PAS dalam mesyuarat mereka yang akan datang.

"Para pimpinan PAS yang duduk dalam jawatankuasa pusat PAS sudah tentulah lebih bijaksana dalam menilai perkembangan yang berlaku ini," katanya.

Abdullah diminta mengulas kenyataan Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali yang berkata, pejabat agung parti menolak aduan Abdullah kerana tidak cukup merit untuk dipanjangkan kepada jawatankuasa disiplinnya.

Ketika dihubungi Malaysiakini semalam, Abdullah berkata, beliau menanggap keputusan yang diumumkan Mustafa melalui media baru-baru ini hanyalah pandangan peribadi.

Abdullah yang kini menetap seketika di United Kingdom berkata, tidak perlu untuknya menghantar surat bagi menyatakan hasratnya berhubung perkara itu kerana percaya Mustafa sudah tentu akan melakukannya.

"Keputusan yang dibuat atas nama parti adalah urusan kolektif yang mesti membabitkan organisasi supaya wujud elemen semak dan imbang," katanya melalui e-mel.

Ditanya kenapa perkara tersebut tidak disuarakan melalui ketua Pemuda dan AJK PAS Nasrudin Hassan untuk dibangkitkan dalam mesyuarat yang akan datang, Abdullah menjawab:

"Ini aduan saya buat atas kapasiti peribadi sebagai ahli PAS. Ia tidak membabitkn mana-mana organisasi dalam hirarki parti," katanya sambil menegaskan aduan itu melibatkan perkara sulit.

Sehingga semalam, Abdullah masih enggan mendedahkan bukti-bukti dakwaannya serta pihak yang terlibat dalam 'konspirasi' yang didakwanya itu.

"Saya kena tunggu dulu hasil mesyuarat AJK PAS pusat," katanya. -malaysiakini

Ulasan GB

Kita telah menyuarakan sebelum ini hahawa tidak wajar untuk PAS memperlekehkan aduan para ahli.

Jika sebelum ini Presiden PAS menuduh ahli-ahli menimbulkan "fitnah" di dalam blog sekalipun fitnah itu benar, kini setelah mengikut saluran yang betul pun, aduan-aduan itu ditolak dengan alasan tidak mempunyai merit.

Apa neraca merit? Mungkin hanya Setiausa Agung yang boleh menjawabnya. Jangan ia menjadi alasan untuk memperlekehkan aduan ahli.

Di dalam era digital ini, setiap aduan "pelanggan" sepatutnya perlu dilayan dengan baik. Itu sebab mengapa di pejabat-pejabat, di gedung perniagaan dan di kaunter-kaunter jabatan, disediakan tong "ADUAN".

Untuk syarikat yang mempunyai lamanweb dan portal maka mereka mempunyai E-ADUAN.

Cuma PAS sahaja yang fobia terhadap aduan sehingga tidak "appreciative" malah memperlekehkan aduan para ahlinya.

PAS sepatutnya sudah mempunyai "borang aduan" melalui internet yang boleh dimuatkan melalui lamanweb rasmi PAS atau harakahdaily. Ini adalah untuk mempercepatkan proses pengurusan aduan. Untuk memantapkan parti serta memperkasakan parti supaya ia sentiasa di depan di dalam teknologi maklumat.


Ini jangankan e-aduan, nak cari maklumat keahlian dan nak daftar jadi ahli melalui internet pun belum lagi dapat dilaksanakan parti, tapi merekalah paling bising supaya menggunakan teknologi maklumat untuk perkasakan parti.

Kalau di zaman Rasululullah, beliau paling depan di dalam teknologi tentera berkuda untuk berdepan dengan musuh. Di dalam sebuah hadith sahih Rasulullah dikatakan pernah menggadai "baju besi" baginda kepada seorang yahudi menunjukkan bahawa Rasulullah tidak ketinggalan mempunyai "kelengkapan perang" yang hebat. Mengapa di zaman teknologi maklumat ini masih ramai pemimpin PAS yang buta kayu dengan teknologi maklumat ini? Tetapi mereka paling bising suruh ahli-ahli guna teknologi maklumat?

Bilakah PAS akan dibebaskan dari cengkaman pimpinan era primitif ini?

CIMB Akan Menguasai Touch N Go

CIMB Group Holding Bhd. (CIMB) yang Ketua Eksukutif Kumpulannya ialah Datuk Seri Nazir Razak semalam memeterai perjanjian jual beli dengan UEM Group Bhd. dan UEM Builders Bhd. untuk menguasai 32.22 peratus kepentingan Touch 'n Go Sdn. Bhd. dengan harga RM53.8 juta.

Urus niaga pembelian itu dilakukan melalui CIMN SI 1 Sdn. Bhd., anak syarikat milik penuh Kumpulan CIMB.

Kumpulan CIMB dalam kenyataannya di sini berkata, apabila urus niaga itu selesai, Kumpulan CIMB akan menyaksikan pegangannya dalam Touch 'n Go meningkat daripada 20 peratus kepada 52.22 peratus, sekali gus pemegang saham utama dalam syarikat tersebut.

Pada masa yang sama, UEM Group akan mengekalkan pegangan 20 peratus dalam Touch 'n Go manakala MTD Capital Bhd. pula akan menguasai bakinya 27.78 peratus.

Touch 'n Go merupakan syarikat yang terlibat dalam penyediaan perkhidmatan pembayaran tambang menerusi kad prabayar e-payment.

Sehingga kini Touch 'n Go merupakan pengendali sistem bayaran tol elektronik di lebuh raya di Malaysia dan turut dikenali sebagai sistem tiket biasa untuk sebahagian besar pengangkutan awam di Lembah Klang.

Touch 'n Go mencatat keuntungan bersih RM15.6 juta pada tahun kewangan 31 Disember 2009.

Nazir berkata, keupayaan Touch 'n Go saling melengkapi perniagaan Kumpulan CIMB.

"Touch 'n Go merupakan platform pembayaran berjaya dan merupakan jenama yang kukuh.

" Minat yang ditunjukkan terhadap Touch 'n Go akan mewujudkan sinergi antara Touch 'n Go dan aktiviti-aktiviti perbankan Kumpulan CIMB,'' katanya dalam kenyataan.

Kumpulan CIMB menjangkakan urusan jual beli itu akan selesai dalam suku pertama 2010.

Jawatan PM Najib Lonjak Nazir Antara Individu Terkaya Malaysia
Oleh Norasikin Samsi


KUALA LUMPUR, 20 Feb - Tindakan Umno-BN bersama kroni mengumpul kekayaan melalui penyalahgunaan kuasa bukan sahaja melambangkan 'kerakusan' untuk terus mempertahankan kuasa serta kedudukan tetapi sebaliknya bertujuan menambah beban rakyat.

Ahli Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN, Badrul Hisham Shahrin atau CheGuBard menyelar demikian ketika mengulas pendedahan senarai Malaysian Business yang melaporkan adik Perdana Menteri Datuk Seri Nazir Razak tersenarai antara 40 individu terkaya di Malaysia.

Nazir yang menguasai CIMB Group muncul dalam senarai itu kurang setahun abangnya Datuk Seri Najib menjadi Perdana Menteri.

Seperti tahun lepas, kekayaan 40 teratas itu dinilai berdasarkan kepada nilai saham individu di dalam syarikat yang tersenarai pada 15 Januari tahun ini.

"Ketika zaman Dr Mahathir dahulu berapa banyak kekayaan yang disonglap beliau bersama kroni-kroninya termasuk anak beliau Mokhzani. Begitu juga Pak Lah yang begitu rakus membenarkan kaedah yang sama digunapakai untuk kepentingan anaknya, Kamaruddin sehingga pernah tersenarai antara yang terkaya di Malaysia. Sekarang, Najib pula berjaya memasuki dalam kategori sama mengaut harta secara gelap untuk diberikan kepada adiknya, Nazir, bersama ribuan kroni-kroni mereka," kata beliau yang juga Ketua Cabang Rembau.

Beliau juga membidas kepimpinan rejim Umno-BN yang mementingkan kekayaan namun tegar mengenepikan kepentingan rakyat termasuk menghancurkan masa depan orang Melayu walaupun memerintah negara selama 50 tahun.

"Kita lihat sendiri bagaimana mereka sanggup meminggirkan bangsa sendiri menerusi Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang pada mulanya diwujudkan untuk membela orang-orang Melayu, tetapi gagal.

"Bukan itu sahaja, kekayaan mereka terus bertambah tetapi rakyat yang miskin semakin dihimpit beban yang tidak mampu lagi ditanggung berikutan kenaikan harga barangan termasuk harga minyak akan turut dinaikkan," jelas Badrul lagi.

Sehubungan itu beliau menggesa rakyat untuk merubah lanskap kehidupan mereka bersama Pakatan Rakyat supaya jauh lebih baik berbanding di bawah pemerintahan BN.
Sementara itu Tan Sri Robert Kuok dari Kumpulan Kuok yang melepaskan mahkota “Raja Gula” tahun lepas masih mendahului senarai dengan kekayaan RM42.76 bilion, meningkat RM16.1 bilion daripada RM26.6 bilion setahun lalu.


JK Disiplin PAS Perlu Dibebaskan

Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali menyokong cadangan supaya perlembagaan PAS dipinda bagi membolehkan jawatankuasa disiplinnya dipengerusikan oleh pihak yang benar-benar bebas dan tidak memegang sebarang jawatan dalam parti.

Mustafa diminta mengulas gesaan timbalan pesuruhjaya PAS Pahang Dr Hamzah Jaafar baru-baru ini supaya pindaan perlembagaan dibuat bagi mengelakkan berlakunya konflik kepentingan dan perasaan serba salah dalam mengadili sesuatu kes.

Isu tersebut muncul setelah keputusan jawatankuasa pimpinan naib presidennya Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man terhadap dua pemimpin kontroversinya – pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Dr Hasan Ali dan ahli parlimen Shah Alam Khalid Samad – pada 29 Januari lalu dianggap berat sebelah.

Walaupun anggota jawatankuasa disiplin PAS perlu dilantik daripada kalangan tokoh yang benar-benar bebas, tetapi perlembagaan PAS mensyaratkan, pengerusinya mestilah mempunyai jawatan di peringkat pusat.

Dalam wawancara dengan Malaysiakini semalam, Mustafa menerangkan cadangan pindaan perlembagaan bagi tujuan tersebut, telah dibincangkan, tetapi belum ada sebarang kata putus dibuat.

“Sudah berjalan secara perbincangan umum, tetapi belum ditulis untuk jadi pindaan. Kita tidak buat (pindaan tentang) satu perkara, (tetapi) banyak perkara. Kita tidak hendak tiap kali muktamar, (dibuat) pindaan perkara-perkara kecil,” katanya.

Orang lama PAS itu menjangka, cadangan tersebut turut akan dibangkitkan dalam muktamar agungnya yang akan datang dijangka diadakan antara Mei dan Jun ini.

Menjelaskan rasional pemilihan Tuan Ibrahim, Mustafa berkata, “beliau yang palik layak” memikul tanggungjawab tersebut.

Menurut Mustafa, PAS tidak boleh menunggu pindaan perlembagaan dibuat untuk menentukan nasib Dr Hasan dan Khalid kerana “kes sudah ada”.

“Kes sudah ada, takkan kita hendak tunggu pindaan perlembagaan (baru bertindak). Kita menaruh keyakinan orang yang dilantik (sebagai pengerusi) itu mempunyai kewibawaan untuk membawa keadilan.

“Dan kalau itu pun (mengundang) tidak puas hati, ada salurannya untuk dikemukakan perkara itu,” katanya. -malaysiakini

Ulasan GB

GB telah mengkritik Jawatankuasa Disiplin Parti di dalam beberapa siri entri yang lalu yang tidak jelas siapa yang melantik mereka, atas kapasiti apa mereka dilantik, mekanisme apa yang digunakan didalam perlantikan itu dan setakat mana ilmu kehakiman yang mereka ada untuk menjadi seorang anggota yang mampu menjalankan keadilan di dalam parti.

Ramailah juak-juak UG bangkit menempelak GB lantarannya.

Kini, ternyata apa yang GB utarakan adalah benar bahawa Jawatankuasa Disiplin Parti perlu ditukar ahlinya, perlu dirombak, perlu diperkasakan supaya ianya tidak bias dan dapat melaksanakan tugas menegakkan kebenaran dan keadilan untuk semua.

Dan apabila diakui bahawa JK Disiplin parti perlu dibebaskan segera ini bererti keputusan JK Disiplin yang lalu terhadap kes Hassan Ali dan Khalid Samad adalah terbatal dan tidak boleh diakui sebagai adil dan saksama. Ia perlu dibicarakan semula.

Kita sering persoalkan keadilan di dalam sistem kehakiman di dalam negara kita yang dilihat tidak adil, berpihak dan begitu bias, sedangkan lembaga disiplin parti kita 2 x 5.

Dan bukan sahaja JK Disiplin parti yang perlu di"bebas"kan, malah pimpinan tertinggi parti juga perlu dibebaskan dari cengkaman kumpulan yang mengkhianati perjuangan menegakkan kebenaran dan keadilan seperti yang telah digariskan oleh Perlembagaan parti.

Kita tidak perlu takut dan melayan golongan pengampu dan pencacai yang berhiruk-pikuk mendabik dada kononnya merekalah pejuang PAS sejati dan melabelkan orang lain dmunafik dan seumpamanya.

GB yakin kebenaran itu tetap akhirnya akan menang melawan kebatilan. Kerana demikian janji Allah.

20,000 Hadiri Sambutan Tahun Baru Cina Peringkat Negeri Selangor

Kira-kira 20,000 masyarakat tempatan pelbagai bangsa dan usia menghadiri sambutan Tahun Baru Cina peringkat Selangor di Tokong Dong Zen di Jenjarum, Banting, malam tadi.

Kaum Melayu dan India tidak ketinggalan meraikan sambutan kebudayaan masyarakat Tiong Hua itu dalam suasana majmuk dan harmoni.

Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim dan barisan Exco Selangor juga memeriahkan acara makanan tradisi 'Yee Sang' bersama pemimpin masyarakat tempatan.

Kehadiran pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR), PAS dan DAP, antaranya, Ahli Parlimen Batu, Tian Chua; Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Alam Shah, M Manoharan tambah menyerikan lagi majlis itu.

Sambutan itu anjuran Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar Selangor dan Tourism Selangor.

Khalid turut menyampaikan perutusan Tahun Baru Cina dan melawat ke sekitar kawasan Dong Zen, selain menyampaikan angpau kepada orang kurang upaya, anak yatim dan warga tua.

Dalam ucapannya, beliau berkata majlis berkenaan dianjur bertujuan mengeratkan hubungan masyarakat pelbagai kaum di negeri itu.

“Kita mahu semua rakyat di negeri ini mengenali lebih dekat budaya dan perayaan masyarakat Tionghua,” katanya.

Beliau menganggap majlis pada tahun ini lebih meriah kerana Tokong Dong Zen sedang menganjurkan Festival Bunga-bungaan dan Tanglung yang bermula sejak 12 Februari hingga 28 Februari.

Pengunjung juga dihidang dengan pelbagai acara menarik antara persembahan muzik gabungan 24 Gendang Tionghua, Tarian Singa, Magik Pertukaran Topeng Tionghua dan nyanyian artis Cina, kebudayaan Melayu dan lagu Hindustan. -TVS