16 Feb 2010

Firaun Kecil Yang Celupar Terhadap TGNA

Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) hari ini membidas kenyataan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat kerana menyifatkan wakil rakyat yang keluar atau melompat parti sebagai pengkhianat rakyat dan negara.

Beliau berkata, Nik Aziz sepatutnya melihat kembali sejarah politik partinya sendiri yang pernah menyertai Barisan Nasional (BN) tanpa seorangpun daripada wakil mereka meletakkan jawatan.

"Saya menghormati Datuk Nik Aziz, tapi semasa PAS menyertai BN, tak ada seorangpun daripada PAS yang keluar daripada PAS.

"Tok Guru (Nik Abdul Aziz) elok tengok sejarah beliau semula, Tok Guru tak letak jawatanpun... itupun pengkhianatan juga," katanya di sini hari ini.

Media hari ini melaporkan Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, mereka yang dipilih sebagai wakil rakyat harus menjadi orang yang bertanggungjawab dengan menyedari bahawa undi yang diberikan itu adalah amanah.

Katanya, kalau wakil rakyat itu tidak mahu tanggungjawab yang diberi oleh rakyat, elok saja mereka letak jawatan, biar diadakan pilihan raya kecil.

Terkini Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Mohamed Zahrain bertindak keluar daripada PKR kerana kecewa dengan kepimpinan kerajaan negeri Pulau Pinang serta hilang keyakinan terhadap gabungan pakatan pembangkang.

Mengulas lanjut Zulkifli berkata, pada ketika ini seseorang wakil rakyat itu perlu mempunyai prinsip politik yang kuat tanpa mengikut telunjuk perjuangan parti politik dengan membabi buta.

"Sekarang ini zaman politik yang lebih terbuka, kita sepatutnya mengambil pendirian berdasarkan prinsip kita sendiri serta tidak mengikut parti dengan membabi buta.

"Kenyataan (Nik Abdul Aziz) ini tak wajar, sepatutnya melihat dulu sejarah beliau sendiri dan melihat kepada politik sekarang yang tidak terlalu mengikut parti," katanya. -MSTAR

Ulasan GB

Firaun Kecil itu terus menampakkan keceluparannya selepas merasakan dirinya begitu hebat kerana mendapat liputan meluas dari media massa pro-UMNO kerana tindak-tanduknya yang membelasahkan DAP, PKR, PAS dan Pakatan Rakyat amnya.

Apakah beliau tidak menyedari bahawa sewaktu PAS menyertai BN adalah keputusan yang dibuat secara berjemaah dan bukan dilakukan secara individu.

Pada waktu itu PAS di bawah kepimpinan Datuk Mohd Asri Hj Muda telah membuat keputusan menyertai BN selepas tragedi berdarah 13 Mei 1969, yang mana usia Firaun Kecil itu baru 7 tahun yang masih tidak tahu apa-apa bab politik.

Oleh kerana pada waktu itu, keputusan Muktamar Khas PAS di Dewan Bahasa Dan Pustaka melulusan usul penyertaan PAS dalam kerajaan campuran PAS-PERIKATAN.

Justeru itu tidak ada apa yang disifatkan sebagai "pengkhianatan" seperti yang dituduh oleh Firaun Kecil itu terhadap TGNA. Kalau ada sebutkan pengkhianatan apa? Pengkhianatan yang bagaimana? Pengkhianatan terhadap siapa?

Sikap TGNA pada waktu itu mengikut keputusan jemaah. Bukan sendiri-sendiri seperti yang dilakukan oleh Firaun Kecil yang biadab itu.


Dan PAS menerima pengajaran besar daripada pengalaman berada di dalam BN. PAS tidak mungkin mengulangi sejarah pahitnya seperti seseorang yang tidak mungkin jatuh ke lubang biawak dua kali.


Adik Najib Dan Anak Mahathir Disenaraikan Antara Orang Paling Kaya Di Malaysia

Datuk Mokhzani Mahathir - anak mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad - tersenarai dalam 20 orang terkaya di Malaysia, demikian menurut hasil kaji selidik majalah Malaysian Business.

Sehingga 15 Januari lalu, Mokhzani dari Kencana Petroleum, disenaraikan dengan kekayaan sebanyak RM1.075 bilion untuk menduduki tangga ke-20 orang terkaya di Malaysia.

Manakala Datuk Seri Nazir Razak - adik Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak - dari Kumpulan CIMB, turut disenaraikan antara 40 orang terkaya di Malaysia.

Jutawan Melayu lain yang disenaraikan ialah Tan Seri Syed Mokhtar AlBukhary dari Yayasan AlBukhary, dengan kekayaan sebanyak RM6.01 bilion di tangga ke tujuh.

Manakala Tan Sri Azman dari Arab-Malaysian Corp di senaraikan di tangga ke-11 denan kekayaan se banyak RM2.8 bilion.

Kekayaan 40 orang terkaya di Malaysia terus mencatat peningkatan dengan kekayaan mereka yang terkumpul bernilai RM156.7 bilion pada 15 Jan atau 63 peratus lebih daripada RM96.3 bilion berikutan pemulihan dalam pasaran saham, demikian didedahkan hasil satu kaji selidik oleh Malaysian Business.

Bagaimanapun, menurut kenyataan hasil kaji selidik majalah itu yang dikeluarkan hari ini, kekayaan terkumpul mereka masih kurang daripada RM171.9 bilion yang direkodkan pada 2008.

Penanda aras FBM KLCI telah meningkat 44.3 peratus sejak kaji selidik terakhir ketika masyarakat dunia berusaha bangkit semula berikutan krisis kewangan global.

Senarai penuh 40 orang terkaya dan maklumat mengenai kekayaan mereka telah diterbitkan dalam majalah itu dalam keluaran 16 Februari.

Seperti tahun lepas, kekayaan 40 teratas itu dinilai berdasarkan kepada nilai saham mereka di dalam syarikat yang tersenarai pada 15 Jan tahun ini.

Kaji selidik itu juga menunjukkan hampir separuh daripada senarai yang tercatat tahun ini melonjak 50 peratus atau lebih.

Ada lebih jutawan tahun ini — 22 orang iaitu lebih lapan orang berbanding tahun lepas.

Tan Sri Robert Kuok dari Kumpulan Kuok yang melepaskan mahkotanya “Raja Gula” tahun lepas, masih mendahului senarai dengan kekayaan RM42.76 bilion, meningkat RM16.1 bilion daripada RM26.6 bilion, setahun lalu.

Hartawan telekomunikasi Ananda Krishnan berada pada kedudukan kedua dengan kekayaan RM27 bilion.

Tan Sri Lee Shin Chen dari IOI Corporation Bhd menduduki tempat ketiga dengan kekayaan RM11.92 bilion diikuti ahli perbankan terkemuka Tan Sri Teh Hong Piow dengan kekayaannya berjumlah RM10.86 bilion.

Tan Sri Lim Kok Thay dari Kumpulan Genting dengan kekayaan bernilai RM10.38 bilion, melonjak kepada kedudukan kelima. Ini kerana beliau mewarisi sejumlah besar kekayaan daripada mendiang bapanya Tan Sri Lim Goh Tong.

Tan Sri Quek Leng Chan dari Kumpulan Hong Leong menduduki tempat keenam dengan RM7.09 bilion manakala Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary dari Yayasan Albukhary dengan kekayaan bernilai RM6.01 bilion, menduduki tempat ketujuh.

Jutawan lain yang tersenarai dalam 10 teratas adalah balu Lim Goh Tong, Puan Sri Lee Kim Hua, Tan Sri Tiong Hiew King dari Rimbunan Hijau Group dan Tan Sri Vincent Tan dari Berjaya Group.

Lima muka baru dalam senarai itu ialah Lee Swee Eng dari KNM Group, Datuk Shahril Shamsuddin dan Shahriman Shamsuddin dari Sapura, Datuk Seri Nazir Razak dari CIMB Group dan Ong Leong Huat dari OSK Holdings, yang muncul semula dalam senarai itu selepas tiada dalam tempoh setahun.

Pada survey majalah Forbes tahun lalu, Raja Eleena binti Sultan Azlan Shah(anak kepada Sultan Azlan Shah) di tangga ke 35 orang terkaya di Malaysia.


Keputusan hukuman sebat Kartika selepas menghadap Tengku Abdullah

Hukuman sebat terhadap model sambilan, Kartika Sari Dewi Shukarnor akan diputuskan selepas pertemuannya dengan Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) Datuk Abdul Manan Abdul Rahman berkata pihaknya perlu menunggu maklum balas daripada pertemuan itu sebelum membuat tindakan susulan.

“Kartika perlu menghadap dulu Tengku Mahkota, lepas itu barulah keputusan boleh dibuat,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis akad nikah pasangan saudara baru Sheikh Adam Idham Fadhil, 27, dan Ling Suraiyah Foo Abdullah, 29, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai hukuman sebat terhadap Kartika, 33, yang belum dilaksanakan selepas dijatuhi hukuman denda RM5,000 dan enam sebatan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan pada 20 Julai tahun lepas setelah mengaku bersalah meminum arak di sebuah hotel di Cherating pada 11 Julai 2008.

Abdul Manan berkata JAIP telah membuat persiapan untuk melaksanakan hukuman itu.

Tengku Abdullah yang juga Yang Dipertua Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang sebelum ini bertitah baginda bersedia menerima menghadap Kartika berhubung isu penangguhan pelaksanaan hukuman sebat itu. — Bernama


Operasi Hari Kekasih, 52 Termasuk Pelajar IPTA Ditahan

Gelagat manusia mengamalkan hubungan intim bebas tanpa ikatan sah ditambah sempena Hari Valentine di ibu kota kerap mengundang rasa gelisah pelbagai pihak.

Dalam suatu serbuan melibatkan 50 anggota penguatkuasa Jawi dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di sekitar 8 buah hotel bajet di sini, menyaksikan 52 orang ditahan bersama alasan-alasan yang mencurigakan.

Antara mereka, seorang gadis bawah umur dalam lingkungan 16 tahun turut ditahan bersama abang angkat serta seorang lagi lelaki lain dalam bilik sama.

Alasan gadis itu, beliau lari dari rumah dan mendapatkan perlindungan daripada abang angkatnya kerana malu gambar bogelnya disebar oleh bekas teman lelakinya sebelum ini.

Turut ditahan dalam operasi serbuan itu, adalah seorang wanita berusia 24 tahun yang hanya memakai coli dan seluar dalam di salah sebuah bilik hotel.

Selain itu, antara yang mengaibkan adalah reaksi seorang lelaki berusia 30-an ketika gambar beliau bersama kekasihnya dirakam pihak media dalam satu operasi yang sama di tempat yang lain.

Lelaki itu ditahan bersama pasangannya kerana berdua-duaan di tempat sunyi di Tasik Titiwangsa dalam satu operasi cegah maksiat Jawi yang bermula pukul 10 malam.

Operasi selama lima jam itu telah menyebabkan kesemua mereka dituduh melakukan kesalahan mengikut Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah Persekutuan) 1997.

Ketua Pegawai Penguatkuasa Agama Wilayah Persekutuan, Zainul Abidin Mat Nor berkata, operasi turut dijalankan di lapan buah hotel bajet di sekitar ibu negara.

Katanya, daripada jumlah itu, lapan individu ditahan mengikut Seksyen 27 kerana berkhalwat, manakala 44 lagi individu ditahan mengikut Seksyen 29 kerana berkelakuan tidak sopan di tempat awam.

"Kesemua yang ditahan sudah bekerja dan masih belajar, berusia antara 16 dan 30 tahun. Sementara itu, di Wilayah Persekutuan Labuan, empat individu ditahan kerana minum arak dan dua pasangan remaja dicekup kerana berkhalwat," kata Zainul baru-baru ini ketika mengetengahkan hasil dapatan baru.

Operasi itu turut mengesan kehadiran pelbagai gelagat dan alasan yang diberikan oleh pasangan-pasangan terbabit ketika ditahan pihak penguat kuasa.

Kebanyakan mereka memberi alasan dalam perancangan berkahwin, terpaksa menginap di hotel selepas penat bersiar-siar dan tidak sempat membeli tiket bas pulang ke kampung halaman. Laporan : erapakatan Video : Edisi 7



Pakatan Rakyat Sedang Melalui Evolusi Politik (updated)

Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengakui beliau salah memilih beberapa calon bagi mewakili parti itu untuk bertanding pada pilihan raya umum yang lepas.

"Calon bagi kerusi Parlimen saya yang pilih. Ketika itu PKR masih baru. Jadi kita terpaksa angkat (mereka)," katanya ketika berucap pada majlis sambutan Tahun Baru Cina anjuran PKR, di sini hari ini.

Beliau yang juga Ketua Pembangkang berkata, PKR akan lebih berhati-hati bagi memastikan calon yang dipilih untuk bertanding pada pilihan raya umum akan datang tidak goyang, tetapi kuat dan bersih.

Minggu lepas, bekas Pengerusi PKR Pulau Pinang yang juga Anggota Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim mengisytiharkan keluar dari PKR dan menjadi Anggota Parlimen bebas.

Beliau kecewa dengan kepimpinan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng serta kesal dengan perjuangan PKR dalam pakatan pembangkang. - BERNAMA



Ulasan GB

Kita akur dengan perkembangan mutakhir yang menyaksikan beberapa orang ahli PKR melompat keluar dari parti, bukan sahaja PKR yang masih baru tetapi berlaku juga kepada DAP.

Pakatan Rakyat juga masih baru, justeru proses pembersihan akan berlaku, mengenepikan mereka yang tidak jujur, yang berkepentingan peribadi, yang tidak boleh bekerja di dalam satu pasukan.

Perkara yang sama bukan kata tidak berlaku di dalam PAS. PAS juga ada yang tersalah pilih calon sehingga menimbulkan masalah mereka tidak berupaya bekerja di dalam satu pasukan seperti yang berlaku di Selangor di mana terdapatnya ADUN malah exco yang tiba-tiba menjadi pembangkang kepada kerajaan Pakatan Rakyat sendiri di Selangor.

Ini semua perlu diperbetulkan, di dalam tempoh ruang masa yang diberikan Allah, sebelum amanah untuk memimpin negara diserahkan kepada Pakatan Rakyat. Pakatan Rakyat melalui proses evolusi politik yang begitu cepat kerana rakyat sebenarnya tidak tahan dengan kerajaan UMNO BN.

UMNO Terlopong, Tan Tee Beng Masih Ahli PKR, Zahrain Tak Sertai UMNO

Ahli Parlimen Nibong Tebal Tan Tee Beng menafikan beliau akan melompat keluar daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) seperti yang didakwa oleh sesetengah media sejak kebelakangan ini.

"Perkara sedemikian tidak pernah timbul atau terlintas dalam fikiran saya walaupun dengan lantang mengkritik pemerintahan Ketua Menteri, Lim Guan Eng dan saya juga akan terus berbuat demikian.

"Saya masih ahli PKR hari ini, esok, lusa dan tak tahu bila,"
katanya dalam majlis rumah terbuka Tahun Baru Cina anjuran Gerakan baru-baru ini.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, sebuah laporan polis akan dibuat ke atas Timbalan Ketua Menteri II, P. Ramasamy dan Ketua Staf Pejabat Ketua Menteri, Jeff Ooi dalam masa terdekat.

Tambah beliau, hal itu dilakukan ekoran kegagalan kedua-dua mereka hadir ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pulau Pinang Jumaat lalu bersama bukti bagi menyokong dakwaan dirinya terlibat dalam proses tender Perbadanan Kemajuan Pulau Pinang (PDC).

Malah, katanya, laporan polis akan dibuat bukan sahaja terhadap Ramasamy dan Jeff Ooi tetapi mana-mana pihak yang membuat tuduhan serta fitnah sekali gus mencemar nama baik beliau sebagai wakil rakyat.

''Saya sudah beri kedua-dua orang ini masa yang secukupnya untuk membuktikan dakwaan mereka, malah saya turut menunggu mereka di pejabat SPRM tapi tidak juga muncul.

''Jadi, saya sudah tidak ada jalan lain selain membuat laporan polis terhadap Ramasamy dan Jeff Ooi," katanya

Pada 11 Februari lalu, Tee Beng mencabar Ramasamy dan Jeff Ooi mengemukakan bukti bahawa dirinya terlibat dalam proses tender PDC dan mengajak kedua-dua pemimpin DAP itu membawa bersama 'bukti' ke pejabat SPRM pada pukul 4 petang.

Namun, selepas menunggu sehingga hampir pukul 6 petang, kedua-dua mereka tidak juga muncul dan beliau menyifatkan Ramasamy dan Jeff Ooi sebagai pengecut. -erapakatan


Shafie: Tiada bayangan Zahrain akan kembali ke Umno

KOTA KINABALU, Feb 16 — Naib Presiden Umno Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata belum ada tanda-tanda bekas pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pulau Pinang Datuk Zahrain Hashim akan kembali ke Umno selepas memutuskan untuk keluar parti itu, Jumaat lalu.

“Setahu saya, Zahrain memutuskan untuk menjadi Ahli Parlimen Bebas di kawasan pilihan rayanya (Bayan Baru). Tiada sebarang tanda bahawa beliau akan menyertai Umno atau mana-mana parti komponen BN,” katanya.

Sehubungan itu, beliau juga berkata masalah yang membelenggu pembangkang khususnya PKR sekarang tidak kena-mengena dengan Umno.

“Jelas bahawa apa yang berlaku dalam parti itu disebabkan masalah yang membelenggu mereka. Ia tiada kena mengena dengan kita (Umno),” kata Shafie dipetik Bernama sambil menambah Umno tidak pernah mempengaruhi anggota pembangkang supaya meninggalkan parti mereka.

Zahrain merupakan salah seorang bekas ketua Umno Bahagian yang keluar parti itu lebih satu dekad yang lalu untuk menyertai PKR yang dahulunya dikenali sebagai Parti Keadilan Nasional.

Beliau memenangi kerusi Bayan Baru pada 8 Mac 2008.

Banyak pihak dalam Umno mengajaknya menyertai Umno ekoran keputusannya meninggalkan PKR minggu lalu.

Shafie berkata, Umno dan parti komponen Barisan Nasional (BN) yang lain hanya perlu bekerja untuk rakyat dan bukannya membangkitkan dilema yang kini dihadapi oleh pembangkang.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah berkata “keadaan rapuh” dalam kalangan PKR dan pakatan pembangkang bukanlah urusan Umno.

“Adalah penting untuk kita menyampaikan... memberi khidmat terbaik kita kepada rakyat yang benar-benar memerlukan bantuan kita.

“Dengan cara itu, rakyat akan tahu bahawa kita adalah kerajaan yang mengambil berat kebajikan mereka, pemimpin rakyat yang boleh dipercayai dan dapat memberi khidmat terbaik tanpa perlu memberitahu mereka bahawa pembangkang tidak boleh

dipercayai,” kata beliau selepas menghadiri jamuan malam sempena Tahun Baru Cina anjuran Gabungan Persatuan-persatuan Cina Sabah (FCAS) di sini malam tadi. -MI


Zahrain Keluar PKR, Ezam Pula Cemas

Keluarnya Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Zahrain Mohd Hashim dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) langsung tidak menjejaskan parti sebagaimana dakwaan Mohamed Ezam Mohd Noor.

Menganggap kenyataan Ezam dalam beberapa akhbar kawalan Umno itu sebagai dangkal, Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR, Badrul Hisham Shaharin melabel Zahrain sebagai 'individu tidak ada apa-apa'.

Malah, katanya, ketiadaan Ezam yang menjadi watak penting ketika Datuk Seri Anwar Ibrahim merengkok di penjara, langsung tidak menjejaskan PKR, apatah lagi Zahrain.

Beliau berkata, Ezam yang meninggalkan PKR menjelang pilihan raya umum 2008, tidak menjejaskan pencapaian parti, sebaliknya PKR bersama parti gabungan dalam Pakatan Rakyat berjaya menawan 5 negeri.


"Kalau Ezam keluar tidak ada kesan, takkan Zahrain keluar ada kesan? Secara tak langsung, Ezam kata Zahrain lebih hebat daripada dia… Hakikatnya, Ezam keluar tiada kesan, malah kita lebih kukuh.

"Sebenarnya, Ezam mula cemas kerana tidak mendapat tempat yang dijanjikan sebelum ini. Dia cuba cari perhatian apabila ada orang PKR keluar parti," katanya kepada TVSelangor.

Badrul berkata, tindakan keluar parti tidak menjejaskan PKR yang pernah berdepan situasi lebih genting apabila tinggal satu kerusi pada pilihan raya umum 2004 tapi mampu melonjak menjadi parti pembangkang utama dalam senario politik Negara.

"Bermakna, keluarnya individu tertentu termasuk Zahrain bukan situasi membimbangkan. "Kita pernah jadi parti nyamuk ketika Anwar dalam penjara. Ketika itu, BN masih melihat kita sebagai ancaman dan bersungguh-sungguh cuba tarik keluar orang kita," katanya.

Timbalan Ketua AMK, Faris Musa pula mengulangi gesaan pelbagai pihak supaya Zahrain mengosongkan kerusi Parlimen supaya sokongan rakyat pada pilihan raya umum lalu, tidak dikhianati.

"Mandat yang diberi adalah atas nama PKR. Beliau bukan bertanding atas prinsip peribadi beliau, jadi beliau harus melepaskan jawatan.

"Bila keluar parti, melepaskan semua jawatan tetapi termasuk jawatan di Parlimen. Sebab mandat untuk berada di kerusi itu sekarang ini ialah mandat PKR, bukannya kapasiti peribadi,"
katanya. -TVS



Veteran Wanita UMNO sertai PKR

Bekas Veteran Pergerakan Wanita UMNO Cawangan Kuala Ina, Dara Ahmad mengambil keputusan menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) sekali gus mengikuti jejak langkah anak-anaknya menyertai parti tersebut tahun lepas.

Ketua PKR Melaka, Mahani Masban berkata, penyertaan Dara ke PKR sangat dialu-alukan dan rumah beliau kini dijadikan lokasi Ranting PKR Kuala Ina yang dirasmikan baru-baru ini.

“Kita difahamkan ramai lagi rakan beliau (Dara) akan mengikuti jejak langkahnya menyertai kami (PKR),” katanya kepada Sinar Harian selepas Penyerahan Borang Keahlian PKR di rumahnya, di sini.

Menurut Mahani, sehingga kini seluruh jentera wanita PKR semua kawasan dan negeri tetap meneruskan aktiviti bersama rakyat meskipun pelbagai spekulasi melanda parti tersebut sejak kebelakangan itu termasuk kes perbicaraan Penasihat PR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurutnya, spekulasi melanda tidak mematahkan semangat untuk terus berjuang dan menarik penyertaan masyarakat dalam PKR.

Sementara itu, Mahani memaklumkan pihaknya turut menghantar seramai 20 orang dari setiap cabang secara bergilir-gilir untuk menghadiri mahkamah sepanjang perbicaraan berlangsung.

“Inilah tanda sokongan tidak berbelah bahagi kami kepada pucuk kepimpinan dan percaya beliau (Anwar) pasti dibebaskan berhubung fitnah yang mengaibkan beliau,” katanya.

Terdahulu Wanita PKR Melaka turut meraikan Pesta Ponggal yang berlangsung di Taman Serkam Maju melibatkan penyertaan ahli PKR Ranting Serkam Darat dan Ahli Jawatankuasa Cabang Jasin dihadiri Ketua Wanita PKR Pusat merangkap Ahli Parlimen Ampang, Zuraidah Kamarudin.


Nong Chik "Paksa" Penduduk Kg. Baru Untuk Berpindah

Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin seolah-olah mengguna tekanan berbentuk undang-undang ke atas penduduk Kampung Baru agar berpindah segera demi pembangunan di kawasan tersebut.

"Semua penduduk Kampung Baru perlu bersetuju dengan pembangunan semula kawasan itu bagi membolehkan kerajaan melaksanakan cadangan itu secepat mungkin," kata beliau dalam rancangan bualbicara Soal Jawab di TV3 baru-baru ini.

Tambah Raja Nong Chik, berdasarkan peruntukan undang-undang, bagi melaksanakan sesuatu projek pembangunan secara komprehensif di sesuatu tempat, kerajaan perlu mendapatkan persetujuan semua penduduk kawasan berkenaan.

"Tapi kalau ada yang masih menahan, kita terpaksa cari kaedah undang-undang dan sebagainya," katanya lagi.

Menurut beliau, kerajaan mungkin mengkaji satu undang-undang mengikut majoriti, iaitu jika 80 peratus penduduk di sesuatu kawasan tersebut bersetuju dengan projek pembangunan, maka 20 peratus lagi terpaksa menurut atau akur dengan keputusan membangunkan kawasan itu.

"Kita sedang kaji undang-undang itu bukan hanya untuk pembangunan di Kampung Baru, malah di kawasan lain yang juga tertahan pembangunannya," katanya.

Beliau berkata jika cadangan pembangunan semula Kampung Baru itu terlaksana, pemindahan sementara sebahagian penduduknya mungkin akan dilakukan.

Menurut Raja Nong Chik, Perdana Menteri Mohd Najib Abdul Razak sebelum ini berjanji bahawa penduduk Kampung Baru tidak akan dipindahkan dan kebajikan mereka akan terpelihara.

Bagaimanapun, tambah beliau, penduduk di kampung tersebut, mungkin terpaksa dipindahkan buat sementara waktu bagi membolehkan kerja pembangunan Kampung Baru dijalankan dan kajian berhubung perkara itu sedang dilakukan. -erapakatan

Merungkai Kecurigaaan Misteri Kehilangan Pesuruhjaya PAS WP

Pesuruhjaya Pas Wilayah Persekutuan, Mohamad Nor yang dilapor hilang sejak Khamis lalu, selamat pulang ke rumahnya kira-kira jam 3 petang semalam tapi keberapa blogger curiga kehilangan itu ada kaitan dengan politik.

Walaupun Mohamad bukan Ahli Parlimen mahupun Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) tapi kehilangan ahli politik pembangkang di Malaysia, kerap kali berakhir dengan insiden lompat parti terutama kebelakangan ini.

Hal itu merungsingkan beberapa blogger pro-Pakatan Rakyat yang masih segar dengan insiden 'kehilangan' ADUN Behrang, Jamaluddin Mohd Radzi dan ADUN Changkat Jering, Kapt (B) Mohd Osman Jailu yang berpaling tadah.

Mengikut Malaysia Insider, kepulangan Mohamad selepas beberapa hari kehilangannya disahkan oleh Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali.

“Saya dimaklumkan beliau sudah pulang ke rumah petang tadi dan beliau selamat. Beliau dikatakan pulang dari kawasan Temerloh, ya, tiada apa-apa masalah...” katanya ringkas.

Mohamad, 52, yang keluar rumah beliau Khamis lalu dikatakan tidak dapat dikesan sehingga pagi tadi.

Oleh itu laporan polis dibuat pagi ini.

Ketua PAS Wilayah Persekutuan selama dua penggal itu dikatakan keluar rumah untuk menghadiri mesyuarat Koperasi Muslimin Berhad pada sebelah malam Khamis lalu dengan memandu kenderaan Unser bernombor pendaftaran WJD 4469.

Sejak itu beliau dikatakan tidak kembali ke rumahnya.

Terdahulu. Ketua Pemuda PAS Wilayah Persekutuan Kamaruzzaman Mohamad berkata laporan polis mengenai kehilangan beliau telah dibuat pagi tadi oleh keluarga mereka.


TEMERLOH: Pada ketika ini, Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan Haji Mohamad Nor, yang dilaporkan telah hilang selama empat hari, dipercayai masih berada di Temerloh.

Andaian ini berdasarkan keretanya yang ditemui oleh Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Pahang, Abdul Majid Hasan di Hotel Green Park, Bandar baru Temerloh, sebentar tadi.

“Selepas mendapat maklumat melalui SMS daripada Setiausaha PAS negeri tentang kehilangan Haji Mohamad Nor, saya tergerak hati untuk ke hotel tersebut. Dan saya dapati kereta jenis Unser merah dengan nombor plat WJD 4469, ada di situ. Bagaimanapun saya tidak menemui beliau,” katanya kepada SidangOnline.

Pada ketika ini, pasukan Unit Amal Kawasan Temerloh difahamkan sedang bertungkus lumus mencari beliau.

Sebelum ini, Haji Mohamad Nor dilaporkan tidak dapat dihubungi sejak Jumaat 12 Februari lepas.

Kali terakhir beliau dilihat adalah dalam mesyuarat Koperasi Muslimin Berhad dan beliau dilihat keluar dengan Unser merahnya, WJD 4469.

Menurut Ahli Parlimen Titiwangsa, Dr Lo' Lo' Mohamad Ghazali, salah seorang ahli mesyuarat itu memberitahu, Haji Mohamad memberitahu, dia mahu berjumpa dengan kawan pada tengah malam itu.

Namun, sehingga kini beliau tidak pulang dan tidak juga dapat dihubungi, kata Lo' Lo'.

Sehubungan itu, beliau memohon ahli PAS berdoa agar PJ Wilayah Persekutuan itu berada dalam selamat dan dapat menghubungi keluarganya dengan segera.

"Saya memohon Unit Amal dan Briged Amal agar membuat skuad mencari segera," cadang Dr Lo' Lo'.

Dalam pada itu anaknya, Umar Mohamad Nor berkata, kali terakhir ayahnya dilihat adalah di kawasan rehat dan rawat Maran, Pahang pada Jumaat malam yang lalu dan keesokannya kira-kira jam 8.00 pagi, telefon beliau dikesan berada di Temerloh.

Menurut Umar, perkara ini tidak pernah lagi berlaku ke atas ayahnya kerana dia akan memberitahu kemana sahaja dia akan pergi.-harakahdaily


Ulasan GB

Kecurigaaan blogger terhadap misteri kehilangan PJ Wilayah selama beberapa hari yang lepas ada asasnya.

Pertama: Beliau dilaporkan hilang TANPA BERITA sejak Jumaat lalu, sekalipun oleh ahli keluarganya.

Kedua: Tidak dapat dihubungi dan tidak dapat dikesan sepanjang tempoh kehilangan itu, samada hpnya dimatikan, diarahkan supaya dimatikan atau dirampas.

Ketiga : Tempat terakhir ditemui di negeri yang sama dengan kehilangan kedua-dua ADUN Perak yang melompat sebelum ini. Modus operani kehilangan beliau sama dengan kehilangan dua ADUN Perak berkenaan.

Keempat : Sekalipun Ustaz Mohammad Nor bukan Ahli Parlimen dan ADUN, namun sebagai PJ Wilayah Persekutuan, beliau mempunyai pengaruh dan karisma sebagai bekas calon Putrajaya.

Apa-apa pun kita bersyukur kerana Tn Hj Mohamad Nor telah selamat. Kita menunggu penjelasan beliau terlebih dahulu. Samada beliau akan membuat kenyataan selepas ini, kita berharap beliau tidak resah atau gentar untuk memberitahu apa sebenarnya yang telah berlaku.