31 Jan 2010

Kurang Ajar - Usman Awang

Sebuah perkataan yang paling ditakuti
Untuk bangsa kita yang pemalu.

Sekarang kata ini kuajarkan pada anakku;
Kau harus menjadi manusia kurang ajar
Untuk tidak mewarisi malu ayahmu.

Lihat petani-petani yang kurang ajar
Memiliki tanah dengan caranya
Sebelumnya mereka tak punya apa
Kerana ajaran malu dari bangsanya.

Suatu bangsa tidak menjadi besar
Tanpa memiliki sifat kurang ajar

~ Usman Awang

Anwar Nyatakan Sokongan Kepada Tengku Razaleigh

Umno mungkin akan mengambil tindakan keatas Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh kerana menyokong rayuan royalti minyak rakyat Kelantan.

Presiden Datuk Seri Najib Tun Razak berkata parti itu akan meneliti isi kandungan ucapan pemimpin veteran itu yang dibuat di satu perhimpunan aman di Stadium Sultan Mohammed IV, Kota Baharu, Khamis lalu.

Tengku Razaleigh dalam ucapannya berkata rakyat Kelantan berhak kepada royalti minyak dan bukannya wang ehsan.

Mengulas perkembangan ini, Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim berkata Pakatan Rakyat mengalu-alukan tuntutan Tengku Razaleigh itu.

“Pendirian beliau bercanggah dengan pendirian pimpinan BN. Kita mengalu-alukan pendirian itu, dan tumpuannya kepada membantu kerajaan negeri,” kata Anwar.

Diminta mengulas desas-desus pemimpin Umno itu akan beralih parti, Anwar berkata beliau menyambut baik sekiranya perkara itu berlaku.

“Sekiranya benar, kesudian beliau didokong oleh semua ahli PR,” katanya.- TVS


Zahrain, Guan Eng seperti ‘pengantin baru’

Naib Pengerusi DAP, M Kulasegaran berkata, perbezaan pendapat antara pemimpin dalam Pakatan Rakyat bukanlah satu perkara luar biasa sebaliknya satu proseskematangan politik.

“Kami di PR ini seperti ‘pengantin baru’ mesti ada sedikit masalah dalam rumah tangga, namun tidaklah sehingga mahu bercerai. Saya percaya ianya dapat diselesaikan secepat mungkin,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, di sini semalam.

Krisis Pakatan Rakyat (PR) semakin serius apabila menyaksikan satu demi satu pemimpin gabungan parti itu mengkritik secara terbuka antara satu sama lain di mana menunjukkan antara mereka seperti tiada persefahaman.

Walaupun Lembaga Disiplin PKR masih belum memutuskan keputusan terhadap Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu, Zulkifli Noordin yang mengkritik hebat Ahli Parlimen Shah Alam dari Pas, Khalid Samad, kini sekali lagi PR berdepan den:gan satu lagi masalah iaitu antara Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohd Hashim dan Menteri Besar Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

Kelmarin, Guan Eng dikritik keras oleh Zahrain yang melabelkan Setiausaha Agung DAP itu sebagai pemimpin diktator, chauvinis dan berpemikiran komunis.

Malah, Zahrain mendakwa, Guan Eng menjadi bebanan kepada PR Pulau Pinang jika dia terus memerintah dengan gaya diktatornya, malah menggesa PR berhenti bertolak ansur dengan beliau yang gagal melaksanakan janji yang ‘ditabur’ pada pilihan raya umum lalu.

Timbalan Presiden PKR, Syed Husin Ali pula menganggap media sengaja mensensasikan isu tersebut kononnya menunjukkan PR adalah bermasalah antara parti gabungannya.

“Walaupun isu itu disensasikan oleh media tidak akan menjejaskan perpaduan dan persefahaman antara parti gabungan PR,” katanya.

Setiausaha Agung PKR, Saifudin Nasution Ismail berkata, PKR Pulau Pinang untuk menyelesaikan perkara itu memandangkan ia membabitkan masalah di peringkat negeri. -SH


Zahrain, Dua lagi MP PKR Nafi sertai BN

Tiga orang daripada sekumpulan ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR) termasuk Datuk Seri Zahrain Hashim, yang disebut-sebut akan meninggalkan parti itu untuk menyokong BN, menafikan khabar angin sedemikian.

Ketiga-tiga wakil berkenaan – masing-masing dari Bayan Baru, Pulau Pinang, Merbok, Kedah dan Indera Mahkota, Pahang menyangkal spekulasi mereka sudah memutuskan untuk meninggalkan PKR.

Wakil rakyat Merbok dan Indera Mahkota juga mengesahkan akan menghadiri mesyuarat khas PKR di ibu negara pagi ini.

Zahrain tidak hadir mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat PKR Selasa lalu dan hari keesokannya mengeluarkan kenyataan mengecam kepimpinan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng.

Beliau tidak dapat dihubungi sejak empat hari lalu.

Bagaimanapun dalam temu bual dengan Sinar Harian hari ini Zahrain berkata “belum terlintas” untuk keluar PKR.

“Walaupun saya kurang senang dengan perkembangan yang berlaku dalam PKR, saya belum terlintas untuk keluar parti kerana masih mahu menjayakan agenda perjuangan,” kata beliau.

“Saya akan bersama PKR walaupun banyak perkara yang saya tidak setuju.

“Saya harap akan berlaku perubahan dalam PKR seperti yang dijanjikan kepada rakyat,” kata Zahrain lagi.

Semalam Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang Dr Mansor Othman mengesahkan beliau ada mendengar tiga hingga empat ahli Parlimen akan keluar PKR.

“Tidak betul, tidak betul,” kata Ahli Parlimen Merbok Datuk Rashid Din ketika dihubungi The Malaysian Insider untuk mendapatkan pengesahan mengenai desas-desus itu.

Semasa dihubungi malam tadi beliau dalam perjalanan ke ibu negara untuk menghadiri mesyuarat khas Majlis Pimpinan Pusat PKR pagi ini.

Ditanya sama ada beliau ada menerima sebarang tawaran daripada Umno dan BN, Rashid berkata, “tidak, tidak.”

Dengan ketawa besar beliau memberitahu; “Saya ada jawatan, saya ada keluarga, saya ada anak isteri, apa lagi saya mahu.”

Dalam pada itu Ahli Parlimen Indera Mahkota Azan Ismail juga menolak tanggapan sedemikian.

“Ia mengarut, tak berasas (spekulasi) sama sekali, sampah,” kata beliau ketika dihubungi.

Beliau juga mengesahkan akan menghadiri mesyuarat khas pagi ini yang bermula pukul 10 pagi.

Ditanya apakah spekulasi itu dikaitkan dengan keputusannya melepaskan jawatan Timbalan Pengerusi PKR Pahang, Azan memberitahu, beliau telah menjelaskan bahawa ia tiada kaitan dengan kedudukannya di peringkat pusat.

“Saya sudah jelaskan sebelum ini saya mahu memberi tumpuan di pusat, jadi tak timbul isu saya akan keluar parti,” kata beliau yang berulang kali mengatakan desas-desus itu “mengarut”.

Ahli Parlimen Balik Pulau Yusmadi Yusof berkata beliau perlu meneliti laporan media sebelum ini membuat sebarang kenyataan.

“Saya baru balik dari luar negara (persidangan di Filipina) dan kurang sihat, saya akan membuat kenyataan kemudian,” kata beliau.

Tiga hari lalu Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu Zulkifli Noordin mengesahkan kepada The Malaysian Insider bahawa beliau tiada hasrat untuk keluar PKR.

Beliau yakin dapat menerangkan kepada lembaga disiplin tentang keputusannya membuat laporan polis ke atas Ahli Parlimen PAS Shah Alam Khalid Samad.

Zulkifli akan disiasat oleh lembaga itu dalam tempoh sebulan.

Desas-desus beliau akan keluar PKR sudah kedengaran sejak akhir 2008.- Malaysian Insider


Kerajaan Kikis Petronas Ketika Ekonomi Jatuh

Ekonomi Negara terjejas teruk apabila harga pasaran minyak dunia jatuh merudum, ekoran kebergantungan kerajaan kepada sumber petroleum.

Kegagalan kerajaan mempelbagaikan nadi ekonomi Negara, menyebabkan pendapatan merosot RM20 bilion dengan dari RM50 bilion kepada RM30 bilion dengan kejatuhan pasaran minyak dunia.

Pengerusi Parti Keadilan Rakyat Negeri Sembilan Datuk Kamarul Baharin Abbas berkata kerajaan Pusat diancam kelumpuhan sekiranya situasi ini berterusan.

Namun apa yang dikesalkan adalah Umno-BN terus memerah perbendaharaan Petronas agar Belanjawan Perdana Menteri Najib Tun Razak dapat dilaksanakan.

“Keuntungan Petronas yang turun kepada lebih 60 bilion daripada dekat 100 bilion, sewaktu itu pada tahun 2009, 2008 sumbangan Petronas kepada kerajaan ialah 50 bilion lebih, separuh daripada keuntungan, tetapi 2010 ni, sumbangan Petronas mesti berdasarkan keuntungan 2009, dan 2009 diumumkan bahawa keuntungan hanya 60 bilion lebih saja, maka bergegarlah pihak-pihak kementerian khususnya Menteri Kewangan menghubungi Petronas dan mendesak Petronas membuat pengumuman esok harinya bahawa komitmen Petronas pada Kerajaan pada tahun ini tetap kekal sebagai 50 bilion lebih”, jelasnya.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Ceramah Perdana Sempena Pelancaran Maljis Pakatan Rakyat Negeri Sembilan di Dataran Muhibbah, Kg Ismail, Ampangan, Negeri Sembilan baru-baru ini.

Yang amat dikesalkan adalah pemerintah enggan menuruti nasihat Pakatan Rakyat supaya memperketatkan displin perbelanjaan, memulihkan ketanggungjawaban kementerian-kementerian kerajaan bagi mengekang kelembapan yang semakin membengkak.

Ketua Audit Negara melaporkan kira-kira RM20 bilion setiap tahun tanpa dapat dikesan kerana kebocoran dan pembaziran.

“Kita menyebutkan perkara yang berlaku, perbelanjaan yang dilakukan oleh Kerajaan Barisan Nasional tiap-tiap tahun di mana sebanyak lebih 20 bilion tidak dapat dikesan dan ini dinyatakan oleh Ketua Audit negara memberi komen ini adalah hasil dari 3P iaitu Pemborosan, Pembaziran dan Penyelewengan”, tambahnya lagi. - MOHD SAHRULNIZAM MOHD ZAIN



Azan Akui Ada Tawaran Lompat Parti

Ahli Parlimen Indera Mahkota Azan Ismail mengulangi kenyataan bahawa beliau tidak akan keluar dari Parti Keadilan Rakyat.

Bercakap kepada TV Selangor selepas sidang akhbar di Ibu Pejabat PKR Pusat tengahari tadi, Azan berkata beliau komited kepada agenda PKR dan Pakatan Rakyat.

Beliau berkata demikian mengulas desas-desus beliau akan keluar parti.

Azan bagaimanapun akui ada cubaan untuk memancingnya melompat parti dengan pelbagai tawaran dan desakan diterimanya.

“Cubaan mereka berhenti setakat itu kerana mereka sudah tahu saya tidak berminat dan saya tetap bersama PKR dan PR.

“Pendirian itu saya rasa tindakan mereka terdorong apabila mereka melihat saya membuat sidang akhbar baru-baru ini,” katanya. -TVS


Anwar akui BN berusaha ‘pikat’ MP PKR

Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini turut mengakui wujudnya usaha untuk memikat beberapa ahli Parlimennya keluar PKR menjelang sambutan Tahun Baru Cina sambil mendakwa langkah itu mendapat sokongan Perdana Mentri Datuk Seri Najib Razak.

Anwar mendakwa beberapa ahli Parlimen termasuk Azan Ismail dari Indera Mahkota dan Yusmadi Yusof dari Balik Pulau telah didampingi seorang pegawai Parti Cinta Malaysia Huan Cheng Guan dan Duta Malaysia ke Amerika Syarikat Datuk Seri Dr. Jamaluddin Jarjis agar meninggalkan PKR.

“Disebabkan mereka tidak melayan (permintaan itu), maka jumlah wang (sebagai ganjaran) tidak dibincangkan,” kata Anwar selepas mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat PKR di sini hari ini.

Pengerusi PKR Pulau Pinang Dr Mansor Othman juga mengesahkan perkara itu kepada The Malaysian Insider semalam.

Beliau berkata, tiga hingga empat orang wakil rakyat cuba dipikat untuk keluar PKR dan menyertai BN.

Kedua-dua Azan dan Yusmadi menghadiri mesyuarat empat jam hari ini.

Anwar bagaimanapun berkata beliau belum lagi bertemu dengan Ahli Parlimen Bayan Baru Datuk Seri Zahrain Hashim yang dikatakan mengetuai satu kumpulan wakil rakyat yang dikatakan kemungkinan menyertai BN.

“Saya hanya akan menemui beliau minggu depan tetapi apabila saya menemui beliau sebelum mengeluarkan kenyataan pedas, saya tidak melihat rasa tidak gembira (pada dirinya),” kata Anwar.

Zahrain yang menyifatkan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng sebagai “diktator” dan berfikiran seperti “komunis” hari ini diputuskan untuk dirujuk kepada lembaga disiplin PKR.

Dalam pada itu, Azan memberitahu wartawan bahawa tawaran itu dibuat sebaik sahaja beliau melepaskan jawatan sebagai timbalan pengerusi PKR Pahang minggu lepas.

“Saya menerima panggilan dan mesej sejurus selepas saya mengumumkan keputusan saya minggu lepas,” katanya.

Azan menambah beliau tidak tahu orang yang menghubunginya tetapi mendakwa ada menerima mesej berteks daripada Jamaluddin.

“Saya tidak tahu pada awalnya tetapi kemudian mendapat tahu itu adalah beliau,” katanya.

Azan memberitahu beliau tidak melayan panggilan-panggilan itu selepas menyedari perbualan menghala ke arah tawaran meninggalkan PKR.

“Saya menamatkan panggilan kerana mendapati tiada manfaat sama ada bagi saya ataupun mereka,” katanya.

Pengarah pilihan raya PKR Fuziah Salleh semalam memberitahu The Malaysian Insider desas-desus sekumpulan tujuh hingga 10 ahli Parlimen PKR akan menyertai BN dipercayai ada kaitan dengan langkah parti itu mula menilai prestasi wakil rakyat menjelang pilihan raya umum ke-13.

Mereka didakwa kemungkinan bimbang tidak akan dipilih semula sebagai calon, sekali gus mencari saluran lain - menyertai parti lain.

Fuziah tidak menolak kemungkinan tersebut tetapi menekankan parti mengambil langkah penilaian untuk memperbaiki prestasi, bukannya menghukum mereka.

“Saya khuatir mereka membuat penilaian sendiri dan bimbang akan terkeluar daripada senarai calon lagi... tapi kita ambil langkah penilaian untuk mencapai tahap yang dikehendaki pengundi,” kata beliau. -MI


Ulasan GB

UMNO BN sedang menggunakan segala taktik dan teknik untuk memerangkap ahli-ahli Parlimen PR untuk melompat.

Hasrat mereka ialah untuk menacapai majoriti 2/3 bagi memudahkan mereka untuk mengubah apa-apa Akta dan Undang-undang tanpa banyak bantahan dan soaljawab dari pihak pembangkang.

Tawaran dan ganjaran untuk melompat dikhabarkan memang lumayan. Semuga Ahli Parlimen PR terus tetap kekal dengan perjuangan menegakkan kebenaran dan keadilan yang dibawa oleh Pakatan Rakyat

JPP tiada hak urus wang royalti – Ku Li

Veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah membidas sikap Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Dato’ Seri Mustapa Mohamed yang pernah menafikan hak Kelantan mendapatkan royalti minyak.

Katannya, biarpun kawasan yang dituntut didakwa bertindih dengan negara jiran, namun Kelantan sebagai negeri yang berada di kawasan utara dan bersempadan dengan Thailand turut berhak mendapat lima peratus royalti.“Jangan lagi sebut nama Mustapa, bosan saya mendengarnya dan dia tu pengampu,” kata Ku Li pada sidang media selepas
mendedahkan isu royalti minyak Kelantan di Stadium Sultan Mohammad ke IV di sini baru-baru ini.

Ketika ditanya kenyataan Mustapa bahawa Kelantan akan menerima RM20 juta wang ihsan penghujung Mac depan, beliau menegaskan JPP (Jabatan Pembangunan Persekutuan) tidak mempunyai hak untuk mengurus wang tersebut.

“Jangan tanya saya, tanya rakyat Kelantan mereka terima atau tidak wang tersebut, yang jelas sekarang rakyat Kelantan menolak cadangan tersebut,” ujar beliau.

Ku Li juga melahirkan rasa kesal terhadap sikap Kerajaan Pusat yang bersikap negatif dalam usaha membangunkan sesebuah negeri.

“Jika kemajuan di setiap negeri tidak seimbang, maka kemajuan negara juga akan terjejas,” katanya.

Beliau juga sedih kerana Kerajaan Pusat tidak menghormati undang-undang yang dilulus Parlimen dalam isu royalti.

Oleh itu, beliau percaya tindakan tersebut akan menjejaskan keyakinan pelabur untuk datang ke negara ini. -FMT

Jangan Sampai Orang Kata "PAS Serupa Dengan UMNO"

Jangan Sampai Oorang Kata Begini
Oleh Ust Zolkharnain Abidin

alah seorang exco Dewan Pemuda PAS Pusat secara terang-terangan mengkritik keputusan JK Disiplin PAS Pusat.

Bahkan, jika dibuka banyak lagi blog, akan ditemui sekian banyak rasa tidak puas hati kepada keputusan itu.

Sehingga kini, belum ditemui blogger yang menulis menyokong dan berpuashati dengan keputusan itu kecuali artikel Roslan SMS bertajuk ‘Sucikanlah hati… (di sini). Sementara yang lain melahirkan rasa tidak puas hati sekurang-kurangnya secara tersirat.

Hukuman yang dikenakan dikatakan tidak setimpal samada ke atas Khalid (terlalu berat berbanding kesalahan) atau ke atas Hassan (terlalu ringan kerana ada pertuduhan yang tidak diambil kira).

Bahkan, ada yang menganggap hukuman ke atas Hassan sekadar ‘wayang’ sahaja untuk dilihat umum bahawa JK Disiplin PAS adalah telus dan adil. Manakala hukuman ke atas Khalid adalah hukuman sebenar.

Isunya bukan Hassan atau Khalid. Pimpinan tidak boleh menghadkan kesan hukuman itu ke atas Hassan dan Khalid sahaja tetapi lebih penting adalah kesan kepada parti.

Kalau suatu ketika dulu Lembaga Disiplin Umno dikritik kerana mengenakan hukuman yang berbeza, kini JK Disiplin PAS juga berhadapan kritikan yang sama. Jangan sampai orang kata, “JK Disiplin PAS dan Lembaga Disiplin Umno, sama saja.”

Pemimpin PAS tidak boleh berasa selesa dengan situasi parti masa kini. Jangan menganggap begini, “Tak apa, kita buat macam mana pun, orang PAS tetap akan undi PAS…” Anggapan itu mungkin benar untuk suatu ketika tetapi tidak benar untuk sepanjang masa.

PAS menang bukan kerana undi orang-orang PAS sahaja, tetapi undi orang Umno juga. Justeru kalau orang Umno yang undi PAS menyimpulkan PAS sama dengan Umno, bagaimana? Jangan sampai orang kata, “PAS dan Umno, sama saja.”

Kecuali, PAS tidak berminat lagi dengan pilihanraya dan PAS ingin jadi badan kebajikan atau badan dakwah sahaja. PAS boleh persetankan semua itu.

Bagaimana kalau suatu hari nanti ada orang berkata begini, “Aaaahh… nak perjuangkan Islam bukan melalui PAS sahaja, saluran lain pun boleh?” Tolonglah, jangan sampai orang kata begitu.

Kebimbangan lain ialah, ada pemimpin PAS yang berasa tahun 2010 adalah sama dengan tahun 1985. Politik kini lebih rencam. Media baru sangat besar kesannya kepada masyarakat.

Rakyat bukan ‘ular sawa’ yang menelan tanpa mengunyah. Rakyat adalah ‘harimau belaan’ yang sanggup menerkam tuannya pada bila-bila masa sahaja kalau tidak dilayan dengan betul.

JK Disiplin tidak boleh melihat Hassan sebagai Hassan, begitu juga Khalid. Lihatlah kepada ‘idealisme’ yang mereka bawa. Khalid dengan idealisme Pakatan Rakyat dan Hassan sebaliknya (saya tidak mahu menyebut ‘idealisme’ Hassan, sebab saya meluat).

Saya percaya juga pada waktu ini, jika ditampilkan Khalid dan Hassan untuk suatu pemilihan yang berkaitan dengan ‘idealisme’ itu, ahli dan penyokong PAS akan memilih Khalid.

Adakah JK Disiplin tidak memahami, meneliti dan merasai gelombang ini? Atau, gelombang ini dipersetankan?

Saya tidak bimbang dengan dasar dan perjuangan PAS tetapi saya bimbang dengan keupayaan PAS untuk mendepani cabaran politik masa depan yang semakin rencam dan kompleks, jika PAS seperti sekarang. Iaitu, gagal menyelami denyut nadi, aspirasi serta harapan masyarakat umum.

Saya ulangi, PAS boleh ketepikan semua itu dengan syarat PAS tidak perlu memasuki pilihanraya. -bongkarsauh

Majlis Persandingan Aduka

Majlis perkahwinan penulis blog adukataruna. blogpsot. com. my yang baru dibebaskan dengan ikat jamin selepas didakwa di Mahkamah Sesyen di sini semalam, berjalan lancar dan meriah di kediamannya di Rumah Rakyat Panchor, Paroi, dekat sini, hari ini.

Khairulnizam Abd. Ghani, 29, dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan menghina institusi kesultanan Johor.

Tinjauan Mingguan Malaysia di rumah Khairulnizam mendapati majlis perkahwinannya itu berlangsung dengan penuh ceria tanpa sebarang gangguan serta dikunjungi oleh saudara mara serta sahabat handai.

Seorang ahli keluarga yang enggan dikenali berkata, majlis itu bermula dari pukul 11.30 hingga 6 petang hari ini.

“Majlis hari ini berjalan lancar dan ceria tanpa sebarang gangguan, ramai sanak saudara, jiran dan sahabat yang datang untuk meraikan kedua-dua pengantin.

“Tetapi kita tak mahu komen apa-apa lagi kerana ia akan mengganggu emosi keluarga kami termasuk ibu bapa. Apa pun kami bersyukur setelah dia dibenarkan diikat jamin kira-kira pukul 7.00 petang semalam,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Katanya lagi, kedua-dua pengantin serta ibu bapa mereka enggan bertemu wartawan dan enggan mengulas sebarang kenyataan kerana sebuah akhbar perdana negara telah membuat laporan yang tidak tepat mengenai Khairulnizam.

“Kita bukan apa, sebab sebelum ini sebuah akhbar perdana buat laporan yang tidak tepat dan mungkin abang (Khairulnizam) akan ambil tindakan.

“Contohnya, akhbar itu ada mengatakan yang abang menyembunyikan diri padahal itu tidak benar sama sekali,” ujarnya. -MM

Ulasan GB

Tahniah Aduka.

Rasulullah s.a.w yang bermaksud:

ثلاثة حق على الله عونهم المجاهد في سبيل الله والمكاتب الذي يريد الأداء والناكح الذي يريد العفاف

"Ada tiga golongan yang Allah berhak menolong mereka. Pertama: Orang yang berjihad pada jalan Allah. Kedua: hamba mukatab (yang berjanji untuk menebus diri) yang menunaikan bayaran dan ketiga orang yang berkahwin kerana ingin memelihara dirinya". (Hadis riwayat Al-Tirmizi).

Dan sabdanya lagi yang bermaksud:

من تزوج فقد استكمل نصف دينه فليتق الله في النصف الباقي

"Sesiapa yang berkahwin sesungguhnya ia telah menyempurnakan separuh dari agamanya maka bertakwalah ia pada separuh yang lain".

(Hadis riwayat oleh Al-Tabrani Fil-Ausath)

Muhyiddin Ada Blog, Dimana Blog Pimpinan Tertinggi PAS?

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah melancarkan laman web politik rasmi pertama beliau my-Malaysia, yang antara lain memaparkan aktiviti kemasyarakatan dan politik, koleksi ucapan dan liputan berita dalam dan luar negara mengenainya.

Laman web itu juga mempunyai medium interaksi dua hala di antara Muhyiddin dengan rakyat dan boleh dilayari di http://www.my-malaysia.com.my.

"Hari ini, saya telah lancarkan laman web peribadi sebagai wadah untuk kita berkomunikasi. Saya berharap saudara-saudari akan menggunakan laman web ini untuk kita memberikan pandangan secara langsung mengenai apa sahaja isu," katanya ketika berucap melancarkan laman web itu.

Muhyiddin berkata penubuhan laman web itu juga sebagai usaha untuk mendekati dan berinteraksi dengan dengan anak-anak muda dengan menerima pandangan dan kritikan mereka.

"Anak-anak muda sekarang inginkan kerajaan yang telus, dalam erti kata lain menjelaskan dan menjawab apa saja isu yang dibangkitkan (dan) kerajaan komited untuk berbuat demikian. Dan untuk itu, kita akan terus mendekati anak-anak muda melalui media sosial," katanya.

Menurutnya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak juga aktif berinteraksi melalui laman web 1Malaysia, Twitter dan Facebook dan anggota-anggota Kabinet juga telah diminta untuk berinteraksi dengan rakyat melalui media sosial itu.

"Justeru itu, saya ingin ingatkan anak-anak muda untuk menggunakan media sosial dan membuat kritikan secara berhemah. Walaupun kita berbeza pendapat, usah ketepikan adab dan budaya," katanya.

Ulasan GB

Pemimpin-pemimpin tertinggi parti politik tanahair kini mengakui tentang kepentingan alam siber, kepentingan penyebaran maklumat melalui internet lantas masing-masing berpusu-pusu ke langit untuk mewujudkan laman web, blog, facebook dan seumpamanya untuk berinteraksi dengan rakyat.

Najib ada blog 1Malaysia dan semalam Muhyiddin melancarkan my-malaysia.

Sebelum ini semua orang tahu Mahathir sudah ada blog chedet.cc sedang sebelum ini semua orang tahu juga bahawa hampir keseluruhan pemimpin-pemimpin tertinggi UMNO "cukup berbulu" dengan blog dan alam siber malah pernah meminta rakyat jangan terpengaruh dengan sumber dari berita media angkasa ini.

Ia juga dimenafaatkan oleh pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan anwaribrahimblog, Lim Kit Siang dengan blog.limkitsiangnya. Musyidul Am PAS ada blog di blog tokguru

PAS mengakui kepentingan blog dan perjuangan alam siber. Malah Presiden PAS di dalam Seminar Blogger yang diadakan baru-baru ini (sekalipun beliau turut menghentam blogger supaya jangan sebar fitnah katanya) beliau mengakui kepentingan berblogging.


Beliau (Presiden PAS) turut mengakui bahawa peranan blog cukup penting di kurun ke 21 ini.

Ianya telah dibuktikan dengan kemenangan besar Pakatan Rakyat pada Pilihan Raya Umum ke 12 lalu.

Suhubungan itu, melibatkan diri dalam aktiviti blog sekarang ini adalah satu kemestian yang perlu dipelajari.

"Wajib mengambil peluang dari perkembangan teknologi ini dan perli di lakukan dengan akhlak," katanya.


Blogger yang disifatkan beliau sebahagian dari dunia media mampu mempertahan mahupun menjatuhkan kerajaan.-harakahdaily


Tetapi persoalan timbul, dimana blog Presiden? Dimana blog Timbalan Presiden? Dimana blog Setiausaha Agong?

Mengapakah tindakan tak sama dengan perkataan?

Saya merasakan jika pemimpin-pemimpin tertinggi PAS ini mempunyai blog dapatlah idea mereka diperkongsikan dengan rakyat, dapatlah rakyat berinteraksi dengan mereka dan tak timbul lagi persoalan dimana mereka tatkala isu-isu besar melanda negara. Tak timbul soal ahli tak dapat hubungi mereka dan tak timbul apa yang dikatakan "fitnah benar dan fitnah tidak benar" kerana ia boleh dijawab melalui blog pimpinan tersebut.

Tak timbul juga soal tak ikut adab berjemaah kerana ahli boleh terus berhubung dengan pimpinan melalui email dan sebagainya. Tak timbul projek Langgar Hadi, Tak timbul isu ahli tak wala' tak tsiqah dan segala mak bapak ketundukan membabi buta seperti ahli tarikat songsang terhadap gurunya.

Justeru adalah perlu ketiga-tiga pempinan tertinggi parti supaya memikirkan dengan serius hal ini supaya jangan nanti ditempelak orang pemimpin PAS ketinggalan zaman dan pemimpin PAS cakap tak serupa bikin. Lebih buruk lagi nanti ada rakyat yang berfikir dan menuduh bukan-bukan, pemimpin-pemimpin PAS pada masa senggangnya tak dengar dan tak ikuti perkembangan semasa melalui alam siber, tapi lebih suka melayan isteri-isteri di dalam rumah.

Semangat dan wacana intelektualisme perlu dibudayakan dan pembudayaan ini sepatutnya dimulakan oleh pimpinan tertinggi parti sendiri.

Ku Li Cabar Rais Bawa Ke Mahkamah

Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah mempersoalkan kenyataan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim yang meminta kerajaan Pas Kelantan membawa isu tuntutan royalti minyak ke mahkamah.

Beliau yang juga bekas Pengerusi Petronas berkata, apa yang dinyatakan pada ceramah di Stadium Sultan Mohamed Ke-IV malam kelmarin adalah berdasarkan Akta Petroleum 1974 yang jelas memberikan hak tersebut kepada kerajaan Kelantan.

“Kalau dia (Rais) fikir begitu elok dia bawa ke mahkamah, saya tidak ada kuasa juga. Dia (Rais) tahu sejarah, saya tak tahu sejarah.


“Saya bercakap apa yang diperuntukkan akta dan oleh perjanjian yang dibuat oleh Petronas dan kerajaan negeri dengan restu kerajaan Pusat diketika itu, ini yang dipakai sampai sekarang.

“Jadi kalau hendak selesai segala-gala di mahkamah maka tidak usah pakai apa-apa (undang-undang atau perjanjian), bawa ke mahkamah sajalah,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Rais bahawa isu tuntutan petroleum oleh kerajaan akan hanya dapat diselesaikan di mahkamah dan bukannya melalui ceramah di stadium.

Dalam pada itu, ketika mengulas mengenai persetujuan untuk mengetuai kaukus petroleum yang dicadangkan pakatan pembangkang, Tengku Razaleigh yang juga bekas Menteri Kewangan berkata, tidak ada apa yang perlu dibimbangkan kerana jawatankuasa tersebut akan turut disertai oleh ahli Parlimen Barisan Nasional (BN).

“Saya tidak menetapkan sebarang syarat. Saya cadang hendak terima jawatan itu tetapi belum buat keputusan lagi kerana saya kena bercakap dengan ahli-ahli Parlimen terutama dari negeri-negeri yang mengeluarkan minyak supaya ada perwakilan dari mereka, barang kali dua orang dari satu negeri.

“Kebanyakan negeri ini diwakili oleh ahli Parlimen BN tetapi kita tidak kira sangat kecuali Kelantan yang tidak dalam kalangan BN.

“Kalau dikira bilangan majoritinya adalah dari BN jadi tidak ada apa nak ditakut bukan hendak buat keputusan, ini bukan kerajaan tetapi kita nak bincang saja,” katanya.

Menurut beliau, kaukus tersebut tidak akan menjadi kenyataan sekiranya tidak mendapat persetujuan daripada ahli-ahli Parlimen dari BN dan pembangkang.

Jelasnya, ia bukan sahaja membincangkan mengenai royalti tetapi juga kedudukan ekonomi negeri-negeri di seluruh negara. -UM


Tindakan Ku Li Ubah Pendirian Mengenai Royalti Minyak Mengejutkan - Rais

KUALA LUMPUR, 30 Jan (Bernama) -- Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim pada hari Sabtu melahirkan rasa amat terkejutnya dengan perubahan pendirian bekas Menteri Kewangan Tengku Razaleigh Hamzah yang Kelantan berhak mendapat royalti minyak berbanding pendiriannya sebelum ini.

Beliau berkata kenyataan Tengku Razaleigh pada Khamis lepas yang mendakwa kerajaan negeri Kelantan kini patut mendapat bayaran royalti minyak dan bukan wang ihsan adalah bertentangan dengan kenyataan yang dibuat pada Oktober 2000, dan kenyataan terbarunya itu mengelirukan rakyat, terutama penduduk Kelantan.

Rais berkata demikian kepada Bernama apabila diminta mengulas kenyataan Tengku Razaleigh mengenai isu royaliti minyak yang dibuatnya semasa berucap pada majlis solat hajat dan ceramah perdana royalti petroleum di Stadium Sultan Mohamed IV, Kota Baharu, Kelantan pada Khamis lepas yang turut dihadiri oleh Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Pada 31 Okt 2000, media melaporkan Tengku Razaleigh berkata daripada segi undang-undang, negeri-negeri di Semenanjung tidak ada hak terhadap minyak yang ditemui di luar kawasan pentadbiran masing-masing.

Oleh itu, Tengku Razaleigh yang merupakan pengerusi Petronas pada tahun 1974 yang terbabit dalam perjanjian berhubung pemberian wang ihsan itu kepada kerajaan negeri terbabit, termasuk Terengganu dan Kelantan, berkata pembayaran wang hasil minyak oleh Petronas kepada kerajaan negeri terbabit bukan diberi kerana ada dasar ianya hak negeri terbabit.

Kenyataan itu dibuat oleh Tengku Razaleigh bagi mengulas pembayaran wang ihsan yang dipertikaikan oleh anggota PAS pada persidangan Dewan Rakyat.

Rais berkata kenyataan Tengku Razaleigh pada tahun 2000 itu amat nyata bahawa semua negeri di Semenanjung tidak mempunyai hak di bawah Akta Petroleum 1974, dan " apabila Ku Li ubah pendirian dua malam lalu, ini satu perkara yang sangat mengejutkan bagaimana beliau boleh sanggup tukar pendirian benarnya yang dilahirkannya akhir Oktober 2000 dengan semata-mata berhadapan dengan ribuan orang."

Kenyataan terbaru Tengku Razaleigh itu mengelirukan rakyat, terutama sekali di Kelantan yang harus diperbetulkan kedudukannya daripada segi undang-undang iaitu negeri-negeri di Semenanjung tidak ada hak terhadap minyak yang ditemui di luar kawasan pentadbiran masing-masing, katanya.

"Bagi negeri yang memikirkan untuk membuat tuntutan ke atas royalti minyak seperti Kelantan, tidak berhak di bawah mana-mana Akta Petroleum kerana berada di kawasan antarabangsa yang Persekutuan berhak.

"Ini adalah kedudukan undang-undang antarabangsa dan juga undang-undang negara. Akta Petroleum berbeza dengan peruntukan Akta Pelantar Benua yang mana Sabah dan Sarawak tertakluk bawahnya," katanya.

"Sekiranya hendak jadi orang tengah tidak menjadi masalah, tapi saya berharap beliau tidak kemukakan tuntutan dan pandangan bagi pihak PAS dan parti pembangkang kerana beliau masih Ketua Umno bahagian Gua Musang, dan saya berharap rakyat faham keadaan sebenar," katanya.

Di BACHOK, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Dr Awang Adek Hussin berkata Umno Kelantan terkilan dengan kenyataan Tengku Razaleigh itu.

Beliau berkata ketika kerajaan pusat memberikan wang ihsan bagi menggantikan royalti minyak kepada Terengganu ketika diperintah PAS pada 1999 hingga 2004, Tengku Razaleigh ketika itu antara tokoh yang lantang menyokong keputusan kerajaan pusat.

"Ketika itu Ku Li (Tengku Razaleigh) menyokong pendirian kerajaan pusat memberi wang ihsan kepada Terengganu tetapi apa yang berlaku sekarang disebaliknya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis Muzakarah Ahlu Sunnah Wal-Jamaah Parlimen Bachok.

Dr Awang Adek yang juga Timbalan Menteri Kewangan berkata kenyataan itu bertentangan dengan kenyataan Tengku Razaleigh yang disiarkan oleh beberapa akhbar pada akhir tahun 2000 dan awal tahun 2001.

Katanya ini termasuk laporan Berita Harian keluaran 1/11/2000 antara lain melaporkan bekas Menteri Kewangan itu mengesahkan bahawa bayaran yang dibuat Petronas kepada kerajaan Terengganu sejak dulu lagi bukan royalti minyak.

Dr Awang Adek turut mengedarkan beberapa keratan akhbar lain yang menyiarkan laporan yang hampir sama iaitu New Strait Times Press (NST) dan Utusan Malaysia bertarikh 1/11/2000, Berita Minggu (12/11/2000) dan Berita Harian (12/3/2001).

Katanya berdasarkan hakikat itu Tengku Razaleigh tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan yang bercanggah dengan apa yang pernah beliau buat demi untuk Umno Kelantan yang diasaskannya.

"Umno Kelantan sinonim dengan nama beliau dan kita kalau boleh tidak mahu menyanggah kenyataan beliau yang kami anggap sebagai seorang guru," katanya.

-- BERNAMA


Ulasan GB

Yang GB lihat, pihak yang menonjol sangat untuk mempertahankan kononnya Kelantan tidak berhak mendapat royalti ialah agen berita nasional sendiri iaitu BERNAMA.

Berulang-ulang kenyataan tahun 2000 dan 2001 itu diputarkan, tetapi lansung tidak menyentuh mengenai Akta Petroleum 1974 yang menjadi asas kepada kemelut royalti.

Berniaga Politik Lebih Baik Dari Berniaga Unta..

Keputusan JK Disipilin Pas Pusat yang menggantung jawatan Ahli Parlimen Khalid Samad selama 6 bulan telah menimbulkan macam-macam persepsi terhadap Pas. Jangan terkejut sekiranya keputusan tersebut menyebabkan ada pemimpin Pas peringkat pusat yang malu kepada ahli -ahli Pas dan penyokong Pas sendiri.

Ada AJK Pas Pusat jadi malu bila terima call dan sms yang macam-macam tentang JK Disipilin Pas Pusat terhadap Khalid Samad. Ramai yang menjangkakan hukuman keras terhadap Hasan Ali tetapi yang terjadi adalah disebaliknya.

Ini antara sms yang diterima memperli dan perlekehkan keputusan JK Disipilin Pas terhadap Khalid Samad:

"Hukuman pada Khalid Samad dan Hasan Ali - Tuan Ibrahim buat lawak. Ahli panel tatatertib Pas boleh join team Zunar. Kah kah kah. Dunia dunia. Meniaga politik lagi baik daripada meniaga unta."

"Kawaq(Pencuri) masuk dalam rumah. Khalid jerkah. Tau-tau Khalid yang kena gantung. Kawaq(Pencuri) diberi amaran saja"

Apa boleh buat keputusan telah dibuat, dah tak boleh nak buat apa dah. Nasi dah jadi bubur. Pimpinan Pas masih dalam dunia mereka belum sedar daripada mimpi yang enak. Mereka tidak tahu hatibudi rakyat dan pengundi yang bagi peluang kepada mereka.

Lepas ni akan keluarlah ayat-ayat wala' dan gesa ahli dan penyokong kuatkan tarbiyyah ruhiyyah, mantapkan ukhwah dan macam -macam yah lagilah untuk kita.. -misaimerah

Ulasan GB

Misaimerah punya tulisan setakat ni GB lihat masih cool walaupun GB dah jatuhkan bom tangan melalui entri sebelum ini.

Nak tunggu J/K Disiplin panggil GB. Tapi mereka kena pastikan sebelum panggil GB, tunjukkan kesahihan jawatan mereka sebagai Jawatankuasa dulu. Perlembagaan mana yang mereka gunakan.

Kalau tak berjaya dibuktikan, GB akan kata, lucut segera pakaian awak sebagai J/K Disiplin. Jangan jadi muka tak tahu malu mengenakan pakaian yang awak tak layak.

Kes mahkamah, no problem, tanpa peguam insyaAllah GB yakin menang.

Alaisallahu biahkamil haakimiin - bukankah Allah sebaik-baik hakim?