25 Dis 2009

Mahathir Heret Pak Lah Untuk Pertahankan Diri

Mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dilihat cuba mengheret penggantinya, Tun Abdullah Ahmad Badawi bagi melindungi keburukannya yang didakwa menghanguskan RM100 bilion semasa 22 pemerintahannya.

Menjawab dakwaan Barry Wain yang menulis buku Malaysian Maverick: Mahathir Mohamad in Turbulent Times, Mahathir menerusi blognya Chedet, meminta kerajaan turut menyiasat penggunaan wang RM270 bilion hasil yang dibayar Petronasa sepanjang lima tahun kepemimpinan Pak Lah.

Kelmarin, pelopor Wawasan 2020 mencabar kerajaan agar menubuhkan suruhanjaya bebas menyiasat dakwaan terhadapnya.

Mahathir berkata Petronas hanya menyerahkan wang RM126 bilion kepada kerajaan sepanjang dia menjadi Perdana Menteri tetapi membayar RM270 bilion semasa dipimpin Pak Lah.

Dalam serangan terbarunya ini terhadap Pak Lah, Mahathir mahu tahu ke manakah Pak Lah membelanjakan RM270 bilion wang petronas semasa lima tahun penggantinya itu memerintah.

"Semasa 22 tahun saya peintah, Petronas membayar RM126 juta kepada kerajaan tapi semasa Pak Lah jumlahnya lebih sekali ganda berikutan kenaikan harga minyak di pasaran antarabangsa.

"Macam mana wang itu dibelanjakan? Rakyat berhak mengetahuinya," katanya.

Mahathir mempersoalkan projek yang dibiayai oleh kerajaan semasa Pak Lah dan kenapa perlu meminjam dari Chian untuk membina jambatan kedua Pulau Pinang.

"Semasa saya, rakyat boleh nampak KLCC, KLIA, jambatan Pulau Pinang Menara KL, North Port and West Port Klang, Komuter, LRT dan monorel, lebuhraya di seluruh negara, trek berkembar,Putrajaya, Cyberjaya, pembangunan Langkawi, Proton, Modenas dan banyak lagi. Semuanya itu memerlukan kos yang tinggi, ‘ katanya.

Wain dalam bukunya itu mengatakan antara punca RM100 bilion hangus disebabkan kerajaan Malaysia terpengaruh dengan spekulasi harga timah serta amalan rasuah.

Mahathir mengugut akan menyaman Wain, Lim Kit Siang dan Malaysiakini berikutan ulasan yang diberikan terhadap buku ini.

Ada Kes Terhadap Pemimpin PAS Selangor - Lembaga Disiplin

Jawatankuasa disiplin PAS mengesahkan pihaknya sudah mengenal pasti adanya kes kukuh terhadap dua pemimpin PAS Selangor termasuk ketua negeri Datuk Dr Hasan Ali.

Justeru, Hasan yang kini merupakan pesuruhjaya PAS negeri dan bekas timbalannya Khalid Samad akan dipanggil untuk memberi penjelasan lanjut kepada jawatankuasa itu minggu pertama bulan depan.

Pengerusi jawatankuasa disiplin Tuan Ibrahim Tuan Man memberitahu The Malaysian Insider, walaupun mereka, yang bertemu malam kelmarin berpuas hati dengan laporan bertulis kedua-dua Hasan dan Khalid. tetapi memerlukan penjelasan lanjut.

“Kami berpuas hati dengan penjelasan bertulis diberikan oleh mereka. Kami mendapati adanya kes terhadap mereka.

“Jadi, kami memutuskan untuk memanggil mereka supaya memberi penjelasan lisan berhubung beberapa aspek,” tambah beliau ketika dihubungi.

Bagaimanapun beliau tidak menyatakan aspek yang memerlukan penjelasan lanjut.

Tanggal 7 dan 9 Jan telah ditetapkan untuk memanggil mereka menghadap anggota jawatankuasa disiplin, kata Tuan Ibrahim yang juga salah seorang naib presiden PAS.

“Kami sudah pun menghubungi Khalid dan beliau telah bersetuju untuk bekerjasama dengan kami dan akan menemui jawatankuasa pada 7 Jan. Beliau sudah pun bersetuju untuk menemui kami,” ujar beliau.

“Bagaimanapun belum ada tarikh persetujuan daripada Datuk Hasan dan sekretariat akan berhubung dengan Datuk Hasan untuk membolehkan beliau menemui kami,” katanya.

Kedua-dua mereka sedang disiasat kerana mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang didakwa menjejaskan imej parti. Antara bukti yang diserahkan ialah rakaman audio seorang pemimpin PAS yang didakwa memperlekeh kerajaan negeri Selangor pimpinan Pakatan Rakyat.

Tuan Ibrahim menjelaskan bentuk hukuman bergantung pada penjelasan susulan mereka.

Jawatankuasa disiplin mempunyai tiga pilihan hukuman iaitu memberi amaran bertulis, menggantung jawatan yang disandang ataupun memecat dari parti, bergantung pada tahap serius kesalahan dilakukan.

Belum ada keputusan untuk memanggil saksi-saksi lain, kata beliau.

“Jawatankuasa disiplin akan menentukan hukuman, bukannya jawatankuasa pusat. Bagaimanapun mereka yang disabitkan kesalahan boleh merayu kepada jawatankuasa pusat,” kata Tuan Ibrahim.

Mengenai khabar angin bahawa Hasan sudah diputuskan hukuman ketika pertemuan kelmarin, Tuan Ibrahim menafikan perkara itu.

“Kami masih di peringkat mengkaji penjelasan mereka, jadi tiada situasi demikian (hukuman sudah dijatuhkan),” katanya.

Khabar angin bahawa Hasan yang juga Exco Kerajaan Selangor sudah dikenakan hukuman bertiup sejak awal pagi semalam, beberapa jam selepas jawatankuasa disiplin selesa mengadakan mesyuaratnya.

Spekulasi mendakwa jawatankuasa disiplin telah mengesyorkan agar Hasan digantung dari parti selama dua penggal.

Hasan tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan komen beliau.

Bagaimanapun kelmarin Hasan memberitahu pemberita bahawa beliau bersedia meletakkan jawatannya dalam parti jika perkara itu diputuskan oleh jawatankuasa disiplin.

Namun beliau berharap apa pun keputusan yang bakal dikenakan jawatankuasa disiplin, ia perlu dibuat secara adil dan tanpa sebarang muslihat.

The Malaysian Insider juga difahamkan khabar angin Hasan sudah dikenakan hukuman disebarkan oleh saingan dalam parti dalam usaha untuk mengenakan tekanan ke atas jawatankuasa disiplin agar menghukum Ahli Dewan Undangan Negeri kerusi Gombak Setia itu.

Kumpulan yang menentang kepimpinan Hasan bimbang jawatankuasa disiplin akan mengambil masa sebelum membebaskan beliau, demikian kata seorang pemimpin PAS.

Bagaimanapun dua lagi naib presiden PAS, Salahuddin Ayub dan Datuk Mahfuz Omar semasa dihubungi The Malaysian Insider lewat semalam juga menolak khabar angin sedemikian.

“Apa jua keputusan ia mesti disahkan oleh jawatankuasa pusat tetapi kami belum mendengar apa-apa,” katanya.

Salahuddin juga berpandangan sama dengan Mahfuz.

Bagaimanapun katanya, beliau “tidak pasti” sama ada jawatankuasa disiplin sudah memutuskan bentuk hukuman ke atas Hasan.

Dalam pada itu, Khalid pula ketawa besar sambil menganggap ia sebagai “jenaka” hujung tahun.

“Saya ada mendengar khabar angin ini dan ada blog yang membawa maklumat ini,” kata Khalid, juga Yang Dipertua PAS Shah Alam, yang turut dihubungi lewat semalam.

Bagaimanapun kata beliau, adalah terlalu awal untuk mengatakan mengenai keputusan siasatan jawatankuasa disiplin.

Khalid mengandaikan mereka akan mengetahui keputusan jawatankuasa disiplin akhir bulan depan.

“Kita masih di peringkat awal siasatan, mereka (jawatankausa disiplin) masih meneliti laporan kami dan mereka akan mengemukakan kepada jawatankuasa pusat untuk perbahasan,” kata Ahli Parlimen Shah Alam ini.

The Malaysian Insider difahamkan jawatankuasa pusat PAS akan mengadakan mesyuarat akan datang pertengahan bulan depan. -Malaysian Insider

Ulasan GB

“Jawatankuasa disiplin akan menentukan hukuman, bukannya jawatankuasa pusat. Bagaimanapun mereka yang disabitkan kesalahan boleh merayu kepada jawatankuasa pusat,” kata Tuan Ibrahim.

Itu tak betul. Sila semak Perlembagaan PAS.

Fasal 75(4)

"MAJLIS SYURA ULAMAK", menurut kuasa yang diperuntukkan kepadanya dalam Fasal 7(3)(c) Perlembagaan ini adalah diberi kuasa melantik semua ahli-ahli Jawatankuasa Tatatertib dari masa ke semasa.

Fasal 75(5)

Kuasa Jawatankuasa Tatatertib itu ialah
(a) Memberi amaran
(b) Melucutkan hak-hak dalam parti
(c) Menggantung keahlian
(d) Memecat dari menjadi ahli

Fasal 75(6)

Seseorang ahli yang tidak berpuashati terhadap sebarang tindakan dan keputusan yang dikenakan ke atasnya oleh Jawatankuasa ini bolehlah membuat rayuan bertulis kepada "MAJLIS SYURA ULAMAK" dalam tempoh tidak lewat daripada enam puloh hari dari tarikh tatatertib itu diambil terhadapnya. Keputusan "MAJLIS SYURA ULAMAK bersabit dengan rayuan itu adalah muktamad.

Sila baca ARTIKEL TERDAHULU

Tidak, TG Nik Aziz Tidak Keseorangan

Pngarah Pilihan Raya Pas Negeri, Abdul Fatah Haron menafikan kenyataan anak Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Nik Amalina bahawa pimpinan negeri membiarkan Menteri Besar Kelantan berseorangan dalam mengharungi pelbagai isu.

Menurutnya, hampir setiap minggu penjumpaan bersama Nik Abdul Aziz dilakukan tetapi pihaknya tidak membuat sebarang kenyataan bagi mengelak keadaan lebih bercelaru.

Malah katanya, kenyataan Nik Amalina menerusi blog-nya sama sekali tidak membantu dalam menyelesaikan masalah yang timbul.

“Kita setiap minggu bersama Tok Guru dan hasil pertemuan itu tidak semestinya kita keluarkan kenyataan, kita serahkan kepada tok guru untuk keluarkan kenyataan supaya tidak bercanggah de-ngan pendapat lain, kita tidak mahu benda kecil jadi besar,” katanya semalam.

Anak Nik Abdul Aziz itu adalah isteri Abdul Ariffahmi Ab Rahman, Ketua Pegawai Eksekutif PMBK, yang dipaksa meletakkan jawatan susulan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Oktober lalu.

Nik Amalina, anak kesembilan daripada 10 beradik, sebelum ini pernah ditegur oleh Ketua Penerangan Pas, Idris Ahmad dengan alasan tulisan di blognya ‘membuka pekung di dada’.

Sebelum membuka Seri Suri pada 11 Disember lalu, wanita itu pernah meluah-kan rasa hatinya berhubung kontroversi suaminya itu me-lalui blog Ahli Parlimen Pas, Dr Siti Mariah Mahmud, hujung bulan lalu.

Abdul Fatah berkata, dalam menyelesaikan kemelut yang berlaku kini, adalah perlu setiap individu bermuhasabah dan tidak banyak mengulas isu yang berbangkit.

“Benda ini tidaklah besar tetapi semua pihak di kalangan parti dan kerajaan harus meredakan keadaan dan muhasabah, cari jalan yang terbaik.

“Dalam keadaan ini adalah baik mendiamkan diri. Kita serahkan kepada Tok Guru untuk menyelesaikan masalah, sama ada masalah dalaman keluarga atau politik,” katanya.

Dalam pada, Fatah berkata, tidak salah untuk Nik Amalina menulis di blognya apatah lagi membela suaminya, tetapi setiap tulisannya tidak boleh menimbulkan keadaan yang makin bercelaru.

“Menulis itu adalah kebebasan, tetapi kalau menulis menyebabkan orang lain akan membalas, saya rasa itu perlu diambil perhatian oleh penulis terutamanya keluarga Tok Guru. Dia boleh menulis tapi tulis berhati-hati tetapi jangan sampai ia berlarutan.

“Membela suami hak dia, tetapi menuduh orang lain tidak membela tok guru itu tidak betul,” katanya. -SH

Pulanglah Perantau!

Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub bersikap terbuka untuk menerima apa sahaja keputusan pucuk kepimpinan PAS Kelantan sama ada mahu meletakkan lagi calon luar di negeri itu dalam pilihan raya umum akan datang.

“Saya memang diamanahkan oleh parti untuk mewakili kawasan Kubang Kerian dan saya memang terbuka, bersedia untuk menerima apa sahaja tindakan, keputusan yang bakal dibuat oleh parti (PAS Kelantan),” kata beliau kepada The Malaysian Insider.

Kelmarin, Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat memberitahu pihaknya akan mengkaji sama ada akan terus menerima calon yang bukan anak negeri untuk bertanding dalam pilihan raya umum ke-13 di negeri itu.

Beliau yang juga Mursyidul Am PAS dan Pesuruhjaya PAS Kelantan berkata bahawa dalam Islam, tidak ada perbezaan antara orang dalam atau luar.

“Tetapi jika nampak orang luar tidak perlu lagi tolong Kelantan, kita boleh mencalonkan pemimpin anak negeri ini untuk bertanding dalam pilihan raya umum nanti,” kata beliau mengulas saranan Ketua Dewan Ulama PAS Kelantan, Datuk Mohamad Daud Iraqi yang mahu anak Kelantan dicalonkan dalam pilihan raya umum akan datang.

“Saya serahkan kepada keputusan Tok Guru Menteri Besar,” kata beliau, anak kelahiran Pontian, Johor.

Salahuddin pertama kali diturunkan di Kelantan pada pilihan raya umum 2004 dan berjaya mempertahankan kerusi Kubang Kerian pada Mac 2008.

Pada tahun 2004 Salahuddin merupakan Ketua Dewan Pemuda PAS dan Jun lalu beliau memenangi jawatan Naib Presiden.

Selain Salahuddin, antara pemimpin luar yang kini menjadi ahli Parlimen di Kelantan ialah Timbalan Presiden PAS Nasharudin Mat Isa yang bertanding di Bachok dan Bendahari Dr Hatta Ramli (Kuala Krai).

Hatta, kelahiran Perak, yang dihubungi enggan mengulas manakala Nasharudin pula tidak dapat dihubungi.

Nasharudin yang turut menjadi sasaran Nik Aziz, yang meminta agar diadakan muktamar agung khas dua bulan lalu untuk menyingkirkan pemimpin-pemimpin kanan bermasalah, berasal dari Negeri Sembilan.

Ulasan GB

Bahawa setiap sesuatu itu ada hikmahnya. Saya melihat tindakan TG Nik Aziz (jika benar tiada lagi orang luar bertanding di Kelantan), mempunyai pelbagai rahsia yang tersembunyi...

Jika sebelum ini ramai pemimpin PAS pusat telah diterima menjadi wakil rakyat di Kelantan bersesuaian dengan dasar Islam yang tak mengenal daerah dan batas negeri, maka sudah sampai masanya kawasan-kawasan Kelantan kini diwakili oleh penduduk setempatnya sendiri.

Merujuk kepada kedudukan Naib Presiden Sallehuddin Ayub, yang telah dua kali menjadi ahli parlimen PAS dengan memenangi kerusi di Kubang Kerian Kelantan, maka sudah sampai masa kini YB Salehuddin menggunakan pengalaman dan ilmu yang digarap sepajang menjadi wakil rakyat Kubang Kerian kembali ke Johor untuk memperkuatkan PAS Johor pula.

Tempoh dua penggal untuk YB Salehuddin diizinkan menjadi ahli parlimen bagi Kelantan sepatutnya dipandang sebagai jasa PAS Kelantan yang tak terhingga kepadanya.

Sudah banyak pengorbanan dilakukan oleh PAS Kelantan dengan memberi ruang kepada "orang luar" untuk bertanding mewakili mereka. Dan keisitimewaan rakyat Kelantan, sekalipun mereka dikatakan pekat kenegerian, namun di dalam soal perjuangan, gi jahanamlah UMNO, kami tetap pilih PAS tak kira siapa yang memakai lambang bulan hatta orang luar sekalipun. Yang penting Islam diutamakan. Maka menanglah Salehuddin, menanglah Hatta, menanglah Nasaruddin walau ketiga-tiga itu datang dari negeri antah berantah sekalipun.

Saya berkeyakinan masa depan PAS di Johor akan terus cemerlang jika Salehuddin yang saya kenal pernah berjuang dari peringkat akar umbi, kemudian sebagai Ketua Pemuda, terpilih menjadi ahli parlimen, kini ditambahi dengan jawatan Naib Presiden, sepastinya mampu melebarka pengaruh PAS di negeri kelahirannya.

Yang utama, perjuangan diteruskan dan ingatlah, hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik hujan batu di negeri sendiri.

Juteru itu, jom Salehuddin, tanggalkan kot dan talilehermu sebentar, kita harung kampung-kampung seperti dulu-dulu, meredah jawa-jawa yang ada diantaranya masih pekat birunya di Johor itu.

Perkara-perkara Yang Merosakkan PAS

Konvensyen Pakatan Rakyat yang memperuntukkan secara jelas polisi negara termasuk kedudukan Islam dan bahasa Melayu sekiranya berkuasa, menjadikan Umno sawan. Tanpa segan silu, Umno bersedia menjadi ‘penasihat’ PAS supaya tidak menggadai prinsip perjuangan. Macamlah perjuangan Umno punya prinsip…!

PAS bukan parti kebangsaan songsang dan sempit macam Umno. Semenjak tahun 1990 sampai sekarang orang Melayu Kelantan terus dianaktirikan oleh Umno. Hanya kerana di sana PAS berkerajaan. Orang Melayu di negeri Umno berkerajaan juga tidak kemana pun.

Di Pulau Pinang, Umno sibuk untuk mengambil kerusi pengerusi BN negeri. Umno nak buat apa dengan jawatan itu? Nak bela Melayu Pulau Pinang? Melayu di Terengganu, negeri terkaya itu pun Umno tidak terbela, inikan pula Melayu Pulau Pinang.

Justeru, PAS tidak boleh mengikuti jejak Umno. Jejak yang memusnahkan, bukan sekadar masa depan PAS tetapi masa depan kepada harapan rakyat Malaysia.

Pertama, PAS tidak boleh menjadikan agenda Melayu sebagai asas perjuangannya, seperti Umno. Apabila PAS dapat tegak dengan prinsip keadilan dan kesaksamaan, pasti tiada yang terpinggir dan teraniaya, baik Melayu atau sesiapa sahaja.

Keadilan melangkaui batas bangsa. Teras kepada keadilan ialah memulangkan hak kepada yang berhak. Orang Melayu ada haknya, sama seperti orang lain. Bukan membela namanya, apabila pembelaan itu dilakukan atas nama bangsa dengan mengenepikan nilai-nilai keadilan sejagat.

Paksi PAS adalah keadilan dan keadilan juga adalah paksi Islam.

Kedua, PAS tidak boleh bekerjasama dengan Umno. Mana mungkin PAS bekerjasama dengan parti yang memijak mahkamah, memperkosa sistem demokrasi, melontar jauh-jauh kemanusiaan rakyat.

Institusi utama negara yang mana satu yang tidak pernah dinodai oleh Umno? Sebut sahaja; SPR, SPRM, polis, mahkamah, parlimen atau mufti?

Negara ini hanya mampu menjadi baik apabila dikendali oleh golongan yang menjulang keadilan.

Benar, parti-parti sekutu PAS dalam Pakatan Rakyat ada kelemahan dan kesilapan masing-masing. Namun kelemahan dan kesilapan mereka tetap ada batas sempadannya. Memang ada masanya mereka bercakap ‘lepas’, tetapi mereka tidak pernah menzalimi orang lain.

‘Say no to Umno’.

Ketiga, PAS tidak boleh curang terhadap Pakatan Rakyat. Dalam ungkapan lain, kesetiaan PAS terhadap Pakatan Rakyat tidak boleh berbelah bagi.

Belum pernah berlaku dalam sejarah PAS, satu persetiaan yang harmonis terjalin seperti persetiaan yang terhasil semasa konvensyen yang lalu. Akui Anwar, BN sendiri tidak mempunyai dokumen persetiaan dasar seperti yang dimiliki Pakatan Rakyat.

Persetiaan itu bukan sekadar helaian kertas, tetapi persetiaan yang tersimpul harapan rakyat. Mencabuli persetiaan itu sama seperti mencabuli harapan mereka.

Agenda Melayu, bekerjasama dengan Umno dan curang dalam persetiaan dalam Pakatan pasti meruntuhkan PAS. Kita yakin, itu tidak akan berlaku kini dan akan datang juga. -bongkarsauh

Ulasan GB

Itulah pandangan Ust Zolkharnain Abidin, exco Dewan Ulamak PAS.

Namun yang utama kita ialah mnyedar golongan pengampu-pengampu yang satu ketika Ustadz Zolkharnain menyifatkan sebagai penyokong yang membawa rebah. Golongan ini disifatkan sebagai golongan yang menjahanamkan PAS.

PAC Perlu Siasat Segera Projek MECC!

Dakwaan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) bahawa kerajaan memperolehi nilai terbaik (value for money) bagi "pertukaran’ tanah seluas 62.5 ekar dengan bangunan Pusat Ekspo dan Konvensyen Matrade (MECC) bernilai RM628 juta, sukar dipercayai.

Dalam satu pembahasan di MITI baru-baru ini, menteri berkenaan, Datuk Mustapha Mohamed mendakwa kerajaan memperolehi nilai terbaik dengan pertukaran itu kerana nilai tanah dianggarkan RM197 juta atau RM3.15 juta se ekar.

Menurut Ahli Parlimen DAP – Petaling Jaya Utara, Tony Pua, adalah sesuatu yang melucukan apabila Mustapha memberitahu kerajaan mendapat bangunan MECC itu secara percuma. Katanya, "kerajaan membuat penilaian yang sangat rendah terhadap tanah tersebut iaitu RM3.15 juta sahaja se ekar, sedangkan penilaian dari pakar-pakar perunding hartanah menganggarkan tanah seluas 62.5 ekar itu bernilai di antara RM970 juta hingga RM1.5 bilion atau di antara RM15 juta hingga RM24 juta se ekar.

"Di mana "value for money" yang disebut-sebut oleh Mustapha itu," soal Tony, merujuk kepada projek MECC yang diserahkan pembinaannya kepada syarikat Naza TTDI Sdn Bhd di Jalan Duta, Kuala Lumpur itu.

Beliau kesal kerana Perdana Menteri Najib Abdul Razak berjanji mana-mana aset kerajaan akan melalui proses tender terbuka sedangkan Mustapha mengaku memberi tanah itu kepada Naza TTDI secara rundingan terus.

Naza TTDI dalam kenyataannya baru-baru ini mengumumkan akan membangunkan kawasan itu dengan hotel, pusat membeli-belah, bangunan pejabat pencakar langit, melibatkan nilai pembangunan kasar (GDV) berjumlah RM15 bilion dalam tempuh 10 tahun, di samping MECC.

Elvin Fernandez, dari syarikat penilai Khong & Jaafar, berkata nilai tanah di kawasan itu ialah sebanyak RM222 satu kaki persegi. Ada sumber mendakwa nilai tanah di kawasan itu ialah di antara RM350 hingga RM500 satu kaki persegi. Beberapa bidang tanah seluas

dua tiga ekar di Jalan Ipoh di jual pada harga lebih RM600 satu kaki persegi pada tahun ini.

"Jika keseluruhan projek di atas tanah seluas 62.5 ekar itu dimajukan dengan nilai GDV RM15 bilion, bermakna kawasan itu akan mengalami kepadatan yang amat tinggi," kata Fernandez.

Dalam satu kenyataannya, Tony berkata beliau akan terus mendesak supaya Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) menyiasat perkara-perkara berikut:

kajian kemungkinan yang dijalankan oleh MITI
*kajian pasaran perbandingan, berbanding prestasi pesaing-pesaing dalam dan luar negeri
*bagaimana kos pembinaan MECC mencapai RM628 juta
*bagaimana nilai RM197 juta ke atas tanah seluas 62.5 ekar dicapai
rasional kelulusan oleh Kementerian Kewangan melalui rundingan terus dan bukan tender terbuka
*cadangan proses penilaian audit oleh MITI dan Kementerian Kewangan
*keperluan kerajaan untuk menceburi bidang perniagaan pusat ekspo dan konvensyen

"Adalah penting PAC menyiasat perkara-perkara ini sebagai langkah berjaga-jaga supaya projek mega seperti ini tidak terbengkalai dan tidak boleh diselamatkan lagi seperti skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang dan landasan berkembar keretapi elektrik Ipoh-PadangBesar," tegas beliau. -FMT