12 Nov 2009

Era Najib ALtantuya : Ku Li Akan Jelaskan Isu Royalti Minyak - Husam

Exco Kelantan, Datuk Husam Musa berkata, bekas Pengerusi Petronas, Tengku Razaleigh Hamzah bersetuju memberikan penjelasan berhubung pembayaran royalti minyak melalui satu ceramah anjuran Kerajaan Negeri.

Katanya, persetujuan Ahli Parlimen Gua Musang itu dibuat setelah beliau bertemu dengannya pada Sidang Dewan Rakyat dua hari lalu di ibu negara.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri turut melantik sebuah syarikat guaman untuk menjadi panel peguam bagi tuntutan wang royalti yang kini berjumlah RM2 bilion sejak hasil perolehan dibuat pada 2 Januari 2005.

“Tengku Razaleigh akan memberikan penjelasan mengenai perjanjian antara Kerajaan Negeri dengan Petronas yang telah dibuat pada 1975, kita tidak pasti lagi bila ceramah itu akan diadakan kerana Menteri Besar Kelantan (Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat) menunaikan haji di Makkah.

“Kalau sempat, kita buat sebelum Menteri Besar pergi. Jika tidak kita buat selepas itu,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di sini, semalam.

Husam berkata demikian mengulas perkembangan tindakan kerajaan negeri terhadap isu tuntutan pembayaran wang royalti yang sebelum ini berjumlah RM1 bilion melalui mahkamah berikutan pada 4 November lalu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pembayaran wang royalti ditukarkan kepada wang ihsan dan ia akan dibuat pada tahun depan.

Nik Abdul Aziz semalam juga meminta supaya pembayaran wang ihsan daripada pusat seharusnya diberikan kepada Kerajaan Negeri untuk diuruskan dan bukannya melalui agensi pusat Jabatan Pembangunan Persekutuan Kelantan (JPPK) mahupun Petronas yang menaja Program Pembangunan Wilayah Pantai Timur (ECER).

Husam berkata, panel peguam akan membuat kajian serta meneliti fakta yang ada di dalam perjanjian yang telah dibuat sebelum menjelaskan kepada Nik Abdul Aziz.

Beliau berkata, berdasarkan fakta yang dikeluarkan di laman web mengenai Malaysia-Thailand Kawasan Pembangunan Bersama (JDA) hasil perolehan royalti kepada pusat berjumlah RM800 juta dan separuh daripadanya perlu diberikan kepada Kerajaan Negeri.

“Pusat terima RM800 juta bayaran tunai royalti minyak dan RM400 juta daripadanya perlu dibayar kepada Kelantan dan jika pembayaran itu dituntut sejak 2005 hingga tahun depan maka jumlahnya menjadi kepada RM2 bilion,” katanya.

Ditanya kenapa Kerajaan Negeri meneruskan tuntutan melalui mahkamah walaupun Kerajaan Pusat memberikan peruntukan wang ihsan, Husam berkata, melalui perjanjian yang telah dimeterai sebelum ini iaitu pada 1975, Kerajaan Pusat perlu membuat pembayaran tunai kepada kerajaan negeri hasil royalti minyak.

Katanya, Sarawak dan Sabah telah menerima bayaran royalti minyak walaupun operasi perolehan minyak lebih jauh tiga batu nautika daripada perairan negeri tersebut.

Menurutnya,, bagi kawasan JDA, Kabinet tidak pernah menafikan ianya bukan kawasan perairan negeri, jadi secara tidak langsung kawasan JDA itu adalah di bawah negeri Kelantan.

“Kami tidak mahu aniaya Pusat, kerana jika Kelantan berjaya mendapatkan tuntutan royalti minyak itu, bagaimana pula dengan wang ihsan yang telah diberikan,” katanya. -SH

Era Najib Altantuya : Syarikat Milik Pemimpin Umno Tipu 3436 Pembeli Rumah

Satu fail Akta Rahsia Rasmi didedahkan Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini.

Hasil pendedahan itu, sebuah syarikat hartanah milik pemimpin Umno didakwa menipu 383 pemilik tanah dan 3,436 pembeli rumah di Bukit Cherakah.

Khalid menggesa orang-ramai yang telah tertipu supaya merujuk kepada dokumen ini, dan mendakwa syarikat terbabit ke muka pengadilan.

"Kita mendedahkan dokumen ini dengan tujuan membantu orang-ramai mendapat gambaran sebenar, bagaimana kejadian ini berlaku. Kerajaan negeri tidak akan ambil tindakan, tetapi kita menasihatkan orang-ramai supaya membawa kes ini ke pihak guaman," kata Khalid.

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan mengesahkan projek perumahan Bandar Alam Perdana telah terbengkalai sejak 2006.

Projek yang diusahakan oleh syarikat Ladang Bukit Cherakah Nominees Sdn. Bhd. ini adalah milik bekas Exco Selangor Miskun Sutero, yang telah meninggal dunia dua tahun lalu.

Berdasarkan dokumen ini, 383 pemilik tanah dijanjikan pampasan RM360,000 seorang dan sebuah rumah setiap seorang.

Manakala 3,436 pembeli telah membeli 3,819 unit rumah dengan membayar wang pendahuluan kepada pihak bank. Perumahan ini dijangka siap pada 2002, malangnya projek ini terbengkalai.

Pemilik tanah tidak mendapat pampasan yang dijanjikan, manakala pembeli-pembeli terpaksa menanggung hutang bank.

"Tanah hilang, rumah tak dapat. Orang-ramai memberi harapan masalah ini dapat diselesaikan segera," kata Khalid.

"Kerajaan negeri akan terbitkan risalah tentang kes ini yang boleh didapati laman sesawang Kerajaan Negeri Selangor, di Pejabat Daerah berdekatan dan Pejabat Menteri Besar pada Isnin ini," tambah beliau. -TVS



Era Najib Altantuya : PR Terima Positif Akuan Bekas Pengarah BPR

Tindakan Bekas Pengarah Siasatan BPR, Abdul Razak Idris, membebaskan mantan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada skandal akaun bank luar negara berjumlah 3 billion ringgit atau mempunyai kaitan dengan kepentingan barat mendapat reasksi positif ahli parlimen Pakatan Rakyat.

Beberapa ahli parlimen Pakatan Rakyat yang ditemui di lobi parlimen hari ini mengalu-alukan tindakan bekas pengarah siasatan agensi pencegah rasuah yang kini dikenali sebagai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu, sambil menyifatkan ia sedikit sebanyak telah menjernihkan imej mantan timbalan Perdana Menteri itu.

"Pertama sekali saya mengalu-alukan kenyataan daripada SPRM tersebut. Walau bagaimanapun jika kita menoleh ke belakang melihat sejarah tentang kenyataan tersebut timbul dalam ruang awam, pertama sekali kita lihat ia bermotifkan Anwar Ibrahim ini seorang perasuah yang hebat", ujar ahli parlimen Balik Pulau, Yusmadi Yusuf.

Razak dalam kenyataannya hari ini memberitahu mahkamah tinggi, tuduhan yang dilemparkan ke atas Anwar adalah tuduhan yang tidak berasas.

"Apa yang menarik, isu yang sama diulang berkali-kali, boleh dikatakan setiap hari oleh media-media dan yang paling parah lagi ialah setiap kali pilihanraya isu ini ditimbulkan sehinggalah baru-baru ini ianya ditimbulkan oleh Khairy Jamaluddin sendiri. Dan bagi saya kalau Khairy Jamaluddin tahu kenyataan SPRM ini, Khairy perlu memohon maaf kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim".

Media arus perdana sebelum ini sering menghebahkan cerita kononnya Anwar terlibat dalam skandal 3 bilion ringgit dan mempunyai kaitan dengan kepentingan barat malah ianya kerap kali diulang apabila tiba musim pilihanraya.

Sementara itu bagi ahli parlimen Kuala Langat, Abdullah Sani Abdul Hamid pula, tuduhan yang dilemparkan ke atas Anwar hanyalah permainan politik semata.

"Apa yang dibuat ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim ialah retorik. Kita tahu siapa Datuk seri Anwar dalam bidang kepimpinan. Kalau Anwar terlibat tentu dia telah ditangkap pada zaman Mahathir tetapi kerana tidak ada, saya melihat ini secara keseluruhan, mereka akan menyerang Datuk seri Anwar habis-habisan".

Malah Abdullah Sani berpendapat, kerajaan Malaysia harus dipertanggunjawabkan sepenuhnya atas fitnah yang telah dilemparkan ini.

"Sebenarnya kerajaan harus bertanggungjawab 100 peratus dan mereka yang mengangkat kes ini harus dihukum termasuk Ketua Pemuda UMNO itu sendiri".

Razak, 60 tahun yang kini telah bersara tetapi menjadi pengarah dalam beberapa syarikat berkata, BPR telah menyiasat perkara itu ekoran dakwaan yang dibuat dalam akuan bersumpah bekas penolong gabenor Bank Negara, Abdul Murad Khalid.

Katanya sepasukan pengawai BPR telah ke Singapura dan United Kingdom untuk menyiasat dakwaan tersebut.

Bekas pegawai kanan BPR itu memberi keterangan dalam kes saman fitnah RM100 juta yang difailkan oleh Anwar terhadap News Straits Times Press (M) Bhd dan bekas ketua pengarang kumpulannya, Datuk Abdullah Ahmad.



Era Najib Altantuya : Kes Zul Dan Siva Selesai

Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baru, Zulkifli Noordin berkata, beliau ingin ‘menutup buku’ pertelagahannya dengan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), R. Sivarasa.

Pertelagahan secara terbuka kedua-dua pemimpin utama PKR itu telah mengundang campur tangan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam.

"Bagi saya kes itu telah selesai... tutup buku. Untuk dia (Sivarasa) itu terpulang kepada dia. Saya telah nyatakan apa yang patut dikatakan,'' katanya ketika ditemui di lobi bangunan Parlimen tengah hari Rabu.

Semalam, Zulkifli Noordin telah mencabar Sivarasa untuk meletakkan jawatan dalam tempoh 24 jam dan bertanding menentangnya bagi menentukan apakah tindakan beliau (Zulkifli) untuk mempertahan dan memperjuangkan hak-hak orang Islam dan Melayu tidak relevan dalam perjuangan PKR.

Isu ini timbul ekoran kenyataan Sivarasa sebelum itu yang mentafsirkan amaran yang dikeluarkan oleh Anwar agar pemimpin-pemimpin parti itu mematuhi polisi atau dasar parti atau keluar dari PKR adalah ditujukan kepada orang seperti Zulkifli yang seringkali mengeluarkan kenyataan yang dilihat oleh Sivarasa sebagai bercanggah dengan dasar PKR.

Anwar kemudian terpaksa mengeluarkan kenyataan mengatakan beliau telahpun bertemu dengan kedua-dua pemimpin PKR itu dan dengan isu tersebut telah selesai.-MSTAR