22 Sep 2009

Era Najib Altantuya : Pinggan Tak Retak...

Pinggan tak retak, nasi tak dingin - orang tak hendak, kami pun tak ingin.

Kira-kira demikianlah maksud Pakatan Rakyat Selangor terhadap kenyataan dua orang ADUN UMNO yang menganggotai SELCAT yang mengumumkan pendirian mereka kemungkinan akan menarik diri dari menggotai badan tersebut.

Teng Chang Kim, Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor yang juga Pengerusi Selcat memberitahu, pihaknya tidak akan menghalang jika mereka hendak berbuat demikian.

"Itu hak mereka. Kita sudah beri mereka peluang... peluang yang lebih besar untuk mereka (untuk menganggotai) Selcat," katanya.

Teng memberitahu, DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan BN masing-masing mempunyai dua wakil dalam Selcat berbanding hanya seorang wakil PAS.

Kata beliau, Selcat masih boleh berfungsi walaupun kedua-dua BN memutuskan untuk keluar kelak.

"Mereka dilantik menganggotai Selcat berdasarkan perwakilan (BN) dalam DUN... terserah kepada mereka (anggota BN)," katanya lagi.

Keputusan rasmi mereka dijangka diketahui bulan depan.

"Selcat hanya memerlukan kuorum tiga anggota (untuk menjalankan urusannya). Jadi, jika anggota BN keluar, Selcat masih boleh berfungsi, ia tidak akan membawa apa-apa kesan," jelas Teng.

Semalam, salah seorang wakil BN dalam Selcat, Ismail Sani memberitahu bahawa beliau sedang mempertimbangkan kemungkinan tersebut.

Ismail yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dusun Tua memberitahu, rakannya, Sulaiman Abdul Razak iaitu wakil rakyat BN kawasan Permatang juga mempunyai pendirian yang sama.

Dr. Khir yang dihubungi hari ini merestui pendirian mereka.

Selcat ditubuhkan oleh DUN Selangor selepas pilihan raya umum Mac 2008 untuk memantau selia dan memeriksa keupayaan, kebertanggungjawab dan ketelusan dalam segala urusan pentadbiran kerajaan negeri.

Selain kedua-dua ADUN BN itu, anggota Selcat terdiri daripada Teng (DAP-Sungai Pinang) selaku Pengerusi, Haniza Mohd. Talha (PKR-Taman Medan), Azmin Ali (PKR-Bukit Antarabangsa), Shaari Sungib (PAS-Hulu Klang) dan Edward Lee Poh Lin (DAP-Bukit Gasing).

Teng memberitahu, BN telah diberikan peluang menganggotai kesemua jawatankuasa DUN Selangor termasuk Selcat dan Jawatankuasa Hak dan Keistimewaan.

Perjalanan Selcat kini dikritik dengan pegawai-pegawai daerah yang dipanggil memberi keterangan mendakwa mereka dilayan seperti penjenayah dan perlu menjawab soalan mengikut kehendak jawatankuasa itu.

Kelmarin, Pegawai Daerah Klang, Bakhtiar Hussin) menyifatkan Selcat tidak mencerminkan proses siasatan sebenar kerana lebih menjurus kepada serangan peribadi selain menjejaskan imej serta kredibiliti diri beliau sebagai penjawat awam.

Beliau adalah antara sembilan Pegawai Daerah di Selangor yang dipanggil memberi keterangan pada 9 September lalu.

Bakhtiar mendakwa siasatan yang diketuai oleh Teng dilakukan dalam suasana tegang dan tidak berhemah.

LUCUT AUTOMATIK?

Ketika ditanya sama ada kedua-dua wakil BN boleh dilucutkan secara automatik kerana tidak menghadiri sesi pertemuan Selcat secara berturut-turut, Teng memberitahu, "tiada peraturan sedemikian."

"Tidak... tiada peruntukan menggugurkan mereka secara automatik atas kegagalan menghadiri sidang Selcat. Jika mereka hendak keluar daripada Selcat, itu hak mereka," katanya.

Ismail semalam memberitahu mStar Online bahawa beliau hanya hadir satu sesi pertemuan Selcat iaitu yang pertama pada Mac lalu.

Sehubungan itu, kata Teng, rekod kehadiran wakil BN dalam mana-mana jawatankuasa semasa kerajaan negeri Selangor ditadbir BN menunjukkan peratusan kedatangan yang buruk.

"Dulu pun rekod kehadiran mereka adalah buruk, bukanya sekarang," kata beliau.

Era Najib Altantuya : Karut, Tiada Rebutan Kuasa MB dan Speaker Selangor - Teng

Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Teng Chang Khim menyangkal dakwaan Ketua Pembangkangnya, Datuk Seri Dr. Muhamad Khir Toyo bahawa wujud rebutan kuasa antara beliau dan Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim di sebalik isu Selcat sekarang.

"Saya tidak berkuasa... saya cuma Speaker sahaja... itu saja," kata Teng yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (Selcat) yang berhadapan dengan kritikan pegawai-pegawai kanan kerajaan dan pembangkang peringkat negeri sejak minggu lalu.

"Saya tiada kuasa untuk melantik Exco, saya tiada kuasa mengetuai majoriti anggota di DUN, saya tidak melantik ketua-ketua syarikat kerajaan negeri..," kata Teng sambil menegaskan, Khir yang juga bekas Menteri Besar Selangor, sengaja mahu mencetuskan masalah dan mengeruhkan hubungan beliau dengan Khalid.

Sambil mempertahankan perjalanan Selcat yang diwujudkan tahun lalu, Teng memberitahu, idea penubuhan jawatankuasa itu dibawa oleh Khalid selaku Menteri Besar dan ketua kerajaan negeri selepas Pakatan Rakyat membentuk kerajaan ekoran keputusan pilihan raya umum 8 Mac 2008.

"Selcat adalah idea, inisiatif Khalid selaku Menteri Besar. Bukan saya bawa idea ini ke DUN," katanya lagi.

"Saya lihat Khir bertindak macam kebudak-budakkan," kata Teng lagi.

Teng mengulas kenyataan Dr. Khir pagi tadi kepada mStar Online yang mendakwa isu terbaru yang menyelubungi Selcat adalah bukti wujudnya perebutan kuasa antara Menteri Besar dan Speaker DUN itu.

"Saya melihat Menteri Besar (Tan Sri Khalid Ibrahim) tidak boleh buat apa-apa. Speaker (Teng) memiliki kuasa yang lebih besar berbanding Menteri Besar," katanya.

Selain itu, kata Dr. Khir, BN Selangor juga akan memfailkan kes mempertikaikan status Selcat dan undang-undang DUN yang melarang mana-mana wakil rakyat mempersoalkan Selcat.

Kes akan difailkan awal bulan depan.

Sehubungan itu, Dr. Khir menambah, Selcat digunakan sebagai "instrumen kuasa politik, bukannya untuk memperbaiki pengurusan kerajaan negeri."

"Ia lebih merupakan instrumen politik," katanya.

Era Najib Altantuya : Mahathir Desak Lagi UMNO Jangan Pilih Calon Amalkan Politik Wang

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sekali lagi menekankan bahawa Umno harus pilih calon yang bersih daripada gejala politik wang dan rasuah untuk pilihan raya kecil Bagan Pinang.

Beliau yakin Umno boleh mendapat majoriti kuat pada pilihan raya kecil itu kerana kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) tersebut merupakan kubu kuat parti berkenaan.

Faktor calon yang bersih daripada gejala politik wang dan rasuah menjadi sangat penting di Bagan Pinang malah pada pilihan raya umum akan datang, katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis hari raya Aidilfitri di kediaman Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan di Rantau pada Selasa, lapor Bernama

"Bagi saya, bukan sekadar tempat ini sahaja. Soal seluruh Malaysia, orang nak tahu samada kita serius atau pun tidak untuk membasmi gejala politik wang, rasuah dan sebagainya," tambahnya.

Jika Umno mengetengahkan calon yang tidak bersih, beliau berkata parti itu mungkin menang di Bagan Pinang tetapi akan kalah di tempat lain.

Dr Mahathir turut khuatir jika ini diteruskan, parti itu akan kalah teruk pada pilihan raya umum ke-13 nanti.

"Saya tak fikir tentang individu, saya kenal semua orang dan saya tak peduli dengan siapa pun tapi saya fikir cuma untuk parti sahaja," tegasnya.

Suruhanjaya Pilihan raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi pilihan raya kecil itu ialah pada 3 Okt sementara pengundian 11 Okt.

Pilihan raya kecil DUN itu diadakan berikutan kematian wakil rakyatnya daripada Barisan Nasional (BN) Azman Mohamad Noor akibat jangkitan kuman dalam darah di Hospital Pakar Seremban pada 4 Sept lepas.

Pas telah mengumumkan akan bertanding pada pilihan raya ini.

Era Najib Altantuya : Jangan Diskriminasi Perajurit Di Bagan Pinang

Semua warganegara mempunyai hak dan tanggungjawab yang sama di bawah Perlembagaan dan undang-undang Negara.

Hanya Perlembagaan sahaja yang akan membenarkan keadaan-keadaan tertentu di mana sesuatu tanggungjawab perundangan boleh disempurnakan di dalam keadaan yang berbeza daripada tanggungan warganegara yang lain.

Sejarah perundangan menunjukkan undi pos hanya dibenarkan di dalam beberapa keadaan tertentu yang tidak memungkin warga tersebut boleh mengundi seperti warga yang lain.

Seperti tanggungjawab parajurit yang terlibat di medan perang seperti yang dilakukan pada tahun 1918 di England melalui Representation of the People Act 1918 yang berlatar belakangkan keadaan perang semata-mata di atas alasan “by reason of the nature of their occupation ... from voting at a poll”.

Fasal 8 Perlembagaan Persekutuan dengan jelas menetapkan bahawa kesaksamaan semua di bawah undang-undang.

Dengan mengenakan undi pos kepada warga dan kelompok tertentu tanpa alasan yang munasabah di bawah perlembagaan akan terjumlah kepada diskriminasi terhadap warga dan kelompok tersebut.

Di dalam hal ini saya yakin ramai di kalangan warga dan kelompok tersebut seperti tentera dan polis yang tahu akan hak mereka mahu menunaikan tanggungjawab mengundi seperti mana warga yang lain tanpa sebarang diskriminasi oleh pihak SPR.

Apatah lagi sekiranya ianya dibuat secara paksa dan bukanlah melalui pilihan warga tersebut.

Bagi mengelakkan berlakunya diskriminasi tersebut saya mencadangkan agar warga dan kelompok yang sebelum ini terpaksa mengundi secara pos dibenarkan untuk mengundi secara biasa ataupun diberi pilihan samada mahu mengundi secara biasa atau pun secara pos memandangkan keadaan semasa membolehkan mereka menunaikan tanggungjawab mereka seperti warganegara yang lain tanpa sebarang diskriminasi.

Di dalam hal ini saya berpendapat bahawa keadaan-keadaan yang membenarkan undi pos digunakan di Bagan Pinang tidak wujud untuk memberi alasan yang munasabah agar undi pos boleh digunakan.

Saya tidak akan teragak-agak untuk membawa isu ini ke Mahkamah sekirangan SPR tidak mengambil tindakkan segera seperti yang dicadangkan iaitu member pilihan kepada warga dan kelompok yang didiskriminasi secara paksa untuk mengundi secara pos dan bukan dengan kaedah undi secara biasa. -Yusmadi Yusof

* Yusmadi Yusoff ialah Ahli Parlimen Balik Pulau serta Ketua Angkatan Muda Keadilan, Pulau Pinang.

Era Najib Altantuya : Apakah Nasihat Mahathir dan Ku Li Akan Diketepikan Di Bagan Pinang

Tekanan daripada pucuk pimpinan Umno nasional supaya parti itu meletakkan calon selain daripada Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad memuncak apabila bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pula menggesa Barisan Nasional supaya tidak mencalonkan bekas menteri besar Negeri Sembilan itu demi menjaga imej.

Sebelum Mahathir seorang lagi veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah juga telah turut sama membuat kenyataan yang serupa dengan mengatakan kemenangan harus diperolehi dengan maruah dan mengembalikan keyakinan rakyat.

Pendirian Mahathir ini dan ramai lagi pimpinan Umno lain sudah tentu berbeza dengan keadaan sebenar di akar umbi.

Di sekitar bandar Port Dickson yang turut menempatkan kawasan pilihan raya Dun Bagan Pinang, kain-kain rentang dengan gambar Isa dan ucapan Selamat Hari Raya sudah mula digantung sejak sebelum berakhir Ramadhan lagi.

Mesej daripada penyebaran poster ini jelas: Isa mesti dicalonkan di Bagan Pinang supaya beliau dapat kembali ke Dewan Undangan Negeri Negeri Sembilan selepas lima tahun.

Bekas menteri besar Negeri Sembilan itu merupakan Adun Linggi sehingga tahun 2004 apabila beliau dipindahkan ke Parlimen Jempol dan kemudian menjawat jawatan menteri Wilayah Persekutan.

Beliau kehilangan jawatan kabinet itu pada pertengahan 2005 selepas digantung keahlian Umno kerana terbabit dalam politik wang semasa pemilihan parti pada September 2004.

Bermula dengan hasrat Umno Bahagian Teluk Kemang yang hanya mahu mencadangkan nama Isa sebagai calon tunggal, konflik timbul apabila timbalan presiden Parti itu Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta lebih daripada satu nama supaya penilaian yang lebih objektif dapat dibuat.

Bagi penyokong Isa, mereka tidak berdiam diri dan membiarkan serangan peribadi daripada pimpinan Umno peringkat nasional terus tersebar.

Di laman-laman blog pro-Umno kisah sebalik tabir penggantungan Isa diceritakan semula dengan tujuan mendedahkan bahawa tindakan disiplin parti itu merupakan sebahagian daripada konspirasi pentadbiran Tun Abdullah Ahmad Badawi yang tidak senang dengan pengaruh kuat Isa di akar umbi Umno.

"Pada pandangan penulis, Isa sudah teraniaya terlalu lama dan kini masa yang sesuai untuk mendedahkan kebenaran. Tatkala nama Isa kembali menjadi sebutan ramai, pendedahan ini tepat masanya," kata satu tulisan dalam blog Another Brick In the Wall yang menerbitkan siri pendedahan bagaimana bekas naib presiden Umno itu digantung keahliannya.

Oleh itu kritikan terbaru Mahathir ini yang berbeza dengan pandangan umum akar umbi Umno sudah tentu agak mengejutkan.

Namun ini bukanlah kali pertama bekas perdana menteri itu mengkritik calon pilihan Barisan Nasional.

Pada pilihan raya kecil Kuala Terengganu awal tahun ini Mahathir menyelar pencalonan Datuk Wan Ahmad Farid Salleh yang juga ketua Bahagian Umno di situ.

Ketika itu Mahathir bimbang bekas Timbalan Menteri Dalam Negeri itu akan menjadi proksi Abdullah dalam pentadbiran Datuk Seri Najib Razak. -harakahdaily

Era Najib Altantuya : Si Penyapu Pun Bersuara

Tidak wujud sebarang perebutan kuasa di dalam Kerajaan negeri Selangor, demikian ulasan seorang pemimpin tertinggi Pakatan Rakyat Selangor ketika diminta mengulas kenyataan Ketua Pembangkang Selangor, Dr.Mohammad Khir Toyo.

Barisan Nasional (BN) Selangor yang terus mempertikaikan Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (Selcat) sambil menyifatkan isu terbaru yang menyelubungi badan itu kononnya sebagai bukti wujudnya perebutan kuasa antara Menteri Besar dan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN).

Kata beliau, kontroversi di belakang isu Selcat menunjukkan wujudnya "perebutan kuasa dalam kerajaan negeri."

"Saya melihat Menteri Besar (Tan Sri Khalid Ibrahim) tidak boleh buat apa-apa. Speaker (Teng Chang Khim) memiliki kuasa yang lebih besar berbanding Menteri Besar," kata bekas Menteri Besar ini, lapor Mstar Online.

Selaku Speaker, Teng juga mempengerusikan Selcat.

Sehubungan itu, Dr. Khir menambah, Selcat digunakan sebagai "instrumen kuasa politik, bukannya untuk memperbaiki pengurusan kerajaan negeri."

"Ia lebih merupakan instrumen politik," katanya.

Dr. Khir yang terlibat secara lansung sebagai orang yang didakwa menyebabkan pelbagai kepincangan pengurusan dan perbuatan salahlaku kerajaan yang lalu yang melibatkan kehangusan peruntukan jutaan ringgit wang rakyat cuba pula untuk menyalahkan kerajaan negeri Pakatan Rakyat sebagai satu cara untuk menyalamatkan maruahnya yang tercalar.

Dr.Khir baru-baru ini telah disoalsiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia diatas beberapa dakwaan yang mencurigakan terutama isu istana agam miliknya juga telah membuat satu laporan polis kononnya pemimpin Pakatan Rakyat telah membuat ugutan untuk membunuhnya.

Beliau dan keluarganya serta pegawai kerajaan negeri yang lain, telah membelanjakan hampir RM1.6 juta untuk membiayai dua lawatan ke luar negara, termasuk lawatan ke Paris dan Orlando Disneyland.

Senarai perbelanjaan itu termasuk lawatan pada tahun 2004 ke Disneyland Paris dan persinggahan transit selama empat hari di Dubai.

Turut menyertai lawatan tersebut ialah isteri Dr Mohd Khir - Seri Zaharah Kechik dan tiga anak mereka serta seorang orang gaji.

Delegasi rasmi membelanja sejumlah RM416,000 bagi lawatan tersebut.

Kumpulan yang pergi mengendalikan urusan bagi lawatan tersebut membelanjakan RM366,000.

Persinggahan transit di Dubai membabitkan perbelanjaan RM10,000.

Beliau juga disabitkan dengan penerimaan bayaran RM17 juta dari seorang individu hasil jualan tujuh unit hartanah Al Marwa Tower di Makkah, Arab Saudi. Pembayaran tanpa sebarang resit rasmi diterima hasil jualan tujuh daripada 12 unit hartanah yang dibuat Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) di Makkah. Apa yang menghairankan, Resolusi Pengarah PNSB bertarikh 14 September 2007 hanya meluluskan pembelian lima unit kediaman berjumlah RM8,352,427.66 sedangkan rekod PNSB menunjukkan sejumlah RM25,603,545 telah dibayar ke akuan individu di Arab Saudi dari 17 September hingga 19 September 2007.

Era Najib Altantuya : Peluang PAS Cerah Di Bagan Pinang

Angin perubahan sedang berlaku dikalangan anggota tentera dan mula bertiup dari Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PULADA) Kem Sirusa, dalam kawasan Dewan Undangan Negeri Bagan Pinang.

Menurut Ahli Jawatankuasa Pilihanraya PAS, Dato’ Ustaz Abu Bakar Chik yakin PAS mempunyai peluang yang cerah dalam Pilihanraya Kecil DUN Bagan Pinang.

”Kita kalah 2,333 dan ada disana undi pos 5,000 orang, tetapi sebenarnya tidak mustahil kita boleh menang, kerana (pilihanraya umum) yang lepas kita dapat seribu lebih undi pos,

”pekerja (pilihanraya) kita (PAS) dah mula pergi kempen dekat pagar (kem) askar (tentera) sekarang, dan saya mendapat maklumat, memang askar-askar bersedia untuk membuat perubahan,”katanya ketika berucap dalam majlis Sambutan Eidul Fitri Alumni Pelajar Maahad Tahfidz Wal Tarbiyah di sini, semalam.

Ketika ditemui selepas majlis tersebut, beliau berkata, keadaan kemudahan kehidupan dan prasarana dalam Kem Sirusa amat tidak memuaskan.

Katanya, hasrat ’mahu berubah’ sebahagian tentera dalam DUN Bagan Pinang telah disampaikan kepada PAS oleh para tentera diseluruh negara.

”Kemudahan dan prasarana untuk kehidupan askar yang ada di Kem Sirusa, memang tidak memuaskan (dan) itu (berlaku) sekian lama,

”maklumat ini kita perolehi dari kawan-kawan askar, yang ada diseluruh Malaysia memberitahu kepada kita tentang sebahagian daripada askar didalam kawasan Bagan Pinang ini mahu membuat perubahan,”ujarnya.

Katanya, beliau mendapat jaminan dari bekas-bekas pegawai tentera memberikan kerjasama kepada PAS bahkan mereka kini sedang berusaha bertungkus lumus, menggerakkan kempen di DUN Bagan Pinang.

Menurutnya, peluang PAS bagi menawan DUN tersebut dalam pilihanraya kecil kali ini cerah kerana PAS telah mempunyai asas sokongan sebanyak 20 hingga 25 peratus, melebihi seribu undi pada pilihanraya umum lalu.

Beliau menyifatkan kenyataan Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad yang berkata, parti politik tidak dibenarkan berkempen dalam kem tentera sebagai sesuatu yang bercanggah dengan perlembagaan negara dan peraturan pilihnraya, bahkan boleh dianggap sebagai satu ugutan yang tidak patut dipatuhi.

”Tidak ada dalam perlembagaan atau dalam mana-mana undang-undang dalam negara kita, pengundi tidak boleh mendengar apa-apa pendapat atau kempen,

”arahan itu sebenarnya bercanggah dengan perlembagaan bahkan tidak ada dalam peraturan pilihanraya,

”Jadi kalau ada arahan sebegitu, makna arahan itu tidak patut dipatuhi, bukan sahaja melanggar etika tetapi melanggar peraturan dan boleh dianggap sebagai ugutan,”jelasnya.

Tegasnya, PAS akan terus berkempen dalam kem tentera kerana ia tidak akan menggugat keselamatan dan menurutnya ’track record’ PAS dalam kempen pilihanraya sebelum ini adalah bersih. -buletinonline

Era Najib Altantuya : UMNO Bukan Parti Islam Tapi Parti Kapalselam

Utusan Malaysia 11/9/2009 melaporkan Datuk Seri Najib Tun Razak ketika berucap di Sik Kedah menegaskan, UMNO adalah sebuah parti Islam yang sebenar walaupun ia tidak menggunakan label Islam dalam membela dan merancang pembangunan umat di negara ini.

Seperti yang dijangka Datuk Seri Najib Tun Razak akan mengimejkan beliau sebagai pejuang Islam tulin. Sudah menjadi kebiasaan kepada mana-mana pemimpin umno di negara ini mereka perlu menjadikan Islam sebagi alat untuk menarik perhatian orang-orang melayu Islam di negara ini.

Isu Islam tidak boleh diketepikan dalam politik Malaysia kerana ia sinonim dengan Islam sebagai agama majoriti penganut di negara ini.Teras politik di Malaysia ialah Melayu Islam. Doktor Mahathir pernah menyebut di dalam buku Malay Dilema kerajaan buat projek Islam hanya untuk meraih undi sokongan orang melayu dan Islam kepada Umno dalam pilihanraya.

Tidak hairan kepada kita semua di kalangan pemimpin Umno cuba membina imej mereka sebagai pejuang Islam. Kalau di zaman Tun Hussin Onn dengan program bulan dakwah, Tun Dr Mahathir dengan Penerapan Nilai-Nilai Islam, zaman Dato’ Seri Abdullah Badwi Islam Hadhari, maka Datuk Seri Najib Dailog Ulama’ dan Umara’. Dan saya yakin dialog ini supaya rakyat ditipu lagi dengan program Islam. Maka tidak hairanlah kepada kita ia akan memprogramkan Najib sebagai tokoh yang boleh menarik orang Islam menyokong Datuk Seri Najib waktu beliau memimpin nanti. Al maklumlah semua makhluk di bumi kenal siapa peribadi Datuk Seri Najib, maka imej perlu digilap supaya nampak sebagai wira agama yang wara’.

Kenapa Datuk Seri Najib bercakap umno juga parti Islam, kerana tempat yang beliau berucap adalah kawasan yang kuat berpegang dengan Islam dan penghayatan agama yang betul. Di situ terdapat institusi pondok yang begitu berpengaruh, di mana tok gurunya adalah penyokong PAS tegar. Seperti Pondok Tok Guru Haji Salleh, Pondok ustaz Ismail, berhampiran dengannya juga pondok Tok Guru Haji Awang Lanai, Pondok Ustaz Bakar, Pondok Tok Guru Haji Umar Parit Panjang.

Menjadi kebiasaan kepada pemimpin umno apabila bercakap ikut suasana. Mengambil rasmi sumpah-sumpah, kalau pokok hijau dia bertukar hijau, kalau pokok kuning dia bertukar kuning.

Atas asas apa Datuk Seri Najib mendakwa umno parti Islam? Kalau kerana kerajaan pimpinan umno beri tanah, buat masjid, buat sekolah agama, dirikan surau, kutip zakat. Maka parti yang memerintah United Kingdom boleh dianggap sebagai parti Islam. Kerana kebajikan yang mereka buat lebih banyak daripada umno buat di Malaysia. Rakyat hidup dalam suasana yang cukup aman dan tidak tertekan dengan inflasi. Rakyat miskin diberi rumah, perubatan hospital percuma, sekolah percuma, hatta sekolah agama rakyat di UK yang dipimpin oleh Yusuf Islam diberi RM9000.00 perkapita setahun. Sedangkan kerajaan yang kononnya dipimpin oleh parti Islam telah menarik balik perkapita yang bernilai RM60-RM90 kepada sekolah agama rakyat.

Datuk Seri Najib juga dalam ucapannya menyingkap kisah perang Badar yang berlaku dalam bulan Ramadhan telah berjaya dipihak Islam. Ucapan ini kalau Karpal Sing baca tentu dia ketawa, kerana dia kenal siapa Datuk Seri Najib.

Macam mana umno hendak mengatakan bahawa dia parti Islam. Dalam menanggani isu murtad umno tidak membela dan membisu dalam isu ini. Malahan apabila ada di kalangan pemuda PAS dan orang Islam tunjuk perasaan di Cititel Pulau Pinang dan Hotel Sentosa di Johor Baharu ketika kumpulan Artikel 11 membuat program untuk membolehkan orang Islam bebas murtad. Maka Tan Sri Nazri Aziz Ahli Majlis Tertinggi Umno kata ini kerja bodoh. Nampaknya Umno sanggup berdiam dalam isu murtad. 63 tahun kewujudan Umno kita tidak dengar Umno bertindak sesuatu untuk mengadakan undang-undang murtad. Isu pengabaian terhadap agama mengenai murtad adalah satu contoh sahaja.

Banyak lagi isu mereka yang mengguris perasaan orang Melayu Islam. Kalau umno parti Islam, orang agama dalam umno kena diberi peranan penting, bukan hanya hanya untuk menjadi peluru melawan PAS dan membaca doa dan marhaban sahaja. Mereka bukan dijadikan rujukan untuk mengemudi negara.

Sebaliknya si jahil yang menjadi kepala, manakala si alim menjadi pengikut. Apabila ini terjadi banyak dasar yang bertentangan dengan Islam telah berlaku. Kalau umno parti Islam, mana pergi tokoh agama dalam Umno di persada politik tanah air. Tokoh-tokoh seperti Dr Hamid Osman, Dr Yusuf Nor, Dr Abdullah Mohd Zin, Datuk Zainal Abidin Abdul Kadir, Datuk Awang Jabar, Datuk Ikhwan Nasir, Datuk Firdaus Ismail al-Hafiz, Nakhaei Haji Ahmad, Mustafa Taib, Datuk Dasuki, Mohd Nor Idris, Wan Mokhtar, ustazah Sharifah Dora.

Tidak ada seorang pun tokoh agama yang dipilih dalam MKT Umno. Semua mereka ini sudah menjadi “kupang tembaga”. Jelas memang orang agama dalam Umno, hanya “boneka Umno” dan “kuda tunggangan Umno. Kalau benar umno parti Islam, kenapa umno tidak dengar nasihat mufti dalam soal agama, sebaliknya nasihat mufti ditong sampahkan sahaja.

Ini adalah sebahagian contoh nasihat mufti yang ditolak mentah-mentah,
1. Apabila Majlis mufti mengatakan sure heboh haram Umno tidak ikut.
2. Apabila majlis mufti mengatakan kongsi raya haram Umno tidak ikut.
3. Apabila Majlis mufti kata bertafakkur di depan tugu, pemimpin umno sendiri tidak ikut.
4. Apabila mufti membantah penggunaan kondom, methadon untuk mengelak penyakit aids Umno tidak ikut.
5. Garis panduan hiburan yang dibuat oleh JAKIM Umno tidak ikut.
6. Tidak ada seorang pun perwakilan Umno yang memilih untuk kerusi majlis tertinggi orang kelulusan agama.
7. Sepatutnya Umno meletakkan Mufti seperti penasihat undang-undang yang akan menasihati kerajaan kalau ada enekmen yang bertentangan dengan Islam.

Kalau nasihat Penasihat Undang kerajaan wajib ikut supaya ia selari dengan undang-undang, kenapa mufti tidak boleh nasihat kerajaan dalam bidang agama yang wajib diikut. Walaupun yang mencadangkan itu ialah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Kalau mufti dan JAKIM pun Umno tidak mahu menerima pakai. Siapa lagi Umno mahu dengar nasihat?

Sepatutnya kalau umno parti Islam, kenapa Kementerian Pelajaran tidak menjadikan sebagai satu peraturan mewajibkan para pelajar Islam memakai tudung di sekolah kerana ini adalah suruhan Allah. Sekurang-kurangnya boleh mengubat keruntuhan akhlak di kalangan para pelajar. Dengan memakai pakaian yang menutup aurat akan memelihara aurat pelajar perempuan yang sedang membesar. Kerana ini akan mengurangkan daya tarikan untuk melakukan perzinaan di kalangan pelajar. Cuba bayangkan uniform sekolah berwarna putih. Apa akan terlihat pada badan pelajar perempuan yang bersebelahan dengan pelajar lelaki. Inilah yang perlu direnung oleh pemimpin Umno/BN. Islam yang umno pejuangkan tidak mewajib pelajar perempuan memakai tudung, tetapi mewajibkan pelajar lelaki berstokin.

Inilah hukum Islam ala umno. Rumusannya umno bukan parti Islam, ini berdasarkan kepada dasar parti umno, tindakan umno, penghayatan Islam (seperti isteri pemimpin yang tidak bertudung) kesemuanya tidak menepati dengan ciri sebuah parti Islam. Ia hanya layak sebuah parti untuk perjuangan mengisi perut sahaja. -iniyangakurasa