26 Feb 2009

Karpal Diserang Oleh Pemuda UMNO

Pertama kali berlaku di dalam sejarah - demikian kata Speaker Dewan Rakyat, Pandikar Amin Mulia merujuk kepada insiden Pengerusi DAP Karpal Singh dikepung sekumpulan anggota Pemuda Umno di bangunan Parlimen petang tadi.

Kumpulan pemuda UMNO menuntut Karpal Singh meminta maaf kepada pergerakan tersebut kerana mendakwa mereka menghantar peluru kepadannya.

Ini ekoran tindakan Karpal menggunakan perkataan 'celaka' yang ditujukannya kepada Pemuda Umno semasa perbahasan di Dewan Rakyat semalam, serta mendakwa pergerakan itu menghantar peluru kepadanya.

Karpal bagaimanapun menarik balik perkataan "celaka" itu setelah diarah oleh Timbalan Speaker Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Ketua Umno Bahagian Petaling Jaya Utara, Latt Sharizan Abdul dan Ketua Pemuda Umno Bahagian Gombak, Megat Zulkarnain Amiruddin mengepung ahli Parlimen Bukit Gelugor itu sambil meminta Karpal mengakui ada menyebut perkataan "Pemuda Umno celaka" dan meminta maaf kepada mereka.

Kejadian itu berlaku pada kira-kira jam 2.30 petang tadi ketika ahli parlimen Bukit Gelugor itu masuk melalui pintu utama bangunan tersebut.

Kira-kira 20 hingga 30 ahli Pemuda Umno terbabit dan mereka dipercayai dari Selangor and Kuala Lumpur

Bagaimanapun, Karpal kemudiannya menelefon ahli parlimen Batu Gajah, Fong Poh Kuan yang kemudian tiba bersama beberapa wakil rakyat Pakatan Rakyat lain.

Suasana kelam-kabut di kawasan Parlimen itu bertambah kecoh apabila dua ahli Parlimen Segambut, Lip Li Eng dan Bukit Bintang, Fong Kui Lun cuba mempertahankan Karpal.

Namun salah seorang daripada Ketua Pemuda terbabit, Zulkarnain menarik baju ahli Parlimen Segambut itu.

Ekoran itu berlaku kekecohan antara kumpulan penyokong Umno dengan wakil-wakil rakyat pembangkang di situ sebelum pengawal keselamatan tiba untuk meleraikan mereka.

Khairy berkata tuduhan yang dilemparkan anggota parlimen satu tuduhan liar, gila serta berniat jahat.

"Karpal sepatutnya tidak bersembunyi dan berselindung di belakang kekebalan seorang ahli parlimen dengan membuat tuduhan yang tiada asas dan kebenaran.

"Jika beliau ada bukti bahawa peluru tersebut dihantar oleh Pemuda Umno, kami dengan ini mencabar Karpal untuk menunjukkan bukti dalam 24 jam.

"Sekiranya beliau gagal memberi sebarang bukti, rakyat Malaysia bolehlah menganggap dirinya seorang penipu yang sudah hilang segala kredibiliti dan kewarasan," Khairy.

Tetapi menurut pemerhati kejadian tersebut, apa yang nyata Khairy bersama Pemudanyalah yang sudah hilang segala kredibiliti dan kewarasan apabila bertindak mengepung dan menyerang Karpal Singh di parlimen.

"Khairy selama ini meletakkan undang-undang di dalam tangannya untuk bertindak sesuka hati semata-mata kerana beliau menantu PM," tambahnya.

"Beliau menggunakan alasan "sentimen rakyat" sedangkan Pemuda UMNO tidak mewakili majoriti rakyat di negara ini."

Pandikar Amin Mulia menyatakan beliau akan meminta Kementerian Dalam Negeri supaya menyiasat perkara itu dan berjanji akan memastikan parkara itu tidak berulang.

Manakala Karpal pula dengan tegas berkata: "Saya mungkin kurang upaya, tetapi saya tidak tunduk kepada ugutan mana-mana pihak."

Sementara itu, Pengerusi Kelab Penyokong BN, Datuk Tiong King Sing memberitahu pemberita bahawa kesemua 22 anggota Pemuda Umno yang terbabit, telah ditahan oleh polis Bukit Aman.

Beberapa orang pemerhati juga mendesak supaya Khairy Jamaluddin patut dikenakan tindakan yang berat kerana mendalangi serangan tersebut.



SPRM Teruskan Tradisi Lembu Dicucuk Hidung

Baru sehari dilancarkan secara rasmi dan belumpun sempat jawatankuasa yang dilantik mengadakan mesyuaratnya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia telah meneruskan siri "harassment"nya kali ini menyoal-siasat Speaker Dewan Undangan Negeri Perak V.Sivakumar setelah menerima laporan pemimpin Barisan Nasional (BN).

Selepas disiasat oleh polis, kini Sivakumar menerima tekanan SPRM bila disoalsiasat atas keputusannya menggantung Zambry Kadir dan para exconya dari menghadiri persidangan dewan undangan negeri.

Dua orang pegawai SPRM telah menyoal-siasat Sivakumar selama dua jam.

"Ini merupakan satu harassment kepada Speaker dimana ia juga boleh dilihat sebagai satu penghinaan kepada dewan undangan negeri. Dan saya berpendapat perkara seperti ini tidak pernah wujud di dalam mana-mana negara komanwel dimana sorang speaker yang membuat satu keputusan tetapi ada pihak-pihak tertentu yang menggunakan tindakan seperti ini (harassment) untuk menyiasat seorang speaker," kata Sivakumar.

Banyak pihak berpendapat bahawa tindakan SPRM tersebut keterlaluan dan ia hanya menjadi alat Barisan Nasional dan UMNO untuk menekan pemimpin Pakatan Rakyat.

Sebelum ini Mursyidul Am PAS Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat mempersoalkan mengapa SPRM tidak menyiasat orang yang dikatakan menjadi punca kepada tiga Adun Pakatan Rakyat di Perak berpaling tadah.

"Sepatutnya yang bertanggungjawab mencetus isu tersebut dan membawa tiga Adun terbabit ke Istana Perak perlu disiasat SPRM kerana segala masalah yang berlaku sekarang berpunca dari situ.

"Kita belum mendengar ada maklumat badan tersebut menyiasat Pengerusi Perhubungan Umno Perak yang baru dilantik, kerana difahamkan dia ada hubungan dengan tiga Adun tersebut hilang dan muncul di Putrajaya.

"Hilang ke mana.. tentunya ada hubung kait pemimpin tertentu. Jadi kita persoalkan kenapa tidak disiasat pihak terbabit, kalau benar-benar mahu lebih profesional," katanya ketika ditemui di kediamannya di Pulau Melaka, semalam.

Beliau berkata, SPRM seolah-olah berfungsi menyiasat kes tertentu sahaja dan pembaharuan yang dilakukan sekarang tidak memperlihatkan badan itu benar-benar adil dan telus.

"Selama tidak ada sifat taqwa pada pengerusi dan jawatankuasanya, mereka tidak akan melakukan siasatan ke atas pemimpin negara. Yang disiasat hanya anak-anak bilis.

"Oleh itu, tubuh apa jenis badan sama ada polis atau badan pencegah rasuah, ia menjadi kerja sia-sia kalau dilihat terhadap apa yang berlaku sekarang. Habis masa dan wang rakyat," demikian dilaporkan harakahdaily.

Beberapa orang pemerhati politik melihat bahawa perlantikan begitu ramai tokoh-tokoh tertentu menduduki pelbagai jawatankuasa di dalam SPRM tidak memberi makna apa-apa jika SPRM terus menjadi badan yang boleh dicucuk hidungnya oleh pihak tertentu.

"Perlantikan mereka hanya kosmetik, mereka belum pun bermesyuarat SPRM dah pun bergerak jauh melakukan siasatan tanpa perlu merujuk mana-mana jawatankuasa yang dibentuk," tegas mereka.

Timbalan Perdana Menteri Najib Razak pula mengugut rakyat hari ini bahawa sesiapa yang membuat laporan palsu kepada SPRM akan menerima padah seolah-olah SPRM itu kini di bawah telunjuknya yang boleh menetapkan mana aduan yang benar mana aduan yang palsu.

Sementara itu, ada pihak yang meminta supaya Ketua Pemuda PAS YB Salahuddin Ayub dan Timbalan Presiden DAP, YB Tan Seng Giaw menkaji semula kedudukan mereka sebagai ahli jawatankuasa SPRM jika gagal untuk menahan SPRM dari terus menjadi perkakas UMNO meneruskan tradisi membuli rakyat.


GERAK Bergerak Untuk Siapa?

Tindakan nekad Gerakan Anti-Rasuah dan Korupsi (GERAK) melaporkan isu penyalahgunaan kuasa Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia telah mendapat respon dari bekas Pengerusinya, Badrul Hisham Shaharin yang kini menjadi Pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia.

Beliau secara peribadi tidak mempertikaikan inisiatif badan NGO tersebut tetapi beliau mempersoalkan sejauh mana bagaimana GERAK berperanan sebagai entiti yang bebas.

"Saya tidak mempertikaikan tindakannya yang mendedahkan (isu MB Selangor), tetapi (mempertikaikan) pendedahan secara terpilih berdasarkan berdasarkan kepentingan kelompok tertentu telah menyebabkan Gerak menjadi begitu kerana telah mendapat sokongan dana dari kelompok tertentu," tegasnya.

Beliau menambah jika Gerak ingin menafikannya, Gerak boleh membentangkan sumber akaunnya, sumber Pengerusi dan Lembaga Pengarah Gerak.

Beliau menyatakan Gerak telah hilang idealisma perjuangannya. Beliau juga mencabar Pengerusi Gerak Mohd Nazri Yunus (gambar) menafikan Gerak merupakan proksi pemimpin (UMNO) tertentu.

Ramai berpendapat bahawa Gerak telah hilang integriti dan kebebasannya apabila ia bertindak menerima fund dari pihak tertentu.

Dalam satu perkembangan berkaitan, Menteri Besar Selangor YAB Tan Sri Khalid Ibrahim akan mengambil tindakan undang-undang ke atas Pengerusi Gerak berhubung tohmahan salahguna kuasa seperti yang didakwa.

"Dia kena tunjukkan bukti yang kukuh, semua orang cakap ada bukti yang kukuh, tetapi kalau tiada bukti apa jadi? Apakah percakapan ini merosakkan status atau (sengaja) membuat satu perkayra yang tak sepatutnya. Jika itu tujuannya, maka itu salah," kata Khalid.

Khalid menambah bahawa jawatan "Menteri Besar" itu ada statusya, bukan kerana beliau yang jadi MB tetapi kerana jawatan itu iaitu sebagai pemegang amanah. Justeru itu apa juga tohmahan terhadap seseorang yang memegang jawatan itu mesti mempunyai bukti yang benar-benar kukuh.

Seorang peguam menyatakan bahawa tindakan Pengerusi Gerak itu boleh dikenakan saman fitnah dan tuntutan ganti rugi.


Undian SMS - 100% Tolak Kenaikan Tol

Undian SMS Edisi 7 pukul 1.00 petang menyaksikan rakyat sebulat suara bersetuju sekarang bukan masanya kerajaan menaikkan kadar tol.

Dengan memberikan respons terhadap pengumuman kenaikan kadar Tol di lima lebuhraya rakyat di seluruh negara hari ini merasa dukacita dan hampa di atas tindakan kerajaan Barisan Nasional yang menaikkan kadar tol di selruh negara bermula 1 Mac ini.

Diantara tol yang terlibat ialah Kadar tol di Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS), Lebuh Raya Sistem Penyuraian Trafik Kl Barat (Sprint), Lebuh Raya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (Akleh), Lebuh Raya Sungai Besi (Bestraya) dan Lebuh Raya Baru Pantai (NPE).

Alasan superficial yang digunakan oleh Menteri Kerja Raya Datuk Ir Mohamad Zin Mohamad untuk menaikkan kadar tol ialah kerajaan terpaksa membayar pampasan berjumlah RM245 juta, iaitu RM177 juta kepada Plus, RM38 kepada Sprint dan RM30 juta kepada Akleh.

Kerajaan pernah dicadangkan supaya mengambil alih 19 buah syarikat konsesi lebuh raya dalam usaha mengurangkan bebanan rakyat.

Langkah itu bukan sesuatu yang mustahil kerana kerajaan mempunyai kemampuan hasil keuntungan Petronas dan pengurangan subsidi minyak.

Malah kerajaan juga memegang ekuiti sebanyak 74 peratus dalam Projek Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) menerusi Khazanah Nasional Berhad dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Contohnya kerajaan hanya perlu membeli sebanyak 1.3 bilion saham yang bernilai RM3.67 bilion untuk memiliki sepenuhnya PLUS.

Namun cadangan itu tidak diendahkan oleh kerajaan BN demi mmemberi laluan syarikat konsesi lebuhraya mengaut keuntungan.

Najib Ugut Dakwa Jika Buat Laporan Palsu

Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengugut mereka yang membuat laporan palsu kepada SPRM akan didakwa.

"Siapa yang membuat laporan palsu, dia akan didakwa," katanya ketika ditemui selepas merasmikan mesyuarat Menteri Kumpulan Lapan Negara Islam Membangun (D8) Mengenai Jaminan Makanan di ibunegara pagi ini.

Katanya, tindakan serupa juga akan diambil terhadap mereka yang menyalah guna akuan berkanun.

"Mereka akan terima padahnya," katanya.

Sebelumnya, Najib berkata terpulang kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat dakwaan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pakatan Rakyat Perak yang mendakwa mereka ditawarkan imbuhan oleh ejen yang mendakwa mewakili timbalan perdana menteri itu supaya menjadi wakil rakyat bebas atau menyertai Barisan Nasional (BN).

Dua Adun Pakatan itu membuat laporan kepada SPRM, mendakwa mereka ditawar sehingga RM20 juta serta jawatan oleh pihak tertentu supaya menjadi wakil rakyat bebas atau menyertai BN.

Mereka yang membuat laporan di pejabat SPRM di Ipoh ialah Adun Malim Nawar, Keshvinder Singh daripada DAP dan Adun Kuala Kurau Abdul Yunus Jamsari daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Keshvinder memberitahu pemberita bahawa beliau menerima pelbagai tawaran dari beberapa ejen mendakwa mewakili timbalan perdana menteri yang juga pengerusi perhubungan Umno Perak, dengan seorang daripada ejen itu ialah seorang wartawan akhbar berbahasa Cina tempatan.

"Saya tidak tahu apa-apa pun mengenai perkara itu. Biar SPRM siasat," kata Najib.

Ditanya mengenai namanya yang turut disebut dalam laporan berkenaan, Najib berkata: "Tak ada, saya tak ada tawar-menawar sesiapapun."
Manakala mengenai dakwaan kedua-dua ADUN itu kononnya mereka memreka mempunyai bukti ukuh, beliau berkata: "Sudah tentunya mereka kata begitu Tapi) biarlah uruhanjaya siasat. Seperti yang saya kata, jika mereka buat laporan palsu, mereka akan hadapi kesannya."

Ditanya apakah Umno mempunyai begitu banyak wang sehingga boleh menawarkan sehingga RM50 juta kepada Adun-adun Pakatan, Najib berkata:

"Mana ada RM50 juta...mengarut ni. Kita tak ada wang, dia dakwa sahaja, itu yang dia dakwa. Biar SPRM siasat," katanya.

Sebelum ini, Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) Bahagian Ipoh Barat, Fauzi Muda, dalam akuan bersumpahnya, mendakwa kononnya Najib menawarkan RM50 juta kepada mana-mana Adun daripada Pakatan Rakyat di Perak supaya menyertai BN.

Fauzi dilaporkan mendakwa, Najib yang juga timbalan presiden Umno telah mencuba tahun lalu untuk memujuknya supaya melobi dua Adun Pakatan di Perak supaya melompat parti.

Fauzi mendakwa, beliau telah ditawar sejumlah RM50 juta bagi perkhidmatannya itu dan untuk membayar mereka yang berjaya dipujuk melompat parti.

Bagaimanapun, katanya, beliau tidak membuat apa-apa tindakan untuk memenuhi hasrat Najib itu.

Untuk tujuan rekod, setakat ini Najib belum membuat penafian terhadap dakwaan itu kecuali kenyataan yang dikeluarkan oleh bekas Timbalan Menteri Pertahanannya ialah Datuk Zainal Abidin Zin yang tidak menafikan adanya pertemuan tersebut tetapi beliau tidak tahu menahu butiran mengenai tawaran RM50 juta itu.

Hadiah BN Untukmu -Tol Naik 1 Mac 2009 !

Krajaan Barisan Nasional meneruskan Tradisi Menzalimi Rakyat dengan mengumumkan kenaikan harga Tol bermula Ahad ini (1 Mac).

Kadar tol bagi lima lebuhraya, termasuk Lebuhraya Utara Selatan (Plus) naik sebanyak 5 peratus.

Empat lagi leburaya ialah Lebuhraya Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (Sprint), Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (Akleh), Lebuhraya Sungai Besi (Besraya) dan Lebuhraya Baru Pantai (NPE).

Perkara itu diumumkan oleh Menteri Kerja Raya Datuk Ir Mohamad Zin Mohamad.

Kadar kenaikan tol terbabit adalah seperti berikut:

Lebuhraya Utara-Selatan (Plus): Kadar kenaikan tol untuk sistem kutipan tol tertutup Plus (Lebuhraya E1 & E2) dinaikkan 0.68 sen sekilometer (tidak sampai satu sen) bagi kenderaan Kelas 1.

Bagaimanapun, kenaikan ini tidak membabitkan tol di Plaza Tol Bukit Kayu Hitam, Tambak Johor dan Bangunan Sultan Iskandar.

Lebuhraya Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (Sprint-Kerinci dan Damansara Link)(Lebuhraya E23): Kenaikan tol dinaikkan antara 30 dan 50 sen bagi kenderaan Kelas 1.

Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (Akleh)(Lebuhraya E12): Kadar tol dinaikkan sebanyak 50 sen bagi kenderaan Kelas 1.

Kadar tol Lebuhraya Sungai Besi (Besraya)(Lebuhraya E9): Kadar tol dinaikkan sebanyak 10 sen bagi kenderaan Kelas 1. Bayaran hanya dibuat di Plaza Tol Mines kerana Tol Salak Selatan Jaya telah ditutup mulai semalam.

Lebuhraya Baru Pantai (NPE)(Lebuhraya E10): Kadar tol dinaikkan sebanyak 40 sen bagi kenderaan Kelas 1.



Najib Bukan Seorang Negarawan - Tan Seng Giaw

Timbalan Pengerusi DAP yang juga Ahli Parlimen Kepong Dr Tan Seng Giaw percaya bahawa seseorang Perdana Menteri mesti bersikap sebagai seorang negarawan yang mampu mewakili senua golongan rakyat dalam negara ini, itulah maknanya menteri yang perdana, perdana kerana mewakili semua kalangan rakyat. Begitulah juga sepatutnya sikap seorang Timbalan Perdana Menteri.

"Namun awal bulan ini, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan rampasan kuasa untuk Dewan Undangan Negeri Perak, ekoran melompatnya tiga orang ADUN dari Pakatan Rakyat, dua dari PKR dan seorang dari DAP. Dua daripadanya pula sedang menghadapi pertuduhan rasuah di mahkamah.

Pada 5 Februari 2009, Sultan Perak memperkenankan perlantikan Datuk Dr Zambry Abd Kadir sebagai Menteri Besar baru menggantikan Datuk Seri Mohd Nijar Jamaluddin; baginda menolak untuk membubarkan DUN untuk mengadakan satu pilihanraya baru. Najib menegaskan Perak kini dikuasai Barisan Nasional (BN). Tetapi, Nizar dan exco Pakatan tetap mempertahankan pendirian mereka bahawa jawatan mereka masih sah di sisi undang-undang tubuh negeri Perak. Nyata sekali, Najib tidak memikirkan implikasi dan kesan dari perbuatannya," tambah Tan.

Kata Tan lagi, Timbalan Perdana Menteri menjadi dalang utama penggulingan kerajaan Pakatan Rakyat di Perak. Kemudian dia mengambil sikap memuji-muji Zambry dan mencela Nizar.

Jika beliau telah bertindak sebagai seorang negarawan yang mewakili seluruh penduduk negara ini dan semua parti politik, beliau akan mengelak dari melakukan tindakan yang bersifat terlalu berat-sebelah, bertindak sewenang-wenangnya ke atas pihak lain. Apakah dia seseorang bakal PM untuk seluruh rakyat Malaysia atau hanya untuk ahli Umno / BN?



MB Selangor Hargainya Pendirian PAS

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid mengucapkan terima kasih kepada Presiden PAS, Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang di atas sokongan padu kepada beliau berikutan isu salah guna kuasa yang dicanang oleh beberapa pihak yang tidak bertanggungjawab.

Bercakap dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan exco, Tan Sri Khalid berkata, sokongan itu menunjukkan ikatan Pakatan Rakyat cukup padu, tetapi cuba dirungkai oleh pihak-pihak yang mempunyai kepentingan politik murahan demi meraih populariti.

Menurutnya, Pakatan Rakyat akan mengadakan mesyuarat dalaman bagi mendapatkan pandangan daripada semua pemimpin selepas berbincang secara telus setiap isu yang ditimbulkan.

Sebelum ini, Presiden PAS, Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang, PAS akan memeberikan sokongan tidak berbelah bahagi dan PAS berdiri teguh di belakang Menteri Besar Selangor, YAB Tan Sri Khalid Ibrahim.

"Kita tetap memelihara setiakawan dan perpaduan Pakatan Rakyat dan kita akan mempertahankan Menteri Besar kita," tegasnya.

Ahli Parlimen Shah Alam yang mewakili Ahli Parlimen Pakatan Rakyat Selangor, YB Khalid Samad menyifatkan apa yang menimpa Menteri Besar pada waktu ini ialah tindakan terdesak UMNO yang cuba menjatuhkan kerajaan Pakatan Rakyat Selangor.

Tuduhan rasuah itu katanya usaha terakhir yang mampu dibangkitkan oleh UMNO setelah gagal mencari penyelewengan Tan Sri Khalid Ibrahim sekalipun menggunakan segala jentera kerajaan yang ada.

"Kita melihat ianya satu bukti insitusi kerajaan tetap ingin disalahgunakan (oleh UMNO) demi kepentingan politik mereka," tegas YB Khalid Samad merujuk kepada kenyataan SPRM yang mendakwa kononnya ada bukti kukuh terhadap Menteri Besar Selangor berkaitan pengagihan 46 ekor lembu korban dan penyenggaraan kereta peribadinya yang digunakan sebagai kereta rasmi MB.

Di dalam satu perkembangan lain, baginda Sultan Selangor telah menjelaskan bahawa baginda tidak ada apa-apa masalah untuk membenarkan Menteri Besar Selangor itu menggunakan kereta peribadinya sebagai kereta rasmi jika semua undang-undang dipatuhi dan menyatakan bahawa pengagihan lembu korban boleh diteruskan malah diperluaskan ke kawasan Kuala Lumpur.

Politik Kotor atau Politik Harapan?

Politik itu kotor merupakan kenyataan klise. Seringkali kenyataan tersebut dikeluarkan apabila kekecewaan timbul terhadap ahli-ahli politik.

Gelombang perubahan politik negara yang muncul berikutan pilihan raya umum 8 Mac 2008 telah membangkitkan harapan baru rakyat, khususnya di kalangan generasi muda. Selama ini rakyat takutkan perubahan dan sukar membayangkan Malaysia tanpa BN. Tetapi dengan perubahan besar yang terhasil selepas 8 Mac, suasana politik Malaysia tiba-tiba hidup segar.

Malangnya, rakyat Malaysia mutakhir ini mula merasakan politik sudah jatuh ke tahap yang jelek. Politik kolot BN menjadi-jadi. Perampasan Kerajaan Negeri Perak oleh Datuk Seri Najib Razak menerusi episod kehilangan, tawaran habuan dan tuduhan rasuah; diikuti sikap hipokrit Datuk Seri Khir Toyo dalam isu gambar Elizabeth Wong; dan akhir sekali kenyataan sembrono oleh Pengerusi Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia Datuk Seri Ahmad Said Hamdan terhadap Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menggambarkan kita sedang melalui tempoh politik yang memeningkan.

Apatah lagi ketika negara menanggung derita berikutan kejatuhan ekonomi dunia yang teramat serius. Sebagai sebuah ekonomi yang bergantung kepada pelaburan dan perdagangan antarabangsa, kita tidak dapat lari daripada menerima bahana berikutan kegawatan ini. Pekerja-pekerja sudah mula hilang kerja, peniaga-peniaga mencatat pulangan yang menurun secara ketara dan kerajaan kita sendiri sudah mengakui unjuran pertumbuhan asal ekonomi negara kemungkinan besar tidak boleh dicapai.

Rakyat mahu mengetahui apakah langkah-langkah yang boleh diambil oleh kerajaan, sektor korporat dan pekerja bagi menghadapi menyelematkan pekerjaan mereka. Rakyat mahu mengetahui apakah yang boleh dilakukan bagi memastikan anak isteri mereka mendapat makanan yang secukupnya setiap hari. Rakyat mahu mengetahui bagaimanakah mereka mahu membayar hutang pada hujung bulan.

Namun Najib tidak fikirkan masalah ini. Yang memenuhi pemikirannya pada masa ini ialah bagaimana mahu menjadi Perdana Menteri dengan apa jua cara sekalipun. Oleh itu, isunya bukan semata-mata memastikan BN menang tetapi memastikan PR hancur musnah. Apa jua cara tetap halal, baginya, asalkan matlamatnya dipenuhi.

Apabila Najib mengisytiharkan kesediaan dirinya bertanding sebagai Presiden Umno pada Oktober 2008, beliau menegaskan bahawa beliau akan meneruskan perubahan bagi memenangi semula pengundi-pengundi yang sudah mual dengan Umno. Namun selepas hampir lima bulan, jelas perubahan bukan keutamaannya. Sebaliknya, badan-badan seperti media massa malah SPRM yang kononnya mahu memperbaiki imej BPR diperkudakan sebagai perkakas BN bagi menjamin masa depan politiknya. Malah, Umno sanggup mengheret institusi beraja bagi membolehkan rampasan kuasa mereka di Perak.

Tetapi Najib tersilap. Walaupun beliau cuba menguasai institusi-institusi utama kerajaan dengan melantik orang-orangnya hari ini, namun akhirnya, rakyat Malaysia dengan izin Allah s.w.t. yang akan menentukan masa depan politiknya. Adakah beliau lupa, bagaimana 8 Mac dapat menjadi realiti meskipun segala institusi kerajaan dikerahkan bagi memastikan kekalahan Keadilan, Pas dan DAP?

Rakyat Malaysia, khususnya generasi muda, mestilah tidak diperangkap oleh muslihat politik BN. Kejelekan terhadap politik kotor mereka akan diubah oleh perkakas BN agar menjadi sifat bencikan politik secara keseluruhannya. Sebagaimana “Makkal Sakti” — kuasa rakyat — telah merubah lanskap politik negara hampir setahun yang lalu, rakyat jugalah yang berperanan mematikan politik kolot yang terus menjadi sandaran BN. Rakyat, bukannya ahli politik, yang akan memastikan politik harapan yang berpaksikan kedaulatan rakyat akan terus berkembang dan menumbangkan politik kolot di Malaysia.

Generasi muda mesti tegas mendesak bahawa kita mahu politik yang mengangkat martabat insan, bukan politik mengadu domba dan khianat kepada rakyat. Rakyat harus merasakan mereka bukan sekadar penerima sisa-sisa kekayaan negara, tetapi sebaliknya berkongsi kekayaan tersebut secara saksama. Pendekatan Pakatan Rakyat telah terbukti dengan konsep merakyatkan ekonomi yang dilaksanakan bagi berkongsi hasil mahsul negeri Selangor sebagai negeri terkaya di Malaysia. Perak di bawah kepimpinan Pakatan Rakyat juga telah membawa pendekatan baru dengan pemberian tanah 999 tahun/hak milik kekal, bukan sahaja kepada kampung baru Cina yang sering dimomokkan BN, tetapi juga kepada kampung tersusun dan tradisional yang majoritinya Melayu.

Saya tidak mahu politik harapan ini menjadi monopoli Pakatan Rakyat. Saya pun mahu menumpukan kepada mencari jalan bagi menyelamatkan negara Malaysia dari kemelut politik, ekonomi dan sosial yang melanda sekarang. Saya menyeru kepada pimpinan muda BN agar kita berani berbahas tentang dasar dan idealisme terbaik untuk negara kita. Jika ada perkara yang perlu kerjasama semua pemimpin Malaysia melangkaui batas parti demi masa depan bersama, saya tidak keberatan turut serta. Saya berharap persaingan politik kita terus sihat di dalam kerangka demokrasi berperlembagaan agar rakyat tidak mual dan bosan dengan tahap politik murahan yang menggamit negara pada hari ini.

Politik harapan ini akan memastikan kita dapat mencari kekuatan bagi mengatasi krisis ekonomi yang melanda negara kita. Politik harapan ini akan menegakkan keluhuran perlembagaan kita. Politik harapan ini akan menjamin masa depan anak-anak kita.

Sama ada politik kotor atau harapan, pilihannya di tangan kita rakyat Malaysia.

Nik Nazmi Nik Ahmad

SPRM disifatkan hina DUN Perak

Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak V Sivakumar menyifatkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menghina institusi DUN apabila menyiasat tindakan yang dibuatnya secara sah.

"Saya amat kecewa dengan tindakan SPRM ini. Saya rasa tindakan mereka ini adalah satu penghinaan kepada institusi DUN dan sememangnya saya sangat kecewa dengan apa yang berlaku," Bernama memetik beliau berkata kepada pemberita selepas selesai memberi keterangan kepada pegawai SPRM di Kediaman Rasmi Menteri Besar semalam.

Beliau juga menyifatkan tindakan SPRM itu menjejaskan prinsip demokrasi dalam negara ini dan mengancam doktrin pengasingan kuasa antara tiga badan kerajaan, iaitu eksekutif, legislatif dan kehakiman.

Sivakumar yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Tronoh berkata sebagai Speaker, beliau cuma menjalankan tugas mengikut peraturan sedia ada, dan menurutnya "tetapi nampaknya saya pula yang disoal siasat".

Bagaimanapun menurutnya beliau yakin telah memberi kerjasama penuh dengan memberi keterangan kepada dua pegawai SPRM dari Ibupejabat di Putrajaya selama kirakira dua jam, bermula dari pukul 6 petang.

Jumaat lepas Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Ahmad Said Hamdan dilaporkan berkata Suruhanjaya itu akan menjalankan siasatan berhubung dakwaan salah guna kuasa V. Sivakumar kerana menggantung Menteri Besar Perak Datuk Dr Zambry Abdul Kadir dan enam anggota Excon kerajaan negeri daripada menghadiri persidangan DUN berkuatkuasa serta merta.

Ahad lalu, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata "tidak ada yang lebih lucu daripada nasihat Perdana Menteri kepada Datuk Dr Zambry Abdul Kadir, Menteri Besar Barisan Nasional supaya beliau membuat laporan polis berkenaan dengan penggantungannya oleh Speaker Dewan Undangan Negeri Perak (V Sivakumar)".

Tidak diketahui adakah tindakan sepasukan tiga pegawai dan seorang anggota Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontijen Perak yang mengambil keterangan dari Sivakumar itu juga dianggap lucu oleh Dr Mahathir.

Lagi Ulasan Berita Panas 25 Feb 2009

Menteri Besar Selangor YAB Tan Sri Khalid Ibrahim Tan Sri Khalid Ibrahim berkata beliau tidak gusar terhadap tuduhan melulu Khir Toyo terhadap beliau yang bingkas didokong oleh Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), Datuk Seri Ahmad Said Hamdan.

Tan Sri Khalid yakin mempertahankan diri dari setiap fitnah Khir Toyo termasuk kononnya beliau menyalah-gunakan kuasa berhubung penyenggaran kereta peribadinya dan pengagihan lembu korban.

"Saya tak takut, sebab saya ada kebenaran, misalnya kereta, saya menyuruh kerajaan membayar duit minyak dan tayar kereta, sebab di dalam General Order kalau kita memakai kereta kita sendiri dan tidak memakai kereta kerajaan, kita boleh membuat tuntutan ke atas minyak apa-apa maintenance," tegasnya.

Ramai berpendapat kenyataan Khir Toyo dan Ahmad Said Hamdan sebelum ini hanyalah untuk memberi gambaran buruk kepada pemimpin Pakatan Rakyat.

Tan Sri Khalid menyatakan bahawa rakyat adalah matang dan boleh menilai kejujuran SPRM melaksanakan tugasnya. Rakyat bukan bodoh seperti yang dianggap.

SULTAN SELANGOR DIBERI MAKLUMAT LENGKAP BERHUBUNG TOHMAHAN TERHADAP KHALID

Baginda Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj telah menyatakan pendirian untuk tidak membantah untuk penggunaan kereta peribadi sebagai kenderaan rasmi jika semua prosedur undang-undang dipatuhi.

YAB Tan Sri Khalid juga telah memaklumkan kepada Tuanku Sultan bahawa seperti yang dinyatakan oleh Datuk Pengarah Kewangan Negeri segala proses undang-undang telah diikuti seperti yang ditetapkan.

Mengenai isu lembu korban, Tuanku Sultan tidak ada apa-apa halangan terhadap usaha sedekah atau korban malah menggalakkan segala usaha kebajikan ini diteruskan dan juga dipanjangkan ke kawasan Kuala Lumpur.

AMK LAPOR SEMULA 20 KES RASUAH KHIR TOYO KE SPRM

Angkatan Muda Keadilan membuat laporan semula terhadap 20 kes rasuah ke atas bekas Menteri Besar Selangor, Khir Toyo ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Semua aduan itu telah dibuat sejak tahun 2000 tetapi tidak diambil tindakan oleh agensi itu yang sebelum ini dikenali sebagai Badan Pencegah Rasuah. Aduan itu digantung pada leher seekor lembu untuk mencerminkan rasa kesal rakyat terhadap kebingkasan SPRM mendokong fitnah Khir Toyo kononnya Menteri Besar Tan Sri Khalid menyalahgunakan kuasa dalam mengagihkan daging lembu korban.

2 ADUN PERAK BUAT LAPORAN DISOGOK RM20 JUTA UNTUK KELUAR PARTI

Timbalan Perdana Menteri Najib Razak meneruskan usaha memancing ADUN Pakatan Rakyat di Perak dengan gula-gula politik termasuk imbuhan sehingga RM20 juta.

Dua Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) daripada pakatan pembangkang membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendakwa mereka ditawar wang sehingga RM20 juta serta jawatan oleh pihak tertentu supaya menjadi wakil rakyat Bebas atau menyertai Barisan Nasional (BN).

Mereka yang membuat laporan di pejabat SPRM di sini ialah Adun Malim Nawar Keshvinder Singh daripada DAP dan Adun Kuala Kurau Abdul Yunus Jamsari daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Bercakap kepada pemberita di luar pejabat itu, Keshvinder berkata beliau menerima pelbagai tawaran daripada beberapa agen mendakwa mewakili Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi Perhubungan Umno Perak, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan seorang daripada agen itu ialah seorang wartawan akhbar berbahasa Cina tempatan.




Isu Lingham: Rakyat Tertipu dan Ditipu

Setelah menunggu sekian lama dan setelah satu Suruhanjaya ditubuhkan bagi menyiasat kes klip pita video V.K. Lingham, tiba-tiba tiga dari empat orang yang telah disiasat berhubungkait dengan kes klip pita video V. K. Lingam, telah terlepas dari sebarang pendakwaan dan pertuduhan.

Perdana Menteri di Datuk Seri Abdullah Badawi memberitahu Wee Choo Keong (PKR-Wangsa Maju) di dalam satu jawapan bertulis dimana 3 kes telah ditandakan sebagai “NFA” — bermaksud "no further action" (tiada tindakan lanjut diambil).

Ini amat menyedihkan dan menandakan negara masih terpenjara dengan isu institusi kehakiman yang tidak bebas apabila pesalah-pesalah tidak dapat di bawa ke muka pengadilan semata-mata dengan alasan tidak mempunyai bukti kukuh.

Sekalipun Perdana Menteri telah pun berusaha untuk memperbaiki institusi kehakiman, tetapi dengan kelemahan perlaksanaan dengan meletakkan pegawai-pegawai yang tidak kompeten tetapi hanya bersifat "mengampu" serta tidak professional, matlamat penubuhan Suruhanjaya yang menelan belanja begitu besar akhirnya ke longkang juga jawapannya.

Ini adalah akibat dari kelemahan dan ketidak-tegasan Pak Lah sebagai Perdana Menteri sehinggakan mereka yang di bawahnya boleh memperman-mainkan kepimpinannya dengan memberikan asalan yang superficial dan klise - YAB, tiada bukti kukuh untuk kita mendakwa mereka dan Pak Lah mengiyakannya sahaja.

Kesilapan Pak Lah memilih dan memberi kepercayaan kepada pegawai-pegawai atasan untuk jawatan kritikal seperti Peguam Negara, Ketua Polis Negara, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Suruhanjaya Pilihanraya, Ketua Hakim Negara dan seumpamanya menjadikan kepimpinan Pak Lah hanya dilingkari oleh penasihat-penasihat yang bersifat mengampu, menzalimi rakyat, membodek, malas bekerja dan jika bekerja mereka melakukannya secara tidak profesyenal.

Rakyat telah lama memerhatikan hal ini. Dan rakyat telah bersuara di peti undi semasa pilihanraya umum ke 12 yang lalu, tetapi Pak Lah gagal untuk menyelami intipati keputusannya dan masih terus membiarkan negara dimamah virus korupsi dan rasuah yang bukan kepalang dengan mengekalkan status quo.

Berbalik kepada isu klip pita video V.K.Lingham.

Betapa buruk dan hina institusi kehakiman negara selama ini apabila dengan mudah ianya dibeli dan dikuasai oleh golongan mafia sehingga didedahkan semasa siasatan, ada hakim yang sifatnya binatang bertindak membelakangkan keadilan semata-mata kerana telah diumpan dengan rasuah melancong dan lain-lain pemberian bersifat keduniaan oleh golongan mafia tersebut.

Hasilnya, ketempangan institusi kehakiman terlalu nyata dan fungsi mahkamah sebagai tempat untuk menegakkan kebenaran dan keadilan sudah ranap akibat perbuatan hakim yang khianat.

Keadaan nampaknya akan menjadi bertambah buruk apabila raja segala mafia akan dinobatkan sebagai Perdana Menteri tidak berapa lama lagi.

Menangislah lagi rakyat selepas ini. Menunggu lagi saat pilihanraya umum yang akan datang yang terasa terlampau lama lagi tibanya.