5 Nov 2007

Maruah Berita Harian Sejijik Tong Najis

Semalam Berita Harian melaporkan kononnya Ketua Polis Kelantan, Datuk Abd Rahim Hanafi telah menemui Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, bagi mengambil keterangan berhubung tawaran bernilai jutaan ringgit sejak Mursyidul Am Pas itu mentadbir negeri berkenaan.

Berita ini dinafikan sendiri oleh Datuk Abd Rahim Hanafi hari ini dimana menurut beliau perjumpaan beliau dengan Menteri Besar, Nik Abdul Aziz Nik Mat di pejabat Menteri Besar itu semalam bukanlah untuk mengambil keterangan berhubung tawaran rasuah bernilai jutaan ringgit.

Kedatangan beliau ke pejabat Menteri Besar merupakan kunjungan biasa selaku Ketua Polis Negeri di samping memberi taklimat keselamatan dalam negeri.

“Kunjungan saya hanyalah lawatan biasa yang lebih bertujuan lawatan kerja dan tiada langsung kaitan berhubung kes rasuah itu,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Di dalam laporan Berita Harian itu juga dikatakan "Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa berkata, Abd Rahim menemui Nik Abdul Aziz pada sebelah pagi bagi mendapatkan penjelasan mengenai tawaran pihak tertentu yang cuba memberikan sogokan sejak beliau memegang jawatan Menteri Besar Kelantan, 17 tahun lalu dan beliau tidak pasti berapa lama sesi pertemuan antara dua pihak itu berlangsung serta butiran yang dibincangkan.

Bernama yang menemui Husam melaporkan bahawa Husam menafikan beliau ada membuat kenyataan berhubung kes berkenaan sebaliknya menyatakan bahawa media telah salah tafsir mengenai kenyataan beliau semalam di Kuala Lumpur pada Forum Rakyat Rasuah dan Jenayah, " Malaysia di Ambang Bahaya", anjuran PAS.

Dan sehingga waktu artikel ini ditulis, Berita Harian belum menyiarkan laporan Bernama yang menafikan berita yang dikeluarkan oleh Berita Harian menyentuh kunjungan Ketua Polis Negeri Kelantan ke pejabat Menteri Besar sekalipun di ruangan mutakhir akhbar-akhbar dalam talian arus perdana yang lain telah menyiarkannya.

Demikian corak dan pola kewartawanan yang ada pada akhbar yang bernama Berita Harian ini: iaitu mewujudkan perkara-perkara yang tidak ada serta cuba menokok-tambah perkara yang tidak jelas dengan niat jahatnya dengan pemberitaan itu dapat merendahkan krediliti dan kewibawaan Mentri Besar Kelantan.
Dengan penerbitan berita palsu tersebut, maruah Berita Harian sejijik tong najis, terlalu kotor untuk dianggap sebagai akhbar yang menyebarkan "ilmu dan maklumat" sebaliknya lebih tepat menyebarkan "dakyah palsu dan fitnah".